Total Pageviews

Tuesday, April 7, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 30




Bab 30
Ayin sudah sebulan pulang ke Malaysia. Chad pula sudah dua minggu berangkat ke UK semula. Yang peliknya, sejak Chad balik UK setiap hari Chad menghubungi dia. Macam-macam yang Chad bualkan. Selalunya dia jadi tukang dengar saja. Naik panas cuping bila ganggang melekap lama di telinga. Banyak sangat ke duit si Chad tu? Dahlah buat panggilan dari jauh, lama pula. Memang begitu ke cara Chad melayan seorang kawan? Lagi pelik bila Chad buat permintaan yang bukan-bukan. Apa kes Chad minta dia tunggu tiga bulan? Bila tanya, Chad cuma jawab, “adalah... Nanti awak tahu. Surprise!”
Pening kepala melayan perangai Chad ni. Lantak Chadlah. Malas nak ambil tahu apa surprise Chad tu. Nak kahwin dengan perempuan mata biru, rambut bulu jagung kot. Nampaknya telan air liurlah Puan Julita. Diakan tak suka perempuan mat saleh? Kalau anak dah suka, Puan Julita boleh buat apa? Mahu tak mahu, kena jugalah terima.
Sejak Ayin balik, Mak Long dan Pak Long pun sudah lama tidak dijenguk. Takut nanti terserempak dengan Ayin. Pecah pula tembelang. Kasihan Ayin, masih tidak tahu tentang hal sebenar antara mereka berdua.
 “Bila Riya nak jalankan plan Riya tu? Dah sebulan Ayin balik. Riya senyap saja?” Mak Long bertanya ketika Yaya telefon bertanya khabar hari tu.
“Nantilah mama. Tunggu masa yang sesuai dulu.”
“Lama sangatlah... Riya pun bukan nak datang sini jumpa mama sejak Ayin balik ni. Mama dah rindu tau!” suara Mak Long merajuk.
“Sabarlah mama. Masanya akan tiba. Riya pun rindukan mama dan papa juga.”
“Apa-apa sajalah kau orang berdua ni.” Mak Long mengalah.
“Dia mana mama?”
“Dia tu siapa?” Mak Long mula mengusik.
“Ayin mama...”
“Ooo... katalah Ayin. Ingatkan tanya papa.”
Ke situ pula Mak Long ni. Tanya pasal Pak Long buat apa? Saja tau nak mengusik.
“Ada dalam bilik. Tengah bersiap. Nak keluar. Katanya nak pergi hantar resume.”
“Mama cakap dengan siapa tu?” Tiba-tiba Yaya terdengar suara sayup-sayup di sebelah sana.
“Ayin ke mama?”
“Haah!”
“Okeylah mama! Riya letak telefon dulu ya? Nanti dia tahu pula. Assalamualaikum...” Terus ganggang telefon diletakkan. Jantung berdegup kencang.
Esoknya, pagi-pagi lagi Encik Kamil memanggil Yaya ke biliknya.
“Yaya, masuk bilik saya sekejap,” suara Encik Kamil berkumandang dari interkom.
“Baik Encik Kamil.” Yaya bangun dari kerusi. Melangkah laju ke bilik Encik Kamil. Entah kenapa, sejak semalam hatinya risau semacam. Tak berapa nak sedap sangat. Seperti ada sesuatu yang tak kena. Bila Encik Kamil pagi-pagi lagi dah panggil dia, hati semakin huru-hara. Mana pernah Encik Kamil cari dia pagi-pagi. Selalunya Kak Fatimah yang menghadap Encik Kamil. Dia ada buat salah ke? Tiba di hadapan pintu pejabat Encik Kamil, kaki Yaya mati di situ. Tidak berani nak mengetuk pintu itu.
“Yaya! Kenapa tegak macam patung depan pintu ni?” tegur salah seorang staf Account Department yang melalui koridor tersebut. Yaya sengih. Terus buku lima singgah ke papan pintu pejabat Encik Kamil.
“Masuk!” Suara Encik Kamil terdengar dari dalam. Yaya pulas tombol pintu dan menolaknya dengan penuh berhati-hati. Kaki melangkah setapak dan berhenti di muka pintu.
“Ya, Encik Kamil. Ada apa-apa yang boleh Yaya bantu.” Yaya bertanya perlahan. Takut juga jikalau dia betul-betul ada buat salah.
“Fatimah tak adakan?”
Ooo... Yalah! Baru teringat. Kak Fatimah cuti hari ni. Sebab tulah Encik Kamil nak jumpa dia. Diakan assistant Kak Fatimah. Tentulah Encik Kamil jumpa dia. Takkan Encik Kamil nak jumpa Kak Midah cleaner pula kan? Apa punya blurlah kau Yaya! Yaya melangkah menghampiri meja Encik Kamil, bersama sebuah senyuman di bibir.
“Ya, Encik Kamil. Kak Fatimah cuti hari ni.”
“Nah, Yaya ambil resume ni. Lepas tu telefon budak ni, suruh datang interview besok. Besok dia datang, lepas interview, minta Fatimah issue offer letter terus dan minggu depan mintak dia start kerja. Saya dah buat short-list, budak ni yang paling sesuai.”
Yaya sambut sampul yang Encik Kamil hulurkan. Uish! Cepat sungguh buat short-list? Baru seminggu saja kot, jawatan kosong tu diiklankan. Ramai sangat ke yang apply? Hari ni dah nak close interview, Yaya tertanya-tanya. Tentang temu duga jawatan kosong tu, memang Yaya tak tahu. Dari pengiklanan hingga ke penerimaan borang permohonan, semuanya Kak Fatimah uruskan. Calon-calonnya pun Yaya tak pernah nampak. Semua resume Yard yang terima. Kemudian terus diserahkan kepada Kak Fatimah.
“Baik Encik Kamil. Ada apa-apa lagi Encik Kamil?”
“Tak ada apa-apa.”
“Terima kasih, Encik Kamil. Yaya keluar dulu.” Yaya melangkah keluar dari pejabat Encik Kamil dan kembali semula ke mejanya. Kalau dah tak kena marah dengan Encik Kamil, kenapa hati masih lagi berdebar?
Duduk sahaja di kerusinya, sampul surat terus dibuka. Si pemohon harus dihubungi dengan segera. Manalah tahu, tidak dapat hadir pula untuk temu duga esok hari. Bolehlah dia atur semula pada hari lain. Encik Kamil beria-ia mahu calon ini bekerja di PAC. Mula kerja pada minggu hadapan pula tu. Tinggal beberapa hari saja lagi ni. Bermakna, tidak dapat tidak, dia mesti menghubungi calon itu sampai dapat.
Helaian kertas yang berkampil dengan dawai kokot, ditarik keluar. Dia mula membaca butir yang tertulis. Mata terus mati pada nama yang tertera. Seperti tidak percaya.
“Betul ke dia ni? Mungkin nama saja sama kot.” Cuba untuk menidakkan apa yang terpampang di depan mata. Yaya ambil pula sekeping gambar yang terjulur keluar dari dalam sampul surat itu. Gambar bersaiz 4R dengan wajah penuh separas bahu, direnung tajam.
“Betul ke dia?” Yaya cuba mengingati wajah lelaki itu. Dibandingkan pula gambar itu dengan gambar yang pernah dia tengok di rumah Mak Long.
  “Gambar pun sama. Confirm, memang dia! Punya banyak syarikat pengiklanan dekat KL ni, kenapa dekat sini pula dia mintak kerja.” Resume dibaca berulang kali. Azrin Hisham. Memang Ayin. Patutlah dada aku berdebar saja, detik Yaya. Memang betul kata Mak Long. Jodoh mereka kuat. Tak lama lagi, nak jadi office mate pula. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia mulakan plan menguji. Adakah Ayin baik seperti yang Mak Long dan Pak Long katakan. Paling penting jawapan kepada soalannya selama ini. Masihkah Ayin ingat padanya? Masihkah Ayin sukakan dia? Adakah perasaan Ayin masih sama?
Ganggang diangkat. Tinggalkan pesanan pada Mak Long sajalah. Tentu Mak Long pun terkejut jika tahu Ayin bakal sepejabat dengannya.
Hari yang ditunggu tiba. Kak Fatimah sudah dimaklumkan tentang sesi temu duga pagi ini. Fail resume serta salinan lengkap sijil-sijil graduan Ayin diserahkan kepada Kak Fatimah.
“Hmm... Patutlah Encik Kamil terus nak ambik dia bekerja. Memang dia calon yang sesuai. High education, banyak pengalaman bekerja. Bekas pekerja syarikat dekat oversea pula tu. Memang padanlah...”
Yaya senyum. Resume tu, entah berapa kali dia khatam semalam. Sampai melekat semua butir-butir tentang Ayin di dalam otak dia ni. Kalaulah ada ujian tentang Ayin, pasti dia dapat A+++++++. Uish! Berderet plusnya. Eh! Tentulah. Buah hati kita kan?!
“Nanti masuk sekali ya?”
“Hah, eh! Tak naklah kak.”
“Dah kenapa pula? Budak ni handsome ha... Bolehlah kita cuci-cuci mata masa interview tu nanti. Jadi Optrex...” Kak Fatimah julang tinggi menayang gambar Ayin di depan Yaya. Gatal Kak Fatimah. Tibalah angin tak berapa nak betul dia tu.
“Nanti jealous Abang Hamdan,” ujar Yaya merujuk kepada suami Kak Fatimah. Yaya kenal dengan Abang Hamdan. Manakan tidak, seminggu dua tiga kali Abang Hamdan datang ke pejabat ini bila waktu tengah hari bawa isteri tersayang keluar makan.
“Janganlah Riya bagitau Abang Hamdan. Alah! Macam tak biasa.”
Yaya ketawa. Untung betul dapat head of department supporting seperti Kak Fatimah ni. Tak adalah otak tension buat kerja sepanjang hari. “Tak bolehlah kak. Kan Riya kena pergi pejabat Socso pagi ni.”
“Iya ke? Kalau macam tu, rugilah Riya. Akak mohon cuci mata sendirian ha? Jangan jealous tau!”
Yaya geleng kepala sambil ketawa. Tak ada maknanya dia nak jealous. Itu tunang dia kan? Suka hatilah Kak Fatimah nak buat apa. Optrex ke, Eyemo ke. Hujung-hujung Ayin tu milik dia juga. Kalaulah Kak Fatimah tahu, tentu dia jealous tahap Ultraman.
Senyuman Yaya terus meleret panjang kala dia meninggalkan pejabat Kak Fatimah. Dia perlu secepat mungkin keluar dari bangunan PAC ni. Buatnya Ayin sampai lebih cepat dari yang dijadualkan, tidak ke nanti terserempak.
Hari ini sebelum balik, dia mahu singgah di pasar raya dulu. Esok dan Ahad boleh mulakan projek di rumah. Isnin minggu hadapan, hari pertama Ayin bekerja, akan ada sesuatu yang menanti Ayin. Yaya rasa tak sabar. Teruja untuk memulakan operasi menguji Ayin.

Sunday, April 5, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 29




Bab29
Anak matanya tertancap kepada satu susuk tubuh di pintu restoran. Ayin lihat sekejap jam di tangannya. Setengah jam lewat dari masa yang dijanjikan.
Apasal lambat?” terus diterjah Chad dengan soalan itu, sebaik sahaja Chad menarik kerusi di depannya.
Sorry! Aku ada lunch date tadi.”
“Bukan kau kata nak lunch dengan aku ke?” Ini yang dia nak naik angin ni. Janji dengan dia, tapi makan dengan orang lain. Lepas tu tak telefon beritahu pula. Bersapaulah dia menunggu. Nasib dah kenyang. Kalau tidak, Chad ni dia telan hidup-hidup.
“Sekali lagi, sorry! Memang aku nak lunch dengan kau tapi masa aku on the way, lalu depan ofis papa aku, tiba-tiba teringin nak jumpa seseorang. Ingat nak jumpa dia sekejap saja. Entah macam mana terus jadi lunch date pula,” terang Chad bersama senyuman melebar ke pipi. Bercahaya-cahaya wajahnya. Berbunga-bunga hatinya.
“Ni tentu perempuankan?” tebak Ayin. Tengok muka tu pun dah tahu. Faham sangat dengan perangai Chad. Kalau pasal perempuan, lupa semua perkara. Chad cuma senyum.
“Betullah tu!” Ayin jawab sendiri. “Apa yang penting sangat, sampai tak boleh nak bercakap dalam telefon?” Ayin kerut dahi. Jus oren ditenguk sekali.
“Aku nak terus balik Malaysia.”
“Apa?!” Mulut Ayin melopong.
“Minggu depan bila aku balik UK, aku nak uruskan semuanya. Hantar notis berhenti kerja lepas tu settlekan hal-hal lain. Lepas tiga bulan aku balik,” beritahu Chad disertai dengan wajah teruja.
“Hah?!” Ayin tambah bingung. “Kenapa tiba-tiba?”
“Dah sampai seru aku nak berkeluarga!”
“Hah?!” Tidak sampai lima minit dia duduk dengan Chad, sudah dua kali jantung terhenti. “Kau ni biar betul. Buang tabiat ke apa? Habis tu, kawan perempuan kau yang ramai dekat Portsmouth tu nak buat apa?”
“Dah namanya pun kawan perempuan, buat kawan sajalah.” Chad ketawa melihat riak wajah Ayin.
“Biar betul kau, Chad?”
“Betullah. Apa nak main-main pula.”
“Nak kahwin?” Ayin mahukan lebih kepastian.
“Iya!”
“Dengan siapa?”
“Mama dan papa aku yang perkenalkan. Aku baru first time jumpa dia malam tadi.”
“Hah?! Kau biar betul Chad? Baru first time jumpa dia, kau dah nak kahwin dengan dia?” Lagi lama duduk dengan Chad ni, ada harapan jantungnya berhenti berdegup.
“Kau tahu love at first sight tu apa?”
“Eh! Mestilah.” Dia pun pernah merasa perasaan itu bila kali pertama terlihat Yaya dahulu. “Tapi kau baru kenal dia. Takkan dah ambik keputusan nak kahwin? Kerja gila tu Chad. Kahwin ni benda penting. Bukan benda main-main.”
“Aku tak main-main, Yin. Memang aku sukakan dia. Kali pertama jumpa dia, hati aku terus cakap, dialah orangnya. Memang aku baru kenal dia tapi mama dan papa aku dah lama kenal dia. Mama dan papa aku pun sukakan dia.” terang Chad bersungguh-sugguh mahu meyakinkan sahabatnya ini. “Perempuan macam dia, bukan selalu muncul depan kita, Yin. Bukan hari-hari boleh jumpa. Jadi bila aku dah jumpa, aku tak nak lepaskan peluang ni.”
Ayin gelengkan kepala berulang kali. Masih tidak percaya dengan keputusan mendadak Chad ini. Dia yang sudah lama ada Yaya bertapak di dalam hati pun, belum terniat hendak berkahwin kalau dah jumpa Yaya nanti. Bagi dia, perkahwinan adalah satu langkah yang amat besar dalam hidup. Untuk berkahwin dia perlu bersedia dari segala segi. Kerana perkahwinan totally akan merubah tiga ratus enam puluh darjah rutin hidup dia, tapi Chad...? “Memang kau berani!”
Chad ketawa kecil. “Dalam hidup kita kena berani buat perubahan dan ambik risiko, Yin. Kau pun mesti berani ambik risiko. Cari Sinar sampai jumpa, dan mulakan hidup bahagia dengan Sinar. Kau orang dah terlalu lama terpisah,” nasihat Chad.
“Kalau dia dah kahwin macam yang kau cakapkan, macam mana?” terus Ayin menyoal. Menyatakan kebimbangan di hatinya selama ini.
“Rupanya kau tak jadi pergi cari dia semalam, pasal ni ke?”
Ayin diam.
“Betullah tu!” Chad jawab sendiri. “Kalau dia dah kahwin, kau kena terima jodoh kau bukan dengan dia. Tuhan lebih mengetahui, Yin. Mungkin ada orang yang lebih baik buat kau, tapi kalau dia belum kahwin macam mana?”
Ayin senyap lagi.
“Kau kena hadapi. Sampai bila kau nak simpan perasaan kau, Yin. Sembilan tahun tu terlalu lama. Kau perlu mencari pengakhiran cerita hidup kau dan Sinar, kalau kau betul-betul masih sayangkan dia.”
Lama Ayin berfikir. Ada betulnya juga cakap Chad. Dia perlu berani! “Tutup cerita pasal aku. Cerita aku belum tahu ke mana, tapi kau dah pasti. Kenalkan aku bakal isteri kau tu,” tutur Ayin menamatkan perbualan mereka tentang Yaya. Chad geleng kepala. Apa makna geleng kepala tu? “Kenapa?” tebak Ayin.
“Belum masanya aku nak kenalkan pada kau. Nanti kau dah jumpa dia, kau berkenan pula. Susahlah aku. Kena berebut dengan kawan sendiri!”
“Tak ingin aku. Aku ada Sinarlah! Sinar aku yang terbaik.”
“Aku cuma kenal bakal isteri aku. Apa yang aku tahu, dia yang terbaik untuk aku antara semua wanita dalam dunia ini. Sinar kau aku tak kenal. Jadi aku tak boleh kata, Sinar kau lagi baik dari bakal isteri aku.” Chad sengih. Ayin geleng lagi. Memang tak faham langsung dengan prinsip hidup Chad. Berkawan dengan perempuan memang ramai, tapi bila berjumpa yang berkenan, tak payah nak kawan-kawan terus kahwin saja.
“Sekarang ni aku sedang berusaha pikat dia. Tawan hati dia. Balik dari UK nanti aku nak terus kahwin dengan dia. Tak mahu tunang-tunang. Buang masa! Confirm saja kami nak kahwin nanti, orang pertama yang akan aku kenalkan bakal isteri aku, adalah kau.”
“Aku doakan kau bahagia. Nampaknya, aku makan nasi minyak kau dululah!”
Chad ketawa. Ayin turut ketawa. Soal Yaya sebentar tadi terus terlupa.
“Kau nak jumpa aku hari ni, semata-mata nak bagitau yang kau nak kahwin ke?” soal Ayin selepas tawa mereka reda.
“Pasal jawatan kosong dekat company advertisement family aku.”
La..., sama cabang dengan kerja mereka di Portsmouth juga rupanya tapi kenapalah Chad suka bersusah payah dekat sana. Kerja dengan syarikat keluarga sendiri, kan senang? Bukannya kau tak kenal Chad tu macam mana? desis Ayin sendiri.
“Ada kekosongan jawatan Assistant Marketing Manager. Kau apply lah. Nanti kita boleh kerja sama-sama semula.”
Alhamdulillah... selesai satu masalah. Cepat dapat kerja, tak adalah lama sangat duk melahu di rumah. Makan tidur, makan tidur saja.
“Kau kerja dulu, lepas tiga bulan kita akan jadi rakan sepejabat pula.”
Yesss! Set!”
Chad calitkan ibu jarinya pada ibu jari yang Ayin suakan di depan mata.

Friday, April 3, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 28




Bab 28
Seperti diduga, berdiri saja di depan pintu masuk kafe itu, semua mata tertumpu kepada mereka berdua. Hampir separuh rakan sepejabatnya berada di situ. Termasuklah Azhan.
Hantu bungkus Azhan ni! kutuk Yaya dalam hati. Kenapa Azhan tak ajak dia turun makan tengah hari? Kalau tidak, tak adalah dia berdiri di sebelah Chad saat ini. Eh! Bukan ke pagi tadi dia pesan minta Azhan tapau makan tengah hari? Yaya tepuk dahi. Baru teringat.
“Yaya kenapa?” Chad memandang pelik.
“Hah?!”
“Kenapa tepuk dahi?”
Errr...” Apa alasan? Nanti Chad ingat dia kurang siuman pula. Cakap nyamuk gigit? Wei! Yaya. Dahi kau ada mata ek? Kau nampak pula ada nyamuk dekat situ.
“Saya rasa, macam nak pitam!”
Spontan Chad menarik tangan Yaya. “Nak Pitam?! Jom duduk cepat!” Chad cemas. Kerusi yang paling hampir ditarik. Kedua-dua tangan diletakkan pada bahu Yaya. Memaksa tubuh Yaya duduk di kerusi itu. Kemudian, laju tapak tangannya melekap di dahi Yaya. Hendak merasa suhu badan Yaya. Yaya mengelak tetapi sudah terlambat. Saat itu juga anak mata Yaya jatuh ke wajah Azhan yang duduk bertentangan dengannya, selang dua buah meja. Azhan buntang mata.
“Awak okey ke tak ni Yaya?”
“Okey! Okey! Saya okey!” Yaya mengelak lagi. Tidak mahu telapak tangan Chad terus berada di dahinya.
“Sebab tulah saya kata, time makan kena makan. Tengok sekarang ni? Nasib baik tak pitam betul-betul. Kalau tidak, saya dukung awak terus pergi klinik saja.”
Glup! Kalau begitulah, lagi hebat dia kena gosip nanti.
“Awak tunggu sini. Tak payah bangun. Biar saya saja yang pergi ambik nasi untuk awak.” Chad terus beredar menuju ke ruang bufet kafe yang menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk. Yaya pula tidak berani angkat muka. Tak sanggup melihat reaksi wajah Azhan. Juga tidak berani melihat kepada semua rakan sepejabatnya yang lain. Dia pasti mereka semua tidak beralih pandang dari dia. Malu betul rasanya. Siaplah kau Yaya! Muak kena usik nanti.
Chad kembali semula ke meja. Terbeliak mata Yaya melihat isi yang menggunung di dalam pinggan di hadapannya. Agaknya Chad ni memang pesen suka bubuh makanan dalam pinggan orang banyak-banyak. Makan malam di rumahnya malam tadi pun begini juga. Apa Chad ingat dia ni buruk melantak ke? Agak-agaklah! Untuk diri sendiri pandai pula ambil sedikit saja. Lauk pun, lebih banyak sayur dari protein. Orang dah biasa telan salad dua puluh empat jam, begitulah agaknya. Macam kambing pula, suka makan daun.
Meh! Tangan tu.” Chad hulurkan sebelah tangannya kepada Yaya. Sebelah lagi memegang kendi.
“Hah?!” Yaya kelabu.
“Basuh tangan dulu, baru boleh makan.” Terus Chad ambil tangan Yaya. Letak atas kendi dan mula membasuh tangan gadis itu.
Chad basuhkan tangan dia?! Secepat kilat Yaya larikan anak matanya mencari Azhan. Kali ini, anak mata Azhan seperti nak terjojol. Cepat Yaya menarik tangannya. Tunduk semula. Takut nak angkat muka. Sepanjang waktu makan, bising mulut Chad bercakap. Ada saja yang diceritakan. Habis semua tentang Yaya disoal, tapi Yaya bukannya lurus sangat pun. Dia ni seperti highway. Ada lurus, ada bengkok. Takkan nak cerita semua kisahnya pada Chad. Dalam seratus persen, suku sahaja yang dia cerita. Baru kenal kan? Mana boleh nak buka cerita luar dalam. Cerita yang luaran sahaja cukuplah. Usai makan, Chad mengiringi Yaya hingga ke pintu utama PAC saja. Kalau Chad hantar sampai ke tingkat empat, kenalah sumbat kapas dalam telinga.
“Saya hantar sampai sini saja ya?”
“Eh! Tak apa. Kalau awak tak hantar, lagi saya tak kisah.”
“Hah?!”
“Tak! Tak! Maksud saya, saya tak mahu susahkan awak. Terima kasih belanja makan tengah hari tadi.”
“Tak perlu nak berterima kasih. Kitakan kawan?”
Apa? Kawan? Yaya ketawa dalam hati. Dia rasa lega. Gembira pun ada. Jika Chad tak ada di depannya, tentu dia dah terlompat-lompat suka. “Saya naik dulu,” tutur Yaya. Sempat juga dia tersenyum kepada Chad.
Chad terpana seketika. Oh! Manis sungguh senyumannya, detak Chad. Dia dah tertawan pada gadis yang sangat menawan. “Okey! Saya pun nak balik. Nak jumpa kawan lelaki saya sekejap. Ada hal.”
Pergilah Chad... Aku tak ambik kisah pun kau nak pergi mana. Nak jumpa siapa. Lelaki ke, perempuan ke. Nak pergi dating dengan awek pun, aku tak kisah. Kita kawan saja kan? Aku peduli apa, bisik hati Yaya.
Bye!” kata Yaya.
Bye!” balas Chad.
Dan mereka berpaling ke arah yang bertentangan. Chad menuju ke keretanya di petak parkir di tepi jalan, Yaya melangkah masuk ke dalam bagunan PAC. Lalu sahaja di hadapan meja penyambut tetamu, Yard sudah bersedia dengan senyuman nakalnya.
“Amboi! Mesranya? Siap babai-babai bagai. Bertuahlah kau Riya... Dapat anak bos...”
“Kita orang kawan sajalah,” sanggah Yaya. Memang itu yang Chad katakan tadi.
“Yalah... Mula-mula berkawan. Lepas tu...”
“Tak adalah...” cantas Yaya. Terus Yard ditinggalkan. Lagi lama dia di situ, lagi kuat Yard menyakat dia nanti. Kaki memanjat tangga ke tingkat atas. Baru saja memijak anak tangga menuju ke aras tiga, tiba-tiba namanya dipanggil.
Wei Riya!”
Azhan! Perlahan Yaya palingkan tubuhnya. Dia tersenyum sumbing kepada Azhan. “Hai...” Tangan diangkat sedikit.
“Dah! Tak payah nak berhai-hai dengan aku. Jangan kau buat senyum kambing kau tu. Meh! Ke sini kau!” Azhan menggamitkan tangannya. Tersekat-sekat langkah Yaya menghampiri Azhan. Melihat senyuman sinis di bibir Azhan, dia tahu, dia akan menjadi bahan usikan temannya itu. Sedia sajalah menadah telinga.
“Amboi amboi amboi... Bukan main romantik lagi? Patutlah aku ajak lunch kau tak nak. Suruh tapau saja. Banyak kerja konon... Rupanya ada lunch date! Kot ya pun, pergilah tempat lain. Tak adalah aku nampak. Ini tidak, dekat kafe depan tu saja. Ke kau sengaja nak tunjuk dekat aku? Berpimpin tangan, main sapu-sapu dahi, makan berambikkan, siap tolong basuhkan tangan lagi!” Azhan bercekak pinggang. Usikannya seperti versi mak tiri tengah membebel pula.
“Memang aku banyak kerja dekat atas. Aku tak nak pergi makan tapi dia paksa aku. Habis tu, aku nak buat macam mana lagi?”
“Aku tak percaya. Alasan! Okey! Aku pun tengah banyak kerja dekat dalam. Tak ada masa nak berborak dengan kau sekarang ni.” Azhan sengih nakal, lalu menolak pintu dan masuk semula ke dalam pejabatnya.
Yaya tersenyum. Senyum bukan kerana usikan Azhan, tetapi senyum kerana dia rasa lega. Bukan seperti sangkaannya. Tidak juga seperti yang Azhan katakan. Chad sukakan dia, atas dasar kawan. Bukan suka kerana dah jatuh cinta kepada dia. Balik ni, dia nak tidur nyenyak-nyenyak. Ganti semula tidurnya yang terganggu malam tadi. Sakit kepala? Entah! Tiba-tiba saja hilang sendiri.