Total Pageviews

Wednesday, September 17, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 6

Bab 6




Sambil mengacau bancuhan jus oren, mata Maimun kejap memandang ke laman belakang. Sharifah Zahara yang berdiri di sisi Maimun turut memerhati.
Suara gurau senda dan kekekan tawa tiga insan itu tidak berhenti-henti sedari tadi.
Siapa lagi kalau bukan Sheikh Mustaza, Sheikh Azri Sufian dan Zairin Elina.
Apa sajalah yang dilakukan oleh mereka sehingga kedengaran begitu riang sekali?
Hubungan Zairin Elina dan Sheikh Mustaza juga semakin akrab. Setiap kali lelaki itu datang bertandang, Zairin Elinalah yang dulu melompat ke dalam pelukannya. Seperti rindu sangat.
Sheikh Azri Sufian tidak cemburu pula. Barangkali dia memahami naluri Zairin Elina yang dahagakan kasih sayang seorang lelaki yang bergelar ayah.
Bibir comel Zairin Elina juga semakin lancar memanggil Sheikh Mustaza ‘papa’. Mujurlah setiap kali bila Sheikh Mustaza datang, Sharifah Sakinah tiada di rumah. Kalau puan besar tu dengar, mahu pengsan agaknya orang tua tu.
Minggu ini sahaja, sudah berapa kali Sheikh Mustaza bertandang. Pantang Sharifah Sakinah tiada di rumah, dia pasti terpacul. Yang hairannya, dia tahu sahaja bila masanya Sharifah Sakinah tiada di rumah. Pakai ilmu nujum agaknya Sheikh Mustaza ni.
Semenjak kebelakangan ini, semakin kerap lelaki itu menunjukkan mukanya di rumah itu. Tidak kira masa, asalkan saja Sharifah Sakinah tiada.
Sharifah Zahara perasan tentang itu. Kalau dulu, sebulan sekali pun abang iparnya tu susah sangat hendak balik ke sini. Tapi kini kedatangannya semakin kerap. Apa yang tidak berubah, Sheikh Mustaza tetap seperti dahulu masih tidak mahu bermalam di rumah ini. Walaupun sudah dipujuk berkali-kali oleh Sheikh Mustapha dan Sharifah Zahara.
Diajak tidur saja tidak mahu, apatah lagi kalau berpindah ke sini. Mati hidup semula pun dia tidak ingin.
Katanya, kalau dia bermalam atau pindah semula ke rumah itu, dia pasti terpaksa berhadapan dengan Sharifah Sakinah selalu. Jadi dia tidak mahu.
Mulut dia pasti tidak boleh dikunci. Ringan saja menjawab setiap bebelen umminya nanti.
Kenapa Sheikh Mustaza semakin kerap mampir ke rumah ini?
Soalan itu tidak perlu ditanya, Sharifah Zahara sudah tahu jawapannya.
Jawapan yang paling tepat bagi perubahan ketara Sheikh Mustaza itu, tidak lain tidak bukan semuanya kerana kehadiran Maimun.
Ya..., semenjak kehadiran Maimun, Sheikh Mustaza selalu saja singgah ke rumah ini. Hatta tempat yang ditujunya jauh menyimpang dari sini, dia tetap juga mahu datang.
Sharifah Zahara senang dengan perubahan itu.Walaupun perubahan itu kerana Maimun, setidak-tidaknya hubungan mereka dengan Sheikh Mustaza rapat semula. Kecuali hubungan Sheikh Mustaza dan Sharifah Sakinah, entah bila mahu bertaut.
Semenjak dia berkahwin dengan Sheikh Mustapha, tidak pernah dia melihat hubungan Sharifah Sakinah dan Sheikh Mustaza mesra seperti seorang ibu dan anak. Jauh berbeza jika dibandingkan antara hubungan ibu mertua dan suaminya.
Ketika mereka baru berkahwin dahulu, Sharifah Zahara ada juga bertanya pada suaminya kenapa Sheikh Mustaza tidak tinggal sebumbung dengan mereka. Walhal rumah ini lebih dari cukup untuk mereka semua.
Tambahan rumah yang didiami oleh Sheikh Mustaza amat jauh dari syarikat mereka, jika dibandingkan dengan jarak dari rumah ini.
Jawapan yang diterima dari Sheikh Mustapha, amat mengharukan.
“Ummi dan abang Mus tidak boleh tinggal bersama. Mereka seperti anjing dan kucing. Asyik bercakaran saja. Pantang berjumpa ada saja benda yang menyebabkan mereka bertikam lidah,” beritahu Sheikh Mustapha.
“Tapi kenapa? Takkan setiap masa meraka hendak bertegang urat leher?”
“Entahlah. Selama yang abang ingat, memang sejak kecil hubungan abang Mus dan ummi tidak pernah aman. Ada saja yang tidak kena. Abang Mus pula kaki melawan. Apa yang ummi cakap, semuanya dia tak nak dengar.”
Bila semakin lama menjadi ahli keluarga ini, Sharifah Zahara mengerti apa puncanya.
Abang iparnya seorang yang berdikari. Semua perkara atau keputusan yang melibatkan hidupnya adalah hak dia. Dia tidak suka orang lain mencampuri urusannya. Apatah lagi mengongkong hidupnya.
Ibu mertuanya pula bersifat suka memerintah. Setiap kata dan suruhannya mesti dipatuhi. Jangan sekali cuba dibantah.
Maka perbezaan itulah yang menjadi punca terciptanya jurang pemisah antara mereka berdua.
“Puan! Puan!” Panggil Maimun, memutuskan lamunan Sharifah Zahara.
Segera dia berpaling.
“Saya hantarkan air dulu ya?”
“Baiklah. Nanti bila goreng pisang ni dah siap, saya hantarkan.”
Maimun mengangguk lalu mencapai dulang dan menatangnya ke luar.
Jug berisi jus oren dan gelas diatur ke atas meja seramik di tengah halaman. Air dituang ke dalam gelas.
“Jemput minum encik Mus. Sekejap lagi saya bawakan goreng pisang.” Tutur Maimun tanpa melihat Sheikh Mustaza. Dia tahu lelaki itu sedang memerhatikannya.
Selesai menuang air, dia mahu segera beredar dari situ. Seram sejuk dibuatnya, bila ditenung oleh Sheikh Mustaza begitu.
“Buruk sangat ke saya ni Maimun, sampai awak tak mahu melihat muka saya?” Soal Sheikh Mustaza menduga.
Maimun menggeleng. Dia masih tidak mahu berpaling.
“Kalau begitu, boleh tak bila bercakap awak pandang muka saya?”
“Saya masuk dulu encik.”
Maimun memandang sekilas, lalu melangkah membelakangi lelaki itu. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan Sheikh Mustaza lama-lama. Cepat dia mengatur langkah ke dapur semula.
Sheikh Mustaza memerhati dengan senyuman kecil.
‘Wahai perempuan, tahukah engkau hatiku sudah kau curi,’ desis Sheikh Mustaza.
Ikut rasa, ingin sekali kata-kata itu dibisikkan ke telinga perempuan itu. Agar dia mengetahui apa yang tersirat di hati.
Tetapi bagaimana?
Apakah dia harus terus saja menyatakannya? Tidakkah ia kelihatan terlalu gopoh bila dia buat begitu?
Sheikh Mustaza mengeluh perlahan.
‘Maimun... Maimun...’
Sekembali Maimun ke dapur, dia terus membantu Sharifah Zahara. Dia menuju ke kabinet. Tangan laju menarik laci lalu sebiji mangkuk kaca dikeluarkan.
“Buat apa kak Maimun masuk semula? Duduk sahajalah di luar tu... Temankan abang Mus.”
“Tak mahulah puan. Saya segan.” Jawab Maimun ikhlas.
Dia bergerak ke kabinet lain dan mengeluarkan tepung gandum dan tepung beras pula.
“Ini mesti abang Mus usik kak Maimun kan? Muka merah macam udang kena bakar,” usik Sharifah Zahara lagi.
Sharifah Zahara menjeling ke wajah Maimun sambil tangan sibuk mengupas kulit pisang nipah. Senyuman nakal yang terbit di bibirnya mencuri ekor mata Maimun.
Maimun membiarkan soalan itu berlalu. Rasanya dia tidak perlu menjawap, kerana dia pasti Sharifah Zahara tahu jawapannya.
“Puan! Kalau saya tanya sesuatu boleh ke?” Suara Maimun setelah suasana senyap seketika.
Sebentar tadi dia baru mencongak-congak. Berfikir adakah soalan yang diaju nanti akan menimbulkan salah sangka Sharifah Zaharah padanya.
“Tentang abang Mus ke?”
Maimun mengangguk.
Pandai betul Sharifah Zahara meneka. Sekilas ikan di air dia sudah tahu jantan ke betina. Sekilas menjeling, dia dapat mengagak apa yang tersirat di fikiran Maimun.
“Kenapa encik Mus tak kahwin-kahwin lagi puan?” Akhirnya Maimun mengutarakan soalan itu setelah agak lama dia mendiamkan diri.
Bimbang andai soalan itu di salah erti.
“Ingatkan nak tanya soalan apa tadi,” Sharifah Zaharah menghampiri Maimun lalu mengambil mangkuk bancuhan tepung dari tangan Maimun.
Dia kemudian bergerak ke kuali yang sudah dipanaskan minyaknya.
“Belum sampai seru... Dia tunggu kak Maimun agaknya!” Balas cik puan muda itu.
Sepotong demi sepotong pisang nipah disalut dengan tepung dan dileburkan ke dalam kuali.
“Dulu sebelum saya dan abang Mustapha kahwin, ummi pernah merancang hendak jodohkan abang Mus dengan anak kawan ummi. Sama seperti yang ummi lakukan pada abang dan saya.” Sharifah Zahara memulakan cerita.
Maimun yang sedang membersihkan kulit-kulit pisang di atas meja terhenti mendengarnya.
“Maksud puan, perkahwinan puan dan encik diatur oleh puan besar?” Laju saja Maimun bertanya tanpa sedar.
“Ya! Jodoh kami diatur oleh ummi. Ibu saya kawan baik ummi. Keluarga kami sering bertemu. Hinggalah satu hari ummi datang membawa rombongan meminang, dan saya terus saja menerima. Saya dan abang tidak pernah menyesal jodoh kami diaturkan oleh keluarga. Alhamdulillah..., kami bahagia. Lagipun, sebelum kami berkahwin, kami memang sudah saling jatuh cinta. Cuma tidak berpeluang meluahkannya,” cerita Sharifah Zahara berjela.
Tangannya lincah membalik-balikkan pisang di dalam kuali agar rata garingnya.
Seketika kemudian dia menyambung kembali bicara.
“Ummi juga mahu buat begitu pada abang Mus. Ummi mahu jodohkan abang Mus dengan anak sahabatnya yang berketurunan Sheikh juga. Pada ummi, dia tidak mahu darah keturunan Sheikh yang ada pada anak-anaknya hilang sekiranya mereka berkahwin dengan orang luar. Tapi kak Maimun tahu sajalah perangai abang Mus tu. Dia mana mahu orang lain mengatur hidupnya. Bila ummi beritahu mahu meminang anak sahabatnya itu untuk abang Mus, apalagi abang Mus mengamuk sakan. Hari tu mereka bertekak bagai nak pecah rumah. Marah betul abang Mus, sampai dia packing baju dan pindah keluar dari rumah ni. Katanya, selagi ummi berperangai begitu, masih lagi mahu mengatur hidupnya, dia tidak akan pulang ke rumah ini. Ummi pula apalagi, naiklah taufan satu badan. Selagi abang Mus tidak mahu berkahwin dengan pilihannya, dia tidak akan benarkan sama sekali abang Mus tinggal di rumah ni.” Sharifah Zahara mengakhiri kisahnya.
Maimun terdiam mendengar cerita yang tidak pernah dia tahu sebelum ini.
Mindanya berfikir, kalaulah keturunan Sheikh yang menjadi ukuran pada puan besar, pasti dia adalah calon yang terawal akan disingkirkan. Ini bermakna cubaan Sheikh Mustaza untuk mendekatinya adalah satu tindakan yang silap.
Dari cara Sheikh Mustaza dia tahu, lelaki itu ada menaruh hati padanya. Memikirkan tentang itu, Maimun menjadi takut.
Takut dirinya akan terjebak dengan permainan api yang cuba Sheikh Mustaza hidupkan. Sekiranya Sharifah Sakinah dapat tahu, alamatnya dia yang akan rentung dibakar api kemarahan puan besar itu.
“Kak Maimun! Kak Maimun! La..., dia berangan pula!” Sharifah Zahara menepuk bahu Maimun.
Maimun tersedar dan terpinga-pinga.
“Kak Maimun fikirkan tentang kakak dan abang Mus ke? Bimbang ummi menghalang hubungan kakak dan abang? Takut ummi marah?” Bertubi-tubi soalan diajukan oleh Sharifah Zahara.
Soalan-soalan yang Maimun sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawap.
“Maaf puan. Saya dan encik Mus tak ada apa-apa. Kami tak pernah ada hubungan. Saya sedar siapa saya puan. Saya tahu kedudukan saya. Saya cuma pembantu rumah, janda anak satu pula. Masakan sesuai bersama encik Mus. Lagipun saya masih sayangkan arwah suami saya.” Maimun bersuara lirih.
“Kenapa kak Maimun cakap macam tu? Ini bukan soal orang gaji ke, janda ke! Saya, suami malahan abang Mus juga, tidak pernah menganggap kak Maimun begitu. Kami rasa, kak Maimun sudah seperti ahli keluarga kami. Saya sayangkan kak Maimun, begitu juga dengan abang Mustapha. Abang Mus lebih lagi... Saya tahu abang Mus sukakan kakak, dan saya juga pasti kakak tahu,” keras bunyi nada suara Sharifah Zaharah menyangkal kenyataan Maimun sebentar tadi.
Maimun diam.
Sayu rasa hati. Tidak disangka, Sharifah Zahara dan suami menyayangi dan tidak memandang rendah padanya.
“Terima kasih puan. Puan dan encik amat baik pada saya selama ini. Saya terlalu menghargainya. Apa yang puan dan encik lakukan pada saya, tidak mampu saya balas. Saya berdoa semoga Allah saja yang membalasnya,” ujar Maimun sebak.
“Tetapi saya tetap tidak boleh menerima encik Mus lebih dari yang sepatutnya. Jurang antara kami amat jauh. Mustahil kami dapat hidup bersama,” sambung Maimun lagi.
Maimun menelan liur sambil mengesat tubir mata yang sudah basah.
“Saya tahu, kak Maimun tentu berfikir ummi pasti tidak akan setuju, bukan?! Insyaallah, satu hari nanti mata ummi akan terbuka juga. Lambat laun bila ummi semakin mengenali kakak, saya pasti dia juga akan sukakan kakak seperti kami menyenangi kakak.” Balas Sharifah Zahara pula.
“Entahlah puan. Sudah enam bulan saya di sini. Puan besar masih tidak sukakan saya dan Arin. Saya takut, puan besar akan salah faham dengan kebaikan yang encik Mus tunjukkan pada saya.”
“Sudahlah kak Maimun. Janganlah difikirkan sangat tentang ini semua. Kak Maimun tak perlu risau. Bila tiba masanya nanti, kita akan hadapi masalah ummi ni bersama-sama. Cuma kak Maimun berilah masa pada ummi tu. Satu hari nanti dia pasti berubah.” Sharifah Zahara mengusap belakang Maimun. Berusaha memujuk perempuan itu.
Dia tahu Maimun banyak memendam rasa dengan tingkah laku dan layanan ibu mertuanya pada Maimun dan Zairin Elina.
Sebab itulah dia seboleh-bolehnya cuba membantu Sheikh Mustaza, agar Sharifah Sakinah tidak dapat menghidu perasaan abang iparnya itu pada Maimun.
Biarlah Sharifah Sakinah menerima Maimun dengan sendirinya dahulu. Dan selepas itu barulah dia akan beritahu Sharifah Sakinah tentang Sheikh Mustaza dan Maimun. Dia rasa itu adalah jalan penyelesaian yang terbaik mampu dia fikir setakat ini.
“Kak Maimun hantar goreng pisang ni dulu ya. Saya nak naik ke atas sekejap, solat. Nanti saya turun semula,” ujar Sharifah Zahara..
Selepas menyusun pisang yang sudah siap digoreng ke dalam pinggan, dia menghulur pinggan itu kepada Maimun dan terus melangkah menuju ke tangga.
Maimun memerhatikan dia pergi. Dengan berat hati Maimun mencapai dulang lantas diisi dengan sepinggan pisang goreng dan semangkuk kicap pedas. Perlahan dia menuju semula keluar.
Sebaik sahaja dulang diletakkan di atas meja, Zairin Elina meluru padanya.
“Ibu! Ibu! Marilah main dengan papa. Papa kata kita main catch and throw the ball.” Zairin Elina yang baru berusia dua tahun petah berkata-kata.
Tangan kecilnya menarik-narik tangan Maimun supaya menyertai mereka. Maimun menggelengkan kepala kepada si kecil.
“Papa! Tengok ibu! Ibu tak nak mainlah...” Laung Zairin Elina kuat.
“Marilah ibu! Main dengan papa dan Arin sekali.” Ajak Sheikh Mustaza bersahaja.
Maimun sudah tidak keruan.
“Papa! Marilah sini. Ajak ibu sekali,” jerit Zairin Elina memanggil Sheikh Mustaza menghampiri mereka.
Pantas Sheikh Mustaza berlari mendekati mereka. Tanpa merasa segan-silu, Sheikh Mustaza menarik tangan Maimun.
Maimun mati akal. Terkedu dengan tindakan lelaki tersebut.
Zairin Elina pula melompat keriangan. Suka benar hatinya bila melihat ibunya menurut sahaja langkah lelaki yang dipanggil ‘papa’ tu. Sheikh Azri Sufian turut sama bersorak gembira.
Tanpa mereka sedar, dari ruang dapur, sepasang mata merah menyala mencerlung ke arah mereka.
Sudah agak lama susuk tubuh itu tegak di situ. Desahan nafas kemarahan yang meluap-luap dilepaskan kuat. Ombak dadanya juga semakin laju menahan rasa sakit di hati.
“Kurang ajar kau. Betina tak sedar diri. Aku tak akan biarkan semua ini berlaku!”
Bibirnya diketap kuat melayan geram.

1 comment: