“Awak tahu tak, bahaya naik teksi dalam waktu-waktu macam ni? Awak tak baca
surat khabar? Ke awak ni jenis duduk dalam gua? Tak tahu apa jadi kat dunia
ni?” Renungan Ian Zacry lurus memandang ke hadapan. Cuma sesekali dia menoleh
pada gadis yang duduk di bangku sebelah. “Jadi apa-apa kat awak tadi, macam
mana? Awak tu perempuan.”
Ain Sofea senyap tidak menyahut. Umur dah tua pun, kena ‘basuh’ seperti
budak remaja belasan tahun, gerutunya.
“Kehormatan perempuan ni umpama kaca tau! Sekali dah pecah, biar digam
semula, garis retaknya tetap ada. Sebab tu awak kena berhati-hati dengan orang
lelaki. Tak kira siapa sekalipun. Zaman ni, bapa rogol anak pun ada. Inikan
pula orang luar yang tak dikenali.”
Betul juga apa yang diberitahu oleh lelaki ini, desis benak Ain Sofea. Anak
mata menancap wajah Ian Zacry. Mencari keikhlasan dan kejujuran pada raut lelaki
itu. Menasihatkan orang bukan mainnnn... Lempang-lempung! Manalah tahu, dia
serupa juga dengan lelaki hidung belang di luar sana. Berhajat mahu mengambil
kesempatan ke atasnya.
Ian Zacry seolah-olah dapat membaca apa yang tertulis pada fikiran Ain
Sofea saat kerlingan menyinggahi muka gadis itu.
“Awak jangan risau. Niat saya baik. Kitakan dah jadi kawan. Sebagai seorang
kawan, saya tak mahu awak ditimpa masalah. Saya tengok, awak macam tak ambil
berat tentang keselamatan diri awak.”
Mamat sebelah ni, tak penat ke? Dari tadi membebel. Langsung
tak reti diam! Naik tuli telinganya mendengar Ian Zacry berceramah. Baru lima
minit duduk di dalam kereta ini, tetapi rasa sudah lima puluh minit. Mujur juga
hendak sampai di rumah Mak Longnya. Jika tidak, boleh bernanah telinga.
“Traffic light depan ni, awak
masuk simpang kanan. Lepas tu awak ambil simpang kiri pertama dan simpang kanan
kedua,” beritahu Ain Sofea. Semua bebelan Ian Zacry tadi hanya seperti angin
yang bertiup di cuping telinganya. Sepatah pun tidak dibalas. Dia cuma berkata hanya
untuk menunjuk arah jalan ke taman perumahan tempat tinggalnya saja.
“Awak ni, dari tadi saya nasihatkan awak. Tapi awak buat tak peduli. Saya
ni, risaukan awakkk...” Gadis di sisinya dikerling lagi. Memang bangsa manusia
tak ada perasaan betul minah ni. Kita
dah naik berbuih mulut bercakap, dia boleh senyap tidak membalas, getus Ian
Zacry.
“Kenapa awak perlu risau pasal saya?” Sisi wajah jejaka tampan itu dipandang.
“Awak kan kawan saya?”
“Sejak bila?!” pangkas Ain Sofea. Sudah dua kali lelaki ini mengulangi
baris ayat itu. Awak kan kawan saya? Heh!
“Siang tadi. Awal kan dah damaikan kita. Takkan awak lupa?”
Laju gadis itu menelan air liur. Genggaman Ian Zacry pada jari-jemarinya
kembali terasa. Maka pipi pun merah tiba-tiba. Rasa gugup tak semena-mena.
Segera pandangan dibuang keluar tingkap.
“Berhenti! Berhenti! Berhenti!” Ain Sofea menjerit.
Pantas kaki Ian Zacry menekan brek. Serentak tubuhnya terdorong ke hadapan.
Ain Sofea juga begitu. Spontan tangan gadis itu menahan pada papan pemuka.
“Awak ni nak bunuh saya ke apa?” Tapak tangan Ain Sofea beralih pula ke
dada dan mengusap laju di situ. Bagai hendak tercampak jantungnya.
“Awak tu yang tiba-tiba memekik suruh berhenti kenapa?”
“Saya minta awak berhenti sebab dah sampai rumah Mak Long saya.”
“Kok ya pun, tak payahlah awak menjerit sampai macam tu sekali,” bidas Ian
Zacry.
“Saya takut awak terlepas simpang rumah Mak Long saya.”
Cepat Ian Zacry menoleh ke kanan dan ke kiri. “Mana rumah Mak Long awak?”
“Kena masuk simpang tu...” Telunjuk Ain Sofea terarah pada sebuah simpang
kiri di hadapan mereka.
Lantas Ian Zacry menggerakkan semula BMW 316i miliknya.
“Awak nak ke mana?” Ain Sofea memandang pelik. “Orang suruh dia berhenti,
yang berjalan ni buat apa?”
“Nak hantar awak sampai rumahlah!”
“Eh jangan jangan jangan. Tak boleh!”
“Apa pasal tak boleh pula?”
“Awak nak mati kena parang dengan Mak Long saya? Kalau awak saja yang kena
tak apa. Nanti dengan saya, saya Mak Long pelangkung!” Tanpa berlengah pintu
ditolak untuk melangkah keluar biarpun kereta itu masih bergerak perlahan.
Melihat tindakan Ain Sofea, Ian Zacry memberhentikan keretanya seraya
menggeleng kepala. “Saya takut Mak Long awak parangkan saya bukan pasal hantar
awak balik. Tapi pasal dah buat anak buah dia ni cedera. Gila ke apa awak ni?
Kereta tengah bergerak terjah keluar.”
Gadis itu buat tidak kisah teguran Ian Zacry. Sebelum pintu ditutup, Ain
Sofea menundukkan tubuhnya. “Terima kasih sebab awak sudi tolong hantar saya
balik.”
“Masuklahhh... Simpang tu kan jauh lagi? Saya hantar sampai rumah awak,”
pujuk Ian Zacry.
Ain Sofea melepaskan nafas deras. Degil betul mamat ni. Dia tak kenal lagi Mak Long macam mana. Kena ligan nanti,
tak cukup tanah berlari baru tahu. Namun, takkan nak burukkan mak saudara
sendiri pada lelaki ini. Tak baik buat begitu. Buruk-buruk pun perangai Mak
Long, Mak Long tetap sebahagian dari darah dagingnya.
“Saya ni, kekasih awak ke, yang awak nak bersusah payah untuk saya? Beria-ia
pula awak risau pasal saya.” Hah, ambil kau selepuk!
Berubah wajah Ian Zacry.
“Ke awak memang cuba nak main kayu tiga? Saya tak mahu jadi kekasih gelap
awak tau! Mati saya kena ganyang dek minah
rambut karat tu nanti.” Bagi lagi sebiji.
“Awak ni tak tahu nak bezakan ke?” Ian Zacry terasa berbahang pada muka. Sudahlah
hati mula celaru antara Tengku Ellisa dan Ain Sofea. Perasaan dah jadi keliru
antara cintakan Tengku Ellisa dan sukakan Ain Sofea. Minah ni pula, sesedap mulut memerli dia. Ke gadis itu sudah mula
dapat membaca apa yang ada di dalam kepalanya?
“Bezakan apa?”
“Membezakan antara awak dan dia. Dia kekasih saya. Awak tu kawan saya.
Jangan nak perasanlah!” bidas Ian Zacry cuba melindungi tunas yang mula tumbuh
di dalam dada.
“Kalau macam tu, tak payah sibuk-sibuk nak hantar saya sampai rumah! Awak
tu lelaki. Saya ni perempuan. Kita hanya sekadar kawan kan? Tak lebih dari itu.
Jadi, tak manis kalau jiran-jiran saya nampak. Saya kena jaga nama baik serta maruah
saya dan Mak Long saya.” Entah kenapa hati terasa sedikit tercuit dengan kenyataan
Ian Zacry sebentar tadi.
“Jangan awak berani-berani mengekor belakang saya pula. Pandailah saya jaga
keselamatan saya.” Ain Sofea memberi amaran. Pintu kereta lantas ditutup kasar dan
beredar dari situ. Dalam dada ada rasa yang terbuku. Apakah itu? Cemburu?
Cemburukan siapa? Antara si mata biru dan minah
rambut karat tu? Jawapannya... dia tidak tahu.
Ian Zacry di dalam kereta terus memerhati gadis itu bersama rasa keliru.
Keliru dengan hati dan perasaan sendiri. Serta keliru dengan reaksi Ain Sofea
yang tiba-tiba melenting tak tentu pasal tadi.
******
Setibanya Ain Sofea di rumah Puan Zaiton, Mak Longnya itu sudahpun menunggu
di beranda. Duduk pada kerusi di ruang santai dengan muka keruh berkedut
seribu.
“Kamu merambu ke mana lambat sangat balik ni Ain?!”
Belum sempat pintu pagar dibuka, Ain Sofea disergah begitu rupa.
“Kau nak jadi apa?!” lengking Puan Zaiton lagi.
“Komuter rosak mak long,” balas gadis itu mendatar. Mujur juga, Ian Zacry
tidak menghantarnya hingga ke depan rumah. Jika tidak, sahih mereka diparang
oleh Mak Long. Selepas mengunci pagar, Ain Sofea menuju ke rak kasut.
“Macam mana dengan tanah tu?” soal Puan Zaiton tanpa bertangguh. Ain Sofea
yang sedang menanggal kasut ditancap tepat.
Perlahan Ain Sofea mengeluh. Lelah bekerja masih bersisa, Mak Long sudah
menerjahnya dengan soalan itu. Terasa berat mulut ingin menjawab. Dia percaya,
bukannya Mak Long tidak tahu. Tentu Naqiuddin telah menelefon dan memaklumkan
kepada ibu saudara ini.
“Takkan mak long tak tahu?” Ain Sofea membalas dengan soalan juga. Acuh
tidak acuh saja. Anak mata hanya singgah seketika pada wajah Mak Longnya
sebelum kaki menghampiri pintu gelangsar.
“Eh eh kau ni Ain?! Aku tanya elok-elok. Jangan kau cari pasal pula dengan
aku.” Suara Puan Zaiton semakin meninggi.
“Cari pasal apa pula mak longgg...? Ain ni penat baru balik kerja. Tak ada sebab
Ain nak cari pasal pula dengan mak long,” balas Ain Sofea sedikit sinis. Kaki
terus melangkah memasuki rumah. Perasaannya ketika ini sudahlah tidak menentu.
Yang Mak Long ni pula, bikin dada bertambah sebu.
“Kau berhenti dekat situ Ain! Aku ni mak long kau. Hormatlah sikit. Jangan
kurang ajar,” bantai Puan Zaiton yang mula menyinga.
Ain Sofea mematikan langkahnya dan menoleh.
“Ain bukan nak kurang ajar, mak long. Ain tahu siapa mak long tu pada Ain.
Selama ni, Ain hormatkan mak long. Apa mak long cakap semua Ain ikut. Mak long
suruh Ain tinggal dengan mak long, Ain patuh. Sampaikan Ain sanggup tinggalkan
mak di kampung semata-mata menurut kehendak mak long. Mak long suruh Ain kerja
kilang, Ain tak bantah. Mak long suruh Ain kerja part-time, walaupun Ain penat, Ain tak pernah cakap apa-apa. Makan,
minum, pakai mak long Ain tolong. Apa lagi yang mak long tak puas hati?” Entah
dari mana datangnya keberanian untuk berkata-kata malam ini. Tidak pernah dia
begini. Selalunya kalau Mak Long mengangguk, angguklah dia. Sekiranya Mak Long
menggeleng, gelenglah dia. Mungkin kerana dia sudah tidak tahan lagi
diperkutak-katikkan oleh Mak Long anak-beranak. Dah tak sanggup lagi ditindas.
“Kurang ajar punya budak! Aku tanya kau pasal tanah tu saja. Yang kau
melalut-lalut ni kenapa? Kau balik kampung semalam, ini ke yang mak kau ajar?
Mak kau yang suruh kau cakap macam ni dekat aku?” lengking Puan Zaiton semakin
nyaring.
Ain Sofea memicit kepala yang mula rasa berdenyut. Diusap mukanya dengan
kedua telapak tangan. Ditambak rasa sabar dalam hati. Dibisikkan kepada diri
sendiri bahawa seburuk manapun wanita ini, Mak Long tetap kakak kepada ibunya.
Wajib dihormati. Jika tidak, nista atas sikap kurang ajar dia akan terpalit sama
pada ibunya. Ibunya akan dituduh tidak pandai mendidik anak. Sedangkan, dia tidak
pernah diasuh menjadi seorang gadis yang kurang adab. Dia sudah dewasa. Ada
hati dan perasan. Sampai bila dia mampu bertahan meladeni kerenah Mak Long ini?
Nafas disedut dalam-dalam dan dihembus perlahan. Perasaan ditenangkan
sebelum kembali membalas kata-kata Mak Longnya.
“Mak long, apa yang Ain cakapkan tadi, tak ada kena-mengena dengan mak. Ain
sekadar meluahkan apa yang Ain rasa. Kalau pasal tanah tu, Ain rasa mak long
tentu dah tahu. Abang Naqi dah beri tahu mak long kan?”
“Ya, memang aku dah tahu. Yang aku nak tahu bila mak kamu nak jual tanah
tu. Naqi nak pakai duit cepat.” Sedikit kendur suara Puan Zaiton tetapi masih
lagi bernada tinggi.
“Mak long tunggu sajalahhh... Mak dah uruskan dengan Pak Cik Seman. Seminggu
dua lagi tahulah apa ceritanya.”
“Berapa ekar mak kamu nak jual?”
“Seekar.” Sepatah Ain Sofea membalas.
“Seekar saja? Mana cukup. Yuran Naqi saja dah berbelas ribu. Duit untuk
buat projek belajar dia lagi. Duit belanja lagi,” cantas Puan Zaiton.
“Cukuplah tu mak long. Simpanlah sikit tanah tu. Kalau habis dijual apa
yang tinggal? Manalah tahu lain kali abang Naqi nak sambung belajar semula,
boleh mak jual tanah tu lagi,” perli Ain Sofea sebelum melangkah masuk. Semakin
lama melihat muka cemburut Mak Long, bertambah sakit hatinya.
“Ain! Ain! Kau nak pergi mana? Aku tak habis cakap lagi ni!”
Tidak dipedulikan laungan Mak Longnya itu. Kaki terus melangkah ke dalam
rumah. Ketika melintasi ruang tamu, Ain Sofea menyapa lemah suami Mak Longnya yang
sedang duduk pada kerusi malas di hadapan televisyen.
“Pak long... Ain tumpang lalu ya?”
Encik Fahmi cuma mengangguk sedikit membalas sapaan anak buah isterinya itu.
Kasihan Encik Fahmi dapat isteri serupa Puan Zaiton. Sedangkan Ain Sofea pun
asyik ditempik saja, inikan pula suaminya. Encik Fahmi yang mengidap angin
ahmar sentiasa diherdik dengan sumpah seranah. Bagi Puan Zaiton, suaminya telah
banyak menyusahkan dia. Sejak terlantar tidak bergerak sebelah badan, Encik
Fahmi tidak mampu lagi bekerja. Itulah sebab Puan Zaiton menganggap suaminya
tiada guna. Mujur juga Encik Fahmi bekas kakitangan kerajaan. Penerima pencen
bulanan. Jika tidak, harus Encik Fahmi sudah dicampak ke tepi jalan.
Usai membersihkan diri, Ain Sofea memerap di dalam biliknya di bahagian
belakang rumah teres tiga bilik itu. Biarpun perut hebat berkeroncong, ditahan
sahaja. Tak mengapalah menahan lapar daripada makan kata nista Mak Long. Mendengar
suara Mak Long yang berkicau riuh di dapur, seleranya jadi tumpul.
Mujur juga perut sudah beralas sedikit. Ketika makan bersama Ian Zacry dan
Awal petang tadi, dia hanya mampu menjamah tidak sampai separuh dari potongan
pizzanya. Tak boleh hendak menelan. Pizza yang dikunyah tersekat-sekat masuk ke
dalam rengkung. Macam nak tercekik rasanya dipanah oleh pandangan si mata biru.
Tambahan dia asyik membalas soalan Awal saja. Bila masa nak menjamah?
Tubuh direbahkan pada tilam. Selimut ditarik menutupi sebahagian dari
badan. Kedua tangan pula dialaskan pada kepala. Dari celah lubang kaki pintu,
sayup-sayup kedengaran suara Mak Long merungut. Tidak tahu apa buah butir yang
dibisingkan.
Ain Sofea mendesah perlahan. Kalaulah dia ada peluang dan alasan, akan ditinggalkan
Mak Long dan rumah ini. Terasa menyesal menuruti kata-kata Mak Long dahulu.
Elok-elok tinggal di kampung, Mak Long berkeras mahu dia tinggal di bandar. Bermacam-macam
hujah Mak Long bentang semata-mata mahu membuktikan betapa bagus dan baiknya jika
dia tinggal di bandar.
“Selama kamu tinggal di kampung ni, apa yang kamu dapat? Dah lama kamu bekerja
jadi kerani di pejabat Felcra tu, berapa sen gaji kamu naik? Kamu tolong Pak
Seman dekat kedai runcit tu pun, berapa yang kamu dapat? Tak banyak manaaa...”
“Ain ni belajar tak tinggi mak long.”
“Memanglah kamu belajar tak tinggi. Tapiii... kalau kamu tinggal dengan mak
long di bandar, kamu boleh kerja kilang. Kerja kilang sekarang ni, loaded! Boleh buat duit. Gaji banyak cecah
ribu-ribu tiap-tiap bulan. Lagi rajin kamu kerja, lagi banyak kamu dapat. Boleh
kamu tolong mak kamu ni. Tak boleh harapkan hasil kebun kelapa sawit tu saja.”
“Hasil kebun tu cukuplah untuk kami berdua mak long.”
“Habis tu mak long ni, macam mana? Siapa nak tolong mak long? Naqi masih
belajar lagi. Dia pun nak pakai banyak duit. Mak long ni tak boleh bekerja. Kena
jaga Pak Long kamu tu. Pada siapa lagi mak long nak minta tolong?”
“Habis tu, mak long nak Ain tolong mak long?”
“Yalah! Siapa lagi yang boleh tolong?”
Tak cukup dengan dia, Mak Long desak pula ibunya.
“Kamu tu Aini, suruh anak kamu ni ikut aku balik bandar. Cerah masa depan
dia dekat bandar tu. Di sana banyak peluang. Cuma mahu dengan tidak, rajin
dengan malas saja. Nanti yang senang, kamu juga.”
Hujung-hujung, ibu dia termakan juga dengan kata-kata Mak Long itu.
Akhirnya sekarang, dia pula yang kena ‘makan’. ‘Dimakan’ oleh Mak Long supaya
hidup Mak Long sentiasa ‘kenyang’ dengan hasil titik peluh dan keringatnya.
Jika diikutkan, memang dia dan ibunya sudah banyak berkorban untuk Mak
Long. Bukan duit sahaja, malahan cita-citanya juga. Kerana mahu memberi laluan
kepada Naqiuddin belajar, dia kuburkan hasrat mahu ke menara gading. Kalau diukur
kecerdikannya, dia sebenarnya lebih pandai dari Naqiuddin. Disebabkan sayangnya
kepada lelaki itu, dia rela beralah. Bukan itu saja, dia sanggup pula berhabis
duit menampung semua keperluan Naqiuddin di universiti.
Bila difikir-fikirkan balik layanan Mak Long dan Naqiuddin kepadanya, rasa
tak berbaloi semua pengorbanan yang dilakukan selama ini. Apa yang diterima,
tak sepadan dengan apa yang telah diberikan. Bodoh sungguh dirinya.
Kali ini Ain Sofea nekad. Jangan dia dapat saja alasan untuk meninggalkan
rumah ini. Sekiranya ada, tanpa bertangguh dia akan keluar dari sini. Selepas
itu, pandai-pandailah Mak Long dan Naqiuddin nak hidup. Biarlah mereka berusaha
cari duit sendiri. Daripada menyenangkan orang, lebih baiklah dia menyenangkan
ibunya. Sudah sekian lama ibunya menanggung susah. Sampai bila ibunya harus
bekerja kuat? Umur bukan semakin muda. Tenaga bukan selamanya remaja.
Gadis itu mengeluh perlahan. Lagi dia berfikir tentang Mak Long anak-beranak,
semakin sakit hatinya. Kenapalah orang yang punya pertalian darah dengannya,
sanggup buat dia derita? Orang yang tidak ada kena-mengena pula yang ambil berat
tentang dia.
Sekali lagi Ain Sofea mengeluh. Teringatkan Ian Zacry, jantung mula bergegar.
Tindakan lelaki itu telah menyentuh hatinya. Walaupun baru mengenalinya, Ian Zacry
sudah ambil berat akan dia. Kesah tentang keselamatannya. Sedangkan Naqi? Dia balik
lewat malam jalan kaki pun, Naqi tak pernah peduli.
kesian Ain dan ibu nyer. Mak long ni pun cam mak tiri.. singa bandar. Bestnyer kalau Ian dapat selamatkan Ain dari rumah mak long dia
ReplyDelete