Total Pageviews

Saturday, April 16, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 12




Sudah lebih seminggu dia begini. Rasa kurang bersemangat. Badan tak bermaya. Otak berserabut. Buat apa saja kerja, semuanya tak menjadi. Semua tak betul. Tak boleh nak fokus. Dalam hati ada yang terbuku. Jantung sentiasa menderu laju. Berdebar tidak menentu. Jiwa pula kacau. Peliknya, dia alami simtom-simtom ini sejak kali terakhir berjumpa gadis itu. Memang dia sukakan minah tu, tetapi hanya suka, bukan cinta. Nak jadi tak tentu hala ni dah kenapa ya?
Sedang Ian Zacry ralit mentafsir perasaan sendiri, telefon bimbitnya berbunyi. Dibaca nama yang tertera pada skrin selepas mencapainya dari atas meja sisi.
“Helo mummy!”
“Assalamualaikum sayang.” Sayup suara mummynya di sebelah sana.
“Waalaikumussalam...”
“Ian jadi tak balik hari ni? Berapa hari dah Ian bertangguh. Kali ni, lama sangat pula Ian kat sana. Sampai seminggu lebih!”
“Ian jadi balik hari ni, mummy. Baru sudah kemas baju. Lepas zuhur nanti Ian bertolak,” beritahu Ian Zacry bagi meredakan resah si ibu.
“Soal ladang macam mana?”
“Semua dah selesai. Mummy jangan risau,” balas anak muda itu dalam lagak biasa yang dibuat-buat. Tidak mahu ibunya terhidu perubahan dirinya. Memang sahih ada sesuatu yang dah berlaku kepadanya. Jika tidak, masakan kesulitan kecil di ladang, berhari-hari dia ambil masa untuk selesaikan? Sedangkan selama ini, dia seorang yang sangat komited dengan kerja. Efisien dalam menyelesaikan masalahnya.
“Perkara yang mummy minta Ian tolong carikan tu, dah jumpa?”
“Pasal Mak Cik Zuraini tu?”
“Haahhh... ya!” Suara mummynya kedengaran gugup. Tentu bimbangkan Ayahanda Longnya. Takut terdengar perbualan mereka.
“Encik Jaafar datang jumpa Ian nanti. Sebelum Ian balik. Mungkin ada berita yang dia akan beritahu,” jelas jejaka itu.
“Baiklah. Kita bincang lagi bila Ian dah sampai rumah. Ayahanda Long ada. Mummy tak boleh bercakap lama. Mummy pun tak tahu kenapa dengan Ayahanda Long tu. Makin hari mummy tengok, dia semakin tak sihat.”
“Balik nanti Ian tanya Ayahanda Long. Mungkin dia ada masalah kesihatan. Hari tu, sebelum Ian ke estet, Ayahanda Long ada jumpa Ian kat ofis. Katanya, dia nak banyak berehat saja sekarang ni. Jadi, Ayahanda Long mahu Ian dan Ail ambil alih kerja-kerjanya. Bila Ian tanya kenapa, Ayahanda Long mahu tunggu Ian balik dari estet dulu. Baru kami berbincang panjang lebar.”
“Yalah. Apa-apa nanti, Ian beritahu mummy. Mummy letak telefon dulu ya? Hati-hati memandu.”
“Ya mummy. Assalamualaikum...” Dan panggilan di tamatkan selepas salamnya berjawab.
Untuk sekian kalinya Ian Zacry mendengus lagi. Berat benar kakinya mahu pulang kali ini. Terasa hati terikat di sini. Di daerah ini. Hajat melambung tinggi mahu menemui seseorang. Namun otak segera menghalang. Tidak tahu apa yang istimewanya pada gadis itu. Hingga mampu buat hidupnya jadi haru-biru. Ya! Itulah sebab kenapa dia berlengah-lengah menyelesaikan hal-hal ladang. Dia sebenarnya mencari cara agar boleh bertemu si dara.
Tuk tuk tuk!
Pintu bilik diketuk.
“Masuk!”
Sesaat kemudian daun pintu berkeriut ditolak seseorang.
“Boleh Awal masuk uncle?”
“Oh Awal! Marilah sini,” pelawa Ian Zacry sambil tangan menepuk tempat di sebelahnya.
Pantas kanak-kanak itu berlari masuk lalu melompat dan duduk di atas katil di sisi Ian Zacry.
“Macam mana sekolah hari ni?”
Besttt...,” balas Awal dengan suara berlagu. Anak mata melihat kepada beg pakaian lelaki dewasa itu. “Uncle dah siap berkemas?”
“Dah!”
“Jom! Kita makan tengah hari uncle.”
“Sekejap lagi. Ni uncle tengah tunggu ayah Awal.”
Uncle nak jumpa ayah ke atau orang lain?”
Tertancap anak mata Ian Zacry ke wajah kanak-kanak itu bersama pelipis yang sudah berlipat. “Kenapa Awal cakap macam tu?”
“Kalau uncle nak jumpa ayah, mesti uncle tunggu ayah kat luar.”
“Maksud Awal?” Semakin bertindih kerut di dahi Ian Zacry. Pelik juga. Budak sekecil ini sudah pandai menilik gelagatnya.
“Awal dengar ayah bercakap dengan mak pagi tadi. Uncle nak ayah datang sini. Hari tu, ada kerja mustahak uncle suruh ayah buat. Selalunya, kalau ada hal penting, uncle yang pergi jumpa ayah. Mana pernah uncle suruh ayah datang jumpa uncle kat rumah. Lepas tu, uncle tunggu dalam bilik pula.”
“Salah ke?” Hebat sungguh kanak-kanak ini, desis Ian Zacry.
“Tak salahhh... Tapi Awal pelik. Sejak jumpa auntie tu, uncle duduk dalam bilik aje. Macam hari nilah! Tunggu ayah pun dalam bilik. Awal selalu intai uncle. Nak tengok uncle buat apa dalam bilik ni, sebab uncle dah jarang teman Awal main. Awal ingatkan, uncle sibuk buat kerja. Rupanya asyik termenung. Lepas tu, banyak kali sebut nama Auntie Ain.”
Glup!
Ian Zacry tertelan liur. Begitu ketarakah perubahan dirinya? Hingga Awal pun boleh merasa. Apatah lagi ibu dan ayah Awal. Mungkin mereka juga dapat meneka.
Uncle sebenarnya nak jumpa Auntie Ain lagikan? Kalau uncle nak jumpa dia, kenapa uncle tak pergi?”
Kali kedua Ian Zacry menelan liur. Cerdik benar Awal menilai.
Uncle malu? Kenapa tak ajak Awalll...? Awal boleh temankan!”
Malu?
Kata-kata Ain Sofea kembali menerjah ke kokleanya.
“Saya ni, kekasih awak ke, yang awak nak bersusah payah untuk saya? Beria-ia pula awak risau pasal saya. Ke awak memang cuba nak main kayu tiga?”
Ian Zacry mengeluh perlahan. Tentu sekali dia malu kepada Ain Sofea kerana tebakan gadis itu tepat mengena dirinya. Baru dua kali mereka berjumpa. Tanpa sedar dia menganggap Ain Sofea seolah-olah kekasihnya. Sebab itu dia terlalu mengambil berat soal gadis itu. Tidak sengaja Ain Sofea telah diletakkan ditempat Tengku Ellisa. Kerana itulah dia berusaha mencari alasan agar Ain Sofea berada lama bersamanya. Bukankah itu menunjukkan dia sedang bermain kayu tiga? Oh! Betullah sebagaimana yang dikatakan oleh Ain Sofea.
“Soal hati dan perasaan memang pelik,” keluh Ian Zacry.
“Apa dia uncle?!”
“Eh tak ada apa-apa!” pangkas Ian Zacry. Telinga lintah juga si Awal ni, omelnya dalam hati.
“Awal tahu. Awal pun pernah rasa macam yang uncle rasa.”
“Hah?!” Tautan kening Ian Zacry semakin rapat hingga garis tengah yang sememangnya sedia ada di situ semakin panjang membelah dahi.
“Awal ada marah dengan sorang budak perempuan dekat sekolah. Macam uncle marahkan Auntie Ain. Tapi sekarang ni, Awal tiba-tiba sukakan dia. Sama juga macam uncle sukakan Auntie Ain. Awal selalu rasa nak jumpa dia. Pun serupa juga macam uncle.”
Kali ketiga Ian Zacry tertelan liur. Hampir tersedak. Heh! Budak-budak alaf dua puluh satu ni memang cepat matang ya?
“Tuan dengarlah borak si Awal tu!” sampuk Puan Faridah yang berdiri di muka pintu sedari tadi. Tujuannya mahu memanggil Ian Zacry dan anaknya. Tak sengaja, terdengar pula perbualan mereka berdua.
“Betullah makkk... Kan Awal ada beritahu mak pasal budak perempuan yang Awal suka tu?” sanggah Awal dengan muka sedikit masam.
“Belum sunat lagi, dah pandai minat dekat anak dara orang.” Puan Faridah bularkan matanya. “Maaf ya tuan. Awal ni kadang-kadang, cakapnya memang tak padan dengan usia. Inilah akibatnya kalau banyak sangat bergaul dengan budak-budak yang sudah besar. Dekat rumah kami, Awal tak ada kawan yang sebaya dengan umurnya.”
“Awal dah besarlah makkk...” bentak Awal lagi.
Ian Zacry hanya mampu tersenyum
“Sudah Awal! Ayah tengah tunggu uncle dekat luar.” Puan Faridah beralih memandang Ian Zacry. “Abang Jaafar dah sampai tuan.”
“Bbbaik kak!” Ian Zacry tinggalkan Awal di atas katil. Mujur Encik Jaafar tiba tepat pada masanya. Jika tidak, tentu Awal akan buat dia semakin tidak keruan. Baris ayat yang keluar dari mulut kanak-kanak itu, semuanya memukul di dada. Bikin bergegar jantungnya.    
******
Ain Sofea membelek dirinya di depan cermin. Bedak pada muka yang kelihatan sedikit kepuh disapu dengan span. Kemudian bibir atas dan bawah ditekap bagi meratakan lip gloss yang dioles. Sekali lagi wajah diteliti.
“Okey siap!”
Gadis itu berpuas hati dengan penampilannya. Biarpun sederhana. Bukannya dia mahu melawa untuk Naqiuddin, tetapi bagi mengaburi mukanya yang pucat lesi ini dari pandangan orang. Masakan tidak wajahnya seperti mayat? Seminggu lebih hidupnya tak aman. Tidur tak tenang. Makan tak kenyang. Semuanya gara-gara si mata biru itu. Tak pasal dia mengidap penyakit baru. Penyakit seperti orang tengah angau. Sedangkan mereka berdua bukannya ada hubungan apa-apa.
Selepas malam Ian Zacry menghantarnya pulang, setiap hari Ain Sofea dihurung gelisah. Bimbang jejaka itu muncul lagi di Parkson mencarinya. Dia tak sanggup menghadap Ian Zacry. Dia malu pada dirinya dan juga pada Ian Zacry. Sungguh dia menyesal terlanjur berkata-kata kepada lelaki itu tempoh hari. Nampak sangat dia cemburu. Tentu lelaki itu dapat menghidu, kenapa dia berlagak begitu.
Hari ini, bolehlah dia menarik nafas lega. Gemuruh dalam dada pun reda. Tak adalah asyik rasa cemas saja setiap kali ada kelibat lalu di bahagiaannya. Leher pun panjang macam angsa. Sentiasa memerhati sekelilingnya. Pantang nampak orang, laju dia menyorok celah baju. Manalah tahu mat saleh tu tiba-tiba pacul di situ.
Beg galas yang tergantung di belakang pintu dicapai oleh Ain Sofea. Kemudian dia melangkah keluar dari biliknya.
“Kamu dah siap?” soal Puan Zaiton sebaik dia melihat anak buahnya itu. Dia sedang menghadap hidangan makan tengah hari hasil air tangan Ain Sofea. Sejak anak buahnya tinggal bersama, memang dia pencen dari melakukan kerja-kerja rumah. Bangun tidur pun waktu matahari dah terpacak tinggi.
“Dah!” Sepatah Ain Sofea membalas. Acuh tidak acuh.
“Sebelum kamu keluar, bagi mak long duit sikit. Nak bayar duit kain ela yang mak long baru ambil hari tu.” Tanpa segan silu Puan Zaiton meminta. Sedari malam tadi dia mahu buka mulut, tetapi Ain Sofea asyik berkurung dalam bilik pula. Bila Ain Sofea pulang pun Puan Zaiton tidak perasan. Mungkin ketika dia keluar ke kedai berhampiran.
“Ain mana ada duit mak longgg...”
“Kenapa kamu ni kedekut sangat?!”
“Bukan Ain kedekut. Kalau mak long nak bayar hutang mak long tu, tunggulah gaji Ain keluar dulu,” ujar Ain Sofea seraya kaki melangkah menghampiri rak pinggan dan mencapai sebiji gelas. Air sirap di dalam jag di atas meja dituang.
“Pak Cik Seman kan dah bagi duit jual tanah tu? Bak lah mak long sikit.” Suara Puan Zaiton naik seoktaf.
“Baru petang semalam Pak Cik Seman bank-in mak long.”
“Janganlah kamu nak kelentong aku Ain. Kamu ingat aku ni bodoh!”
Gadis itu berdecit. Susah bercakap dengan orang yang seperti Mak Longnya ini. Kalau tak dapat apa yang diminta, mulalah buat perangai. Macam budak umur tiga tahun. Walhal usia dah dekat enam puluh. “Ain tak tipu mak long. Semalam Pak Cik Seman yang telefon beritahu Ain. Sebab tu Ain tak jadi ambil cuti setengah hari pergi keluarkan duit tu semalam. Dah lewat sangat. Bank dah nak tutup. Kalau mak long tak percaya, terpulanglah!”
Puan Zaiton mengetap gigi geram mendengar cerita Ain Sofea.
“Sebab tu Ain nak keluar cepat. Ain nak pergi Seremban keluarkan duit tu dulu. Lepas tu, baru pergi Bangi jumpa Abang Naqi,” tambah Ain lagi.
“Dah keluarkan duit tu nanti, kamu simpankan mak long dua tiga ribu,” minta Puan Zaiton tanpa selindung. Suaranya direndahkan sedikit.
“Mana boleh mak long? Mak dapat duit tu pun, tak cukup untuk Abang Naqi. Macam mana Ain nak bagi mak long sikit? Kalau makin kurang nanti, Abang Naqi bising pula. Kalau mak long nak, mak long mintalah kat Abang Naqi.” Air sirap sejuk diteguk sekali harung. Tidak terasa dinginnya air itu pada tekak. Ais batu pun tidak mampu mengatasi bahang dalam tubuhnya yang membara kerana perangai Mak Long ini. Ain Sofea kemudian menghampiri sinki dan membasuh gelasnya.
“Berapa ribu Pak Cik Seman bagi?!” Wajah Puan Zaiton semakin merah padam.
“Lima belas ribu.”
“Apa?!” Pantas Puan Zaiton berdiri. Kaki kerusi berkeriut kuat apabila bergesel dengan lantai kerana ditolak kasar.
“Takkanlah mak kamu jual seekar tanah tu dapat lima belas ribu saja?! Sebelum ni kan dapat lebih?” Puan Zaiton bercekak pinggang menghadap Ain Sofea. Tidak puas hati hasil menjual tanah pusaka itu tidak sebanyak yang sebelum ini. Hancur berkecai harapannya nak kebas barang dua tiga ribu.
“Dah Pak Cik Seman kata dapat bagi banyak tu saja.”
“Mana boleh?! Harga tanah tu lebih dari lima belas ribu. Rugilah kita! Apa ke bodoh sangat mak kamu tu?!” Nyaring semula lontaran suara Puan Zaiton.
Ain Sofea mendesah. Rasa hendak disimbah saja air sirap dalam jag di atas meja ke muka Mak Long. Kalau pasal duit, dia saja yang pandai berkira, getus naluri dara itu.
“Mak beritahu Pak Cik Seman yang Abang Naqi nak pakai duit cepat. Sebab tu Pak Cik Seman bagi lima belas ribu saja,” jelas Ain Sofea. Walaupun dia sedang menipu Mak Longnya, namun tiada rasa bersalah timbul dalam diri. Kalau Mak Long pandai, dia lagi cerdik.
Sebetulnya, banyak juga yang dibayar oleh Pak Cik Seman. Lebih dua puluh ribu. Menurut ibunya, Pak Cik Seman merujuk kepada pejabat tanah untuk menentukan nilai sebenar harga kebun mereka. Ia termasuk pampasan bagi pokok kelapa sawit yang masih muda dan sedang banyak mengeluarkan hasil.
“Tak boleh! Pak Cik Seman kena bagi lebih. Suruh dia bayar bakinya!” herdik Puan Zaiton bersama biji mata yang bular.
“Baki? Itupun kalau Pak Seman nak bayar lebih.” Sedikit sinis Ain Sofea membalas.
Puan Zaiton mendengus kuat. Hati makin panas.
“Mak longgg... Mak long kena faham. Mak minta Pak Cik Seman bayar cepat. Kita nak duit jam-jam tu juga. Jadi, Pak Cik Seman bayarlah berapa yang dia rasa patut bayar. Kalau orang lain, entah-entah sepuluh ribu pun tak sampai,” tambah Ain Sofea lagi bagi meyakinkan Mak Longnya. Dalam hati, ketawa sudah berdekah-dekah. Berjaya juga dia menyembunyikan perkara sebenarnya.
Sengaja Ain Sofea meminta ibunya merahsiakan jumlah sebenar wang yang mereka perolehi dari pengetahuan mak saudaranya ini. Dia tidak mahu Puan Zaiton dan Naqiuddin membolot semua duit itu. Harus juga simpan sedikit untuk hal-hal kecemasan. Kepada Pak Cik Seman juga gadis itu sudah berpesan, supaya menceritakan perkara yang sama sekiranya Puan Zaiton bertanya. Mujur juga Pak Cik Seman setuju. Mungkin kerana jiran mereka itu sedia maklum akan fiil Puan Zaiton anak-beranak.
“Mak kamu yang tak tahu nak berbincang dengan Pak Cik Seman tu. Nanti Mak Long telefon dia! Minta dia bayar lebih,” gerutu Puan Zaiton seraya mencapai pinggannya dan dibawa ke sinki. Terbantut selera makannya apabila mengenangkan rancangan yang tidak menjadi.
“Suka hati mak longlah! Kalau mak long tak malu, pergilah minta,” perli Ain Sofea. Dalam hati berbisik sakan. Jangan mimpilah Mak Long akan dapat duit tu. Semuanya Pak Cik Seman sudah berikan kepada dia. Dan sekiranya selepas ini Mak Long tahu duit baki itu ada padanya, takkan sesekali dia serahkan kepada Mak Long. Biar apapun hujah Mak Long guna, dia takkan mudah termakan. Cukuplah selama ini Mak Long mengikis duit mereka. Sekarang, giliran dia merancang perjalanan hidupnya pula. Mungkin menyambung pelajarannya yang terbatut dahulu. Mengejar cita-citanya yang terhalang. Apa yang penting, perkata pertama yang harus difikirkan adalah mencari jalan untuk keluar dari neraka dunia ini.
“Ain pergi dulu mak long.” Tangan Puan Zaiton dicapai oleh Ain Sofea. Disalami tangan ibu saudaranya itu sekadarnya sahaja. Jangan dikata dia tidak ada budi bahasa.
“Hati-hati pandu kereta Pak Long tu. Kamu tu jenis kasar. Tak reti nak perlahan. Ingat sikit! Kereta tu dah uzur. Kalau rosak nanti, susah pula aku nak pergi ke mana-mana. Isi minyak penuh-penuh. Jangan reti pandu saja,” pesan Puan Zaiton dalam nada sinikal.
Ain Sofea tidak membalas walaupun telinga berdesing mendengar tutur kata Puan Zaiton. Dalam hati keinginan semakin tinggi. Tidak sabar mahu pergi dari sini. Sebahagian daripada pakaiannya juga sudah siap dikemaskan. Tunggu masa angkat kaki saja apabila peluang muncul nanti.
******
“Bang, bagilah Ain nombor account abang. Staf bank ni nasihatkan Ain, lebih baik transfer saja duit tu. Ain pun rasa lebih selamat buat macam tu. Takutlah nak kendong duit berbelas ribu ni. Ain transfer sajalah ya?”
“Eh Tak payah! Kan abang suruh Ain hantar dekat abang? Lima belas ribu bukan banyak mana pun. Dah lah bagi tak cukup!”
“Tapi bang, Ain tak...” Tidak habis Ain Sofea berkata, Naqiuddin sudah mencantasnya.
“Abang mana ada account bank tu? Ambil masa beberapa hari proses transfer kalau tak sama bank.”
“Takkan abang tak boleh tunggu sehari dua lagi?”
“Pasal tak bolehlah abang suruh Ain hantar cash kat abanggg... Lagipun, abang tak ada masa nak pergi bank. Abang sibuk!”
“Ain takutlah banggg...”
“Ikut ajelah cakap abang. Kenapa nak memandai-mandai ni? Kan abang suruh Ain datang jumpa abang hari ni bawa duit tu? Datang sajalah! Abang nak duit tu cepat. Tak faham ke?!” lengking Naquiddin di corong sebelah sana. Rasa nak pekak telinga ditempik oleh sepupunya itu.
Huh! Yang tidak-tidak saja alasannya, rengus Ain Sofea dalam diam. “Yalah yalah... Ain keluarkan cash money.”
“Cepat sikit! Jangan terhegeh-hegeh pandu kereta tu. Abang tunggu Ain kat tempat biasa. Dah nak sampai nanti telefon abang!”
Klik!
Tut tut tuttt...
Suara Naqiuddin hilang. Ain Sofea mengeluh panjang. Mahu tak mahu, kena jugalah nampaknya dia keluarkan wang tunai.
Wang yang baru dikeluarkan dari kaunter bank diselitkan ke dalam poket seluar. Sebahagian disimpan di sebelah kanan dan sebahagian lagi disimpan di sebelah kiri. Tebal sungguh kedua-dua poketnya. Terasa susah hendak melangkah.
“Kerja mengarut betul Abang Naqi ni. Minta aku keluar cash money sebanyak ni. Kan dah menyusahkan aku nak simpan,” rugut gadis itu. Kaki diayun menuju ke lot parkir di belakang bangunan bank.
“Nak simpan dalam beg, buatnya diragut penyangak, tak ke sia-sia?” omel gadis itu lagi. Bukankah baik jika terus dipindah masuk ke dalam akaun saja. Dia pun tak perlulah bersusah payah hendak ke Bangi. Malas benar dia mahu ke sana dengan hati yang tiba-tiba rasa seperti ada yang tidak kena ini. Seperti ada sesuatu yang bakal terjadi.
“Janganlah kereta Pak Long meragam tengah jalan nanti,” desis Ain Sofea.

3 comments:

  1. sian sungguh Ain. Harap2 Ian sampai utk menolong tika ni..

    ReplyDelete
  2. Geram pulak baca teaser ni... Hishhh.. Klu aku jadi Ain tu dah lama aku blah pastu putus jer ngan Naqi.. Bluekk hehe

    ReplyDelete