Satu jam hampir berlalu. Ain Sofea masih lagi berada di atas lebuh raya.
Kereta uzur milik Pak Longnya ini bukan boleh dipecut laju. Jarum meter baru
saja hendak cecah garis tujuh puluh, habis bergegar semuanya. Terlebih sedikit
tekan pedal minyak, dashboard macam
nak runtuh. Pintu rasa nak roboh. Terpaksalah kurangkan kelajuan. Hmm... Harus kematu buntutnya menjelang
sampai di Bangi nanti. Sabar sajalah...
“Aduiii... Sakitnya badan akuuu...,” keluh Ain Sofea. Terasa nyilu segala
tulang-belulang. Asyik bergoncang saja sedari tadi memandu kereta ini. Anak
mata terlihat papan tanda di pinggir jalan.
KAWASAN REHAT NILAI
“Berhenti sekejaplah! Boleh juga aku solat asar,” putus gadis itu. Perut
pun mula berkeroncong. Di rumah Mak Longnya tadi, dia tiada selera hendak
makan. Macam mana nak telan? Kalau menghadap muka Mak Long yang bengis macam
Hulk Hogan! Mujur tak ada janggut dan misai. Jika tidak sebiji!
Lampu isyarat diberi sebelum memasuki simpang kiri ke kawasan hentian
rehat. Kereta kemudian diparkir di bawah sebatang pokok bersebelahan dengan
sebuah kereta mewah. Sempat Ain Sofea membandingkan antara kereta Pak Longnya
dengan BMW itu.
“Macam langit dan bumi!” Bibir menggaris senyum. Kereta Pak Longnya hampir
berkarat. Kereta mewah itu bersih berkilat.
Ain Sofea melangkah keluar dari perut kereta. Lirik mata masih kepada kenderaan
sebelah. BMW warna hitam metalik? Macam pernah nampak saja kereta ni? detak
naluri gadis itu. Namun diabaikan. Kaki mula menyusun derap menuju ke deretan
bangunan di hadapannya.
“Ain Sofea!” Satu suara garau menyergah.
“Siapa pula yang kenal aku kat sini?” Kepala segera menoleh. Dan...
Glup!
“Kenapalah dunia ni makin lama makin kecik?” desis Ain Sofea sebaik sahaja
terlihat pemilik suara yang menyapanya sebentar tadi.
Jejaka si mata biru berdiri di sisi BMW. Cermin mata hitam yang dipakai
ditolak naik ke atas kepala. Dia kemudian mencerlung. Tidak menjangka akan
menemui gadis itu di sini. “Buat apa kat sini?”
Soalan itu tidak dibalas. Cepat Ain Sofea melarikan anak matanya dari terus
direnung oleh Ian Zacry. Dia berpaling. Kaki menyambung langkah mahu beredar.
Segera Ian Zacry berlari anak mendapatkan Ain Sofea.
“Awak nak pergi mana, Ain Sofea?” Langkah gadis itu diekori. Naluri
berbisik nakal saat meneliti gerak tubuh Ain Sofea. Laju minah ni berjalan. Melantun-lantun perginya. Spontan bibir terukir
senyum dan sesaat selepas itu senyuman terpadam apabila melihat Ain Sofea tidak
menghiraukannya.
“Ain Sofea! Awak tak dengar ke saya panggil awak?”
Ain Sofea masih tidak menyahut. Kaki bertambah laju diayun. Dia mahu lari
dari lelaki itu. Masih terasa malu!
“Ain Sofea!” Belakang blaus Ain Sofea ditarik kuat hingga gadis itu
tersentak ke belakang.
“Huk! Huk! Huk!” Ain Sofea
terbantuk-bantuk. Pangkal leher yang perit akibat terjerut kolar baju diurut.
Pantas dia menoleh. Mulut ternganga mahu memarahi lelaki itu tetapi Ian Zacry
terlebih dahulu memuntahkan kata-katanya.
“Awak ni memang tak dengar ataupun buat-buat pekak? Ada penyakit tuli ya?”
Ian Zacry senyum ingin mengusik. Langsung tidak terkesan dengan wajah masam
gadis itu.
“Panggil nama pun tak nak menyahut? Nanti saya panggil anak kambing, baru
padan muka awak. Bila saya panggil macam tu awak marah pula,” tambah Ian Zacry
lagi sambil berdiri dengan berpeluk tubuh. Gaya maco disertakan sekali.
“Buat apa saya nak menyahut bila awak panggil? Awak bukan sesiapa pada saya
dan saya bukan sesiapa pada awak!”
“Apa yang awak merepek ni?”
Ops! Ain Sofea kumam bibir. Lidah terlajak lagi berkata. Tak
hilang lagi cemburu dia rupanya.
“Awak kan kawan saya?”
Si dara sunyi. Gigi diketap. Bimbang mulut lancang bersuara.
“Saya ni tak layak ke berkawan dengan awak, Ain Sofea?” tebak Ian Zacry.
Kening diangkat tanda soalannya itu serius untuk dijawab.
“Emm... Err...” Hati mula dup dap dup dap. Apa tidaknya? Si tampan
buat muka ganteng dan berdiri penuh bergaya begitu. Bukan hati saja, jantung,
limpa, hempedu, ginjal pun turut libang-libu. Haru-biru.
“Kalau awak tak sudi berkawan dengan saya sekalipun, tak boleh ke awak
menyahut bila saya panggil? Bukan awak tak kenal saya,” ujar Ian Zacry.
Ceh! Baru beberapa kali jumpa, lagak macam dah jadi best friend forever pula, desis Ain
Sofea.
“Saya hanya mahu kenal awak sebagai salah seorang pelanggan Parkson saja. Tak
lebih daripada itu. Sekarang ni, kita bukan berada di tempat kerja saya. Jadi
saya tak wajib melayan awak.” Ain Sofea berpaling semula ingin pergi. Tak mahu
terus bertentang mata dengan si jejaka sasa. Kelak hatinya akan tergoda.
“Saya tetap anggap awak kawan saya! Dan saya nak kenal awak lebih daripada
seorang promoter. Sekarang awak nak
buat apa?” Derap Ain Sofea dijejaki.
“Saya tak hingin!” balas Ain
Sofea tanpa berpaling.
“Awak lupa? Kita dah berkenalan sejak awak tendang kereta saya!”
Ini yang buat aku nak maki dia ni. Tak sudah lagi ke pasal tendang kereta
tu? Psiko betul mamat ni. Bukannya
kereta dia tu ada nyawa. Terpekik terlolong rasa sakit masa aku tendang hari tu
yang dia nak duk sebut-sebut sampai hari ni.
Ain Sofea berhenti melangkah. Wajah si mata biru dipandang semula. “Jadi,
sebab saya tendang kereta awak hari tu, maka saya kena jadi kawan awak? Kan
saya dah minta maaf. Bermakna saya dah tak ada hutang apa-apa dengan awak tau!”
“Bagaimana dengan kita makan bersama hari tu?”
Ada juga yang aku sumbat kasut dalam mulut nanti ni...
“Saya boleh belanja awak makan balik!”
“Saya selamatkan awak dari teksi rosak tu?”
“Errr...” Nak jawab apa? Tunggu
kereta mamat tu rosak? Nanti aku
hantar dia balik pula. Heh! Entah bila tahun BMW berkilat dia tu nak meragam. Sudahnya,
sampai ke tua aku berhutang budi dengan dia.
“Sudahlahhh... Tak payah awak nak buat perangai. Jom teman saya makan!”
Bersahaja Ian Zacry memaut tangan gadis itu lalu diheret bersamanya menuju ke
deretan kedai makan.
“Lepaslahhh... Apa pegang-pegang tangan orang niii...?” Lengan Ian Zacry
ditampar beberapa kali.
“Tak nak! Nanti awak lari!”
Ain Sofea berdecit. Memang dia tak boleh tahan dengan lagak mat saleh ni.
“Tadikan awak kata awak boleh belanja saya? Sekaranglah masanya. Saya pun
tengah lapar sangat ni. Tadi niat berhenti memang nak makan. Tapi tak ada
kawan. Sekarang awak ada boleh temankan.” Ain Sofea terus ditarik.
“Suruh belanja pun main paksa-paksa ke?” Sekuat hati Ain Sofea menahan
langkah. Lantas terlucut tangannya dari genggaman Ian Zacry. “Awak kebulur
tahap cipan pun, saya peduli apa. Nak makan tak ada kawan kononnn... Saya ni
tak boleh dikira sebagai kawan awaklah!”
“Habis tu, awak nak saya anggap awak apa? Sebagai kekasih saya?”
Glup!
Ain Sofea tertelan liur lagi. Cabul betul mulutnya sekarang ni. Bercakap
main lepas, diri sendiri juga yang susah. “Tak hadaplah saya nak jadi kekasih
awak! Jomlah! Saya belanja awak dan temankan awak makan. Lepas ni, kita dikira
kosong-kosong. Jangan cari saya lagi. Kalau jumpa di mana-mana, kita buat-buat
tak kenal. Okey, deal?”
Lama Ian Zacry diam. Ain Sofea juga senyap. Menanti jawapan lelaki itu. Ini
saja cara untuk mengelakkan Ian Zacry muncul lagi di hadapannya. Bukan tidak
suka, cuma dia tidak mahu didatangi bencana. Yalah! Terpaut hati dengan kekasih
orang!
“Baiklah!”
Sebaik menerima jawapan itu, terus Ain Sofea berjalan melepasi Ian Zacry. Tersungging
senyuman lebar pada bibir lelaki itu. Gelagat Ain Sofea mencuit hatinya. Terasa
puas pun ya juga, kerana kali ini mereka cuma makan berdua. Ala-ala dating gitu. Segera langkah dipanjangkan
menyaingi derap Ain Sofea. Berjalan beriringan bersama gadis itu.
“Ian Zacry,” beritahu Ian Zacry tiba-tiba. Walhal gadis di sebelah tidak menyoal
apa-apa.
“Apa?!” tanya Ain Sofea dalam keliru.
“Nama saya Ian Zacry. Saya dah tahu nama awak, jadi saya rasa awak patut
tahu nama saya juga.”
“Tahu dah...”
“Apa yang awak tahu?”
“Nama awak uncle Ian,” selamba
Ain Sofea berkata. Bukankah itu yang dipanggil oleh Awal tempoh hari? Ian
Zackry... Hmm..., sedap juga nama mamat ni. Muka mat saleh, nama pun macam mat
saleh juga. Dia ni mat saleh atau
kacukan mat saleh? Eh! Tak payah nak
sibuklah Ain. Dia kacukan ke, baka kahwin ke, tut ke, kau tak perlu ambil
peduli.
“Saya ni belum cukup tua untuk awak panggil uncle.” Ada nada tidak puas hati pada suara Ian Zacry.
“Tak ada salahnya kalau saya panggil awak uncle pun... Paling tidak, saya hormatkan awak. Tak adalah nak
panggil awak anak kambing bila tak tahu nama,” perli Ain Sofea. Anak mata
dikerling sedikit mencari wajah Ian Zacry.
“Baiklah. Saya minta maaf sebab panggil awak anak kambing hari tu. Saya
sedar, saya sedikit biadap.”
Apa?! Sedikit? Wei mamat! Sedikit
biadap apa bendanya? Dah terlampau biadap kau tahu tak!
“Saya terima maaf awak. Saya ni bukannya hati kering sangat. Susah nak
terima maaf orang, macam orang tu.” Sedas lagi Ain Sofea ‘bahasa’kan lelaki
itu.
Ian Zacry tidak membalas. Terkesan dalam hatinya dengan kata-kata Ain
Sofea. Tanpa banyak soal, dia menurut saja gerai mana yang dipilih oleh Ain
Sofea. Gadis itu melihat pelik ketika Ian Zacry memilih lauk-pauk. Lebih-lebih
lagi ketika Ian Zacry menyudu sambal belacan ke dalam pinggan.
“Awak ingat saya tak makan ke benda-benda ni semua?” tanya Ian Zacry
sedikit terasa. Dia faham akan maksud pandangan Ain Sofea itu. Tidak dapat lagi
disimpan perasaannya yang tersentuh ini. Tadi, dua kali dia dibedil oleh Ain
Sofea. Sekarang, gadis itu seperti sedang mentertawakan dia pula.
“Saya ada cakap apa-apa ke?” Ain Sofea menjeling. “Harapkan muka saja maco,
tapi hati cepat touching.”
Ketika berada di kaunter pembayaran, sekali lagi mereka bertengkar. Berebut
mahu bayar. Ujar Ian Zacry, malulah dia perempuan yang belanja. Ain Sofea pula
berkeras kata, dia tidak mahu lagi berhutang apa-apa. Akhirnya gadis itu
mengalah selepas Ian Zacry berkata...
“Sayanggg... Hutang apa? Awak tu kekasih saya. Bakal isteri saya. Takkan
saya nak berkira? Nak bayar hutang, tunggu malam pertama kita.”
“Apa?!” Bular mata Ain Sofea. Gigi dikancing rapat menahan geram. Muka
memerah kerana malu. Gadis cashier di
hadapan mereka turut tersipu malu. Memang bengong
betul mamat tu!
Tanpa menunggu, Ain Sofea berlalu mencari meja. Dibiarkan saja Ian Zacry
membayar makanan mereka. Mahu berdiri lama lagi di sisi mamat tu? Harus dia simbah juga Ian Zacry dengan kuah gulai labu.
Baru tau!
Tidak bertangguh Ain Sofea menjamah dulu makanannya. Cepat dia habiskan nasinya
ini, cepat dia boleh beredar dari sini.
“Aik! Makan tak tunggu saya?”
Ain Sofea sekadar menjeling.
“Entah baca doa ke tidak ni?”
Deshum!
Kena sebiji! Memang dia terlupa baca doa pun. Gara-gara meradang dengan mamat poyo nilah!
“Islam
mengajarkan kita untuk sentiasa berdoa walau di mana pun, bila pun, dan apa pun
yang kita buat. Ada aktiviti yang kita lakukan terdapat doa untuknya. Contoh seperti
makan dan minum. Kita berdoa supaya makanan dan minuman tu terjaga, berkat, dan
bermanafaat kepada tubuh kita.”
“Ish! Berkhutbah pula diaaa… Yalah… yalah…” Segera kedua tangan ditadah. “Cepatlah baca doa!”
Ian Zacry senyum nipis apabila wajah Ain Sofea berterusan cemberut.
“Okey! Jemput makan,” pelawa jejaka itu usai doa dibaca.
Ain Sofea meneruskan suapannya tanpa memanggung kepala. Ian Zacry pula
tidak beralih anak mata memandang si dara. Suasana sunyi sepi di antara mereka.
“Terima kasih,” ucap Ain Sofea sebaik dia selesai menghabiskan makanannya. “Sekarang
kita dah kosong-kosong.”
“Eh, Belum lagi!”
Wahhh... Melampau sangat ni. Tahulah makan tadi dia yang bayar. “Saya tak
berhutang apa-apa lagi!”
“Siapa kata?”
“Nah! Saya bagi balik duit yang awak bayar tadi.” Not lima puluh diletak ke
atas meja. “Ingat! Awak dah janji takkan jumpa saya dan buat-buat tak kenal
saya.”
Terus Ain Sofea tinggalkan Ian Zacry sebelum lelaki itu sempat membalas
apa-apa. Pantas dia menuju ke arah surau. Selesai menunaikan solat asarnya, Ain
Sofea berwirid panjang pula. Sengaja dia mahu berlama di situ. Biar Ian Zacry
beredar dulu. Setengah jam kemudian baru dia kembali ke lot parkir. BMW hitam
metalik sudah tiada di sebelah kereta Pak Longnya.
“Nasib baik mangkuk tu dah blah!”
Lapang rasa dada.
Kunci kereta disumbat ke dalam lubang penghidup enjin. Mata melirik seketika
pada jam tangan di pergelangan. “Dah lewat ni! Mesti muncung Abang Naqi.”
Ccchtt... Ccchet... Ccchet...
“Aduhhh... Apa hal pula tak mahu hidup enjin kereta ni?” Sekali lagi jari
memulas kepala kunci seraya kaki memijak padel minyak berkali-kali. Namun enjin
kereta tetap juga mengeluarkan bunyi
yang sama.
Sepuluh minit berlalu. Peluh mula merenik di dahi. Ain Sofea masih berada
di dalam kereta Pak Longnya. Punat untuk memercikkan api pada palam pencucuh
berpuluh-puluh kali dipulas. Jangan katakan hendak hidup, bunyi berdecit tadi pun
sudah tiada. Apa saja yang tak kena dengan kereta taraf tukun tiruan Pak Long
dia ni?
“Masa nilahhh... kau nak buat perangai kereta oiii...” gerutu gadis itu.
Sudahlah spotlight dekat atas tu
sikit punya terang. Terik dan panasnya bukan main. Berpeluh dah satu badan dia
ni. Apa pula yang nak digodek dalam enjin tu supaya kereta ini hidup? Dia mana
tahu apa yang perlu dicolek. Kepada siapa pula dia nak minta tolong?
“Ahhh...” Ain Sofea mengeluh kuat. Apalah malangnya nasib? Dalam pada itu
terbesit juga rasa syukur. Mujur kereta Pak Longnya buat perangai dalam kawasan
rehat dan rawat. Kalaulah rosak di tengah-tengah lebuh raya, harus menangis
dia.
Tidak tahan dengan keadaan berbahang dalam kereta, Ain Sofea melangkah
keluar. Disandarkan tubuhnya pada kereta dan mula mencongak apa yang harus
dilakukan. Sedang ralit berfikir, sebuah kereta memasuki parkir sebelah.
“BMW?!” Pandangan tajam melihat melalui cermin tingkap yang berwarna gelap.
Tetapi sayang, wajah si pemandu tidak kelihatan.
“Minta-minta mamat tuuu... lah.”
Ain Sofea menanti. Saat sekujur tubuh lolos dari perut kereta lantas dia hembus
nafas lega.
“Awak! Awak!” Tanpa berfikir panjang, tangan diangkat melambai kepada lelaki
itu.
Ian Zacry hanya berlalu buat tidak tahu.
“Takkan tak dengar kut?” Tangan menggaru belakang telinga.
“Ian Zacry!” Nama jejaka itu pula dilaung. Lelaki itu tetap tidak berpaling.
Malahan langkahnya semakin laju pula menuju ke arah tandas.
“Dah kenapa pula dengan mamat tuuu..?
Pandang aku pun tak nak!” rungut Ain Sofea. Dia pelik dengan sikap Ian Zacry. Seperti
mereka saling tidak mengenali pula.
“Hah!” Pantas amarannya kepada Ian Zacry tadi melintas dalam kepala.
“Ingat! Awak dah janji takkan jumpa saya dan buat-buat tak kenal saya.”
Dan dia sendiri yang menekankan agar lelaki itu memegang janjinya.
Sekarang, Ian Zacry betul-betul buat tak kenal dia!
“Alamakkk... Macam mana aku nak minta tolong dia ni?” Haruskah ditebalkan
mukanya mengadu kepada Ian Zacry. “Sudahlah mamat
tu kadang-kadang mulutnya macam puaka. Mesti dia bahasakan aku punya!”
Beberapa minit berlalu, Ian Zacry datang menghampirinya. Ain Sofea ukir senyuman
sumbing. Harap-harap Ian Zacry menyapanya.
Tet tet!
Alarm BMW berbunyi. Ain Sofea memerhati. Ian Zacry buat tidak peduli.
Menerobos masuk ke dalam kereta dan mahu berlalu pergi.
“Hah! Dia betul-betul buat tak kenal aku?”
Kereta Ian Zacry yang mengundur keluar dipandang tanpa putus. Dada terus bengkak.
Rasa mahu menangis. Mungkin meraung juga. Pada kelopak mata, air jenih mula bertakung.
Sekejap lagi tentu empangannya pecah. Mungkin sebentar lagi tubuhnya juga rebah.
Kerana hati semakin gundah. Sebab kereta Pak Long dah buat masalah!
Waaa... Tidur R&R la aku malam niii...
padan muka ain.. sombong lg.. kan dh terkena..
ReplyDeleteSalam, novel ni akan ada versi cetak x?
ReplyDeleteSalam, novel ni akan ada versi cetak x?
ReplyDeleteWaalaikumussalam Nurul
DeleteMasih dlm pembikinan
In syaa Allah... dah siap nnti akn submit utk penilaian
Moga2 ada rezeki dlm versi cetak
Mohon doakan ya...
tq... <3