Total Pageviews

Friday, June 26, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 37




Sambil berbaring di atas katil, otak Dhia ligat berfikir tentang Encik Aidil. Dia teringat peritiswa di tepi pantai semalam. Bila difikirkan semula, semua soalan Encik Aidil memang kedengaran sangat pelik. Seperti ingin mengetahui sesuatu dan sesuatu itu Encik Aidil tidak mahu dia tahu. Bila sikap dan layanan Encik Aidil terlalu baik kepadanya selepas itu, Dhia bertambah hairan.
“Oi! Berangan apa tu? Kau mimpi mamat tu lagi ke?” sergah Zaira. Dia baru sahaja selesai mandi. Tuala dililitkan ke kepalanya seperti serban Bhai jual roti paun dekat rumah pangsa mereka ini.
Mamat mana ni?” Jangan si tembam ni kata dia mimpikan abang sepupunya, sudah! Buang karan saja mimpikan si naga tembaga tu. Tak kuasa nak berebut dengan Marissa. Tengoklah semalam, semasa mereka duduk bersama di tepi pantai. Perempuan lain yang telefon Ameal, dia pula yang dipandang macam hendak ditelan hidup-hidup oleh Marissa. Ameal pun satu. Marissa alias makwe a.k.a bakal tunangnya ada di sebelah, boleh buat muka selamba menjawab telefon yang berbelas kali berbunyi tu. Panggilan dari perempuan bernama Liyana saja lebih enam kali. Itu belum termasuk Tina. Belum dikira Emalin lagi. Yang menjadi mangsa dia. Memang minah senget betul Marissa tu. Sepatutnya marahkan Liyana, Tina dan Emalin tu. Bukannya dia.
“Alah..., mamat yang selalu datang dalam mimpi kau tulah! Ke ada mamat lain yang kau mimpikan?” Zaira mengangkat kening kepada Dhia.
“Ooo..., mamat tu? Yalah, Zaira. Bila kau sebut pasal dia, baru aku teringat. Lama betul dia tak datang dalam mimpi aku. Sejak aku kemalangan dulu tu! Hairan jugak aku. Sampai sekarang ni, aku tak pernah mimpikan dia lagi.” Dhia garu dagunya. Cuba mengingati kembali mimpi itu.
“Elok juga kau tak mimpikan dia lagi.”
“Kenapa pulak?” Dhia menyoal ingin tahu.
“Sekarang ni kau ada orang lain yang nak dimimpikan,” senda Zaira. Sekali lagi dia mengangkat keningnya.
Dhia faham maksud usikan Zaira itu. “Kau jangan nak mengarut, Zaira. Tak ada mananya aku nak mimpikan Abang Long kau tu.”
“Bila masa pulak aku cakap pasal abang sepupu aku tu? Tengok! Kau sendiri yang sebutkan? Aku tak cakap apa-apa pun. Itu menunjukkan kau ada rasa something dekat dia,” gurau Zaira lagi. Dia seperti Mak Mah dan Anya juga. Daripada si Marissa tu, lebih baik Dhia saja berpasangan dengan abang sepupunya. Walaupun hidung Dhia tak mancung seperti Marissa, Dhia tak hidung tinggi seperti Marissa.
“Kau ni Zaira, aku...” Kata-kata Dhia terhenti di situ apabila dia terdengar suara orang memberi salam di luar rumah. Dia amati suara itu. Rasa-rasanya seperti suara...
“Kau tengok Dhia. Baru kau sebut saja nama dia, dah muncul semula dekat rumah ni. Dia dapat rasa kau sebut-sebut nama dia. Baru sekejap tadi hantar kau balik, dah rindu. Tak sabar tunggu besok agaknya. Memang ada kimia kau orang berdua ni. Ada kimia...”
Dhia geram. Memang nak kena si tembam ni. Tak habis-habis nak kenenkan dia dengan mamat sengal tu. Bantal kecil yang mengalas kepala dibaling. Mencicit Zaira berlari keluar dari bilik itu sambil ketawa.
“Huh! Kimialah sangat!” regus Dhia. Dia ni spirit sejuk. Ameal tu api yang panas. Dua benda yang berbeza. Kalau berjumpa, memang kebabomlah jawabnya.

Thursday, June 25, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 36




Di hujung pantai, Ameal dan Marissa duduk di bawah sebuah pondok buruk.
Ameal menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sudah naik pening menjawab setiap soalan-soalan Marissa yang berbaur tuduhan. Berbuih mulutnya menafikan. Ada ke patut dia dituduh ada menaruh hati kepada Dhia. Tolonglah... Separuh hati pun dia tak ingin dengan mak nenek tulah! Alasannya? Entah! Memang tak ada alasan. Itulah yang aneh. Tiada sebab yang kukuh, logik lagi munasabah untuk dia rasa benci kepada gadis itu. Atau mungkin dia sedang berusaha menidakkan sesuatu yang mula terbesit di dalam hatinya ini?
You cakap dengan I betul-betul, Meal. You sebenarnya suka dengan budak sememeh tukan?” desak Marissa lagi. Lebih sepuluh kali dia mengasak Ameal dengan soalan yang sama, tetapi lelaki itu tetap menyanggahnya.
“Berapa kali I nak cakap, I tak ada apa-apa dengan dialah! Dia tu cuma PA I saja. Kenapa otak you ni, boleh fikir sampai ke situ?”
You ingat I ni buta ke, Meal. Tak nampak macam mana you layan dia. Cara you cakap dengan dia.”
Layanan yang macam mana? Cara bercakap yang bagaimana? Apa yang dia tahu selama ini, dia dan Dhia memang tak boleh bertemu muka. Kalau bercakap pun hendak meninggi saja. Bukannya dia melayan Dhia tu seperti dia melayan perempuan lain dengan penuh gentleman. Kalau begitu, barulah Marissa boleh buat andaian mereka ada hubungan istimewa. Ini tidak, selalu bertekak pun dituduh yang bukan-bukan. Otak mereng agaknya si Marissa ni!
I tengok you dengan dia tak boleh nak berenggang langsung. Ke sana, ke sini you bawak dia. Pergi jumpa klien you bawak dia. Pergi meeting you bawak dia. Pergi sub-con pun, you angkut jugak dia. Tak cukup di pejabat, you bawak dia balik ke rumah pulak. Sekarang ni, bawak berkelah sampai ke sini. I pun you tak pernah bawak datang sini tau,” leter Marissa meleret. Herot-berot mulut meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Marissa..., tolong jangan semak kan kepala otak I ni dengan tuduhan you yang bukan-bukan tu, boleh tak? Dah namanya PA, tentulah I bawak dia ke mana I pergi. Itu semua sebab kerjalah. Bukannya I nak menggatal dengan dia. Kebetulan sepupu I, Zaira tu berkawan baik dengan Dhia sejak dia orang belajar dulu. Dan sekarang satu tempat kerja pulak. Zaira yang ajak dia datang rumah I. Bukan I angkut dia bawak balik. Tolonglah... Peninglah kepala I ni! Eeee...” Ameal mengetap gigi menahan geram. Sekali lagi kepalanya digaru kasar. Kalau sudah diberi penerangan begini punya jelas, masih hendak menuduh dia juga, dia give up.
“Alasan! Bukan I tak tahu semua tu alasan you saja. Sebelum ni, masa I jadi secretary you, tak pernah pulak you bawak I ke mana-mana. Jangan ingat I ni bodohlah Meal.” Jari telunjuk Marissa melayang-layang di hadapan muka Ameal. Dia masih lagi tidak mahu percaya.
Ameal menggelengkan kepala. Apalah bengap sangat perempuan ni? “Is... Masa you jadi secretary I dulu... you pun jadi secretary papa jugak. Macam mana I nak bawak you pergi ke sana, ke sini?”
You ingat Meal, kita cuma tinggal empat bulan saja nak kahwin. Jangan you cari pasal dengan I. Dengan perempuan lain, I tahu you cuma nak suka-suka saja, tapi dengan perempuan sememah tu, you jangan berani-berani nak cuba-cuba.” Marissa memberi amaran.
Silap oranglah! Marissa ingat Ameal menggeletar kepala lutut bila dengar dia mengeluarkan peringatan seperti itu. Lagi Ameal melenting marah adalah.
“Hei Is! You belum tentu jadi isteri I lagi tau. Dalam masa empat bulan ni, macam-macam boleh jadi. Boleh jadi hidup, boleh jadi mati. Mungkin kita kahwin, mungkin tidak. Suka hati I lah dengan siapa I nak cuba-cuba pun. Budak sememeh tu ke, budak lain ke, atau perempuan mana sekalipun. You tak ada hak nak halang-halang I. Nak larang-larang I!” suara Ameal melengking tinggi. Mujur pondok ini berada di hujung jeti. Jauh dari orang ramai. Kalau tidak pertengkaran mereka tentunya menarik perhatian pengunjung.
“Siapa kata I tak ada hak? You tu bakal tunang I. Bakal suami I. Memang you tu hak I. Lagipun parents kita dah setuju dengan rancangan perkahwinan ni. Jangan you berani nak cancel pulak,” tutur kata Marissa semakin tegas.
Ameal yang sedang menahan geram menjadi bertambah marah. Sudahlah perangai king control Datuk Idris Manan tu dia tak berkenan. Kini anak Datuk Idris Manan ni pula nak jadi queen control. Pula tu, yang mahu di‘king’ dan ‘queen control’kan, dia! Jangan mimpi. Jangan nak mengigau. Hidup dia, dunia dia, mana boleh orang lain nak ‘king’ dan ‘queen control’kan. Walau papanya sekalipun.
You siapa nak mengarah-arah I? You tu baru bakal lah! Bukan sudah jadi. Lagipun I belum setuju nak kahwin dengan you. Malas I layan perangai you ni. I nak pergi dekat papa.” Ameal kemudian terus meninggalkan Marissa di situ.
Marissa terkedu. Tidak menyangka Ameal boleh bersikap begitu kepadanya. Lelaki itu memang benar-benar sudah berubah. Bukannya seratus peratus, tetapi dua ratus peratus. Ameal yang dahulu, bukanlah Ameal yang sekarang. Sebelum terlewat dia harus lakukan sesuatu. 

Wednesday, June 24, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 35




“Ni tengah buat apa ni? Ada sesi buat surat cinta beramai-ramai ke? Atau tengah buat pertandingan menulis karangan?” sapa Ameal spontan dan sinis. Di satu sudut lain, dia melihat papanya juga turut berada di situ. Ini sesuatu yang pelik. Bukan ke masa-masa begini sepatutnya papanya berada di dalam bilik mini pejabat? Ameal tertanya-tanya. Tidak pernah papanya berehat-berehat begini di ruang tamu.
“Bising sajalah! Sampai bilik abang boleh dengar suara Anya.” Memang dari dalam kamarnya, suara yang paling jelas Ameal dengar adalah suara Anya mengilai. Dhia di sebelah Anya dijeling tajam saat matanya mencari wajah adiknya itu.
“Abang nak main ke? Marilah! Seronoklah main game ni. Anya tak pernah main game ni,” pelawa Anya.
“Main game apa sampai bising sangat?” soal Ameal semula.
“Marilah abang long. Main ramai-ramai lagi seronok,” ajak Zaira pula.
“Ya Meal. Marilah duduk dengan papa ni. Kita main sama-sama. Papa pun dah lama betul tak main game ni. Last papa main masa papa kecik-kecik dulu. Seronok,” tutur Encik Aidil pula. Tangannya menggamit Ameal dan menepuk tempat duduk sofa di sebelahnya.
Ameal mengerut dahi. Betul ke tidak papa dia sekarang ni? Game budak-budak apa yang seronok sangat, sampai papa yang dah tua tu pun teringin nak main sekali?
Game apa? Game budak-budak? Tak ada kerja Meal nak jadi budak-budak balik,” balas Ameal jelik seraya ketawa kecil berbentuk sinis.
“Encik cakap sajalah encik tu takut kalah...,” suara Dhia tiba-tiba. Dia yang sedari tadi senyap saja rasa hangat pula melihat Ameal bersikap riak tidak bertempat. Dia terasa kerana permainan budak kecil yang ditertawakan oleh Ameal ini adalah cadangannya.
“Takut apa?” Ameal mencerlung Dhia tepat.
“Takut kalah...,” jawab Dhia sinikal. Ini saja cara nak buat Ameal rasa tercabar. Provokasi sikit. Lepas ni, tentu lelaki itu hendak turut serta. Nanti dia nak tengok, secerdik mana Tuan Penolong Pengarah Masyhur Industries Sendirian Berhad ini.
“Kalah? Ini Ameal la... Belum pernah seumur hidup saya ada perkataan kalah tau! Setakat permainan budak-budak ni apa ada hal,” suara Ameal bangga. Tangan kanannya menepuk di dada.
“Huh! Koyok...,” getus Dhia perlahan.
“Okey. Kalau macam tu, ini pen dan kertas.” Anya menghulurkan sebatang pen dan sehelai kertas kepada Ameal lalu disambut oleh abangnya itu. “Kita start semula ya, kak Dhia?”
“Tak ada masalah. Kita start semula,” ujar Dhia. Dia tersenyum memandang Zaira dan Mak Mah.
Encik Aidil menggelengkan kepala bersama sebuah senyuman terukir di bibirnya. Rasa bahagia datang bertandang melihat ragam mereka semua.
Game apa ni?” tanya Ameal ingin tahu. Mata merenung tepat ke dada kertas. Nampak pelik. Perkataan yang tertulis di atas enam ruang pada kertas itu dibaca satu persatu. Kemudian pandangannya singgah ke wajah Dhia.
“Inilah permainan yang menguji kebijaksanaan, kepandaian, kecerdikan dan pengetahuan. Takkan permainan budak-budak yang senang macam ni pun, Encik Ameal tak tahu? Adik saya yang darjah enam tu pun pandai main tau,” sindir Dhia.
“Alah... Piece of cake saja ni...”
Dhia mencebek. Piece of cake konon... Dia nak tengok nanti.
“Kita mulakan dengan perkataan dari huruf D. Bermula sekarang!” beritahu Dhia selepas itu.
Mereka mula menulis sesuatu di atas kertas masing-masing, kecuali Ameal. Dia masih lagi merenung helaian kertas di tangannya. Terpinga-pinga. Entah apa yang hendak ditulis pada ruangan-ruangan itu. Seketika mata Ameal melihat kepada papanya, Anya, Zaira dan Mak Mah. Semuanya sedang tekun. Bila pandangannya jatuh ke wajah Dhia, gadis itu sedang menggerak-gerakkan kedua-dua kening sambil tersenyum sinis kepadanya.
“Huh! Berlagak. Dia ingat aku tak tahu ke?” gumam Ameal. Dia kembali melihat kertas di tangannya. Otak mula berfikir. Dikerah segenap ruang fikiran untuk mencari jawapan.
Column pertama NAMA. Nama apa ni?” Ameal terus membaca.
Column kedua BUAH. Buah yang mana?” Dia melihat ruang yang ketiga. “TEMPAT? Tempat dekat mana?”
Belakang tengkuk mula digaru. “PERMAINAN dan BARANG? Ish! Game apa benda ni? Tak pernah tengok pun,” rungut Ameal sendirian. Kertas itu dibelek.
“Okey. Dah sudah!” beritahu Dhia kepada mereka semua.
“Hah! Dah sudah? Cepatnya dia buat? Bila masa dia menulis? Tak boleh jadi ni. Malulah aku macam ni,” desis Ameal mula tidak keruan. Kertas di tangannya masih kosong. Satu huruf pun belum ditulis lagi.
“Anya pun sudah.”
“Mak Mah dah habis.”
Ameal semakin gelabah. Takkan nak mengaku kalah? Ah... taram sajalah! Untung-untung betul.
“Papa pun sudah.”
“Encik Ameal?” tanya Dhia seraya menjungkit sebelah kening.
“Siap!” Ameal menayangkan kertas di tangannya.
Dhia menjeling tajam. Huh! Berlagak, gumam Dhia.
Ameal tersenyum bangga. Apa! Dia ingat aku tak tahu ke? Piece of cake girl..., desis Ameal.
“Okey. Kita check. Kalau dua orang sama perkataan dapat lima belas markah. Kalau tiga orang yang sama, sepuluh markah. Kalau empat orang yang sama, lima markah. Kalau tak ada yang sama markah penuh, dua puluh markah. Faham?” Dhia menghalakan pandangan kepada Ameal. Ameal angguk. Tak sabar rasanya hendak mengalahkan perempuan di hadapannya ini.
“Nama?” soal Dhia.
“Anya punya, Diandra.”
“Aku Darius,” beritahu Zaira.
“Mak Mah, Deraman.”
“Mak Mah..., kenapa kampung sangat nama tu?” usik Anya sambil ketawa geli hati. Zaira juga mengekek.
“Itu gerenti nama pakwe lama, kan Mak Mah?” sakat Dhia pula.
“Papa punya, Danial.”
“Saya, Dahlia. Encil Ameal?” Dhia menunggu jawapan Ameal.
Ameal tergagap-gagap hendak beritahu. Tentu budak perempuan ini rasa bangga. Hidung kembang dua taman. Nak buat macam mana, hanya nama itu saja yang terlintas di kepalanya sepantas kilat.
“Cepatlah Encik Ameal!” gesa Dhia lagi.
“Dhia Melati,” suara Ameal perlahan. Sayup-sayup.
“Apa? Tak dengarlah abang. Lati? Ati? Mati? Apa tu?” desak Anya pula.
“Dhia Melati,” suara Ameal perlahan. Jauh, tapi kuat sedikit dari tadi.
“Hah?” Dhia melebarkan cuping telinga.
“Dhia Melati!” suara Ameal tinggi.
Dhia terdiam. Anya dan Mak Mah terus ketawa.
“Anya, nampaknya dalam banyak-banyak, nama itu yang Abang Meal berkenan. Orangnya Abang Meal tak berkenan ke?” usik Mak Mah disambut hilaian tawa Anya.
“Tu confirm dah berkenanlah tu Mak Mah. Kalau tak..., takkan nama Dhia yang melekat dalam otak Abang Long tu,” tambah Zaira pula.
“Berkenan? Jangan harap! Tak ingin! Salah ke kalau nama dia yang abang ingat dulu? Bukan ke dia yang ada bersama abang tiap-tiap hari. Bukan dia ke yang sentiasa dekat dengan abang?” Tiba-tiba Ameal terkedu dengan soalannya sendiri. Apa jenis soalan ni? Dhia bersama-sama dia? Dekat dengan dia?
Anya, Mak Mah dan Zaira bertambah kuat ketawa. Mereka tahu Ameal sudah terpukul dengan soalan sendiri. Ketika ini, Encik Aidil merenung wajah Ameal dan Dhia silih berganti. Dia cuba memahami. Cuba mentafsir riak di wajah mereka berdua. Mungkinkah ada sesuatu? Sekoyong-koyong itu terbit rasa risau di hatinya. Janganlah ada sesuatu di antara Ameal dan Dhia. Kelak dia tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Datuk Idris Manan.
Dhia sudah merah muka. Hatinya tidak sedap waktu ini. Anya, Zaira dan Mak Mah masih tidak habis lagi ketawa.
“Kita check lain pulak,” arah Dhia cuba menguasai suasana yang serba tidak kena.
“Saya check dengan Encik Ameal dulu. Bagitau saya satu-satu,” kata Dhia lagi. Kalau ada jawapan yang tidak betul selepas ini, biarlah Anya, Zaira dan Mak Mah ketawakan Ameal sepuas hati. Baru padan dengan muka lelaki itu yang dah buat dia malu di hadapan Encik Aidil.
Ameal serba-salah. Ketawa Anya, Zaira dan Mak Mah masih tidak putus. Dia sudah tersilap jawab nampaknya. Kenapa dia tak tulis nama Damia saja tadi? Nama budak perempuan kerja bank BSN cawangan Senawang yang dia tengah duk tackle sekarang ni. Bolehkan dia tertulis nama minah tu. Memang tak masuk akal betul!
“Encik Ameal, cepatlah!” kerah Dhia lagi.
“Yalah! Buah dadu, tempat duduk, barang dalaman dalam kurungan underware, permainan dodge ball,” beritahu Ameal cepat-cepat tanpa berhenti.
Hahaha...,” terburai ketawa mereka semua. Dhia dan Encik Aidil Amri juga turut sama.
“Apa ke lawak sangat jawapan encik ni?” soal Dhia sambil mengawal tawanya. Permainan tu kira okey lagilah walaupun dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya tak boleh, tapi jawapan untuk buah, tempat, dan barang tu, tak boleh blah langsung. Sah-sah mamat ni tak tahu main game ni. Hei! Budak darjah satu pun tahulah. Buat malu saja!
“Buah dadu, tempat duduk, barang dalaman dalam kurungan underware...” Anya mengulangi jawapan yang diberikan oleh abangnya.
Hahaha...” Dan ketawa mereka semua bersambung.
“Anya..., tolong kak Dhia. Dah nak terburai usus kak Dhia ni. Lawak antarabangsa betul jawapan abang Anya ni. Terlebih pandai! Mana dia sekolah dulu ni?” usik Dhia lagi. Ketawanya berterusan.
Melihat mereka semua mentertawakannya bagai hendak gila, Ameal tahu jawapan yang diberikan sah-sah tersasar. Sakit hatinya, terutama kepada Dhia Melati. Kini dia merasakan seperti gadis itu sengaja mahu mengenakan dia. Kalaulah Dhia tidak mencabarnya tadi, tak ingin dia turut serta bermain permainan bodoh ini. Ameal bangun. Kertas dan pen dicampakkan ke atas meja. Dengan muka berkerut empat puluh empat lapis, dia meninggalkan ruang tamu itu. Melangkah kasar. Terus mendaki tangga menuju ke biliknya. Seketika kemudian mereka yang berada di ruang tamu terdengar pintu kayu bilik Ameal berdentum ditutup dengan kuat.
Marah la tu! detak Dhia sambil mengawal tawanya. Sekarang baru tersedar Encik Aidil ada di hadapannya.
“Anya, Zaira... Tengok! Kan Abang Meal dah marah. Mak Mah pun sama. Merajuk dah si Ameal tu,” tegur Encik Aidil. Kepada Dhia dia tidak mahu berkata apa. Takut Dhia terasa pula.
“Betul apa papa? Abang Meal tu lawak sangat. Boleh dia ingat barang dalaman dalam kurungan underware pulak. Itu, nasib dia kata buah dadu. Kalau dia tulis buah D.A.D.A tak ke haru,” sahut Anya diselang dengan ketawa yang tidak sudah.
Encik Aidil menggeleng kepala.