Total Pageviews

Tuesday, March 22, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 7




“Abang Naqi kamu mana?” Puan Zuraini menghalakan pandangannya ke arah ruang tamu.
“Entah!” Sepatah saja Ain Sofea membalas. Tangan sibuk membantu ibunya menyajikan hidangan ke atas meja makan.
“Kamu tak kerja hari ni?” Anak mata memandang pula si dara sunti. Ini sajalah satu-satunya zuriat yang dia ada. Penawar rindunya kepada suami yang sudah lama tiada.
“Kerja yang mana satu mak tanya ni? Ain kan ada dua kerja.” Senyuman disinggahkan ke wajah sang ibu.
“Tak kisahlah yang mana satu...” kata Puan Zuraini selepas dia mengeluh perlahan.
Bukannya Puan Zuraini tidak kasihan kepada Ain Sofea, tetapi Kak Longnya tu, kalau dibantah cakapnya makin kuat memetir. Tak sanggup telinga mendengar. Ayat yang keluar pun, semuanya berbisa belaka. Tak diturutkan, kakak. Nak dibantah pun, kakak juga. Diikutkan kehendaknya, inilah rupa. Ain Sofea jadi mangsa. Dikerah segala kudrat anaknya disuruh bekerja.
Hendak salahkan Ain Sofea kerana menurut saja cakap Mak Longnya pun, tidak boleh juga. Dia sendiri yang tidak kuat membantah. Masakan Ain Sofea hendak melawan cakap Mak Longnya pula? Sikap dan perangai dia ini, ke mana tak tumpahnya kalau bukan kepada Ain Sofea? Sudah dia sebagai acuannya bulat, maka, bulatlah Ain Sofea.
“Kalau kerja kilang tu, hari ni kan hari Sabtu? Ain kerja sampai pukul 1 saja.”
“Kerja dekat pasar raya tu?” lemah Puan Zuraini bertanya. Dia sedang menahan hiba sebenarnya.
“Ain dah telefon Kak Shanti pagi tadi. Bagitau yang Ain tak kerja hari ni. Ain ganti besok pagi, masuk kerja awal. Pukul 1,” jelas Ain Sofea.
“Tak sempatlah kamu nak makan tengah hari besok?”
Gadis itu menggeleng saja.
“Mak tahukan kenapa Ain dan Abang Naqi balik ni?” Terus dia menyoal ibunya soalan yang menjadi punca kepulangan dia dan Naqiuddin ke kampung kali ini.
“Mak Long dah bagitau mak malam tadi.” Perlahan benar suara Puan Zuraini. Seperti tidak kedengaran di telinga Ain Sofea.
“Macam mana mak?” tanya gadis itu.
“Nantilah. Malam karang lepas kita makan, mak bincang dengan Abang Naqi.”
Malam itu selepas mereka usai solat dan makan malam, Naqiuddin masih juga belum pulang. Puan Zuraini duduk di beranda menunggu anak buahnya. Selang beberapa minit Ain Sofea menyertainya pula. Membawa bersama sedulang minuman.
“Kopi Onya mak,” sapa Ain Sofea lembut. Anak matanya menyinggah kepada objek yang berada di dalam genggaman ibunya kala meletakkan dulang minuman ke atas meja.
“Mak nak buat apa dengan kalung tu?” Dilabuhkan punggungnya pada kerusi di sebelah ibunya.
“Mak ingat nak jual kalung ni. Duitnya bagi kepada Abang Naqi kamu.”
“Makkk...,” keras suara Ain Sofea membantah. Pantas dia memaut tangan ibunya yang memegang kalung emas itu.
“Barang ni kan pemberian Puan Ku Besar? Dia hadiahkan kepada mak. Takkan mak sampai hati nak jual? Inilah satu-satunya tanda ingatan mak kepada Puan Ku Besar.” Sedikit tinggi suara Ain Sofea. Tanda dia benar-benar tidak setuju dengan cadangan ibunya.
“Habis tu, kita nak buat macam mana lagi Ain? Kalau tak dibagi duit yang Abang Naqi nak tu, Mak Long kamu tentu bising. Dua puluh ribu bukannya sikit, Ain. Mana kita nak ambil duit sebanyak tu?” Riak cemas dan risau menghiasi raut Puan Zuraini.
“Ain tahu kita tak ada duit sebanyak tu, tapi takkan sampai nak jual kalung ni? Sayanglah mak... Ain kalau boleh, nak mak simpan kalung ni.”
Puan Zuraini senyap tidak membalas. Dia sendiri bukan tak sayang. Kalung ini merupakan pemberian Puan Ku Besar kepadanya ketika perpisahan mereka duhulu. Puan Zuraini teringat kembali detik terakhir mereka bersama.
“Aini, kalung ni saya hadiahkan sebagai tanda kenangan yang kita pernah berkenalan. Kalung ini juga sebagai penghargaan kepada awak yang dah banyak membantu keluarga saya. Pertolongan awak dan pengorbanan yang pernah Ismail lakukan kepada suami saya, takkan pernah saya lupakan. Berjanjilah, yang awak akan simpan kalung ini baik-baik. Satu hari nanti, sekiranya kita tak dapat berjumpa, tetapi anak-anak kita bertemu, mungkin kalung ini akan menjadi bukti bahawa kita pernah bersama.”
Itulah pesanan terakhir Puan Ku Besarnya. Kini, dia mahu memungkiri pula janji itu? Puan Zuraini mendesah perlahan. Dia rasa serba salah.
“Kita jual sajalah tanah pusaka tu mak. Mak Long pun dah setuju mak jual tanah tu seekar dua lagi,” tambah Ain Sofea lagi.
“Kita dah jual tiga ekar tanah tu sebelum ni, Ain. Takkan nak jual lagi? Nanti apa yang tinggal? Hasil yang ada ni pun, tak cukup nak tampung keluarga kita dan Mak Long sampai Ain terpaksa berkerja sambilan. Kalau dijual lagi? Jawabnya, dua puluh empat jamlah Ain kena cari duit lepas ni.”
Ain Sofea terdiam. Memang benar apa yang dikatakan oleh ibunya. Sekarang pun, pinggangnya rasa hendak patah tiga kerana bekerja setiap hari tanpa cuti. Kalaulah terpaksa bekerja dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu, mahu lumpuh dia nanti.
“Jadi, mak ngah tak dapatlah tolong saya?!”
Pantas kepala Puan Zuraini dan Ain Sofea menoleh ke kaki tangga. Bila pula Naqiuddin balik? Tak terdengar pun bunyi enjin kereta dia?
“Mana kereta abang?” Kepala Ain Sofea menjengah ke tengah laman.
“Kawan abang pinjam. Dia nak pergi pekan.” Mendatar suara Naqiuddin membalas. Dia melangkah naik lalu duduk di kepala tangga membelakangkan ibu saudara dan sepupunya. Hati terasa sakit selepas mendengar perbualan dua beranak itu sebentar tadi.
“Saya sambung belajar ambil Master ni pun, bukan untuk sesiapa mak ngah. Untuk masa depan Ain dan saya juga.”
“Tapi mak ngah mana ada duit Naqi...?”
“Tanah tu kan ada?! Kenapa mak ngah tak nak jual?! Bukannya banyak pun. Seekar dua saja. Mak ngah nak makan sorang-sorang hasil tanah tu ke?” sinis Naqiuddin berkata-kata.
“Abang! Tak baik cakap mak Ain macam tu.” Hati Ain Sofea mula membara. Mana boleh biarkan Naqiuddin ‘belasah’ ibunya ikut suka saja. Sesekali si Naqiuddin ni harus di‘balun’ juga. Biar padan muka. Gemar sangat mengata ibunya. Mulut macam puaka!
“Apa yang tak baiknya?! Betul kan, apa yang abang cakap ni? Mak Ain memang nak makan sorang hasil tanah tu. Mentang-mentanglah atuk letak nama mak Ain saja, jadi hak mak abang ditolak tepi,” pangkas Naqiuddin lagi.
“Tak cukup lagi ke apa yang mak Ain bagi selama ni, bang?! Hasil tanah kebun tu, mak long pun dapat juga. Malahan, setiap bulan mak Ain bagi Mak Long lebih dari bahagian mak sendiri. Dah tiga ekar tanah tu dijual, sesen pun duitnya mak Ain tak ambil. Semua abang dan Mak Long bolot. Berpuluh ribu duit kami habis untuk Mak Long dan abang. Jadi mana datangnya mak makan sorang duit hasil kebun tu?” Wajah terasa berbahang. Darah dalam dada mendidih-didih.
Ooo... Sekarang ni, Ain dan mak ngah nak mengungkitlah?!” Mata Naqiuddin mencerlung tajam kepada sepupu dan ibu saudaranya.
Puan Zuraini sudah teresak-esak. Tidak menyangka, mereka sekeluarga berbalah ketika ini semata-mata kerana tanah yang tidak sebesar mana.
“Bukannya mengungkit... Tapi abang fikirlah sendiri. Sampai bila abang nak harapkan duit mak Ain dan Ain saja? Master tu, bukannya abang tak boleh buat sambil bekerja. Habis Degree ni, abang cari kerja. Kumpul duit dulu. Lepas tu, abang nak belajar sampai PHD pun, tak ada siapa yang larang. Sekurang-kurangnya, abang sambung belajar kali ni atas hasil titik peluh abang sendiri. Itu lagi berkat. Bukannya dengan memerah duit orang lain. Sedangkan kereta abang tu pun, dari down paymentnya sampai ke bayaran bulanan, Ain yang settlekan. Duit minyak, duit belanja abang, Ain yang bagi. Lagi abang nak mengata kami?” Hembur Ain Sofea tidak berkira. Hilang sudah kesabarannya selama ini.
Wajah Naqiuddin terus ditancap tepat. Malam ini, Ain Sofea mahu meluahkan segala  yang terpendam dalam hati. Dahulu, kerana sayangkan Naqiuddin dia telan saja semua kerenah lelaki ini. Kerana hormatkan Mak Long, dia mengikut tanpa banyak bunyi. Namun tidak kali ini. Dia sudah penat. Dia sudah lelah. Perasaan sayangnya kepada Naqiuddin takkan mampu menutup mulut dia lagi.
“Abang tak rasa malu ke, bertahun-tahun mulut abang tu disuap dengan duit yang abang kikis dari Ain?”
“Kau jangan kurang ajar dengan abang, Ain! Besok bila aku berjaya, dah bekerja, pangkat besar, gaji banyak, kau juga yang mengendeng. Nanti aku boleh bagi kau lebih dari apa yang kau bagi dekat aku lah!” Naqiuddin berkata angkuh. Dia berdiri bersama telunjuk yang lurus ditalakan kepada Ain Sofea.
“Sudah! Sudah! Jangan bertengkar lagi! Takkan sebab dek tanah tu kita bergaduh sesama saudara. Kalau Naqi nak mak ngah jual tanah tu, baiklah. Mak ngah jual. Nanti mak ngah uruskan dengan Pak Cik Seman. Mungkin dia nak beli lagi tanah kebun tu. Dah jual nanti duitnya mak ngah bagi Naqi,” jerit Puan Zuraini halus di celah-celah tangisannya.
“Makkk...”
“Sudahlah Ain. Jangan disebabkan tanah tu kamu dan Naqi bergaduh pula,” cantas Puan Zuraini.
“Ingat! Mak ngah dah janji ya! Bulan depan tak dapat tidak, Naqi nak duit tu!”
Ain Sofea mencerlung lelaki itu sewaktu Naqiuddin meninggalkan mereka, lalu menghilang ke dalam rumah. Geram sungguh dia. Hari ini dalam sejarah, dia bertengkar dengan Naqiuddin. Mulai saat ini, Naqiuddin bukan lagi pengarang jantungnya tetapi sembilu di hatinya.
“Maafkan mak, Ain...” rintih Puan Zuraini. Bahu anaknya dipaut.
“Tak apalah mak.”
“Lepas ni, tentu Ain bertambah teruk bekerja mencari duit.”
“Pasal tu mak jangan risau. Ain muda lagi mak. Ain larat lagi mengangkat tulang empat kerat Ain ni. Dah nasib kita mak. Ain reda,” pujuk Ain Sofea. Tidak mahu ibunya rasa bersalah.
Sebaliknya, hati gadis itu berbisik lain.
Kau tunggulah masanya Naqi. Aku akan tinggalkan kau dan mak kau. Masa tu aku nak tengok, siapa yang mengendeng dekat siapa, getus naluri Ain Sofea. 

No comments:

Post a Comment