Total Pageviews

Wednesday, May 25, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 17




“Kerete Europe ke, kereta Jepun ke, kerete juga namanya, kan? Saya tahu awak boleh buat. Memang kereta ni dah nampak macam besi buruk...” Ian Zacry kerling Ain Sofea.
Cepat gadis itu bularkan matanya. Tahu sangat dah... Tentu Ian Zacry nak buat mulut longkang dia tu. Mengata kereta Pak Long dia ini hukum hantar pusat pelupusan saja.
Ian Zacry faham makna pandangan itu. Tidak sampai pula perasaannya hendak menyakitkan hati gadis ini selepas apa yang dilaluinya tadi. “Tapi awak kena tolong saya juga.”
Jamil berdecit. Dia bercekak pinggang melihat Nissan Sunny B13 keluaran tahun 1991 itu. Lama betul dah kereta ni. Usianya sudah melebihi dua puluh tahun. Ada lagi orang simpan kereta macam ni punya lama rupanya, desis Jamil.
“Saya sanggup bayar berapa saja upahnya. Yang penting kereta ni okey,” tambah Ian Zacry lagi. Cuba memancing Jamil.
“Eh! Bukan Encik Ian ni yang bayar. Saya yang akan bayar nanti,” celah Ain Sofea di antara perbualan dua orang lelaki itu. Ingin membetulkan penyataan Ian Zacry tadi. Mana boleh biarkan Ian Zacry melunaskan kos membaiki kereta ini? Muka tak malu sangat pula dia kalau biarkan lelaki ini buat begitu.
“Tak apa... Biar saya uruskan,” bantah Ian Zacry pula.
“Mana boleh?! Ini kereta Pak Long saya, biar saya yang uruskan. Saya ada duit...” Pantas tangan Ain Sofea menyeluk saku seluarnya. Lipatan not seratus yang sedikit tebal ditarik keluar dari poket.
Belum sempat duit itu habis ditarik keluar cepat pula Ian Zacry menolak tangan gadis itu supaya menyimpannya semula.
“Inikan duit jual tanah mak awak? Jangan pakai. Awak suruh mak awak tebus balik tanah tu,” nasihat Ian Zacry dalam nada berbisik.
“Tapi ini kereta Pak Long saya. Takkan saya nak biar awak bayarkan pula?”
“Tak apaaa... Kalau tak, awak anggap saya pinjamkan duit tu kepada awak. Lain kali, bila awak dah ada duit, awak bayar balik. Ansur-ansur pun tak apa.”
“Tapi...”
“Lebih baik awak simpan duit ni. Lagipun, tak guna awak habiskan duit untuk kereta ni. Esok lusa tentu rosak semula sebab keadaannya dah teruk sangat,” balas Ian Zacry.
Melihat pemilik bengkel ini asyik memerhati kepada mereka, terbantut hasrat Ain Sofea mahu meneruskan pertelingkahan mereka. Terasa segan pula.
“Okey, saya janji. Bila saya ada duit nanti saya bayar balik,” putus Ain Sofea kemudiannya. Memang sudah banyak betul dia termakan budi lelaki ini. Jangan nanti terkadai bodi sudah!
Ian Zacry senyum nipis. Lega Ain Sofea bersetuju dengan keputusannya.
“Awak boleh buat kereta ni, kan Jamil?” Ian Zacry kembali memandang Jamil.
“Baiklah Encik Ian, kami buat. Tapi dari segi bayaran tu, kami tak berani nak cakap berapa harganya sekarang. Kami kena buka enjin dan tengok dulu apa kerosakkannya. Lepas repair nanti baru kami kira jumlah keseluruhan. Spare parts dan termasuk upah,” balas Jamil sedikti lemau. Hendak ditolak takut pelanggan lari pula. Lebih-lebih lagi pelanggan tetap seperti Ian Zacry ini. Mahu tidak mahu, demi memuaskan hati pelanggan dia akur saja.
“Besok awak boleh selesaikan?”
“Eh! Cepat sangat tu Encik Ian.” Jamil buntangkan mata. Terkejut dengan permintaan Ian Zacry. Kereta serupa ini tentu banyak yang perlu diganti. Satu hari saja mana sempat siap. Lebih-lebih lagi kereta jenis ini bukan berada dalam lingkungan kepakaran bengkel mereka. Mahu mencari alat ganti pun ambil masa juga. Entah ada atau tidak dikeluarkan oleh kilang lagi?
“Kawan saya ni nak pakai kereta ni. Dia nak balik Seremban. Kalau tak ada kereta ni, susahlah dia. Lagipun leceh... Dah balik Seremban nak datang sini semula. Awak suruh saja budak-budak awak buat OT malam ni. Upah kerja mereka tu, awak masukkan sekali dalam bil. Saya bayar semuanya.”
Uish! Baik hati sangat pula Ian Zacry ambil berat tentang dia? Dia baru berfikir sebentar tadi, agaknya berapa lamalah kereta Pak Long tersadai di bengkel ini? Jenuh pula nak berulang-alik ke Bandar Baru Bangi. Perkara nombor dua, dia tak sanggup berhadapan dengan leteran Mak Long. Mak Long tu, kalau harta orang harta dia juga, tapi kalau harta dia orang guna..., bisingnya yang ampun! Lebih-lebih lagi kereta ini rosak ketika berada di dalam tangan dia. Harus muntah hijau dibedil oleh Mak Long nanti.
Tambahan, Mak Long tentu dah tahu tentang kejadian di restoran tadi. Bertambah hanginlah Mak Long kepada dia. Silap-silap, makan penampar. Naqiuddin, kalau tidak menyampaikan cerita kepada ibunya, bukan Naqiuddinlah namanya. Tak tahulah kenapa selama ini matanya boleh dirabunkan oleh si Naqiuddin tu? Sekarang, apabila dah singgah rasa benci dalam hati, semua buruk Naqiuddin dia baca. Kalau dahulu, apa pun yang dilakukan oleh lelaki itu, semuanya nampak baik saja. Bak kata orang, hati tengah sayang, kentut pun bau wangi!
Hmmm..., berapa ribulah agaknya kena ni nanti? Muak aku nak bayar balik kat mamat ni. Silap hari bulan, makan tahun pun hutang tak habis-habis,” gumam Ain Sofea. Namun apa pilihan yang dia ada? Ah! Harung sajalah...
Selepas usai segala perbincangan, Ian Zacry dan Ain Sofea melangkah keluar dari bengkel tersebut. Ketika menghampiri kereta, Ain Sofea terfikir sesuatu.
“Awak boleh hantarkan saya ke bank tak?” Segan atau tidak, dia perlu juga meminta bantuan lelaki ini. Ain Sofea merasa semakin tidak selesa dengan poket seluar yang tebal dipenuhi duit lima belas ribu ringgit ini. Cuak sentiasa apabila duit ini dibawa ke hulu ke hilir. Lagipun, dia takut tercicir. Kalaulah hilang..., berputih matalah jawabnya.
“Buat apa pergi bank?” soal Ian Zacry semula sambil tangan memicit alat kawalan bagi mematikan sistem penggera kereta.
“Saya nak simpan duit dalam poket ni. Takut cicir...”
“Bank mana?”
“Maybank. Melalui mesin cash deposit aje.”
“Eloklah. Kalau hilang nanti, susah!” Lelaki itu berfikir seketika. Nampaknya, mereka perlu berpatah balik. Maybank yang paling hampir terletak di seksyen 16.
Ketika memandu menuju ke seksyen 16, tiba-tiba terdetik sesuatu di dalam kepala Ian Zacry. “Lepas ke bank, awak nak pergi ke mana?”
“Apa maksud awak?” tanya Ain Sofea semula.
“Yalah..., takkan awak nak balik Seremban hari ni? Besok pagi kan nak ambil kereta Pak Long awak tu? Tak ke leceh kalau awak ulang-alik?” Entah kenapa Ian Zacry terasa seperti perlu mengambil berat tentang gadis ini. Beria pula hatinya ingin bertanggungjawab dan mahu membantu Ain Sofea menyelesaikan masalah kereta Pak Longnya itu.
Ain Sofea senyap. Betul juga kata-kata Ian Zacry. Tak ada kerjalah dia nak ulang-alik. Sementelah dia belum bersedia hendak berhadapan dengan Mak Long. Selepas apa yang berlaku di antara dia dan Naqiuddin tadi, Mak Long tentu akan gasak dia cukup-cukup. Maka, sebelum itu berlaku, dia perlu mencari nas-nas dan hujah-hujah konkrit yang boleh membuatkan mulut Mak Long tertutup. Kali ini, dia mahu bersedia. Bersedia membalas dan menepis semua serangan mulut leser Mak Long tu.
“Betul juga cakap awak. Kalau macam tu, lepas ni awak boleh tolong saya lagi tak?” Haih... Hari ni sudah banyak betul dia menyusahkan lelaki ini.
“Jangan awak kata nak minta tolong saya hantarkan awak balik ke Seremban. Lepas tu besok pagi awak suruh saya jemput awak semula. Tak sanggup saya. Dibayar pun saya tak nak! Awak ingat dekat ke Seremban tu?” pangkas Ian Zacry.
“Awak ingat saya ni bengap sangat ke nak suruh awak ulang-alik untuk saya? Saya tahu awak dah banyak tolong saya. Tak adalah saya nak ambil kesempatan atas kebaikan awak pula.” Inilah dia! Orang belum habis cakap lagi dah nak meroyan. Sekejap nampak okey mamat ni. Sekejap lagi ribut tak memasal. Susah nak meramal emosi lelaki ini. Geram pula dia.
“Awak tak nak balik kan?” tebak Ian Zackry dengan muka selamba. Tidak ambil pusing rasa kecil hati Ain Sofea kerana dalam kepalanya mula mengatur rancangan.
“Awak tolong carikan saya hotel murah untuk saya bermalam malam ni, boleh tak?” pinta Ain Sofea selepas dia menggeleng bagi menjawab pertanyaan lelaki itu tadi.
“Hotel murah? Jangan cari pasal,” bangkang Ian Zacry keras.
“Kenapa pula?” Atas dahi si gadis mula berlapis.
“Hotel-hotel murah ni, selalunya tempat pendatang-pendatang dan pekerja buruh asing menyewa. Tempat berlaku aktiviti sosial terlarang,” terang lelaki itu.
“Alah..., kalau nak buat aktiviti so... sial yang terlarang, bukan dekat hotel murah aje. Hotel lima bintang pun ada orang buatlah! Cuma beza tempatnya... Low class, high class. Lagipun, saya cuma nak bermalam satu malam. Awak carikanlah untuk saya hotel yang selamat sikit. Awak tentu tahu hotel yang murah, selesa dan selamat di mana-mana.”
Ian Zacry memakirkan keretanya di lot parkir di hadapan Maybank.
“Nanti saya fikirkan nak hantar awak ke hotel mana,” balas Ian Zacry. Selepas itu dia membuka pintu kereta dan keluar.
“Awak nak pergi mana?” tanya Ain Sofea.
“La..., kata nak masukkan duit? Sekarang ni kita dah sampailah cik kak oi! Tunggu apa lagi? Turunlah!”
Ain Sofea memandang ke sisi. Leka berbual dengan Ian Zacry tak perasan pula mereka sudah tiba ke destinasi yang ingin ditujui. Pantas dia membuka tali pinggang keledar dan melangkah keluar dari kereta.
“Awak nak keluar duit ke?” soal Ain Sofea apabila Ian Zacry berjalan beriringan dengannya.
“Tak.”
“Habis tu kenapa awak turun kereta?”
“Saya nak jadi escort.”
Escort?”
“Awak ni memang minah blur ke apa?”
Langkah kaki Ain Sofea terhenti di hadapan pintu kaca automatik yang sudah terbuka. Ditentang tubuhnya menghadap Ian Zacry. Mamat ni kalau bercakap tak menyakitkan hati dia, tak boleh bernafas agaknya. “Yalah! Awak escort apa?”
Escort awaklah! Lima belas K dalam poket awak tu, awak ingat sikit ke? Rompak dek penyangak nanti satu hal pula.”
“Heh! Bukan ada orang lain pun yang tahu saya bawa duit sebanyak ini. Awak sorang aje yang tahu. Kalau ada yang merompak saya pun, tentu awak bersubahat. Tukang bagi info. Jadi mastermind !”
Pintu kaca automatik sudah terbuka untuk kali kedua tetapi mereka masih bertelagah di depan pintu.
“Ewah ewah ewah... Suka hati dia aje nak bercakap. Awak tengok muka saya ni ada rupa ketua penyamun ke?” Ian Zacry memandang geram.
“Orang zaman sekarang ni, susah nak tahu buruk baik perangai dia orang. Kita tak boleh menilai dari penampilan dan muka. Awak tengok saja penjenayah kolar putih. Pakai smart-smart tapi melanggar undang-undang juga,” bidas Ain Sofea.
“Itu lainlah. Penjenayah kolar putih mana sama dengan penjenayah jalanan. Sudahlah! Bertekak dengan awak ni buat kering air  liur saya aje. Ada juga benda yang nak dijawab,” cantas Ian Zacry. Dengan bersahaja dia capai kedua belah bahu Ain Sofea lalu menolak tubuh gadis itu memaksanya masuk ke dalam bank.
“Cepat pergi masukkan duit awak tu!” Didorong tubuh Ain Sofea ke hadapan.
Ain Sofea tergamam dengan perbuatan lelaki itu. Sesaat dia terpempan seperti dipukau. Tidak terfikir yang lelaki itu akan seberani ini. Selamba saja kelakuannya. Kaki melangkah memasuki ruangan mesin apabila tubuhnya ditolak kuat dari belakang.
Tiba-tiba pintu kaca yang dikawal oleh alat penentu masa tertutup tanpa disangka. Spontan sepantas kilat Ian Zacry menarik bahu Ain Sofea ke belakang. Gadis itu turut tersentak apabila pintu kaca tersebut tertutup secara mendadak. Bersama tarikan tangan Ian Zacry yang kuat, disertai pula tindakan refleksnya, langkah Ain Sofea laju mengundur ke belakang. Lantas tubuhnya melekat di dada bidang lelaki itu.
Bagai disumpah oleh Sang Kelembai, mereka berdua terus membatu di situ. Bahang badan Ain Sofea terasa panas pada kulit dada Ian Zacry. Belakang Ain Sofea pula terasa hangat oleh haba tubuh lelaki itu. Masakan tidak? Yang memisahkan mereka hanya dua helai kain nipis saja.
Ain Sofea menelan liur. Jantung Ian Zacry yang berdetak kuat terasa memukul di belakangnya. Serentak mereka berdua menjarakkan tubuh masing-masing selepas beberapa saat berlalu. Sepasang tangan Ian Zacry turut melepaskan bahu gadis itu. Tanpa berpaling segera Ain Sofea melangkah melepasi pintu automatik yang telah terbuka semula. Hati tiba-tiba ada jerebu. Kelabu. Keliru. Haru-biru...
Sementara itu Ian Zacry hanya terpacak di luar pintu. Terbatut hasratnya ingin menemani gadis itu hingga ke mesin deposit. Jantung yang mengepam laju turut buatkan nafasnya menjadi kencang. Di dada masih terasa berbahang. Bahang Ain Sofea yang meresap jauh ke dalam tubuhnya. Dan hati tiba-tiba rasa membara.
Kenapa?
Adakah dia sudah jatuh cinta?

No comments:

Post a Comment