Total Pageviews

Sunday, May 15, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 15




“Berapa lama you nak tunggu dia niii...? Dah lebih dua jam tau!” Si gadis merengek sambil menayang muncung paruh itik.
“Itulah yang buat I pelik ni. Kalau lambat, dia mesti telefon beritahu I. Tapi, tak ada pun? Tadi, dekat pukul tiga dia telefon I. Katanya masih di bank lagi. Sepatutnya, pukul lima dah sampai. Ini dah nak maghrib, batang hidung pun tak nampak. Nak kata sesat, dia selalu datang sini,” leter Naqiuddin panjang. Dia berdecit selepas itu.
You tak cuba telefon dia ke?” soal si gadis. Mukanya masam kucam. Lebih masam dari asam gelugur.
“Dia tu koman punya orang... Mana ada handphone,” sinis suara Naqiuddin mengejek. Seperti Ain Sofea dapat mendengarnya pula. Bukan dia tidak tahu, telefon bimbit gadis itu diambil oleh ibunya.
Eee... Kolotnyaaa...? Mak I yang kat kampung tu pun reti pakai handphone tau!” tokok si gadis itu pula dengan perasaan jelik.
Naqiuddin senyum nipis. “Sudahlah! You tunggu I dalam kereta.”
“Malaslahhh... Pening kepala I terperap aje dalam kereta tu,” rengek gadis itu manja.
“Pergilah. Kalau dia nampak kita berdua, macam mana?”
“Menyusahkan orang betullah! Kalau tak ada handphone pun, gunalah public phone. Kan bersepah?” Nada suara gadis itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
“Mungkin dia ada telefon agaknya. Tadi I tak perasan bateri handphone I ni dah kong.” Telefon bimbit di atas meja yang masih disambung ke power bank ditolak sedikit.
You memang selalu macam tu. Bateri memanjang kong aje. Nasib baik rumah sewa you dekat dengan rumah I. Kalau I telefon tak dapat, senang I nak terjah rumah you. Kalau masa tu you tak ada kat rumah... siaplah you,” ceceh si gadis.
“Kalau I tak ada di rumah kenapa pula?”
“Itu tak lain tak bukan, you tengah curang dengan I lah!” Sekali lagi muncung itik ditayang.
You ni... Suka sangat buruk sangka kat I. I kan sayangkan you. Mana boleh I curang?”
“Alah! Kalau masa you dengan dia pun, you boleh ada hubungan dengan I, tentulah tak mustahil you buat macam tu juga kat I.”
You tahukan kenapa I baik dengan adik sepupu I tu?”
Gadis bersolek tebal itu menjuih bibir.
“Pasal duit dia saja,” ujar Naqiuddin membela dirinya. “Dah! Jangan nak tambah pening I ni. Kepala I dahlah sakit fikir pasal perempuan tu. Tah mana pergi agaknya.”
Perempuan di hadapan Naqiuddin itu tiba-tiba tersenyum menggeletis.
Youuu...” Jejari runcingnya yang berkuku panjang dan berwarna merah menyala dilarik manja pada tangan Naqiuddin. “Sebut pasal duit dia, you jangan lupa janji you ya? Bila dapat duit tu nanti, you bagi I sikit untuk beli barang hantaran pertunangan kita.”
“Ya sayang... I kan dah janji? Selama ni pernah tak I tak tepati janji I?” tebak Naqiuddin. Wajah gadis itu ditancap tepat. Cinta hatinya itu tersenyum manis.
“Tapi... Master you macam mana?”
“Kan I dah beritahu hari tu? Dah kerja nanti pun I boleh buat Master. Duit yang I dapat ni, kita gunakan untuk majlis pertunangan kita. Tapi, kita kena buat senyap-senyap. I tak nak adik sepupu I tahu. Nanti, I tak ada alasan lagi nak minta duit dia.”
Gadis itu mengangguk teruja.
“Pergilah duduk dalam kereta. I nak tunggu sekejap lagi. Mungkin dia dah nak sampai. I pun nak telefon mak I semula. Manalah tahu kot-kot dia ada telefon mak I beritahu kenapa dia lambat. Kereta ayah I tu buat hal tengah jalan ke. Kereta uzur tu tak boleh nak pandu laju-laju. Pasal tulah agaknya dia lambat ni,” ulas Naqiuddin cuba meredakan kebimbangan dalam hati.
Eee... Malasnyaaa...,” rengus gadis itu seraya menghentakkan kaki di bawah meja.
“Kalau dia sampai nanti, dia tengok you ada dengan I tentu dia curiga. Nanti habislah rancangan I,” pujuk Naqiuddin. Kalau terbongkar rancangannya, bukan dia saja, malahan Maria juga akan turut berputih mata.
“Kata sajalah I ni  kawan you.”
“Tak naklah sayanggg... Lecehlah I nak jawab kalau dia tanya macam-macam nanti. Lepas dia bagi duit tu, I bawa you pergi town.”
“Shopping?” Sang gadis menyeringai luas hingga terpamer gusi.
“Eh, tentulah! You cakap saja you nak apa. Semua I belikan nanti.”
“Ini yang buatkan I makin sayang kat you. I tak pandang lelaki lain selain you, sebab you pandai jaga hati I.”
Setiap butir perbualan dua manusia busuk itu benar-benar menyakitkan hati Ain Sofea. Bagai ditusuk sembilu. Pedih, sakit, nyilu semuanya bersatu. Dia tidak menyangka Naqiuddin sanggup buat dia begini. Setelah apa yang dia berikan, hati, harapan, pengorbanan dan kesetiaan, tega Naqiuddin memperlakukan dia seteruk ini? Naqiuddin menjadikan dia seperti lombong emas. Dikorek selagi ada. Bila sudah kekontangan hasilnya, dia dibiarkan kekeringan sendirian. Ke manakah janji Naqiuddin mahu hidup senang bersamanya selepas segala harta hampir habis diberikan kepada lelaki itu? Bila susah mahu bersamanya. Bila dah senang dia mahu dihumban pula. Bermakna, selama ini dia bukan sesiapa bagi Naqiuddin. Dia tiada makna kepada Naqiuddin.
Air mata yang merembes laju diseka perlahan. Diusap seluruh muka dengan kedua telapak tangan. Ain Sofea melepaskan nafas deras. Rasa hiba diredakan. Untuk apa dia bersedih begini semata-mata hanya kerana lelaki tidak guna seperti Naqiuddin? Tak ada faedahnya dia menitiskan air mata untuk si jahanam itu. Ada hikmah kenapa kereta Pak Longnya rosak tadi. Kalaulah kereta tu tidak meragam, tentu dia takkan tahu agenda sebenar Naqiuddin. Dan duit hasil jualan tanah ini pasti sudah sampai ke tangan jantan keparat itu.
Kalau hendak diturut rasa marah dan sakit hati yang sedang meluap-luap ini, mahu sahaja dia serang dan maki Naqiuddin serta perempuan itu. Bila difikirkan berulang kali, apa yang dia dapat selain terbalas rasa sakit hati? Maruahnya pasti serendah maruah lelaki itu. Air mukanya tentu jatuh ke lantai apabila mereka bercakaran di tengah ramai. Dia tidak mahu jadi begitu. Dia mahu buktikan kepada Naqiuddin, dia tidak selemah itu.
Setelah semangat diteguhkan, selepas yakin hatinya kuat untuk berhadapan dengan Naqiuddin, Ain Sofea keluar dari sebalik tiang tempat persembunyiannya. Kaki diatur menghampiri pasangan itu. Seketika dia terasa tangannya ditarik oleh seseorang. Cepat dia berpaling.
Ian Zacry?
Ting!
Muncul sesuatu di dalam kepala. Tanpa berkira-kira Ain Sofea menarik tangan Ian Zacry.
Lelaki itu sedikit tersentak dengan tindakan Ain Sofea yang tiba-tiba. Tanpa menahan, langkah Ian Zacry menurut saja  heretan Ain Sofea.
“Ain Sofea, awak nak bawa saya ke...” Kata-kata Ian Zacry terhenti sebaik sahaja mereka berdiri di sisi sebuah meja. Anak mata beralih dari melihat Ain Sofea kepada pasangan yang sedang duduk di situ.
Sorry bang. Ain terlewat sikit.”
Naqiuddin melopong. Teman wanitanya pula terkebil-kebil seperti baru tertelan sebekas kapur sirih. Mereka tergamam dengan kehadiran mendadak Ain Sofea.
“Eh, Ain?!” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Naqiuddin. Anak mata terus jatuh kepada genggaman Ain Sofea pada lengan lelaki kacak itu. Dari pautan tangan, kepala Naqiuddin mendongak melihat si lelaki. Orang putih? Selepas itu pandangan beralih semula kepada kekasihnya seraya menelan liur.
“Ain nak beritahu abang, duit jual tanah tu Ain tak jadi bagi abang.”
“Hah?! Apa?!”
“Ain tak jadi nak bagi duit lima belas ribu tu kat abanggg...,” ulang Ain Sofea.
“Tak jadi?!”
“Ya!”
“Tttadi... kan Ain dah keluarkan duit tu? Aaain... nak bagi kat abang. Kkkenapa tiba-tiba tak jadi pula?” Naqiuddin gugup bercampur cemas. Apakah perbualannya dengan Maria tadi didengari oleh Ain Sofea? Air liur laju ditelan. Habislah dia.
“Memang Ain dah keluarkan duit tu, dan dah janji nak bagi kat abang. Tapi sekarang, Ain ubah keputusan Ain.”
“Ubah keputusan?! Jjjanganlah... buat abang macam ni Ain!” Wajah Naqiuddin bertukar biru.
Sedikit pun tidak tercolek hati Ain Sofea dengan perubahan riak air muka Naqiuddin. “Ain ambil keputusan nak belajar.”
“Nak belajar?!” Terus membulat bebola mata Naqiuddin.
“Duit tu buat tampung kos belajar Ain nanti. Kawan Ain ni yang bagi cadangan untuk Ain sambung belajar.” Wajah Ian Zacry yang kelabu dipandang sesaat. “Dia nasihatkan Ain, pelajaran tu penting untuk ubah masa depan Ain. Jadi, Ain  pun setuju. Terus Ain suruh dia bawa Ain pergi melawat sebuah kolej. Sebab tu Ain lambat.”
“Hhhabis tu... abang macam mana?” Semakin tidak berdarah muka Naqiuddin.
“Mula-mula tu, Ain rasa serba salah juga. Ainkan dah janji dengan abang nak bagi duit tu? Alih-alih tak jadi pula. Kesiannn... abang.”
“Ya, ya Ain patut kesiankan abang.” Laju kepala Naqiuddin mengangguk. Mengalahkan burung tekukur.
“Kannn...? Nanti abang tak dapat sambung belajar pula, tapi Ain kena juga fikir masa depan Ain. Ain pun nak jadi orang terpelajar macam abang. Tak adalah nanti orang cakap Ain ni, koman sangat pasal Ain pun setaraf abang. Well-educated...” Perkataan koman itu idghamnya sengaja diteran kuat. Agar Naqiuddin tahu dia sedang memerli lelaki itu.
“Eh! Tttakkkk... Mana ada koman? Ain tak koman...”
“Bukan tadi abang cakap Ain ni koman punya orang ke?”
Naqiuddin terdiam. Sah Ain Sofea terdengar perbualannya tadi. Mata tidak berhenti berulang-alik dari wajah Ain Sofea dan kekasihnya.
Ish! Mana ada abang cakap macam tu, kan sayang?” Naqiuddin angkat kepala sedikit supaya gadis di depan dia ini menyokong kata-katanya. Seketika kemudian baru dia menyedari kesilapannya.
“Eh! Bukan sayang. Kan Maria, I mana ada cakap macam tu tadi?” Berulang kali Naqiuddin menelan air liurnya.
Maria hanya terkebil-kebil. Mulut seperti tergagap-gagap mahu menjawab.
“Awak!” Jari telunjuk Ain Sofea tajam menala kepada Maria.
“Awak jangan jadi nasi tambah!” Dikeluarkan arahan tegas kepada gadis yang bernama Maria itu. Kemudian, Ain Sofea kembali mencerlung wajah Naqiuddin.
Ian Zacry di sebelah terkulat-kulat melihat tiga orang manusia di sisi dan di hadapannya. Keliru dengan apa yang terjadi. Langsung tidak faham kenapa dia berada di tengah-tengah situasi ini.
“Abang ingat, Ain tak dengar apa yang abang bualkan dengan kekasih hati abang ni tadi?”
Bibir Naqiuddin sudah pucat. Memang hancur rancangannya kali ini.
“Memandangkan abang sendiri cakap yang abang nak buat Master tu sambil bekerja, jadi Ain tak adalah rasa bersalah sangat tak jadi tukang sponsor abang sambung belajar. Lagipun, duit ni abang nak gunakan untuk berjoli katakkan?!”
“Aaa... Emm... Err...” Naqiuddin tidak keruan. Habis dia kali ini. Rahsia yang sekian lama disimpan, terburai jua akhirnya.
“Nak bertunang? Bertunang guna duit tanah mak Ain?!”
“Aaa... Emm... Err...” Naqiuddin bertambah gugup.
“Cukuplah! Ain takkan jadi penyumbang kepada kewangan abang lagi. Lepas ni, abang berusahalah sendiri. Ain pun hendak berusaha untuk diri Ain. Dah tiba masanya Ain kejar cita-cita Ain.” Suara Ain Sofea mendatar. Terasa puas hatinya selepas segala yang terbuku dapat diluahkan.
Suasana di antara mereka tenang seketika. Jelas ada kekalutan di wajah Naqiuddin.
“Aaain... pergi tengok kolej mana tadi?” Naqiuddin memberanikan diri untuk bertanya. Manalah tahu auta si Ain Sofea saja.
“Dekat... dekat...” Aduh! Dekat mana pula nak kelentong ni? Tak terfikir sebenarnya Naqiuddin akan menyoal soalan itu. Mata meliar ke sana sini mencari idea. Kalau tidak dijawab, harus Naqiuddin dapat meneka yang dia sedang mereka cerita.
“Kita pergi dekat mana tadi Ian? Saya lupa pula nama kolej tu sebab terlampau panjang sangat.” Uish! Selamba tenuk melintas jalan saja dia panggil mamat ni Ian. Tangan Ian Zacry yang dipaut disentap sedikit kuat. Janganlah Naqiuddin perasan dia sedang menipu.
“KLIUC,” jawab Ian Zacry serta-merta sebaik sahaja melihat wajah gadis di sisinya bertukar putih.
“Apa?! KLIUC?!” Naqiuddin pantas berdiri. “Itukan private U, Ain? Mahallah!”
Sekali lagi tangan Ian Zacry direntap Ain Sofea. Otaknya ketika ini tengah kosong. Tak boleh nak auta. Orang tak pernah dan tak pandai menipu, serupa inilah! Tengok muka dia yang suci ini pun orang dah tahu. Muka tak pandai kelentong.
Ooo! Kos pengajian tu akan ditanggung oleh syarikat saya. Ain Sofea layak menerima biasiswa khas dari syarikat saya. Sementara biasiswanya diluluskan, dia perlu menggunakan duit sendiri. Kemudian nanti, kami akan bayar semula.” Bersahaja Ian Zacry buat penerangan.
Bertambah bulat mata Naqiuddin mendengarnya. Terbesit rasa cemburu. Dia sendiri pun mohon biasiswa tidak pernah lepas. Tersangkut untuk pinjaman PTPTN apatah lagi. Tak pernah berjaya walaupun dah berkali-kali dia cuba. Sebab gred tak pernah bagus, itu yang susah sangat agaknya. Tambahan dia sering menambah tempoh pengajian kerana gagal satu dua kertas.
Ain Sofea mengangguk laju. Mengiakan kata-kata Ian Zacry. Mujur juga dia menarik Ian Zacry untuk turut serta dalam racangan ‘Bang Bang Bom’ ini. Cuma tak ada orang pakai costume gorila saja di akhir rancangan nanti. Tanpa Ian Zacry, tentu lakonannya tidak menjadi. Dan Naqiuddin sukar terpedaya. Jika terbongkar muslihat... berjawab lah dia!
“Ain balik dululah bang. Ain datang ni cuma nak beritahu abang pasal ni aje. Tadi Ain telefon abang, tak dapat. Ain cari abang dekat rumah sewa, abang tak ada pula. Itu yang Ain datang sini. Tak sangka abang sanggup pula tunggu Ain berjam-jam dekat sini,” auta Ain Sofea lagi. “Sebelum tu, nama awek abang ni siapa?”
“Mmmaria...,” gagap Naqiuddin membalas. Tanpa sedar dia sudah mengiakan pertanyaan Ain Sofea.
“Okey, Maria. Selamat berkenalan. Terima kasih kerana awak dah menyelamatkan saya.”
“Hah?!” Maria kaget. Tidak faham.
“Jom Ian!” Tanpa menunggu lebih lama lagi, Ain Sofea menarik lengan Ian Zacry untuk beredar dari situ. Lelaki itu pula menurut tanpa banyak suara.
Ketika mereka melangkah keluar dari restoran, mulut Ian Zacry ringan mahu bertanya. Apakah hubungan sebenar antara Ain Sofea dan lelaki tadi. Tentunya lebih dari sepupu. Jika tidak, bukan begitu kelakuan Ain Sofea. Jelas ada perasaan marah terbias di wajah gadis itu apabila sepupunya berdua dengan perempuan lain. Namun, soalan disimpan dalam kepala. Melihat riak Ain Sofea ketika ini, dia tahu, bukan masa yang sesuai untuk dia menyoal. Mungkin di masa lain dia akan dapatkan jawapan itu.
“KLIUC tu apa?” tebak Ain Sofea ketika mereka menghampiri kereta Ian Zacry. Jauh juga lelaki itu pakir keretanya. Patutlah lama sangat ambil masa untuk ke restoran tadi.
“Tempat belajarlah.”
“Tahulah tempat belajar. Pelik sangat pula namanya... Kliuc?!”
“KLIUC... Bukan Kliuc. Kuala Lumpur Infrastructure University College nama penuhnya.” Ian Zacry senyum senget. Lawak betul minah ni.
“Mahal tak kos pengajian dekat sana?”
Private, biasalah.”
Ain Sofea mengeluh.
“Kenapa?”
Gadis itu hanya menggeleng.
Kalau mahal, tak ada canlah aku nak belajar dekat sana. Cari sajalah kolej kat Seremban. INTI Kolej ada. TAFE Kolej ada. Kolej Negeri pun ada, getus Ain Sofea. Dia mengeluh lagi selepas itu.
“Saya nak tanya sikit boleh?”
“Apa dia?” lemau Ain Sofea membalas.
“Tadi tu awak berlakon saja ke, ataupun awak memang ada niat nak sambung belajar?”
“Saya nekad sekarang ni. Biarpun dah terlewat, umur dah banyak, saya tetap nak sambung belajar,” tekad Ain Sofea.
“Baguslah. Tiada had umur dalam menuntut ilmu.” Ian Zacry membuka pintu untuk Ain Sofea. Dalam kepala semakin banyak perkara yang ingin dia tahu mengenai gadis ini. Hanya sedikit yang dia maklum tentang Ain Sofea. Itupun melalui perbualan Ain Sofea dan Awal tempoh hari. Sabarlah. Ada ketikanya nanti, aku akan tahu juga cerita minah ni, letus naluri Ian Zacry.
Sementara itu di kaki lima restoran, kelibat Ain Sofea dan lelaki iras mat saleh itu dipandang tidak berkelip oleh Naqiuddin. Serta-merta bebola mata Naqiuddin terjojol keluar apabila melihat lelaki itu membuka pintu sebuah kereta mewah untuk Ain Sofea.
“Sejak bila pula Ain berkawan dengan orang kaya?” Spontan pertanyaan itu terkeluar dari mulut Naqiuddin.
“Siapa lelaki tu?” soal Maria di kiri Naqiuddin.
“Entah!” jawab Naqiuddin sepatah. Maria di sebelahnya tidak diberi perhatian. Dia ralit memerhati BMW itu yang sedang melepasi lorong di hadapan restoran dan mulai memasuki jalan utama.
You kata, dia suka gila dekat you? Sayangkan you, tapi kenapa dia datang dengan lelaki lain pula? Siapa lelaki tu?” soal Maria lagi. Dia turut memerhati kereta mewah tersebut. Dalam diam Maria mula buat perbandingan. Fikiran terdetak. Alangkah bagusnya jikalau dia punya teman lelaki serupa itu. Sudahlah kacak, bergaya pula. Yang paling penting, kaya. Huh! Beribu kali ganda lebih baik lelaki tu daripada Naqi, desis Maria.
“Manalah I tahu. Kawan dia kut.” Ada nada cemburu di situ. Bukan Naqiuddin cemburukan Ain Sofea bersama lelaki itu. Dia tiada perasaan terhadap Ain Sofea untuk rasa cemburu seperti itu. Dia cemburu kerana Ain Sofea sudah berjumpa orang yang lebih baik daripada dia. Jawabnya, Ain Sofea takkan mudah lagi dia nak gula-gula.
“Takkan kawan?! You tak nampak macam mana dia pegang tangan mamat tu tadi? Lain sangat! Bukan macam kawan pun.”
Kereta mewah itu hilang dari pandangan. Namun mereka masih tegak di koridor itu melihat ke arah jalan raya.
“Sekarang ni macam mana? Melepaslah kita. Jangan katakan duit, bau duit pun kita tak dapat.” Maria beralih pandang melihat Naqiuddin. Wajah pucat lelaki itu berubah merah.
“Ini semua you punya pasallah!” lengking Naqiuddin tiba-tiba.
“Kenapa I pula?” Suara Maria sedikit tinggi.  Dahinya juga turut berkerut. Mata melilau seketika ke dalam restoran. Bimbang ada di antara pelanggan-pelanggan yang mengunjungi restoran itu memerhati ke arah mereka. Malulah dia.
“Tentulah pasal you. Kenapa you gatal datang sini? Cuba you tunggu saja I dekat rumah, kan elok! I suruh you tunggu dalam kereta, you tak nak pula. Sekarang, dia dah tahu pasal kita berdua. Sebab tu dia tak mahu bagi duit tu pada I. Padankanlah muka you tak merasa duit tu.”
“Eh apa pula padankan muka I?! Padankanlah dengan muka you! Sudahlah tak merasa duit, you melepas pula sepupu you tu. Lepas ni, susahlah you nak minta duit dia, sebab dia tak percayakan you lagi. Lagipun, diakan dah ada boy-friend baru. Lagi hebat dari you. You ingat dia nak pandang lagi muka you ni? Jangan mimpilahhh...” Maria membalas. Sakit pula rasa hati apabila dia yang disalahkan. Satu dua kumpulan pelanggan sudah mula memberi perhatian kepada mereka berdua. Kerana asyik bertelagah terlupa yang mereka ketika ini berada di kawasan awam.
You cakap baik-baik sikit ya!” baran Naqiuddin. Terasa diri tercabar. Susahlah dia hendak mengawal Ain Sofea lepas ni. Jika sukar dikawal, bermakna, dia bakal kehilangan sumber wang yang mudah diperolehi dengan hanya memujuk rayu sahaja. Selepas ini, kata-katanya tentu tidak berkesan.
“Memang I cakap baik-baik apa? Kalau I jadi sepupu you pun, belum tentu I pandang you semula tau, lepas I jumpa orang yang lebih bagus dari you. Kalaulah I ada boy-friend macam tu, tentu best.”
“Ada boy-friend macam dia? Apa maksud you? Jangan merepek boleh tak?” Mata Naqiuddin merah menyala. Terasa marah dan tersindir dengan kata-kata Maria sebentar tadi.
“Merepek apa? Tak adanya I nak merepek. I cakap benda yang betul. Lepas ni, kalau I jumpa orang yang lebih bagus dari you, I pun akan tinggalkan you. Kalau you sanggup makan duit perempuan, tambahan sepupu sendiri pula tu, tak mustahil satu hari nanti you makan duit I juga. Dari kecik tau mak I dah ajar, jangan bagi lelaki makan duit kita. Sikit-sikit, lama-lama jadi biasa. Lepas tu akan asyik minta saja. Nak jalan senang, mudah dan cepat dapat duit. Malas hendak berusaha sendiri. Lelaki yang macam you nilah!”
“Apa maksud you Maria?” Dalam dada mula membara. Terpukul dengan kata-kata Maria.
“Maksud I, sekarang ni you ada duit tak nak bawa I pergi shopping? You ada duit tak untuk meminang I? Mana I nak letak muka kalau majlis kita tak jadi? Mak ayah I, saudara-mara I, semua dah tahu tau!”
Naqiuddin terdiam.
“Tak adakan?! Kalau tak ada lebih baik I angkat kaki. Buat apa I tunggu lagi? I tak kira, you mesti cari juga duit tu untuk I. Sebab you dah janji. Selagi I tak dapat duit tu, you jangan datang cari I. Kalau you tak dapatkan duit tu dalam minggu ni, kita putus. Baiklah I cari orang kaya dari ada pakwe sengkek macam you ni.” Maria terus meninggalkan Naqiuddin terpinga-pinga.
Saat Maria menjauhinya, Naqiuddin masih keras di situ. Terpempan dengan kata-kata sang kekasih yang tidak dijangka. Rasa marah dan radang yang berbaur dalam dada harus dipalitkan kepada seseorang. Orang yang ingin dipersalahkan sudah tentulah Ain Sofea. Kerana Ain Sofea dia terasa hina. Terhina oleh perbuatan Ain Sofea yang sengaja menayang lelaki kaya di depannya. Dan perempuan itu jugalah yang buat dia dihina pula oleh Maria, kekasihnya sendiri.
“Celaka kau Ain! Siap kau.” Dendam mula bernaung di dalam hati. Dia mesti siasat siapa lelaki itu. Apa hubungan sebenar Ain Sofea dengan lelaki bermata biru. Orang putih tapi pandai cakap Melayu. Bagaimana sepupunya itu boleh menemui lelaki hebat pemilik BMW.
Jari mula mendail. Langkah pertama untuk memulakan penyiasatan adalah mengadukan perkara ini kepada ibunya dahulu. Supaya ibunya ambil peranan dalam sesi soal siasat terhadap Ain Sofea. Naqiuddin pasti, dengan sekali sergahan saja sepupunya itu terpecah lubang. Siapa yang tidak kenal dengan mulut ibunya? Sedangkan dia sendiri tidak tahan, inikan pula Ain Sofea yang sememangnya tinggal di rumah itu.
“Siapa lelaki tu?” herdik Puan Zaiton nyaring di hujung talian.
Naqiuddin menjarakkan telefon bimbit dari cuping. Mahunya pecah gegendang dia ni. Sesaat selepas itu ganggang kembali dilekapkan ke telinga.
“Manalah Naqi tahu makkk... Naqi tak kenal dia. Tak pernah Naqi jumpa pun mat saleh tu. Entah dekat mana Ain jumpa jantan tu agaknya. Tak sangka pula Ain dah pandai cari jantan sekarang ni.” Naqiuddin mula mencucuk jarum.
“Macam mana pula dia boleh datang dengan jantan tu? Ain kan bawa kereta ayah kamu?”
“Mana pula dia datang naik kereta buruk ayah tu? Dia datang dengan jantan tu naik BMW la makkk... Naqi nampak dengan mata kepala Naqi sendiri. Naqi ni, macam tunggul tunggu dia dekat sini. Dua jam tunggu dia. Alih-alih dia datang dengan jantan lain. Siap tayang depan Naqi lagi. Pegang-pegang tangan. Peluk-peluk pinggang. Naqi dengan Maria pun tak macam tu, tau mak.” Semakin hebat pula dia menghasut. Biar perangai Ain Sofea itu kedengaran buruk pada ibunya. Kalau boleh, sampai saja Ain Sofea di rumah nanti, terus kena hempuk.
“Perempuan jalang betul! Buat malu aku saja ada anak buah perangai macam tu.”
“Mak tak tahu macam mana sakitnya hati Naqi ni bila dia hina Naqi. Caci mak. Macam-macam yang dia cakap. Mentang-mentanglah dia dah jumpa mat saleh kaya, dia ungkit semua duit yang dia bagi kita. Duit lima belas ribu tu pun dia tak mahu bagi Naqi,” tokok Naqiuddin tanpa henti.
“Dasar tak mengenang budi betullah! Kalau aku tak bawa dia duduk dengan aku, takkan ada can dia nak jumpa lelaki kaya macam jantan tu!”
“Mak tahu tak, budak jantan tu bela Ain sekarang ni makkk...”
Sudah macam mulut perempuan pula si Naqiuddin ni. Terror betul mengadu domba. Hebat menokok tambah cerita.
“Apa?! Mana kau tahu Naqi?”
“Biasalah orang putih. Perangai memang macam tu apa? Lagipun, budak jantan tu sendiri mengaku depan Naqi. Dia nak tanggung Ain belajar. Dia masukan Ain ke universiti swasta pula tu, mak. Yurannya bukan sikit-sikit. Naqi rasa, mesti Ain dah jadi perempuan simpanan lelaki tu. Kalau takkk..., takkan sanggup dia nak perabih duit untuk Ain,” fitnah Naqiuddin tanpa berkira. Semakin giat pula dia mereka cerita.
“Apa?! Perempuan simpanan?!” Bertambah tinggi suara Puan Zaiton di sebelah sana. Dua kali dia dikejutkan dengan cerita yang tidak pernah disangka.
“Alahhh..., biasalah orang kaya-kaya ni. Dia orang memang suka simpan perempuan. Buat spare. Ain tu dah kira macam pelacurlah, tapi pelacur untuk orang kelas atasan. Layan seorang lelaki saja. Mak ingat, kalau Ain tak jual badan dia, ada ke lelaki kaya yang nakkan dia?” Naqiuddin mendengar nafas ibunya semakin kuat di sebelah sana. Seperti sesak nafas tak cukup oksigen saja. Jangan kena sakit jantung sudah! Nanti belum sempat misi membalas dendam kepada Ain Sofea dijalankan, ibunya pula yang ‘jalan’.
“Aduh! Sakit dada mak ni Naqi oiii... Tak sangka pula begitu perangai si Ain tu. Entah-entah, selama ini dia bukan pergi kerja part-time. Dia menyundal agaknya. Sebab tu bila kita minta duit, ada saja duitnya. Allahhh... Naqiii... Kita makan duit haram rupanya selama ini,” rintih Puan Zaiton.
Cis! Statement macam dia tu baik sangat.
“Alah mak! Tak apaaa... Kita bukannya tahu dia dapat duit tu dari hasil haram. Selama ni, kita cuma ingat dia dapat gaji dari kerja kilang dan kerja dekat Parkson tu saja. Naqi rasa, elok mak beritahu Mak Ngah pasal Ain ni. Biar dia tahu perangai Ain tu macam mana. Dah ada orang kaya bela dia, duit yang Mak Ngah bagi kita tu pun Ain nak kaput juga. Lepas tu mak tahu tak?”
“Tahu apa?” Puan Zaiton bertanya cemas.
“Ain marah-marahkan Maria. Dia tuduh Maria yang habiskan duit yang dia bagi Naqi. Padahal, Maria tak ada sangkut paut pun. Mak pun kenal Maria macam manakan? Sekarang, Maria dah marah dengan Naqi. Semuanya Ain punya pasallah ni!”
“Ya Allahhh..., geramnya aku. Kesian Maria.”
“Mak tengoklah, malam ni entah-entah Ain tak balik. Tidur rumah jantan tu agaknya.”
“Tak boleh jadi ni. Kita tak boleh biarkan. Jatuh subahat kita ni, kalau dah tahu buruk perangai Ain tu tapi kita tak buat apa-apa. Kalau orang tahu lagi malu kita. Mak kena cakap dengan Mak Ngah kamu.”
“Ya mak, Naqi setuju. Lagi satu, bila Ain balik nanti, mak desak Ain supaya beritahu siapa sebenarnya lelaki tu. Mak tanya nama mat saleh tu. Lepas tu, mak beritahu Naqi. Naqi nak siasat apa kerja dia. Mana tempat tinggal dia. Mak jangan lupa tu?”
“Kamu tengoklah nanti..., mak beduk dia cukup-cukup. Mak Ngah kamu terlampau manjakan sangat si Ain tu. Tak pernah dimarah. Tak pernah dipukul. Sebab tu perangai sundal macam tu. Kalau Mak Ngah kamu tak reti mengajar anak, biar aku saja yang ajar si Ain tu. Geram betul aku dibuatnya.”
Naqiuddin senyum lebar. Rancangannya sudah berjaya. Sekarang terbalas sakit hatinya kepada Ain Sofea. Seketika kemudian Naqiuddin menamatkan panggilan. Satu perkara sudah selesai, sekarang dia harus selesaikan satu perkara lagi. Memujuk Maria.
“Mana pula aku nak cari duit nak bagi Maria ni? Duit nak bertunang lagi.” Kepala yang tidak gatal digaru kasar.

No comments:

Post a Comment