“Ummi! Ummi! Ummi!” Suara dilontarkan
senada dengan bunyi ketukan jari.
Sharifah Zahara mendekatkan sedikit
cuping telinga ke papan pintu. Cuba mendengar sekiranya ada sahutan ibu mertuanya
dari dalam bilik itu.
Senyap, tiada bunyi.
“Ummi! Dah siap ke belum? Kita sudah nak
berangkat ni. Ummi! Ummi!” Panggil Sharifah Zaharah lagi.
Sendi jari masih mengetuk daun pintu.
Kali ini lebih kuat.
“Masuklah Zara! Pintu tak berkunci,”
suara Sharifah Sakinah sayup kedengaran.
Apabila mendengar suara ibu mertuanya
itu, pantas Sharifah Zahara memulas tombol pintu. Daun pintu ditolak perlahan.
Dia menjengahkan kepala ke dalam bilik. Mencari-cari kelibat Sharifah Sakinah.
Matanya tertumpu pada sekujur tubuh yang
berselimut di atas katil. Segera dia melangkah masuk dan menghampiri katil itu.
“Ummi kenapa ni? Ummi demam ke?” Tanya
Sharifah Zahara cemas.
Tangan dituam-tuam ke dahi Sharifah
Sakinah.
‘Okey saja! Sejuk! Tak panas pun,’ desis
Sharifah Zahara.
“Ummi kenapa, tak sihat ke?” Tanya dia
lagi.
“Entahlah Zara. Tiba-tiba saja ummi rasa
tak sedap badan. Kepala ummi ni berat... sangat. Sakit! Rasa berdenyut-denyut.”
Tutur Sharifah Sakinah perlahan.
“Kalau macam tu, tak payahlah kita ke
rumah ibu. Ummi tak sihat. Biar Zara jaga ummi saja. Zara pergi telefon ibu sekejap
ya! Nanti Zara datang balik, picitkan kepala ummi,” ujar Sharifah Zahara.
Baru saja dia ingin berpaling, tangan
Sharifah Sakinah pantas menarik lengannya.
“Tak perlulah Zara telefon ibu. Zara
dengan Pha pergi saja. Biar ummi tinggal rumah,” larang Sharifah Sakinah.
“Habis tu?! Ummikan tak sihat. Takkan
Zara nak tinggalkan ummi sendirian. Nanti kalau sakit ummi ni bertambah teruk,
macam mana?”
“Tak apa..., Zara pergi saja. Kasihan
ibu... Kitakan dah janji nak makan tengah hari rumah ibu. Entah-entah ibu Zara
dah masak macam-macam. Tak kan tak jadi pergi pula.”
Sedaya upaya Sharifah Sakinah cuba
menyerlahkan lagi lakonannya. Biar nampak berkesan di mata Sharifah Zahara.
“Bagaimana pula dengan ummi? Siapa nak
jaga ummi?” Nada gusar Sharifah Zahara masih belum reda.
“Jangan risau tentang ummi... Tadi ummi
dah makan ubat. Lepas ni ummi nak tidur. Bila ummi bangun nanti, mesti ummi dah
sihat semula.” Sharifah Sakinah membelai lembut tangan menantunya.
Sharifah Zahara diam. Barangkali
berfikir samada ingin pergi ke rumah orang tuanya, ataupun menemani ibu
mertuanya saja.
“Sudah! Jangan fikir apa-apa lagi. Pergi
cepat. Nanti terlewat pula. Risau besan ummi tu kalau kamu terlambat,” gesa
Sharifah Sakinah lagi.
“Betul ummi boleh tinggal seorang?!”
“Apa pula tinggal seorang. Maimunkan
ada.”
Sharifah Zahara mengangguk, mengiyakan
kata-kata Sharifah Sakinah itu.
“Kalau macam tu, baiklah. Zara pergi
dulu ya, ummi,” dia meraih tangan Sharifah Sakinah lalu dicium penuh hormat.
“Nanti kirim salam ummi pada ibu kamu.
Beritahu dia ummi minta maaf sebab tak dapat datang.” Sharifah Sakinah berkata
sambil disulami batuk-batuk kecil.
‘Pandai juga aku berlakon,’ puji
Sharifah Sakinah pada diri sendiri.
“Baiklah ummi, nanti Zara pesan pada kak
Maimun, supaya tengok-tengokkan ummi,” ujar Sharifah Zahara seraya mengatur
langkah ke pintu.
“Hati-hati Zara!” Sharifah Sakinah
melambai-lambai lesu pada menantunya.
Sharifah Zahara menarik daun pintu dan
melangkah keluar dari kamar. Sekilas Sharifah Zahara berpaling dan tersenyum
pada dia sambil menutup pintu.
Sejurus sahaja daun pintu tertutup
rapat, sepantas kilat raut wajah Sharifah Sakinah berubah.
Kedutan di dahi hasil dari lakonan seperti
menahan sakit tadi bertukar menjadi garis-garis kemarahan. Kedua-dua buku lima
digenggan erat.
“Aku mesti selesaikan hal ini, hari ni
juga. Sebelum semunya terlambat!” Omong Sharifah Sakinah sendirian.
Dia bingkas bangun dari peraduan, lalu
melangkah ke tubir tingkap.
Sharifah Sakinah melihat ke bawah.
Kereta Sheikh Mustapha sudah bergerak meninggalkan perkarangan rumah.
Hilang saja kenderaan itu dari pandangan
mata, segera dia keluar meninggalkan biliknya. Langkah dihayun laju menuju ke
kamar Sharifah Zahara dan Sheikh Mustapha.
Ada misi yang perlu dilaksanakan. Misi
menjaga maruah keturunan dan keluarganya!
Tiba sahaja di hadapan kamar Sharifah
Zahara, Sharifah Sakinah menoleh ke belakang. Memerhati sekeliling. Dia ingin
memastikan keadaan betul-betul selamat sebelum dia menceroboh masuk ke dalam
bilik anak dan menantunya itu.
Pintu bilik ditolak perlahan. Tidak mahu
sedikit pun bunyi keriotan kedengaran.
Setelah memasuki bilik itu, pantas pintu
ditutup semula.
Dia melihat keadaan bilik itu untuk
beberapa detik. Mencari-cari tempat yang sepatutnya dia tuju.
Pandangan Sharifah Sakinah mati pada
satu sudut. Dia menghampiri meja solek itu. Kotak kayu sebesar dua jengkal yang
terletak di atas meja dibuka.
Matanya melihat isi kandungan kotak. Melihat
saja isi kandungannya, senyuman Sharifah Sakinah terukir luas di bibir. Pantas
tangannya mengaut sebahagian dari isi kandungan kotak itu.
“Takkan aku nak ambil semua? Banyak pula
yang aku kena beli nanti sebagai ganti.” Monolognya sendirian.
Sebahagian dari barang kemas pemberian
dia pada Sharifah Zahara diambil dan dimasukkan ke dalan uncang kain.
Setelah rancangannya selesai, dia
berhati-hati melangkah keluar dari bilik itu. Segera dia menuju ke kamarnya
semula. Bimbang jikalau terserempak dengan Maimun nanti. Manalah tahu Maimun
naik ke atas pula untuk melihat keadaannya.
Di dalam bilik, Sharifah Sakinah
mengeluarkan sepucuk sampul surat sebesar saiz kertas A4, dari laci almari
baju. Surat itu baru sahaja dia terima dari peguam keluarganya petang semalam.
Dia menarik keluar isi sampul surat itu.
Sekali lagi dia membaca ayat-ayat yang tertera. Setelah berpuas hati, dia
memasukkan kembali kertas itu ke dalam sampulnya.
Sharifah Sakinah kemudian menuju ke
telefon yang terletak di atas meja sisi katil. Dia mengangkat ganggang dan
menekan beberapa butang nombor. Seketika dia kelihatan berkata sesuatu di
telefon. Tangan juga lancar menulis di atas satu cebisan kertas.
Beberapa minit selepas itu, Sharifah Sakinah
keluar semula dari bilik. Kaki pantas menuruni mata tangga.
Di minda dia berfikir, dia harus menyelesaikan
hal itu secepat mungkin. Manalah tahu anak dan menantunya pulang awal pula
kerana bimbangkan dia.
Hayunan kaki diatur terus menuju ke
bilik di belakang dapur. Dia pasti Maimun ada di sana setelah melihat kelibat
Maimun tiada di ruang dapur.
Pintu bilik Maimun diketuk kasar.
Bagaikan hendak runtuh pintu itu bila di hentam begitu.
Bila buku lima terasa sakit mengetuk,
tapak tangan pula mengambil peranan menepuk-nepuk pintu papan lapis itu.
Berdentum-dentum bunyinya.
“Maimun! Maimun! Buka pintu bilik ni!
Hei betina! Keluar kau sekarang. Aku kata keluar, keluarlah!” Tempik Sharifah
Sakinah kasar.
Kini kaki pula menendang-nendang muka
pintu.
Maimun yang sedang mendodoikan Zairin
Elina bingkas bangun menuju ke pintu.
Zairin Elian yang hampir terlelap turut
terjaga. Mungkin terperanjat dengan bunyi bising yang dibuat oleh Sharifah
Sakinah.
“Kenapa puan besar ni? Takkan sakit
kepala sampai tak boleh tahan. Mengamuk-ngamuk. Ketuk pintu macam nak roboh!”
Omel Maimun.
Sejurus saja pintu dibuka, satu tamparan
melayang dan singgah ke muka Maimun. Berpaling wajah Maimun dibuatnya, akibat
dari tamparan yang kuat itu.
Pipi merasa perit, hujung bibir menjadi
pedih.
Dibawa jari ke tepi bibir. Terasa ada
cecair pekat di situ.
“Hei betina! Aku nak kau kemas
barang-barang kau sekarang juga! Aku nak kau keluar dari rumah aku ni. Betina
tidak sedarkan diri!” Hamun Sharifah Sakinah.
Maimun yang terpana akibat tamparan
Sharifah Sakinah tadi, kini terpinga-pinga pula bila dijerkah begitu.
“Tapi kenapa puan besar? Saya ada buat salah
ke?” Maimun bersuara terketar-ketar.
Tangannya menggigil menahan sakit di
pipi. Zairin Elina pula sudah menangis memeluk kaki dia.
“Oooo... buat-buat tanya pulak... Memang
tak tahu apa salah kau atau sengaja buat-buat tak tahu! Kau ingat aku ni buta?!”
“Maafkan saya puan, kalau saya ada buat
salah. Betul saya tak tahu...”
“Kau ingat aku tak tahu apa rancangan
kau. Kau fikir aku bodoh! Dengan anak menantu aku kau boleh tipu. Tapi bukan
dengan aku.”
“Apa puan besar katakan ni? Saya
betul-betul tak faham. Saya minta maaf puan besar, kalau betul saya ada buat
salah,” rayu Maimun. Matanya sudah berginangan.
“Memang kau ada buat salah! Kau goda
anak aku kan? Ada hati nak jadi menantu aku, kemudian rampas harta-harta aku.
Hei betina! Sedarlah diri kau tu sikit. Kau tu siapa di sini. Cuma orang gaji
saja tahu! Memang dasar janda! Menggatal saja.” Tempelak Sharifah Sakinah tidak
beralas.
“Tidak puan besar, saya tidak ada
berniat begitu...” Maimun membela diri.
“Tak mengaku pulak. Kau tak payah nak
tipu! Aku dah tahu semua tembelang kau. Sekarang ni juga, aku nak kau dan anak
kau keluar! Keturunan kau pun aku tak tahu berasal dari mana. Ingat
senang-senang saja aku nak terima kau. Anak kau ni, entah-entah anak luar
nikah. Entah siapa bapa dia agaknya,” cerca Sharifah Sakinah membuta-tuli.
“Puan! Sampai hati puan kata anak saya
begitu!” suara Maimun tinggi.
“Kurang ajar!!!”
Satu lagi tamparan menyinggah ke pipi
Maimun.
“Berani kau tinggikan suara pada aku.
Dasar perempuan rendah harga diri!” Kali ini tubuh Maimun pula ditolak dengan
kuat.
Maimun jatuh terduduk. Hampir saja dia
menimpa tubuh kecil Zairin Elina yang masih berpaut pada kakinya. Tangisan
Zairin Elina semakin galak.
Sharifah Sakinah menerpa masuk. Almari
pakaian Maimun diselak kasar. Dia mengambil semua baju yang berada di dalam
almari itu dan dihumban ke muka Maimun.
“Bungkus pakaian kau ni semua! Aku mahu
kau keluar dari rumah aku ni!”
Sharifah Sakinah mencapai pula beg di
atas almari itu, lalu dicampak ke kaki Maimun.
Dengan tangisan yang mula mendayu,
Maimun mengutip satu persatu pakaian yang bertaburan.
“Ke mana kami hendak pergi puan? Rumah
ni saja tempat kami menumpang,” Maimun berkata hiba.
“Sedar pun diri tu menumpang... Kalau
dah duduk menumpang tu, buatlah cara menumpang. Jangan nak berangan jadi tuan
besar pulak!”
“Tolonglah puan besar. Saya merayu, saya
minta maaf...”
Situasi ini mengingatkan Maimun kepada
peristiwa yang berlaku tujuh bulan lepas. Di mana dia di halau oleh bekas ibu
mertuanya. Dan kini, dia dan Zairin Elina terpaksa melalui detik itu semula.
Apa yang berbeza adalah suasana dan orangnya.
Dia diherdik, dihina, dicerca dan
dihalau umpama kucing kurap.
Hanya kerana dia hidup menumpang, tidak
berharta dan tidak tahu asal keturunan.
Nampaknya nasib selalu saja tidak
menyebelahi dia.
“Cepatlah! Apa yang kau terhegeh-hegeh
lagi tu. Di luar sana sudah ada teksi yang menunggu. Aku mahu kau pergi hari
ini juga!” Jerkah Sharifah Sakinah lagi.
Selepas Maimun memasukkan semua
pakaiannya ke dalam beg, Sharifah Sakinah mencampak sampul surat yang
dipegangnya sedari tadi ke atas beg tersebut.
“Aku nak kau tanda tangan kertas dalam
sampul surat tu!” Kata Sharifah Sakinah keras.
Maimun memandang kurang faham.
“Aku kata tanda tangan, tanda tangan
sajalah! Yang kau pandang muka aku ni buat apa!” Tempiknya lagi.
Perlahan Maimun menarik keluar kertas
dari dalam sampul surat itu.
“Di mana puan?” Sayu bicaranya.
“Baca pun tak reti ke?!”
Sharifah Sakinah mendekati Maimun. Dua
salinan kertas setebal dua muka surat itu di selak. Jarinya menunding ke
ruangan akhir muka surat.
“Sini!”
Maimun hanya menurut. Selepas Maimun
menandatanganinya, kertas itu diragut kasar.
“Satu salinan surat ini aku simpan.
Sekiranya satu hari nanti, aku tahu kau berjumpa atau menghampiri keluarga aku,
aku akan gunakan surat ini untuk penjarakan kau. Kau faham tak?!” Sergah
Sharifah Sakinah.
Maimun mengangguk lesu.
Sekali lagi dia pasrah pada takdirnya.
Tiada apa yang mampu dia lakukan lagi, untuk membela dirinya. Dia umpama
mentimun, Sharifah Sakinah pula ibarat durian. Menggolek dia hancur, digolek
juga dia lunyai.
“Bangun ikut aku!” Arah Sharifah
Sakinah.
Dengan sedu-sedan, Maimun mendukung
Zairin Elina dan mengheret beg pakaiannya. Dia menuruti langkah Sharifah
Sakinah hingga ke pintu pagar.
Di luar pintu pagar, sebuah teksi sudah
tersedia menanti. Pemandu itu menghampiri lalu mengambil beg pakaian Maimun dan
disumbat ke dalam but kereta.
“Aku mahu kau hantar perempuan ni, ke
tempat ini.” Sharifah Sakinah menghulur satu cebisan kertas kepada pemandu teksi
tersebut.
“Pastikan kau hantar dia betul-betul
sampai ke tempat tu. Faham!” Tutur Sharifah Sakinah tegas.
Pemandu itu mengangguk tanda faham.
“Dan ini duit tambang. Aku rasa lebih
dari cukup,” sambung Sharifah Sakinah lagi.
Pemandu itu menyambut wang itu dengan
senyuman lebar. Dia kemudian beredar ke bahagian pemandu dan lolos ke dalam perut
teksi itu.
“Yang kau tercegat lagi ni kenapa?!
Cepatlah masuk! Aku tak mahu Mustapha dan Zara nampak kau pulak!” Tempelak
Sharifah Sakinah kuat.
Maimun membuka pintu teksi. Zairin Elina
di bawa masuk dahulu. Baru saja dia membongkok dan memijak lantai teksi,
Sharifah Sakinah menolak Maimun kasar dan menutup pintu teksi dengan kuat.
“Ingat Maimun! Aku tak mahu melihat muka
kau lagi di sini. Aku ni bukanlah kejam sangat. Ini untuk kau, sedekah dari aku!”
Dari tingkap teksi yang terbuka luas,
Sharifah Sakinah mencampakkan satu bunjut bungkusan dan sampul surat tadi ke
ribaan Maimun.
Maimun memandang tanpa suara.
“Driver! Cepat jalan!” Arah Sharifah
Sakinah.
Pemandu teksi itu segera menggerakkan
kenderaannya.
“Ummi! Ummi! Apa ummi buat ni? Maimun!
Tunggu!” Jerit satu suara.
Sharifah Sakinah berpaling ke arah suara
itu.
Sheikh Mustaza!!!
Sheikh Mustaza menutup pintu kereta dan
berlari mendapatkan Sharifah Sakinah.
“Apa yang ummi dah buat ni?!” Tempik
Sheikh Mustaza.
“Apa yang ummi buat ni untuk kebaikan
Mus,” pujuk Sharifah Sakinah walau nada suaranya bukan merayu.
Sheikh Mustaza meninggalkan Sharifah
Sakinah, ingin mengejar teksi itu.
Pantas Sharifah Sakinah mencapai
tangannya cuba untuk menahan. Sheikh Mustaza tidak peduli. Dia merentap
genggaman Sharifah Sakinah dari lengannya. Masih ingin mengejar teksi itu.
Sharifah Sakinah tidak berputus asa. Dia
mencapai sebelah lagi tangan Sheikh Mustaza.
Teksi semakin bergerak jauh. Maimun
berpaling melihat ke belakang. Zairin Elina juga berdiri di tempat duduk, memandang
mereka. Perlahan anak kecil itu melambai ke arah Sheikh Mustaza. Seolah-olah
memahami bahawa mereka tidak akan bertemu lagi.
“Papa...” Tuturnya perlahan.
Air mata Maimun berjujuran lagi.
Sheikh Mustaza sayu melihat lambaian
Zairin Elina yang semakin menjauh.
“Bull shit ummi! Bull shit!”
Pautan tangan Sharifah Sakinah di rentap
kasar. Hampir sahaja umminya itu mahu tersungkur ke tanah.
Langkah kaki di buka. Perlahan,
perlahan, perlahan dan kemudian semakin laju mengejar.
“Mus tunggu!!!” Tempik Sharifah Sakinah.
Tiba-tiba...
Pinn... pinn... Skrittt... Banggg...
Tubuh Sheikh Mustaza terpelanting tinggi
ke udara.
Sesaat kemudian, tubuhnya terhempas ke
muka jalan.
Senyap... Tidak bergerak...
Darah merah pekat mula mengalir deras.
“Musss...!!!” Jerit Sharifah Sakinah.
Tetapi semuanya sudah terlewat.
Jeritan itu juga tidak didengari oleh
Maimun yang sudah jauh hilang dari pandangan.
No comments:
Post a Comment