“Oi cik kak anak kambing! Awak nak pergi mana tu?”
Langkah Ain Sofea terhenti.
“Ya Allahhh... Sakitnya hati aku dengan mat
saleh perasan nak jadi Melayu niii... Tahulah awak tu terror berbahasa Melayu. Kalau dah terror tu, boleh sesuka hati ke buat gelaran untuk aku?” omel Ain
Sofea. Dia kalih menghadap lelaki tersebut.
“Saya ada namalah!”
“Apa nama awak anak kambing?”
“Lagi sekali awak panggil saya anak kambing, siap awak!” Ain Sofea
menggoyangkan jari telunjuknya yang menunding tepat kepada lelaki itu beberapa
kali.
“Awak nak buat apa? Awak ingat saya takut?” provokasi Ian Zacry.
Telinga dan hidung rasa berasap. Panas! Kalaulah ini bukan tempat kerjanya,
harus juga dia silambam ‘mangkuk’ mata biru ni. Ain Sofea menarik nafas
panjang. Cuba menambak kesabarannya.
“Saya malaslah nak layan awak!” Dara itu berpaling meneruskan langkahnya. Buang
karen saja bergaduh dengan lelaki serupa ini. Lebih baik pergi tunaikan solat
asar. Boleh juga menyejukkan hati.
“Macam ni ke awak layan costumer
awak? Saya nak pergi jumpa costumer
service buat aduan.”
Sekali lagi derap Ain Sofea mati. Dia berpatah semula. Menghampiri lelaki
yang bikin darahnya menggelegak kalah lahar gunung berapi. Ada juga yang
meletus sekejap lagi ni. Sudahlah belum hilang panas hati kepada Naqi. Sekarang,
mamat ni pula buat hal macam minta
dimaki.
“Jangan kata costumer service,
kalau awak nak mengadu dekat tribunal pengguna sekalipun saya peduli apa. Awak
ingat saya kesah?”
Sekarang Ain Sofea berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Antara mereka
berjarak cuma sehasta. Anak mata biru Ian Zacry ditentang tanpa berkelip. Jelas
ada kerut di antara dua keningnya. Mungkin lelaki itu tidak menyangka dia seberani
ini.
“Saya mengadu betul-betul nanti baru awak tahu,” ugut Ian Zacry lagi seraya
bercekak pinggang. Tidak mahu mengalah.
“Pergilah! Saya tak takut. Bukan saya tak tahu awak main-mainkan saya saja.”
“Nak main apa pula? Saya nak beli baju pun, awak kata saya main-mainkan
awak? Hilang akal ke apa awak ni? Orang jadi promoter niii..., lagi suka kalau costumer beli barang banyak-banyak tau! Lagi banyak beli lagi
tinggi komisen. Yang awak ni terbalik kut, apa hal? Tak suka pula costumer beli barang.”
“Otak saya ni bukan letak dekat lutut tau! Memang saya belajar tak tinggi.
Tapi ilmu saya menilik muka orang, dah sampai tahap jurus ketujuh. Tengok muka awak
pun, saya tahulahhh... Kelentong saja lebih. Beli baju untuk sendirilah. Lepas
tu kata untuk mummylah. Untuk grannylah. Apa tak kata untuk moyang
awak saja, kan lagi senang?” Merah menyala biji mata Ain Sofea menala kepada
Ian Zacry.
Ian Zacry menelan liur. Terkedu sebentar. Alasan apa lagi dia nak beri?
Memang nampak jelas sangat ke, dia sengaja nak mengenakan gadis ini? Awal yang
sedari tadi memerhati pertelingkahan dua orang dewasa itu segera menarik tangan
Ian Zacry. Mahu meleraikan pergaduhan keduanya.
“Jom kita pergi makan,” kata Awal seraya menggoyang tangan Ian Zacry.
Segera sorotan mata Ain Sofea jatuh ke wajah kanak-kanak itu. Tidak sedar
pula ada si comel ini di kalangan mereka. Dalam hati terdetak sesuatu. Cepat
dia angkat muka melihat Ian Zacry semula.
“Ini lagi satu! Muka gatal miang rebung awak ni, saya kenal sangatlah!”
“Muka gatal?!” Ian Zacry menyoal pelik. Terbantut mahu menjawab ajakan Awal
sebentar tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata Ain Sofea.
“Yalah! Muka gatal yang sedang cuba nak usha
saya ni.” Jari telunjuk Ain Sofea berputar-putar di hadapan muka Ian Zacry. “Dah
ada anak bini buatlah cara dah ada anak bini! Perempuan yang awak bawa datang
sini hari tu, kekasih gelap awak kan?! Sekarang ni, awak nak try saya pula? Jangan mimpilah saya akan
tergoda dengan awakkk...”
“Apa?! Saya nak try awak? Hei minah! Apa yang kau melalut ni?”
letus Ian Zacry. Nampaknya cik gadis ini dah salah faham. Dia merancang nak dajalkan gadis itu hanya semata-mata
mahu Ain Sofea memohon maaf kepadanya. Yang sampai mengata dia nak mengurat minah ni apa kes? Perasan betul! Tak hinginlah!
“Saya melalut apa?! Awak ingat saya tak tahu yang budak ni anak awak? Awak
niii... memang spesies lelaki yang dah kahwin, tapi mengaku bujanggg...”
Ian Zacry mencerlung geram. Perempuan di hadapan dia ini memang jenis
bercakap ikut sedap mulut agaknya.
“Perkara pertama yang awak perlu tahu, Awal ni bukan anak saya. Dia anak
pembantu rumah saya.” Buta ke apa minah
ni? Tak reti nak beza ke? Rupa Awal ni mana ada iras dia.
Ain Sofea cuma mendengar. Entah betul entahkan tidak. Tadi pun dah buat
auta, tak mustahil sekarang ni lelaki ini menipu juga.
“Kedua, buat pengetahuan awak juga saya belum lagi berkahwin. Yang saya
bawa hari tu, bukan kekasih gelap saya. Dia memang kekasih saya. Kekasih cerah
saya, tak ada apa yang gelapnya.”
Ain Sofea mencebek. Tekak rasa loya pula mendengar tutur mamat ini.
“Yang ketiga, tak adanya saya nak mengurat awak. Jangan awak perasan
sangatlah! Kekasih saya tu, sepuluh kali ganda lebih baik dari awak tau! Buat
apa pula saya nak gantikan tempat dia dengan awak?”
“Saya pun tak hinginlah!” Ain
Sofea berpaling mahu berlalu pergi. Menyampah tahap ultra seven. Ingat makwe dia cantik sangat ke, sampai mengata aku
tak setanding minah rambut karat tu?
Aku lagi cantiklah! getus Ain Sofea. Sudahnya mamat ni memang dia fire
juga nanti. Baru ada akal!
“Awak masih berhutang maaf dengan saya, Cik aaa...” Kata-kata Ian Zacry
mati di situ. Kalau dipanggil anak kambing lagi, tentu perempuan ini tetap
berkeras hati tidak mahu memohon maaf kepadanya. Pada orang lain mungkin perkara
itu cuma sebesar hama, tetapi pada dia lebih besar daripada itu.
Selama ini, Ian Zacry menjadi tumpuan wanita. Ke mana saja dia pergi, tidak
pernah dia berjumpa perempuan bertindak kasar kepadanya. Sekarang gadis ini
telah memecahkan tradisi itu. Haruslah dia amat terasa. Sakitnya tu di sini, di
dalam hati. Sebab itulah... seboleh-bolehnya dia mahu Ain Sofea tunduk di
hadapannya. Kalau tidak, rasa tercabar kemachoan
dia.
“Ain Sofea! Nama dia Ain Sofea!”
Langkah Ain Sofea terhenti lagi buat kali yang ketiga. Bukan kerana si bermata
biru, tetapi kerana suara yang telah menyumbangkan namanya untuk pengetahuan
lelaki itu. Siapa pula yang terlebih sudi sangat menolong mamat tu? Pantas kepala menoleh.
“Peace no war...” Rohaida tayang sengih kala melihat Ain Sofea mencerlung
tajam kepadanya.
“Siot punya Kak Ida. Tengok! Tak
pasal-pasal saja mamat ni dah tahu
nama aku,” bisik Ain Sofea geram.
Rohaida datang menghampiri Ain Sofea. Disinggahkan tangannya pada telinga
gadis itu lalu mendekatkan bibirnya pada cuping telinga Ain Sofea.
“Mamat ni handsome gila kak Ida cakap kat kau... Tak sampai hati kak Ida nak
biarkan dia kena marah dengan Ain. Kalau kak Ida lahhh... ada costumer rupa ni, harus kak Ida layan
macam raja. Nanti Ain cuba minta nombor telefon dia. Lepas tu bagi kak Ida ya.”
Ceh! Hantu punya Kak Ida. Memang mata tu cepat benar jadi rambang.
Pantang jumpa mambang rupa kacak macam ni, hidung terus kembang. Nak minta
nombor telefon? Jangan harap! Ain Sofea mengetap gigi kala Rohaida meninggalkannya
bersama tawa halus.
“So..., sekarang macam mana Cik
Ain Sofea? Awak nak minta maaf atau tidak atas apa yang awak buat kepada saya hari
tu,” suara Ian Zacry.
Gadis itu melepaskan nafasnya dengan kasar. Agak-agak, selagi dia tak mohon
maaf, mamat ni akan terus ganggu hidup
dia tak? Rasanya, mahu sampai tahun depan mamat
ni duk kejar dia saja. Daripada hidup asyik berjumpa lelaki serupa hantu, lebih
baik minta maaf saja. Biar tiada hutang di antara mereka. Kosong-kosong. Ain
Sofea kembali menentang Ian Zacry.
“Baiklah! Sss...”
Baru sepatah kata itu terpacul dari mulut Ain Sofea, senyuman Ian Zacry
sudah rabak hingga ke telinga. Akhirnya dia menang dan Ain Sofea mengalah juga.
Gadis itu berdesit panjang menahan marah dan geram. Bernanah anak mata apabila Ian
Zacry menayang senyuman kemenangan itu kepadanya.
“Tunggu apa lagi?”
Panjang helaan nafas yang ditarik oleh Ain Sofea. Hati disabarkan. Radang
cuba diredakan.
“Saya minta maaf atas sikap saya hari tu. Saya minta maaf, saya marah awak
sedangkan saya yang salah. Saya minta maaf, saya tendang kereta awak.” Okey stop! Cukup tiga kali dia ucap perkataan
maaf itu. Jangan harap dia nak ulang lebih daripada itu. Ain Sofea terus angkat
kaki. Segera meninggalkan lelaki tersebut sebelum sempat kata maafnya diterima
oleh Ian Zacry.
Laju langkah Ain Sofea menuju ke surau. Usai solat, dia mahu beristighfar
dan berzikir banyak-banyak. Semoga reda segala rasa marah dan menyampah dalam
hatinya ini. Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Belum pun
tenang perasaannya, hati kembali membengkak. Darah menggelegak. Sebaik sahaja
kakinya melangkah keluar dari surau, lelaki itu sedang menunggu di hadapan
pintu dengan berpeluk tubuh bersandar pada dinding.
“Awak nak apa lagi ni?! Saya dah minta maafkan? Apa lagi yang awak tak puas
hati?” Tipis betul kesabarannya kepada lelaki yang seperti tidak faham bahasa ini.
Nak kata tak faham bahasa Melayu, pandai pula cakap Melayu.
“Saya takkan terima kata maaf awak tu.”
“Terima ke tak ke... apa saya kesah! Terpulanglah kepada awak.” Cepat Ain Sofea
menyarung kasutnya mahu berlalu, tetapi lengannya sudah diraih.
“Awak kena minta maaf semula.”
“Kenapa pula?” soal Ain Sofea seraya cuba melepaskan tangannya dari genggaman
Ian Zacry. Pengunjung yang lalu-lalang di lorong itu untuk menuju ke dan keluar
tandas memerhati pelik kepada mereka.
“Langsung tak ikhlas!”
“Ada tunjuk ke dekat muka saya ni, ikhlas ke tidak saya minta maaf tadi?”
“Ada! Muka tak manis langsung. Macam terpaksa.”
Lelaki ini benar-benar menguji kesabarannya. Berbahang betul kulit muka.
“Kalau awak nak saya terima kata maaf awak tu, awak kena temankan saya dan
Awal makan.”
“Apa?!”
“Temankan kami makan!”
“Kena teman makan?!” Wahhh... Ini sudah lebihhh... Kata tadi bukan nak
mengurat. Sekarang ni dah ajak dia pergi makan pula, apa cer?
“Saya bukan orang kaya nak belanja awak makan. Saya tak ada duit!” Tangan
direntap sehabis kuat. Terpisah jari-jemari Ian Zacry dari lengannya.
“Ada saya suruh awak belanja saya ke? Saya tahu gaji awak tak berapa sen
sangat. Lagipun saya ni bukan jenis makan duit perempuan.”
Semakin tancap wajah lelaki itu dicerlung oleh Ain Sofea. Memang mulut
jamban betul. Ini sudah dikira menghina. Tahulah gaji dia sebagai promoter
sambilan di sini tak sebanyak mana. Apa yang penting, sumber rezeki tu halal. Bukan
hasil rompak atau curi. Baru Ain Sofea mahu membidas kata-kata lelaki itu, kanak-kanak
yang berdiri di sisi lelaki tersebut memanggil namanya.
“Auntie Ain... Bolehlah temankan uncle dan Awal makan... Dari tadi Awal
ajak uncle makan, tapi uncle tak mahu. Uncle kata kena tunggu auntie,
baru kita orang boleh pergi makan. Uncle
nak kita makan sama-sama. Tak mahulah gaduh-gaduh. Mak selalu cakap dekat Awal,
Allah tak sayang kalau kita bermusuh sesama saudara Islam. Auntie dengan uncle tak
takut ke kalau Allah tak sayang?”
Deshummm!
Ambik kau Ainnn... Selepuk kena dekat muka.
Awal yang berdiri di antara Ain Sofea dan Ian Zacry lantas menarik tangan
keduanya. Dipautkan tangan Ain Sofea dan Ian Zacry. Memaksa mereka bersalaman.
“Sekarang uncle dengan auntie salam. Dah minta maaf kena jadi
kawan. Kawan tak boleh gaduh-gaduh,” tambah Awal lagi. Menjadi agen pendamai tak
bertauliah di antara mereka.
Spontan Ian Zacry dan Ain Sofea jadi kaku dan beku saat jejari mereka bersatu.
Mata saling bertentangan. Muka kejang. Haba panas kala tangan bersentuhan
meluncur laju terus ke hulu hati. Jantung mula menderu. Degup sudah tiada lagu.
Masing-masing mula merasa ada sesuatu.
“Uncleee... Lepaskanlah tangan auntie niii...” Awal meleraikan sulaman
tangan Ian Zacry dan Ain Sofea. Kedua-duanya lalu ditarik berjalan beriringan
bersamanya.
“Sekarang kita pergi makan pizza,” ujar Awal lagi. Pandangan berlegar
antara wajah Ian Zacry dan Ain Sofea.
“Ya, ya. Jom kkkita pergi makan pizza,” balas Ian Zacry dalam suara ketar.
Ada yang tidak kena dengan hatinya. Takutkah dia? Takut sudah jatuhhh... Oh!
“Auntie... boleh kan teman kita orang
pergi makan pizza?” soal Awal meminta persetujuan Ain Sofea. Sedangkan ketika
itu dia telah pun mengheret Ain Sofea menyertai mereka.
Ain Sofea yang menundukkan muka cuma angguk kepala. Tidak tahu kenapa dia
rasa sangat berat mahu menolak permintaan kanak-kanak itu. Mungkin kerana tiada
alasan. Sementelah ketika ini memang waktu rehatnya. Dalam kepala, genggaman
lelaki itu masih lagi terasa-rasa pada tangannya. Kebas separuh badan gara-gara
asyik teringatkan ia. Kenapalah dia harus seperti ini? Apa yang Ain Sofea pasti,
dia takkan sanggup memandang lagi muka Ian Zacry.
No comments:
Post a Comment