Total Pageviews

Wednesday, March 23, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 8




Ke hulu ke hilir Ian Zacry berlegar di ruang tamu. Sedari petang semalam ada yang tak kena dengan dirinya. Lebih tepat lagi, hati dia! Sebab itulah sampai ke hari ini dia rasa libang-libu. Masakan tidak, hajatnya tak kesampaian.
Puas dia sekodeng. Jangan kata nampak, jumpa pun tidak. Ian Zacry yakin si gadis manis bekerja di bahagian pakaian wanita itu, tetapi kenapa petang semalam kelibatnya tidak kelihatan? Leka dia menghendap hingga tidak perasan ada pengawal keselamatan yang memerhati. Siap disergah lagi. Mujur tak ditangkap kemudian dituduh cuba mencuri. Kalau tidak, tak pasal-pasal malu berguni-guni.
Ralit Ian Zacry mundar-mandir, suara Awal singgah ke cuping telinganya. Pandangan segera menerobos ke tengah halaman melalui pintu gelangsar. Melihat kanak-kanak itu tiba-tiba mendatangkan idea kepadanya. Laju Ian Zacry menghampiri tangga dan menyarung sandal.
“Awal nak ikut uncle tak?” Awal yang sedang menolak lori mainan di atas rumput dirapati. Rancangannya, Awal mahu dijadikan perisai. Nanti tak adalah jelas sangat dia ke sana semata-mata mencari minah tu. Jika semalam misinya tidak berjaya, dia akan pastikan hari ini dia berjumpa gadis itu. Jika tidak, tak lelap lagi tidur malamnya.
“Pergi mana uncle?” Si kecil memandang teruja.
“Teman uncle pergi Seremban.”
“Buat apa? Semalam kan Awal baru pergi Seremban sama ibu dan ayah.”
“Itu semalam. Hari ni Awal pergi dengan uncle. Temankan uncle jalan-jalan ya? Nanti uncle belanja makan Pizza Hut.”
“Makan pizza?! Nak nak nak! Awal nak ikut!”
Awal berlari mendapatkan ibunya di dapur. Ian Zacry membuntuti kanak-kanak itu dari belakang.
“Betul ke tuan nak bawa Awal ke Seremban?” Puan Faridah menyoal sebaik sahaja Ian Zacry muncul di dapur.
Ian Zacry angguk kecil.
“Saja nak pergi ronda-ronda. Rasa bosan pula hari cuti ni asyik duduk rumah saja. Saya bawa Awal temankan saya boleh ya kak Idah? Nak pergi sorang rasa tak seronok.” Tangan Awal digapai.
“Boleh tu memang boleh tuan. Tapi tuan jangan manjakan si Awal ni. Belikan dia macam-macam pula nanti. Jangan tuan ikutkan sangat perangai dia,” pesan Puan Faridah. Tidak mahu anak lelakinya itu dibiasakan dengan kemewahan. Minta apa saja semuanya dapat.
Ish! Tak adalah kak. Awal ni baik budaknya.”
Awal mengangguk laju mengiakan kata-kata Ian Zacry. Selepas Puan Faridah mengizinkan anaknya pergi bersama Ian Zacry, segera teruna itu membawa Awal menaiki keretanya. Setengah jam selepas itu, mereka sudahpun memijak lantai bangunan Seremban Prima.
 “Awal, kita masuk shopping complex dulu ya. Lepas tu baru kita pergi makan.”
Awal angguk tanpa membantah. Tangan kanak-kanak itu berpaut erat pada genggaman Ian Zacry kala dia diheret memasuki Parkson. Dalam kepala Ian Zacry sudah terbayang tempat yang harus dituju.
******
Ain Sofea mengeluh panjang. Sejak masuk kerja selepas Naqiuddin menghantarnya, beginilah keadaan dia. Tiada henti berkeluh-kesah. Banyak perkara yang dia fikirkan. Soal kewangan keluarganya. Tentang perasaan ibunya. Bagaimana dengan dia selepas ini. Oh! Beratnya kepala...
Gadis itu mendesah perlahan kemudiannya, sebaik teringatkan reaksi Naqiuddin yang  bermasam muka sepanjang perjalanan mereka dari kampung tadi. Walaupun ibunya sudah setuju mahu menjual tanah, radang Naqiuddin kepadanya tidak juga reda. Apabila dia tayang muka selamba, lagi panjang muncung sepupunya itu. Muka seperti baru lepas minum sebaldi cuka.
“Nak belajar tinggi-tinggi supaya nanti aku boleh tumpang senang dia kononnya lahhh... Hak tui! Entah-entah, bila dah kerja nanti, dia kahwin dengan orang lain. Manalah tahu kan?” gerutu Ain Sofea sendirian. 
“Belum kahwin ni pun, dia dah biasa makan duit aku. Bila kahwin nanti serupa tu juga agaknya. Sampai ke sudahlah aku duk menyuap dia saja. Laki macam tu ke yang aku nak jadikan laki?” rungut Ain Sofea lagi. Sudah mula sangsi dengan masa depannya bersama Naqiuddin.
Pap!
“Allah!” Tubuh Ain Sofea terdorong ke hadapan. Dagu yang diampu pada telapak tangan turut terjatuh. Sorotan mata terus melekat kepada longgokkan baju yang dicampak ke atas meja kecil di hadapannya.
“Buka bil!”
Kasar suara itu menyergah Ain Sofea. Cepat dia menoleh dan gadis itu terus terpempan. Masa seolah-olah berhenti berputar. Badan terkaku menatap wajah si mata biru. Jantung turut beku.
“Cepatlah buka bil!” gesa si tampan.
“Aaapa?” Ain Sofea jadi gugup serta-merta. Tambahan pandangan jejaka itu tidak beralih dari wajahnya. Dalam kepala diserbu semula rasa bersalah. Patutkah dia memohon maaf atas sikapnya tempoh hari?
“Pekak ya? Saya suruh awak buka bil untuk semua baju-baju ni!”
“Bbbaik eeencik.” Kelam-kabut Ain Sofea menyelak timbunan baju itu untuk mencari buku bilnya. Setelah berjumpa segera ditarik keluar dan mula menulis, tetapi sesaat kemudian kepala dipanggung memandang lelaki mat saleh itu.
“Betul ke encik nak beli semua baju ni?” Ain Sofea menyoal sekadar inginkan kepastian. Baju yang dipilih semuanya potongan blaus panjang menutup badan. Makwe mamat ni hari tu, gaya berpakaiannya macam tak cukup kain dijual di pasaran.
“Yalah!”
“Untuk siapa?”
“Saya beli untuk sayalah!”
“Hah?! Uuuntuk encik?” Ain Sofea bular mata. Biar betul mat saleh ni?
“Kenapa?” Ian Zacry pelik.
“Bbbaju ni untuk orang perempuan, encik.”
Kini giliran Ian Zacry pula yang gugup.
“Eh! Bbbukan untuk saya. Untuk, untuk... untuk mummy saya!” Tersilap pula. Takkanlah dia pakai baju perempuan pula kan?
Semakin bertambah kerutan pada pelipis Ain Sofea. Mamat ni otak dia betul ke tidak ni?
Mummy encik nak baju macam ni ke?” Ain Sofea mengangkat tinggi sehelai blaus yang amat nipis ke depan mukanya. Wajah lelaki itu nampak jelas di sebelah sana. Jarang sangat satu cerita, lengan terbelah panjang dari bahu hingga ke bawah satu perkara. Takkan mummy dia suka baju fesyen lagu ni kut? Muda sangatlah haih mummy dia, minat pakai baju rupa ni.
Muka Ian Zackry yang serius sekelip mata bertukar kelat.
“Eh! Bukan mummy saya,” sanggah Ian Zacry. Anat mata berlegar ke kiri dan kanan mencari alasan.
Ain Sofea menunggu jawapan. Tiba-tiba rasa mahu ambil tahu pula mamat ni mahu beli baju untuk siapa. Jangan kata untuk nenek dia pula sudah! Nampak benar auta. Ke nak usha?
Cet! Jangan duk perah santan Ain!
“Untuk granny sayaaa...”
Ain Sofea terus buntang mata. Bukan ke granny tu maksudnya nenek? Bergetah sangat pula nenek dia pandai bergaya dengan blaus seksi ni. Nenek dia buang tabiat kut? Ke mamat ni yang dah nyanyuk.
Ceh! Memang sah mamat saleh ni tengah buat auta, bisik Ain Sofea.
“Awak sengaja longgokkan baju ni depan saya kan? Lepas saya buka bil panjang berjela, hujung-hujung nanti, awak tak jadi beli!” suara Ain Sofea dari celah gigi yang diketap menahan marah. Ini bukan nak usha, tapi nak bagi dia susah! Nanti dia juga yang kena sangkut semula baju-baju ni semua.
Cinabeng punya mat saleh! Bengang kes hari tu tak habis lagilah ni? Gerenti dia nak balas dendam. Sengaja kenakan aku! rengus Ain Sofea dalam diam. Niat di hati hendak meminta maaf tadi terus terkambus oleh rasa marah.
Nak minta maaf? Podah! Jalan dah! Boleh blah!

4 comments: