Bab-bab yang bersiaran di sini, adalah manuskrip asal tanpa ada sebarang pembetulan. Segala kesilapan ejaan, tatabahasa atau english grammer, adalah tidak disengajakan dan saya memohon maaf di atas semua kesilapan-kesilapan itu. Bab-bab yang bersiaran di sini juga, terdapat sedikit perbezaan dari versi cetak. Untuk mengetahui pengakhiran cerita KYPDT ni, anda boleh dapati di book store berhampiran atau secara online di www.p2u.my/beli-novel.html
Bab 10
“Assalamualaikum...!
Nek Lang, ooo... Nek Lang!” Hartini memanjangkan kepala memandang ke dalam
rumah papan bertangga enam itu.
Satu saat, dua
saat, tiga saat. Hartini menunggu.
“Assalamualaikum...!
Arin, ooo... Arin!” Laung Hartini lagi setelah tiada sahutan kedengaran.
“Mana dia orang
pergi ni? Takkan tak ada rumah pulak kot? Pintu depan ni terbuka saja.” Rungut
Hartini sendirian.
“Assa...,” ucap
salam terhenti apabila dia melihat ada kelibat manusia menghampiri dia dari
celah dinding ruman papan itu.
Hartini memerhati
tanpa berkelip.
Sepasang tangan
sudah bersedia untuk menerkam jika makhluk yang bakal terpacul sekejap lagi
mendatangkan bahaya kepadanya.
Bunyi derapan itu
semakin hampir. Satu, dua, tiga...
“Hei yaaakkk...!”
Hartini menempek sambil melompat membuka langkah kekuda, sebaik sahaja makhluk
yang berselubung kain batik itu muncul di hadapannya.
“Hoi! Akulah
Tini!” Zairin Elina menjerit kuat apabila tangan Hartini hampir singgah ke
tubuh dia.
Pantas tangan
menyelak kain batik yang menutupi sebahagian muka dan badannya ke belakang.
“Huh! Kau rupanya.
Aku ingatkan siapa. Nasib baik aku tak karate kau tadi,” ujar Hartini seraya
membetulkan kedudukkannya semula.
“Kau ni kenapa?
Aku tahulah kau baru habis belajar teakwando, takkan habis semua kau nak
karate. Dengan aku-aku sekali kau nak belasah?” Jerkah Zairin Elina.
“Manalah aku
tahu itu kau kalau dah berbungkus macam hantu kum-kum ni! Aku ingatkan perompak
ke, penjenayah ke, penjahatkan dan semua pen...lah. Boleh aku tunjuk skil aku.
Biar aku patah-patah enam belas badan dia orang tu dengan karate aku ni.”
Hartini berkata dengan riak bongkak. Tangannya pula menerawang di udara ke sana
dan ke mari menayangkan aksi-aksi karatenya.
Zarin Elina ketawa
kelucuan melihat gelagat Hartini itu. Dia menghampiri tangga dan melabuhkan
punggungnya di situ.
“Ish... ish...
ish... Takutnya... aku dengar.” Perli Zairin Elina.
Hartini
mencebek, seraya berjalan menghampiri dan mengambil tempat di sebelah Zairin
Elina.
“Kau pun satu,
tak takut ke rumah ni masuk perompak nanti? Biar pintu rumah ternganga macam
tu,” omel Hartini.
“Siapalah yang
nak merompak rumah atok aku ni cik Hartini oiii... Rumah kami ni buruk saja.
Dalam rumah tu, bukannya ada benda yang berharga hendak dicuri. Pencuri tengok
rumah ni pun tak ada selera nak masuk.”
“Kenapa pulak
tak ada selera nak masuk?! Orang jahat sekarang ni bukan dia orang kira sangat.
Tak jumpa harta untuk dicuri, orang pulak dia orang colek. Kau tak takut ke?”
“Kau ni kan
Tini, merapu saja dari tadi. Nak takut apa kalau rumah ni dah di pasang
pendinding?”
“Pasang
pendinding?! Kau biar betul Arin? Rumah macam ni pun pasang pendinding. Pemagar
tak ada ke?” Celoteh Hartini tidak percaya.
“Rumah aku yang
besar tu pun tak pasang pendinding, kau tahu tak?” Sambung Hartini lagi.
“Itulah kau
selalu saja salah faham. Maksud aku pendinding tu bukannya panggil bomoh ‘fuh’
sana ‘fuh’ sini, hembus sana hembus sini. Baca jampi serapah semua tu. Berdosa
besar kau tahu tak? Syirik...”
“Habis tu kalau
tak panggil bomoh, kau buat apa?” Aju Hartini ingin tahu.
“Atok aku ajar,
selalulah amalkan membaca ayat-ayat Manzil. Ayat Manzil tu adalah potongan
ayat-ayat yang di ambil dari Al-Quran. Insyaallah..., rumah dan semua
penghuninya akan dilindungi dari gangguan jin dan syaitan, orang-orang yang ada
berniat jahat, sihir, kebakaran dan macam-macam lagilah,” terang Zairin Elina
bersungguh-sungguh.
“Oooo...”Mulut
Hartini bulat membentuk ‘O’.
“Eh! Kau dari
mana berbungkus macam ni?” Soal Hartini lagi.
Matanya
memerhati Zairin Elina menanggalkan kain batik di kepala, lalu diselempang ke
bahu.
“Aku tolong
nenek bakar sarang tebuan dekat reban ayam belakang tu tadi. Banyak-banyak
tempat, dekat reban ayam tu pulak dia bersarang.”
“Berani kau ek?!
Kalau aku, jangankan nak halau, dekat pun aku tak berani. Nanti habislah kulit
aku yang cantik mulus ni dijamah dek sengat-sengat tebuan tu,” ujar Hartini
dengan bibir yang hampir terjuih.
“Ya lah... Aku
tahu kau tu cantik. Bakal menjadi top model Malaysialah katakan...”
“Tahu tak apa,”
celah Hartini. Dia membetul-betulkan baju di bahu. Show off betul! Zairin Elina
tersenyum melihat gelagat sahabat baiknya itu.
“Eh! Kau tak tolong
Tok Alang berniaga ke hari ni?” Tanya Hartini.
Matanya melilau
ke dalam rumah. Entah apa yang dia cari. Mungkin mencari kelibat Tok Alang kot!
“Kalau aku
tolong atok, dah tentulah kau tak jumpa aku dekat sini.”
“Ha’ah lah... Ya
tak ya jugak kan? Jadi kau tak pergi tolong Tok Alanglah?”
“Tak.” Jawab
Zairin sepatah.
“Kenapa?” Soal
Hartini lagi.
“Off day.” Balas
Zairin Elina selamba.
“Kenapa?” Tanya
Hartini sekali lagi.
“Cuti.”
“Ya lah... Tapi
kenapa?”
“Atok tak
berniaga.”
“Engkau ni
kenapa? Jawab soalan orang macam acuh tak acuh saja. Aku tahulah engkau off,
tapi kenapa?” Hartini sudah menjenggulkan matanya, geram.
Zairin Elina
cuma senyum. Suka rasa hati dapat menyakat minah separuh lenga macam Hartini
ni.
“Eh! Dia buat
senyum kambing pulak. Engkau ni kenapa? Tersampuk hantu senyum ya? Menyengeh
saja dari tadi.” Hartini mencebek sambil bercekak pinggang.
Hilang sudah
sabar Hartini bila dipermainkan begitu.
“Kau ni tak reti
sabar langsungkan, Tini?”
“Ya lah! Yang
kau tu, dah tahu aku ni bukan orang yang penyabar, lagi nak main-mainkan aku.”
Rungut Hartini membuat muka.
“Macam manalah agaknya
bila kau dah jadi model nanti? Aku dengar kerja tu susah tau. Macam-macam
perangai orang kau kena hadapi. Dalam televisyen pun aku selalu tengok. Dia
orang tunjuk keadaan belakang stage masa show, kelang kabut... Kalau kau tak
boleh tahan sabar, macam mana?”
“Itu lain. Aku
kalau buat kerja yang aku suka, aku minat, macam mana susah pun aku tahan
jugak.”
“Ya lah tu...!
Aku nak tengok nanti. Sampai takat mana kau boleh sabar.” Zairin Elina sengaja
ingin menyakat Hartini lagi.
“Hei! Aku tanya
tadi kau belum jawab lagilah. Dah buka cerita lain pulak. Kenapa tak berniaga
hari ni?” Sudah lebih dari tiga kali rasanya, si Hartini mengajukan soalan yang
sama.
Sekali lagi
Zairin Elina tersenyum dengan gelagat rakan karibnya ini. Memang sah-sahlah
Hartini ni bukan seorang yang penyabar.
“Aku tak
berniaga pasal Tok Alang tak berniaga. Tok Alang tak berniaga sebab tutup
kedai. Tok Alang tutup kedai kerana nak pergi pekan. Tok Alang pergi pekan
dengan Nek Alang. Pergi pekan dengan Nek Alang pasal nak beli barang. Nak beli
barang sebab barang dah habis. Barang dah habis kerana bisnes Tok Alang bagusss...”
Jawapan Zairin Elina berjela macam lagu Bangau Oh! Bangau pula.
Bersangkut-paut. Mahu mengusik Hartini lagilah tu.
“Oooo... cakaplah
siang-siang.” Panjang mucung Hartini mengekspirasikan perasaan bila mendapat
jawapan itu dari Zairin Elina.
Zairin Elina
tersenyum lagi. Apalah lembab sangat kawannya yang seorang ini. Masih tidak
sedar yang Zairin Elina sedang mempermainkan dia.
“Kata nak tidur
rumah arwah ibu kau. Jomlah cepat. Hari pun macam nak hujan saja ni.” Ajak
Hartini.
Tangannya
menarik lengan Zairin Elina. Matanya pula memandang ke dada langit. Awan hitam
sedang berarak perlahan. Angin yang bertiup dari laut semakin kuat dan sejuk.
“Sekejap! Aku
nak naik atas ambil baju.” Zairin Elina bangun dari mata tangga, dan mendaki ke
atas rumah.
Beberapa minit
kemudian Zairin Elina kembali turun mendapatkan Hartini. Dia masih duduk di
mata tangga.
“Kau berlenggang
saja ke Tini? Tak bawa baju?”
Zairin Elina
melihat ke tangan Hartini yang tidak mengendong apa-apa.
“Ada... Tu aku
sangkutkan dekat pagar tu...,” panjang sedepa muncung Hartini mengarah pada
pagar rumah Tok Alang yang hampir senget menyembah bumi.
Zairin memandang
ke tempat yang dikatakan oleh Hartini. Ketika itu juga sorotan matanya tertancap
pada susuk Tok Alang dan Nek Alang nun di hujung laman.
“Kenapa atok
bertolak motor pulak balik? Tayar pancit ke? Atau minyak motor habis?” Soalan Zairin
Elina itu entah pada siapa dia tujukan.
“Eh! Apa benda
yang atok bawa balik tu hah?! Besar semacam saja.” Zairin Elina mula
kehairanan.
“Entah!” Jawab
Hartini. Dia turut sama memerhati.
Mereka
memfokuskan pandangan mata agar penglihatan lebih jelas pada benda yang
terletak di atas motor Tok Alang itu.
Bersusah-payah
nampaknya Tok Alang menolak motor buruk tu menggunakan kudrat uzur dia. Untunglah
Nek Alang ada di sisi membantu.
“Jom Tini kita
pergi tengok!”
Setelah puas
mengamati, mereka masih tidak tahu apa yang dibawa pulang oleh Tok Alang.
Zairin Elina dan Hartini berlari menghampiri mereka berdua.
“Atok kenapa ni?
Hah! Siapa ni tok?!” Soal Zairin Elina sebaik sahaja dia mendekati Tok Alang.
Matanya terpaku
pada sekujur tubuh yang duduk tertirap di atas motor Tok Alang.
Patutlah Tok
Alang bertolak motor balik. Takkan hendak naik bertiga pula motor tu. Motor Tok
Alang ni dahlah boleh digredkan sebagai besi buruk, hukum buat tukun saja. Mana
motor tu larat...
Zairin Elina
lihat warga emas itu bagai mahu semput menolak motor tersebut. Mana tidaknya,
sudahlah motor tu dipenuhi dengan barang-barang keperluan berniaga yang Tok
Alang beli di pekan tadi. Ditambah pula dengan manusia tidak sedarkan diri yang
Tok Alang bawa balik ni. Apa tak semputnya!
“Mana tok jumpa
orang ni?” Rasa ingin tahu Zairin Elina membuak-buak.
“Jangan tanya.
Nanti dekat rumah tok cerita. Mari tolong tok dulu. Tok dah nak putus nyawa ni.
Cepat! Tolong tolak motor. Beeerattt... sungguhhh... niii...” Suara Tok Alang
tercungap-cungap.
Digagahi kaki
menolak kebelakang, supaya motor itu bergerak kehadapan. Nafas pula ditarik
pendek-pendek. Macam dah tak cukup oksigen nampaknya.
Segera Zairin
Elina membantu. Takut pula kalau dibuatnya Tok Alang betul-betul putus nyawa.
Macam mana?
Ish! Selisih
simpang malaikat empat puluh empat.
“Tini tolong
nenek bawa barang ni.” Nek Alang menyuakan satu bungkusan plastik berisi
buah-buahan pada Hartini.
“Dah genting
jari nenek jinjing beg plastik ni dari tadi,” sambung Nek Alang lagi. Hartini
pantas menyambut bungkusan itu.
“Sudah! Mari
cepat kita bawa orang ni naik ke atas rumah. Hari pun dah nak hujan ni,” arah
Tok Alang.
Dia kembali
menolak motor itu memasuki perkarangan rumah dengan dibantu oleh Zairin Elina
dan Nek Alang.
Tiba saja di
tangga rumah, Tok Alang terus menupangkan motor dan memapah lelaki tersebut
menaiki tangga. Sedaya upaya Tok Alang membawa orang itu. Kaki pula
berhati-hati melangkah enam mata tangga. Kalau tersilap langkah, Tok Alang dan
orang-orang tu sekali bergulung jatuh tangga.
Nek Alang
mengekor saja di belakang. Tangan sudah bersedia untuk menahan, andai Tok Alang
dan lelaki itu terjatuh. Macamlah dia terdaya sangat hendak mengampu berat ke
dua-dua lelaki itu. Entah-entah, silap hari bulan Nek Alang pun sama
tersungkur.
Zairin Elina dan
Hartini pula membawa satu persatu bungkusan yang berada di dalam bakul motor
naik ke atas rumah. Semua bungkusan itu hanya diletakkan di muka pintu dan
dibiarkan di situ sahaja. Perasaan ingin tahu tentang lelaki itu, lebih penting
dari barang-barang tu semua.
Segera mereka
mendapatkan Tok Alang dan Nek Alang.
Tok Alang sedang
membaringkan lelaki itu ke atas tilam yang baru dibentang oleh Nek Alang di
sudut ruang depan rumah.
Bila sudah
dibaringkan begitu, barulah kelihatan jelas wajah lelaki tersebut. Dia tidaklah
kelihatan terlalu tua, tetapi uban sudah memenuhi separuh dari kepalanya. Umur
pula, barangkali sekitar lewat empat puluhan atau awal lima puluhan.
Di sebalik uban
yang tumbuh melata, kelihatan ada darah pekat yang mengalir. Kepala sebelah
kiri lelaki itu cedera.
“Arin! Tolong
ambilkan nenek air suam semangkuk dan tuala kecil. Bawa sekali minyak gamat
atas gobok dapur tu,” perintah Nek Alang pada Zairin Elina. Dia menurut tanpa
bersuara.
“Kamu Tini, nak
tunggu di sini ke atau nak balik saja? Hari semakin gelap tu!” Nek Alang
bertanya pada Hartini.
“Entahlah Nek
Alang. Arin tu jadi ke tidak hendak tidur rumah arwah ibu dia?” Hartini menyoal
Nek Alang semula.
“Nenek rasa tak
perlulah. Besok-besok saja kamu berdua tidur di sana. Boleh juga Arin tolong
nenek menjaga encik ni.” Ujar Nek Alang.
“Kalau macam tu,
tak apalah Nek Alang. Tini baliklah dulu. Nanti tak sempat pulak sampai dekat
rumah, dah hujan di tengah jalan.” Putus Hartini pula.
“Kamu tu
hati-hati bila balik. Angin tengah bertiup kuat ni. Takut ada pulak dahan-dahan
reput jatuh menimpa kamu. Macam encik ni.” Tutur Tok Alang. Tangannya sibuk
membuka baju sejuk lelaki itu. Kasut dia juga sudah Tok Alang tanggalkan. Dari
pakaian dia, rasanya lelaki ini mungkin sedang berjoging sebelum dia ditimpa
kemalangan tadi.
“Encik ni
ditimpa dahan ke Tok Alang?” Berkerut dahi si cantik manis ni memandang Tok
Alang.
“Ha’ah! Tok jumpa
encik ni dekat jalan luar sana. Masa atok sampai, encik ni dah pengsan.”
Hartini terangguk-angguk mendengar cerita Tok Alang.
“Tini balik
dululah Tok Alang, Nek Alang.” Hartini menghampiri pasangan suami isteri itu
lalu bersalaman.
“Kau nak balik
ke Tini?” Sapa Zairin Elina ketika dia kembali semula dari dapur.
“Ya. Tak apalah,
lain kali saja kita tidur rumah arwah ibu kau tu. Kau tolong Nek Alang jaga pak
cik tu. Kalau ada apa-apa, atau keadaan pak cik tu bertambah teruk, kau panggil
saja bapak aku. Minta tolong hantarkan pergi hospital.” Ceceh Hartini panjang.
Zairin Elina
menghayunkan kepala, faham.
Selepas
meletakkan dulang berisi semangkuk besar air suam, tuala dan ubat di sisi Nek
Alang, Zairin Elina menghantar Hartini hingga ke muka pintu.
“Aku balik dulu.
Ingat! Kalau ada apa-apa jangan lupa beritahu.”
Hartini
melangkah menuruni tangga.
“Hati-hati
Tini,” nasihat Zairin Elina pula.
“Okey. Bye
Arin.”
Hartini melambai
tangan dan segera berlalu.
Zairin Elina
melihat langit. Awan mendung semakin gelap. Menunggu masa saja hujan hendak
turun mencurah.
No comments:
Post a Comment