Usai televisyen dimatikan, alat kawalan jauh diletakkan semula ke atas meja kopi. Deria penglihatan kemudian meneliti setiap ruang rumah. Sunyi. Ian Zacry mengeluh berat. Terasa bosan. Tubuh direbahkan pada sofa. Tangan mengalas kepala seraya mata merenung kosong bahagian siling.
“Uncle Ian, Awal nak balik dah.”
Seorang kanak-kanak berdiri di sisi Ian Zacry. Lekas Ian Zackry bangkit dan
duduk menghadap si kecil.
“Awal dah nak balik?” Tangan disinggahkan ke bahu kanak-kanak comel itu
sambil mengusap lembut.
Awal mengangguk laju.
“Awal tak temankan uncle makan
tengah hari?” Diukir senyuman pada bibirnya untuk si cilik.
“Emmm...” Awak keberatan hendak membalas.
“Kenapa?”
“Ayah... dah janji... nak bawa Awal pergi Seremban,” jawab kanak-kanak itu
teragak-agak. Rasa serba salah mahu menolak ajakan Ian Zacry. Bimbang nanti akan
mengecilkan hati lelaki dewasa ini.
“Ya, Tuan Ian. Kami nak ke Seremban. Awal ni, sudah berapa hari bising.
Minta belikan kasut bola,” celah Puan Faridah yang baru muncul di ruang tamu.
“Sorry ya uncle? Lain kali Awal temankan uncle
makan,” ucap Awal penuh tertib.
“Tak apalah.” Dua helai not seratus dihulurkan kepada Awal selepas
dikeluarkan dari poket seluarnya. “Ambil duit ni. Beli kasut bola Awal tu.”
“Tak apa uncle. Terima kasih. Unclekan dah bayar gaji ayah. Ayah
boleh beli kasut Awal guna duit tu.” Awal menolak sedikit tangan Ian Zacry yang
menghulurkan wang kepadanya. Memang dia sudah dididik sedari kecil, jangan
mudah menerima pemberian orang. Walau dari orang yang dikenali sekalipun.
“Ya Tuan Ian. Tak mengapalah,” tokok ibu Awal pula.
“Tak apa kak Idah.”
Ian Zacry memaut tubuh Awal dan dibawa ke pangkuannya.
“Duit ni uncle bagi Awal, sebab
Awal rajin buat kerja. Awal tolong mak jaga rumah unclekan? Lagipun, bila uncle
ada di sini, Awal selalu temankan uncle.
Jadi, duit ni upah untuk Awal.” Duit kertas itu lantas diselitkan pada celah
tangan Awal.
Secepat kilat Awal berpaling melihat ibunya. Puan Faridah faham akan makna
pandangan anak lelaki tunggalnya itu. Lantas kepala diangguk perlahan. Tanda
memberi keizinan kepada Awal untuk menerima wang tersebut. Awal senyum lebar dan
kalih semula kepada Ian Zacry.
“Terima kasih uncle. Lepas ni,
Awal tolong uncle jaga taman. Awal
bubuh baja. Awal siram bunga. Awal cabut rumput.” Senyuman Awal semakin koyak.
Riang rasa hati kerana usahanya dihargai. Bertambah semangat mahu membantu
ibunya yang bekerja sebagai orang gaji di rumah ladang ini.
Ian Zacry angguk seraya tersenyum mendengar celoteh si kecil yang bijak.
Tangan mengusap kepala Awal.
“Pukul berapa Encik Jaafar datang ambil kak Idah?” Kepala dipanggung
melihat ibu Awal.
“Sekejap lagi tuan.”
Sekonyong-konyong itu, terdengar bunyi hon kereta ditekan beberapa kali di
luar rumah.
“Itupun dia dah sampai. Kami balik dulu tuan. Makanan untuk tengah hari semuanya
kak Idah dah hidangkan atas meja. Kuih untuk minum petang pun ada. Air kopi O
kak Idah dah bancuh. Ada dalam termos. Untuk makan malam, kak Idah simpan dalam
peti sejuk. Nanti tuan panaskan saja dalam microwave,”
pesan Puan Faridah berjela. Majikannya ini bukan ada isteri. Semua kena lakukan
sendiri. Jadi, siap-siap pesan apa yang perlu dibuat.
“Kak Idah minta maaf ya, tuan. Tak dapat bekerja hingga ke petang.”
“Kak Idah... Kan saya dah cakap banyak kali? Saya tak kisah kak Idah nak
balik awal kalau ada hal. Lagipun, tak ada apa yang nak dibuat lagi. Lebih baik
kak Idah luangkan masa dengan keluarga.”
Puan Faridah senyum gembira. Tuan punya estet ini memang baik orangnya.
Sungguh bertimbang rasa.
“Tuan jangan lupa makan pula nanti.”
“Baiklah kak Idah. Terima kasih,” balas Ian Zacry lalu berdiri meninggalkan
sofa untuk menghantar dua beranak itu ke pintu di mana Encik Jaafar sudah sedia
menunggu.
“Tuan dah makan?” soal Encik Jaafar selepas mereka berbalas ucap salam.
“Sekejap lagi,” jawab Ian Zacry.
“Tuan tak pergi ke mana-mana hari
ni?”
“Saya nak melawat ladang. Petang sikit agaknya baru saya pergi.”
Encik Jaafar angguk. Dia dan isterinya kemudian meminta izin untuk beredar.
Ian Zacry memerhati langkah pasangan suami isteri itu serta anak mereka. Jelas di
telinganya tawa riang keluarga tersebut. Terbit rasa cemburu. Entah bila dia boleh
merasa hidup yang begitu? Ada isteri untuk dicintai. Memiliki anak untuk
dikasihi.
Sekiranya satu hari nanti dia mempunyai keluarga, dia akan mencontohi keluarga
pengurus ladangnya. Walaupun hidup dalam kesederhanaan, tetapi kaya dengan
kasih sayang. Encik Jaafar juga sangat mengutamakan keluarganya.
“Mampukah aku mendirikan keluarga yang begitu bersama Ellisa? Bolehkah
Ellisa memberikan aku kebahagiaan seperti yang aku harapkan?” Ian Zacry mengeluh
lemah.
Jawapan kepada pertanyaannya itu sudah nyata. Cuma dia tidak mahu
mengiakannya. Sekarang pun boleh lihat. Dia saja yang beria-ia melimpahkan Ellisa
dengan kasih sayang. Sedangkan Ellisa... tidak pernah menunjukkan kesungguhan
dalam hubungan mereka. Jika mahukan sesuatu barulah dia diperlukan. Kalau tidak
dipenuhi, merajuk. Tak puas hati, muncung.
Pandangan mata Ian Zacry masih melekat pada kereta Encik Jaafar yang
meninggalkan perkarangan rumah. Jauh di sudut hati, semakin kuat keinginannya
ingin mempunyai keluarga sempurna seperti Encik Jaafar. Sekali lagi Ian Zacry
mengeluh.
“Layakkah Ellisa menjadi isteri aku?” Tercetus soalan itu untuk dirinya.
Yang pasti, hati masih tidak berani memberi jawapan walaupun dia arif,
bagaimana perangai jantung hatinya itu. Kuat membentak! Bahagiakah dia jika sentiasa
terpaksa melayan karenah Tengku Ellisa? Selama manakah dia mampu bertahan
menghadapi perangai Tengku Ellisa?
Semalam saja beribu duitnya habis memenuhi kehendak dan permintaan Tengku
Ellisa. Tengku Ellisa bukan tidak mampu, tetapi setiap kali ingin memenuhi
nafsu membeli-belahnya, mesti dia yang dicari. Harus dia yang menemani. Bermakna
duit dialah yang keluar. Bukan dia berkira, namun sampai bila dia mahu menurut
telunjuk Tengku Ellisa?
Mungkin salah dia juga kerana selama ini terlalu beralah. Mengikut saja
semua kemahuan Tengku Ellisa. Alasannya, bimbang Tengku Ellisa meninggalkannya
sama seperti Julia.
“Julia...” Terlepas nama itu dari bibirnya tanpa sedar. Ian Zacry
mendengus. Terasa ada penyesalan terbit dalam diam.
Julia, wanita yang pernah bertahta dalam hatinya sebelum Tengku Ellisa. Dahulu,
dia selalu ambil mudah hubungannya dengan Julia. Sering mengabaikan Julia
kerana sibuk dengan urusan Bumi Hijau. Seratus sepuluh persen komitmen yang
diberikan kepada syarikat milik keluarganya itu hingga Julia kurang diberi
perhatian. Akhirnya, Julia tidak lagi mampu bertahan dengan sikapnya. Julia
tinggalkan dia. Julia pergi jauh darinya. Apabila Tengku Ellisa hadir ketika
dia patah hati, tanpa berfikir panjang terus sahaja dia terima perempuan itu.
Dia mahu buktikan kepada Julia, bahawa keputusan Julia meninggalkannya adalah
satu kesilapan. Jika Julia tidak menginginkan dia, ada perempuan lain yang
gilakan dia. Sekarang, dia tidak tahu siapa yang silap. Dia atau Julia? Julia
mungkin sudah bahagia dengan suaminya. Sedangkan dia dan Tengku Ellisa?
“Julia...”
Oh! Betapa sukarnya melupakan gadis itu, walaupun selepas hampir dua tahun
mereka berpisah.
******
“Kenapa Julia?”
Air mata lelakinya mula bergenangan.
“I dah bosan dengan sikap you, Ian!”
“I janji, I akan berubah sayang.”
Jari-jemari kekasihnya dicapai dan digenggam kejap.
“Sudahlah Ian. Cukuplah hubungan I
dengan you selama ini. I dah tak tahan lagi!”
Julia merengkuh kuat hingga pautan tangan mereka terlerai.
“I sayangkan you, Julia. I sayangkan
hubungan kita. You nak sia-siakan apa
yang dah kita lalui selama ini?”
Dipaut pula kedua belah bahu Julia.
“Sayang?! You sayangkan I?! Sayangkan hubungan kita?!”
Pantas Julia menepis pula tangan dibahunya. Gadis itu memalingkan wajah.
“You yang tak sayangkan hubungan
kita! Bila I perlukan teman, you tak pernah ada. You asyik sibuk, sibuk, sibuk. Dua puluh empat jam, siang malam
bekerja. Jarang you luangkan masa
bersama I. I nak pergi jumpa you, you
tak bagi. Konon tak nak keluarga you
tahu pasal kita. Kalau you inginkan I, mahu pakai I, baru you datang cari I. You
ingat I apa? Pelacur? Tempat you melampiaskan kehendak nafsu you?”
“Tidak sayang! I tak pernah
anggap you macam tu!”
“Habis tu?!”
“I benar-benar cintakan you, Julia.”
Julia menoleh kepadanya dan tersenyum sinis.
“I takkan termakan lagi dengan
ucapan cinta you tu. I dah nekad kali ini, Ian. Cukuplah I bersabar dengan sikap you selama ini. I tak mahu diabaikan lagi.”
“Juliaaa...” Dia merintih. Enggan mendengar keputusan muktamad kekasihnya
ini.
“I akan pulang ke London malam
ini.”
“Apa?!”
Baru dua hari lepas mereka bersama. Menghabiskan malam dengan menyemai rasa
cinta. Kini, sekelip mata Julia mahu pergi darinya? Kenapa mendadak saja Julia
berubah? Tega mahu meninggalkannya?
“Mummy dan daddy mahu I berkahwin
dengan kenalan mereka. I pun dah
setuju. Perkahwinan kami akan diadakan secepat mungkin. Jadi..., selamat
tinggal Ian.”
Julia berpaling lantas berlari menjauhinya.
“Julia! Julia! Tolong jangan tinggalkan I.
Juliaaa...”
Dia cuba mengejar, tetapi kaki tersadung sesuatu.
Buk!
“Allah!”
Ian Zacry membuka luas kelopak matanya. Tubuh yang tersembam menghadap
lantai segera dikalihkan. Dia terlentang memandang siling. Segera kedua telapak
tangan mengusap pada muka selepas menyedari dia berada di mana.
“Astaghfirullah hal’azim...”
Dia mimpikan Julia lagi rupanya. Segera Ian Zacry bangun dari lantai dan
duduk di birai katil. Bahu yang terasa segal dipicit perlahan. Kenangan bersama
Julia kembali terimbau. Betapa lalainya hidup dia selama menyulam cinta bersama
Julia. Tidak terkira himpunan dosa besarnya berzina dengan Julia.
“Ya Allah... Kau ampunilah segala dosa yang telah aku lakukan selama ini.
Ampunilah aku Ya Allah.”
Ian Zacry memanjangkan penglihatan ke dinding. Jam yang tergantung di sana
menunjukkan waktu menghampiri pukul lima petang. Lantas dia menuju ke bilik air
untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk. Usai empat rakaat solat asar
dikerjakan, dia bermunajat lama di sejadah. Memohon keampunan dari Allah SWT
atas dosa lampaunya. Sesungguhnya dia amat lemah dan jahil ketika itu. Hanyut dalam
hasutan syaitan. Leka dengan godaan nafsu yang dilakukan kononnya atas nama
cinta.
Allah SWT itu maha pengasih dan penyayang. Kerana kasih dan sayang Allah
SWT kepadanya, segera dia ditarik keluar dari hidup yang bergelumang dengan maksiat.
Tidak mahu dia terus sesat, Allah SWT pisahkan Julia darinya. Biarpun dia amat
kecewa. Rasa terseksa pada permulaannya, lama-kelamaan, sakit ditinggalkan itu
hilang.
Dia sedar kenapa takdirnya bersama Julia begitu hanya selepas Allah SWT
memberikan kepadanya hidayah. Hidayah yang didatangkan melalui seorang manusia
bernama Luth Michail. Ya, adiknya itulah yang sering memberi kata-kata semangat
kepadanya disaat dia melalui detik-detik sukar. Luth Michail menyedarkannya
tentang hikmah atas setiap kejadian. Luth Michail yang banyak membimbingnya
kembali ke jalan yang lurus. Bukan dia tidak tahu mana satu pahala, mana satu
dosa. Cuma dia sudah terikut dan terpengaruh dengan rentak hidup Ayahanda
Longnya.
Mujur Luth Michail pulang ke tanah air tepat pada masa dia memerlukan
seseorang. Jika tidak, tentu hidupnya bertambah rosak.
Selepas menggantikan pakaian solat kepada seluar jean dan kemeja-T, Ian
Zacry melangkah keluar dari biliknya. Dia mahu melawat sekitar kawasan ladang
kelapa sawit milik Bumi Hijau Plantation.
Tin! Tinnn!
Kedengaran hon kereta dari luar rumah. Seketika ucap salam bergema di
hadapan pintu utama.
“Waalaikumussalam...” Daun pintu segera dikuak.
“Uncle! Awal ada beli buah untuk uncle...” Wajah ceria Awal terpacul di
muka pintu. Kedua ibu bapanya turut berada di situ.
“Eh Awal?!”
“Maafkan kami tuan, kalau kami mengganggu tuan. Awal ni, sibuk mahu ke
sini. Nak hantarkan buah yang dia beli untuk tuan,” terang Encik Jaafar dalam kebimbangan.
Takut kedatangan mereka sekeluarga membantutkan rancangan Ian Zacry.
“Ish! Tak ada apalah Encik
Jaafar.”
“Ini Awal belikan buah untuk uncle,”
ujar Awal sekali lagi seraya menarik tangan Ian Zacry lalu diberikan bungkusan
plastik yang dipegangnya.
“Buat susah Awal saja.” Ian Zacry mencangkung di hadapan Awal. Disambut
bungkusan plastik yang dihulurkan.
“Uncle bagi Awal upah tadikan?
Jadi, Awal belanja uncle buah. Mak
kata, kalau orang berbudi kita kena berbahasa,” tutur Awal petah.
“Belum sampai Seremban lagi dia dah bising dalam kereta, tuan. Ajak singgah
di kedai buah. Nak belikan untuk tuan buah anggur yang tuan suka,” cerita Puan
Faridah.
Awal tersenyum lebar.
“Baiknya Awal... Terima kasih banyak-banyak kerana Awal ingat kepada uncle.” Disinggahkan kucupan ke dahi
Awal.
Si comel mengangguk laju.
“Sama-sama uncle.” Ian Zacry
terus dipeluk erat.
“Sudah Awal! Mari kita balik. Uncle
mungkin nak keluar tu.” Puan Faridah merungkai dakapan anaknya pada tubuh Ian
Zacry.
“Tuan nak keluar melawat ladang ke?” soal Encik Jaafar.
“Ya!”
“Tuan nak saya temankan?”
“Encik Jaafar mesti penat. Baliklah berehat. Saya boleh pergi sendiri.”
“Baiklah tuan. Kami minta diri dulu.”
Selepas bersalaman keluarga Encik Jaafar beredar meninggalkan Ian Zacry.
Seperti tengah hari tadi, gelagat Encik Jaafar bersama anak dan isterinya
membuatkan hati Ian Zacry berbisik buat yang kesekian kali.
“Mungkinkah aku harus mengahwini Ellisa? Tetapi... bahagiakah aku kalau aku
mengahwini dia?” Ian Zackry melepaskan nafas keras selepas soalan itu. Hati
kuat mengatakan, kebahagiaan yang dia ingini dalam perkahwinan tidak akan
ditemui bersama Tengku Ellisa.
Bukan tidak pernah Tengku Ellisa memberi bayangan kepadanya, mahu meneruskan
hubungan mereka ke satu tahap lagi. Dia saja yang buat-buat tidak mengerti.
Alasan sibuk mahu memajukan syarikat diberi. Mujur Tengku Ellisa tidak banyak
peri. Dan soal perkahwinan itu terus Tengku Ellisa tolak tepi tanpa dakwa-dakwi.
Kalau bukan dengan Tengku Ellisa, dengan siapa pula dia mahu menamatkan
zaman bujangnya? Umur telahpun mencecah tiga puluh tahun. Memang sudah wajib
mempunyai keluarga, tetapi soalan yang paling penting untuk dia jawab adalah,
bersama siapa?
Tiba-tiba terlintas wajah ayu itu di ruang mata.
“Ah! Gila!” Belakang telinga digaru kasar. Tidak faham kenapa wajah gadis
brutal itu yang tergambar di dalam kepala.
“Kenapa pula tiba-tiba teringatkan anak kambing tu?” Beranda ditinggalkan
dan menuju ke dapur untuk menyimpan buah yang diberi oleh Awal.
“Hei mat saleh perasan nak jadi
Melayu! Kau apa hal ek? Kau ada
masalah dengan aku ke? Apa salah aku sampai kau sesuka hati panggil aku anak
kambing?”
Entah kenapa tiba-tiba sahaja bergema suara kasar itu di tepi cupingnya.
“Apa gilanya aku ni? Bolehkan terdengar-dengar pula suara dia?” Jari
telunjuk disumbat ke dalam lubang telinga dan digoyang berkali-kali.
“Heh! Malam-malam buta pun nak pakai cermin mata gelap.”
Bicara sinis gadis itu terngiang lagi. Ian Zacry mengetap gigi.
“Eee... Minah tu memang
menyakitkan hati betullah! Kalau dia jadi bini aku, harus bertinju hari-hari.
Mulut macam machine gun!” Ian Zacry
terus mengetuk kepala sendiri.
“Macam mana aku boleh terfikir yang dia jadi bini aku? Minta dijauhkanlah
aku dapat bini serupa tu!”
Kepala diketuk lagi bagi menghalau bayangan wajah ayu itu. Namun, bias
rupanya tetap melekat di dalam otak. Setiap kata-kata gadis itu juga terus
berlegar di dalam koklea. Perlahan-lahan senyuman tersungging di bibir. Terasa
peristiwa di Parkson malam tadi mula mencuit hati. Tutur si rupawan kini menggeletek
geli. Maka gelak besar terlepas tanpa dapat ditahan lagi.
“Kalau dapat bini lagu tu... bagus juga. Daripada asyik pujuk bini yang
kuat merajuk, lebih baiklah dapat bini yang boleh dibawa bertumbuk.” Dan Ian
Zacry ketawa lagi.
Tak semena-mena terbit hasrat mahu berjumpa gadis itu. Bergegas Ian Zacry
menuju ke pintu. Capai kunci kereta dan menyarung kasutnya. Tak dapat tengok
dari dekat, sekodeng dari jauh pun jadilah.
Haihhh... Memang dah gila agaknya si mata biru ni!
No comments:
Post a Comment