'Kau Yang Pertama & Terakhir' sudah diterbitkan di bawah label Penulisan2u. Boleh didapati di pasaran atau secara online di www.p2u.my/beli-novel.html
Bab 11
Datuk Sheikh Mustapha mula tersedar. Dia
terbatuk-batuk. Mata yang berbalam-balam mula terang. Dia mengamati keadaan
sekeliling. Segala-galanya kelihatan terlalu asing.
‘Di mana aku ni?’ Detik hati Datuk
Sheikh Mustapha.
Digenyeh-genyeh kelopak mata. Keadaannya
tetap sama juga.
Ruang itu amat berbeza dari biliknya.
Tiada perabut atau peralatan lain selain televisyen kecil yang terletak di
hujung kakinya.
Malahan tempat dia berbaring juga
berbeza. Bukan tilam empuk, cuma beralaskan tilam bujang yang amat nipis dan
berwarna kusam.
Datuk Sheikh Mustapha cuba bangun.
Tetapi kepala terasa berat. Pening dan berdenyut-denyut. Silau cahaya matahari
yang menerjah masuk dari tingkap yang terbuka luas, menambahkan lagi sakit di
kepala.
Dia kembali merebahkan tubuh ke atas
tilam nipis itu. Mata dipejamkan, menahan rasa sakit yang mencucuk-cucuk.
Tangan dibawa ke kepala. Dia meraba-raba.
Terasa ada satu balutan kain mengelilingi kepalanya.
Datuk Sheikh Mustapha cuba mengingati.
Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Dan bagaimana dia boleh berada di tempat
yang amat asing ni?
Seketika, cuping telinga terdengar
derapan langkah menghampirinya. Segera dia membuka mata ingin melihat siapakah
gerangannya. Kepala dikalih.
Datuk Sheikh Mustapha mengamati wajah
wanita tua di hadapannya ini. Lama dia menatap wajah itu. Dia cuba berfikir.
Adakah dia mengenali wanita ini?
Perasaannya bercampur-baur. Pelik,
hairan,terkejut.
“Alhamdulillah... Encik dah sedar. Encik
tunggu ya, kakak bawakan air. Boleh encik cuci muka, lepas tu sarapan. Tunggu
sebentar ya encik!” Tutur wanita tua itu perlahan.
Dia berlalu dan hilang di balik dinding.
Datuk Sheikh Mustapha kembali memejamkan
mata. Di kotak fikiran, dia masih cuba mengingati apa yang telah terjadi.
Usai sembahyang Jumaat di masjid
berhampiran pekan Port Dickson, Datuk Sheikh Mustapha meneruskan perjalanan ke
Teluk Biru. Selepas mendaftar masuk di Casa Racado Resort, dia berehat sebentar
di biliknya.
Setelah cuaca agak redup, dia mengambil
keputusan untuk berjalan-jalan di tepi pantai sambil menghirup udara segar.
Kemudian Datuk Sheikh Mustapha menuju terus
ke kawasan tanah milik umminya yang terletak berhampiran dengan Casa Racado
Resort.
Ketika dia melawat kawasan tanah
umminya, tanpa dia sedar suasana yang cerah tiba-tiba bertukar menjadi gelap.
Angin pula bertiup dengan kuat.
Selepas itu pandangannya terus menjadi gelap.
Hanya setakat itu sahaja yang mampu dia ingat.
Datuk Sheikh Mustapha mengeluh perlahan.
Dia masih bingung.
Seketika kemudian, gegendang Datuk
Sheikh Mustapha kembali menangkap bunyi keriotan lantai rumah di pijak.
‘Pasti wanita itu datang semula.’ Datuk
Sheikh Mustapha meneka.
Dia menjarakkan kelopak mata, lantas
berpaling pada bunyi langkah itu.
Bukan wanita tua tadi, tetapi seorang
perempuan muda yang cantik!
Gadis itu melangkah menghampiri Datuk Sheikh
Mustapha dengan sopan. Hayunan langkah sungguh lembut dan teratur, sambil
tangan menatang dulang. Seulas senyuman yang menghiasi bibirnya, menyejukkan
hati sesiapa yang memandang.
Mata Datuk Sheikh Mustapha merenung
tajam pada wajah itu.
‘Cantik! Ayu! Manis!’ Spontan semua
puji-pujian itu hadir di benaknya.
Anak mata Datuk Sheikh Mustapha tidak
berkelip-kelip memandang gadis yang sudah berada di hadapannya ini.
Dengan penuh santun, gadis manis itu
meletakkan dulang bertutup tudung saji rumbia berhampiran tempat Datuk Sheikh
Mustapha berbaring.
“Pakcik, ini ada bubur. Kalau pakcik tak
mahu makan bubur, nasi lemak pun ada ni Arin masakkan. Pakcik makan ya, barulah
ada tenaga nanti.” Tutur gadis itu dengan suara lunak beralun.
Bau wangi nasi lemak harum semerbak,
singgah ke deria bau Datuk Sheikh Mustapha. Tiba-tiba sahaja perutnya
berkeroncong.
“Betul tu encik. Nanti jamahlah.
Hidangannya tak seberapa. Ini air untuk encik cuci muka,” suara wanita tua tadi
tiba-tiba sambil meletakkan semangkuk air bersama sehelai tuala kecil.
Kerana terlalu asyik memandang gadis
manis itu, Datuk Sheikh Mustapha tidak sedar bilakah wanita tua itu berada di
situ semula.
“Kami ke dapur ya encik. Encik makanlah
dulu. Jangan segan-segan. Sekejap lagi suami kakak balik. Dia pergi ke kedai.”
Tutur Nek Alang lagi.
Dia dan Zairin Elina meninggalkan lelaki
itu di ruang tamu.
‘Kalau dihadapkan nanti, tentu encik tu
segan nak makan.’ Fikir Nek Alang.
**********
Barang-barang yang Tok Alang beli di
pekan semalam, dia susun ke dalam almari berhampiran tempat membancuh air.
Setelah itu Tok Alang capai pula penyapu yang tersimpan di balik pintu. Lantas
bergerak ke ruang hadapan kedai.
Dedaun kering dan sampah sarap
bertaburan di atas tanah Tok Alang sapu bersih. Hujan lebat dan angin kuat
petang semalam, telah menyebabkan gerainya dipenuhi dengan daun-daun kering dan
sampah sarap.
Setelah matahari sedikit meninggi,
barulah Tok Alang selesai membersihkan kawasan gerainya. Dia mengunci pintu
kedai dan ingin segera pulang. Bimbang memikirkan keadaan lelaki yang dia
selamatkan petang semalam.
“Encik tu dah sedar ke? Atau masih
pengsan lagi? Kalau dia tak sedar lagi, aku kena panggil Sahak ni! Minta tolong
dia hantarkan encik tu ke hospital.’ Tok Alang berkira-kira.
Sebelum pulang Tok Alang sempat
mengantungkan papan tanda di hadapan gerainya. Memaklumkan kepada para
pelanggan tentang penutupan gerainya hari ini. Tadi pun sewaktu Tok Alang membersihkan
gerainya, sudah ada beberapa orang pelanggan yang datang. Segera dia memohon
maaf kerana tidak dapat melayan mereka.
Motorsikal berenjin semput tu, Tok Alang
pulas pedal minyaknya supaya bergerak laju menyusur jalan kampung itu. Tidak
sabar dia ingin sampai ke rumahnya.
Tok Alang memasuki lorong kecil menghala
ke terataknya. Jalan kecil yang bersimpang-siur dan berlopak di sana-sini tidak
dihiraukan. Bergetar-getar tangan Tok Alang menahan, setiap kali tayar
terhentak pada lubang-lubang jalan.
Tiba sahaja di perkarangan rumah, pantas
tangan Tok Alang mematikan enjin motor. Dia menaiki tangga dan terus
mendapatkan Datuk Sheikh Mustapha.
“Assalamualaikum...” Sapa Tok Alang pada
lelaki itu yang baru saja selesai menjamah hidangan sarapan pagi yang disediakan
oleh Zairin Elina.
Bukan bubur saja, malahan nasi lemak
juga dia makan sampai licin. Berselera betul Datuk Sheikh Mustapha makan
makanan yang dimasak oleh gadis manis itu.
“Waalaikumussalam...” Balas Datuk Sheikh
Mustapha.
Dia memandang lelaki itu.
‘Pasti ini suami kakak tadi.’ Desisnya.
“Alhamdulillah..., encik dan sedar.
Risau betul saya dibuatnya.” Tok Alang terus duduk di sisi Datuk Sheikh
Mustapha.
“Nama saya Alang Salleh. Panggil saja
saya pak lang.” Tok Alang menghulurkan salam lalu disambut oleh Datuk Sheikh
Mustapha.
“Semalam pak lang jumpa encik di jalan
luar tu. Encik pengsan dihempap dahan reput. Masa tu hari dah nak hujan, jadi pak
lang bawa encik balik ke rumah kami dulu. Pak lang ingatkan kalau encik tak sedar
lagi hari ni, pak lang nak hantar encik ke hospital.” Tutur Tok Alang ramah.
Gayanya seperti sudah kenal lama dengan lelaki itu.
“Terima kasih, sebab pak lang dah
selamatkan saya. Nama saya Sheikh Mustapha.” Balas Datuk Sheikh Mustapha pula.
“Maafkan pak lang tuan Sheikh. Rumah pak
lang ni kecil saja. Tentu tuan Sheikh tak selesa.” Tok Alang rasa serba salah .
Dari gaya, pakaian dan kasut yang
dipakai oleh lelaki ini semalam, seperti dia dari golongan orang yang berada.
‘Betahkah dia menyarung baju dan kain pelekat
aku yang buruk tu?’ Detik hati Tok Alang.
“Tak payahlah ber ‘tuan Sheikh’ dengan
saya pak lang. Panggil saja Mustapha. Itukan lagi mesra. Lagipun pak lang dah
selamatkan nyawa saya. Saya terhutang budi pada pak lang.”
“Ish! Terhutang budi apa pulak Mustapha.
Tak ada apa sangat pertolongan pak lang tu. Kalau sesiapa yang jumpa Mustapha
semalam, pasti mereka akan buat benda yang sama jugak. Pak lang jumpa Mustapha,
masa tu Mustapha dah pengsan. Takkan pak lang nak biar saja.”
“Terima kasih sekali lagi pak lang.”
Datuk Sheikh Mustapha menggenggam erat tangan Tok Alang.
Dia rasa amat berbesar hati ditemukan
dengan insan sebaik Tok Alang ini. Walaupun mereka baru saja bertemu dan
berkenalan, Datuk Sheikh Mustapha dapat merasakan yang lelaki itu seorang yang
amat baik.
Apabila mendengar suara Tok Alang dan
Datuk Sheikh Mustapha berbual di ruang hadapan, Nek Alang dan Zairin Elina
muncul semula dari dapur. Tok Alang kalih memandang mereka.
“Mustapha, ini isteri abang. Panggil
saja mak lang. Yang itu pula cucu abang, Arin namanya.” Tok Alang
memperkenalkan mereka berdua kepada Datuk Sheikh Mustapha.
“Ya pak lang. Saya dah jumpa mereka
tadi. Cuma tak sempat nak bertanya,” balas Datuk Sheikh Mustapha.
“Terima kasih mak lang, Arin.” Datuk
Sheikh Mustapha tersenyum pada mereka.
Nek Alang duduk disamping suaminya.
Zairin Elina pula mengambil dulang hidangan yang sudah kosong dan selepas
meminta izin, dia terus berlalu.
Datuk Sheikh Mustapha memerhati setiap
tingkah laku Zairin Elina. Kini hati tuanya sudah terpaut.
“Cucu pak lang tu manis orangnya.
Berkenan saya. Sudah ada yang punya ke? Kalau belum, saya hendak jadikan dia
menantu saya.” Ungkap Datuk Sheikh Mustapha bersahaja.
Tok Alang dan Nek Alang kelu tidak
terkata. Pandangan mereka bertaut sesama sendiri.