Total Pageviews

Thursday, May 19, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 16




“Jadi, itulah sepupu awak?” Sengaja Ian Zacry menyoal. Gadis ini tidak memperkenalkan lelaki itu kepada dia tadi. Bagaimanapun, dia tahu jawapannya betul.
Ain Sofea angguk lagi.
“Kalau saya tanya sesuatu boleh tak? Saya takut awak marah.”
Bahu diangkat. Wajah Ian Zacry terus dipandang. “Tanyalah dulu. Kalau kena dengan soalannya, takkan saya nak marah?”
Emmm... Maaf, kalau soalan saya ni terlalu peribadi. Awak dengan sepupu awak tu ada sesuatu ya?” teka Ian Zacry. Kalau Ain Sofea jawab tidak, nampak sangat membohong. Jika tiada apa-apa, masakan Ain Sofea bersedih ketika mengintai pasangan itu dari sebalik tiang tadi? Bukan dia tidak nampak gadis ini menyeka air matanya. Selepas itu, Ain Sofea jadi baran pula. Namun, ketika di dalam perjalanan mereka tadi, gadis ini seperti tidak senang apabila dia diperli berpacaran dengan sepupu sendiri. Mungkin nak cover kut! Malu dikata bercinta dengan saudara.
Ain Sofea menekur dan diam seketika. Berkira-kira mahu bercerita duduk perkara yang sebenar ataupun tidak.
“Kalau awak keberatan nak cerita hal peribadi awak kepada saya, tak apalah. Saya tak paksa. Saya faham. Kita ni baru kenal,” ujar Ian Zacry lagi.
Gadis itu merenung semula iras Ian Zacry. Hari ini, manusia ini sudah banyak menyelamatkan dia dari masalahnya. Rasa tidak wajar pula mahu berbohong dan berselindung daripada lelaki itu. Paling tidak, perasaan sakit atas perangai Naqiuddin yang menyumbat hati dia ini dapat dimuntahkan.
Dara itu memusingkan badannya semula memandang ke hadapan. Tubuh dan kepala disandarkan rapat pada kerusi. Ditelan air liurnya sebelum mula bercerita. “Saya ni anak yatim. Ayah saya meninggal sebelum mak melahirkan saya.”
“Ain... Maafkan saya, kalau saya buat awak sedih.” Ada genangan air jernih pada tubir kelopak mata gadis itu saat Ian Zacry mengerlingnya. Rasa bersalah kerana dia telah menyebabkan gadis itu menyelak tabir duka hidupnya.
“Saya tak apa-apa. Bagus juga awak bertanya. Dah lama saya pendam perasaan saya ni. Tak ada tempat nak saya luahkan,” rintih dara itu perlahan. Kelopak mata digenyeh dengan hujung jari telunjuk dan ibu jari kanan. Tidak mahu air matanya menitis ke pipi. Rasa hiba disisih tepi.
“Saya sudi mendengarnya. Ceritalah. Kitakan dah jadi kawan?”
Berbeza benar Ian Zacry di matanya ketika ini. Bicara Ian Zacry menunjukkan dia amat peduli. Tidak seperti sebelum ini. Kata-kata jejaka itu semuanya mencucuk hati. Sebaris senyuman nipis Ain Sofea lorekan pada bibir buat lelaki itu. “Sudi ke awak dengar cerita sedih saya ni? Saya tak mahu awak anggap saya membuka pekung keluarga sendiri.”
“Kalau awak sudi bercerita kepada saya, saya seribu kali sudi mendengarnya. Ini bukan soal membuka aib sesiapa. Tapi, ini untuk meluahkan apa yang awak simpan dalam hati awak tu. Mungkin awak tak tahu yang saya ni seorang pendengar yang sentiasa. Dan saya juga pakar dalam memberi pandangan. Semestinya, orang yang paling boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia. Lagipun, saya seorang kawan yang sangat baik, kan?” Ian Zacry memuji dirinya sendiri.
Tercuit sedikit hati Ain Sofea melihat tingkah lelaki itu yang bersahaja mengangkat tinggi kolar jaketnya dengan gaya bangga.  
“Terima kasih, sebab awak sudi menjadi tempat saya mengadu.” Pandangan dihalakan semula ke hadapan. “Mak saya hanya ada dua beradik.”
“Adik-beradik dengan Mak Long?” celah Ian Zacry. Tentulah dengan Mak Long jawapannya. Jika dengan Pak Long, gadis ini tidak boleh punya perasaan dengan sepupu sendiri kerana mereka sedarah sedaging, detak Ian Zacry.
“Ya, adik-beradik dengan Mak Long. Ayah saya pula tak ada saudara-mara. Ayah anak yatim. Kerana keluarga kami kecil, jadi saya sangat rapat dengan sepupu saya.” Ain Sofea memulakan hikayat hidupnya.
“Tak ada sepupu lain?” Tentang Ain Sofea yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya sudah dia tahu sewaktu perbualan gadis itu bersama Awal kelmarin.
Ain Sofea geleng. “Lepas tamat sekolah menengah, saya tak berpeluang melanjutkan pelajaran. Bukan keputusan saya tak baik, cuma masa tu Mak Long gesa mak supaya bantu sepupu saya untuk masuk U.”
“Sepupu awak tu sebaya awak?”
“Dia tua setahun daripada saya.”
“Berapa umurnya?”
“Dua puluh enam.”
Ian Zacry butang mata. “Tak habis belajar lagi?!” Adiknya Luth Michail yang sebaya gadis ini pun sudah lama menamatkan pengajiannya.
“Kan dia nak sambung master?”
“Jika sampai master pun, sepatutnya dah habis dahhh... Bukannya baru nak ambilll...”
“Dia ada masalah keluarga. Masa sepupu saya di tingkatan lima, Pak Long saya jatuh sakit. Duit banyak habis digunakan untuk kos rawatan Pak Long. Pak Long juga terpaksa pencen awal. Jadi, sepupu saya menangguhkan permohonannya untuk menyambung pelajaran.”
“Ooo...” Dalam otak Ian Zacry mula mencongak. Jika tertangguh pun, takkan umur dah dua puluh enam degree baru nak habis? detak Ian Zacry masih sangsi.
“Sejak Pak Long terlantar, mak saya yang tolong keluarga Mak Long dari segi kewangan. Saya sendiri bekerja di kedai runcit kat kampung selepas habis waktu sekolah untuk membantu mereka.”
“Habis SPM sepupu awak tak kerja dulu ke bantu keluarga dia?”
“Makan tidur ajeee... Alasannya, dia kena tolong Mak Long jaga Pak Long. Mak Long tak larat nak angkat Pak Long ke sana ke sini. Pak Long strok sebelah badan. Susah nak bergerak.”
“Saudara-mara belah Pak Long awak tak tolong dia orang ke?” Pelik juga. Semuanya terletak di atas batu jemala keluarga Ain Sofea.
“Keluarga sebelah Pak Long dah sisihkan Pak Long sebab berkahwin dengan Mak Long. Itu yang mak beritahu saya. Apa sebabnya, mak tak pernah cerita. Mahu tak mahu, kami kena bantu keluarga Mak Long. Nak harapkan pencen Pak Long aje, tak cukup.”
Lelaki di sebelah Ain Sofea itu mendengus perlahan. Terbit rasa belas buat gadis ini. Getir juga jalan cerita hidupnya, getus hati Ian Zacry.
“Selepas dua tahun, baru sepupu saya tu buat keputusan nak masuk U. Mak Long paksa mak saya jual tanah kebun kami untuk bantu anaknya, sebab pinjaman dan biasiswa tidak diluluskan.”
Result tak berapa cantik memanglah susah nak dapat!” gerutu Ian Zacry. Memandai dia saja mengata sepupu Ain Sofea. Rasa geram mendengar cerita tentang sepupu gadis itu.
“Jadi, saya beralah. Saya sanggup korbankan cita-cita saya demi dia yang saya sayang. Sedang dia belajar, saya pula terus bekerja di kampung untuk menampung perbelanjaan dia,” ujar Ain Sofea jujur.
“Siapa nama dia?” Ada rasa cemburu tiba-tiba terdetik dalam hati Ian Zacry.
“Naqiuddin,” beritahu Ain Sofea. Selepas mengeluh perlahan, dia menyambung kembali ceritanya. “Dari kecil lagi kami sangat rapat. Dulu, kami tinggal bersama di kampung sebab Pak Long selalu bertukar tempat kerja atas arahan jabatan. Bila Pak Long dapat bekerja tetap di Seremban dan beli rumah di sana, baru mereka pindah tinggal bersama Pak Long.”
“Macam mana pula awak boleh tinggal dengan Mak Long awak?” Hal ini pun dia tahu melalui cerita Ain Sofea kepada Awal tempoh hari.
“Naqi selalu memanjangkan tempoh pengajiannya. Saya tak tahu kenapa?”
“Ada kertas yang tak lepaslah tuuu...,” teka Ian Zacry.
“Entah!” Bahu diangkat. “Makin lama, makin banyak duit yang dia perlukan. Kesian mak. Selalu putus duit sebab tolong Mak Long dan Naqi. Saya tak sampai hati tengok mak bekerja keras. Akhirnya, saya setuju dengan cadangan Mak Long untuk tinggal bersamanya dan bekerja di kilang. Nasib baiklah saya dapat jawatan yang baik sikit. Gaji boleh tahanlah! Bila campur dengan elaun dan OT, lebat juga. Hampir semua gaji saya, saya berikan kepada Mak Long dan Naqi. Kemudian, Naqi nak ambil degree pula. Lepas tu, nak beli kereta supaya mudah ke sana ke sini untuk buat projek dia. Akhirnya, mak terpaksa tolong Mak Long semula.”
Ian Zacry geleng kepala mendengar cerita Ain Sofea.
“Hasil kebun kami tak cukup untuk menampung mak dan permintaan Mak Long. Sebab kami dah banyak jual tanah kebun tu untuk bayar yuran pengajian Naqi masa mula-mula dia masuk U dan ambil degree dulu.”
“Maknanya, duit lima belas ribu yang awak nak bagi pada dia untuk sambung master ni, duit jual tanah juga?!” pangkas Ian Zacry sedikit terkejut.
Gadis itu hanya menjawab dengan anggukkan. “Tapi dia bukan nak gunakan duit ni untuk tu punnn...”
Ya, Ian Zacry tahu. Dia dengar perbualan Ain Sofea dengan Naqiuddin tadi. Sudahlah minta bantuan orang, berbohong pula. Nak sambung belajar kononnn... Yang sebenarnya, mahu gunakan duit itu untuk bertunang. Dengan perempuan lain pula tu! Kalau dia di tempat Ain Sofea, harus makan pelempang Naqiuddin. Mujur gadis ini tinggi kesabarannya.
“Duit tu ada pada awak sekarang?!”
“Ya.”
“Bahaya awak tahu tak?!” Gila betul minah ni! Selamba badak kendong duit lima belas K.
“Dah dia tak nak saya transfer. Leceh kata dia. Macam-macam alasan dia bagi kat saya. Nak tak nak, kenalah hantar sendiri juga.”
Ian Zacry geleng kepala. Tak patut betul jantan sorang tu. Nampak sangat dia tak sayangkan Ain Sofea. Jika sayang, tentu dia risaukan keselamatan gadis ini. 
“Kalau gaji awak kerja kilang tu dah banyak, buat apa pula awak kerja di Parkson?” tanya Ian Zacry mahu tahu kisah selanjutnya dari Ain Sofea.
“Memanglah boleh tahan banyak. Tapi, dicampur dengan duit hasil kebun mak saya, masih tak cukup juga. Perbelanjaan rumah Mak Long, ubat-ubat dan kos rawatan Pak Long, perbelanjaan Naqi lagi. Sudahnya, saya setuju dengan cadangan Mak Long untuk buat part-time di Parkson.”
“Saya simpati kat awak,” luah Ian Zacry. Hanya itu yang termampu dituturkan.
“Saya sanggup berkorban apa saja untuk Naqi. Saya turutkan kehendak dan cakap Mak Long kerana saya sayangkan Naqi. Tapi, awak nampakkan apa yang dia buat kepada saya? Selepas dia berjanji untuk bersama saya, sanggup dia curang di belakang saya,” keluh gadis itu dengan rasa sesal yang meruntun hati. Hibanya ditahan. Pilunya dibendung. Satu kerugian untuk dia menjadi lemah dan rasa menderita hanya kerana seorang lelaki yang tidak berguna seperti Naqi. Lepas ni, dia takkan fikir walau sekali pun untuk meninggalkan rumah Mak Long dan Naqi.
Selepas mendengar kisah Ain Sofea, naluri Ian Zacry terdetik. Betapa setianya gadis ini mencintai. Terlalu luhur hatinya hingga sanggup berkorban demi orang yang disayangi. Menelan segala pahit getir dan memberi segala yang dimiliki, demi membahagiakan seorang lelaki. Alangkah bertuahnya lelaki yang bernama Naqi dan alangkah bodohnya Naqi tidak tahu menghargai gadis baik seperti Ain Sofia ini.
Tanpa sedar, Ian Zacry mula membandingkan antara Ain Sofea dengan Julia dan Tengku Ellisa. Julia, tidak sanggup berkorban untuk dia sepertimana Ain Sofea yang rela berkorban demi Naqi. Jika tidak, Julia takkan lari dan pergi ketika dia sedang berusaha mengembangkan perniagaan demi masa depan mereka sendiri? Tengku Ellisa pula, sentiasa mahu menerima tetapi tidak pernah memberi. Kalau tidak, Tengku Ellisa takkan sentiasa meminta-minta itu dan ini, sedangkan dia mampu beli sendiri. Sedikitpun tidak bertimbang rasa kepada kekasih hati. Tidak seperti Ain Sofea yang selalu menyerahkan apa yang termampu olehnya kepada Naqi.
“Awak mesti anggap saya ni seorang yang sangat bodoh, kan? Tak sedar selama ini saya hanya dipermainkan dan dipergunakan. Sanggup buat apa saja untuk orang lain. Akhirnya saya tak dapat apa-apa.” Bias mendung kembali menaungi wajah Ain Sofea.
“Ainnn... Awak tak bodoh. Awaklah orang yang paling baik hati dan bertimbang rasa yang pernah saya kenal. Yang bodoh adalah sepupu awak tu. Tak tahu menghargai apa yang dia miliki,” pujuk Ian Zacry. Sebelah tangannya mencari jari-jemari gadis itu lalu digenggam kemas.
Seketika Ain Sofea terpana. Kaget dengan tindakan lelaki itu. Ian Zacry juga begitu. Baru menyedari keterlajuran perbuatannya. Segera tangan Ain Sofea dilepaskan.
Teruna itu berdehem sekali dua bagi menghilangkan gugupnya sebelum menyambung kata. “Ain... Anggaplah apa yang dah awak berikan kepada keluarga Mak Long awak itu sebagai satu sedekah. Awak membantu saudara sendiri. Ikhlaskan apa yang telah awak korbankan. Kerana, ganjaran bagi mereka yang bersedekah amat besar. Dalam sedekah itu ada sepuluh manfaat. Lima akan diberikan di dunia, dan lima lagi akan diberikan di akhirat kelak. Sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Maknanya, kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila kita bersedekah. Di dalam bersedekah orang yang harus kita dahulukan atau diutamakan adalah keluarga dekat. Seperti saudara kandung. Orang tua kita. Kemudian, saudara kita. Tetangga, dan barulah kepada orang lain.”
“Tapi mereka bukannya orang susah?” bantah Ain Sofea.
“Kalau mereka tak susah, takkan mereka minta bantuan awak dan mak awak? Pak Long awak kan sakit? Tak boleh cari rezeki?”
“Naqi?” cantas Ain Sofea masih tidak bersetuju dengan pandangan Ian Zacry.
“Soal sepupu awak tu kita tolak tepi dulu. Awak anggap saja awak dah menjalankan tanggungjawab awak membantu saudara awak yang dalam kesusahan. Walaupun sebenarnya, mereka mungkin tak sesusah mana. Bila awak ikhlaskan setiap apa yang telah awak keluarkan untuk mereka hanya kerana Allah SWT, awak takkan mengharapkan apa-apa balasan dari mereka. Dan apabila perkara seperti ini berlaku, awak tak rasa sakit hati sebab awak dah reda. Jika awak sudah ikhlas bersedekah, tapi mereka menggunakannya untuk jalan yang tidak betul, biarlah. Itu antara mereka dengan Allah SWT. Bahagian awak tetap ada. Awak faham maksud saya?” Berjela Ian Zacry mengutarakan pandangannya. Setiap ilmu yang diperkatakan, semuanya diperolehi ketika menuruti Luth Michail ke surau berhampiran rumah mereka satu masa dahulu. Memang adiknya itu telah banyak meninggalkan impak dalam hidupnya.
Agak lama Ain Sofea mengambil masa untuk menganggukkan kepalanya. “Saya faham.”
“Lepas ni, awak tak perlu lagi rasa sakit hati atau kecewa. Setiap yang berlaku tu ada hikmahnya. Pasti ada kebaikan di sebalik kejadian tadi. Lebih baik awak tahu sekarang bagaimana sikap sepupu awak tu, daripada awak mengetahuinya di kemudian hari,” nasihat Ian Zacry.
Ain Sofea angguk lagi. Memang lelaki ini bagus dalam memberikan pendapat dan pandangannya. Sedikit demi sedikit rasa yang terbuku di dalam hati terurai. Marah yang menggelegak tidak lagi membuak. Perasaannya jadi lebih tenang.
“Terima kasih,” ucap gadis itu.
“Ulang semula,” pinta Ian Zacry pula.
“Hah?!”
“Ulang semulaaa...”
“Terima kasih.” Lurus bendul Ain Sofea menuruti arahan Ian Zacry.
“Bukan macam tu.”
“Habis macam mana?” Mulalah mamat ni buat perangai poyo dia tu.
“Terima kasih Ian. Ataupun nak lebih hormat lagi, terima kasih abang Ian.”
Ceh! Tak menahan dengan perangai dia ni. “Kenapa abang pula?”
“Sebab sayakan lagi tua daripada awak. Awak dua puluh lima. Saya tiga puluh satu.”
“Tiga puluh satu tahun?”
“Kenapa terperanjat pula?”
“Dah tua! Tapi tak kahwin lagi.” Sengaja Ain Sofea menyakitkan hati Ian Zacry.
“Saya tak kahwin lagi sebab mencari orang yang macam awaklah! Pecinta yang setia. Rela berkorban harta dan nyawa. Awak sajalah berkahwin dengan saya. Senang cerita.”
Glup!
Tertelan air liurnya mendengar ujaran Ian Zacry. Aku yang kecewa macam nak gila tadi, dia pula yang jadi sewel sekarang ni. Apa cerita?
“Ain Sofea… Sudikah awak mengahwini saya?” Serius Ian Zacry bersuara seraya mencerlung kepada gadis itu seketika.
Glup!
Sudah tercekik liur sendiri. Miong ke apa mamat ni?
Tiba-tiba Ian Zacry meletus kuat tawanya. “Nak sakitkan hati saya? Sekarang siapa yang pucat muka? Orang dah tolong tenangkan hati dia, dia pula nak sakitkan hati kita.”
Terus Ain Sofea buang pandang ke luar kereta. Ian Zacry masih mengekek lagi.

“Bengong!” desis gadis itu halus.

No comments:

Post a Comment