Total Pageviews

Tuesday, July 28, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 4



“Zizah! Zizah!”
Namanya dipanggil lagi. Kali ini disertai bersama perit di muka. Rasa seperti ditampar. Perlahan-lahan ingatannya kembali. Dia bukan tengah baring tepi pantai. Diakan ada dekat rumah!
Bersusah payah Azizah cuba menjarakkan kelopak matanya. Pandangan yang kabur beransur jelas. Dia lihat mamanya duduk menghadapnya di birai sofa. Papanya pula berdiri di depan bersama Iskandar. Huh! Lelaki ni lagi? Tak ada muka orang lain ke nak muncul depan dia. Pada tangan lelaki itu terdapat semangkuk air.
“Zizah... Kenapa ni?” Ada nada kebimbangan pada suara Puan Ainon itu. Dia membantu Azizah untuk bangun dan duduk tegak.
“Zizah ni ada penyakit mudah pengsan ke mama, papa?” Suara Iskandar juga kedengaran risau.
Ceh! Tak habis lagi nak panggil mama dan papa. Loya haih tekak aku!
Iskandar di jeling. Dia kemudian membetulkan duduk bajunya. Manalah tahu ada yang terselak di mana-mana. Sia-sia saja bagi mamat ni tengok free.
Ish! Tak adalah... Selama ni, Zizah sihat saja. Tak ada penyakit apa-apa pun,” sanggah Encik Azry.
“Entah kenapa, hari ni dia jadi macam ni pula. Dua kali dah pengsan,” tambah Puan Ainon pula. Jejarinya singgah di kepala Azizah. Melurut rambut pendek Azizah yang kelihatan sedikit kusut.
Azizah cuma mendiamkan diri. Wajah tunduk memandang ke bawah. Sekarang kulit muka sudah setebal tembok. Malu yang teramat kepada Iskandar kerana dia telah memperlihatkan kepada lelaki itu, bahawa dia ini terlalu mudah lemah semangat. Entah apa pandangan lelaki itu kepada dia agaknya? Kenapalah dia senang sangat hilang imbangan badan, apabila lelaki itu menunjukkan sisi romantisnya? Bukankah selama ini dia keras kematu macam batu? Setakat pujuk rayu, ayat-ayat manis seperti halwa rambut ni, dia memang tak lut. Bila Iskandar tunjuk sikap romantis, dia seperti hilang punca pula.
“Dia sarapan tak pagi tadi?” soal Iskandar. Benar-benar ambil berat keadaan Azizah.
“Sarapan... Dia makan nasi lemak lagi,” cerita Puan Ainon.
“Habis tu, kenapa senang sangat dia jatuh pengsan?”
“Entah,” balas Encik Azry dan Puan Ainon serentak.
Ada dengusan kuat dilepaskan oleh Iskandar. Azizah panggung kepala memandang lelaki itu. Jelas kedutan lahir di dahi Iskandar. Seperti amat bimbangkan keadaannya. Dia pengsan sekejap saja kot. Yang risau sangat macam dia ni sedang nazak apa hal?
Azizah buat muka kepada Iskandar. Sesaat kemudian kerutan pada wajah Iskandar hilang. Diganti pula dengan senyuman yang melebar pada bibir lelaki itu.
“Awak ni kenapa sa...”
Azizah tahu perkataan apa yang mahu digunakan oleh Iskandar sebagai ganti nama dirinya. Cepat dia buntangkan matanya ke arah Iskandar sebagai tanda dia tidak suka panggilan itu digunakan. Kalau berani, cubalah sebut sayang tu lagi. Memang depan papa dan mamanya dia pelangkung Iskandar. Pandangannya tajam mencerlung muka Iskandar.
Rupanya lelaki itu tidak faham dengan renungannya.
“yang...?” Iskandar tetap juga menyebut perkataan itu, walaupun sudah naik terjengil mata Azizah memandangnya.
Gadis itu hilang sabar. “Lagi sekali, kau panggil aku sayang, aku cepuk mulut kau. Aku tak suka! Geli telinga aku ni. Loya tekak aku. Rasa nak muntah. Uwek! Paham tak?”
“Zizah!” Serentak papa dan mamanya menegur.
“Tak baik cakap macam tu, Zizah!” tambah Puan Ainon.
“Kenapa kasar sangat ni, Zizah? Apa salahnya kalau Is nak panggil kamu sayang pun? Papa tak lihat itu jadi satu masalah. Eloklah begitu. Kan sedap telinga dengar? Mesra, lembut, penuh kasih sayang...”
Mendidih hati Azizah mendengar papanya menyokong perbuatan Iskandar tu. Haruslah sokong kan... Bagero ni kan menantu pilihan papa. Calon kegemaran mama. Nak saja mulut menjawab kata-kata papanya tadi. Papa pun tak panggil mama sayang. Kalau macam tu, papa dan mama tak mesralah? Tak berlemah-lembutlah? Tak ada kasih sayangkah? Mahu saja dihemburkan ayat-ayat itu. Kalau nak kena tampar dengan papanya, cubalah jawab macam tu.
“Dia bukan tak suka mama..., papa... Dia segan sebenarnya. Tak biasa lagi. Mula-mula, memanglah marah-marah. Dengar rasa nak muntah. Dah selalu panggil sayang nanti, tentu okey.”
Iskandar buat lagi senyum kambing. Semakin menggelegak setiap pain darah dalam tubuh Azizah. Tak boleh tunggu lama lagi. Kalau lebih sesaat dua dia berada di sini, memang betul-betul dia pelangkung mamat yang sangat menyakitkan hati ni. Segera Azizah angkat punggung.
“Zizah nak pergi mana?” tanya Puan Ainon.
“Naik bilik!” Pantas Azizah angkat kaki meninggalkan ruang tamu itu.
“Sayang makanlah dulu! Nanti perut kosong. Bila perut kosong, sakit lain pula yang datang. Saya juga yang susah hati. Saya masak special untuk sayang. Makan dulu ya.” Iskandar memujuk.
Iskandar dijeling sesaat. Hati Azizah merungut geram. Nak pujuk? Tak payah! Aku dah merajuk, sebab kau selalu bikin hati aku panas. Aku sakit kau susah hati konon... Poodah! Ayat halwa rambut aku tak makanlah!
“Sayang, nantilah... Makanlah dengan saya.”
Dua jari telunjuknya disumbatkan ke dalam lubang telinga. Tidak ingin lagi mendengar suara lelaki itu berkata-kata. Setiap yang dikatakan oleh Iskandar, memang buat dia rasa nak jadi gunung berapi. Takut silap hari bulan, hilang sabar, terbang flying kick dia ni. Tanpa berpaling, Azizah berlari menaiki tangga dan terus menuju ke biliknya.
Bang!
Dihempas kuat daun pintu. Biar bunyinya sampai ke bawah sana. Supaya Iskandar tahu dia benci plus menyampah plus tak suka kepada lelaki itu. Tubuh dihenyak pada tilam. Bibir dan gigi diketap menahan geram. Mata tancap merenung siling. Telinga masih terngiang-ngiang suara lelaki itu. Dia cuba lupakan. Tetap juga berputar-putar di kokleanya. Sayang! Rindu! Aaaa..., hati menjerit kuat. Kedua belah tangan memukul ke tilam melepaskan baran.
“Memang aku silatkan juga mamat tu karang. Hampeh!” Tidak habis Azizah menyumpah.

Monday, July 27, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 3



“Sayang!”
Iskandar memandang kepadanya. Cepat pula Azizah memandang ke belakang. Ada orang ke belakang dia ni? Siapa pula yang Iskandar panggil sayang? Hati tertanya-tanya.
“Pandang belakang buat apa? Awaklah yang saya panggil.”
Azizah kalih melihat Iskandar semula. Senyum kambing Iskandar setia di bibirnya.
“Siapa?” Dahi berkerut.
“Awaklah... sayang oi... Siapa lagi?”
“Sssaya?” Azizah bular mata. Iskandar panggil di sayang? Biar benar mamat psiko ni? Azizah toleh ke belakang sekali lagi.
“Ya sayang... Awaklah... Saya memasak, awak siapkan meja, ya sayang? Barulah kerjasama namanya. Kenalah praktis dari sekarang. Betul tak mama, papa?” Iskandar menggiat.
What?” Nafas sudah semput. Apabila dia melihat sahaja senyuman pada wajah papa dan mamanya yang koyak hingga ke pipi itu, Azizah rasa semakin tidak boleh menghela udara.
Oksigen! Oksigen! Tolong... Aku nak oksigen! Depan mama dan papa aku dia panggil aku sayang. Siot punya mamat! Sejak bila pula aku dengan dia dah upgrade? Oksigen! Oksigen! Aku dah tak boleh bernafas dah ni.
Dalam hati Azizah terpekik terlolong. Tiga saat selepas itu tidak ada apa lagi yang dia nampak. Gelap gelita! Hitam pekat!
Entah berapa lama dia berada dalam keadaan macam tu. Sedar-sedar saja, kulit di wajahnya terasa ditampar oleh angin yang agak kuat. Badan pula berpeluh serta berbahang. Namun kelopak mata masih berat hendak dibuka. Dengan mata yang terpejam, otak Azizah ligat berfikir. Rasa macam tepi pantailah pula. Nyaman, berangin, udara panas... Dekat PD ke? Hmm... selesanya. Tapi..., apasal angin yang bertiup ni baunya wangi sangat? Dah macam bau perfume pula.
Eh! Bila masa aku pergi picnic dekat PD hah? Mata segera dicelikkan. Ingin memastikan di manakah dia berada ketika ini sebenarnya. Sebaik sahaja kelopak mata terbuka luas, wajah itu yang terpampang di depannya.
Dia lagi?!
Kelam-kabut Azizah bangkit. Apa pula rupanya anak dara seperti dia elok tidur baring depan lelaki yang bukan muhrim. Pandangan terus melilau ke sekeliling.
Dekat rumah?!
Bukan tepi pantai Port Dickson rupanya. Dia terbaring atas sofa di ruang tamu saja. Sambil diperhatikan oleh Iskandar pula tu. Dalam hati mula ada rasa segan dan malu. Papa dan mamanya duduk di sofa bertentangan sambil melihat kepadanya. Ada riak cemas di wajah masing-masing.
Macam mana dia boleh terbaring atas sofa ni pula? Pandangan jatuh ke sofa panjang yang sedang diduduki. Azizah cuba mengingati. Samar-samar peristiwa di dapur tadi kembali terlayar di benaknya. Semakin lama, semakin jelas. Alamak! Malunya... Macam mana boleh pengsan pula tadi? Tentu mamat ni sakan gelak kan dia.
Azizah kalih melihat Iskandar semula. Tangan lelaki itu masih mengipas baju ke mukanya. Patutlah terhidu bau perfume tadi. Nasib baik tak berbau peluh. Azizah ralit meneliti baju yang berkibar-kibar di depannya. Dan anak matanya terus melekap pada baju itu. Eh! Macam kenal saja. Sweater Adidas dialah!
“Bak sini sweater saya ni!” Pantas tangan Azizah merampas baju di tangan Iskandar.
“Saya tahu ni sweater awak. Masa hantar awak balik tadi, saya terlupa nak bagi.”
“Mana awak ambik?” keras Azizah menyoal. Dia tahu baju itu tertinggal di mana, tetapi sengaja mahu bertanya.
“Kan awak tertinggal baju ni dekat bus-stop pagi tadi? Saya ambik baju ni sebelum saya kejar awak. Ingatkan nak pulangkan pagi tadi, tapi terlupa. Saya terbawak balik.”
Okey... Aku faham... Dia yang tolong ambik sweater aku ni. Lepas tu terbawak balik. Tapi yang aku tak faham, kenapa bau sweater ni lain sangat? Bukan bau sweater aku pula tu.
Enggan membiarkan dirinya dihurung dengan pertanyaan, baju itu didekatkan ke deria baunya untuk mendapatkan lebih kepastian. Dia hidu sekali. Memang lain baunya. Azizah sedut lagi bau dari baju itu. Kali ini lebih dalam dan lama.
Memang lain baunya. Apasal hah? Baju tersebut dibelek bagi memastikan tiada bendasing melekat di situ.
“Saya pakai sweater awak tu tadi...”
What?!”
“Walaupun sekejap saja kita berpisah, hati saya tiba-tiba rindukan sayang. Saya nak sayang sentiasa ada bersama saya. Sebab tulah saya pakai sweater sayang tu.”
“Hah?!” Azizah kejang. Iskandar asyik panggil dia sayang tu, satu hal. Iskandar pakai baju dia tanpa izin sampai melekat bau perfume Iskandar yang entah jenama apa ni, satu hal lagi. Yang lelaki ini kata rindukan dia, nak sentiasa ada bersama dia, memang betul-betul masalah!
“Sayang tak rindukan saya seperti saya rindukan sayang ke?”
Nafas sudah mula laju turun naik. Berlumba-lumba masuk menerusi hidung, dan berlumba-lumba juga keluar dari dua lubang yang sama. Suara tawa papa dan mamanya kedengaran amat jelas. Kuat pula tu!
Sayang! Rindu! Nak dekat! Apa ni...? Tubuh makin keras. Dan, buat kali kedua, pandangannya menjadi gelap semula. Dia terus rebah.

Sunday, July 26, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 2



“Lelaki? Papa? Hmm... patutlah mama tak bising aku lambat turun. Rupanya papa dah tolong.” Tentu papa kasihankan dia bila mamanya memaksa dia menolong. Papakan arif sangat perangai dia yang tak berapa suka buat kerja dapur ni. Tak sampai hati melihat anaknya ini dileteri, jadi papa membantu. Sebab itulah dia lebih rapat dengan papa, kerana papa lebih memahaminya. Di bibir Azizah tergaris sebuah senyuman. Nanti dia nak peluk papanya erat-erat sebagai upah menyelamatkan dia dari mama.
Langkah kaki Azizah mati sebaik sahaja dia tiba di muka pintu dapur. Matanya tunak merenung sekujur tubuh di sisi ibunya. Kelopak mata terkebil-kebil beberapa kali tidak percaya. Dia tengah mimpi ke apa? Pipi ditampar kuat. Oish! Sakit! Pipi diusap. Dia tidak bermimpi.
Mata tidak berkelip memandang susuk tubuh di hadapannya ini. Sejak bila pula badan papa tegap macam tu? Takkan papa buat body building sekejap sangat? Masa sarapan tadi tak macam ni pula badan papa. Azizah teliti lagi belakang susuk itu dari atas kepala hingga ke kaki.
Tiba-tiba satu nama terlintas dibenaknya. Heh! Takkan dia padang papa dah serupa Iskandar kot? Ish! Tak mungkin... Bukannya dia anggaukan Iskandar pun, nak pandang semua orang dah serupa Iskandar. Mata digenyeh. Bimbang dia tersalah pandang. Manalah tahu, lepas tenyeh biji mata ni, tubuh papa bertukar semula seperti sedia kala.
Erk!
Air liur yang ditelan tersengkang di rengkung. Masih juga susuk tubuh sasa seperti Iskandar yang berdiri membelakanginya. Iskandar ke? Tak mungkin! Mata digenyeh lagi. Sampai jadi merah.
“Non cukup tak serai banyak ni?”
Segera Azizah kalih melihat ke pintu belakang. Papanya berdiri di situ bersama segenggam serai di tangan. Hah! Papa? Jadi lelaki sebelah mama memang bukan papa. Padangan beralih semula ke tubuh sasa itu.
“Cukuplah banyak tu papa... Banyak sangat serai, karang kita jadi kambing pula.”
Jelas kedengaran suara lelaki itu di telinga Azizah. Diselang pula dengan suara tawa papa dan mamanya. Iskandar! Dia memang Iskandar! Kali ini mata sudah terkebil-kebil tidak percaya.
“Anak dara papa baru turun ke?” Encik Azry melihat kepada Azizah yang tegak di muka pintu dapur. Puan Ainon dan Iskandar segera berpaling.
“Tidurlah tadi tu kan?” soal mamanya pula.
Pertanyaan papa dan mamanya itu tidak singgah di kepala Azizah. Yang melekat dalam otak dia sekarang adalah Iskandar yang sedang berdiri di hadapannya bersama apron yang tersarung di badan.
Kau orang bayangkanlah muka mamat klon Fahrin Ahmad ni pakai apron. Tak gagah langsung, okeh! Dah macam... hmm... si lembut aku tu. Macam Azizlah... Siapa lagi...
“Tak apalah mama. Zizah penat berjoging tadi.” Iskandar senyum kepada Azizah.
Mamat ni datang saja nak tolong mama memasak ke? Kalau tak, macam mana dia boleh ada dekat dapur ni? Mama panggil dia datang menolong ke apa? Tercetus pelbagai persoalan di dalam kepala Azizah. Badannya terus tegak seperti sedang menyanyikan lagu Negaraku.
“Is kan ada. Biarlah Is saja yang tolong mama,” tambah Iskandar lagi.
 Okeh wait! Bukan ke tadi Iskandar panggil papanya, papa? Dan sekarang ni panggil mamanya, mama? Sejak bila ni? Panggilan Iskandar kepada mama dan papanya terngiang-ngiang di tepi telinga.
“Penat apa ke bendanya Is...? Bukan ke Is yang hantar dia balik tadi? Berjoging sekerat jalan saja. Penat apanya?” usik papanya pula.
What?! Malaun ni cerita dekat papa ke, dia hantar aku balik tadi? Ceh! Azizah jeling Iskandar. Bengang dah sampai tahap cipan.
“Tak apalah papa... Takkanlah Is nak biarkan Zizah pengsan pula tengah jalan tu...”
Uweeekkk... Nak muntah aku. Apa ni...? Mama, papa...? Sejak bila pula mama aku beranakkan kau? Nama kau tu ber‘bin’kan nama papa aku ke? Jangankan kata adik-beradik, jadi menantu pun belum lagilah! Mama, papa sangatlah konon... Pui! Dalam kepala Azizah asyik memangkas saja kata-kata Iskandar.