Bunyi deringan telefon memenuhi seisi
rumah. Berkali-kali ia menjerit kuat minta diangkat. Maimun yang sedang memasak
di dapur tergesa-gesa berlari ke hadapan. Baru saja kakinya menjejak ruang
tamu, dia melihat Sharifah Zahara telah pun berada di situ menjawap panggilan
tersebut. Maimun berpatah semula ke dapur untuk meneruskan semula kerja-kerjanya.
Sedang dia sibuk mencuci sayur di sinki,
Sharifah Zahara tiba dari ruang tamu memanggilnya.
“Kak Maimun! Ada orang nak bercakap
dengan kakak di telefon,” beritahu Sharifah Zahara, sambil tersenyum sumbing.
Maimun memandang dengan penuh tanda
tanya.
“Siapa pula yang telefon saya puan!?”
Kening Maimun bertaut lurus kehairanan.
Sudah lima bulan Maimun bekerja di ruman
ini, tidak pernah sekali pun dia menerima panggilan telefon dari sesiapa.
Saudara-mara jauh sekali, kerana dia anak yatim piatu. Mustahil bekas ipar atau
mertua. Sebab mereka sendiri tidak tahu Maimun di mana. Sementelah dia tidak
pernah lagi berjumpa atau menghubungi mereka selepas meninggalkan rumah bekas
mertuanya itu.
“Pergilah cepat kak Maimun. Nanti lama
pula dia tunggu di telefon.” Gesa Sharifah Zahara sambil menolak tubuh Maimun.
Segera Maimun melangkah semula ke ruang
tamu dengan bertemankan seribu pertanyaan.
Meja telefon dihampiri kemudian ganggang
telefon dicapai. Teragak-agak dia ingin menekapkan corong telefon itu ke telinga.
Suara siapakah yang bakal dia dengar sebentar lagi?
“Assalamualaikum...,” Maimun bersuara lembut.
“Waalaikumussalam...,” jawab satu suara
lelaki di sebelah sana.
Maimun berfikir sejenak. Suara lelaki
ini seperti dia kenal. Siapa ya?
“Maimun ya?” Tanya suara itu.
“Ya, Maimun yang bercakap. Boleh saya
tahu siapa di sana?” Nada Maimun mula bertukar cemas. Siapakah gerangan lelaki
ini?
“Sayalah Maimun. Takkan suara saya pun
Maimun tak kenal?” Seloroh suara itu pula.
“Minta maaf encik. Saya tidak berapa
perasan.”
“Sayalah Maimun. Cuba dengar
betul-betul.” Kata suara itu lagi.
“Minta maaf encik. Saya betul-betul tak
kenal. Tak mengapalah encik! Kalau encik tak mahu memperkenalkan diri, saya
letak telefon dulu ya! Saya tak boleh bercakap lama-lama. Nanti apa pula kata
majikan saya. Saya hanya orang gaji di sini,” tutur Maimun merendah diri.
Risau pula tentang Sharifah Zahara. Apa
pula tanggapan majikannya itu, kalau dia bergayut lama sangat di telefon.
Dia memandang ke dapur, cuba
mencari-cari di manakah Sharifah Zahara berada ketika itu.
“Jangan risau... Saya dah minta izin
dari Zara hendak bercakap dengan awak.” Bicara suara itu lagi.
Minda Maimun terdetik. Siapakah lelaki
ini? Kenal pula dia pada Sharifah Zahara.
Lama Maimun berfikir. Lelaki di hujung
talian setia menuggu.
“Sayalah Maimun. Mustaza...” Lelaki itu
memperkenalkan diri setelah dia lama membisu.
Degup jantung Maimun terhenti bila
mendengar nama itu. Muka menjadi pucat lesi tidak berdarah.
“Maafkan saya encik. Saya tidak
perasan,” tutur Maimun terketar. Mindanya mula bercelaru.
Mengapa agaknya Sheikh Mustaza tiba-tiba
saja menelefon dia? Tidak pernah-pernah dia dihubungi oleh lelaki itu. Mimpi
apakah dia hari ini?
Nasib baiklah Sharifah Sakinah tiada di
rumah. Dia sudah berangkat ke Bali semalam, bersama beberapa orang rakannya
untuk bercuti di sana selama dua minggu. Kalau tidak..., sudah tentu haru biru
hidup Maimun hari ini jikalau puan besar tu tahu Sheikh Mustaza menghubunginya.
“Kenapa Maimun diam?” Tanya Sheikh
Mustaza.
Jelas di pendengarannya hela nafas
Maimun yang deras.
‘Pasti perempuan ini sedang merasa
gelisah.’ Desis hati Sheikh Mustaza. Dia tersenyum sendirian di sebelah sana.
“Emmm..., kenapa encik nak bercakap
dengan saya?” Maimun memberanikan diri bertanya semula.
“Oh! Saya terlupa pula. Petang ni Maimun
bersiap ya! Saya nak bawa Maimun keluar jalan-jalan.” Pelawa Sheikh Mustaza.
Mendengar saja permintaan Sheikh Mustaza
itu, hati Maimun menjadi tidak keruan.
“Hah! Nak keluar? Saya tak mahulah
encik. Tidak manis rasanya,” luah Maimun cemas.
Ni kalau puan besar tahu..., dia keluar
dengan Sheikh Mustaza, mahu kiamat dunia di buatnya. Bernanah telinga
dibebelkan nanti.
“Kerja rumah masih banyak lagi saya
hendak buat. Lagipun saya kena jaga Sufi dan Arin. Petang nanti puan tiada di
rumah. Maaf ya encik! Saya tak boleh,” sambung Maimun lagi, beralasan. Dia cuba
menolak dengan sopan.
“Kita bawalah sekali Sufi dan Arin...
Kita bawa mereka pergi taman permainan. Mesti dia orang seronok. Fasal kerja
rumah tu, besok-besok pun awak boleh buat. Saya dah beritahu Zara nak bawa awak
keluar. Dan Zara pun dah izinkan.” Pujuk Sheikh Mustaza. Sengaja dia
menggunakan nama Sharifah Zahara untuk memancing Maimun.
“Tak mengapalah encik. Tak elok
dipandang orang. Kalau puan besar tahu, nanti susah saya,” dalih Maimun lagi.
“Nak takut apa Maimun...? Kitakan bawa
anak-anak sekali. Lagipun, ummi ada di Bali sekarang ni. Dia tak akan tahu,
melainkan ada orang yang beritahu. Kalau dia tahu pun, biarlah! Pandailah saya
menjawabnya nanti,” pujuk Sheikh Mustaza.
Maimun diam. Otaknya ligat bermuzakarah,
apa lagi alasan yang perlu dia beri supaya dia dapat menolak pelawaan Sheikh
Mustaza itu.
“Kita keluar ya Maimun. Sekejap pun tak
mengapa. Kasihan Arin tu. Semenjak dia tinggal di sana, tidak pernah dia keluar
dari rumah tu. Sesekali berilah dia peluang melihat dunia luar. Tak adalah
asyik terperuk sahaja di dalam bilik. Nanti lama-lama, jadi macam katak bawah
tempurung pula. Tidak tahu perkembangan dunia sekeliling.” Rayu Sheikh Mustaza
lagi.
Tiba-tiba Maimun terasa ada tangan yang
singgah di bahunya. Dia berpaling.
“Pergilah kak Maimun. Saya izinkan,”
tutur Sharifah Zahara perlahan, tetapi masih dapat didengari oleh Sheikh
Mustaza.
Entah sudah berapa lama agaknya majikan
dia tu berdiri di situ mendengar perbualan mereka.
“Hah! Dengar tu. Zara pun dah izinkan.
Itu satu perintah dari puan awak juga tu Maimun. Wajib awak patuhi.” Usik
Sheikh Mustaza dari corong sana.
Maimun masih lagi membisu. Apakan daya
untuk dia menolak lagi, kalau Sharifah Zahara sendiri sudah memaksa.
Doanya agar Sharifah Sakinah tidak akan mengetahui
tentang ini. Dan dia berjanji, ini adalah kali yang pertama dan terakhir dia
keluar bersama Sheikh Mustaza. Walaupun mereka keluar nanti bukannya berduaan,
tapi bertemankan Sheikh Azri Sufian dan Zairin Elina.
**********
Petang itu, Maimun bersiap ala kadar
sahaja. Baju kurung pesak yang hampir pudar warna pemberian dari Sharifah
Zahara disarungkan ke tubuh. Bedak baby powder Johnson & Johnson kepunyaan
anaknya disapu sedikit ke muka. Kemudian selendang nipis berwarna hitam
disarungkan pula ke kepala. Juntaian dari kedua belah ekor selendang
diselempang ke bahu.
Dia menatap wajahnya di cermin.
Garis-garis gusar jelas terbit di pelipis. Kala ini, hati memang sudah tidak
menentu. Rasa bimbang, bersalah, takut semuanya bercampur-baur menjadi satu dan
berbuku.
Bimbang kerana dia mungkin akan terjebak
di dalam permainan perasaan Sheikh Mustaza yang sudah dapat dia baca.
Rasa bersalah pada suami yang masih dia
sayangi dan rindui. Baru lima bulan Talib meninggal dunia, adakah patut dia
keluar bersama dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya?
Rasa takut pada Sharifah Sakinah, andai
puan besarnya dapat menghidu semua ini.
Maimun mengeluh berat.
Selama lima bulan dia bekerja di sini, puas
dia menyabarkan diri bila sering ditempelak dan dibebel oleh Sharifah Sakinah.
Sebaik mungkin dia melakukan setiap
kerja-kerjanya, tetapi masih ada juga yang tidak kena di mata Sharifah Sakinah.
Terkadang dia dapat merasakan pandangan
tajam mata Sharifah Sakinah, setiap kali Sheikh Mustaza menyapanya. Dari
renungan Sharifah Sakinah, jelas menunjukkan yang dia merasa bimbang andai
Sheikh Mustaza terpaut hati pada dia.
Kalaulah Sharifah Sakinah tahu mereka
keluar bersama, alamat bergegar tiang rumah ni. Tidak dapat dibayangkan oleh
Maimun apa yang akan dilakukan oleh Sharifah Sakinah pada dia nanti.
Sekali lagi Maimun melepaskan keluhan.
Tentang puan besar tu, satu hal. Satu
lagi perkara yang perlu dia tempuhi, bagaimana dia ingin berhadapan dengan
lelaki itu? Apa yang harus dia katakan? Apakah tajuk utama yang mahu dibualkan?
Hati Maimun semakin bergelora. Minda
pula bertambah celaru dan buntu.
Makin dekat waktu ketibaan Sheikh
Mustaza, semakin deras jantung Maimun berdetak. Gelisahnya semakin memuncak.
Jika bukan kerana menghormati permintaan
Sharifah Zahara yang beria-ia menyuruh dia membawa Zairin Elina dan Sheikh Azri
Sufian keluar berjalan-jalan, sudah pasti Maimun menolak ajakan lelaki
tersebut.
Kalau sudah tahu lagu yang didendangkan
oleh Sheikh Mustaza berentak sumbang, masakan dia mahu menari bersama. Itu
menempah bala namanya.
Dia seharusnya berfikir, apa perlu dia
buat untuk menjauhi lelaki itu, tetapi bagaimana? Sedangkan Sharifah Zahara sendiri
selalu saja menggiat dan mengaitkan dia dengan abang iparnya.
Setelah lama dia berdiri menghadap
cermin, Maimun berpaling menghampiri Zairin Elina yang leka bermain anak patung
pemberian Sheikh Azri Sufian di atas katil. Zairin Elina sudah didandan rapi.
Anak comel itu semakin manis bila rambut ikalnya ditocang dua.
Zairin Elina kini sudah bertambah
cerdik. Umurnya pun sudah hampir, mencecah dua tahun. Si cilik juga semakin
fasih bertutur. Leternya serupa Sheikh Azri Sufian. Ialah..., kalau dah siang
malam asyik berkepit dengan Sheikh Azri Sufian, sedikit sebanyak pasti
terpengaruh juga.
“Mari Arin, sekejap lagi uncle Mus akan
sampai. Kita tunggu uncle di luar ya!” Maimun membawa Zairin Elina turun dari
katil. Dipimpin tangan kecil anak itu menuju ke ruang tamu.
Di ruang tamu, Sheikh Azri Sufian dan
Sharifah Zahara telah bersedia menunggu mereka.
“Arin kenapa lambat sangat? Sekejap lagi
pak long nak sampai tau.” Omel Sheikh Azri Sufian.
Sharifah Zahara berpaling memandang
mereka.
“Ya Allah! Kak Maimun. Tak ada baju lain
ke?! Baju saya yang sudah lusuh ni kak Maimun pakai? Baju ni saya bagi untuk
pakai di rumah saja.”
Maimun melihat ke tubuhnya. Dari hujung
kain hingga ke hujung lengan baju diperhatikan. Rasanya baju bekas milik
Sharifah Zahara yang tersarung di badan masih cantik. Dia sendiri tidak pernah
memiliki baju secantik ini. Kenapa pula Sharifah Zahara mengatakan ianya sudah
lusuh? Mungkin kerana warnanya yang sudah sedikit pudar.
“Mari ikut saya ke atas kak Maimun. Sufi
main dengan Arin dulu ya. Tolong tengok-tengokkan adik. Jangan beri dia panjat
tangga tau! Takut terjatuh nanti,” kata Sharifah Zahara seraya menarik tangan
Maimun menuju ke tingkat atas.
Maimun yang terpinga-pinga dengan
perbuatan Sharifah Zahara menurut saja langkah majikannya itu.
“Okey mama. I keep my eyes on her.”
Balas si pintar Sufi.
Tiba di kamar, Sharifah Zahara terus ke
almari pakaian yang berdiri megah di tepi dinding. Pintu almari diselak luas.
Terpegun Maimun melihat deretan
baju-baju yang bergantungan di dalam almari itu. Semuanya cantik-cantik belaka.
Bermacam-macam warna dan pelbagai fesyen.
“Kak Maimun pilih saja baju mana yang
kak Maimun nak pakai. Saya rasa semua baju ni sama saiz dengan badan kakak.
Cuba kak Maimun pakai yang ini.” Sharifah Zahara mencapai sehelai baju kurung
moden yang mewah dengan sulaman di leher, lengan dan kaki baju.
“Tak mahulah puan. Baju yang saya pakai
ni dah cukup cantik. Saya nak keluar berjalan ke taman saja,” ujar Maimun
sambil menggelengkan kepala tidak setuju.
“Betul juga tu. Bukannya nak pergi
dinner. Kalau pakai baju ni sekadar berjalan di taman saja, nanti orang kata
over pulakan kak Maimun?!”
Maimun mengangguk setuju.
“Ataupun cuba yang ini pula.” Sharifah
Zahara menghulurkan sehelai baju kurung dari kain sutera.
Sekali lagi Maimun menggelengkan
kepalanya.
“Saya sudah tua puan. Rasanya tidak
cocok pakai baju yang berwarna garang,” dalih Maimun lagi.
“Hmm... betul juga tu. Lain kali kalau
abang Mus bawa kak Maimun pergi hi-tea, saya beri pinjam baju ni!” Ungkap Sharifah
Zahara bersahaja.
Maimun tersenyum sekadar memaniskan
muka.
‘Tak akan ada lain kali. Ini adalah yang
pertama dan terakhir,’ bisik nalurinya.
“Habis tu kak Maimun nak pakai yang
mana?” Soal Sharifah Zahara.
“Tak apalah puan... Baju yang saya pakai
ni pun sudah cukup cantik.”
“Mana boleh! Ini first time kakak keluar
dengan abang Mus. Mestilah kena pakai cantik-cantik sikit.”
“Saya seganlah puan. Nanti encik Mus
ingatkan saya ni apa pula. Melaram lebih dari tuan rumah,” bungkam Maimun
perlahan.
Matanya merenung redup ke arah Sharifah
Zahara. Berharap agar wanita itu memahaminya.
“Ish! Kak Maimun ni. Tak baik tau, cakap
abang Mus macam tu. Dia lagi suka kalau tengok kak Maimun lebih cantik dari
biasa,” usik Sharifah Zahara.
“Susah sangat kak Maimun ni! Biar saya
saja yang pilih. Kali ni suka atau tak, kak Maimun kena pakai juga. Kalau tidak
saya marah nanti...” Ugut Sharifah Zahara.
Dia lalu mengeluarkan sehelai baju
kurung moden berwarna biru lembut berbunga kecil putih dan kuning. Kemudian dia
membuka laci di bahagian bawah almari dan mengeluarkan sehelai selendang
organza berwarna sedondon.
“Nah! Kak Maimun pergi tukar,” tangan
Maimun diraih. Baju dan selendang diletak atas tapak tangan Maimun.
Maimun masih berdiri tegak di situ.
Berat rasa hati untuk menyarungkan baju secantik itu. Segan benar rasanya.
“Cepatlah tukar kak Maimun... Sekejap
lagi mesti abang Mus sampai.” Sergah Sharifah Zahara.
Maimun yang kehilangan bicara, menyusun
langkah untuk keluar.
“Kak Maimun nak ke mana pula tu?”
“Nak tukar baju puan...,” Maimun
berpaling memandang Sharifah Zahara.
“Tak perlu turun ke bawah. Tukar saja
dalam bilik air saya ni,” Sharifah Zahara menarik tangan Maimun dan membawanya
ke bilik air.
“Cepat tukar kak Maimun. Saya tunggu di
luar. Lepas ni saya make-upkan kakak pula. Mesti abang Mus tersembul biji mata,
tak berkelip bila melihat kak Maimun nanti!”
Erkkk... Terkedu Maimun mendengar kata
Sharifah Zahara itu.
‘Nak make-up pula! Macam mana ni?!’
Jerit hati Maimun.
Setengah jam selepas itu, Sharifah
Zahara dan Maimun melangkah menuruni anak tangga.
Sayup-sayup terdengar suara Sheikh
Mustaza dari ruang tamu. Mungkin dia sedang melayan kerenah Sheikh Azri Sufian
dan Zairin Elina.
“Dah lama abang Mus sampai?” Sapa
Sharifah Zahara sebaik sahaja mereka tiba di ruang tamu.
Sheikh Mustaza yang bersila di lantai
bersama Sheikh Azri Sufian dan Zairin Elina kalih memandang adik iparnya itu.
“Sudah lima belas minit. Apa yang kamu
berdua buat lama sangat dekat dalam bilik tu?”
“Ini hah! Zara siapkan kak Maimun. Bukan
ke dia nak keluar dating dengan abang Mus?” Canda Sharifah Zahara.
Dia melihat ke sisi. Tetapi Maimun tiada
di situ. Pantas dia berpaling ke belakang.
Rupanya Maimun berselindung di belakang
dia. Bersembunyi dari pandangan mata Sheikh Mustaza.
“Yang kak Maimun menyorok belakang saya
ni buat apa!”
Tangan Maimun ditarik lalu di bawa ke
sisi.
Kalau selalulah macam ni, mahu tercabut
tangan Maimun dibuatnya. Petang ni saja sudah tiga kali tangan dia ditarik
begitu.
Mata Sheikh Mustaza terpana.
Ayu sungguh wajah Maimun bila sudah
disolek nipis begitu. Kecantikkan asli wajah Maimun semakin terserlah. Tidak
puas mata dia menatap.
Sharifah Zahara pantas menyiku lengan
Maimun bila melihat pandangan abang iparnya tidak lepas merenung wajah Maimun.
“Kan saya dah kata! Abang Mus mesti
pandang kak Maimun tidak berkelip. Sampai nak tersembul biji mata!” Bisik
Sharifah Zahara mengusik.
Muka Maimun sudah merona merah.
“Pak Long cepatlah! Kita dah lambat
ni...” Sheikh Azri Sufian menggoncang tangan Sheikh Mustaza beberapa kali.
“Okey! Okey! Jom!” Bingkas dia bangun
meninggalkan karpet setebal dua inci itu.
“Jom Arin kita pergi.” Sheikh Mustaza
menghulurkan tangan kepada Zairin Elina.
“Papa nak carry!” Tutur Zairin Elina
spontan.
Bagai hendak terputus jantung Maimun
bila mendengarnya. Air liur di mulut sudah tidak tertelan.
Benarkah ayat itu yang terpacul dari
mulut Zairin Elina?
Sharifah Zahara mula berdehem-dehem.
Senyum sudah melebar ke telinga.
“Nampaknya ada ‘can’lah kita nak jadi
biras, kak Maimun. Arin pun dah suka tu!” Sharifah Zahara mencuit bahu Maimun.
Blusher di pipi Maimun bertambah merah.
Bukan pipi sahaja, malahan telinga pun sudah terasa berbahang.
Sheikh Mustaza mendukung Zairin Elina
dan memimpin tangan Sheikh Azri Sufian. Dia berjalan menghampiri Maimun.
“Mari Maimun. Anak kita sudah tidak
sabar hendak pergi berjalan ni.” Sheikh Mustaza melontarkan suaranya bersahaja.
Sekali lagi Maimun tertelan air liur.
Irama jantung sudah tidak menentu. Boleh kena sakit jantung macam ni.
Sharifah Zahara pula tertawa besar. Suka
benar hatinya bila Sheikh Mustaza berkata begitu.
‘Aduh lelaki! Kenapa kau terlalu berani?
Bahana apakah yang bakal menanti selepas ini?’ Rintih Maimun sendiri.
No comments:
Post a Comment