Pantulan imej Ain Sofea pada cermin pandang belakang
dikerling. Spontan Ian Zacry lepas keluh.
“Tak sampai hati pula tengok dia macam tu!” gumam jejaka
itu. Pada matanya jelas tergambar kesedihan, ketakutan dan kerisauan di wajah
Ain Sofea.
Ketika mahu beredar tadi, perutnya tiba-tiba saja
memulas. Mungkin pukulan sambal belacan yang dimakan. Mana tidaknya, dihirup
macam sup! Dia berhenti seketika dipinggir jalan. Berkira-kira perlu ke tandas
ataupun tidak, kerana angin yang berputar dalam perut sekejap ada sekejap
hilang. Apabila rasa semakin tidak tahan, dia segera buat pusingan U di hujung
jalan keluar R&R.
Tiba di lot parkir, dia pelik melihat Ain Sofea termenung
di luar kereta. Hati tertanya, gadis itu sedang menunggu siapa? Selepas memarkirkan
semula keretanya di sebelah kereta Ain Sofea, mulut ringan mahu menyoal tetapi dia
teringatkan amaran gadis itu. Sebab itulah dia buat tidak peduli tadi. Biarpun
gadis itu memanggilnya berkali-kali. Lagipun, urusan perutnya ini lebih penting
untuk dipenuhi.
Selepas keluar dari tandas, dia perasan Ain Sofea seperti
berharap dia menyapanya. Sehabis kuat ditabahkan hati untuk tidak ambil kesah.
Bukankah itu yang dipinta oleh Ain Sofea? Sekarang, seraut wajah mendung itu
buat hatinya berbelah bahagi. Mahu dipatuhi atau diingkari kata-kata Ain Sofea
tadi. Tentu ada perkara yang menimpa gadis itu. Sebab itu dia kelihatan
bermuram durja begitu.
“Iannn... Takkan kau nak tinggalkan dia begitu saja?”
tutur Ian Zacry kepada dirinya sendiri. “Kesian dia!”
Akhirnya dia kecundang. BMW dihentikan. Gear ditukar
kepada undur dan mengerakkan keretanya ke
belakang menghampiri gadis itu semula.
“Tadi bukan main lagi awak. Sombong! Kerek sangat! Suruh saya buat-buat tak kenal awak. Bila saya buat
macam tu, awak menangis pula. Kenapa?” Dihembur soalan itu sebaik dia berdiri
di hadapan Ain Sofea.
Gadis itu panggung kepala. Air mata yang menitis dikesat
dengan hujung jari. “Awak patah semula ni pasal nak tolong saya atau hanya nak
menyakitkan hati saya?”
“Masih nak buat sombong lagi?”
Ain Sofea menekur tanah semula. Sedar akan kesilapannya
berkata-kata.
“Saya tak berniat langsung nak menyakitkan hati awak.
Saya cuma nak menyedarkan awak.”
Gadis itu menjeling.
“Itulahhh... Lain kali jangan suka cakap ikut sedap mulut
saja. Kita tak tahu bila kita akan ditimpa kesusahan. Masa bila kita perlukan
pertolongan.”
“Yalahhh... Saya minta maaf. Saya tahu, saya tak patut
cakap macam tu kat awak.” Ain Sofea beralah. Sehabis daya dikawal lontaran
suaranya supaya tidak tersedu-sedu.
“Sekarang ni, comfirm
kita dah jadi kawan?”
“Buat masa sekarang ya! Sebab saya perlukan awak untuk
tengok kereta saya ni.”
Ian Zacry mendengus kuat. Ada juga sombong bodohnya budak
perempuan ni. “Ooo... Kereta awak ni
rosak ya? Okeylah! Saya tak kenal awak. Saya pergi dulu.”
Ian Zacry berpusing seratus lapan puluh darjah
membelakangkan Ain Sofea. Kaki diangkat lalu bergerak menuju ke keretanya.
Muka yang merah menahan tangis kini berubah pucat. Kalau
Ian Zacry pergi, kepada siapa pula dia mahu minta bantuan? Mengalah sajalah
Ain. Keadaan tengah darurat ni...
“Nak berkawan masa dia perlukan kita saja. Masa susah
baru nampak orang. Tinggallah dekat situ! Silap haribulan, datang penyangak.
Kena rompak. Lepas tu dicolek. Lagi malang dirogol pula. Habis rogol buang
dalam semak. Baru padankan dengan muka,” omel
Ian Zacry sambil berlalu pergi. Sengaja dikuatkan nada suaranya.
Gadis itu menelan liur. Dalam kepala sedang membayangkan
kata-kata Ian Zacry. Perut tak semena-mena jadi kecut. Dilihat jam pada
pergelangan tangan. Waktu sudah semakin lewat petang. Kalau dia telefon
Naqiuddin, rasa-rasanya sanggup tak lelaki itu datang ke R&R ini membantunya?
“Nak buat macam mana ni?” Ain Sofea semakin kalut. Belakang
telinga digaru kasar. Akhirnya dia memberanikan diri memanggil lelaki itu. “Ian
Zacry!”
Langkah terhenti. Pada bibir Ian Zacry terlorek sebuah
senyuman. Koyak hingga melepasi pipi. Sebelum berpaling, dibetulkan duduk
bajunya pada tubuh. Kolar jeket dilurut-lurut. Penuh tegap langkah diatur
semula kepada gadis itu. Berjalan dengan membusungkan dada gaya seperti seorang
adi wira yang gagah perkasa mahu menyelamatkan seorang mangsa. Ceh!
“Lain kaliii... jangan buat perangai bodoh sombong
niii...” Ian Zacry membidas dalam nada sinikal ketika dia sudah berdiri semula
di sisi gadis itu.
Ain Sofea tidak membalas. Mahukan pertolongan lelaki ini,
terpaksalah dia bersabar. Tahan saja telinga. Dah mamat ni pesen mulut longkang,
nak buat lagu mana? Kalau dia jenis orang yang panjang akal, memang takkan
dipandang mamat serupa ini. Dia ni
bangsa cepat panik, mudah cemas. Mati otak nak berfikir bila dah tak tentu arah
begini.
“Saya minta maaf atas sikap saya tadi. Saya ni, bukan
jenis yang senang terima orang sebagai kawan. Terima kasih kerana sudi berkawan
dengan saya,” ucap Ain Sofea perlahan. Puas disabarkan hatinya kala terlihat
senyuman sinis lelaki itu.
“Apa masalah kereta awak ni?” soal Ian Zacry setelah
habis senyumnya. Tangan turut dicekak ke pinggang.
“Kereta Pak Long saya ni tiba-tiba tak boleh nak start enjin,” cerita Ain Sofea. Hati terkilan
benar dengan cara Ian Zacry menyoalnya. Macam tak ikhlas saja bertanya.
“Apa yang rosak?”
“Kalau saya tahu apa yang rosak, saya boleh godek
sendiri. Tak payah saya tebal muka minta tolong awak,” balas Ain Sofea dengan
suara yang sedikit menderam. Geram. Terhapus rasa sedih apabila berhadapan
dengan mamat peel menyakitkan hati ni.
“Kadang-kadang, ada juga orang yang tahu apa rosaknya
tapi tak tahu nak betulkan,” sanggah Ian Zacry tidak mahu beralah. Tangan
ditadah di hadapan Ain Sofea.
Faham akan makna perbuatan lelaki itu, kunci kereta
lantas diberikan. Segera Ian Zacry membuka pintu kereta dan memasukkan kunci
pada punat penghidup api palam pencucuh. Sekali cuba, tiada bunyi. Dua kali
cuba, enjin senyap sunyi. Tiga kali cuba, tetap sepi. Langsung tiada
menunjukkan tanda-tanda ada pembakaran petrol dalam enjin kereta.
“Ada kerosakan enjin agaknya. Kereta awak ni pun, dah
uzur sangat. Ini dah jatuh hukum patut dihantar ke pusat pelupusan saja ni.
Kalau ikut undang-undang, kereta ni dah tak boleh dipandu atas jalan raya lagi.
Takut nanti jadi jammed. Panjang
kereta bertunda mengikut buntut awak.”
“Amboi bahasa? Sesedap lidah dia saja nak bercakap? Ini
bukan kereta sayalah! Ini kereta Pak Long saya,” cantas Ain Sofea.
“Patutlah antik sangat.” Ian Zacry senyum nipis. Terasa
puas pula hatinya dapat menaikkan kemarahan gadis itu. Ian Zacry melangkah
keluar dari perut kereta selepas menarik tombol pembuka bonet. Selepas bonet
dibuka, segenap bahagian enjin dibelek. Colek sana. Colek sini. Itupun, dengan
hujung telunjuk saja. Kemudian dia menopang kedua tangannya pada tepi dinding
enjin sambil mata tidak berkelip melihat kepada enjin kereta yang penuh dengan
debu.
“Kena panggil tow-truck
nampaknya,” ujar Ian Zacry selepas itu.
“Kenapa nak panggil tow-truck
pula? Awak tak boleh repair ke?” Tadi
lagak dan gaya bukan main. Mengalahkan adi wira. Bercakap macam dia terror sangat. Kereta tak boleh hidup
enjin pun tak reti nak repair?
“Saya nak repair?
Ni, awak nampak tangan saya ni? Baju saya ni? Ish! Habis hitam nanti.”
Hah! Itulah diakan... Lelaki pesen urban macam ni. Memang mementingkan gaya. Tak serupa lelaki
sejati langsung. Takut sangat tangan dan baju jadi kotor. Minyak saja kut...
Nanti basuhlah!
“Lagipun saya, haram satu benda tak tahu dalam hal-hal
automotif ni. Kita panggil tow-truck
tarik pergi bengkel sajalah! Lagi senang cerita.”
Ceh! Tadi dia punyalah action,
macam expert sangat. Buka bonet
bagai. Colek sana sini. Konon-konon, kepakarannya tu di hujung jari saja. Tapi...,
hampeh!
“Suka hatilah awak nak buat macam mana pun,” putus Ain
Sofea. Sudah malas hendak bersanggah kata dengan lelaki bermata biru ini. Kalau
dilayan, boleh hidap sakit jiwa dia. Lama-lama boleh gila juga.
“Saya nak ke tandas.” Lelaki itu lantas ditinggalkan.
Pandai-pandailah Ian Zacry nak buat apa. Nak telefon syarikat tunda kereta yang
mana. Dia pun, bukannya tahu nombor telefon mana-mana syarikat tunda ni.
“Aduhhh... Rabaklah poket aku bayar upah trak tunda
nanti. Mahu makan beratus juga tu. Duit upah bengkel lagi. Silap haribulan,
mahunya cecah ribu-ribu. Kereta Pak Long tu dahlah uzur sangat,” rungut gadis
itu.
“Dekat siapa pula aku nak tuntut semula semua duit tu? Itu
bukan kereta aku. Kalau kereta aku, berbaloilah berhabis wang banyak macam tu.
Nak minta Abang Naqi ganti? Heh! Duit belanja dia pun aku yang bagi. Minta Mak
Long bayar balik? Pun sama juga kesnya... Makan Mak Long pun aku yang suapkan.
Yang pasti, Mak Long akan kata kereta tu rosak masa berada dalam tangan aku. Jadi,
akulah yang kena keluarkan duit bayar kos repairnya.
Boleh pitam aku macam ni,” gerutu Ain Sofea seraya merenung wajahnya di dalam
cermin. “Apa punya malanggg... lah nasib?”
Selepas berada agak lama di dalam tandas, Ain Sofea keluar
untuk mendapatkan semula Ian Zacry di petak pakir.
“Lamanya awak dalam toilet?”
sergah Ian Zacry di tepi pintu tandas.
“Oi mak kau!”
Ian Zacry letus tawa.
“Awak sekodeng
saya ke apa?”
“Heh! Tak ada kerja saya nak mengintai awak. Peliklah... Saya
yang masuk kemudian pun dah selesai.”
Gadis itu sekadar menjeling sebagai balasan.
“Jomlah kita minum dulu sementara tunggu tow-truck sampai,” pelawa Ian Zacry
kemudiannya. Jelingan Ain Sofea tidak dihiraukan. Dia mendahului gadis itu
menuju ke deretan kedai makan.
Tanpa membantah Ain Sofea menurut saja. Rezeki jangan
ditolak. Sementelah tekaknya memang terasa sangat kering. Manalah tahu, lepas
ni nak beli air secawan pun dia tak mampu. Duit dah diperabih dek kereta Pak Long tu.
“Awak nak pergi mana sebenarnya?” Ringan mulut Ian Zacry
menyoal mahu ambil tahu. Teh ais di dalam gelas dihirup sedikit. Terasa nyaman
tekaknya.
“KL,” balas Ain Sofea ringkas. Wajah Ian Zacry yang
kemerahan kerana kepanasan dipandang sekilas. Dicapai seketul pisang goreng di
dalam piring. Dipatahkan sekerat lalu disumbat ke dalam mulut.
“Buat apa?” tanya Ian Zacry ingin tahu lebih lanjut.
Banyak tanya pula mamat
ni? desis Ain Sofea. “Nak jumpa sepupu saya.”
Bila menyebut sahaja tentang Naqiuddin, pantas Ain Sofea
teringat. Tentu sudah lama Naqiuddin menunggunya di tempat yang selalu mereka
berjanji untuk bertemu. Muka jam pada pergelangan tangan dipandang. Sah! Dah
terlewat. Sudah hampir dua jam. Jenuhlah Naqiuddin menanti. Bingkas Ain Sofea
bangkit dari kerusi.
“Awak nak pergi mana?” Ian Zacry memandang pelik. Pantang
duduk makan bersama, cepat saja gadis ini mahu cabut lari.
“Nak telefon sepupu saya. Tentu dia dah lama tunggu. Saya
nak beritahu dia yang saya tak dapat pergi jumpa dia.”
“Awak tak ada handphone
ke?”
Kaki terkaku dari melangkah.
“Errr...” Tipu
sunat tak mengapa untuk jaga aib sendiri. Takkan nak beritahu Ian Zacry yang
telefon bimbitnya dah dikebas dek Mak Long? “Tertinggal dekat rumah!”
Penat dia curi-curi simpan duit berbulan-bulan untuk beli
Nokia tu. Bukannya mahal pun. Cikai
aje. Janji boleh buat panggilan dan hantar mesej sudahlah! Itupun Mak Long nak
ambil apabila satu hari Mak Long ternampak telefon bimbit itu di atas katilnya.
“Nah!”
Ain Sofea angkat kening apabila Ian Zacry tiba-tiba menghulurkan
telefon bimbitnya kepada dia.
“Guna handphone
saya ni telefon sepupu awak tu,” ujar Ian Zacry. Semakin panjang tangannya
dihulurkan kepada Ain Sofea.
Tanpa bersuara Ain Sofea duduk semula selepas telefon
diambil dari tangan Ian Zacry. Nombor Naqiuddin yang sentiasa melekat dalam
kepalanya segera didail. Talian senyap. Tiada nada panggilan. Beberapa saat
kemudian hanya bunyi tut yang panjang
kedengaran. Dia mencuba sekali lagi. Masih juga sama seperti tadi. Langsung
tidak dapat dihubungi.
“Kenapa?”
“Tak dapat call,”
adu Ain Sofea. Dia mengeluh selepas itu. Sah balik nanti kena bebel dengan Mak
Long. Dan Naqiuddin akan memetir-metir dalam telefon. Mereka tu, bukannya nak
faham apa masalah yang sedang dia hadapi ketika ini.
“Tak apa. Nanti awak cuba sekali lagi.”
Ain Sofea cuma angguk dan memulangkan semula telefon
bimbit milik lelaki itu.
“Tow-truck dah
sampai,” beritahu Ian Zacry. Dari tempat duduknya dia melihat ada sebuah trak
penunda sudah sampai di hujung sana. Tempat di mana kereta dia dan Ain Sofea
terpakir.
Dara itu berpaling. Ingin melihat kebenarannya. Sesaat
selepas itu, meluncur keluhan panjang dari mulutnya. Melihat sahaja trak tunda
itu, bermacam-macam perkara muncul dalam kepala. Upah trak. Upah bengkel. Paling
penting bagaimana dia hendak balik ke Seremban semula? Kereta Pak Long dia tu,
entah hendak ditarik ke bengkel mana nanti? Berapa lama pula kereta tu nak
tersadai dekat bengkel? Nak menghadap bebelan Mak Long lagi. Angin ribut
Naqiuddin lagi. Aduh... pening kepala.
Wajah Ain Sofea yang kegusaran menarik minat anak mata
Ian Zacry. Riak wajah Ain Sofea diperhati. Belas mula timbul dalam hati. Tentu
ada perkara yang telah merunsingkan gadis ini. “Kenapa?”
Laju Ain Sofea geleng kepala. Dia tak perlukan simpati
lelaki ini. Maka, tiada faedah meluahkan apa yang merunsingkannya.
“Jomlah!”
Perlahan bangku ditinggalkan mengekori jejak Ian Zacry.
“Ah Chong, you
tarik bawa pergi Europe Auto Garage hah!” arah Ian Zacry kepada pemandu trak
tunda selepas usai kereta Nisan Sunny itu dibawa naik ke atas badan trak.
“Okey bos...” Pemuda Cina itu membalas. Dia memanjat
masuk kepala trak dan menutup pintu.
“You cakap sama
Jamil nanti saya mari dia punya bengkel,” tambah Ian Zackry lagi.
Selepas pemuda Cina itu menayangkan ibu jarinya kepada
Ian Zacry, trak tunda tersebut dipandu keluar dari hentian Nilai.
“Nak hantar dekat bengkel mana tu?” Mata Ain Sofea tidak
lekang dari melihat trak tunda yang membawa pergi kereta Pak Longnya.
“Europe Auto Garage.” Ian Zacry mengulang sebut nama
bengkel itu.
“Dekat mana tu?”
“Seksyen 6, Bandar Baru Bangi.”
“Jauhnya?!”
“Mana ada jauh? Exit
tol Bangi berapa kilometer saja dari sini. Lagipun, bengkel tu memang tempat
biasa saya hantar kereta saya,” jelas lelaki itu.
“Servicenya pun
bagus. Tip top. Saya gerenti kereta
Pak Long awak tu boleh pecut macam Ferrari,” tokok si mata biru lagi.
Amboi! Statement?
Tak beragak. Nissan Sunny klasik tu nak laju macam Ferrari? Cerita dogeng
betul. Enjin mungkinlah boleh pecut. Takut body
kereta tu saja yang melayang sekeping-sekeping nanti, gumam Ain Sofea dalam
diam.
“Marilah kita pergi.” Ian Zacry melangkah melepasi Ain
Sofea.
“Ke mana?” Gadis itu tayang muka kelabu. Galau di hatinya
tadi pun masih belum hilang lagi. Sekarang ditambah rasa risau dengan ajakan
Ian Zacry. Nak bawa dia ke mana? Merendek?
Memang makan penyepaklah lelaki ni nanti.
“Balik rumah saya.”
“Hah?!” Ain Sofea buntang mata.
“Nak pergi mana lagi? Pergi bengkellahhh... Tengok apa
yang rosak kereta antik Pak Long awak tu.”
Ceh! Buat lawak yang tak kelakar pula dia.
“Macam mana saya nak pergi?” Ain Sofea kerut dahi.
“Naik kereta sayalah cik kak oiii... Kalau awak nak pergi
sendiri, awak nak naik apa? Awak tahu ke bengkel tu dekat mana?”
Laju Ain Sofea menggeleng kepala.
“Habis tu? Cepatlah! Nanti lambat sampai pula,” kerah Ian
Zacry seraya menghampiri keretanya.
Ain Sofea menurut di belakang buntut tanpa banyak bicara.
Di dalam kereta, masing-masing senyap sahaja. Ian Zacry memfokuskan seluruh
perhatian kepada jalan raya. Ain Sofea pula melayan rasa. Dalam dada risau membukit.
Tiada henti berfikir. Duit trak tunda, duit bengkel, kereta Pak Long, Mak Long,
Naqiuddin, duit lima belas ribu dalam poket dia ni.
Duit lima belas ribu?!
Cepat Ain Sofea meraba poket seluarnya. Mujur masih ada
lagi terselit di situ. Terlupa langsung tentang seratus lima puluh keping not
seratus ringgit di dalam kedua belah poket seluarnya ini.
“Hmm...” Si dara
mengeluh perlahan. Nampaknya, sedikit dari duit ini terpaksalah dikorbankan
untuk kereta Pak Long. Jawabnya, bertambah tak cukuplah duit yang Naqiuddin
terima. Tentu bisingnya nanti tahap petala tujuh.
Alah... nanti gantilah! Keluarkan saja baki duit jual
tanah tu. Apa yang lebih penting, macam mana aku nak hantar duit ni? Takkan nak
bawa balik? Lepas tu esok lusa, pergi jumpa Abang Naqi semula? Lecehnya..., getus
Ain Sofea. Sekali lagi dia mengeluh.
Ian Zacry mengerling saat telinganya menangkap bunyi keluhan
yang kedua itu. Riak gelisah kembali terbias di wajah gadis tersebut. Apa
sajalah yang difikirkan sampai mengeluh begitu?
“Awak kenapa?” soal Ian Zacry tidak dapat menahan lagi.
“Kenapa apa?” Ain Sofea memandang lelaki itu.
“Dari kita minum tadi muka awak ni asyik berkerut saja.
Macam ada masalah. Mengeluh entah berapa banyak dah,” ujar Ian Zacry.
Anak mata tidak beralih dari melihat sisi Ian Zacry.
Dalam kepala mula menyusun rancangan. Agak-agaknya mamat ni boleh tolong dia tak? “Kita ni nak pergi Bandar Baru Bangi
kan?”
“Yalah.”
“Sebenarnya..., saya nak jumpa sepupu saya tu kat Bandar
Baru Bangi,” jelas Ain Sofea. Pandangan diarahkan ke hadapan.
“Aik! Tadi kata
nak pergi KL?” Sekilas wajah Ain Sofea dipandang. Kemudian perhatian tertumpu
semula kepada aliran kenderaan di atas jalan raya.
“Pada saya nak pergi Bangi ke, Subang ke, semuanya saya
kata pergi KL saja. Janji jalannya mengarah ke Kuala Lumpur,” balas Ain Sofea.
“Awak ni masa sekolah tak belajar Geografi agaknya.”
Mulalah tu, nak buat mulut longkang campur jamban dia tu!
“Nak pergi Bangi tu, kalau ikut highway ni langsung tak masuk KL tau cik kak. Jangan katakan KL,
tol Sungai Besi pun tak tempuh.” Ian Zacry menggeleng kepala. Nampak sangat tak
pernah pergi KL budak perempuan ni.
“Tak kiralahhh...” Ain Sofea masamkan muka. Kalau
bercakap tak pernah nak kalah mamat
sorang ni.
“Sepupu awak tu kerja kat Bangi ke?” Ian Zacry mula
menyiasat. “Patutnya, kalau setakat nak pergi Bangi, awak boleh naik komuter
saja dari Seremban. Kan lagi senang macam tu? Tak payahlah pandu kereta uzur
tu.”
Ewah Ewah... Bercakap macam dia tahu sangat masalah aku.
Kalau boleh naik komuter, memang aku dah naik dah! Tak adalah nak
susah-susahkan badan duk bergoncang pandu kereta Pak Long tu. “Encik Ian Zacry...
Saya banyak hal nak diuruskan pagi tadi sebelum pergi KL.”
“Pergi Bangi...” Ian Zacry membetulkan penyataan gadis
itu.
Ain Sofea buat tak kisah. Bangi ke, KL ke, pada dia sama
saja.
“Lecehhh... Dari rumah saya naik komuter. Lepas tu turun
Seremban. Selesai urusan naik komuter semula. Turun naik turun naik komuter aje.
Awak ingat dekat ke saya kena jalan kaki? Lagipun, sepupu saya tu malas nak
keluar jauh-jauh dari rumah sewa dia. Sebab tu, dia tunggu saya di restoran
dekat dengan rumah sewa dia di seksyen 4 tu...,” berjela Ain Sofea memberikan
penjelasan. Bukannya apa, dia mahu Ian Zacry faham apa masalah dia.
“Kalau macam tu, saya terus hantar awak jumpa sepupu awak
tu. Nak tak?”
Eh, baik pula nak jadi driver?! Belum minta tolong lagi dah buat offer? “Tak menyusahkan awak ke?”
“Tak ada yang susahnya. Kita jumpa sepupu awak tu dulu.
Lepas tu, baru kita pergi tengok kereta Pak Long awak,” putus Ian Zacry.
Tanpa banyak suara Ain Sofea angguk setuju. Orang dah
sudi tu, jangan gatal mulut nak cakap itu ini. Buatnya lelaki ni berpaling hati,
tak jadi, dia juga yang rugi.
“Sepupu awak kerja ke?” Ian Zacry menyoal semula soalan
yang tidak dijawab oleh gadis itu tadi.
“Belajar lagi.”
“Dekat mana?”
“UKM.”
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki.”
Cepat Ian Zacry menoleh kepada Ain Sofea. “Takkan dating dengan sepupu sendiri kut.”
Kau orang agak-agak, mamat
ni cemburu ke, atau sekadar bertanya?
“Saya nak hantar duit kepada dialah! Dia nak pakai duit
untuk sambung belajar ambil Master.”
Ian Zacry dijeling tajam. Itu tandanya dia tak suka dengan ayat yang dituturkan
oleh lelaki itu sebentar tadi. Dating
apa bendanya? Tak hingin haih! Si Naqi tu sekarang ni bukan lagi
buah hati, tapi dah jadi macam kutu babi. Tanpa sedar duk melekap dekat dia. Hisap
segala duitnya. Lepas ni, dia nak buang Si Naqi kutu babi tu.
“Sepupu awak yang nak sambung belajar, awak pula yang
bagi duit? Baiknya hati awak?” sindir Ian Zacry.
“Eh, awak jangan banyak bunyilah! Sekarang ni boleh tak
awak hantar saya? Nanti bertambah lama dia tunggu saya.” Sakit betul hatinya
dibuat oleh Ian Zacry.
“Yalah, yalah... Saya hantarkan. Seksyen 4 dekat mana?”
“Nasi Kukus House.”
“Awak tak nak telefon dia semula ke? Manalah tahu dia dah
balik pula.”
“Tak payahlah. Kalau dia dah balik, awak tolong hantar
saya ke rumah sewa dia. Rumah sewa dia dekat-dekat situ juga.” Tiba-tiba Ain
Sofea baru teringat. Lantas dia menepuk dahi sendiri.
“Dah kenapa pula ni?”
“Saya lupa nak telefon Mak Long saya. Sepatutnya, tak
dapat telefon sepupu saya tu, saya telefonlah Mak Long. Boleh Mak Long beritahu
dia yang saya ada masalah dalam perjalanan.”
“Habis tu, nak telefon sekarang?” Sebelah tangan Ian Zacry
sudah melepaskan stereng kereta. Meraba telefon bimbitnya di dalam poket jaket.
“Tak payahlah! Kita dah nak sampai pun,” jawab Ain Sofea
selepas menggelengkan kepala.
“Suka hatilah.” Telefon dimasukkan semula ke dalam poket.
Kini mereka sudah berada di hadapan restoran Nasi Kukus
House. Ian Zacry memanjangkan kepala. Mencari petak parkir tetapi tiada
kekosongan.
“Awak turun pergi jumpa sepupu awak dulu. Saya nak cari parking.”
Tanpa membantah Ain Sofea menurut. Tali pinggang
keselamatan dibuka lalu pintu ditolak. Dia terus meluru ke arah restoran sebaik
melangkah turun dari kereta BMW milik Ian Zacry. Selepas memasuki ruang
restoran, matanya melilau ke segenap ruang mencari kelibat Naqiuddin. Tiba-tiba
anak mata melekat pada sepasang uda dan dara yang duduk bertentangan di sebelah
sana. Ain Sofea pasti, susuk tubuh yang membelakanginya itu adalah milik lelaki
yang dicari. Tetapi perempuan yang sedang dipegang tangannya oleh Naqiuddin itu
siapa pula? Hati diterjah rasa kurang enak.
“Kawan dia kut.” Hati cuba bersangka yang baik-baik saja.
Namun naluri kuat menidakkan.
Perlahan kaki diatur ke arah sana menghampiri si merpati dua
sejoli. Semakin jelas keadaan Naqiuddin dan gadis itu di matanya. Bukannya nak tuduh
melulu tetapi tingkah Naqiuddin dan gadis itu memang amat mencurigakan. Dada sebak
tiba-tiba. Betapa bodohnya dia selama ini.
Hi.... mana episod baru? X sabar nak tahu kisah ain & ian
ReplyDelete