Total Pageviews

Monday, April 25, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 14




Pantulan imej Ain Sofea pada cermin pandang belakang dikerling. Spontan Ian Zacry lepas keluh.
“Tak sampai hati pula tengok dia macam tu!” gumam jejaka itu. Pada matanya jelas tergambar kesedihan, ketakutan dan kerisauan di wajah Ain Sofea.
Ketika mahu beredar tadi, perutnya tiba-tiba saja memulas. Mungkin pukulan sambal belacan yang dimakan. Mana tidaknya, dihirup macam sup! Dia berhenti seketika dipinggir jalan. Berkira-kira perlu ke tandas ataupun tidak, kerana angin yang berputar dalam perut sekejap ada sekejap hilang. Apabila rasa semakin tidak tahan, dia segera buat pusingan U di hujung jalan keluar R&R.
Tiba di lot parkir, dia pelik melihat Ain Sofea termenung di luar kereta. Hati tertanya, gadis itu sedang menunggu siapa? Selepas memarkirkan semula keretanya di sebelah kereta Ain Sofea, mulut ringan mahu menyoal tetapi dia teringatkan amaran gadis itu. Sebab itulah dia buat tidak peduli tadi. Biarpun gadis itu memanggilnya berkali-kali. Lagipun, urusan perutnya ini lebih penting untuk dipenuhi.
Selepas keluar dari tandas, dia perasan Ain Sofea seperti berharap dia menyapanya. Sehabis kuat ditabahkan hati untuk tidak ambil kesah. Bukankah itu yang dipinta oleh Ain Sofea? Sekarang, seraut wajah mendung itu buat hatinya berbelah bahagi. Mahu dipatuhi atau diingkari kata-kata Ain Sofea tadi. Tentu ada perkara yang menimpa gadis itu. Sebab itu dia kelihatan bermuram durja begitu.
“Iannn... Takkan kau nak tinggalkan dia begitu saja?” tutur Ian Zacry kepada dirinya sendiri. “Kesian dia!”
Akhirnya dia kecundang. BMW dihentikan. Gear ditukar kepada undur dan mengerakkan keretanya  ke belakang menghampiri gadis itu semula.
“Tadi bukan main lagi awak. Sombong! Kerek sangat! Suruh saya buat-buat tak kenal awak. Bila saya buat macam tu, awak menangis pula. Kenapa?” Dihembur soalan itu sebaik dia berdiri di hadapan Ain Sofea.
Gadis itu panggung kepala. Air mata yang menitis dikesat dengan hujung jari. “Awak patah semula ni pasal nak tolong saya atau hanya nak menyakitkan hati saya?”
“Masih nak buat sombong lagi?”
Ain Sofea menekur tanah semula. Sedar akan kesilapannya berkata-kata.
“Saya tak berniat langsung nak menyakitkan hati awak. Saya cuma nak menyedarkan awak.”
Gadis itu menjeling.
“Itulahhh... Lain kali jangan suka cakap ikut sedap mulut saja. Kita tak tahu bila kita akan ditimpa kesusahan. Masa bila kita perlukan pertolongan.”
“Yalahhh... Saya minta maaf. Saya tahu, saya tak patut cakap macam tu kat awak.” Ain Sofea beralah. Sehabis daya dikawal lontaran suaranya supaya tidak tersedu-sedu.
“Sekarang ni, comfirm kita dah jadi kawan?”
“Buat masa sekarang ya! Sebab saya perlukan awak untuk tengok kereta saya ni.”
Ian Zacry mendengus kuat. Ada juga sombong bodohnya budak perempuan ni. “Ooo... Kereta awak ni rosak ya? Okeylah! Saya tak kenal awak. Saya pergi dulu.”
Ian Zacry berpusing seratus lapan puluh darjah membelakangkan Ain Sofea. Kaki diangkat lalu bergerak menuju ke keretanya.
Muka yang merah menahan tangis kini berubah pucat. Kalau Ian Zacry pergi, kepada siapa pula dia mahu minta bantuan? Mengalah sajalah Ain. Keadaan tengah darurat ni...
“Nak berkawan masa dia perlukan kita saja. Masa susah baru nampak orang. Tinggallah dekat situ! Silap haribulan, datang penyangak. Kena rompak. Lepas tu dicolek. Lagi malang dirogol pula. Habis rogol buang dalam semak. Baru padankan dengan muka,” omel  Ian Zacry sambil berlalu pergi. Sengaja dikuatkan nada suaranya.
Gadis itu menelan liur. Dalam kepala sedang membayangkan kata-kata Ian Zacry. Perut tak semena-mena jadi kecut. Dilihat jam pada pergelangan tangan. Waktu sudah semakin lewat petang. Kalau dia telefon Naqiuddin, rasa-rasanya sanggup tak lelaki itu datang ke R&R ini membantunya?
“Nak buat macam mana ni?” Ain Sofea semakin kalut. Belakang telinga digaru kasar. Akhirnya dia memberanikan diri memanggil lelaki itu. “Ian Zacry!”
Langkah terhenti. Pada bibir Ian Zacry terlorek sebuah senyuman. Koyak hingga melepasi pipi. Sebelum berpaling, dibetulkan duduk bajunya pada tubuh. Kolar jeket dilurut-lurut. Penuh tegap langkah diatur semula kepada gadis itu. Berjalan dengan membusungkan dada gaya seperti seorang adi wira yang gagah perkasa mahu menyelamatkan seorang mangsa. Ceh!
“Lain kaliii... jangan buat perangai bodoh sombong niii...” Ian Zacry membidas dalam nada sinikal ketika dia sudah berdiri semula di sisi gadis itu.
Ain Sofea tidak membalas. Mahukan pertolongan lelaki ini, terpaksalah dia bersabar. Tahan saja telinga. Dah mamat ni pesen mulut longkang, nak buat lagu mana? Kalau dia jenis orang yang panjang akal, memang takkan dipandang mamat serupa ini. Dia ni bangsa cepat panik, mudah cemas. Mati otak nak berfikir bila dah tak tentu arah begini.
“Saya minta maaf atas sikap saya tadi. Saya ni, bukan jenis yang senang terima orang sebagai kawan. Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya,” ucap Ain Sofea perlahan. Puas disabarkan hatinya kala terlihat senyuman sinis lelaki itu.
“Apa masalah kereta awak ni?” soal Ian Zacry setelah habis senyumnya. Tangan turut dicekak ke pinggang.
“Kereta Pak Long saya ni tiba-tiba tak boleh nak start enjin,” cerita Ain Sofea. Hati terkilan benar dengan cara Ian Zacry menyoalnya. Macam tak ikhlas saja bertanya.
“Apa yang rosak?”
“Kalau saya tahu apa yang rosak, saya boleh godek sendiri. Tak payah saya tebal muka minta tolong awak,” balas Ain Sofea dengan suara yang sedikit menderam. Geram. Terhapus rasa sedih apabila berhadapan dengan mamat peel menyakitkan hati ni.
“Kadang-kadang, ada juga orang yang tahu apa rosaknya tapi tak tahu nak betulkan,” sanggah Ian Zacry tidak mahu beralah. Tangan ditadah di hadapan Ain Sofea.
Faham akan makna perbuatan lelaki itu, kunci kereta lantas diberikan. Segera Ian Zacry membuka pintu kereta dan memasukkan kunci pada punat penghidup api palam pencucuh. Sekali cuba, tiada bunyi. Dua kali cuba, enjin senyap sunyi. Tiga kali cuba, tetap sepi. Langsung tiada menunjukkan tanda-tanda ada pembakaran petrol dalam enjin kereta.
“Ada kerosakan enjin agaknya. Kereta awak ni pun, dah uzur sangat. Ini dah jatuh hukum patut dihantar ke pusat pelupusan saja ni. Kalau ikut undang-undang, kereta ni dah tak boleh dipandu atas jalan raya lagi. Takut nanti jadi jammed. Panjang kereta bertunda mengikut buntut awak.”
“Amboi bahasa? Sesedap lidah dia saja nak bercakap? Ini bukan kereta sayalah! Ini kereta Pak Long saya,” cantas Ain Sofea.
“Patutlah antik sangat.” Ian Zacry senyum nipis. Terasa puas pula hatinya dapat menaikkan kemarahan gadis itu. Ian Zacry melangkah keluar dari perut kereta selepas menarik tombol pembuka bonet. Selepas bonet dibuka, segenap bahagian enjin dibelek. Colek sana. Colek sini. Itupun, dengan hujung telunjuk saja. Kemudian dia menopang kedua tangannya pada tepi dinding enjin sambil mata tidak berkelip melihat kepada enjin kereta yang penuh dengan debu.
“Kena panggil tow-truck nampaknya,” ujar Ian Zacry selepas itu.
“Kenapa nak panggil tow-truck pula? Awak tak boleh repair ke?” Tadi lagak dan gaya bukan main. Mengalahkan adi wira. Bercakap macam dia terror sangat. Kereta tak boleh hidup enjin pun tak reti nak repair?
“Saya nak repair? Ni, awak nampak tangan saya ni? Baju saya ni? Ish! Habis hitam nanti.”
Hah! Itulah diakan... Lelaki pesen urban macam ni. Memang mementingkan gaya. Tak serupa lelaki sejati langsung. Takut sangat tangan dan baju jadi kotor. Minyak saja kut... Nanti basuhlah!
“Lagipun saya, haram satu benda tak tahu dalam hal-hal automotif ni. Kita panggil tow-truck tarik pergi bengkel sajalah! Lagi senang cerita.”
Ceh! Tadi dia punyalah action, macam expert sangat. Buka bonet bagai. Colek sana sini. Konon-konon, kepakarannya tu di hujung jari saja. Tapi..., hampeh!
“Suka hatilah awak nak buat macam mana pun,” putus Ain Sofea. Sudah malas hendak bersanggah kata dengan lelaki bermata biru ini. Kalau dilayan, boleh hidap sakit jiwa dia. Lama-lama boleh gila juga.
“Saya nak ke tandas.” Lelaki itu lantas ditinggalkan. Pandai-pandailah Ian Zacry nak buat apa. Nak telefon syarikat tunda kereta yang mana. Dia pun, bukannya tahu nombor telefon mana-mana syarikat tunda ni.
“Aduhhh... Rabaklah poket aku bayar upah trak tunda nanti. Mahu makan beratus juga tu. Duit upah bengkel lagi. Silap haribulan, mahunya cecah ribu-ribu. Kereta Pak Long tu dahlah uzur sangat,” rungut gadis itu.
“Dekat siapa pula aku nak tuntut semula semua duit tu? Itu bukan kereta aku. Kalau kereta aku, berbaloilah berhabis wang banyak macam tu. Nak minta Abang Naqi ganti? Heh! Duit belanja dia pun aku yang bagi. Minta Mak Long bayar balik? Pun sama juga kesnya... Makan Mak Long pun aku yang suapkan. Yang pasti, Mak Long akan kata kereta tu rosak masa berada dalam tangan aku. Jadi, akulah yang kena keluarkan duit bayar kos repairnya. Boleh pitam aku macam ni,” gerutu Ain Sofea seraya merenung wajahnya di dalam cermin. “Apa punya malanggg... lah nasib?”
Selepas berada agak lama di dalam tandas, Ain Sofea keluar untuk mendapatkan semula Ian Zacry di petak pakir.
“Lamanya awak dalam toilet?” sergah Ian Zacry di tepi pintu tandas.
“Oi mak kau!”
Ian Zacry letus tawa.
“Awak sekodeng saya ke apa?”
“Heh! Tak ada kerja saya nak mengintai awak. Peliklah... Saya yang masuk kemudian pun dah selesai.”
Gadis itu sekadar menjeling sebagai balasan.
“Jomlah kita minum dulu sementara tunggu tow-truck sampai,” pelawa Ian Zacry kemudiannya. Jelingan Ain Sofea tidak dihiraukan. Dia mendahului gadis itu menuju ke deretan kedai makan.
Tanpa membantah Ain Sofea menurut saja. Rezeki jangan ditolak. Sementelah tekaknya memang terasa sangat kering. Manalah tahu, lepas ni nak beli air secawan pun dia tak mampu. Duit dah diperabih dek kereta Pak Long tu.
“Awak nak pergi mana sebenarnya?” Ringan mulut Ian Zacry menyoal mahu ambil tahu. Teh ais di dalam gelas dihirup sedikit. Terasa nyaman tekaknya.
“KL,” balas Ain Sofea ringkas. Wajah Ian Zacry yang kemerahan kerana kepanasan dipandang sekilas. Dicapai seketul pisang goreng di dalam piring. Dipatahkan sekerat lalu disumbat ke dalam mulut.
“Buat apa?” tanya Ian Zacry ingin tahu lebih lanjut.
Banyak tanya pula mamat ni? desis Ain Sofea. “Nak jumpa sepupu saya.”
Bila menyebut sahaja tentang Naqiuddin, pantas Ain Sofea teringat. Tentu sudah lama Naqiuddin menunggunya di tempat yang selalu mereka berjanji untuk bertemu. Muka jam pada pergelangan tangan dipandang. Sah! Dah terlewat. Sudah hampir dua jam. Jenuhlah Naqiuddin menanti. Bingkas Ain Sofea bangkit dari kerusi.
“Awak nak pergi mana?” Ian Zacry memandang pelik. Pantang duduk makan bersama, cepat saja gadis ini mahu cabut lari.
“Nak telefon sepupu saya. Tentu dia dah lama tunggu. Saya nak beritahu dia yang saya tak dapat pergi jumpa dia.”
“Awak tak ada handphone ke?”
Kaki terkaku dari melangkah.
Errr...” Tipu sunat tak mengapa untuk jaga aib sendiri. Takkan nak beritahu Ian Zacry yang telefon bimbitnya dah dikebas dek Mak Long? “Tertinggal dekat rumah!”
Penat dia curi-curi simpan duit berbulan-bulan untuk beli Nokia tu. Bukannya mahal pun. Cikai aje. Janji boleh buat panggilan dan hantar mesej sudahlah! Itupun Mak Long nak ambil apabila satu hari Mak Long ternampak telefon bimbit itu di atas katilnya.
“Nah!”
Ain Sofea angkat kening apabila Ian Zacry tiba-tiba menghulurkan telefon bimbitnya kepada dia.
“Guna handphone saya ni telefon sepupu awak tu,” ujar Ian Zacry. Semakin panjang tangannya dihulurkan kepada Ain Sofea.
Tanpa bersuara Ain Sofea duduk semula selepas telefon diambil dari tangan Ian Zacry. Nombor Naqiuddin yang sentiasa melekat dalam kepalanya segera didail. Talian senyap. Tiada nada panggilan. Beberapa saat kemudian hanya bunyi tut yang panjang kedengaran. Dia mencuba sekali lagi. Masih juga sama seperti tadi. Langsung tidak dapat dihubungi.
“Kenapa?”
“Tak dapat call,” adu Ain Sofea. Dia mengeluh selepas itu. Sah balik nanti kena bebel dengan Mak Long. Dan Naqiuddin akan memetir-metir dalam telefon. Mereka tu, bukannya nak faham apa masalah yang sedang dia hadapi ketika ini.
“Tak apa. Nanti awak cuba sekali lagi.”
Ain Sofea cuma angguk dan memulangkan semula telefon bimbit milik lelaki itu.
Tow-truck dah sampai,” beritahu Ian Zacry. Dari tempat duduknya dia melihat ada sebuah trak penunda sudah sampai di hujung sana. Tempat di mana kereta dia dan Ain Sofea terpakir.
Dara itu berpaling. Ingin melihat kebenarannya. Sesaat selepas itu, meluncur keluhan panjang dari mulutnya. Melihat sahaja trak tunda itu, bermacam-macam perkara muncul dalam kepala. Upah trak. Upah bengkel. Paling penting bagaimana dia hendak balik ke Seremban semula? Kereta Pak Long dia tu, entah hendak ditarik ke bengkel mana nanti? Berapa lama pula kereta tu nak tersadai dekat bengkel? Nak menghadap bebelan Mak Long lagi. Angin ribut Naqiuddin lagi. Aduh... pening kepala.
Wajah Ain Sofea yang kegusaran menarik minat anak mata Ian Zacry. Riak wajah Ain Sofea diperhati. Belas mula timbul dalam hati. Tentu ada perkara yang telah merunsingkan gadis ini. “Kenapa?”
Laju Ain Sofea geleng kepala. Dia tak perlukan simpati lelaki ini. Maka, tiada faedah meluahkan apa yang merunsingkannya.
“Jomlah!”
Perlahan bangku ditinggalkan mengekori jejak Ian Zacry.  
“Ah Chong, you tarik bawa pergi Europe Auto Garage hah!” arah Ian Zacry kepada pemandu trak tunda selepas usai kereta Nisan Sunny itu dibawa naik ke atas badan trak.
“Okey bos...” Pemuda Cina itu membalas. Dia memanjat masuk kepala trak dan menutup pintu.
You cakap sama Jamil nanti saya mari dia punya bengkel,” tambah Ian Zackry lagi.
Selepas pemuda Cina itu menayangkan ibu jarinya kepada Ian Zacry, trak tunda tersebut dipandu keluar dari hentian Nilai.
“Nak hantar dekat bengkel mana tu?” Mata Ain Sofea tidak lekang dari melihat trak tunda yang membawa pergi kereta Pak Longnya.
“Europe Auto Garage.” Ian Zacry mengulang sebut nama bengkel itu.
“Dekat mana tu?”
“Seksyen 6, Bandar Baru Bangi.”
“Jauhnya?!”
“Mana ada jauh? Exit tol Bangi berapa kilometer saja dari sini. Lagipun, bengkel tu memang tempat biasa saya hantar kereta saya,” jelas lelaki itu.
Servicenya pun bagus. Tip top. Saya gerenti kereta Pak Long awak tu boleh pecut macam Ferrari,” tokok si mata biru lagi.
Amboi! Statement? Tak beragak. Nissan Sunny klasik tu nak laju macam Ferrari? Cerita dogeng betul. Enjin mungkinlah boleh pecut. Takut body kereta tu saja yang melayang sekeping-sekeping nanti, gumam Ain Sofea dalam diam.
“Marilah kita pergi.” Ian Zacry melangkah melepasi Ain Sofea.
“Ke mana?” Gadis itu tayang muka kelabu. Galau di hatinya tadi pun masih belum hilang lagi. Sekarang ditambah rasa risau dengan ajakan Ian Zacry. Nak bawa dia ke mana? Merendek? Memang makan penyepaklah lelaki ni nanti.
“Balik rumah saya.”
“Hah?!” Ain Sofea buntang mata.
“Nak pergi mana lagi? Pergi bengkellahhh... Tengok apa yang rosak kereta antik Pak Long awak tu.”
Ceh! Buat lawak yang tak kelakar pula dia.
“Macam mana saya nak pergi?” Ain Sofea kerut dahi.
“Naik kereta sayalah cik kak oiii... Kalau awak nak pergi sendiri, awak nak naik apa? Awak tahu ke bengkel tu dekat mana?”
Laju Ain Sofea menggeleng kepala.
“Habis tu? Cepatlah! Nanti lambat sampai pula,” kerah Ian Zacry seraya menghampiri keretanya.
Ain Sofea menurut di belakang buntut tanpa banyak bicara. Di dalam kereta, masing-masing senyap sahaja. Ian Zacry memfokuskan seluruh perhatian kepada jalan raya. Ain Sofea pula melayan rasa. Dalam dada risau membukit. Tiada henti berfikir. Duit trak tunda, duit bengkel, kereta Pak Long, Mak Long, Naqiuddin, duit lima belas ribu dalam poket dia ni.
Duit lima belas ribu?!
Cepat Ain Sofea meraba poket seluarnya. Mujur masih ada lagi terselit di situ. Terlupa langsung tentang seratus lima puluh keping not seratus ringgit di dalam kedua belah poket seluarnya ini.
Hmm...” Si dara mengeluh perlahan. Nampaknya, sedikit dari duit ini terpaksalah dikorbankan untuk kereta Pak Long. Jawabnya, bertambah tak cukuplah duit yang Naqiuddin terima. Tentu bisingnya nanti tahap petala tujuh.
Alah... nanti gantilah! Keluarkan saja baki duit jual tanah tu. Apa yang lebih penting, macam mana aku nak hantar duit ni? Takkan nak bawa balik? Lepas tu esok lusa, pergi jumpa Abang Naqi semula? Lecehnya..., getus Ain Sofea. Sekali lagi dia mengeluh.
Ian Zacry mengerling saat telinganya menangkap bunyi keluhan yang kedua itu. Riak gelisah kembali terbias di wajah gadis tersebut. Apa sajalah yang difikirkan sampai mengeluh begitu?
“Awak kenapa?” soal Ian Zacry tidak dapat menahan lagi.
“Kenapa apa?” Ain Sofea memandang lelaki itu.
“Dari kita minum tadi muka awak ni asyik berkerut saja. Macam ada masalah. Mengeluh entah berapa banyak dah,” ujar Ian Zacry.
Anak mata tidak beralih dari melihat sisi Ian Zacry. Dalam kepala mula menyusun rancangan. Agak-agaknya mamat ni boleh tolong dia tak? “Kita ni nak pergi Bandar Baru Bangi kan?”
“Yalah.”
“Sebenarnya..., saya nak jumpa sepupu saya tu kat Bandar Baru Bangi,” jelas Ain Sofea. Pandangan diarahkan ke hadapan.
Aik! Tadi kata nak pergi KL?” Sekilas wajah Ain Sofea dipandang. Kemudian perhatian tertumpu semula kepada aliran kenderaan di atas jalan raya.
“Pada saya nak pergi Bangi ke, Subang ke, semuanya saya kata pergi KL saja. Janji jalannya mengarah ke Kuala Lumpur,” balas Ain Sofea.
“Awak ni masa sekolah tak belajar Geografi agaknya.”
Mulalah tu, nak buat mulut longkang campur jamban dia tu!
“Nak pergi Bangi tu, kalau ikut highway ni langsung tak masuk KL tau cik kak. Jangan katakan KL, tol Sungai Besi pun tak tempuh.” Ian Zacry menggeleng kepala. Nampak sangat tak pernah pergi KL budak perempuan ni.
“Tak kiralahhh...” Ain Sofea masamkan muka. Kalau bercakap tak pernah nak kalah mamat sorang ni.
“Sepupu awak tu kerja kat Bangi ke?” Ian Zacry mula menyiasat. “Patutnya, kalau setakat nak pergi Bangi, awak boleh naik komuter saja dari Seremban. Kan lagi senang macam tu? Tak payahlah pandu kereta uzur tu.”
Ewah Ewah... Bercakap macam dia tahu sangat masalah aku. Kalau boleh naik komuter, memang aku dah naik dah! Tak adalah nak susah-susahkan badan duk bergoncang pandu kereta Pak Long tu. “Encik Ian Zacry... Saya banyak hal nak diuruskan pagi tadi sebelum pergi KL.”
“Pergi Bangi...” Ian Zacry membetulkan penyataan gadis itu.
Ain Sofea buat tak kisah. Bangi ke, KL ke, pada dia sama saja.
“Lecehhh... Dari rumah saya naik komuter. Lepas tu turun Seremban. Selesai urusan naik komuter semula. Turun naik turun naik komuter aje. Awak ingat dekat ke saya kena jalan kaki? Lagipun, sepupu saya tu malas nak keluar jauh-jauh dari rumah sewa dia. Sebab tu, dia tunggu saya di restoran dekat dengan rumah sewa dia di seksyen 4 tu...,” berjela Ain Sofea memberikan penjelasan. Bukannya apa, dia mahu Ian Zacry faham apa masalah dia.
“Kalau macam tu, saya terus hantar awak jumpa sepupu awak tu. Nak tak?”
Eh, baik pula nak jadi driver?! Belum minta tolong lagi dah buat offer? “Tak menyusahkan awak ke?”
“Tak ada yang susahnya. Kita jumpa sepupu awak tu dulu. Lepas tu, baru kita pergi tengok kereta Pak Long awak,” putus Ian Zacry.
Tanpa banyak suara Ain Sofea angguk setuju. Orang dah sudi tu, jangan gatal mulut nak cakap itu ini. Buatnya lelaki ni berpaling hati, tak jadi, dia juga yang rugi.
“Sepupu awak kerja ke?” Ian Zacry menyoal semula soalan yang tidak dijawab oleh gadis itu tadi.
“Belajar lagi.”
“Dekat mana?”
“UKM.”
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki.”
Cepat Ian Zacry menoleh kepada Ain Sofea. “Takkan dating dengan sepupu sendiri kut.”
Kau orang agak-agak, mamat ni cemburu ke, atau sekadar bertanya?
“Saya nak hantar duit kepada dialah! Dia nak pakai duit untuk sambung belajar ambil Master.” Ian Zacry dijeling tajam. Itu tandanya dia tak suka dengan ayat yang dituturkan oleh lelaki itu sebentar tadi. Dating apa bendanya? Tak hingin haih! Si Naqi tu sekarang ni bukan lagi buah hati, tapi dah jadi macam kutu babi. Tanpa sedar duk melekap dekat dia. Hisap segala duitnya. Lepas ni, dia nak buang Si Naqi kutu babi tu.
“Sepupu awak yang nak sambung belajar, awak pula yang bagi duit? Baiknya hati awak?” sindir Ian Zacry.
“Eh, awak jangan banyak bunyilah! Sekarang ni boleh tak awak hantar saya? Nanti bertambah lama dia tunggu saya.” Sakit betul hatinya dibuat oleh Ian Zacry.
“Yalah, yalah... Saya hantarkan. Seksyen 4 dekat mana?”
“Nasi Kukus House.”
“Awak tak nak telefon dia semula ke? Manalah tahu dia dah balik pula.”
“Tak payahlah. Kalau dia dah balik, awak tolong hantar saya ke rumah sewa dia. Rumah sewa dia dekat-dekat situ juga.” Tiba-tiba Ain Sofea baru teringat. Lantas dia menepuk dahi sendiri.
“Dah kenapa pula ni?”
“Saya lupa nak telefon Mak Long saya. Sepatutnya, tak dapat telefon sepupu saya tu, saya telefonlah Mak Long. Boleh Mak Long beritahu dia yang saya ada masalah dalam perjalanan.”
“Habis tu, nak telefon sekarang?” Sebelah tangan Ian Zacry sudah melepaskan stereng kereta. Meraba telefon bimbitnya di dalam poket jaket.
“Tak payahlah! Kita dah nak sampai pun,” jawab Ain Sofea selepas menggelengkan kepala.
“Suka hatilah.” Telefon dimasukkan semula ke dalam poket.
Kini mereka sudah berada di hadapan restoran Nasi Kukus House. Ian Zacry memanjangkan kepala. Mencari petak parkir tetapi tiada kekosongan.
“Awak turun pergi jumpa sepupu awak dulu. Saya nak cari parking.”
Tanpa membantah Ain Sofea menurut. Tali pinggang keselamatan dibuka lalu pintu ditolak. Dia terus meluru ke arah restoran sebaik melangkah turun dari kereta BMW milik Ian Zacry. Selepas memasuki ruang restoran, matanya melilau ke segenap ruang mencari kelibat Naqiuddin. Tiba-tiba anak mata melekat pada sepasang uda dan dara yang duduk bertentangan di sebelah sana. Ain Sofea pasti, susuk tubuh yang membelakanginya itu adalah milik lelaki yang dicari. Tetapi perempuan yang sedang dipegang tangannya oleh Naqiuddin itu siapa pula? Hati diterjah rasa kurang enak.
“Kawan dia kut.” Hati cuba bersangka yang baik-baik saja. Namun naluri kuat menidakkan.
Perlahan kaki diatur ke arah sana menghampiri si merpati dua sejoli. Semakin jelas keadaan Naqiuddin dan gadis itu di matanya. Bukannya nak tuduh melulu tetapi tingkah Naqiuddin dan gadis itu memang amat mencurigakan. Dada sebak tiba-tiba. Betapa bodohnya dia selama ini.

Wednesday, April 20, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 13




Satu jam hampir berlalu. Ain Sofea masih lagi berada di atas lebuh raya. Kereta uzur milik Pak Longnya ini bukan boleh dipecut laju. Jarum meter baru saja hendak cecah garis tujuh puluh, habis bergegar semuanya. Terlebih sedikit tekan pedal minyak, dashboard macam nak runtuh. Pintu rasa nak roboh. Terpaksalah kurangkan kelajuan. Hmm... Harus kematu buntutnya menjelang sampai di Bangi nanti. Sabar sajalah...
“Aduiii... Sakitnya badan akuuu...,” keluh Ain Sofea. Terasa nyilu segala tulang-belulang. Asyik bergoncang saja sedari tadi memandu kereta ini. Anak mata terlihat papan tanda di pinggir jalan.
KAWASAN REHAT NILAI
“Berhenti sekejaplah! Boleh juga aku solat asar,” putus gadis itu. Perut pun mula berkeroncong. Di rumah Mak Longnya tadi, dia tiada selera hendak makan. Macam mana nak telan? Kalau menghadap muka Mak Long yang bengis macam Hulk Hogan! Mujur tak ada janggut dan misai. Jika tidak sebiji!
Lampu isyarat diberi sebelum memasuki simpang kiri ke kawasan hentian rehat. Kereta kemudian diparkir di bawah sebatang pokok bersebelahan dengan sebuah kereta mewah. Sempat Ain Sofea membandingkan antara kereta Pak Longnya dengan BMW itu.
“Macam langit dan bumi!” Bibir menggaris senyum. Kereta Pak Longnya hampir berkarat. Kereta mewah itu bersih berkilat.
Ain Sofea melangkah keluar dari perut kereta. Lirik mata masih kepada kenderaan sebelah. BMW warna hitam metalik? Macam pernah nampak saja kereta ni? detak naluri gadis itu. Namun diabaikan. Kaki mula menyusun derap menuju ke deretan bangunan di hadapannya.

“Ain Sofea!” Satu suara garau menyergah.
“Siapa pula yang kenal aku kat sini?” Kepala segera menoleh. Dan...
Glup!
“Kenapalah dunia ni makin lama makin kecik?” desis Ain Sofea sebaik sahaja terlihat pemilik suara yang menyapanya sebentar tadi.

Jejaka si mata biru berdiri di sisi BMW. Cermin mata hitam yang dipakai ditolak naik ke atas kepala. Dia kemudian mencerlung. Tidak menjangka akan menemui gadis itu di sini. “Buat apa kat sini?”
Soalan itu tidak dibalas. Cepat Ain Sofea melarikan anak matanya dari terus direnung oleh Ian Zacry. Dia berpaling. Kaki menyambung langkah mahu beredar.
Segera Ian Zacry berlari anak mendapatkan Ain Sofea.
“Awak nak pergi mana, Ain Sofea?” Langkah gadis itu diekori. Naluri berbisik nakal saat meneliti gerak tubuh Ain Sofea. Laju minah ni berjalan. Melantun-lantun perginya. Spontan bibir terukir senyum dan sesaat selepas itu senyuman terpadam apabila melihat Ain Sofea tidak menghiraukannya.
“Ain Sofea! Awak tak dengar ke saya panggil awak?”
Ain Sofea masih tidak menyahut. Kaki bertambah laju diayun. Dia mahu lari dari lelaki itu. Masih terasa malu!
“Ain Sofea!” Belakang blaus Ain Sofea ditarik kuat hingga gadis itu tersentak ke belakang.
Huk! Huk! Huk!” Ain Sofea terbantuk-bantuk. Pangkal leher yang perit akibat terjerut kolar baju diurut. Pantas dia menoleh. Mulut ternganga mahu memarahi lelaki itu tetapi Ian Zacry terlebih dahulu memuntahkan kata-katanya.
“Awak ni memang tak dengar ataupun buat-buat pekak? Ada penyakit tuli ya?” Ian Zacry senyum ingin mengusik. Langsung tidak terkesan dengan wajah masam gadis itu.
“Panggil nama pun tak nak menyahut? Nanti saya panggil anak kambing, baru padan muka awak. Bila saya panggil macam tu awak marah pula,” tambah Ian Zacry lagi sambil berdiri dengan berpeluk tubuh. Gaya maco disertakan sekali.
“Buat apa saya nak menyahut bila awak panggil? Awak bukan sesiapa pada saya dan saya bukan sesiapa pada awak!”
“Apa yang awak merepek ni?”
Ops! Ain Sofea kumam bibir. Lidah terlajak lagi berkata. Tak hilang lagi cemburu dia rupanya.
“Awak kan kawan saya?”
Si dara sunyi. Gigi diketap. Bimbang mulut lancang bersuara.
“Saya ni tak layak ke berkawan dengan awak, Ain Sofea?” tebak Ian Zacry. Kening diangkat tanda soalannya itu serius untuk dijawab.
Emm... Err...” Hati mula dup dap dup dap. Apa tidaknya? Si tampan buat muka ganteng dan berdiri penuh bergaya begitu. Bukan hati saja, jantung, limpa, hempedu, ginjal pun turut libang-libu. Haru-biru.
“Kalau awak tak sudi berkawan dengan saya sekalipun, tak boleh ke awak menyahut bila saya panggil? Bukan awak tak kenal saya,” ujar Ian Zacry.
Ceh! Baru beberapa kali jumpa, lagak macam dah jadi best friend forever pula, desis Ain Sofea.
“Saya hanya mahu kenal awak sebagai salah seorang pelanggan Parkson saja. Tak lebih daripada itu. Sekarang ni, kita bukan berada di tempat kerja saya. Jadi saya tak wajib melayan awak.” Ain Sofea berpaling semula ingin pergi. Tak mahu terus bertentang mata dengan si jejaka sasa. Kelak hatinya akan tergoda.
“Saya tetap anggap awak kawan saya! Dan saya nak kenal awak lebih daripada seorang promoter. Sekarang awak nak buat apa?” Derap Ain Sofea dijejaki.
“Saya tak hingin!” balas Ain Sofea tanpa berpaling.
“Awak lupa? Kita dah berkenalan sejak awak tendang kereta saya!”
Ini yang buat aku nak maki dia ni. Tak sudah lagi ke pasal tendang kereta tu? Psiko betul mamat ni. Bukannya kereta dia tu ada nyawa. Terpekik terlolong rasa sakit masa aku tendang hari tu yang dia nak duk sebut-sebut sampai hari ni.
Ain Sofea berhenti melangkah. Wajah si mata biru dipandang semula. “Jadi, sebab saya tendang kereta awak hari tu, maka saya kena jadi kawan awak? Kan saya dah minta maaf. Bermakna saya dah tak ada hutang apa-apa dengan awak tau!”
“Bagaimana dengan kita makan bersama hari tu?”
Ada juga yang aku sumbat kasut dalam mulut nanti ni...
“Saya boleh belanja awak makan balik!”
“Saya selamatkan awak dari teksi rosak tu?”
Errr...” Nak jawab apa? Tunggu kereta mamat tu rosak? Nanti aku hantar dia balik pula. Heh! Entah bila tahun BMW berkilat dia tu nak meragam. Sudahnya, sampai ke tua aku berhutang budi dengan dia.
“Sudahlahhh... Tak payah awak nak buat perangai. Jom teman saya makan!” Bersahaja Ian Zacry memaut tangan gadis itu lalu diheret bersamanya menuju ke deretan kedai makan.
“Lepaslahhh... Apa pegang-pegang tangan orang niii...?” Lengan Ian Zacry ditampar beberapa kali.
“Tak nak! Nanti awak lari!”
Ain Sofea berdecit. Memang dia tak boleh tahan dengan lagak mat saleh ni.
“Tadikan awak kata awak boleh belanja saya? Sekaranglah masanya. Saya pun tengah lapar sangat ni. Tadi niat berhenti memang nak makan. Tapi tak ada kawan. Sekarang awak ada boleh temankan.” Ain Sofea terus ditarik.
“Suruh belanja pun main paksa-paksa ke?” Sekuat hati Ain Sofea menahan langkah. Lantas terlucut tangannya dari genggaman Ian Zacry. “Awak kebulur tahap cipan pun, saya peduli apa. Nak makan tak ada kawan kononnn... Saya ni tak boleh dikira sebagai kawan awaklah!”
“Habis tu, awak nak saya anggap awak apa? Sebagai kekasih saya?”
Glup!
Ain Sofea tertelan liur lagi. Cabul betul mulutnya sekarang ni. Bercakap main lepas, diri sendiri juga yang susah. “Tak hadaplah saya nak jadi kekasih awak! Jomlah! Saya belanja awak dan temankan awak makan. Lepas ni, kita dikira kosong-kosong. Jangan cari saya lagi. Kalau jumpa di mana-mana, kita buat-buat tak kenal. Okey, deal?”
Lama Ian Zacry diam. Ain Sofea juga senyap. Menanti jawapan lelaki itu. Ini saja cara untuk mengelakkan Ian Zacry muncul lagi di hadapannya. Bukan tidak suka, cuma dia tidak mahu didatangi bencana. Yalah! Terpaut hati dengan kekasih orang!
“Baiklah!”
Sebaik menerima jawapan itu, terus Ain Sofea berjalan melepasi Ian Zacry. Tersungging senyuman lebar pada bibir lelaki itu. Gelagat Ain Sofea mencuit hatinya. Terasa puas pun ya juga, kerana kali ini mereka cuma makan berdua. Ala-ala dating gitu. Segera langkah dipanjangkan menyaingi derap Ain Sofea. Berjalan beriringan bersama gadis itu.
“Ian Zacry,” beritahu Ian Zacry tiba-tiba. Walhal gadis di sebelah tidak menyoal apa-apa.
“Apa?!” tanya Ain Sofea dalam keliru.
“Nama saya Ian Zacry. Saya dah tahu nama awak, jadi saya rasa awak patut tahu nama saya juga.”
“Tahu dah...”
“Apa yang awak tahu?”
“Nama awak uncle Ian,” selamba Ain Sofea berkata. Bukankah itu yang dipanggil oleh Awal tempoh hari? Ian Zackry... Hmm..., sedap juga nama mamat ni. Muka mat saleh, nama pun macam mat saleh juga. Dia ni mat saleh atau kacukan mat saleh? Eh! Tak payah nak sibuklah Ain. Dia kacukan ke, baka kahwin ke, tut ke, kau tak perlu ambil peduli.
“Saya ni belum cukup tua untuk awak panggil uncle.” Ada nada tidak puas hati pada suara Ian Zacry.
“Tak ada salahnya kalau saya panggil awak uncle pun... Paling tidak, saya hormatkan awak. Tak adalah nak panggil awak anak kambing bila tak tahu nama,” perli Ain Sofea. Anak mata dikerling sedikit mencari wajah Ian Zacry.
“Baiklah. Saya minta maaf sebab panggil awak anak kambing hari tu. Saya sedar, saya sedikit biadap.”
Apa?! Sedikit? Wei mamat! Sedikit biadap apa bendanya? Dah terlampau biadap kau tahu tak!
“Saya terima maaf awak. Saya ni bukannya hati kering sangat. Susah nak terima maaf orang, macam orang tu.” Sedas lagi Ain Sofea ‘bahasa’kan lelaki itu.
Ian Zacry tidak membalas. Terkesan dalam hatinya dengan kata-kata Ain Sofea. Tanpa banyak soal, dia menurut saja gerai mana yang dipilih oleh Ain Sofea. Gadis itu melihat pelik ketika Ian Zacry memilih lauk-pauk. Lebih-lebih lagi ketika Ian Zacry menyudu sambal belacan ke dalam pinggan.
“Awak ingat saya tak makan ke benda-benda ni semua?” tanya Ian Zacry sedikit terasa. Dia faham akan maksud pandangan Ain Sofea itu. Tidak dapat lagi disimpan perasaannya yang tersentuh ini. Tadi, dua kali dia dibedil oleh Ain Sofea. Sekarang, gadis itu seperti sedang mentertawakan dia pula.
“Saya ada cakap apa-apa ke?” Ain Sofea menjeling. “Harapkan muka saja maco, tapi hati cepat touching.”
Ketika berada di kaunter pembayaran, sekali lagi mereka bertengkar. Berebut mahu bayar. Ujar Ian Zacry, malulah dia perempuan yang belanja. Ain Sofea pula berkeras kata, dia tidak mahu lagi berhutang apa-apa. Akhirnya gadis itu mengalah selepas Ian Zacry berkata...
“Sayanggg... Hutang apa? Awak tu kekasih saya. Bakal isteri saya. Takkan saya nak berkira? Nak bayar hutang, tunggu malam pertama kita.”
“Apa?!” Bular mata Ain Sofea. Gigi dikancing rapat menahan geram. Muka memerah kerana malu. Gadis cashier di hadapan mereka turut tersipu malu. Memang bengong betul mamat tu!
Tanpa menunggu, Ain Sofea berlalu mencari meja. Dibiarkan saja Ian Zacry membayar makanan mereka. Mahu berdiri lama lagi di sisi mamat tu? Harus dia simbah juga Ian Zacry dengan kuah gulai labu. Baru tau!
Tidak bertangguh Ain Sofea menjamah dulu makanannya. Cepat dia habiskan nasinya ini, cepat dia boleh beredar dari sini.
Aik! Makan tak tunggu saya?”
Ain Sofea sekadar menjeling.
“Entah baca doa ke tidak ni?”
Deshum!
Kena sebiji! Memang dia terlupa baca doa pun. Gara-gara meradang dengan mamat poyo nilah!
Islam mengajarkan kita untuk sentiasa berdoa walau di mana pun, bila pun, dan apa pun yang kita buat. Ada aktiviti yang kita lakukan terdapat doa untuknya. Contoh seperti makan dan minum. Kita berdoa supaya makanan dan minuman tu terjaga, berkat, dan bermanafaat kepada tubuh kita.”
Ish! Berkhutbah pula diaaa… Yalah… yalah…” Segera kedua tangan ditadah. “Cepatlah baca doa!”
Ian Zacry senyum nipis apabila wajah Ain Sofea berterusan cemberut.
“Okey! Jemput makan,” pelawa jejaka itu usai doa dibaca.
Ain Sofea meneruskan suapannya tanpa memanggung kepala. Ian Zacry pula tidak beralih anak mata memandang si dara. Suasana sunyi sepi di antara mereka.
“Terima kasih,” ucap Ain Sofea sebaik dia selesai menghabiskan makanannya. “Sekarang kita dah kosong-kosong.”
“Eh, Belum lagi!”
Wahhh... Melampau sangat ni. Tahulah makan tadi dia yang bayar. “Saya tak berhutang apa-apa lagi!”
“Siapa kata?”
“Nah! Saya bagi balik duit yang awak bayar tadi.” Not lima puluh diletak ke atas meja. “Ingat! Awak dah janji takkan jumpa saya dan buat-buat tak kenal saya.”
Terus Ain Sofea tinggalkan Ian Zacry sebelum lelaki itu sempat membalas apa-apa. Pantas dia menuju ke arah surau. Selesai menunaikan solat asarnya, Ain Sofea berwirid panjang pula. Sengaja dia mahu berlama di situ. Biar Ian Zacry beredar dulu. Setengah jam kemudian baru dia kembali ke lot parkir. BMW hitam metalik sudah tiada di sebelah kereta Pak Longnya.
“Nasib baik mangkuk tu dah blah!” Lapang rasa dada.
Kunci kereta disumbat ke dalam lubang penghidup enjin. Mata melirik seketika pada jam tangan di pergelangan. “Dah lewat ni! Mesti muncung Abang Naqi.”
Ccchtt... Ccchet... Ccchet...
“Aduhhh... Apa hal pula tak mahu hidup enjin kereta ni?” Sekali lagi jari memulas kepala kunci seraya kaki memijak padel minyak berkali-kali. Namun enjin kereta tetap juga mengeluarkan  bunyi yang sama.
Sepuluh minit berlalu. Peluh mula merenik di dahi. Ain Sofea masih berada di dalam kereta Pak Longnya. Punat untuk memercikkan api pada palam pencucuh berpuluh-puluh kali dipulas. Jangan katakan hendak hidup, bunyi berdecit tadi pun sudah tiada. Apa saja yang tak kena dengan kereta taraf tukun tiruan Pak Long dia ni?
“Masa nilahhh... kau nak buat perangai kereta oiii...” gerutu gadis itu. Sudahlah spotlight dekat atas tu sikit punya terang. Terik dan panasnya bukan main. Berpeluh dah satu badan dia ni. Apa pula yang nak digodek dalam enjin tu supaya kereta ini hidup? Dia mana tahu apa yang perlu dicolek. Kepada siapa pula dia nak minta tolong?
“Ahhh...” Ain Sofea mengeluh kuat. Apalah malangnya nasib? Dalam pada itu terbesit juga rasa syukur. Mujur kereta Pak Longnya buat perangai dalam kawasan rehat dan rawat. Kalaulah rosak di tengah-tengah lebuh raya, harus menangis dia.
Tidak tahan dengan keadaan berbahang dalam kereta, Ain Sofea melangkah keluar. Disandarkan tubuhnya pada kereta dan mula mencongak apa yang harus dilakukan. Sedang ralit berfikir, sebuah kereta memasuki parkir sebelah.
“BMW?!” Pandangan tajam melihat melalui cermin tingkap yang berwarna gelap. Tetapi sayang, wajah si pemandu tidak kelihatan.
“Minta-minta mamat tuuu... lah.” Ain Sofea menanti. Saat sekujur tubuh lolos dari perut kereta lantas dia hembus nafas lega.
“Awak! Awak!” Tanpa berfikir panjang, tangan diangkat melambai kepada lelaki itu.
Ian Zacry hanya berlalu buat tidak tahu.
“Takkan tak dengar kut?” Tangan menggaru belakang telinga.
“Ian Zacry!” Nama jejaka itu pula dilaung. Lelaki itu tetap tidak berpaling. Malahan langkahnya semakin laju pula menuju ke arah tandas.
“Dah kenapa pula dengan mamat tuuu..? Pandang aku pun tak nak!” rungut Ain Sofea. Dia pelik dengan sikap Ian Zacry. Seperti mereka saling tidak mengenali pula.
“Hah!” Pantas amarannya kepada Ian Zacry tadi melintas dalam kepala.
“Ingat! Awak dah janji takkan jumpa saya dan buat-buat tak kenal saya.”
Dan dia sendiri yang menekankan agar lelaki itu memegang janjinya. Sekarang, Ian Zacry betul-betul buat tak kenal dia!
“Alamakkk... Macam mana aku nak minta tolong dia ni?” Haruskah ditebalkan mukanya mengadu kepada Ian Zacry. “Sudahlah mamat tu kadang-kadang mulutnya macam puaka. Mesti dia bahasakan aku punya!”
Beberapa minit berlalu, Ian Zacry datang menghampirinya. Ain Sofea ukir senyuman sumbing. Harap-harap Ian Zacry menyapanya.
Tet tet!
Alarm BMW berbunyi. Ain Sofea memerhati. Ian Zacry buat tidak peduli. Menerobos masuk ke dalam kereta dan mahu berlalu pergi.
“Hah! Dia betul-betul buat tak kenal aku?”
Kereta Ian Zacry yang mengundur keluar dipandang tanpa putus. Dada terus bengkak. Rasa mahu menangis. Mungkin meraung juga. Pada kelopak mata, air jenih mula bertakung. Sekejap lagi tentu empangannya pecah. Mungkin sebentar lagi tubuhnya juga rebah. Kerana hati semakin gundah. Sebab kereta Pak Long dah buat masalah!
Waaa... Tidur R&R la aku malam niii...