Total Pageviews

Saturday, July 4, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 45





“Biar betul mamat ni? Dia ni ada penyakit bulan mengambang ke? Pantang bulan mengambang, gila pun datang. Sudahlah malam tadi bulan muncul penuh sedulang. Janganlah time ni jugak kau nak buat perangai meroyan kau mamat oi! Mak ayah aku nampak karang, tak pasal-pasal kau kena kejar dengan parang,” getus Dhia sendirian.
“Encik Ameal!” jerit Dhia memanggil lelaki itu, tetapi panggilannya tidak diendahkan. Ameal asyik berbual dengan kedua adiknya.
“Encik Ameal!” pekik Dhia lebih kuat. Kali ini Ameal berpaling memandangnya. Dhia menggamit. “Ya Allah! Memang confirm ayah aku kata dia ni gila. Dengan berbaju kemeja, seluar berlipat paras lutut. Berkaki ayam. Tadi bukan main smart. Sekarang sudah serabai macam orang hilang akal apa hal? Apa dia buat tadi ni?”
Ameal mengambil kot yang tergantung pada basikal serta menjinjing kasutnya berjalan menghampiri Dhia. Mukhriz dan Mirzad mengekor di belakangnya.
“Apalah kak Dhia ni! Kacau daun betul kita orang dengan Abang Meal bersembang. Abang Meal tengah tunggu turn nak main tingtinglah,” rungut Mirzad sebaik sahaja mereka sampai di anjung rumah.
Selesai Mirzad berkata, Dhia terus terburai tawa.
“Aduh! Apa ke senteng sangat otak bos saya ni? Main tingting rupanya tadi. Dah besar panjang macam ni, main tingting? Lepas tu, main dengan budak-budak bawah umur pula tu. Lawak. Memang lawak,” ujar Dhia selepas tawanya sedikit reda. Tidak dapat dia bayangkan, Ameal terlompat-lompat main Ketingting bersama seluar dan baju masuk pejabat tu.
“Badan gagah perkasa. Muka macho, tetapi peel yang ado...” Ketawa Dhia kembali mengekek.
Ameal merah muka apabila Dhia tidak berhenti mentertawakannya. “Apa, salah ke saya main tingting dengan budak-budak ni?!”
“Kau ni apasal kak? Gelak macam orang gila,” tukas Mukhriz. Diperhati kakaknya yang sedang menekup mulut menahan saki baki ketawa.
“Bukan akak yang gila. Sebenarnya, bos akak ni yang tak betul. Dah besar panjang macam galah ni main tingting,” balas Dhia. Memang Ameal ni original made in town betullah!
“Apa salahnya Abang Meal main? Dia pun bukan pernah main tingting,” celah Mirzad pula.
Sekali lagi Dhia terlepas tawa. “Hahaha... Planet mana Encik Ameal duduk? Main tingting pun tak pernah. Hahaha...”
“Puas hati dapat gelak kan saya? Suka hati awak kan, malukan saya depan adik-adik awak?” Ameal kecil hati. Gadis ini kadang-kadang memang amat menjengkelkan. Hendak marah ke, ketawa ke langsung tak berkira. Walhal dia ni seorang bos.
“Dhia! Kenapa ketawa sampai macam tu?”
Ketawa Dhia terus mati apabila ayahnya tiba-tiba muncul di pintu. Dia berpaling melihat sambil mengulum bibir menahan geli di hati.
“Kata tadi nak jemput bos kamu masuk. Mana dia?” soal Encik Ibrahim lagi. Dia datang menghampiri Dhia di hujung beranda. Encik Ibrahim melihat ada seorang jejaka sedang berdiri bersama anak-anak lelakinya di hadapan Dhia.
“Ayah, inilah bos Dhia. Nama dia Encik Ameal.” Dhia menunding ibu jarinya kepada Ameal.
“Oh! Encik Bos. Selamat datang ke rumah saya ni. Jemput masuk Encik Bos.”
Ameal bergerak ke pintu beranda dan diekori oleh Mirzad dan Mukhriz. Encik Ibrahim dan Dhia menanti di situ.
“Mari masuk Encik Bos.” Encik Ibrahim menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Ameal.
“Apa khabar pakcik?” Ameal menyambut huluran tangan itu.
“Baik, baik. Alhamdulillah Encik Bos. Saya sihat. Mak si Dhia saja yang tak berapa sihat. Marilah masuk dulu Encik Bos,” jemput Encik Ibrahim sekali lagi. Ketika dia menarik genggaman tangan Ameal untuk membawa lelaki itu masuk ke anjung rumah, matanya terpaku melihat keadaan Ameal. “Ya Allah! Kenapa pulak ni Encik Bos? Macam baru balik dari sawah saja ni?”
Dan Dhia kembali menyambung tawanya. Confirm ayah kata mamat ni gila!

Friday, July 3, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 44






“Apa benda yang budak-budak ni main? Campak batu sebijik lepas tu terlompat-lompat sebelah kaki?” Anak mata melihat ke atas tanah kuning yang terlukis petak-petak segi empat membentuk huruf ‘T’ kecil. Leka dia memerhati.
“Dik! Abang nak main sekali boleh tak? Macam seronok saja.” Ameal berkata kepada salah seorang budak lelaki.
Mirzad berpaling. Dahi berkerut melihat lelaki itu. “Abang ni dari mana?”
Ameal tersenyum. “Abang baru sampai. Hantar kawan abang tengok mak dia.”
“Siapa?” soal Mukhriz pula. Leka bermain hingga tidak perasan ada orang asing muncul di situ.
“Kak Dhia Melati,” balas Ameal.
“Kak Dhia balik?!” jerit Mukhriz dan Mirzad serentak. Mereka berpaling mahu beredar tetapi segera Ameal menarik tangan kedua-duanya.
“Adik Kak Dhia ke?”
Kedua-duanya mengangguk laju.
“Karanglah jumpa Kak Dhia. Ajar abang main ni dulu,” pinta Ameal.
“Betul ke abang nak main?” soal Mukhriz. Dia melihat Ameal dari atas hingga ke bawah. Pelik dengan permintaan Ameal itu.
Ameal angguk. Hendak juga mencuba benda baharu yang dia tak pernah temu.
“Kalau betul abang nak main, nah ini buah abang.” Mirzad menghulurkan sebiji batu leper berbentuk seakan-akan segi tiga kepada Ameal. “Lepas Faiz mati, abang pulak jalan.”
“Mati? Eh! Main apa sampai nak kena mati ni, dik?” Ameal cuak. Tengok cara tak adalah bahaya mana pun. Main lompat-lompat saja kut.
“Bukan mati kiok macam nilah bang.” Mukhriz menggayakan ibu jarinya mengelar leher dan kepala terliuk. “Kalau tingting kaki kena garisan, itu kira matilah.”
“Takkanlah dah besar gajah ni tak reti main tingting, bang?” Mirzad tersenyum. Mana punya oranglah ni, main tingting pun tak tahu? desis Mirzad dalam diam.
Ameal tersengih malu. “Abang tinggal dekat bandar. Tak pernah main macam ni. First time tengok. Kalau salah tolong tunjukkan, ya?”
Mukhriz dan Mirzad ketawa.
“Faiz dah mati. Sekarang turn abang jalan,” beritahu Mukhriz.
“Abang dah bersedia.” Ameal menanggalkan kotnya lalu disangkut pada salah sebuah basikal yang tersusun di tepi pagar. Lengan kemejanya dilipat hingga ke paras siku. Dia kemudian melompat-lompat kecil dan berlari setempat untuk memanaskan badan.
“Walau apa jenis permainan sekalipun, warming up tu perlu. Tak adalah tergeliat otot-otot badan,” tutur Ameal disambut tawa adik-adik Dhia.
“Baru main tingting, bang. Bukannya nak main bola sepak.” Tawa Mukhriz terus meledak.

Thursday, July 2, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 43




“Melati..., awak ni kenapa? Dari ofis tadi saya tengok awak macam ni. Awak fikir apa? Apa yang awak risaukan? Cuba bagitau saya apa masalah awak sebenarnya?” Ameal berkata perlahan. Entah kenapa dia rasa ada sesuatu yang mengganggu fikiran Dhia. Bukan budak lelaki petang semalam tu, tetapi perkara lain. Kerut di dahi Dhia jelas membuktikannya. Terasa kesal pula mendera Dhia pagi tadi.
Sepanjang Dhia bekerja, inilah kali pertama Ameal bertutur selembut ini kepadanya. Bagaikan nyanyian berlagu lembut di gegendang telinga. Sesaat Dhia terleka.
“Melati..., kenapa ni?” tegur Ameal sekali lagi. Bahu Dhia diusap lembut.
Gadis itu tersentak. Lamunannya terus terhenti. Tangan Ameal yang singgah di bahu menambahkan kadar denyutan jantungnya. “Mmmak saya, Encik Ameal. Mak saya demam kuat. Tadi ayah saya telefon bagitau.”
“Awak risaukan mak awak ke?” Tepat tekaannya. Memang patutlah wajah gadis ini berkerut seribu. Serentak itu, hatinya lega kerana bukan lelaki itu yang mengganggu fikiran Dhia.
 Dhia angguk laju.
“Kenapa awak tak cakap awal-awal? Tak apa, awak tunggu di sini. Saya jumpa Encik Amin sekejap mintak dia tangguhkan meeting ni. Lepas ni, saya hantar awak balik kampung.” Ameal beredar meninggalkan Dhia termanggu-manggu di situ.
Biar betul Ameal hendak menghantarnya pulang ke kampung? Dia tak salah dengar ke? Sebentar tadi, otaknya baru saja terlintas mahu memohon cuti kecemasan dan minta Ameal menurunkannya di tepi jalan besar ketika dalam perjalanan pulang ke syarikat nanti. Di situ dia akan menahan bas saja untuk ke Kuala Pilah. Namun sekarang, Ameal menawarkan bantuan untuk menghantarnya hingga ke kampung. Baik hati sangat pula? Lelaki tu tengah bermimpi ke apa? Ke buang tabiat? detak Dhia. Sepuluh minit selepas itu, Ameal sudah pun memandu di atas jalan raya menuju ke Kuala Pilah.
“Encik Ameal,” panggil Dhia perlahan. Dia beralih sedikit melihat wajah Ameal.
Hurm...,” sahut Ameal. Matanya tekun memandang ke hadapan.
“Saya mintak maaf sebab saya dah menyusahkan encik.”
Sesaat Ameal melihat Dhia. Kemudian dia kembali fokus kepada pemanduannya. “Susahkan saya? Tak adalah. Awak tak menyusahkan saya. Saya ikhlas tolong awak.”
“Tapi kampung saya tu jauh encik.”
“Melati..., awak beruntung masih ada mak. Tak macam saya ni. Mama saya dah lama meninggal. Sejak saya kecik lagi. Bila saya lihat orang lain ada mama, saya jealous. Saya selalu bertanya, kenapa tuhan ambik mama saya dari keluarga saya. Saya belum puas merasa kasih sayang mama. Saya tak berkesempatan berbudi kepada mama. Anggaplah pertolongan saya ini sebagai membalas budi seorang ibu, walaupun ibu itu adalah mak awak.”
Dhia terdiam. Hatinya disentuh rasa sayu. Dia memang sudah mengetahui serba sedikit cerita sedih Ameal dari Liza. Ameal terdiam lama selepas itu. Seperti ada sesuatu yang difikirkannya.
“Saya nak berkenalan dengan keluarga awak. Izinkan saya menumpang kebahagian keluarga awak, Melati. Bolehkan?” soal Ameal mendadak.
Dhia terkesima. Bicara Ameal perlahan tetapi cukup pantas menyelinap ke dasar hatinya. Menyentuh lembut nalurinya. Ameal di sebelahnya ketika ini, bukanlah Ameal yang dia kenal. Tidak kasar kepadanya. Tutur Ameal juga tidak lagi menyakitkan telinga, tetapi menyentuh jiwa. Adakah kerana kekurangan kasih sayang seorang ibu maka Ameal mahu menumpang kebahagiaan keluarganya, tetapi kenapa nada bicara lelaki itu kedengaran lain pula dipendengarannya? Apa yang tersirat di benaknya? Apa yang tersurat di hatinya? Dhia keliru. Kesepian Ameal selepas itu, buatkan Dhia semakin buntu. Kata-kata Ameal yang terkandung maksud tersembunyi berlegar-legar di dalam kepalanya. Ingin sekali dia bertanya. Namun dia tidak berani.

Wednesday, July 1, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 42





“Hai Fir! Bila sampai dari Jepun?” Dipeluk sekejap tubuh lelaki itu.
“Pagi semalam. Aku baru nak jumpa kau. Nak submit Training Progress Report ni,” balas Firdaus. Fail yang berada di dalam tangannya ditayang di depan Ameal. Seketika pandangannya tertumpu kepada sisi wajah gadis yang terlindung di belakang Ameal.
Welcome home! Tak apa, kau simpan dulu TPR ni. Petang nanti, lepas aku balik dari Tegas Setia kita meeting. Okey?”
“Okey. Petang nanti kita jumpa.” Mata Firdaus masih tidak berganjak dari melihat sisi wajah gadis yang sedang mengelamun itu. Rautnya seperti dia kenal.
“Aku pergi dulu. Dah terlewat ni.” Ameal menepuk bahu Firdaus beberapa kali.
Firdaus hanya mengangguk. Selepas Ameal dan gadis itu hilang di balik dinding tangga, dia menghampiri Marissa di mejanya. “Is, siapa budak perempuan yang dengan Ameal tu?”
PA dialah!” Marissa membalas acuh tidak acuh. Sebut sahaja tentang budak perempuan sememeh tu, hati dia terus jadi sakit.
You tak jadi secretary Ameal lagi ke?” Firdaus memandang Marissa pelik.
“Itu dulu... Sebulan yang lepas. Sebelum kau pergi Jepun. Sekarang ni Ameal dah ada PA sendiri. Papa Aidil yang ambik. Aku sekarang ni full time secretary papa Aidil saja.” Marissa mencebek. Entah kepada siapa dia buat muka. Dhia bukan ada di situ pun. Takkan kepada Firdaus yang tidak ada kena mengena ni pula.
“Oh! Ya ke? Siapa nama dia?”
“Dhia Melati. Kenapa? Kau pun berkenan dengan budak tu jugak ke?”
“Siapa nama dia? Dhia apa?” soal Firdaus sekali lagi. Mahu memastikan yang dia tidak tersalah dengar.
“Kau ni, sejak balik dari Jepun dah jadi pekak ke?” rengus Marissa. Dia sudahlah menyampah, lagi hendak sebut nama perempuan tu berkali-kali? Huh! Alergi!
“Kurang jelas. Bukan pekak. Siapa nama dia tadi?” Kalau betullah itu gadisnya, memang dia tak sangka mereka akan jadi rakan sekerja. Kuat jodoh mereka nampaknya. Tetapi bagaimana dengan Juwita?
“Dhia Melati lah... Dah! Jangan tanya aku banyak-banyak kali. Buat sakit hati saja. Jangan kau cakap dekat aku, kau pun suka budak tu sama macam Ameal!” Marissa mengambil sebuah fail di rak sebelah meja, lalu dihempas di hadapannya. Fail itu dibuka dan diselak kasar. Tak pasal-pasal fail itu menjadi mangsa tempat dia melepaskan geramnya.
“Dhia Melati?!” Jadi, tidak salah mata dia melihat tadi. Itulah bakal Mrs. Firdausnya. Hampir dia tidak perasan kerana Dhia sekarang sudah berhijab, tapi..., apa maksud Marissa melarang dia suka kepada Dhia? Apa, Ameal dah tersangkut dengan Dhia ke? Sebab itu Marissa marah-marah bila sebut tentang Dhia? Kalau betul, ini tak boleh jadi ni... Dia kena tolak tepi soal Juwita. Dhia Melati perlu dimenangi.
Dan selepas itu Firdaus tidak sabar-sabar menunggu hari menjelang petang.