Usai makan malam, mereka sekeluarga
duduk berbual-bual di ruang tamu. Sesekali terdengar suara mereka ketawa,
apabila si cilik Sheikh Azri Sufian menanyakan soalan-soalan yang melucukan
kepada neneknya. Sharifah Sakinah pula rajin melayan celoteh cucu tunggalnya
itu.
“Nenda, best tak pergi sana?” Soal si
kecil yang duduk di pangkuan Sharifah Sakinah.
“Mestilah best... Nendakan pergi
menziarah rumah Allah.” Balas Sharifah Sakinah.
“Rumah Allah! Allah pun ada rumah macam
kita ke, nenda?!” Tanya Sheikh Azri Sufian lagi.
“Allah...! Anak kamu ni Zara. Sepuluh
macam soalannya. Macam mana aku nak menjawab?” Kata Sharifah Sakinah kepada
Sharifah Zahara sambil ketawa kelucuan.
“Ya sayang... Mekah tu diibaratkan
seperti rumah Allah. Jadi nenda pergi sana sebagai tetamu Allah. Nenda
sembahyang, buat amal ibadat dan mengerjakan haji,” sambung Sharifah Sakinah
lagi setelah tawanya reda.
Seboleh mungkin dia cuba menerangkan
agar cucu kesayangannya itu faham. Tapi nampaknya sia-sia.
“I really don’t understand what are you
talking about nenda! Haji? Ibadat? What’s that?” Ungkap Sheikh Azri Sufian
lagi.
Dahi penuh dengan garis-garis kerutan.
Otaknya cuba mencerna setiap kata-kata Sharifah Sakinah. Tetapi dia tidak dapat
memahami, lantaran pemikiran si kecil yang terhad jangkauannya.
“Tak apa..., tak apa. Nanti..., bila
Sufi dah besar sikit, nenda bawa Sufi menziarah rumah Allah tu. You will see
with your own eyes. Sufi mahu!?” Pancing Sharifah Sakinah, agar Sheikh Azri
Sufian tidak terus-terusan menyoalnya lagi dengan soalan-soalan yang terkadang
tidak mampu dia jawab.
“Really! Nenda nak bawa Sufi sekali?
Nenda janji tau!” Sheikh Azri Sufian turun dari pangkuan Sharifah Sakinah, dan
melompat-lompat keriangan.
“Ya..., nenda janji. Tapi tunggulah Sufi
besar sikit. Okey!”
“Nenda janji?” Gesa Sufi. Jari
kelengkeng disua ke arah Sharifah Sakinah.
“Nenda janji...” Sahut Sharifah Sakinah
sambil menyimpulkan jari kelengkeng ke jari kelengkeng halus Sheikh Azri
Sufian.
Si comel tersenyum kepuasan. Sheikh
Mustapha dan Sharifah Zahara pula ketawa memerhati gelagat putera mereka itu.
“Apa saja yang ummi beli tu mi...? Zara
rasa, masa ummi pergi hari tu bawa satu beg saja. Kenapa bila balik, beg ummi
tu sudah jadi tiga pula?” Jenaka Sharifah Zahara pada ibu mertuanya.
“Zara bukan tak tahu perangai ummi ni.
Dalam sibuk-sibuk beribadat tu, sempat lagi nak bershopping. Sambil menyelam
minum air kan ummi?” Celah Sheikh Mustapha memandang ke wajah Sharifah Sakinah.
“Lenguh juga tangan abang mengangkat
beg-beg ummi tu tadi.” Seloroh Sheikh Mustapha lagi. Sengaja hendak mahu mengusik
Sharifah Sakinah.
Sheikh Mustaza yang duduk di sebelah
Sheikh Mustapha diam memerhati. Tiada keinginan di hati untuk menyampuk
perbualan mereka bertiga. Dia tahu, kalau dia bersuara nanti, ada saja yang
tidak kena di telinga Sharifah Sakinah. Dari mereka bertekak tidak tentu fasal,
lebih baik dia senyap membatu. Itu lebih selamat.
Sharifah Sakinah pula buat tidak endah,
seolah-olah Sheikh Mustaza tidak wujud di antara mereka. Kehadiran anak
sulongnya itu seperti tidak memberi makna. Sememangnya antara dia dan Sheikh
Mustaza tidak pernah sebulu. Sentiasa saja berbeza pandangan dan bercanggah
pendapat.
“Ummi cuma beli buah tangan untuk kamu
semua saja. Mana ada ummi shopping!” Ujar Sharifah Sakinah membela diri.
“Present for me ada tak nenda?” Sampuk
Sheikh Azri Sufian yang mendengar saja perbualan mereka sedari tadi.
“Eh! Mestilah ada... Sufikan cucu
kesayangan nenda. I have something special for you.”
Sharifah Sakinah kembali menarik Sheikh
Azri Sufian ke pangkuan.
“What’s that nenda? What’s the special
thing for me?” Sheikh Azri Sufian sudah teruja. Tidak sabar ingin melihat
hadiah yang dibeli oleh Sharifah Sakinah.
“Zara tolong ummi ambilkan beg yang
warna biru tu.” Sharifah Sakinah menunding ke arah deretan beg yang diletakkan
di tepi tangga.
Sharifah Zahara bangun dari sofa empuk
pergi mendapatkan beg yang dimaksudkan oleh ibu mertuanya.
“Ya Allah! Beratnya ummi... Macam mana
ummi bawa beg ni dari hotel ke airport masa balik hari tu?”
Berkerut dahi Sharifah Zahara menahan
beban beg di tangan. Rasa bagai hendak tercabut jari. Kalau beg tu beroda boleh
juga ditarik.
Sheikh Mustapha tersenyum melihat
isterinya. Lirik senyuman itu singgah ke ekor mata Sharifah Zahara.
“Abang ni! Senyum pula dia. Bukannya nak
menolong,” jeling Sharifah Zahara pada Sheikh Mustapha. Suara ditukar ke nada
marah-marah manja.
“Abang dah penat angkat beg ummi tu masa
di airport tadi. Sekarang giliran Zara pula.” Sheikh Mustapha ketawa kecil.
“Dekat hotel ummi upah orang saja tolong
angkatkan beg ni masuk van. Sampai airport, ummi upah orang tolak trolley.
Bukannya susah...” Luah Sharifah Sakinah bersahaja.
“Mama cepatlah... I want my present!”
Bentak Sheikh Azri Sufian yang sudah tidak sabar menunggu di celah ribaan
nendanya.
“Ya sayang... sabarlah sikit. Beg nenda
ni berat sangat tau.” Rungut Sharifah Zahara sambil meletakkan beg besar berwarna
biru itu di hadapan Sharifah Sakinah. Dia membantu ibu mertuanya membuka beg
itu.
Sebaik sahaja beg dibuka, habis terpacul
semua barang-barang yang terperosok di dalamnya.
“Ya Allah! Banyaknya ummi.” Spontan ayat
itu tercetus di bibir Sharifah Zahara.
Terkejut dengan isi kandungan beg itu.
Ini beli ke atau borong habis?
Sharifah Sakinah mencari-cari di antara
bungkusan-bungkusan yang memenuhi beg. Seketika kemudian dia menarik keluar
sesuatu.
“Okey, yang ini untuk Sufi.” Dia
menghulurkan sebuah kotak berbalut cantik kepada Sheikh Azri Sufian.
“Thank you very much nenda. I loveee...
youuu... Muahhh...” Hadiah disambut. Pantas pipi tua Sharifah Sakinah di kucup
si comel.
Tanpa menunggu nendanya bersuara, Sheikh
Azri Sufian sudah berlari meninggalkan mereka. Tangga ke tingkat atas dipanjat
laju, lalu dia menghilang ke dalam bilik. Pasti dia tidak sabar ingin
mengetahui kandungan kotak pemberian nendanya itu. Mereka semua tersenyum
melihat gelagat Sheikh Azri Sufian.
Kini pandangan beralih semula ke dalam
beg Sharifah Sakinah yang membukit.
“Banyak ummi beli barang?” Mata Sharifah
Zahara tidak lepas dari memandang beg yang padat dengan plastik pembungkus
pelbagai corak itu.
“Mana ada banyak? Sikit saja ni,” cantas
Sharifah Sakinah. Tangan menyelak-nyelak bungkusan yang bertindih-tindih.
Setelah berjumpa dengan barang yang
dicari, Sharifah Sakinah menghulurkannya pada Sharifah Zahara.
“Nah! Yang ini untuk Zara.”
“Terima kasih ummi. Buat susah-susah
saja ummi belikan sesuatu untuk Zara. Kalau ummi tak belikan apa-apa pun, Zara
tak kisah. Bagi Zara, cukuplah ummi sudah selamat pergi dan selamat kembali.”
Wajah Sharifah Sakinah ditatap lembut. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Pandai betul Sharifah Zahara mengambil
hati ibu mertuanya. Tidak hairanlah kenapa Sharifah Sakinah sayang sangat
dengan menantunya tu.
“Tak ada apa yang susahnya Zara. Ummi
belikan semua ni, untuk anak menantu dan cucu ummi juga. Yang ini pula untuk
kamu berdua.” Sharifah Sakinah menghulurkan dua bungkusan lain untuk dua anak
lelakinya.
“Terima kasih ummi,” ucap mereka berdua
serentak selepas menyambut hadiah itu.
‘Ingat juga ummi pada aku.’ Desis Sheikh
Mustaza. Ada juga rasa hairan.
Walaupun terkadang Sharifah Sakinah
seperti tidak mengindahkannya, tetapi dalam diam-diam Sharifah Sakinah masih juga
mengingati dia.
“Sama-sama,” Balas Sharifah Sakinah.
Matanya tertumpu pada Sheikh Mustapha.
“Pha jumpa kat mana orang gaji baru tu?”
Tanya Sharifah Sakinah merujuk kepada kehadiran Maimun di rumah mereka yang
tiba-tiba.
“Apalah ummi ni. Pha tak jumpalah mi...
Ummi ingat kak Maimun tu macam barang hilang ke? Boleh main jumpa-jumpa pula.”
Sheikh Mustapha berseloka, cuba melindungi perasaan kurang senangnya.
Dari gaya bahasa umminya itu ada
menunjukkan tanda-tanda umminya tidak berkenan dengan Maimun.
“Habis tu, kalau kamu tak jumpa, kamu
ambil dekat mana?” Soal Sharifah Sakinah lagi.
“Ishh... ummi ni! Dah ambil pula. Kak
Maimun tu bukannya hak sesiapa nak diambil-ambil.” Sheikh Mustapha memanjangkan
kepala ke dapur. Bimbang sekiranya perbualan mereka didengari oleh Maimun.
“Hari tu, semasa Pha on the way balik
dari kerja, Pha hampir saja nak terlanggar kak Maimun dan anaknya. Pha kasihan
tengok dia, jadi Pha terus bawa dia balik rumah ni. Bila Pha dan Zara tahu
kisah dia, tiada suami, tiada tempat tinggal, kami terus ambil dia jadi
pembantu rumah kita. Sekurang-kurangnya dia dan anaknya ada tempat berlindung.
Secara tidak lansung kami dapat membantu dia yang sedang dalam kesusahan.
Lagipun, ummi juga yang suruh Pha cari pembantu rumah orang tempatan kan?”
Terang Sheikh Mustapha.
“Kamu tak kenal dia, terus saja kamu
bawa balik!? “ Riak wajah Sharifah Sakinah berubah menunjuk rasa tidak puas
hati.
“Apa tak bawa balik saja semua pengemis
yang kamu jumpa di tepi jalan tu. Biar rumah ni jadi tempat welfare. Kamukan
nak bantu orang yang dalam kesusahan? Ramai lagi orang susah dekat luar sana.
Bawa saja balik.” Sindir Sharifah Sakinah sinis.
“Ummi..., Pha tengok kak Maimun tu baik.
Sudah dua minggu dia tinggal di rumah kita ni. Pha dan Zara perhatikan kak
Maimun tu okey saja... Tak banyak masalah. Buat kerja rumah bagus. Rajin. Tak
berhenti-henti dia buat kerja. Masak pun pandai. Semenjak kak Maimun ada,
senang sikit kerja Zara menguruskan rumah ni. Kita baru saja kenal dia. Bagilah
dia peluang.” Tutur Sheikh Mustapha membela Maimun.
“Betul ummi. Zara pun suka dengan kak
Maimun tu. Dia baik. Tak banyak cakap. Dia pandai menghormati Zara dan abang,
walaupun kami ni lagi muda daripada dia. Sufi pun suka berkawan dengan anak kak
Maimun tu. Selama ni, Sufi tak ada kawan untuk bermain. Tapi, sejak ada Arin
bukan main happy lagi dia.” Tokok Sharifah Zahara pula.
“Mula-mula memang macam tu. Semuanya
baik. Semuanya bagus. Rajinlah. Pandailah. Bila dah lama sikit, mulalah buat
perangai. Dah malas buat kerja. Dah pandai melawan cakap kita. Lain yang
disuruh, lain yang dibuat. Macam orang gaji kita yang dulu-dulu tu.” Rengus
Sharifah Sakinah panjang.
“Insyaallah ummi... Zara lihat kak
Maimun tu, bukan begitu orangnya.” Bela Sharifah Zahara lagi.
“Kamu ni Zara, pada mata kamu semuanya
baik belaka. Tak ada cacat-cela langsung. Bagusss... saja memanjang. Kamu tu yang
terlampau baik sangat. Sebab itulah orang gaji kita yang dulu-dulu tu, suka
memijak kepala kamu,” komen Sharifah Sakinah.
Sharifah Zahara tersenyum mendengar
luahan ibu mertuanya.
“Tak salahkan ummi, kalau kita berbuat
baik dan bersangka baik pada orang lain?” Balas Sharifah Zahara sambil mengelus
tangan tua itu.
“Memang tak salah. Tapi janganlah sampai
orang lain senang-senang nak bodoh-bodohkan kita. Terutama orang gaji sendiri.
Jangan bagi muka Zara... Cuba kamu tengok, ummi ni dah dekat setengah jam duduk
dekat sini. Mana orang gaji baru kamu tu? Batang hidung pun tak nampak. Tak
reti-reti nak buatkan air untuk kita. Apa! Terus masuk tidur ke dia?” Bebel
Sharifah Sakinah berjela-jela. Terjuih-juih mulutnya mengomel.
Sheikh Mustaza yang diam memerhati
sedari tadi, hampir ketawa melihat gelagat umminya itu. Sharifah Sakinah kalau
sudah membebel, cuping telinga yang tebal pun boleh jadi pipih.
“Apa ummi ni... Tak baik tau. Kalau kak
Maimun dengar nanti, kecil pula hati dia.” Sharifah Zahara menepuk perlahan
tangan Sharifah Sakinah. Senyuman tidak lekang di bibir melihat perangai
mertuanya.
“Ummi peduli apa, kalau dia nak kecil
hati pun!”
Sheikh Mustapha hanya
menggeleng-gelengkan kepala.
‘Ingatkan bila dah pergi haji, perangai
ummi ni dah berubah. Sudah insaf. Nampaknya serupa saja.’ Bungkam hati
kecilnya.
“Maaf puan, encik. Saya terlambat
sedikit buat air,” suara Maimun yang muncul tiba-tiba.
Empat pasang mata yang berada di ruang
tamu itu, sepantas kilat berpaling memandang Maimun.
Maimun perlahan-lahan menyusun langkah
menghampiri mereka. Tangan rasa menggigil ketika menatang dulang minuman itu
apabila diperhatikan oleh semua majikannya. Dada hebat bergelora, bagai menanti
hukuman bunuh gayanya.
Sharifah Zahara merenung tepat ke wajah
Maimun. Cuba mentafsir riak di muka Maimun. Dia bimbang kalau-kalau Maimun
terdengar bebelan ibu mertuanya tadi. Takut Maimun terasa hati.
“Baru sekarang kamu nak hantar air? Apa
tidak kamu tunggu besok saja buat air ni. Buat air pun lembab!” Sergah Sharifah
Sakinah.
Maimun yang sedang menuang air ke dalam
cawan terkejut. Hampir saja mahu tertumpah bila ditempelak begitu.
“Ummiii...,” tegur Sharifah Zahara.
Kepala digoyang-goyangkan. Dia amat berharap agar Sharifah Sakinah tidak
memarahi Maimun.
“Maaf puan besar. Saya tak sengaja. Saya
mengemas meja dan dapur tadi.” Tutur Maimun perlahan.
Tangannya masih menuangkan air ke dalam
baki 3 biji cawan lagi.
“Hah! Tengok tu. Baru ditegur sikit dah
pandai menjawab.” Suara Sharifah Sakinah melantun kuat.
“Ummiii..., sudahlah tu.” Pujuk Sharifah
Zahara lagi. Belakang tubuh Sharifah Sakinah diusap-usap. Senyuman manis
terukir setia di bibir. Biarlah senyuman itu memadamkan api yang membakar di
dada mertuanya dengan segera.
“Maaf puan,” pohon Maimun sekali lagi.
Hati sudah dibadai rasa sayu.
“Jemput minum puan, encik. Saya minta
diri ke dapur dulu,” pinta Maimun. Tanpa menoleh dia bangun dan cepat beredar
ke dapur.
“Kamu tengok tu Zara! Ummi baru cakap
sikit dia sudah nak terasa. Buat air kopi-O ni pun lama sangat. Itu yang kamu
kata rajin?” Nada suara Sharifah Sakinah masih meletup-letup.
“Sudahlah ummi... Lambat sikit saja.”
Rayu Sharifah Zahara lagi.
Tangannya beralih pula ke tangan
Sharifah Sakinah. Dibelai-belai tangan itu, agar ribut ibu mertuanya cepat
reda.
**********
Tiba saja di dapur Maimun terus ke
sinki. Dia berdiri di situ membuang pandangan ke luar tingkap. Perasaan hiba
semakin hebat menghambat pangkal hati. Tanpa dipinta, air mata mula terbit lalu
menitis ke pipi. Setitis, dua, tiga dan akhirnya bertambah laju.
‘Nampaknya puan besar tak seperti cik
puan. Puan besar tak suka aku bekerja di sini.’ Tebak hatinya.
“Awak janganlah ambil hati dengan apa
yang ummi saya cakapkan tadi.” Gema satu suara.
Pantas Maimun berpaling. Tidak disangka
lelaki itu akan muncul di saat-saat begini.
Wajah Maimun yang suram dan dibasahi air
mata, menggamit naluri lelaki Sheikh Mustaza. Lantas dia mengeluarkan sapu
tangan dari poket belakang seluar, lalu dihulur pada Maimun.
Huluran tidak disambut. Maimun kaget.
Kehadiran Sheikh Mustaza yang tiba-tiba menjadikan dia kaku. Lama dia berada
dalam keadaan seperti itu.
Bila bahu Maimun kelihatan
bergerak-gerak menahan sebak, spontan Sheikh Mustaza bertindak. Dia cuba
menyapu air mata yang menitis di pipi Maimun.
Maimun memalingkan muka. Tidak rela
lelaki itu menyentuh wajahnya. Dengan jari-jemari, dia menyeka air mata
sendiri.
Sesaat kemudian, Maimun terasa ada
tangan hangat pula yang memaut jarinya. Dia memandang wajah Sheikh Mustaza.
Lelaki itu membawa tangan Maimun ke
depan dan meletakkan sapu tangan miliknya ke telapak tangan Maimun.
“Kesat air mata awak. Wajah manis awak
menjadi cela dicemari oleh air mata. Seksa rasa hati saya bila melihatnya.”
Bisik Sheikh Mustaza.
Bagaikan hendak terhenti jantung Maimun
mendengar kata-kata yang meluncur dari mulut lelaki di hadapannya ini.
Sapu tangan itu digenggam erat. Segera
Maimun menarik tangannya jauh dari pautan tangan Sheikh Mustaza.
Dia berpaling semula menghala ke
tingkap. Tidak betah rasanya untuk terus bertentangan dengan lelaki setampan
dia.
“Ummi tu memang begitu. Awak jangan
ambil hati apa yang dia cakap tadi.” Pujuk Sheikh Mustaza lagi.
Maimun hanya diam membisu. Air mata yang
masih mengalir lesu, dikesat dengan sapu tangan pemberian lelaki itu.
“Saya tahu awak kecil hati dengan
kata-kata ummi saya tadi. Saya mohon maaf bagi pihak dia. Perangai orang tua,
biasalah macam tu. Kuat berleter. Awak jangan simpan dalam hati ya! Saya ingin
sekali melihat awak bekerja lebih lama di rumah ni.” Tutur Sheikh Mustaza lagi.
Cuba menjernihkan suasana pilu di hati Maimun.
Maimun diam tidak berkutik.
“Saya keluar dulu.” Sheikh Mustaza
berpaling untuk pergi. Tapi baru beberapa tapak, langkahnya tiba-tiba terhenti.
“Sebelum tu, boleh awak tolong ambilkan
saya segelas air kosong? Biasanya saya akan minum air kosong, selepas minum air
manis. Yang itu awak kena ingat tau.” Tutur Sheikh Mustaza lembut. Ada makna
yang terkandung di sebalik bicara itu. Tetapi Maimun tidak pandai menelah.
Dia bergerak ke kabinet dan mengeluarkan
sebiji gelas kosong, lalu diisi dengan air dari water filter. Kemudian gelas
itu diserahkan kepada Sheikh Mustaza.
Selepas gelas bertukar tangan Maimun
segera kembali ke sinki semula. Dia masih tidak berani memandang wajah Sheikh
Mustaza.
Sapu tangan Sheikh Mustaza disimpan ke
dalam poket baju kurung. Maimun membuka pili air dan mula mencuci baki pinggan
mangkuk di dalam sinki.
Sedih di hati sudah sampai ke
penghujung, tapi kini dadanya pula terasa berdebar-debar. Dia tahu, Sheikh
Mustaza masih lagi berada di belakang sedang memerhatikannya. Dia menjadi serba
tidak kena. Pinggan yang sudah dibilas, disabun sekali lagi. Mangkuk yang sudah
bersih dicuci berulang kali.
“Saya harap awak bersabar. Jangan
menangis lagi ya. Seperti yang saya katakan tadi,
seksa hati saya melihatnya.”
Setiap bait bicara Sheikh Mustaza,
meresap masuk ke gegendang telinga Maimun. Lalu menjalar hingga ke otak dan
hati. Apakah maksud lelaki itu? Apakah makna sebenar kata-katanya?
Maimun keliru. Panas di dada semakin
berbahang.
Melihat Maimun masih membisu tidak
memberi apa-apa reaksi, Sheikh Mustaza kehilangan punca. Air di dalam gelas
diteguk habis. Kemudian dia melangkah menghampiri Maimun, lalu meletakkan gelas
kosong ke dalam sinki.
Ketika Sheikh Mustaza berdiri rapat di
sebelah Maimun, secara tidak sengaja bahu mereka bersentuhan. Maimun semakin
tidak keruan. Tangan yang menjadi dingin bertambah sejuk disirami air dari
pili.
Harum bau wagian dari badan Sheikh
Mustaza menusuk ke rongga hidung. Membuatkan jantung Maimun berdetak keras.
“Terima kasih. Saya ke depan dulu.” Kata
Sheikh Mustaza seperti berbisik, tetapi tetap jelas di telinga Maimun.
Seketika kemudian dia mendengar derap
langkah Sheikh Mustaza menuju ke ruang tamu. Perlahan Maimun memalingkan
kepala, memandang susuk tubuh Sheikh Mustaza yang semakin jauh.
‘Mengapa lelaki ini terlalu baik
padaku.’ Detik hati Maimun.
**********
Sepanjang malam Maimun tidak dapat
melelapkan mata. Kata-kata Sharifah Sakinah terngiang-ngiang di gegendang. Setiap
kali dia teringatkan kata-kata Sharifah Sakinah itu, air matanya mula bergenangan.
Sampai bila dia mampu bertahan,
berkhidmat di rumah ini, sekiranya puan besar itu tidak menyenanginya? Kenapa
dalam hidup ini, dia sering saja dipandang rendah oleh orang-orang seperti
Sharifah Sakinah? Mengapa Sharifah Sakinah tidak seperti anak dan menantunya yang
menerima baik kehadiran dia?
Maimun mengeluh berat.
Seketika kemudian wajah Sheikh Mustaza
pula yang menjengah. Dia kembali teringatkan lelaki itu. Sapu tangan milik
Sheikh Mustaza ditarik keluar dari poket baju kurung lalu ditatap lama.
Di benak Maimun mula timbul pelbagai
persoalan.
Mengapa dia merasa ada satu kelainan
pada setiap pandangan lelaki itu? Kenapa di dalam setiap bicaranya seperti mahu
menyatakan sesuatu? Dia terlalu baik, tetapi Maimun tidak tahu mengapa.
Maimun cuba mentafsir. Tetapi apa yang
muncul di mindanya kala ini, amat menakutkan dia.
“Ya Allah, andai telahan ku ini benar,
kau jauhkanlah perasaan itu dari Sheikh Mustaza. Aku tidak layak untuk dia.”
Doanya jauh di dasar hati.
Bila subuh hampir menjelang, barulah Maimun
dapat melelapkan mata. Tetapi hanya untuk seketika. Dia terjaga semula bila
azan subuh berkumandang dari surau berhampiran.
Walaupun kelopak mata masih terasa
berat, digagahi juga untuk bangun. Selepas mandi dan solat nanti, dia perlu
menyediakan sarapan pagi pula. Kalau terlambat seperti malam tadi, pasti akan
dibahasakan lagi oleh puan besar.
Pagi itu ketika Maimun dan Sharifah
Zahara menyediakan sarapan, Sharifah Zahara menegur apabila dia terlihat mata
Maimun sedikit bengkak.
“Mata kak Maimun bengkak, kenapa? Kak
Maimun menangis fasal kata-kata ummi malam tadi?” Sharifah Zahara sengaja
meneka, walaupun dia tahu sangkaannya benar belaka.
“Tak adalah puan. Saya sakit kepala.”
Dalih Maimun. Dia melarikan wajahnya ke tempat lain. Mengelak dari direnung
oleh Sharifah Zahara.
“Jangan bohong saya kak Maimun! Saya
tahu, kak Maimun kecil hati dengan kata-kata ummi malam tadi.”
“Betul puan. Saya sakit kepala.” Maimun
masih lagi berdalih.
“Tak apalah kak Maimun. Cuma saya
berharap kak Maimun bersabar dengan perangai ummi tu. Ummi tu memang cerewet
sikit orangnya, tapi dia baik. Bila dia tegur, kak Maimun dengar saja. Kalau
dia bising-bising atau marah, kak Maimun diam. Jangan kata apa-apa. Ummi tu
kalau marah pun sekejap. Tak sampai sepuluh minit dia sejuklah semula.
Biasalah, orang tua-tuakan! Ada saja yang tak kena di mata mereka. Kita orang
muda nilah kena banyak bersabar, kena bertolak ansur dan mengalah.” Nasihat
Sharifah Zahara.
“Ya puan, saya faham.” Balas Maimun.
Sedaya upaya dia cuba mengukir senyuman
buat Sharifah Zahara.
“Ha! Macam tulah! Baru nampak berseri
sikit muka kak Maimun tu. Ini tidak, dari tadi saya tengok muka kak Maimun ni
macam ayam berak kapur. Monyok saja...,” usik Sharifah Zahara.
“Sebenarnyakan, kak Maimun ni cantik tau.
Tak nampak macam perempuan dah ada anak satu. Kalau saya tipu, kata kak Maimun
ni anak dara pun orang percaya. Kalau tidak..., masakan abang Mus pandang kak
Maimun tak berkelip-kelip. Dah terpikatlah tu agaknya?” Canda Sharifah Zahara.
Dia mencuit pinggang Maimun.
Burrr... Berderau darah panas menyimbah
ke muka Maimun. Ayat yang ditutur oleh Sharifah Zahara sebentar tadi membuatkan
dia tidak keruan.
Dia memerhati sekeliling, bimbang jika
Sharifah Sakinah berada di situ tanpa mereka sedar.
Alamatnya nanti, tentu Maimun akan
diberi sesi ceramah kesedaran secara percuma.
Sudahlah tempat tinggal,makan dan pakai
disediakan. Bekerja pula sebagai orang gaji. Ada hati hendak jatuh cinta dengan
anak tuan rumah!
Ataupun lebih malang lagi, silap-silap
dia dan Zairin Elina diusir oleh Sharifah Sakinah dari rumah itu. Kalau itu
berlaku, ke mana dia hendak pergi?
“Kenapa muka kak Maimun merah? Malu ya!?
Atau apa yang saya cakap tadi memang betul?”
“Apa yang betul puan?”
“Abang Mus sudah terpikat dengan kakak,”
senda Sharifah Zahara lagi.
Senyum sudah mengorak di bibir. Suka
benar rasa hati dapat mengusik Maimun begitu.
“Jangan cakap macam tu puan.”
“Apa salahnya... Abang Mus bujang, kak
Maimun janda. Tak salah saya rasa.”
“Memang salah puan. Saya ni orang gaji.
Kalau puan besar dengar nanti, susah saya.” Omel Maimun perlahan.
“Okey, okey! Shsss... kita diam. Ini
rahsia antara kita berdua saja.” Tawa Sharifah Zahara halus.
No comments:
Post a Comment