Total Pageviews

Wednesday, September 17, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 2

Bab 2



Maimun memerhati keadaan sekeliling. Tiada seorang pun umat manusia yang lalu-lalang di situ memandang padanya. Tiada siapa yang ambil peduli, walaupun sudah hampir dua jam Maimun bertapa di bangku perhentian bas itu.
Wajahnya tidak terurus. Rambut pula kusut-masai. Sisa air mata dibiarkan kering di pipi. Darah yang terbit di hujung bibir, akibat dari tamparan Puan Halimah tadi pun sudah membeku.
Pasti mereka berfikir, Maimun adalah salah seorang daripada orang kurang siuman yang sentiasa berkeliaran di perhentian bas itu. Ataupun mereka beranggapan, Maimun mungkin pengemis baru yang mahu menjadi penghuni tetap di situ.
Zairin Elina mula merengek halus. Sudah puas lena di pangkuan, kini bila perut kelaparan, susu pula yang ingin dipinta.
“Shsss..., diam sayang. Arin lapar ya? Sekejap ibu carikan susu ya.” Anak kecil itu didodoi perlahan.
Setelah rengekan Zairin Elina senyap, Maimun lalu bangkit dari bangku itu. Lenguh di tangan kerana mengendong Zairin Elina sedari tadi, dilupakan begitu saja.
‘Berapa banyak lagi tinggal duit aku ni agaknya?” Maimun berfikir sejenak.
Dia membuka beg yang disandang di bahu. Diselongkar beg itu menggunakan tangan sebelah kiri mencari-cari dompet kecilnya.
Tiba-tiba sekelip mata, entah dari mana, muncul seorang lelaki dari belakang Maimun, lalu menolak Maimun ke depan dan merentap kasar beg di bahu. Hampir saja dia ingin menyembah ke bumi. Bersusah-payah Maimun cuba untuk menstabilkan badannya semula. Bimbang anak yang dikendong terjatuh ke tanah.
Sedetik kemudian baru Maimun menyedari, beg tangannya tiada lagi tersangkut di bahu. Dia memandang ke arah lelaki itu. Apabila dia melihat beg tangannya berada di dalam jinjingan lelaki itu, pantas Maimun mengejar.
Zairin Elina yang dikendong dipeluk erat. Larian cuba dihayun selaju mungkin. Walaupun dia sedar, pada hakikatnya dia tidak mampu menyaingi lelaki muda tersebut, tetapi dia tetap mahu mengejar.
Ini semua kerana baki duit yang ada di dalam beg itu adalah penyambung nyawa anaknya yang sedang kelaparan. Demi Zairin Elina, bergadai nyawa pun dia sanggup!
Peragut itu sudah pun berada di seberang jalan. Maimun masih lagi terkial-kial cuba untuk melintas di celah-celah aliran kereta yang tidak henti-henti.
Dia memandang. Lelaki itu semakin menjauh.
‘Dia dah jauh! Duit untuk beli susu anak aku...!’
Maimun nekad. Dia mesti melintas dan mengejar si jahanam. Tanpa menoleh Maimun berlari menyeberangi jalan raya yang sibuk.
Pinnn... Pinnn... Skrettt...
Serentak bunyi hon dan brek kenderaan kedengaran.
“Allahhh...!!!” Maimun menjerit kuat. Zairin Elina didakap erat.
Keadaan sunyi seketika.
“Puan! Puan!” Satu suara memanggil.
Maimun membuka mata. Dipandang bonet kereta berwarna hitam yang jaraknya hanya beberapa inci saja dari tempat dia berdiri.
“Alhamdulillah...” Ucapnya penuh syukur.
Kaki Maimun mula terasa menggigil. Dia tidak mampu lagi untuk berdiri lebih lama. Badan pula sudah seram sejuk. Lantas Maimun terduduk di muka jalan.
Zairin Elina mula menangis. Terperanjat barangkali.
“Diam Rin, diam sayang...” Suara Maimun serak.
Air mata menitis kembali. Menangis kerana mensyukuri dia dan anaknya tidak apa-apa. Dia juga menangis mengenangkan wang yang telah hilang. Sekarang dia tidak memiliki walau satu sen pun duit untuk membeli susu Zairin Elina nanti.
“Ya Allah..., kau kasihanilah anak aku ini...” Tangis Maimun semakin sayu.
“Puan! Puan!” Panggil suara itu lagi.
Maimun mengangkat muka memandang ke arah suara itu.
“Puan tak apa-apa ke?” Tanya lelaki itu.
Maimun menggelengkan kepala.
“Puan hendak ke mana ni? Kenapa tiba-tiba melintas jalan? Bahaya puan! Tambahan puan dukung budak kecil ni.” Soal lelaki itu penuh prihatin.
Sekali lagi Maimun membalas dengan gelengan.
Beberapa buah kenderaan lain yang berada di belakang kereta hitam itu, mula membunyikan hon mereka berkali-kali.
‘Huh! Tak sabar sungguh.’ Getus hati lelaki tersebut.
Dia memegang bahu Maimun dan membantunya untuk berdiri.
“Bangun puan, kita ke tepi dulu. Puan tunggu saya di sini. Saya parking kereta dulu ya!”
Setelah dia membawa Maimun ke tepi, lelaki itu terus masuk semula ke perut kereta hitam itu. Kereta diparkir di tepi jalan. Kemudian dia kembali mendapatkan Maimun. Bimbang benar rasa hati, sekiranya wanita dan anak kecil itu cedera.
Maimun dan Zairin Elina masih lagi menangis.
“Puan okey ke?”
Maimun tidak menjawab.
“Saya hantar puan pergi klinik ya? Takut ada yang cedera atau luka di mana-mana!”
Maimun menggeleng lagi.
“Puan hendak ke mana ni?”
Jawapan tetap sama dibalas oleh Maimun. Gelengan kepala.
Akhirnya lelaki itu putus harap. Fikirnya, mungkin Maimun masih lagi dalam keadaan panik. Tidak mampu untuk berfikir apa-apa.
Zairin Elina sudah berhenti menangis. Sesekali bahunya kelihatan terhinjut-hinjut. Lelaki itu memandang penuh belas. Kasihan dia melihatkan keadaan dua beranak itu.
“Tak apalah! Puan ikut balik ke rumah saya dulu. Nanti bila keadaan puan sudah okey sedikit, saya hantarkan puan balik ke rumah puan. Lagipun rumah saya tidak jauh dari sini.”
Maimun diam tidak membantah.
“Mari puan,” pelawa lelaki itu.
Dia membawa Maimun ke kereta. Tanpa berfikir panjang, Maimun menurut saja. Tidak terlintas lansung di mindanya untuk berprasangka buruk pada lelaki itu, mungkin lelaki itu mempunyai niat yang tidak baiknya.
Apa yang Maimun rasa, hatinya berat mengatakan lebih baik dia mengikuti saja lelaki ini.
Pintu kereta di bahagian depan dibuka.
“Masuk puan.” Arah lelaki tersebut.
Maimun yang masih lagi bersisa sedu-sedan, melakukan saja apa yang disuruh.
Setelah kereta bergerak, menyusur di atas jalan raya, lelaki itu kembali bersuara.
“Nama saya Sheikh Mustapha. Nama puan siapa?”
“Maimun,” jawap Maimun sepatah dengan suara yang amat perlahan. Hampir saja tidak didengari oleh Sheikh Mustapha.
“Yang ini anak puan ke?” Tanya Sheikh Mustapha lagi. Dia memandang Maimun sekilas.
Maimun mengangguk. Matanya hanya merenung ke hadapan. Sheikh Mustapha yang duduk di kerusi sebelah, tidak dikerling langsung.
‘Entah apalah yang difikirkan oleh wanita ini agaknya?’ Detik hati Sheikh Mustapha.
“Comel anak puan ni. Siapa nama dia? Umur berapa?”
“Zairin Elina. Umur baru setahun.” Balas Maimun sambil mengusap kepala anak itu.
Zairin Elina kembali merengek.
“Encik, anak saya lapar. Boleh tak encik tolong belikan susu untuk anak saya. Saya... saya... tak ada duit.” Tutur Maimun tersekat-sekat. Dia memandang Sheikh Mustapha memohon simpati.
Perasaan malu dibuang jauh-jauh. Kerana Zairin Elina dia memberanikan diri untuk meminta-minta. Anak itu lebih penting daripada menjaga air mukanya. Biarlah Sheikh Mustapha hendak berkata apa pun, dia tidak kisah.
“Tak apa... Sekejap lagi kita akan sampai ke rumah saya. Saya pun ada anak kecil. Baru berumur tiga tahun. Sementara ni, boleh beri minum susu anak saya tu dulu. Ataupun, nanti saya minta isteri saya tolong masakkan bubur untuk anak puan ni. Kasihan... Mesti dia tengah lapar sangat.” Sheikh Mustapha melihat Zairin Elina. Dicuit sedikit pipi kanak-kanak comel itu.
Sheikh Mustapha kembali memandang ke hadapan. Memberi sepenuh perhatian kepada pemanduan. Melihat keadaan Maimun yang masih murung, tidak sampai hati rasanya ingin bersoal jawap lagi dengan Maimun.
Biarlah Maimun mententeramkan fikirannya dahulu. Dia masih boleh bertanya lebih panjang lebar bila mereka sampai di rumah nanti.
**********
Kereta Volkswagen Passat milik Sheikh Mustapha menyusur laju memasuki perkarangan rumah mewah dua tingkat itu. Terus sahaja dia memasuki ruang garaj kereta yang didirikan berasingan dengan bagunan kediaman.
Maimun terpegun seketika. Dia memandang keadaan rumah itu dengan mata yang tidak berkelip.
Apakah Sheikh Mustapha pemilik istana indah ini? Kalau benar, bermakna Sheikh Mustapha adalah dari golongan orang yang berada.
Kalau dia ingin menumpang di rumah ini, bagaimanakah agaknya penerimaan penghuni rumah itu nanti? Apakah penghuni rumah itu, semuanya baik seperti Sheikh Mustapha? Dapatkah mereka menerima dia dan Zairn Elina dengan hati yang terbuka? Sudikah mereka membenarkan dia menumpang berteduh walau hanya untuk malam ini sahaja? Berbagai-bagai soalan muncul di fikiran Maimun.
Dia pernah hidup dengan orang kaya. Dicerca dan dihina oleh orang kaya. Malahan dia dan anaknya dihalau bagai anjing kurap oleh orang kaya. Dan sekarang ini, orang kaya juga yang telah menyelamatkan dia!
Apakah memang sudah ditakdirkan oleh Tuhan, dia tidak dapat lari dari orang kaya. Adakah memang sudah nasib, di sepanjang hidup ini, dia akan sentiasa dihina oleh orang kaya?
Baru sebentar tadi dia mengambil keputusan memohon untuk menumpang di rumah lelaki itu, bila dia melihat Sheikh Mustapha seperti seorang yang boleh membantunya.
Tapi kini dia tidak pasti, apakah keputusan itu adalah satu langkah yang betul atau sebaliknya.
‘Tidak! Tidak! Aku tidak mahu lagi menumpang dengan orang kaya. Biarlah keluarga abang Talib sahaja yang menghina aku. Aku tak mahu dihina lagi. Cukuplah...’ Benaknya bertelingkah.
Sebaik sahaja kereta Sheikh Mustapha berhenti, Maimun terus saja membuka pintu kereta lalu melangkah keluar. Laju dia berlari ke pintu pagar automatik yang baru sahaja dilepasi tadi.
Sheikh Mustapha yang masih berada di dalam kereta terpinga-pinga melihat.
“Puan! Puan! Nanti dulu! Puan nak ke mana tu!?” Jerit Sheikh Mustapha.
Dia melompat keluar dari kereta dan mengejar Maimun. Tangan Maimun diraih perlahan. Maimun terhenti.
“Puan hendak ke mana ni?” Tanya Sheikh Mustapha lagi. Pautan tangan di lengan Maimun dilepaskan.
“Tak mengapalah encik. Biarkanlah saya pergi.” Maimun memandang sayu. Zairin Elina di dukungan kembali merengek-rengek.
“Puan Maimun hendak ke mana? Hari sudah beransur senja ni. Anak puan tu, sudah kelaparan. Kasihan dia. Apa-apa pun kita masuklah dulu.” Pujuk Sheikh Mustapha. Tangan sudah terarah ke pintu rumah, tanda mempelawa Maimun masuk.
Maimun diam tidak berbunyi. Otaknya masih ligat berfikir, menjawab bermacam-macam soalan yang timbul di minda.
“Mari puan. Kita masuk dulu ya!” Sheikh Mustapha mahu mengambil Zairin Elina dari Maimun. Kasihan. Mungkin tangan Maimun sudah lenguh kerana sedari tadi memeluk anak itu.
Maimun menggelengkan kepala tidak membenarkan.
“Mari puan,” untuk kesekian kali Sheikh Mustapha mengajak.
Akhirnya Maimun mengangguk kecil bersetuju. Sheikh Mustapha tersenyum lega. Dia berjalan menghampiri pintu rumah. Maimun pula menuruti langkah Sheikh Mustapha di belakang.
“Assalamualaikum...! Zahara! Abang dah balik ni! Sufi! Papa coming home. Where are you guys!?” Laung Sheikh Mustapha sebaik sahaja kaki menjejak lantai rumah.
Dia memandang-mandang ke seluruh ruang tamu, mencari kelibat isteri dan anaknya.
“Papa...!” Tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak lelaki dari ruang dapur. Si comel berlari mendapatkan Sheikh Mustapha. Disambut anak kecil yang baru berumur tiga tahun itu dan dibawa ke dakapan.
“Hai handsome man! How is your days to day?”
Sheikh Mustapha mencium pipi gebu bujang ciliknya berkali-kali. Anak kecil itu ketawa kegelian.
“Hari ini Sufi tolong mama tanam bunga.” Tutur bibir kecil itu lancar tanpa pelat sedikit pun.
“Oh ya ke!? Mana mama sayang?”
“Mama is in the kitchen. She is busy, cooking for our dinner,” petah sungguh dia berbicara.
Selepas Sheikh Mustapha menurunkan dia dari dukungan, pantas si comel berlari semula ke dapur sambil memanggil-manggil mamanya.
“Masuklah Puan Maimun. Janganlah malu-malu. Saya dengan isteri saya saja di rumah ni. Yang tadi tu, satu-satunya anak kami. Nama dia Sheikh Azri Sufian,” beritahu Sheikh Mustapha. Dia menutup daun pintu apabila Maimun sudah melangkah masuk.
“Mari puan. Puan jemput duduk dulu ya! Saya hendak ke dapur sebentar, mencari isteri saya,” tutur Sheikh Mustapha lagi.
Setelah Sheikh Mustapha menghilang ke dapur, Maimun perlahan-lahan menghampiri sofa yang banyak tersusun di ruang tamu itu. Sofa yang sengaja disusun tidak selari kelihatan amat mewah sekali. Corak, warna dan bentuknya juga berlainan antara satu sama lain. Sungguh cantik di pandangan Maimun.
Mata Maimun meliar pula memerhati keadaan ruang tamu tersebut. Terpana dia dengan keunikkan hiasan dalaman dan susun atur barang-barang yang terpamir pada almari-almari kaca. Rata-rata semua barangan perhiasan di dalam rumah ini bertemakan English Classic. Tentu harganya bernilai ribuan ringgit.
Setelah beberapa detik berlalu, Sheikh Mustapha muncul semula bersama seorang wanita yang kelihatan sungguh anggun dan jelita. Baju kurung moden berwarna jingga yang dipakainya, nampak cantik terletak pada susuk tubuh yang ramping itu. Rambut ikalnya disanggul rapi. Susunan langkah amat sopan. Membayangkan wanita itu seorang yang cukup lemah-lembut perwatakkannya.
Anak comel tadi turut bersama Sheikh Mustapha. Dia berjalan beriringan sambil berpimpinan tangan dengan wanita itu.
“Puan Maimun! Kenalkan, inilah isteri saya, Sharifah Zahara. Zara, ini Puan Maimun. Kakak yang abang ceritakan tadi.”
Sharifah Zahara berjalan menghampiri Maimun yang masih lagi berdiri. Zairin Elina pula tetap berada di dalam dukungan.
“Apa khabar Puan Maimun?” Sapa Sharifah Zahara sopan. Tangan Maimun diraih untuk bersalaman.
“Jemputlah duduk Puan Maimun. Ini ada susu untuk anaknya.” Sharifah Zahara menghulurkan sebotol susu suam yang dibancuh tadi.
“Baringkanlah anak Puan Maimun tu di sofa.” Bicara lembut Sharifah Zahara lagi. Tangan masih lagi menyuakan botol susu itu kepada Maimun.
Teragak-agak Maimun ingin mencapai botol susu tersebut. Barangkali dia merasa serba-salah ataupun mungkin malu.
“Terima kasih,” ungkap Maimun perlahan. Susu di tangan Sharifah Zahara diambil.
“Mari duduk di sini puan.” Sharifah Zahara menunjuk ke sofa berhampiran dengan tempat dia melabuhkan punggungnya.
Maimun mengangguk kecil. Dia lalu duduk di sebelah Sharifah Zahara dan membaringkan Zairin Elina ke ribaan. Botol susu disuakan ke mulut Zairin Elina. Anak kecil itu pantas menyedut dengan rakus, sehingga berdecit-decit bunyinya. Kasihan...., entah berapa lama dia menahan lapar.
Sheikh Mustapha mengambil tempat duduk di kerusi bertentangan.
“Kasihan baby ni, kan mama. Lapar sangat dia,” tangan Sheikh Azri Sufian bermain-main di jari-jari kecil Zairin Elina.
“Ya sayang... Kasihan dia. Sufi jangan kacau. Kan baby tengah minum susu tu.” Tegur Sharifah Zahara. Sheikh Azri Sufian diambil lantas dibawa ke pangkuan.
Suasana sunyi sepi seketika. Mereka hanya memerhati Maimun dan anaknya. Setelah melihat keadaan Maimun sedikit tenang, Sheikh Mustapha bersuara.
“Puan Maimun sebenarnya dari mana?” Sheikh Mustapha memandang Maimun redup. Simpati melimpahi hati, apabila melihatkan keadaan Maimun dan anaknya yang seperti tidak terurus itu.
“Panggil saya Maimun saja encik. Saya hanya orang miskin. Tidak layak dipanggil begitu.” Ujar Maimun perlahan. Matanya masih melekat pada Zairin Elina yang berada di pangkuan.
“Baiklah. Saya panggil kak Maimun saja. Boleh!?” Tanya Sheikh Mustapha.
Maimun mengiyakan.
“Kak Maimun sebenarnya dari mana?” Sheikh Mustapha mengajukan soalan yang sama.
“Sa... sa... saya... saya...” Bicara Maimun tersekat-sekat. Intonasi suara mula berubah. Pilu di hati mula menjengah kembali.
“Saya... saya tidak dari mana...” Maimun berkata sambil menahan perasaan hiba.
“Saya sendiri pun tak tahu nak pergi mana... Saya...” Tutur Maimun terhenti di situ. Bahunya terhinjut-hinjut mengawal sendu.
“Tak apalah kak Maimun. Kak Maimun tak perlu cerita kalau kak Maimun rasa masih belum bersedia,” celah Sharifah Zahara.
“Nanti kita bercerita panjang lagi. Malam ini kak Maimun tidur saja di rumah kami.” Sambung Sharifah Zahara lagi.
Semasa di dapur tadi, Sheikh Mustapha sudah berbincang dengan dia, untuk menumpangkan Maimun di rumah mereka malam ini.
“Ya kak Maimun. Malam ini kak Maimun tidur saja di rumah kami dulu. Besok pagi, baru kita tengok macam mana keadaannya.” Sampuk Sheikh Mustapha pula.
“Tak mengapalah encik, puan. Saya tak mahu menyusahkan encik dan puan.” Maimun menolak.
Puting botol susu yang sudah kosong di mulut Zairin Elina di tarik keluar. Anak itu merengek perlahan. Mungkin susu itu tidak mencukupi.
“Janganlah begitu kak Maimun. Kasihan dengan anak kecil ni. Malam ini kakak tidur saja di sini. Nanti saya tunjukkan biliknya. Boleh kakak dan anak berehat dulu.” Pujuk Sharifah Zahara.
“Betul tu kak Maimun. Kasihan dengan anak kakak ni. Tadi kak Maimun cakap, kakak tak tahu nak pergi mana. Kalau kakak pergi, mana kakak nak menumpang tidur malam ni?” Pintas Sheikh Mustapha.
Maimun terdiam sejenak. Otaknya ligat berfikir, mengiyakan kenyataan yang diperkatakan oleh Sheikh Mustapha sebentar tadi.
“Kakak tidur di sini saja ya...?” Rayu Sharifah Zahara halus. Tangannya menyentuh tangan Maimun. Sejuk hati Maimun bila diperlakukan begitu. Akhirnya dia mengangguk bersetuju.
“Marilah, saya bawakan kakak ke bilik dulu. Nanti saya beri baju untuk kakak dan anak kakak ni. Boleh kakak mandi nanti. Baru selesa sikit rasa badan. Lepas tu kakak berehatlah. Saya panggil bila makan malam sudah sedia nanti.”
Sharifah Zahara menarik tangan Maimun untuk bangun bersama. Maimun akur. Zairin Elina yang tidur semula selepas kekenyangan, diangkat perlahan.
“Abang tu tunggu apa lagi? Cepatlah pergi mandi dan solat. Sekejap lagi, boleh kita makan malam bersama-sama.” Sharifah Zahara memandang suaminya.
“Zara macam mana?” Soal Sheikh Mustapha.
Sharifah Zahara memandang dengan jelingan.
“Dah tahu lagi tanya. Zarakan ABC,” balasnya perlahan (Allah Bagi Cuti – cuti bulanan orang perempuan... He... he... he...)
“Ooo... terlupalah pula. Okey my darling...” Sakat Sheikh Mustapha. Dia bangun meninggalkan Sharifah Zahara dengan satu kenyitan di mata. Sharifah Zahara tersenyum melihat karenah suaminya.
“Sufi pergi ikut papa ya sayang. Minta papa tolong mandikan Sufi.” Arahnya pada si cilik yang asyik mengekori langkahnya sedari tadi.
“Okey ma... Papa wait for me! Mama suruh papa mandikan Sufi!” Pantas Sheikh Azri Sufian berlari mendapatkan papanya yang sudah pun menghampiri anak tangga untuk ke tingkat atas.
“Mari kak! Saya tunjukkan bilik.” Perlahan Sharifah Zahara menarik lengan Maimun.
Dia membawa Maimun ke bilik yang di khaskan untuk tetamu yang terletak di antara ruang makan dan dapur.
Selepas menyediakan pakaian untuk Maimun dan Zairin Elina, Sharifah Zahara menghidupkan pula penghawa dingin. Biar selesa mereka berehat nanti, fikir Sharifah Zahara.
Dia kemudian menyediakan sejadah dan telekung, selepas Maimun memintanya.
“Kak Maimun berehat dulu ya.” Senyum Sharifah Zahara manis.
Dia berlalu dan menutup daun pintu.

No comments:

Post a Comment