Total Pageviews

Thursday, March 17, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 5




Eee... Bencinya akuuu...”
Mata dipejam dan kedua penumbuk digenggam serentak. Geram! Namun, apabila teringatkan kejadian siang tadi, dia akhirnya malu sendiri. Kedua telapak tangan spontan menekup di muka.
“Aduhhh... Tak sangka mat saleh tu faham bahasa Melayu. Menyesal aku sekolahkan dia petang tadi. Aku siap tendang tayar kereta dia pula tu!”
Diturunkan telapak tangannya dan mendongak memandang siling koc.
“Macam mana kalau aku terjumpa dia lagi? Arghhh...”
Sekali lagi Ain Sofea menekup muka. Serasa seperti mat saleh itu berada di hadapannya ketika ini pula.
“Memang patutlah dia marah aku. Panggil aku anak kambing. Aaa... Bodoh betul aku ni!”
Kali ini kakinya pula menghentak-hentak ke lantai. Tiba-tiba, Ain Sofea terasa bahunya dicuit.
“Dik, kenapa ni?”
Direnggangkan sedikit jarinya. Melihat di antara celah-celah jemari, siapa yang telah menyapa dia sebentar tadi. Segera tangan diturunkan lalu tersengih ala-ala kerang dah busuk kepada wanita tersebut.
“Tttak... Tak ada apa-apa kak,” balas Ain Sofea. Bila masa ada orang duduk di sebelahnya? Tak perasan pula.
“Ingatkan sakit ke, apa ke.”
“Takkkk... Saya okey kak.” Dia senyum. Cuba menutupi rasa malunya.
Wanita itu kemudiannya merebahkan kepala pada penghadang pintu sebelum merapatkan kelopak mata. Ain Sofea membetulkan duduk. Dalam fikiran kembali terbayang peristiwa petang tadi dan kejadian di tempat kerjanya. Tidak mahu mengganggu wanita yang sudah lelap di sebelahnya, gadis itu berdecit perlahan.
“Kenapalah aku berani sangat bertegang urat dengan mat saleh tu? Kenapalah mulut aku ni gatal bahasakan mamat tu siang tadi?” Ditepuk hujung muncungnya.
Haruslah lelaki itu marah kepadanya. Dia yang bersalah. Dia yang cuai. Dia yang tak ikut undang-undang. Bila hampir hendak dilanggar, dia pula yang memaki hamun lelaki tersebut. Bukan itu saja, siap tendang tayar kereta lagi. Mahunya mamat tu tak meroyan apabila terjumpa dia! Sepatutnya, dia minta maaf saja di atas kecuaiannya itu. Ini tidak, dia marah-marah pula.
“Ain... Ain... Kaukan perempuan? Sepatutnya lebih berbudi bahasa. Lemah lembut. Sopan santun. Mak pun tak didik kau jadi macam tu. Minta maaf kan lebih bagus? Tak rendah martabat kalau kita minta maaf. Malahan orang akan memandang tinggi kerana kita berani mengakui kesilapan sendiri.” Nasihat Ain Sofea kepada dirinya sendiri.
Hmm... Nampaknya, aku berhutang maaf dengan mamat tu. Kalau terjumpa lagi lepas ni, kena minta maaflah jawabnya.”
Pandangan dibuang keluar tingkap gerabak komuter. Wajah jejaka bermata biru yang sangat menggoda cuba dilupakan seraya dalam hati berdoa agar dia tidak bertemu lagi dengan lelaki itu. Malu! Sangatlah memalukan!
Komuter yang dinaiki tiba di stesen Sungai Gadut. Hari ini, perjalanan dari stesen komuter ke rumah Mak Longnya terasa amat jauh. Bukan dia tidak biasa menapak pergi dan pulang kerja. Setiap hari. Pagi dan malam membilang langkah, tetapi kali ini, kaki terasa sungguh lenguh. Seperti sudah berjalan berpuluh-puluh kilometer.
Keadaan yang agak gelap sepanjang jalan juga tidak merisaukan Ain Sofea. Kebiasaannya, dia akan berjalan sangat laju. Hampir kepada berlari anak. Bimbang berlaku perkara yang tidak baik kepadanya apabila berjalan seorang diri di tengah malam begini. Kadang-kadang, perasaan penakut datang bertandang. Dalam kepala terbayang sesuatu terbang di belakang. Dengan rambut mengurai panjang. Taring tajam. Eee... Takut!
Hari ini, bolehkan pula dia lemah gemalai menyusun derap. Tiada rasa risau langsung.
“Kenapa hati aku rasa semacam saja ni? Berdebar-debar. Sebab mamat mata biru tu ke?” Ain Sofea mengeluh. Masih juga otak tidak mahu melupakan lelaki itu.
Teringatkan wajah tampannya, bisa buat iman gugur. Terkenangkan biru matanya, orang sedang berjalan boleh jatuh tersungkur. Nampaknya, hati dia ini sudah berjaya dilibang-libukan oleh mat saleh itu. Perasaan malu, marah, bersalah, tergoda, bergumpal dalam dada. Entah apalah tanggapan lelaki itu terhadapnya? Semakin dikenang, semakin hati rasa tak senang.
“Kau tak ingat Ain apa mamat mata biru tu cakap kepada kau tadi?”
Ain Sofea teringat kembali dialog si jejaka menawan.
“Muka saja cantik, tapi otak letak dekat lutut. Tu pasal aku panggil kau anak kambing!”
Terus keluhan meletus dari bibir mugilnya.
“Maknanya…, dia anggap kau cantik, Ain. Pasal kau buat perangai siang tadi, kau dah jadi macam anak kambing di mata dia. Alahaiii...” Semakin bertimpa-timpa rasa bersalah dan menyesalnya.
“Eh, jap! Dia kata aku apa? Cantik?!”
Senyuman tersungging di bibir tidak semena-mena. Kata-kata lelaki itu boleh dianggap sebagai satu pujian. Ain Sofea tersenyum lebar. Sudah perah santan. Perasan!
Mamat tu kata aku cantikkk...” Tangan meraba di pipi mulusnya. Hati kembang berbunga. Namun, senyum itu padam sebaik dia terkenangkan seseorang.
“Dah! Jangan nak berangan lebih sangat, Ain. Kaukan ada Abang Naqi? Jangan cuba-cuba curang! Jadi kekasih yang setia. Kau ingat, si mata biru tu kata kau cantik, dia dah terpikat dengan kau? Kirim salam makan kuih talam. Jumpa sekali lagi pun, belum tentu mat saleh tu ingat muka kau.”
Pantas Ain Sofea sedar diri. Angan-angan Mat Jenin segera disisih ke tepi. Langkah dilajukan apabila simpang ke rumah Mak Long semakin dihampiri tetapi derap terus terhenti sebaik sahaja dia memasuki simpang itu. Pandangannya melekat pada kereta Proton Saga BLM yang elok terparkir di bawah pohon mangga di hadapan rumah Mak Long. Gadis itu mengeluh kemudiannya. Dia tahu kereta itu milik siapa.
“Dah ada di rumah, jemputlah aku balik kerja hendaknya. Apalah nasib? Ada buah hati, tapi serupa macam tak ada saja,” rungut gadis itu seraya menghampiri rumah Mak Long yang terletak selang dua buah rumah dari simpang.
 Kadang-kadang, Ain Sofea terkilan dengan sikap Naqiuddin. Langsung tidak ambil berat tentang dia. Apa salahnya, dalam perjalan balik ke rumah ibunya ini, Naqiuddin singgah sebentar di Parkson. Tunggu dia habis kerja dan pulang bersama. Tidaklah letih dia mengejar komuter. Tak adalah penat dia berjalan kaki. Jangan kata hendak menjemputnya di tempat kerja, singgah sebentar pun tidak pernah. Menunggunya di stesen komuter apatah lagi. Harammm... tak pernah terniat. Bukan Naqiuddin tidak tahu jadual ketibaan komuter pukul berapa. Tidak kasihankah Naqiuddin kepadanya?
“Sabarlah Ain. Abang Naqi nak buat semua tu? Takkan ada punya. Kau pun tahu perangai Abang Naqi tu macam mana,” keluh Ain Sofea.
Biarpun begitu layanan serta sikap Naqiuddin kepadanya, tetap lelaki itu yang terbaik di mata Ain Sofea. Masih lelaki itu yang ditunggu selama ini. Rasa sayangnya tersimpan hanya buat Naqiuddin. Soal hati memang pelik.
“Dah balik pun.”
Satu suara menyapa kala Ain Sofea menyelak engsel pintu pagar.
Dah balik pun? Perkataan itu yang keluar dari mulut Naqiuddin? Bersuara pun seperti hendak tidak hendak saja. Seolah-olah Naqiuddin tidak suka dia pulang ke rumah ini. Kalau dia jenis yang cepat terasa, harus sudah lari dari rumah.
“Bila abang balik?” soal Ain Sofea.
Dihampiri lelaki itu selepas menutup pintu pagar. Dia berdiri di sisi Naqiuddin yang sedang duduk di kerusi. Ruang rehat di penjuru beranda rumah teres setingkat ini suram. Hanya diterangi cahaya daripada lampu jalan.
“Baru setengah jam tadi abang sampai,” balas Naqiuddin.
Kan dah cakap tadi. Kalau setengah jam yang lepas Naqiuddin singgah menjemput dia di Parkson, kan boleh. Tidak pernah ke Naqiuddin mahu ambil berat pasal dia? Langsung tidak terfikir akan kesusahannya? Nafas dihembus perlahan meluahkan rasa hati yang mula tercuit.
“Ain baru balik?”
Inilah contoh soalan bodoh. Dah tahu lagi bertanya.
Hmm...” Lemau suara Ain Sofea membalas. Entah kenapa, kepulangan Naqiuddin kali ini terasa hambar kepadanya. Tidak teruja seperti selalunya. Mungkinkah dia mula bosan dengan cara Naqiuddin?
“Duduklah dulu. Abang ada hal nak cakap dengan Ain,” pinta Naqiuddin.
Dalam samar-samar cahaya di ruang rehat, Ain Sofea melihat Naqiuddin menepuk-nepuk kusyen di sebelah tempat duduknya. Namun, punggung dilabuhkan di kerusi bertentangan. Tidak pada kerusi yang diarahkan oleh Naqiuddin.
“Hah! Dah balik pun kamu,” sergah Puan Zaiton dari muka pintu gelangsar. Dia mendekati anak dan anak buahnya.
“Ya mak long. Ain baru sampai.” Wajah Mak Longnya cuma dipandang sekejap. Selepas itu anak mata beralih semula kepada Naqiuddin.
“Abang nak cakap pasal apa?”
Sengaja soalan itu ditanya. Sedangkan Ain Sofea boleh meneka apa perkara yang mahu dibincangkan. Jika berada bersama Naqiuddin dan Mak Long, cuma satu hal saja yang timbul. Tidak lain tidak bukan, tentunya duit. Naqiuddin, kalau bukan soal wang, jarang sekali hendak pulang. Kalau tiada masa untuk balik, Ain Sofea yang terpaksa pergi berjumpa dia menghantarkan belanja.
Hmm... Tak tahulah sampai bila aku hidup ni untuk menyenangkan Mak Long anak-beranak saja, getus naluri Ain Sofea.
“Abang kamu nak sambung belajar. Dia nak pakai duit. Itu yang dia balik ni,” cerita Puan Zaiton tanpa bertangguh.
“Hah?! Sambung belajar lagi?” Mata Ain Sofea membulat. Ain liur laju ditelan. Di depan mata sudah terbayang duit kertas berkepak terbang melayang-layang.
“Yang kamu terkejut sangat ni kenapa?” Berkerut dahi Puan Zaiton melihat reaksi Ain Sofea.
“Buat apa nak sambung belajar bang?” Tidak berkelip pandangan Ain Sofea menala tepat kepada Naqiuddin.
“Eh! Dah abang kamu nak sambung belajar, biarlah! Bukan macam kamu tu. Takat SPM saja,” sindir Puan Zaiton penuh sinis.
Bicara Mak Longnya tidak diendahkan. Perhatian Ain Sofea tetap kepada Naqiuddin yang sedang memandang kepadanya. Dia faham sangat makna di sebalik renungan Naqiuddin itu. Tidak dapat tidak, keinginannya kena ditunaikan. Biar terpaksa bergadai-bergolok seperti dulu.
“Abangkan nak habis belajar dah, buat apa sambung lagi?” Ada nada tidak puas hati pada pertanyaan itu.
Ain Sofea tidak setuju Naqiuddin menyambung pelajarannya. Bukan dia cemburu. Jauh sekali iri hati. Tak salah cinta hatinya ini lebih pandai daripada dia. Jika sampai level sepuluh sekalipun Naqiuddin cerdik, pada Ain Sofea tidak menjadi hal. Yang teruknya nanti, dia dan ibunya. Naqiuddin yang belajar, mereka yang merana. Silap hari, silap bulan, silap tahun, boleh sengkek jadinya. Muflisi! Bankrapsi!
“Kamu tanya buat apa nak sambung belajar?! Pasal nak jadi pandailah Ain oiii...,” pangkas Puan Zaiton. Tahu soalan itu ditujukan kepada anaknya. Namun mulut ringan menjawab.
Kedengaran sebuah keluhan meletus dari mulut Ain Sofea.
“Ain tahu, Abang Naqi sambung belajar nak jadi pandai. Tapi sampai bila asyik nak belajar saja?” Dengan berani Ain Sofea menangkis.
“Ain..., abang buat semua ni untuk masa depan kita. Lagi tinggi abang belajar, lagi besar peluang abang nak dapatkan kerja yang bagus-bagus. Gaji besar,” cantas Naqiuddin pula.
“Ain faham, bang. Bukan Ain melarang. Tapi...”
“Tapi apa?! Jangan kata kamu tak sanggup nak tolong abang kamu ni lagi.” Wajah Puan Zaiton mula kelihatan bengis.
“Ain tak sayangkan abang ke?” Perlahan Naqiuddin bertanya. Matanya bertukar redup. Mahu meraih simpati gadis di hadapannya ini. Biarlah dia yang memancing ihsan Ain Sofea. Nak harapkan ibunya? Memetir sentiasa.
Ain Sofea senyap.
Mahunya tak sayang? Belasan tahun dia mengasihi Naqiuddin. Sepupunya inilah yang bertahta di hati sedari dulu. Sejak dia mengenali cinta alam remaja, seluruh jiwa raga hanya memandang Naqiuddin seorang saja. Kenapalah dia terlalu sayangkan satu-satu sepupunya ini?
“Ain tak sayangkan abang?” soal Naqiuddin sekali lagi.
Ain Sofea angguk lesu.
“Bang, kalau Ain tak sayangkan abang, Ain takkan sanggup korbankan cita-cita Ain semata-mata demi abang,” lemah dia bersuara.
“Jadi Ain dan Mak Ngah boleh tolong abang?”
Ain Sofea diam lagi. Tidak tahu mahu membalas apa. Entah apa yang perlu dijawab. Bagaimana dia hendak membantu Naqiuddin? Wang simpanannya tinggal sedikit saja. Begitu juga dengan ibunya. Hampir kering diberikan kepada Naqiuddin untuk kegunaan lelaki itu sebelum-sebelum ini.
“Besok pagi, pergi balik kampung dengan abang kamu,” arah Puan Zaiton tegas.
Ain Sofea panggung kepala melihat Mak Longnya.
“Buat apa mak long?” Kulit dahi berkedut mendengar cadangan itu.
“Pujuk mak kamulah... Buat apa lagi... Jual tanah kebun kelapa sawit tu beberapa ekar.”
“Hah?!”
“Tanah pusaka tu luas Ain. Takkan luak kalau jual seekar dua lagi,” tambah Naqiuddin. Menyokong cadangan ibunya.
“Mak Longgg... Abanggg... Dulu, masa abang mula-mula masuk U, mak dah jual tanah tu dua ekar. Bila abang buat degree, mak jual lagi seekar,” jelas Ain Sofea. Dalam dada mula berbahang rasa nak meradang.
“Habis tu?!” lengking Puan Zaiton.
“Abang nak buat master ni, mak kena jual tanah lagi ke?”
“Sekarang, Ain dan Mak Ngah tak boleh tolong abanglah?!” tebak Naqiuddin sedikit kuat. Air muka turut berubah.
“Besok, bila abang kamu ni dah bekerja, pangkatnya besar, gajinya banyak, kamu juga yang menumpang senang Ain! Aku ni dah tua. Umur tinggal entah berapa tahun saja lagi. Menumpang senang si Naqi ni pun, tak dapat lama. Lagi kamu nak berkira?” Bertambah tinggi oktaf suara Puan Zaiton.
“Boleh tak Ain?” Naqiuddin mendesak.
Ain Sofea tidak berkutik.
Macam mana? Turutkan saja? Mahu dibantah? Disanggah? Gadis itu sedar, dia terlalu sayangkan Naqiuddin. Untuk menolak adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Payah dilaksanakan.
“Abang tak ada sesiapa lagi yang boleh abang minta tolong. Abang cuma ada Ain dan Mak Ngah saja. Kitakan bersaudara? Lagipun, apa yang abang buat ni, demi kebaikan kita bersama!” Tanpa segan-silu Naqiuddin bersuara.
Dengan hati yang berat, Ain Sofea mengalah.
“Yalah! Besok kita balik kampung tanya mak Ain.”

No comments:

Post a Comment