“Berapa lama dah auntie kerja kat
sini?” celoteh Awal yang tak berhenti menyoal sedari tadi.
Ain Sofea telan liur. Cerdik sangat pula kanak-kanak cilik ini. Tak
sudah-sudah bertanya. Seperti inspektor polis hendak menyiasat. Habis semua latar
belakangnya mahu dikorek. Lelaki di sebelah Awal tu pula, memerhati tepat kepadanya
dengan pandangan serius. Seolah-olah memberi arahan soalan Awal itu wajib
dijawab. Entah siapa yang nak tahu sebenanya. Awal ke dia? Riak muka beria-ia. Heh!
“Dah tiga bulan auntie kerja Awal,”
balas Ain Sofea sehabis mesra walaupun dalam hati rasa kurang senang mahu
bercerita. Kepada Awal mungkin tidak, kerana dia masih berhingus. Tidak faham
apa-apa. Mamat sebelah tu! Macam
sibuk sangat nak tahu. Mereka baru dua kali berjumpa. Kenal pun tidak. Berkawan
pun belum lagi. Takkan nak cerita hal peribadi kepada orang yang tidak
dikenali?
“Kesian auntie kan? Siang malam
bekerja. Auntie tak penat ke?”
Secalit senyuman nipis digariskan pada bibir. Tangan Awal dicapai dan
diusap perlahan.
“Auntie bukan orang senang Awal.
Jadi, auntie kenalah rajin bekerja. Auntie nak balas jasa mak auntie. Awal bila dah besar nanti,
jangan lupa kepada mak dan ayah yang dah membesarkan Awal tau!”
Berkali-kali Awal mengangguk.
“Awal... Auntie minta diri dulu
ya? Waktu rehat auntie dah habis. Auntie kena masuk kerja semula.”
“Laaa... Kita belum habis borak lagiii...,” halang Awal seraya menarik
tangan Ain Sofea.
“Kalau duduk berborak dekat sini lama-lama, nanti bos auntie marah. Kalau auntie
kena buang kerja macam mana?” Tangan kanak-kanak itu yang melekap erat pada
pergelangan tangan diambil lalu disulam bersama jejarinya untuk bersalaman.
Bias wajah Awal kelihatan kecewa. Lelaki yang di sebelah tu lebih lagilah.
Entah apa kena mamat tu?
“Lain kali, kalau Awal datang sini, singgahlah jumpa auntie. Boleh kita makan bersama lagi. Auntie pula yang belanja,” pujuk Ain Sofea. Tidak sampai hati mahu
meninggalkan Awal dalam keadaan begitu.
“Betul ke kami boleh datang jumpa auntie
lagi?” teriak Awal gembira.
Ain Sofea ketawa halus melihat gelagat si kecil sambil goyang kepala
mengiakannya. Namun ketawa padam tiba-tiba. Gadis itu menyedari sesuatu. Kami?!
Awal menggunakan ganti nama diri kami? Apa maksudnya tu? Awal akan datang
bersama mamat poyo ni lagi? Oh tidak!
Soalan Awal tidak dijawab. Muka diarahkan kepada Ian Zacry.
“Terima kasih belanja saya makan,” ucap Ain Sofea dalam nada mendatar.
Suara puas dikawal. Tidak mahu Ian Zacry tahu yang dadanya tengah berdebar.
Dalam hati tidak putus berdoa, janganlah mereka berjumpa lagi. Kelak sahih dia
terpaut hati. Habis tu, Naqi nak tolak tepi?
“Auntie pergi dulu ya.” Segera
salam dileraikan selepas Awal mencium tangannya. Sebelum berlalu ekor mata Ain
Sofea sempat menyinggah kepada Ian Zacry yang kelihatan berbisik kepada Awal.
Entah apalah tu? Gadis itu tidak ambil pusing. Yang penting dia mesti pergi
dari situ dengan kadar segera. Duduk dekat sini lama-lama, jantung rasa
terdera.
“Auntie sekejap!”
Ain Sofea berpaling memandang Awal yang berlari mendapatkannya.
“Ada apa Awal?”
“Auntie balik kerja pukul
berapa?”
“Pukul sepuluh setengah. Kenapa?”
“Tak ada apa... Saja tanya.” Awal rengkuh tangan Ain Sofea supaya menunduk sedikit.
“Kita jumpa lagi ya auntie...”
Cup!
Bibir kecil Awal melekat sekejap di pipi gadis itu.
“Uncle suruh Awal ciumkan auntie.”
Itulah kata-kata Awal yang buat Ain Sofea tidak senang duduk sedari tadi.
Gadis itu mengetuk kepalanya berkali-kali. Dia harus berhenti mengingati
peristiwa ketika waktu rehat tadi. Jika asyik diulang-ulang banyak kali, boleh
biol dia nanti tetapi otak ni degil!
“Uncle suruh Awal ciumkan auntie.”
Suara Awal terngiang lagi. Apa maknanya tu? Ahhh! Mungkin dia salah dengar.
Ataupun Awal tersilap cakap. Takkan lahhh... mamat tu mengirim cium melalui Awal? Pandir sangat pula si poyo tu.
“Tapi, kalau betul macam mana? Dah kenapa dengan dia erk? Psiko kuttt...” Ain Sofea mengeluh lagi. Penat dia dibuatnya. Jika
penat bekerja tak apa juga, tetapi ini penat berfikir tentang mamat mata biru tu. Apabila otak sibuk
mengingatkan lelaki itu, secara tak langsung hati dan jantungnya turut menerima
kesan. Hati bergetar tidak menentu. Jantung menderu laju.
“Apalahhh... kena dengan aku ni?” gerutu Ain Sofea. Bertungkus lumus dia cuba
mengawal otaknya. Jangan asyik teringatkan mamat
poyo tu saja tetapi apakan daya. Masih juga terlayar di depan mata wajah si
jejaka. Akhirnya, Ain Sofea mendengus kuat. Memang something betul si mata biru tu. Berjaya buat dia jadi haru-biru.
Libang-libu!
“Ain! Kau tak nak balik ke?” sapa Rohaida. Dia yang sedang menuju ke pintu
keluar bagi kakitangan tingkat itu berhenti di tempat Ain Sofea termenung.
“Hah?!” Ain Sofea yang sedang hanyut dalam fikiran sendiri tersentak.
“Kau ni kenapa Ain? Dari tadi asyik termenung saja? Dah time balik ni! Leka lagi? Kalau tak tu,
dia yang tak menyempat-nyempat. Hari
ni kau tak takut pula tertinggal komuter?” Rohaida memandang pelik.
“Ya ke kak Ida?”
“Yalah! Dekat pukul sepuluh empat puluh dah ni!”
“Aduhhh... Habislah Ain kakkk...” Kelam-kabut Ain Sofea mengemas meja
jurujual. Tidak terdengar pula sebarang pengumuman tamat masa perniagaan
Parkson di telinganya tadi. Tulah! Leka sangat berangan.
“Cepat Ain! Nanti kau terlambat. Kak Ida balik dulu ya?” jerit Rohaida
ketika gadis itu berlari menuju ke bilik loker mengambil beg galasnya.
“Okey kak!” balas Ain Sofea tanpa berpaling. Jika terlepas komuter,
lewatlah dia sampai di rumah. Itu bermakna dia bakal kena bebel dek Mak Long.
Paling sakit hati apabila Mak Long tuduh dia pergi merambu. Sebagai hukuman, Mak
Long takkan buka pintu. Dia kena tidur di ruang rehat beranda. Sudahlah sejuk,
banyak nyamuk pula.
Selepas merakam waktu tamat bekerja pada kad kedatangannya, Ain Sofea
berlari menuju ke pintu keluar. Setelah melalui ruang parkir kecil di hadapan
bangunan Seremban Prima dia terus memanjat tangga jejantas. Ketika dia
tergesa-gesa memasuki kawasan stesen keretapi, seseorang telah menyapanya.
“Cik Ain Sofea!”
Larian terhenti. Kepala berpusing mencari sumber dari mana datangnya suara
itu. Pandangan melekat kepada satu susuk tubuh yang sedang bersandar pada sebuah
kereta yang terparkir bersama deretan kereta dan teksi di tepi jalan.
“Siapa?” Anak mata dikecilkan mahu melihat dengan lebih jelas.
“Boleh saya hantar awak balik?” Lelaki itu datang menghampiri Ain Sofea.
“Mamat tu?!” Ain Sofea terkedu.
“Boleh saya hantar awak balik?” soal Ian Zacry sekali lagi setelah dia
berdiri bertentangan dengan Ain Sofea. Dia menanti jawapan dari gadis itu yang
kelihatan kaget tanpa suara.
Beberapa saat berlalu si gadis masih kaku.
“Cik Ain?!”
“Hah?!” Ain Sofea tersedar dari pana. “Hantar balik? Eh, tttak payah! Saya
boleh balik naik komuter.”
Ain Sofea meneruskan langkahnya. Dah kenapa mamat tu? Sebelum ni, bukan main lagi berseteru. La ni, siap nak
hantar balik apa hal? getus Ain Sofea. Kaki menyambung derap.
“Cik Ain tunggu!”
Ain Sofea buat tidak dengar. Berkali-kali si mata biru memanggil. Dia tahu,
lelaki itu membuntutinya.
“Pengumuman kepada penumpang-penumpang yang akan menuju ke stesen Senawang
dan Sungai Gadut. Kami memohon maaf kerana terdapat kelewatan pada masa ketibaan
komuter anda yang telah mengalami kerosakan teknikal di stesen Batang Benar.
Kami bagi pihak KTM memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berharap anda
bersabar menanti komuter seterusnya yang dijangka tiba pada pukul sebelas
setengah malam. Harap maklum.”
Ayunan kaki Ain Sofea terhenti. Pengumuman yang berkumadang dari corong
pembesar suara stesen keretapi itu sebentar tadi meresahkan hatinya.
“Kenapa?” Ian Zacry yang sudah berdiri di sebelah menatap wajah Ain Sofea.
Terserlah kerutan yang berlapis pada dahi gadis itu.
“Matilah saya,” balas Ain Sofea perlahan di luar sedarnya.
“Yang rosak tu komuter yang awak nak naik ke?”
Tanpa paksaan Ain Sofea mengangguk perlahan. Memang dia tidur di berandalah
jawabnya malam ini.
“Awak takut lewat sampai rumah?”
Gadis itu angguk lagi.
“Saya hantar awak balik?”
Tangkas kepala dikalih. Ian Zacry dipandang dengan kedut yg semakin tebal
di atas pelipis. Jangan cari bala Ain, tukas nalurinya.
“Tak apa. Saya boleh naik teksi.” Bergegas Ain Sofea menuju ke deretan
teksi yang sedang menunggu penumpang di tepi jalan. Biarpun tambang yang akan
dikenakan bertambah sekali ganda, dia tak peduli. Mahal macam mana sekalipun
dia akan bayar juga. Janji cepat tiba di rumah Mak Longnya.
“Cik Ain tunggu!” Ian Zacry cuba menahan tetapi gadis itu sudah berada jauh
darinya. Dan sekarang sedang melompat masuk ke dalam perut sebuah teksi.
“Ish minah sorang ni! Tak tahu
takut ke?” rengus Ian Zacry. Pantas dia menuju ke keretanya. Mahu mengekori
teksi yang dinaiki oleh Ain Sofea. Perasaannya didesak untuk mengambil berat
tentang keselamatan gadis itu. Firasatnya kuat mengatakan, dia bakal menjadi
adi wira kepada Cik Ain Sofea.
Hampir lima minit Ian Zacry mengekori teksi tersebut. Semakin lama
keretanya semakin ketinggalan jauh. Bukan kereta mewah BMW 316i dia ini tidak
mampu menyaingi teksi cabuk itu. Cuma dia tidak berapa arif jalan yang dilalui.
Ditambah pula dengan keadaan lalu lintas yang sedikit sibuk. Mungkin ramai juga
yang pulang lewat setelah puas bersantai di hujung minggu.
Ian Zacry memanjangkan lehernya. Teksi itu semakin hilang dari pandangan.
Hati mula dipanjat rasa gusar. Ingin mengejar, kenderaan lain bersusun di
hadapannya pula. Ketika dia melepasi sebuah teksi yang sedang berhenti di
pinggir jalan, spontan kakinya memijak injak brek. Kereta dipandu perlahan dan memberi
lampu isyarat untuk menyusur ke tepi.
“Bukan ke itu teksi yang minah tu
naik tadi?” Ian Zacry menyoal sendiri. Dalam kepala mula terbayangkan perkara
yang bukan-bukan.
“Kurang ajar!” Bergegas Ian Zacry turun dari keretanya mendekati teksi itu.
Nampaknya, apa yang dia risaukan telah menjadi kenyataan. Kalaulah Ain Sofea terima
pelawaannya tadi, hal buruk ini takkan berlaku.
Pintu bahagian pemandu dibuka kasar. Cekap tangan Ian Zacry mencapai leher
baju si pemandu. Lelaki itu ditarik keluar. Namun tubuhnya terjerut pada tali
keledar yang masih terpasang.
“Encik! Encik! Apa ni encik! Apa salah saya ni?” jerit si pemandu.
“Berani kau buat benda tak senonoh pada perempuan ni ya?! Kau tahu tak dia tu
kawan aku? Memang cari nahas kau ni!” Lelaki yang berbadan gempal itu terus
ditarik kasar oleh Ian Zacry.
“Saya tak buat apa-apa pun encik!”
Ain Sofea di tempat duduk belakang panik. Terburu-buru dia menerjah keluar
dari teksi mendapatkan Ian Zacry. Lengan Ian Zacry direntap kuat. Mati juga
pemandu teksi tu dicekik oleh mamat ni
yang tiba-tiba meroyan tak tentu pasal.
“Lepaskanlah abang ni! Awak dah kenapa?!”
“Saya tengah nak selamatkan awak ni! Dia nak rogol awak!” Semakin kuat
genggaman Ian Zacry pada leher pemandu teksi tersebut.
“Rogol?!” Ain Sofea terkejut.
“Encik! Bila masa pula saya nak rogol adik ni?” cantas pemandu teksi itu
pula.
“Jangan nak tipu! Awak berhenti tepi jalan ni untuk apa? Nak ambil
kesempatan kan?!”
“Tak encikkk...”
“Pembohong!”
“Ya encik... Sumpah demi Allah saya tak bohong. Saya cari rezeki yang halal
untuk anak bini saya encik. Buat apalah saya nak buat kerja bodoh yang boleh
menyusahkan hidup saya sendiri,” terang si pemandu teksi bersungguh. Dia sudah
terbatuk-batuk akibat saluran pernafasannya yang tersekat dicekak oleh tangan gagah
Ian Zacry.
“Teksi saya ni tiba-tiba mati enjin encik,” jelas pemandu teksi itu lagi.
“Awakkk... Betulll... teksi abang ni rosakkkk...” Sekali lagi Ain Sofea
cuba menjauhkan Ian Zacry dari pemandu teksi itu.
“Bbbetul ke?”
“Betul encikkk... Tolonglah lepaskan saya.”
Ian Zacry rasa malu dan serba salah. Tangannya perlahan-lahan melepaskan
kolar baju pemandu teksi. Kedudukan baju yang sudah senget juga dibetulkan. Diusap
sekali dua bahu lelaki gempal itu.
“Ooo... Teksi abang rosak yaaa...?” Muka rasa tebal. Inilah akibatnya kalau
tak mahu buat usul periksa terlebih dahulu. Cepat sangat buruk sangka. Main terjah
saja. Mujur juga tak kena terajang dek abang yang berbadan sihat ni. Kalau tidak,
tak pasal senak perut empat puluh empat hari.
“Ya encikkk... Rosakkk... Apalah malang nasib saya ni? Dahlah teksi rosak, kena
tuduh nak merogol lagi. Hampir dipukul pula tu!” rintih pemandu teksi itu dalam
nada menyindir.
“Maafkan saya bang. Saya cuma risaukan kawan saya ni. Saya tahu, saya bersalah.
Jadi, saya tolong abang selesaikan masalah teksi ni. Saya telefon trak tunda. Bayarannya
saya tanggung.” Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Segera nombor agen
trak tunda didail. Kemudian telefon diunjukkan kepada pemandu teksi itu. “Abang
beri tahu dia tempat ni area mana.”
Selepas telefon bimbit dikembalikan semula kepadanya, Ian Zacry meminta izin
mahu menghantar Ain Sofea pulang.
“Boleh ke saya pergi dulu sebelum trak tunda datang?” tanya Ian Zacry. Berat
hati pula mahu meninggalkan pemandu teksi itu sendirian. Tetapi dia lagi tidak sampai
hati melihat wajah gusar Ain Sofea yang asyik melihat jam tangannya berpuluh kali.
“Tak apa. Awak pergi hantar budak perempuan ni balik dulu. Kalau lambat, risau
pula keluarga dia.”
“Baik bang. Terima kasih. Minta maaf sekali lagi bang!” Dan pantas Ian Zacry
menarik lengan Ain Sofea menuju keretanya.