Walaupun urusan di mesin deposit telah selesai, Ain Sofea tetap terpacak
tegak di situ. Sungguh dia tidak berani untuk berpaling. Apatah lagi melangkah keluar
dari ruang itu. Memang dia tidak punya kekuatan mahu menentang wajah Ian Zacry
saat ini.
Dada yang berdebar tadi masih kuat bergegar. Sempit betul rasa jantungnya.
Hendak bernafas pun terasa sukar. Telapak tangan pula berpeluh dalam kesejukan.
Ini kali ketiga dia merasa perasaannya jadi tidak menentu begini. Kali
pertama, ketika tangannya berpautan dengan tangan Ian Zacry gara-gara Awal mahu
mereka bersalaman tempoh hari. Waktu itu, tidaklah teruk sangat hatinya
libang-libu. Kali kedua, di dalam kereta tadi. Memang dia terkedu, tetapi
kejadian kali ketiga benar-benar buat dia jadi gabra tahap gaban. Berada
dekat dengan tubuh lelaki itu tanpa berjarak seinci pun, fuh! Kering
darah dibuatnya. Masakan tidak? Jantung tiba-tiba berhenti berdetak.
Peluh yang mula merenik di dahi dikesat dengan belakang tangan. Ain Sofea berusaha
menguatkan hatinya untuk berhadapan dengan Ian Zacry.
“Dik! Dah sudah ke belum ni? Lama sangat berdiri depan mesin ni,” sapa
seorang pelanggan di belakang.
“Hah?!” Ain Sofea tersentak dan menoleh. Dia tersenyum sumbing saat
terlihat wajah masam lelaki yang menegurnya.
“Maaf ya bang.” Gadis itu bergerak ke tepi. Memberi ruang kepada lelaki
tersebut untuk mendekati mesin deposit. Mujur juga dia ditegur. Kalau tidak,
entah berapa lama lagi agaknya dia tegak di hadapan mesin itu.
Ian Zacry di koridor luar dipandang. Lelaki itu sedang berdiri membelakanginya
sambil menyandarkan bahu kanan pada tiang bangunan. Tangan kanan di dalam poket
seluar. Manakala tangan kiri melekapkan telefon bimbit pada telinga.
“Tengoklah! Berdiri pun ada gaya. Bagaimanalah hati aku ni tak tertarik?
Apa aku nak buat supaya hati aku ni tak terus melekat pada mamat tu?” desis Ain Sofea. Perasaan libang-libunya ini harus
segera dicegah. Jika tidak, sahih hidupnya jadi haru-biru nanti.
“Jangan lupa Ain.... Barang harus diingat! Lelaki tu sudah berpunya. Enntah-entah
sekarang ni, dia tengah bercakap dengan marka dia tu,” bisik gadis itu lagi. Ain
Sofea mengeluh. Berapa lama dia mahu berdiri di sini? Mahu tidak mahu, nak tak
nak, dia kena keluar juga. Selepas melepaskan hungap, kaki melangkah lemah
menghampiri pintu kaca.
“Ni semua kau punya pasallah pintu! Kalau kau tak tiba-tiba tertutup tadi,
tentu benda tu tak jadi,” gumam Ain Sofea. Sempat menyalahkan pintu tidak
bernyawa itu atas rasa yang meribut dalam dadanya ketika ini. Sebaik sahaja
pintu automatik terbuka luas, dia melangkah tanpa berbunyi derap menghampiri
Ian Zary.
“Sekejap lagi Ian sampai. Bolehkan Ian bawa dia?”
Kata-kata Ian Zacry menyapa telinga Ain Sofea kala dia berdiri sedikit
hampir dengan lelaki itu.
“Mummy jangan risau..., dia baik. Dah jumpa nanti tentu mummy
sukakan dia.”
Ain Sofea mencuri dengar.
“Entah siapalah agaknya yang dia nak bawa jumpa mummy dia tu? Girlfriend dia hari tulah
kut? Siap puji lagi dekat mummy dia, marka dia tu baik. Heh!” bisik Ain Sofea halus. Tidak
semena-mena ada rasa cemburu meluru dalam hati. Wajah teman wanita Ian Zacry
terbayang di depan mata. Memang cantik. Persis model. Seperti artis pun ada
juga. Memang padanlah dengan mamat ni. Peel pun sama, mulut
longkang!
Ian Zacry yang baru selesai bercakap di telefon berpaling. Terus Ain Sofea
terkedu saat matanya bertentangan dengan mata biru itu. Jangan Ian Zacry ingat
dia mencuri dengar perbualannya sudah! Baru saja dia mahu membuka mulut untuk
bertanya Ian Zacry mahu menghantarnya ke hotel mana, telefon bimbit lelaki itu
berbunyi lagi. Terus Ian Zacry mengangkat tangan. Isyarat meminta dia menunggu.
“Helo! Ya sayang!”
“Sayang?! Huh! Minah rambut karat hari tulah agaknya ni? Confirm
nak bawa makwe tu jumpa mummy dia. Habis tu makwe yang ini macam mana?” Ain
Sofea berbisik lagi. Entah dari mana datangnya, tiba-tiba ada yang terbuku
dalam dada.
“Wei! Ain Sofea... Engkau jangan nak berangan boleh
tak? Sejak bila pula kau jadi marka mamat mata biru tu? Kau ingat, hanya
disebabkan masa kau dah banyak terluang bersama mamat tu hari ni, kau
dah dikira girlfriend dia? Bangun... bangun... Jangan nak bermimpi di
siang hari...” gumam gadis itu sendiri. Pantas Ain Sofea menyedari siapa
dirinya. Dia bukan sesiapa. Kalau dia digandingkan bersama Ian Zacry, memang
seperti langit dan bumi. Memang serupa gagak dan merak. Tak ubah macam kaca dan
permata. Nampak sama sebagai seorang manusia tetapi status berbeza.
Ain Sofea mengeluh perlahan. Bagaimanalah dia boleh terfikir untuk berdiri
dan duduk sama aras dengan lelaki yang ada kelas? Rasa malas pula hendak
menunggu di sisi lelaki itu. Nanti Ian Zacry salah sangka. Fikir dia mahu
mendengar perbualannya. Lebih baik chow dulu.
Hampir lima minit selepas itu Ian Zacry menghampiri Ain Sofea yang sedang
menanti di kereta BMWnya. Tanpa bertangguh gadis itu terus bertanya.
“Awak nak hantar saya ke hotel mana?” Bertanya sambil melarikan anak mata
dari melihat wajah Ian Zacry. Rasa sebu semakin penuh dalam hati. Cemburukah
dia? Pintu kereta ditarik sebaik sahaja sistem penggera dimatikan oleh Ian Zacry.
“Awak ikut saja saya,” balas Ian Zacry turut tidak memandang kepada Ain
Sofea.
Mereka berdua seolah-olah seperti sedang mengelak dari bertentangan mata.
Tanpa bertanya lebih lanjut Ain Sofea angguk setuju. Tidak menunggu, dia
menerjah masuk ke dalam perut kereta. Pasang tali pinggang keledar, duduk tegak
dan mata terus memandang ke hadapan. Sepanjang perjalanan kedua-duanya
menumpukan sepenuh perhatian kepada jalan raya.
Sungguh tidak berani Ain Sofea ingin mengerling kepada lelaki di sebelahnya
ini walaupun untuk sesaat, tetapi kala pandangannya terlihat binaan mercu tanda
di lereng bukit kecil itu, pantas kepalanya menoleh. “Bukit Mahkota?!”
Ian Zacry angguk kecil membalas.
“Dekat Bukit Mahkota ni ada hotel ke?”
Ian Zacry geleng pula.
“Habis tu, awak bawa saya ke sini buat apa?” Ah, sudah! Apa pula yang ada
dalam kepala otak mamat mata biru ni? Jangan ada niat nak buat perkara
yang buruk-buruk pula kepada dia. Cukuplah matanya saja yang biru, jangan
otaknya pun sama biru. Eh, bukan! Otak kuning!
Ain Sofea menelan liur. Ibu jari kanan sudah berada pada punat push
button untuk mencabut tali pinggang. Sebelah tangan lagi bersedia untuk
membuka pintu. Kalau lain macam saja dia tengok muka mamat sebelah ni, dia
nekad terjun dari kereta. Biarlah risiko cedera parah itu tinggi. Dia lebih
rela begitu dari membiarkan maruahnya diratah. Dalam hati terbesit rasa
menyesal kerana terlalu mudah mempercayai lelaki ini, tetapi masih belum
terlewat untuk menyelamatkan diri.
“Saya dah cerita pasal awak kepada mummy saya. Saya dah tanya mummy
saya, boleh tak kalau saya bawa awak menumpang di rumah kami malam ini. Mummy
saya setuju. Jadi, sekarang ni saya nak bawa awak balik ke rumah saya.”
Sekali lagi Ain Sofea menelan liur. Entah betul entah tidak cerita mamat
ni. Manalah tahu, di rumah tu dia tinggal sorang saja. Dalam otak yang sedang
berfikir bukan-bukan, tiba-tiba Ain Sofea teringatkan perbualan Ian Zacry di
hadapan bank tadi.
Ooo... Jadinya yang dia nak bawa jumpa mummy
dia tadi, akulah... Akulah yang dia puji baik tadi... Aku rupanya yang dia
cakap kalau mummy dia dah jumpa nanti, mummy dia tentu suka...,
detak hati Ain Sofea. Spontan senyuman tersungging di bibirnya kala teringatkan
pujian itu. Tanggapan buruk terhadap Ian Zacry yang terlintas di fikirannya
terus terbang melayang sekelip mata.
“Kenapa tiba-tiba senyum?” soal Ian Zacry selepas ekor matanya menangkap
senyuman pada bibir gadis itu.
Terus senyuman itu terpadam.
“Mmmana ada saya senyum?” sanggah Ain Sofea. “Saya segan sebenarnya nak
pergi rumah awak. Saya malu nak jumpa mummy awak. Kita ni, baru saja
kenal. Apa pula kata mummy awak? Baru saja kenal, saya dah berani ikut
awak balik rumah.”
“Awak tak perlu risau pasal tu semua. Saya dah terangkan kepada mummy
saya. Dia faham masalah awak. Dan dia faham perangai saya. Saya kalau demi
kawan baik, sanggup buat apa saja.”
“Kawan baik?! Siapa?” Ain Sofea memberanikan diri menentang wajah Ian Zacry.
“Awaklah... Awak tu dah dikira kawan baik saya.”
“Gila! Jumpa baru beberapa kali, kenal tak sampai sehari, awak dah kira saya
ni kawan baik awak?” Kepala mula berangan. Hmm... Apa tak anggap saja aku ni
bakal isteri kau? Wei Ain Sofea! Jangan nak perasan. Dia anggap kawan baik
tu, dah dikira cukup bagus tau!
“Saya tahu, kita baru kenal. Tapi tak salahkan, kalau baru kenal dah jadi
kawan baik?”
Laju Ain Sofea geleng.
“Jangan awak sangka, saya tolong ni disebabkan rasa simpati kepada awak
selepas saya dengar masalah awak. Tak! Bukan! Dari cerita awak, saya tahu awak
orang yang bagaimana. Saya percaya awak seorang yang sangat jujur. Sebab tulah
saya berani anggap awak kawan baik saya. Dan bila awak dah jadi kawan baik saya,
saya sanggup buat apa saja untuk tolong awak,” terang Ian Zacry.
Gadis itu cuma diam mendengar.
“Sebagai seorang kawan, saya risaukan keselamatan awak kalau awak bermalam
di tempat-tempat yang tidak tentu keselamatannya. Lebih-lebih lagi awak tu
seorang perempuan. Tambahan, awak tak biasa dengan kawasan Bangi ni. Katakanlah
berlaku kejadian yang tak diingini kepada awak. Besok pagi saya buka surat
khabar, saya terbaca cerita tentang awak. Tentu saya menyesal seumur hidup
sebab tak tolong awak,” berjela pula alasan Ian Zacry.
Tinggi betul imaginasi mamat ni. Sampai ke situ pula dia berfikir.
Macam tu sekali ke dia risaukan tentang aku? getus Ain Sofea. Perasaan sangat tersentuh
apabila lelaki ini jelas menunjukkan sisi baiknya. Dia tidak menyangka, dalam
perangai Ian Zacry yang kadang-dakang menjengkelkan itu, masih ada nilai-nilai
murni dalam dirinya. Kira beruntunglah kau Ain Sofea... Kau dah dianggap
sebagai kawan baik. Itu bermakna engkau sudah menjadi somebody dalam
hidup dia, walaupun hanya seorang kawan baik. Kadang-kadang, kawan baik itu
lebih bermakna dari seorang kekasih tau!
Beberapa minit selepas itu, kereta Ian Zacry mula memasuki sebuah kawasan
perumahan mewah. Kereta terus dipandu menuju ke sebuah banglo. Perlahan Ian
Zacry memandu memasuki halaman selepas pintu pagar terbuka dengan sendirinya.
Kereta diparkir di bawah anjung.
Sementara itu, Ain Sofea kaku memandang. Tidak berkelip matanya sedari
memasuki kawasan perumahan ini tadi. Hingga tiba di rumah Ian Zacry, mulutnya
masih melopong luas. Kawasan kejiranan perumahan ini kelihatan begitu esklusif.
Banglo-banglonya besar-besar. Cantik-cantik. Indah-indah.
Air liur yang hampir kering ditelan lagi. Takut, malu dan segan datang
bertimpa-timpa. Bimbang nanti dia seperti rusa masuk kampung pula. Mesti macam
jakun apabila masuk ke dalam rumah besar itu. Masakan tidak? Bermimpi pun tidak
pernah akan menjejakkan kaki ke rumah yang segah ini. Tentu dia tidak betah
nanti. Macam mana dia nak bawa diri apabila berhadapan dengan orang kaya? Nak
kena ubah cara percakapan ke? Nak kena tukar gaya berjalan? Nak kena jaga
kelakuan? Aduh... Boleh pitam macam ni! Kalaulah aku tahu mamat ni nak
bawa aku balik ke rumah dia yang besar mengalahkan istana ni, sumpah mati kerat
sepuluh pun aku tak nak ikut!
Sedang ralit Ain Sofea meneliti keadaan laman dan banglo itu, Ian Zacry
menyapanya.
“Turunlah. Jemput masuk. Itu! Mummy saya dah tunggu.” Muncung Ian
Zacry menghala ke pintu rumah.
Sebaik sahaja terlihat susuk tubuh wanita berusia itu, jantung Ain Sofea
mula berdetak kencang. Hebat betul debarnya. Air pekat di dalam mulut ditelan berulang-ulang.
Otak diterjah pelbagai pertanyaan. Bagaimana agaknya sambutan dan layanan
wanita kaya itu nanti? Apakah pandangan wanita itu kepadanya? Tentu buruk saja
sangkaannya. Pasti serong tanggapannya, kerana dia seorang gadis yang begitu
berani mengikut seorang lelaki yang baru dikenali pulang ke rumah. Aduh!
Semakin laju degup jantung Ain Sofea.
Perlahan Ain Sofea melangkah turun dari kereta. Kaki lemah mengatur derap.
Badan mula menggigil. Dahi sudah berpeluh-peluh. Lutut pula menggeletar kuat. Dag
dug dag dug bunyi jantung. Jelas terdengar di cuping telinga sendiri. Darah
terasa deras mengalir di dalam tubuh. Seperti air sungai yang melimpah semasa
musim bah. Lantai yang dipijak tiba-tiba rasa goyah.
Ian Zacry sudah berada di sisi mummynya.
Dia menunggu Ain Sofea di situ. Namun dia terkedu saat matanya melihat gadis
itu tiba-tiba terjelepok ke atas lantai.
“Ain Sofea!” Pantas dia meluru mendapatkan dara itu.
aduh malu nyer Ain ni...
ReplyDelete