Total Pageviews

Saturday, September 20, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 11

'Kau Yang Pertama & Terakhir' sudah diterbitkan di bawah label Penulisan2u. Boleh didapati di pasaran atau secara online di www.p2u.my/beli-novel.html

Bab 11
Datuk Sheikh Mustapha mula tersedar. Dia terbatuk-batuk. Mata yang berbalam-balam mula terang. Dia mengamati keadaan sekeliling. Segala-galanya kelihatan terlalu asing.
‘Di mana aku ni?’ Detik hati Datuk Sheikh Mustapha.
Digenyeh-genyeh kelopak mata. Keadaannya tetap sama juga.
Ruang itu amat berbeza dari biliknya. Tiada perabut atau peralatan lain selain televisyen kecil yang terletak di hujung kakinya.
Malahan tempat dia berbaring juga berbeza. Bukan tilam empuk, cuma beralaskan tilam bujang yang amat nipis dan berwarna kusam.
Datuk Sheikh Mustapha cuba bangun. Tetapi kepala terasa berat. Pening dan berdenyut-denyut. Silau cahaya matahari yang menerjah masuk dari tingkap yang terbuka luas, menambahkan lagi sakit di kepala.
Dia kembali merebahkan tubuh ke atas tilam nipis itu. Mata dipejamkan, menahan rasa sakit yang mencucuk-cucuk.
Tangan dibawa ke kepala. Dia meraba-raba. Terasa ada satu balutan kain mengelilingi kepalanya.
Datuk Sheikh Mustapha cuba mengingati. Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Dan bagaimana dia boleh berada di tempat yang amat asing ni?
Seketika, cuping telinga terdengar derapan langkah menghampirinya. Segera dia membuka mata ingin melihat siapakah gerangannya. Kepala dikalih.
Datuk Sheikh Mustapha mengamati wajah wanita tua di hadapannya ini. Lama dia menatap wajah itu. Dia cuba berfikir. Adakah dia mengenali wanita ini?
Perasaannya bercampur-baur. Pelik, hairan,terkejut.
“Alhamdulillah... Encik dah sedar. Encik tunggu ya, kakak bawakan air. Boleh encik cuci muka, lepas tu sarapan. Tunggu sebentar ya encik!” Tutur wanita tua itu perlahan.
Dia berlalu dan hilang di balik dinding.
Datuk Sheikh Mustapha kembali memejamkan mata. Di kotak fikiran, dia masih cuba mengingati apa yang telah terjadi.
Usai sembahyang Jumaat di masjid berhampiran pekan Port Dickson, Datuk Sheikh Mustapha meneruskan perjalanan ke Teluk Biru. Selepas mendaftar masuk di Casa Racado Resort, dia berehat sebentar di biliknya.
Setelah cuaca agak redup, dia mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di tepi pantai sambil menghirup udara segar.
Kemudian Datuk Sheikh Mustapha menuju terus ke kawasan tanah milik umminya yang terletak berhampiran dengan Casa Racado Resort.
Ketika dia melawat kawasan tanah umminya, tanpa dia sedar suasana yang cerah tiba-tiba bertukar menjadi gelap. Angin pula bertiup dengan kuat.
Selepas itu pandangannya terus menjadi gelap. Hanya setakat itu sahaja yang mampu dia ingat.
Datuk Sheikh Mustapha mengeluh perlahan. Dia masih bingung.
Seketika kemudian, gegendang Datuk Sheikh Mustapha kembali menangkap bunyi keriotan lantai rumah di pijak.
‘Pasti wanita itu datang semula.’ Datuk Sheikh Mustapha meneka.
Dia menjarakkan kelopak mata, lantas berpaling pada bunyi langkah itu.
Bukan wanita tua tadi, tetapi seorang perempuan muda yang cantik!
Gadis itu melangkah menghampiri Datuk Sheikh Mustapha dengan sopan. Hayunan langkah sungguh lembut dan teratur, sambil tangan menatang dulang. Seulas senyuman yang menghiasi bibirnya, menyejukkan hati sesiapa yang memandang.
Mata Datuk Sheikh Mustapha merenung tajam pada wajah itu.
‘Cantik! Ayu! Manis!’ Spontan semua puji-pujian itu hadir di benaknya.
Anak mata Datuk Sheikh Mustapha tidak berkelip-kelip memandang gadis yang sudah berada di hadapannya ini.
Dengan penuh santun, gadis manis itu meletakkan dulang bertutup tudung saji rumbia berhampiran tempat Datuk Sheikh Mustapha berbaring.
“Pakcik, ini ada bubur. Kalau pakcik tak mahu makan bubur, nasi lemak pun ada ni Arin masakkan. Pakcik makan ya, barulah ada tenaga nanti.” Tutur gadis itu dengan suara lunak beralun.
Bau wangi nasi lemak harum semerbak, singgah ke deria bau Datuk Sheikh Mustapha. Tiba-tiba sahaja perutnya berkeroncong.
“Betul tu encik. Nanti jamahlah. Hidangannya tak seberapa. Ini air untuk encik cuci muka,” suara wanita tua tadi tiba-tiba sambil meletakkan semangkuk air bersama sehelai tuala kecil.
Kerana terlalu asyik memandang gadis manis itu, Datuk Sheikh Mustapha tidak sedar bilakah wanita tua itu berada di situ semula.
“Kami ke dapur ya encik. Encik makanlah dulu. Jangan segan-segan. Sekejap lagi suami kakak balik. Dia pergi ke kedai.” Tutur Nek Alang lagi.
Dia dan Zairin Elina meninggalkan lelaki itu di ruang tamu.
‘Kalau dihadapkan nanti, tentu encik tu segan nak makan.’ Fikir Nek Alang.
**********
Barang-barang yang Tok Alang beli di pekan semalam, dia susun ke dalam almari berhampiran tempat membancuh air. Setelah itu Tok Alang capai pula penyapu yang tersimpan di balik pintu. Lantas bergerak ke ruang hadapan kedai.
Dedaun kering dan sampah sarap bertaburan di atas tanah Tok Alang sapu bersih. Hujan lebat dan angin kuat petang semalam, telah menyebabkan gerainya dipenuhi dengan daun-daun kering dan sampah sarap.
Setelah matahari sedikit meninggi, barulah Tok Alang selesai membersihkan kawasan gerainya. Dia mengunci pintu kedai dan ingin segera pulang. Bimbang memikirkan keadaan lelaki yang dia selamatkan petang semalam.
“Encik tu dah sedar ke? Atau masih pengsan lagi? Kalau dia tak sedar lagi, aku kena panggil Sahak ni! Minta tolong dia hantarkan encik tu ke hospital.’ Tok Alang berkira-kira.
Sebelum pulang Tok Alang sempat mengantungkan papan tanda di hadapan gerainya. Memaklumkan kepada para pelanggan tentang penutupan gerainya hari ini. Tadi pun sewaktu Tok Alang membersihkan gerainya, sudah ada beberapa orang pelanggan yang datang. Segera dia memohon maaf kerana tidak dapat melayan mereka.
Motorsikal berenjin semput tu, Tok Alang pulas pedal minyaknya supaya bergerak laju menyusur jalan kampung itu. Tidak sabar dia ingin sampai ke rumahnya.
Tok Alang memasuki lorong kecil menghala ke terataknya. Jalan kecil yang bersimpang-siur dan berlopak di sana-sini tidak dihiraukan. Bergetar-getar tangan Tok Alang menahan, setiap kali tayar terhentak pada lubang-lubang jalan.
Tiba sahaja di perkarangan rumah, pantas tangan Tok Alang mematikan enjin motor. Dia menaiki tangga dan terus mendapatkan Datuk Sheikh Mustapha.
“Assalamualaikum...” Sapa Tok Alang pada lelaki itu yang baru saja selesai menjamah hidangan sarapan pagi yang disediakan oleh Zairin Elina.
Bukan bubur saja, malahan nasi lemak juga dia makan sampai licin. Berselera betul Datuk Sheikh Mustapha makan makanan yang dimasak oleh gadis manis itu.
“Waalaikumussalam...” Balas Datuk Sheikh Mustapha.
Dia memandang lelaki itu.
‘Pasti ini suami kakak tadi.’ Desisnya.
“Alhamdulillah..., encik dan sedar. Risau betul saya dibuatnya.” Tok Alang terus duduk di sisi Datuk Sheikh Mustapha.
“Nama saya Alang Salleh. Panggil saja saya pak lang.” Tok Alang menghulurkan salam lalu disambut oleh Datuk Sheikh Mustapha.
“Semalam pak lang jumpa encik di jalan luar tu. Encik pengsan dihempap dahan reput. Masa tu hari dah nak hujan, jadi pak lang bawa encik balik ke rumah kami dulu. Pak lang ingatkan kalau encik tak sedar lagi hari ni, pak lang nak hantar encik ke hospital.” Tutur Tok Alang ramah. Gayanya seperti sudah kenal lama dengan lelaki itu.
“Terima kasih, sebab pak lang dah selamatkan saya. Nama saya Sheikh Mustapha.” Balas Datuk Sheikh Mustapha pula.
“Maafkan pak lang tuan Sheikh. Rumah pak lang ni kecil saja. Tentu tuan Sheikh tak selesa.” Tok Alang rasa serba salah .
Dari gaya, pakaian dan kasut yang dipakai oleh lelaki ini semalam, seperti dia dari golongan orang yang berada.
‘Betahkah dia menyarung baju dan kain pelekat aku yang buruk tu?’ Detik hati Tok Alang.
“Tak payahlah ber ‘tuan Sheikh’ dengan saya pak lang. Panggil saja Mustapha. Itukan lagi mesra. Lagipun pak lang dah selamatkan nyawa saya. Saya terhutang budi pada pak lang.”
“Ish! Terhutang budi apa pulak Mustapha. Tak ada apa sangat pertolongan pak lang tu. Kalau sesiapa yang jumpa Mustapha semalam, pasti mereka akan buat benda yang sama jugak. Pak lang jumpa Mustapha, masa tu Mustapha dah pengsan. Takkan pak lang nak biar saja.”
“Terima kasih sekali lagi pak lang.” Datuk Sheikh Mustapha menggenggam erat tangan Tok Alang.
Dia rasa amat berbesar hati ditemukan dengan insan sebaik Tok Alang ini. Walaupun mereka baru saja bertemu dan berkenalan, Datuk Sheikh Mustapha dapat merasakan yang lelaki itu seorang yang amat baik.
Apabila mendengar suara Tok Alang dan Datuk Sheikh Mustapha berbual di ruang hadapan, Nek Alang dan Zairin Elina muncul semula dari dapur. Tok Alang kalih memandang mereka.
“Mustapha, ini isteri abang. Panggil saja mak lang. Yang itu pula cucu abang, Arin namanya.” Tok Alang memperkenalkan mereka berdua kepada Datuk Sheikh Mustapha.
“Ya pak lang. Saya dah jumpa mereka tadi. Cuma tak sempat nak bertanya,” balas Datuk Sheikh Mustapha.
“Terima kasih mak lang, Arin.” Datuk Sheikh Mustapha tersenyum pada mereka.
Nek Alang duduk disamping suaminya. Zairin Elina pula mengambil dulang hidangan yang sudah kosong dan selepas meminta izin, dia terus berlalu.
Datuk Sheikh Mustapha memerhati setiap tingkah laku Zairin Elina. Kini hati tuanya sudah terpaut.
“Cucu pak lang tu manis orangnya. Berkenan saya. Sudah ada yang punya ke? Kalau belum, saya hendak jadikan dia menantu saya.” Ungkap Datuk Sheikh Mustapha bersahaja.
Tok Alang dan Nek Alang kelu tidak terkata. Pandangan mereka bertaut sesama sendiri.

Wednesday, September 17, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 10

Bab-bab yang bersiaran di sini, adalah manuskrip asal tanpa ada sebarang pembetulan. Segala kesilapan ejaan, tatabahasa atau english grammer, adalah tidak disengajakan dan saya memohon maaf di atas semua kesilapan-kesilapan itu. Bab-bab yang bersiaran di sini juga, terdapat sedikit perbezaan dari versi cetak. Untuk mengetahui pengakhiran cerita KYPDT ni, anda boleh dapati di book store berhampiran atau secara online di www.p2u.my/beli-novel.html

Bab 10


“Assalamualaikum...! Nek Lang, ooo... Nek Lang!” Hartini memanjangkan kepala memandang ke dalam rumah papan bertangga enam itu.
Satu saat, dua saat, tiga saat. Hartini menunggu.
“Assalamualaikum...! Arin, ooo... Arin!” Laung Hartini lagi setelah tiada sahutan kedengaran.
“Mana dia orang pergi ni? Takkan tak ada rumah pulak kot? Pintu depan ni terbuka saja.” Rungut Hartini sendirian.
“Assa...,” ucap salam terhenti apabila dia melihat ada kelibat manusia menghampiri dia dari celah dinding ruman papan itu.
Hartini memerhati tanpa berkelip.
Sepasang tangan sudah bersedia untuk menerkam jika makhluk yang bakal terpacul sekejap lagi mendatangkan bahaya kepadanya.
Bunyi derapan itu semakin hampir. Satu, dua, tiga...
“Hei yaaakkk...!” Hartini menempek sambil melompat membuka langkah kekuda, sebaik sahaja makhluk yang berselubung kain batik itu muncul di hadapannya.
“Hoi! Akulah Tini!” Zairin Elina menjerit kuat apabila tangan Hartini hampir singgah ke tubuh dia.
Pantas tangan menyelak kain batik yang menutupi sebahagian muka dan badannya ke belakang.
“Huh! Kau rupanya. Aku ingatkan siapa. Nasib baik aku tak karate kau tadi,” ujar Hartini seraya membetulkan kedudukkannya semula.
“Kau ni kenapa? Aku tahulah kau baru habis belajar teakwando, takkan habis semua kau nak karate. Dengan aku-aku sekali kau nak belasah?” Jerkah Zairin Elina.
“Manalah aku tahu itu kau kalau dah berbungkus macam hantu kum-kum ni! Aku ingatkan perompak ke, penjenayah ke, penjahatkan dan semua pen...lah. Boleh aku tunjuk skil aku. Biar aku patah-patah enam belas badan dia orang tu dengan karate aku ni.” Hartini berkata dengan riak bongkak. Tangannya pula menerawang di udara ke sana dan ke mari menayangkan aksi-aksi karatenya.
Zarin Elina ketawa kelucuan melihat gelagat Hartini itu. Dia menghampiri tangga dan melabuhkan punggungnya di situ.
“Ish... ish... ish... Takutnya... aku dengar.” Perli Zairin Elina.
Hartini mencebek, seraya berjalan menghampiri dan mengambil tempat di sebelah Zairin Elina.
“Kau pun satu, tak takut ke rumah ni masuk perompak nanti? Biar pintu rumah ternganga macam tu,” omel Hartini.
“Siapalah yang nak merompak rumah atok aku ni cik Hartini oiii... Rumah kami ni buruk saja. Dalam rumah tu, bukannya ada benda yang berharga hendak dicuri. Pencuri tengok rumah ni pun tak ada selera nak masuk.”
“Kenapa pulak tak ada selera nak masuk?! Orang jahat sekarang ni bukan dia orang kira sangat. Tak jumpa harta untuk dicuri, orang pulak dia orang colek. Kau tak takut ke?”
“Kau ni kan Tini, merapu saja dari tadi. Nak takut apa kalau rumah ni dah di pasang pendinding?”
“Pasang pendinding?! Kau biar betul Arin? Rumah macam ni pun pasang pendinding. Pemagar tak ada ke?” Celoteh Hartini tidak percaya.
“Rumah aku yang besar tu pun tak pasang pendinding, kau tahu tak?” Sambung Hartini lagi.
“Itulah kau selalu saja salah faham. Maksud aku pendinding tu bukannya panggil bomoh ‘fuh’ sana ‘fuh’ sini, hembus sana hembus sini. Baca jampi serapah semua tu. Berdosa besar kau tahu tak? Syirik...”
“Habis tu kalau tak panggil bomoh, kau buat apa?” Aju Hartini ingin tahu.
“Atok aku ajar, selalulah amalkan membaca ayat-ayat Manzil. Ayat Manzil tu adalah potongan ayat-ayat yang di ambil dari Al-Quran. Insyaallah..., rumah dan semua penghuninya akan dilindungi dari gangguan jin dan syaitan, orang-orang yang ada berniat jahat, sihir, kebakaran dan macam-macam lagilah,” terang Zairin Elina bersungguh-sungguh.
“Oooo...”Mulut Hartini bulat membentuk ‘O’.
“Eh! Kau dari mana berbungkus macam ni?” Soal Hartini lagi.
Matanya memerhati Zairin Elina menanggalkan kain batik di kepala, lalu diselempang ke bahu.
“Aku tolong nenek bakar sarang tebuan dekat reban ayam belakang tu tadi. Banyak-banyak tempat, dekat reban ayam tu pulak dia bersarang.”
“Berani kau ek?! Kalau aku, jangankan nak halau, dekat pun aku tak berani. Nanti habislah kulit aku yang cantik mulus ni dijamah dek sengat-sengat tebuan tu,” ujar Hartini dengan bibir yang hampir terjuih.
“Ya lah... Aku tahu kau tu cantik. Bakal menjadi top model Malaysialah katakan...”
“Tahu tak apa,” celah Hartini. Dia membetul-betulkan baju di bahu. Show off betul! Zairin Elina tersenyum melihat gelagat sahabat baiknya itu.
“Eh! Kau tak tolong Tok Alang berniaga ke hari ni?” Tanya Hartini.
Matanya melilau ke dalam rumah. Entah apa yang dia cari. Mungkin mencari kelibat Tok Alang kot!
“Kalau aku tolong atok, dah tentulah kau tak jumpa aku dekat sini.”
“Ha’ah lah... Ya tak ya jugak kan? Jadi kau tak pergi tolong Tok Alanglah?”
“Tak.” Jawab Zairin sepatah.
“Kenapa?” Soal Hartini lagi.
“Off day.” Balas Zairin Elina selamba.
“Kenapa?” Tanya Hartini sekali lagi.
“Cuti.”
“Ya lah... Tapi kenapa?”
“Atok tak berniaga.”
“Engkau ni kenapa? Jawab soalan orang macam acuh tak acuh saja. Aku tahulah engkau off, tapi kenapa?” Hartini sudah menjenggulkan matanya, geram.
Zairin Elina cuma senyum. Suka rasa hati dapat menyakat minah separuh lenga macam Hartini ni.
“Eh! Dia buat senyum kambing pulak. Engkau ni kenapa? Tersampuk hantu senyum ya? Menyengeh saja dari tadi.” Hartini mencebek sambil bercekak pinggang.
Hilang sudah sabar Hartini bila dipermainkan begitu.
“Kau ni tak reti sabar langsungkan, Tini?”
“Ya lah! Yang kau tu, dah tahu aku ni bukan orang yang penyabar, lagi nak main-mainkan aku.” Rungut Hartini membuat muka.
“Macam manalah agaknya bila kau dah jadi model nanti? Aku dengar kerja tu susah tau. Macam-macam perangai orang kau kena hadapi. Dalam televisyen pun aku selalu tengok. Dia orang tunjuk keadaan belakang stage masa show, kelang kabut... Kalau kau tak boleh tahan sabar, macam mana?”
“Itu lain. Aku kalau buat kerja yang aku suka, aku minat, macam mana susah pun aku tahan jugak.”
“Ya lah tu...! Aku nak tengok nanti. Sampai takat mana kau boleh sabar.” Zairin Elina sengaja ingin menyakat Hartini lagi.
“Hei! Aku tanya tadi kau belum jawab lagilah. Dah buka cerita lain pulak. Kenapa tak berniaga hari ni?” Sudah lebih dari tiga kali rasanya, si Hartini mengajukan soalan yang sama.
Sekali lagi Zairin Elina tersenyum dengan gelagat rakan karibnya ini. Memang sah-sahlah Hartini ni bukan seorang yang penyabar.
“Aku tak berniaga pasal Tok Alang tak berniaga. Tok Alang tak berniaga sebab tutup kedai. Tok Alang tutup kedai kerana nak pergi pekan. Tok Alang pergi pekan dengan Nek Alang. Pergi pekan dengan Nek Alang pasal nak beli barang. Nak beli barang sebab barang dah habis. Barang dah habis kerana bisnes Tok Alang bagusss...” Jawapan Zairin Elina berjela macam lagu Bangau Oh! Bangau pula. Bersangkut-paut. Mahu mengusik Hartini lagilah tu.
“Oooo... cakaplah siang-siang.” Panjang mucung Hartini mengekspirasikan perasaan bila mendapat jawapan itu dari Zairin Elina.
Zairin Elina tersenyum lagi. Apalah lembab sangat kawannya yang seorang ini. Masih tidak sedar yang Zairin Elina sedang mempermainkan dia.
“Kata nak tidur rumah arwah ibu kau. Jomlah cepat. Hari pun macam nak hujan saja ni.” Ajak Hartini.
Tangannya menarik lengan Zairin Elina. Matanya pula memandang ke dada langit. Awan hitam sedang berarak perlahan. Angin yang bertiup dari laut semakin kuat dan sejuk.
“Sekejap! Aku nak naik atas ambil baju.” Zairin Elina bangun dari mata tangga, dan mendaki ke atas rumah.
Beberapa minit kemudian Zairin Elina kembali turun mendapatkan Hartini. Dia masih duduk di mata tangga.
“Kau berlenggang saja ke Tini? Tak bawa baju?”  
Zairin Elina melihat ke tangan Hartini yang tidak mengendong apa-apa.
“Ada... Tu aku sangkutkan dekat pagar tu...,” panjang sedepa muncung Hartini mengarah pada pagar rumah Tok Alang yang hampir senget menyembah bumi.
Zairin memandang ke tempat yang dikatakan oleh Hartini. Ketika itu juga sorotan matanya tertancap pada susuk Tok Alang dan Nek Alang nun di hujung laman.
“Kenapa atok bertolak motor pulak balik? Tayar pancit ke? Atau minyak motor habis?” Soalan Zairin Elina itu entah pada siapa dia tujukan.
“Eh! Apa benda yang atok bawa balik tu hah?! Besar semacam saja.” Zairin Elina mula kehairanan.
“Entah!” Jawab Hartini. Dia turut sama memerhati.
Mereka memfokuskan pandangan mata agar penglihatan lebih jelas pada benda yang terletak di atas motor Tok Alang itu.
Bersusah-payah nampaknya Tok Alang menolak motor buruk tu menggunakan kudrat uzur dia. Untunglah Nek Alang ada di sisi membantu.
“Jom Tini kita pergi tengok!”
Setelah puas mengamati, mereka masih tidak tahu apa yang dibawa pulang oleh Tok Alang. Zairin Elina dan Hartini berlari menghampiri mereka berdua.
“Atok kenapa ni? Hah! Siapa ni tok?!” Soal Zairin Elina sebaik sahaja dia mendekati Tok Alang.
Matanya terpaku pada sekujur tubuh yang duduk tertirap di atas motor Tok Alang.
Patutlah Tok Alang bertolak motor balik. Takkan hendak naik bertiga pula motor tu. Motor Tok Alang ni dahlah boleh digredkan sebagai besi buruk, hukum buat tukun saja. Mana motor tu larat...
Zairin Elina lihat warga emas itu bagai mahu semput menolak motor tersebut. Mana tidaknya, sudahlah motor tu dipenuhi dengan barang-barang keperluan berniaga yang Tok Alang beli di pekan tadi. Ditambah pula dengan manusia tidak sedarkan diri yang Tok Alang bawa balik ni. Apa tak semputnya!
“Mana tok jumpa orang ni?” Rasa ingin tahu Zairin Elina membuak-buak.
“Jangan tanya. Nanti dekat rumah tok cerita. Mari tolong tok dulu. Tok dah nak putus nyawa ni. Cepat! Tolong tolak motor. Beeerattt... sungguhhh... niii...” Suara Tok Alang tercungap-cungap.
Digagahi kaki menolak kebelakang, supaya motor itu bergerak kehadapan. Nafas pula ditarik pendek-pendek. Macam dah tak cukup oksigen nampaknya.
Segera Zairin Elina membantu. Takut pula kalau dibuatnya Tok Alang betul-betul putus nyawa. Macam mana?
Ish! Selisih simpang malaikat empat puluh empat.
“Tini tolong nenek bawa barang ni.” Nek Alang menyuakan satu bungkusan plastik berisi buah-buahan pada Hartini.
“Dah genting jari nenek jinjing beg plastik ni dari tadi,” sambung Nek Alang lagi. Hartini pantas menyambut bungkusan itu.
“Sudah! Mari cepat kita bawa orang ni naik ke atas rumah. Hari pun dah nak hujan ni,” arah Tok Alang.
Dia kembali menolak motor itu memasuki perkarangan rumah dengan dibantu oleh Zairin Elina dan Nek Alang.
Tiba saja di tangga rumah, Tok Alang terus menupangkan motor dan memapah lelaki tersebut menaiki tangga. Sedaya upaya Tok Alang membawa orang itu. Kaki pula berhati-hati melangkah enam mata tangga. Kalau tersilap langkah, Tok Alang dan orang-orang tu sekali bergulung jatuh tangga.
Nek Alang mengekor saja di belakang. Tangan sudah bersedia untuk menahan, andai Tok Alang dan lelaki itu terjatuh. Macamlah dia terdaya sangat hendak mengampu berat ke dua-dua lelaki itu. Entah-entah, silap hari bulan Nek Alang pun sama tersungkur.
Zairin Elina dan Hartini pula membawa satu persatu bungkusan yang berada di dalam bakul motor naik ke atas rumah. Semua bungkusan itu hanya diletakkan di muka pintu dan dibiarkan di situ sahaja. Perasaan ingin tahu tentang lelaki itu, lebih penting dari barang-barang tu semua.
Segera mereka mendapatkan Tok Alang dan Nek Alang.
Tok Alang sedang membaringkan lelaki itu ke atas tilam yang baru dibentang oleh Nek Alang di sudut ruang depan rumah.
Bila sudah dibaringkan begitu, barulah kelihatan jelas wajah lelaki tersebut. Dia tidaklah kelihatan terlalu tua, tetapi uban sudah memenuhi separuh dari kepalanya. Umur pula, barangkali sekitar lewat empat puluhan atau awal lima puluhan.
Di sebalik uban yang tumbuh melata, kelihatan ada darah pekat yang mengalir. Kepala sebelah kiri lelaki itu cedera.
“Arin! Tolong ambilkan nenek air suam semangkuk dan tuala kecil. Bawa sekali minyak gamat atas gobok dapur tu,” perintah Nek Alang pada Zairin Elina. Dia menurut tanpa bersuara.
“Kamu Tini, nak tunggu di sini ke atau nak balik saja? Hari semakin gelap tu!” Nek Alang bertanya pada Hartini.
“Entahlah Nek Alang. Arin tu jadi ke tidak hendak tidur rumah arwah ibu dia?” Hartini menyoal Nek Alang semula.
“Nenek rasa tak perlulah. Besok-besok saja kamu berdua tidur di sana. Boleh juga Arin tolong nenek menjaga encik ni.” Ujar Nek Alang.
“Kalau macam tu, tak apalah Nek Alang. Tini baliklah dulu. Nanti tak sempat pulak sampai dekat rumah, dah hujan di tengah jalan.” Putus Hartini pula.
“Kamu tu hati-hati bila balik. Angin tengah bertiup kuat ni. Takut ada pulak dahan-dahan reput jatuh menimpa kamu. Macam encik ni.” Tutur Tok Alang. Tangannya sibuk membuka baju sejuk lelaki itu. Kasut dia juga sudah Tok Alang tanggalkan. Dari pakaian dia, rasanya lelaki ini mungkin sedang berjoging sebelum dia ditimpa kemalangan tadi.
“Encik ni ditimpa dahan ke Tok Alang?” Berkerut dahi si cantik manis ni memandang Tok Alang.
“Ha’ah! Tok jumpa encik ni dekat jalan luar sana. Masa atok sampai, encik ni dah pengsan.” Hartini terangguk-angguk mendengar cerita Tok Alang.
“Tini balik dululah Tok Alang, Nek Alang.” Hartini menghampiri pasangan suami isteri itu lalu bersalaman.
“Kau nak balik ke Tini?” Sapa Zairin Elina ketika dia kembali semula dari dapur.
“Ya. Tak apalah, lain kali saja kita tidur rumah arwah ibu kau tu. Kau tolong Nek Alang jaga pak cik tu. Kalau ada apa-apa, atau keadaan pak cik tu bertambah teruk, kau panggil saja bapak aku. Minta tolong hantarkan pergi hospital.” Ceceh Hartini panjang.
Zairin Elina menghayunkan kepala, faham.
Selepas meletakkan dulang berisi semangkuk besar air suam, tuala dan ubat di sisi Nek Alang, Zairin Elina menghantar Hartini hingga ke muka pintu.
“Aku balik dulu. Ingat! Kalau ada apa-apa jangan lupa beritahu.”
Hartini melangkah menuruni tangga.
“Hati-hati Tini,” nasihat Zairin Elina pula.
“Okey. Bye Arin.”
Hartini melambai tangan dan segera berlalu.
Zairin Elina melihat langit. Awan mendung semakin gelap. Menunggu masa saja hujan hendak turun mencurah.