Total Pageviews

Friday, August 7, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 14



“Kenapa aku nampak kau lain macam sangat hari ni?” Dari atas kepala hingga ke kaki Rozaini menilik Azizah.
“Lain macam mana?” Azizah faham soalan Rozaini itu, tetapi dia sengaja buat-buat tak faham. Rozaini temannya dari kecil. Sahabat sejati, sejiwa dan seraganya. Semua tentang dia, luar dan dalam Rozaini tahu.  Sikit saja dia berubah, Rozaini dapat menghidu. Tak boleh sorok celah mana pun.
“Ni! Apasal nampak lain sangat.” Telunjuk Rozaini melayang-layang di depan mukanya sendiri. “Ceria semacam. Sekejap senyum, sekejap tersengih. Dah serupa orang tengah bercinta.”
Eh! Nampak sangat ke? Azizah telan air liur. Cepat dia kawal riak mukanya. Tidak mahu Rozaini terus meneka. Nanti berpuluh-puluh soalan pula diterjah kepadanya. Takut nanti tak terjawab saja. Lagi satu, cuping telinga dia ni belum cukup tebal untuk menghadam setiap kata-kata Rozaini yang tentunya tak akan habis-habis mengusik dia. Buat masa sekarang, dia tak mahu Rozaini tahu tentang Iskandar.
“Apa, aku senyum pun salah ke?”
“Memanglah senyum tu tak salah..., tapi senyum kau tu macam ada makna. Sepanjang yang aku ingat, dah lama muka kau tak berseri-seri macam ni. Ini mesti ada apa-apa ni?”
Cepat Azizah memangkas. “Eh! Mana ada apa-apa. Aku..., aku biasa saja. Mata kau tu yang dah kero agaknya.”
Rozaini buntangkan mata. “Apa kau kata...?”
Sahabatnya itu sudah menghampiri bersama jari yang bersedia untuk menyerang. Kalaulah hinggap ke badan sepit ketam Rozaini tu, harus terbit darah di kulitnya.
“Tak, tak, tak... Kaulah kawan aku yang paling cantik.” Azizah angkat kedua belah tangan tanda mengalah.
“Jom aku belanja kau sarapan.” Tangan Rozaini yang ingin mencubitnya tadi segera ditarik. Lalu diheret ke muka pintu.
Wei! Tunggulah aku nak mandi dulu. Busuklah bau badan aku ni.” Rozaini menarik tangannya semula.
“Busuk apa bendanya? Kau kan kerja dalam air-cond. Berpeluh pun tidak.”
“Tak busuk kata kau? Meh sini, bau ketiak aku ni.” Rozaini mengangkat tinggi lengannya dan dihala kepada Azizah.
Ceh! Pengotor la kau ni Zai. Tak ada kerja aku nak cium bau ketiak kau tu.”
“Tak nak pula. Tadi kata tak busuk. Badan aku, aku tau la busuk ke tidak. Kau tunggu sekejap aku nak mandi.”
“Ketiak bau bangla, ada hati nak suruh aku cium.”
Rozaini ketawa besar ketika melangkahi tangga.
“Bau bangla nilah yang buat Idham tergila-gilakan aku tau! Sehari tak hidu sampai termimpi-mimpi dia.” Rozaini melawak.
Sayup-sayup dia mendengar suara Rozaini itu dari tingkat atas. Azizah tersenyum. Memang Rozainilah satu-satunya insan yang selalu menggembirakannya selama dia berduka ini. Sekarang, dia sudah ada Iskandar. Iskandar yang bakal menceriakan dan mewarnai kisah hidupnya.
Iskandar... nama itu terbesit lagi dalam hati. Bersama rasa yang semakin mekar mewangi.

Thursday, August 6, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 13



Memang betul seperti yang dikatakan oleh Iskandar. Dia perlu meluahkan apa yang dirasanya selama ini. Selepas menceritakan sebahagian daripada kisahnya dan Aziz kepada Iskandar, tengkujuh yang membadai hatinya terasa sedikit reda. Walaupun renyainya masih bersisa.
Selama ini, dia enggan melepaskan kenangannya bersama Aziz. Sebab itulah dia terlalu sukar melupakan Aziz. Bertahun dia simpan rasa bersalahnya kepada Aziz. Kerana itulah dia begitu susah melupakan apa yang telah terjadi.
“Iskandar...”
Perlahan Azizah membisikkan nama itu. Lelaki yang telah menyedarkannya. Yang telah membuka mata hatinya. Lelaki yang telah berjaya menghilangkan awan mendung dalam hidupnya. Sudah terlalu lama dia berduka. Kini sudah tiba masanya untuk dia menghapuskan semua lara. Dan kemunculan Iskandarlah yang menjadi punca.
Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Iskandar. Walaupun berat, dia harus terima hakikat, antara dia dan Aziz sudah jadi sejarah. Kisah mereka telah lama berlalu. Dia perlu belajar untuk melupakan semua itu. Dan sekali gus mula belajar menerima Iskandar.
“Iskandar...”
Sekali lagi nama lelaki itu meniti di bibirnya. Kali ini disertai seulas senyuman manis. Senyuman yang sudah begitu lama tidak diukirkan demi seorang lelaki. Aneh sungguh hati ini. Memang sukar ditebak. Pada awalnya dia begitu membenci Iskandar. Mahu menolak Iskandar. Tidak dapat menerima Iskandar tetapi kini, hanya sesaat Allah SWT palingkan hatinya. Tanpa dipaksa Iskandar mula melekat dalam hatinya walaupun baru dua hari Iskandar bersamanya.
Selepas berfikir, akhirnya Azizah memutuskan untuk tidak menceritakan lagi tentang Aziz kepada Iskandar. Tiada faedahnya Iskandar tahu penghujung cerita sedih antara dia dan Aziz, sedangkan dia bakal mencipta cerita bahagia bersama Iskandar. Dan dia juga tidak lagi mahu tahu dari mana Iskandar mengetahui kisah dia dan Aziz. Apabila hatinya sudah dibuka untuk Iskandar, semua itu tidak penting lagi. Tiada sebab untuk mengenang kisah duka, ketika mereka sedang cuba melakar momen indah bersama.
Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata lelaki itu tadi. Tutur yang kedengaran benar-benar ikhlas.
“Saya muncul bukan untuk menggantikan tempat Aziz. Saya hadir untuk buatkan awak lupa tentang Aziz. Saya ingin bahagiakan awak, Zizah. Izinkan saya.”
Bait-bait itu amat menyentuh hati perempuannya. Kuasa Allah SWT itu maha besar. Tanpa perlukan alasan, jikalau DIA sudah menetapkan inilah jodohnya, sedetik itu juga hatinya terbuka untuk terima Iskandar. Dia yakin, dia sudah bersedia untuk mengenali keikhlasan hati dan perasaan lelaki itu. Bukannya menilai kesempurnaan luaran Iskandar, seperti Iskandar yang tidak menilai luaran dia.
Iskandar perlu tahu keputusan yang telah dia ambil ini. Segera Azizah mencapai telefon bimbit di atas meja sisi. Nombor pada paparan senarai pemanggil yang terakhir diterima oleh telefonnya, disimpan di dalam daftar nombor telefon, dengan meletakkan nama ‘Matahariku’ sebagai nama pengenalan kepada nombor telefon Iskandar.
Kenapa ‘Matahariku’?
Bukankah Iskandar seperti matahari kepadanya? Matahari yang menyinari hatinya yang telah lama mendung. Matahari yang telah mengusir hujan dalam hatinya. Matahari yang membawa musim bunga dalam hatinya. Sekali lagi bibirnya tersenyum bahagia. Setelah selesai, Azizah mula menaip mesej.
Krn awak sudi trima saya yg x smpurna ni, & awak sanggup kita jd sprti pinang yg dibelah 2 tp x sama rata, saya akn blajar trima awak dlm hidup saya
Selepas membaca sekali lalu ayat yang ditaip itu, simbol penghantaran mesej ditekan. Dia menanti seketika. Mengharap Iskandar membalasnya. Tidak lama menanti, telefonnya mengeluarkan bunyi menandakan ada mesej yang diterima.
Yahooo... Trima kasih. Inilah brita yg plg gembira buat saya. Jgn risau, kita akn jd pasangan yg spadan & secocok. Blh jd lbh dr isi dan kuku. Trima kasih, yahoo...
Dia senyum. Tangan menaip lagi untuk membalas mesej itu.
Jgn nak suka sgtlah! Saya baru nak bljar trima awak. Blum lagi 100% confirm trima awak tau!
Ikon penghantaran mesej di tekan.
Saya akn pastikan awak 100% trima saya. Saya yakin kita akn serasi. Trima kasih sekali lg krn buka hati awak utk saya. Trima kasih sayang. Saya tgah busy, nnti kita jumpa okey. Luv U...
Tidak pula dia rasa nak pengsan apabila Iskandar memanggil dia sayang. Tidak juga rasa marah bila lelaki itu ucap love you. Soal hati memang pelik.
Semakin lebar senyumannya sebaik sahaja dia usai membaca pesanan Iskandar itu. Tanpa sedar, skrin telefon dikucup sekali sebelum diletakkan semula di atas muka meja. Selepas sekian lama, hatinya tidak pernah seteruja ini. Bahagia benar rasanya. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan pada tilam. Anak mata mula merenung siling.
 “Aziz...” Dalam waktu dia merasa bahagia ini, nama lelaki itu meniti di bibirnya. Bayangan wajah Aziz ketika remaja muncul di layar mata. Peristiwa yang terjadi turut tergambar di benaknya. Biarlah ini menjadi kali terakhir dia mengingati nama Aziz dan juga kejadian sedih itu. Selepas ini dia akan lupakan semuanya. Akan dibuang jauh segalanya. Dia mahu hidup bahagia. Itu tekadnya.

Wednesday, August 5, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 12



Air mata yang semakin laju, galak diseka dengan sapu tangan milik Iskandar. Hampir lembab sapu tangan tersebut.
“Saya tak tahu kenapa masa tu saya rasa teruja sangat. Saya rasa seronok bila dapat surat tu. Dan kerana surat tu juga, saya tengking Aziz.” Hingus yang meleleh dikesat juga pada kain kecil itu.
“Hanya kerana surat tu awak dan Aziz berpisah?” Iskandar kerut kening.
Azizah geleng kepala.
“Surat itu hanya detik permulaan kepada...” Kata-kata Azizah terhenti apabila telefon bimbit Iskandar berbunyi galak. Telefon itu bergetar kuat di atas simen, serancak lagu Mi Mi Mi nyanyian Serebro yang dijadikan nada deringnya.
Azizah ambil telefon itu dari tempat di mana dia melonggokkan barang-barang yang diberikan oleh Iskandar tadi. Sebelum dihulurkan kepada Iskandar, sempat juga mata mengerling skrin telefon. Manalah tahu, kot-kot marka Iskandar pula yang telefon. Sah-sah Iskandar terkantoi dah ada girlfriend. Cepat-cepat Azizah membaca tulisan yang muncul pada skrin itu.
Salam Spec Hosp? Apa tu? Ada ke perempuan nama macam tu? Serupa nama orang Perancis pun ada juga. Ke marka dia ni mat saleh? Tinggal lama dekat oversea, tentulah ada minah mat saleh, dalam hati Azizah terbesit rasa cemburu.
“Terima kasih.” Iskandar sambut telefon itu dan dilekapkan pada cupingnya.
“Helo! Waalaikumussalam. Ya Diba?... Okey, saya on the way.”
Dah Diba pula namanya?
Aras meter cemburu bertambah setakuk lagi. Dengan mata yang masih berkaca-kaca Azizah memandang kepada Iskandar. Lelaki itu sudah berdiri. Kelihatan amat tergesa-gesa sekali dan bersedia untuk beredar.
“Saya terpaksa pergi dulu Zizah. Saya ada emergency case.”
Azizah turut bangun.
“Awak nak pergi mana?”
“Saya terpaksa masuk kerja awal.” Iskandar sudah berada di sisi keretanya.
“Tapi awak belum cerita lagi.”
“Awak pun belum habis cerita lagi. Nanti kita sambung. Saya telefon awak.” Terkocoh-kocoh Iskandar memasuki keretanya.
Bye sayang. Nanti saya telefon awak.”
Iskandar melambai kepadanya sebelum menutup pintu kereta. Dan kereta ‘hantam’ itu menderum hilang membelah samar malam.
Siapa Salam Spec Hosp tu? Diba tu siapa? Tergesa-gesa pula Iskandar pergi bila perempuan tu telefon. Penting sangat ke perempuan tu, hinggakan Iskandar sampai hati meninggalkan dia yang masih dalam keadaan bersedih ni? Cemburu semakin hebat memukul di perdu hatinya. Kenapa ada rasa cemburu? Kenapa nak buruk sangka kepada Iskandar? Kan Iskandar kata tadi dia terpaksa masuk kerja awal. Mungkin itu rakan sekerjanya. Azizah cuba menyedapkan hati. Otak mula keliru dengan perasaan sendiri. Lama juga dia berdiri di depan pintu pagar itu memikirkan tentang Iskandar.
Hmm... Masuklah. Malam pun dah makin sejuk. Kertas surat khabar yang dibentang di atas lantai dikutip.
Wait! Kunci kereta dan dompet Iskandar tertinggal!” Dia ambil kunci dan dompet itu.
“Habis tu tadi, dia pakai kunci apa start enjin kereta?”
Kemudian Azizah tepuk dahi sendiri.
“Alah Zizah... Apa ke bodoh sangat kau ni? Tentulah dia ada kunci spare!”
Hati tergerak pula mahu memeriksa dompet lelaki itu. Untuk apa? Azizah sendiri pun tidah tahu. Mungkin kerana rasa kasihan Iskandar pergi kerja tanpa wang saku. Mahunya kebulur mamat tu nanti. Dah la memandu tak ada lesen. Buatnya kena tahan polis, sia-sia saja autograf buku saman.
Perlahan-lahan dia membukanya.
“Kosong?! Ada business card saja. Mana mamat ni simpan duit, lesen dan IC dia hah? Patutlah aku mintak tadi, senang saja dia bagi. Rupanya tak ada isi dalam beg duit dia ni. Hantu betul Iskandar. Agaknya dia dah tahu kot aku nak mintak beg duit dia ni. Siot betul mamat tu.”
Dengan mulut yang masih becok merungut, Azizah melangkah menghampiri pintu jeriji. Ingin mengambil kunci pintu pagar untuk membawa masuk bekas brownies dan kopi yang ditinggalkan oleh Iskandar.

Tuesday, August 4, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 11



“Kenapa awak tak biarkan saya cuba dulu? Kenapa awak tak benarkan saya ada dalam hati awak? Saya muncul bukan untuk menggantikan tempat Aziz. Saya hadir untuk buat awak lupakan Aziz. Saya ingin bahagiakan awak, Zizah. Izinkan saya.”
Azizah diam. Otak bertelingkah. Hati bersoal jawab. Kenapa Iskandar terlalu memahami perasaannya? Memang itu yang dia rasakan sebenarnya. Terlalu sukar untuk membenarkan Iskandar menghuni hatinya kerana Aziz. Enggan menerima Iskandar disebabkan oleh Aziz. Air mata mula bergenangan.
Dengan suara yang ditahan, Azizah tuturkan kata-kata ini. “Awak terlalu sempurna Iskandar. Saya takut tersalah menilai kesempurnaan awak tu. Dulu, saya pernah buat silap. Saya terlalu memandang kepada kesempurnaan hingga sanggup melukakan hati Aziz. Tapi kesempurnaan itulah yang telah mengecewakan saya.”
Iskandar senyap agak lama. Mungkin sedang cuba memahami apa yang dia cuba sampaikan.
“Awak takut tersalah menilai kesempurnaan saya?”
Perlahan Azizah mengangguk.
“Awak takut terima saya kerana saya sempurna? Awak takut untuk lupakan Aziz kerana saya sempurna? Awak takut kesempurnaan saya ini akan mengecewakan awak?”
Azizah diam tidak membalas.
“Zizah..., kesempurnaan luaran takkan kekal. Apa yang awak lihat dengan mata kasar akan pudar. Yang perlu awak nilai, yang perlu awak lihat adalah keikhlasan hati dan perasaan saya kepada awak. Saya tidak menilai awak melalui lahirian awak. Yang saya lihat adalah hati awak. Saya mengenali awak sudah lama, Zizah. Dari kita kecik lagi. Awak jujur, kuat semangat, baik, tidak pernah memandang rendah kepada orang lain. Awak juga tak pandai berpura-pura. Sebab itu saya sukakan awak.”
Tersentuh hati dan nalurinya kala Iskandar menyusun patah kata itu. Semakin banyak kebaikan Iskandar dia lihat, semakin hatinya jadi tidak menentu.
“Apa yang jadi kepada awak dan Aziz sebenarnya?” Iskandar menyoal tiba-tiba.
Azizah menyambut renungan redup lelaki itu. Mata mereka bertatapan lama. Air mata yang mula mencemari pipi, disapu perlahan dengan tapak tangan. Segera Iskandar menghulurkan kepadanya sehelai sapu tangan.
“Saya tahu, awak tak pernah ceritakan kepada sesiapapun, apa yang telah terjadi antara awak dan Aziz. Bila awak tidak pernah bercerita, jadi awak tidak pernah meluahkan apa yang awak rasa selama ini. Sebab itulah awak terlalu susah nak lupakan apa yang berlaku. Awak susah nak lupakan Aziz. Awak juga susah nak terima kenyataan apa yang terjadi.”
Lelaki itu diam selepas itu.
“Zizah...”
Lembut suara Iskandar memanggilnya.
“Pandang saya.”
Perlahan-lahan Azizah panggung kepalanya melihat Iskandar.
“Saya tahu ianya susah, tapi awak kena terima hakikat. Kisah awak dan Aziz telah lama berlalu. Cara untuk awak mula belajar lupakan dia, adalah dengan meluahkan apa yang awak rasa. Bercerita, agar perit yang awak rasa tu reda. Zizah, awak cerita pada saya apa yang berlaku antara awak dan Aziz sampai awak sanggup sia-siakan usia awak ni.”
Pujuk lelaki itu bersama suara lembut. Pandangannya juga amat redup. Terkaku Azizah seketika. Suara lembut dan pandangan redup Iskandar itu, membuatkan dadanya berdebar pantas. Lama dia cuba menenangkan dirinya.
“Semuanya berpunca dari kehadiran seorang lelaki.” Azizah kesat sisa air mata dengan sapu tangan milik lelaki itu. Akhirnya dia akur dengan permintaan Iskandar.