Keletuk!
Kad perakam masa ditekan masuk pada lubang di bahagian tengah mesin perakam
waktu sebaik sahaja kakinya berhenti di hadapan mesin itu. Setelah selesai, kad
diselitkan semula ke rak khas yang tergantung di dinding.
“Fuh! Ngam-ngam! Nasib baik
sempat ketuk.” Ain Sofea melepaskan nafas lega.
Dia tidak pernah lambat masuk kerja. Selama ini, kedatangannya cantik saja.
Biru sentiasa. Jika terlewat tadi, pecah rekod sepanjang dia bekerja di
Parkson. Kali pertama merah!
Tanpa berlengah, gadis itu kemudian bergegas menuju ke bilik loker untuk
menyimpan beg. Kalau tak mahu kena ‘cuci’ dengan Kak Shanti, dia harus cepat ke
bahagian pakaian wanita sebelum penyelianya itu habis waktu kerja. Sebab, Kak
Shanti hanya boleh pulang selepas dia berada di sana.
Beg sandang disumbat ke dalam loker dengan kasar. Semput nafasnya apabila
bergegas-gegas begini. Sudahlah ketika di stesen Sungai Gadut tadi ketibaan komuter
tidak mengikut jadual. Sampai sahaja di hentian Seremban, dia terpaksa pecut 100
meter kerana hendak mengejar masa. Bimbang bertambah lewat, dia ambil keputusan
tidak mahu menggunakan jejantas untuk ke Seremban Prima seperti kebiasaannya. Terus
saja ikut jalan pintas. Melintas jalan raya. Malangnya, kereta mat saleh tu pula buat angkara. Sakit hati
betul!
Ain Sofea termenung seketika. Tangan terhenti dari menutup pintu loker.
Otak mula berfikir.
“Bukan salah mat saleh tu... Aku
yang tak ikut jejantas! Tapi, dia pun salah juga! Masuk bandar pecut macam
dalam litar!” Ain Sofea merungut sendirian seraya menutup pintu loker dan
melangkah keluar menuju ke bahagian pasar raya.
Dia bukannya bodoh sangat. Tak buta peraturan di atas jalan raya. Had laju
bagi jalan bandar yang diwartakan adalah 60 kilometer sejam saja. Lagipun,
jalan tengah sesak tadi. Boleh pula mat
saleh tu memandu laju-laju.
Mana kau tahu dia pandu kereta laju Ainnn...?
“Heh! Aku tahulahhh... Kalau dia pandu kereta perlahan, takkan menciut
bunyi tayar keretanya menggigit aspal? Mujur tak tersondol aku. Kalau tidak...,
tak tahu apa jadi. Eloknya, aku sumpah seranah saja mat saleh tu tadi. Baru lega sikit rasa sakit hati aku ni. Bukan mat saleh tu faham pun apa yang aku
cakapkan.”
Ain, tak baik buat macam tu... Kau marahkan dia tadi tu pun, dah kira salah
tau! Kau pergi tengking dia apsal?
Kau yang tak ikut undang-undang. Nasib baik tak kena saman sebab tak guna
jejantas. Kalau kena, padankan dengan muka kau. Entah apa tanggapan mat saleh tu kepada kau apabila kau
tunjuk sikap kasar tadi. Diakan pelancong? Tentu dia fikir rakyat Malaysia ni,
tak semesra dan seramah yang selalu digembar-gemburkan di dalam setiap
iklan-iklan pelancongan. Siapa yang malu? Seluruh rakyat Malaysia juga yang
malu.
Pap!
“Allah!”
Bayangan mat saleh muka
berjambang terus terbang melayang. Sepantas kilat Ain Sofea berpaling.
“Kak Shantiii...”
“Sudahlah lambat, lagi jalan lenggang-lenggang kangkung ke? Siap bercakap
sorang-sorang lagi.” Shanti bercekak pinggang sambil mencerlung tajam kepada
pekerja di bawah seliaannya itu.
“Kusss... semangat...” Ain Sofea
menyinggahkan telapak tangan ke dada. Mengurut perlahan di situ. Rasa seperti
mahu tercampak keluar jantung dia apabila Shanti menepuk kuat di belakang bahunya.
“Kenapa lambat?”
“Terperanjatlah Ain kakkk...” Soalan penyelianya tidak dibalas.
“Siapa suruh lambat?”
“Dah komuter lambat, Ain nak buat macam mana?” Si gadis mengaduh. Bahu yang
terasa perit diusap perlahan. Muncung dipanjangkan tanda merajuk.
“Dah! Tak payah nak tunjuk paruh itik tu. Merajuk-merajuk ni dengan akak,
tak jalan ya. Pergi cepat! Akak nak balik ni.”
“Akak memang tak sayangkan Ain.” Wajah dibuat riak sedih.
“Sudahlah Ain... Jangan nak main wayang sangat. Pukul sikit, berlakon serupa
macam patah tangan.”
“Biasalah kakkk... Kan dalam cerita Tamil macam tu? Pukul tak kena, deshum saja yang lebih.” Ain Sofea terus
tersengih lebar.
“Cepat pergi department! Customers tengah ramai tu.” Perempuan
berbangsa India itu bularkan matanya pula.
“Yalah yalah... Ain nak pergilah ni.
Balik nanti baik-baik ya, kak Shanti. Jalan pandang bawah. Takut kaki tersepak
batu lagi,” sakat Ain Sofea sambil tersenyum.
“Ooo...Perli sama akak ya?”
“Bukan perli. Ain mengingatkan akak saja, sebab Ain sayangkan akak. Semalam
datang kerja, jatuh tersadung batu. Jangan hari ni masuk longkang pula,” tambah
Ain Sofea. Kali ini tawa halus meletus di bibirnya.
“Cet! Pode!” Shanti menjeling sebelum meninggalkan Ain Sofea. Dia
tahu, gadis itu sekadar mengusiknya. Dia tidak ambil hati pun.
Baru beberapa langkah Shanti beredar, nama wanita keturunan India itu
dipanggil oleh Ain Sofea.
“Kak Shanti!”
Shanti menoleh.
“Yenna Ainnn...?” Gigi diketap.
Sengaja Shanti tayang wajah geram.
“Rasam yang Ain minta tu mana?” Ain Sofea tunjuk pula muka sepuluh sen.
Memang mereka berdua selalu begini. Saling usik-mengusik.
“Ada dekat Kak Ida. Nanti mintalah sama dia.”
“Kalau Kak Ida tak mahu bagi Ain, macam mana?”
Shanti menepuk dahi. Tangan yang sama diarahkan kepada gadis yang tidak
habis-habis mahu bergurau dengannya.
“Ayyyooo..., ini budakkk...”
Ain Sofea tersengih apabila melihat gaya Shanti.
“Yalah! Kalau Kak Ida habiskan, kempunan Ain. Meleleh air liur basi Ain
tidur malam nanti.”
“Malas akak mahu layan kau lagi Ain. Akak nak balik. Pergilah cepat masuk department! Customer tengah ramai tu. Po... Po...”
Ain Sofea ketawa mengekek. Terusik hatinya selepas melihat Shanti menggoyangkan
kepala serta mengangkat tangan gaya Rajinikanth setiap kali ayat ‘po’ keluar dari mulut Shanti.
“Tahulah superstar Kollywood tu buah
hati pengarang jantung dia. Mesti nak kopi pasta!” Bersama tawa yang masih
berbaki Ain Sofea pantas meninggalkan Shanti. Hilang rasa sakit hatinya kepada mat saleh tadi selepas mengusik Shanti.
Gadis itu berlari anak menuju ke bahagian baju wanita jenama Voir Jeans yang
dijaganya. Hari ini, hari Jumaat terakhir bulan ini. Bermakna, hari ini adalah
hari ‘Members Day’. Pelanggan mesti lebih
ramai dari biasa. Mereka mengambil kesempatan membeli-belah kerana ‘Members Days’ adalah hari di mana Parkson
menawarkan diskaun-diskaun terhebat kepada pelanggan-pelanggan setia.
“Nampaknya, lewatlah aku balik hari ni,” keluh Ain Sofea.
Beginilah kehidupan Ain Sofea sejak tiga bulan yang lepas. Pagi, bekerja di
kilang. Sebelah petang buat kerja sambilan. Di pusat membeli-belah inilah dia
mencari rezeki tambahan bagi menampung keperluan rumah Mak Longnya dan kerja part-time ni juga idea Mak Long sebenarnya.
Penat?
Huh! Tak payah ceritalah. Kalaulah dia ni robot, harus dah terbarai segala
nat dan skru. Badan dia ni, kadang-kadang rasa tak larat. Mana nak buat kerja
rumah lagi, tapi nak buat macam mana? Terpaksa. Kalau tidak..., dengarlah Mak
Long membebel macam nak pecah gegendang telinga.
“Aku ni masa muda-muda dulu, tak ada pun malas macam kau. Semua kerja aku
buat. Tak reti duduk diam. Kau tu muda lagi, banyak tenaga. Pergilah cari duit
lebih. Kau saja yang boleh aku harapkan untuk bantu aku bayar yuran belajar
Naqi. Aku nak kerja tak boleh. Siapa nak jaga Pak Long kau, kalau aku bekerja?”
Itulah bebelan yang sering Mak Long ulang setiap kali Mak Long memaksa dia pergi
mencari kerja sambilan. Selagi dia tak setuju, selagi itulah Mak Long berkicau
di tepi telinganya.
Kerana tidak tahan dirungutkan selalu, akhirnya Ain Sofea setuju. Bila difikirkan
balik, walaupun dia penat, ada baiknya juga. Kurang sikit masanya berada di
rumah menghadap muka bengis Mak Long. Tidaklah selalu telinganya mendengar
suara Mak Long yang bercakap tak tahu nak perlahankan volum tu. Lagipun,
kasihan ibunya. Sentiasa saja mengadu kekurangan wang. Jika diikutkan, duit
hasil kebun kelapa sawit yang luasnya besar sikit saja dari kangkang kera tu,
cukup untuk menanggung ibu di kampung. Yang menjadi beban kepada ibunya, apabila
Mak Long selalu duk kecek.
“Tanah yang kau orang tanam kelapa sawit tu, tanah pusaka. Jadi aku pun ada
hak atas hasilnya. Walaupun tanah tu atas nama mak kau, bahagian aku tetap ada.
Jadi tak salah aku minta.”
Hebat sungguh hujah yang Mak Long gunakan untuk membolot separuh daripada
hasil kebun tu. Yang buat Ain Sofea sakit hati, alasan itu sangat logik pula.
“Mak Long, Mak Long... Agaknya, kalau aku dan mak tak ada, harus Mak Long laki
bini mati kebulur tak makan,” keluh Ain Sofea. Manakan tidak? Apa saja yang Mak
Long perlukan, semua nak dia suapkan.
“Tak mengapalah! Daripada Mak Long ketuk duit kebun mak tu sampai naik
licin tiap-tiap bulan, biarlah aku saja yang mencari duit lebih untuk diberikan
kepada Mak Long. Apa nak buat? Dah nasib. Buruk-buruk pun, Mak Long tetap darah
daging aku juga. Kakak kepada mak aku. Merangkap mak saudara aku. Hmm... Sabar
sajalah Ainnn...”
Ain Sofea meneruskan kerjanya selepas mengesat butiran air yang merenik di
dahi. Dalam dingin hawa udara Parkson ini, dia masih boleh berpeluh. Itu
tandanya dia bekerja bersungguh-sungguh. Tak pernah curi tulang. Berhenti pun
sekejap saja untuk menunaikan solat maghrib. Usai solat, sambung kerja semula.
Memandangkan Ain Sofea hanya pekerja sambilan, tiada masa rehat yang
diperuntukkan kepadanya. Masuk kerja pukul 6 petang. Terus-menerus hingga pukul
10 atau 11 malam, dengan upah RM5.00 satu jam. Jadilah... Walaupun tak banyak, tetapi
cukup untuk diberikan kepada Mak Long.
Perlahan gadis itu mengeluh. Baju yang sudah dicuba tetapi tidak dibeli
oleh pelanggan, disarungkan semula pada penyangkut baju dan kemudian
digantungkan ke rak pameran. Itulah kerja Ain Sofea sedari tadi. Ragam
pelanggan ni, kadang-kadang boleh buat dia hilang sabar. Acu baju punyalah
banyak. Berhelai-helai. Ada ketikanya berlonggok-longgok dibawa ke bilik
persalinan. Bila tiba masa nak bayar, belinya sehelai dua saja. Yang lain terpaksalah
dia gantung semula. Tak sampai berapa minit selepas digantung, datang lagi pelanggan
ambil dan cuba. Tak jadi beli, gantung balik... Jenuh haih!
Jam tangan usang yang melekap kemas pada pergelangan tangan dikerling.
10:20 pm.
Lagi sepuluh minit waktu kerjanya tamat.
Ting tong!
“Kepada pelanggan-pelanggan yang kami hormati. Waktu perniagaan kami akan
tamat dalam masa sepuluh minit lagi. Sila buat pembayaran anda di kaunter
pembayaran yang berhampiran. Terima kasih kerana sentiasa bersama kami.”
Ting tong!
Telinganya mencerna suara lunak gadis yang membuat pengumuman itu. Suara
yang sama saban hari menyampaikan maklumat penting sama ada kepada
pekerja-pekerja Parkson mahupun kepada pelanggan-pelanggan dan juga
pengunjung-pengujung yang datang. Merdu sungguh suaranya. Tidak muak didengar.
Tentu orangnya juga cantik, sepadan dengan suaranya.
Tangan terhenti sekali lagi dari melakukan kerja.
“Kan best kalau aku dapat bekerja
dalam ofis tu? Tak adalah berpeluh macam ni.” Peluh yang terbit di pangkal dahi
dikesat lagi pada hujung lengan baju kemeja berwarna putih yang dipakai. Ain
Sofea termenung.
Sepanjang bekerja sebagai promoter,
dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke pejabat pengurusan Parkson di tingkat
dua bangunan Seremban Prima ini. Kalau ada urusan penting, semuanya diselesaikan
dengan penyelia. Ketika datang untuk ditemu duga dahulu pun, dia berada sekejap
saja di ruang menyambut tetamu untuk mengisi borang. Selepas itu terus dibawa
berjumpa penyelia. Tidak sempat hendak masuk melihat suasana dan keadaan pejabat.
Otak mula berangan.
“Kalau aku kerja jadi kerani, gaji aku mesti lebat. Boleh aku simpan
separuh duit gaji aku tu. Tak adalah kena bagi semua dekat Mak Long!”
Ain Sofea membelek pula blaus warna pic berbunga kecil yang dipegangnya.
Cantik!
“Dapat bagi mak sikit. Bakinya, aku belilah baju macam ni. Pakai masa
keluar dating dengan Abang Naqi. Baru
nampak lawa.” Bibir mengukir senyuman bahagia.
“Heh! Ain. Sempat pula kau berangan. Cepat siapkan kerja kau ni! Sekejap
lagi dah nak punch. Kau tak nak balik
ke?” Ain Sofea mengetuk kepala sendiri.
Baju di tangan segera disangkut. Kemudian, keadaan susunan penyangkut baju dikemaskan
biar kelihatan cantik. Setelah berpuas hati, dia berpindah pula ke rak sebelah.
Skret! Skret! Skret!
Bunyi penyangkut baju diselak kedengaran dari rak yang baru
dikemas tadi.
“Ini yang aku rasa nak marah ni! Pekak ke apa? Tak dengar announcement tadi? Parkson nak tutup,
lagi sibuk membelek-belek. Lepas tu karang, tak jadi beli. Nanti aku jugaaa...
yang kena kemas balik,” rungut Ain Sofea.
Kepala ditoleh melihat ke kiri. Mencari wajah si pelanggan
yang tidak reti bahasa. Sebaik dia melihat, pandangan Ain Sofea melekat kepada
mata itu. Terpana dan terpegun seketika.
Glup!
“Aduh makkk... Cantiknya mataaa...”
Beberapa saat berlalu. Mulut masih melopong. Manusia yang sedang
leka memilih baju di hadapannya ditancap tepat tanpa berkelip.
“Handsome!” puji
Ain Sofea tanpa sedar walaupun wajah lelaki itu hanya separas hidung ke atas
sahaja yang dapat dilihat. Hati bertambah tergoda kala lelaki itu meraut
perlahan rambutnya yang terjuntai menutupi dahi ke belakang dengan penuh
bergaya.
“Kalau awak usha
kita, confirm kita bye-bye Abang Naqi tau!" Senyum
nakal terlorek di bibir.
Tidak semena-mena si jejaka panggung kepala memandang.
“Awak bercakap dengan saya ke?”
Ada kerutan pada dahi lelaki tersebut. Anak matanya yang kebiruan memanah
tajam kepada Ain Sofea. Si gadis menjadi keras.
“Ermm... Ermm...” Mulut bagai dikunci dari bersuara. Bergetar-getar bibir
saat cuba dibuka untuk berkata.
“Boleh awak ulang apa yang awak cakap tadi?”
Ain Sofea bertambah gugup. Mata biru itu semakin memukau. Luruh jantungnya.
Bergegar hatinya. Kepala lutut menggeletar apabila melihat si jejaka berjalan
mengelilingi rak baju menghampirinya dan Ain Sofea terus terlongo.
“Dddia?!” Badan terasa hendak melayang ke udara. Sungguh tak disangka. Kejadian
petang tadi kembali berlegar dalam kepala.
“Ooo... Cik kak anak kambing rupanya...”
Lelaki mat saleh ni pandai cakap
Melayu ke? Ain Sofea terkedu tetapi otak sempat berkira-kira. Bahasa Inggeris mat saleh ni dah bunyi bahasa Melayu
pula. Ke dia yang salah dengar?
“Cik kak anak kambing... Boleh awak ulang apa yang awak cakapkan tadi?”
Lelaki tampan itu bertanya sekali lagi.
“Hah?!”
“Cik kak anak kambing bercakap sesuatu tadi. Cuba ulang sekali lagi.”
Eh! Sekejap! Sekejap! Tekan butang pause
sat. Cik kak anak kambing?
Ain Sofea buntangkan mata. Dia tak salah dengar. Lelaki mat saleh ini memang bercakap dalam
bahasa Melayu dan pandai berbahasa Melayu. Walaupun telinga dah lama tak
digerudi, dia masih boleh mendengar dengan jelas.
“Apa?! Anak kambing?” Sudah berulang kali lelaki ini memanggilnya dengan
nama itu, baru sekarang dia perasan.
“Ya anak kambing!” Si tampan membalas sinis. Senyumnya juga turut sinis.
“Anak kambing?!” Darah sudah menggelegak.
“Awak ni memang layak dipanggil anak kambing.”
Ini sudah lebihhh... Mentang-mentang aku tak marah dia, makin menjadi-jadi
pula bahasa dia. Mat saleh tak mat saleh. Pelancong tak pelancong.
Kalau dah begini bunyi bahasanya, sesuka hati panggil orang anak kambing,
memang harus kena pancung!
Gigi diketap kuat. Nafas ditarik dalam. Sebaik sahaja mulut dibuka...
“Encik! Bahasa encik tu tolong jaga sikit ya! Apa hal pula sesuka hati
panggil saya anak kambing ni?” Tangan dicekak ke pinggang sambil merapati
lelaki itu.
Berani sungguh Ain Sofea. Kedudukan mereka kini bertentangan. Tubuh berjarak
hanya sehasta. Muka menghadap muka. Mata menatap mata. Serius riak
kedua-duanya. Seperti seteru lama. Rasa tergoda Ain Sofea tadi sudah tercampak
jauh entah ke mana.
Tak sir haih tergoda dengan mat saleh yang zero budi bahasa ni.
Harapkan muka saja handsome, tapi
mulut bau jamban buat apa!
“Memang awak ni patut dipanggil anak kambing. Perangai sebiji anak kambing
terlepas kandang. Melompat-lompat. Meluru tak pandang kiri kanan.”
Wahhh... Main kasar nampak? Tak boleh jadi ni. Memang nak kena sumbat kasut
dalam mulut mamat ni!
“Hei mat saleh perasan nak jadi
Melayu! Kau apa hal ek? Kau ada
masalah dengan aku ke? Apa salah aku sampai kau sesuka hati panggil aku anak
kambing?” Ain Sofea mencerlung jejaka di hadapannya.
“Memang kau ada buat salah.”
“Salah?! Salah apa? Bila masa aku buat salah dekat kau? Aku tak kenal kau
pun!” Ain Sofea meninggikan sedikit oktaf suaranya. Buat-buat seperti tidak mengenali
jejaka di hadapannya ini.
“Aku nak kau minta maaf!”
Memang mengong betul mat saleh ni. Dah hilang akal agaknya. Sewel!
“Kirim salam aku nak minta maaf. Tak buat salah, tiba-tiba suruh orang
minta maaf pula. Apa hal?” Tegang urat di leher membalas kata-kata lelaki yang
sudah tidak kacak lagi di matanya ini.
“Tak buat salah kau kata? Yang kau membabi buta melintas jalan petang tadi
tu apa benda? Dah tu, maki hamun orang tak tentu pasal pula!”
Muka tiba-tiba jadi panas. Ingatkan mat
saleh ni tak perasan, dialah orang yang ‘bahasa’kan mamat ni petang tadi.
“Encik pandu kereta laju-laju pasal apa?”
“Yang kau tak reti guna jejantas kenapa?”
“Encik yang nak langgar saya kan?”
“Masa sekolah dulu cikgu tak ajar ya, nak melintas jalan kena pandang kiri
kanan?”
Jari telunjuk saling menunding. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah dan
salah.
“Encik yang...”
Terus jari telunjuk Ain Sofea digengam oleh Ian Zacry. Kemas dan erat.
Geramnya bukan kepalang. Meluap-luap.
“Kau yang meluru melintas jalan. Kau yang tak reti guna jejantas. Lepas tu,
kau marah-marah aku depan orang. Kau sepak tayar kereta aku.”
Glup!
Ain Sofea menelan liur. Berketul-ketul terjun ke dalam perut. Alamak! Scene tendang tayar kereta tu pun mamat ni ingat juga? Aduh! Malunya...
“Kau masih tak nak mengaku yang kau tu sebenarnya dah buat salah pada aku?”
Sekali lagi Ain Sofea menelan air liur. Rasa macam nak tercekik.
“Muka saja cantik, tapi otak letak dekat lutut. Tu pasal aku panggil kau
anak kambing!”
Tidak sempat gadis itu mahu mencerna pujian Ian Zacry. Untuk kali ketiga,
Ain Sofea menelan liurnya. Nak berbalas kata lagi ke? Terang-terang, memang dia
yang bersalah.
“Ermmm... Aaa...” Hilang ayat yang hendak dituturkan.
Ain Sofea melarikan anak matanya dari terus ditancap oleh jejaka bermata
biru tetapi pandangan terjatuh kepada jari telunjuknya. Kulit muka tambah
berbahang. Jantung pula sudah berdegup tidak tentu irama. Terasa panas
telunjuknya berada di dalam genggaman lelaki itu.
Ian Zacry pula baru menyedari perbuatannya selepas melihat Ain Sofea kejang
di hadapannya. Pandangan turut terarah kepada jejari yang meramas erat jari
gadis itu. Namun, dia seperti tiada keinginan mahu meleraikan genggamannya. Tanpa
punca, pangkal hati seperti dijentik tiba-tiba.
“Youuu... Apa hal bising-bising
niii...? Kata tadi nak pilihkan baju untuk mummy
you?”
Seorang gadis tiba-tiba muncul di situ. Merengek sambil memeluk lengan si
jejaka.
“Macam mana I tak bising? I terjumpa budak perempuan ni. Dialah
yang I ceritakan kepada you petang tadi.”
“Budak perempuan yang you hampir nak
langgar tu?”
Ain Sofea terkebil-kebil.
“Ya! Dia nilah! Melintas jalan macam anak kambing. Nasib baik I tak terlanggar dia.”
“Dah tahu dia ni anak kambing, buat apa you
marah-marah dia? Bukan dia faham pun apa yang you cakapkan. Anak kambing, kannn...?”
Okey! Ayat minah ni memang buat
dia sentap. Mulut ringan saja hendak menyerang balas. Warna kulit muka pula
sudah merah menahan marah.
“Encik... Cik... Boleh tak tolong jaga...”
Ting tong!
“Kepada pelanggan-pelanggan yang kami hormati. Waktu perniagaan kami telah
tamat. Terima kasih kerana membeli-belah di pasar raya kami dan selamat malam.”
Ting tong!
Kata-kata Ain Sofea dimatikan oleh pengumuman itu.
“Jomlah! Dah mati mood I nak beli baju. Lain kali sajalah you belikan untuk I.” Gadis berambut perang menarik tangan teman lelakinya untuk
beredar. Sempat juga matanya menyinggahkan jelingan tajam kepada Ain Sofea
selepas blaus yang dikendong dicampak ke atas rak baju.
Ain Sofea mengetap gigi. Mujur juga pengumuman yang dibuat menyedarkan dia.
Kalau tidak, harus di‘basuh’ kedua-dua makhluk yang tiada tatasusila itu. Sama saja
spesiesnya. Sorang omputeh nak jadi
Melayu, sorang lagi Melayu perasan nak jadi omputeh.
Habis rambut hitam di‘karat’kan. Bercakap pun sama saja gayanya. Mulut berbisa.
Memang sangat padanlah tu!
Ian Zacry berpaling sebelum melangkah.
“Awak bernasib baik sebab girlfriend
saya ni ada. Lain kali, kalau saya jumpa awak lagi, siaplah awak.” Lelaki itu
mengeluarkan amaran sambil menyarung kaca mata hitam yang tersangkut di kocek baju.
“Heh! Malam-malam buta pun nak pakai cermin mata gelap,” perli Ain Sofea
lalu pergi dari situ.
Buang masa bertekak dengan manusia pesen
beruk dua orang tu. Sedangkan dia ada komuter yang perlu dikejar. Jika terlepas,
lewat sampai di rumah. Haru saja kena tibai dek Mak Long. Silap hari bulan, balik
nanti tak pasal kena tidur luar.
“Sesewel-sewel mamat tu, sewel
lagi Mak Long aku!”
Jom singgah baca and jangan lupa tinggalkan comments http://balqisluv99.blogspot.my/2016/03/gred-for-exam-2016.html
ReplyDelete