Total Pageviews

Tuesday, March 10, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 2




Bab 2
Masa begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik, kini sudah empat bulan umi dan abah Yaya meninggal dunia. Bermakna sudah empat bulan juga Yaya menjadi sebahagian dari keluarga Mak Ina. Dan sekarang, hampir sebulan Yaya menjalani ibadah berpuasa bersama Mak Ina dan Nek Ngah tanpa abah dan umi. Sedih rasa di hati bukan kepalang tetapi Yaya enggan meratapinya kerana dia sudah reda menerima ketentuan dan ujian ini. Namun begitu, tidak pernah sedetik pun dia melupakan arwah abah dan umi. Saban waktu dititipkan doa buat keduanya. Moga tenang roh mereka di sana. Bukankah dia mahu menjadi anak yang soleh? Anak yang selalu mendoakan ibu dan bapanya?
Lusa, Hari Raya Puasa bakal tiba. Juga raya pertama yang disambut tanpa umi dan abah. Tak rasa sayu? Hiba? Sedih? Usah dicerita... Bagai tidak terkata menanggungnya, tapi Yaya tabahkan jua. Dia tidak mahu Mak Ina terasa hati apabila melihat dia berduka. Bimbang Mak Ina menyangka dia tidak hidup bahagia bersama Mak Ina. Wanita itu sudah terlalu banyak berkorban untuk dia. Wajar dia menjaga hatinya.
Sekurang-kurangnya Yaya masih menyambut Hari Raya bersama-sama orang yang mengambil berat tentang diri dia. Mak Ina, Shidan, Ayip dan juga Nek Ngah adalah insan-insan yang menyayangi dia. Tentu beraya dengan mereka tiada cacat celanya. Meriahnya pasti terasa, walaupun perasaan bahagia itu tidak setara tika beraya dengan umi dan abahnya. Amatlah tidak adil sekiranya dia membandingkannya, kerana situasi dan keadaan sekarang jauh berbeza.
Nek Ngah, nenek saudara Mak Ina tinggal di rumah pusaka sebelah rumah Mak Ina. Kasihan Nek Ngah, dia tinggal sendirian. Suaminya sudah lama meninggal dunia. Sepanjang usia perkahwinannya, Nek Ngah tidak dikurniakan anak. Kepada Mak Inalah, anak kakaknya, Nek Ngah menumpang kasih. Nek Ngah juga tidak ada adik-beradik lain. Jadi, selama Yaya tinggal di sini, dialah yang selalu membantu Mak Ina menjaga sakit pening Nek Ngah. Menemani tidur malam Nek Ngah. Kadang-kadang, sekiranya ada kelapangan, Yaya sediakan juga makan dan minum Nek Ngah.
Tengah hari itu, selepas pulang dari sekolah, Yaya ringan tangan menolong Nek Ngah memasak juadah untuk berbuka puasa. Mak Ina pula sibuk membakar kuih di rumahnya. Sudah berbalang-balang dan bermacam jenis kuih raya Mak Ina. Dari yang berbentuk bulat, lonjong hingga bersegi. Pelbagai perisa dan warna. Dari yang moden sampai ke tradisional, semuanya ada. Rupanya masih tidak cukup-cukup juga. Bila teringatkan Mak Ina, Yaya tersenyum sendiri.
Beria-ia betul Mak Ina menyambut lebaran pada tahun ini. Jahit langsir baharu. Sarung kusyen berganti. Beli karpet. Pagar, dinding dan siling rumah juga sudah bertukar warna. Selama seminggu setiap petang Yaya, Shidan dan Ayip bertungkus-lumus mengecat rumah. Hidung pun sudah naik pedih menghidu bau cat. Semuanya gara-gara melayan kerenah Mak Ina yang terlalu teruja hendak menyambut hari raya. Agaknya Mak Ina tidak mahu Yaya merasa ada kekurangan menyambut hari raya tanpa abah dan uminya.
Hari ini, mereka berbuka puasa di rumah Nek Ngah. Sedang sibuk Yaya mengacau gulai siput sedut, Nek Ngah terpacul di pintu dapur. Dia baru balik dari meranduk semak di belakang rumah. Mengutip pucuk muda kangkung liar di dalam tali air di tepi bendang.
“Yaya, nanti kangkung ni goreng dengan belacan ya.” Nek Ngah menghampiri gadis itu di para dapur. Lalu diunjukkan secekak sayur kangkung kepada Yaya.
“Nanti Yaya gorengkan untuk nek ngah. Special punya. Makan pun sampai menjilat jari,” kata Yaya bersulam tawa kecil. Sayur itu disambut, kemudiannya diletakkan ke dalam sinki di tepi para dapur.
“Ya..., nek ngah tahu Yaya memang pandai masak,” usik Nek Ngah pula. “Nek ngah masuk solat zohor dulu.” Nek Ngah kemudiannya beredar menuju ke biliknya di ruang hadapan rumah. Baru beberapa tapak Nek Ngah berjalan,dia berpaling kepada Yaya.
“Yaya... Nanti tolong nek ngah kemaskan bilik yang dekat depan tu, ya. Lusa dah nak raya. Besok Pak Long dan Mak Long kamu tentu balik.”
“Ya, nek ngah. Nanti lepas masak ni, Yaya kemaskan.”
“Paling penting bilik tepi tangga tu. Itu bilik Along dan Ayin, anak Pak Long dan Mak Long kamu.”
“Anak Pak Long dan Mak Long yang mana nek ngah?” Yaya kerut dahi. Cuba mengingati sambil tangan sibuk mengacau gulai siput sedut. Api dapur kayu dileraikan sedikit supaya tidak terlalu marak. Nanti gulai pecah minyak.
“Kamu tak kenal ke?”
“Tak, nek ngah. Yaya belum pernah jumpa dia orang lagi. Hari tu, masa mula-mula Yaya tinggal dengan Mak Ina pun, Yaya cuma jumpa Pak Long dengan Mak Long saja. Anak dia orang tak balik masa tu. Anak Pak Long dan Mak Long tu ada berapa orang nek ngah?”
“Pak Long dan Mak Long kamu tu ada dua orang anak lelaki saja, Yaya. Along dan Ayin. Hmm..., memang agaknya keturunan nek ngah ni tak ramai adik-beradik. Nek ngah dua beradik. Si Ina pun dua beradik. Anak Ina pun dua. Anak Yah pun dua juga,” keluh Nek Ngah. Yaya hanya senyum. Yaya ingat lagi, hari itu dia baru dua hari tinggal bersama Mak Ina. Abang ipar dan kakak Mak Ina balik untuk berjumpa dan berkenalan dengan dia, selepas Mak Ina beritahu mereka yang Mak Ina mengambil dia menjadi anak angkatnya. Pak Long dan Mak Long masa tu balik berdua sahaja. Dua orang anak lelakinya tidak ikut serta.
“Kalau Yaya tak kenal lagi, tak apa. Besok dia orang balik, Yaya kenallah dengan Along dan Ayin tu,” sambung Nek Ngah kemudiannya. Yaya angguk kepala. Matanya kembali kepada periuk berisi gulai siput sedut yang sedang dikacau.
“Nanti Yaya jangan lupa bersihkan betul-betul bilik tu.”
“Kenapa nek ngah?”  soal Yaya selepas dia mengalihkan periuk gulai ke tepi. Matanya jatuh semula kepada Nek Ngah. Pelik permintaan Nek Ngah tu. Selama ini, tak pernah pula Nek Ngah kompelin kerja rumah yang dia lakukan tidak sempurna.
“Along tu nek ngah tak kisah sangat. Si Ayin tu yang nek ngah risaukan. Dia bukan boleh tidur kalau bilik tu berhabuk. Badan gatal-gatal, kata dia. Bila badan merah-merah, mulalah dia bising. Lagi teruk, bila dia terbersin. Sampai sepuluh kali... Lepas tu, mulalah! Hidung dia berair,” cerita Nek Ngah panjang lebar tentang Ayin. Yaya pandang muka Nek Ngah tepat-tepat. Saat ini hatinya berkata-kata. Budak yang nama Ayin tu mesti budak yang banyak cekadak. Habuk sikit, dah nak gatal-gatal satu badan. Mengalahkan kulit orang perempuan sensitifnya.
“Petang nanti, masa Yaya pergi beli kuih untuk berbuka, Yaya singgah rumah Mak Senah sekejap. Ambik toto yang nek ngah kirimkan dekat dia. Nek ngah mintak tolong Mak Senah belikan toto baru minggu lepas.” Nek Ngah menambah katanya lagi.
Toto?! Buat apa dengan toto baru tu nek ngah? Dalam bilik nek ngah kan banyak toto? Yaya nampak berbeg-beg atas almari tu. Elok lagi. Masih cantik!” Yaya masih memandang wajah Nek Ngah. Benaknya penuh dengan tanda tanya. Nek Ngah ni nak buka kedai jual toto ke apa? Dah dekat sedozen toto atas almari tu. Kalaulah setiap kali budak tu balik Nek Ngah beli toto baru, rasanya Nek Ngah boleh bukak yard sale tak lama lagi, bebel hati Yaya.
“Itu toto lama. Dah berbau hapak. Ayin tak nak tidur atas toto lama tu. Atas tilam kekabu tu pun, dia tak nak tidur. Banyak pijat katanya. Habis bintat-bintat nanti badan dia. Tulang belakang dia tu, sakit-sakit kalau tidur atas tilam kekabu tu. Keras sangat kata Ayin,” celoteh Nek Ngah berjeda. Banyak bunyi betul budak tu. Memang sah budak nama Ayin ni banyak songeh.
“Kamu jangan lupa beli ubat nyamuk sekali, Yaya. Ayin kata rumah nek ngah ni banyak nyamuk. Dia cakap boleh kering darah dia kena hisap dek nyamuk-nyamuk tu.”
Spray Ridsect sajalah, nek ngah!” cadang Yaya seraya menuju ke sinki sebelah para dapur. Kangkung yang dikutip oleh Nek Ngah tadi dicuci.
“Tak tahan... Nanti tengah-tengah malam bila nyamuk datang balik, terpekik terlolong Ayin panggil nek ngah suruh halaukan nyamuk.”
“Susah-susah sangat pasang saja kelambu, nek ngah.” Kalau cadangan yang ini pun ada juga alasan Nek Ngah beri, memang sahih budak tu jenis kekwat.
“Nek ngah dah buat dulu dah... Lemas pula kata dia. Ayin kata, rasa macam kena kurung. Kadang-kadang naik pening juga kepala nek ngah ni melayan ragam si Ayin tu.” Hah! Ada juga alasannya?
“Kalau macam tu, yalah nek ngah. Balik dari rumak Mak Senah nanti, Yaya singgah kedai Pak Hamid beli ubat nyamuk. Berapa kotak nek ngah nak? Cap ikan ke, cap gajah?” Geram pula hati Yaya bila fikir pasal budak banyak cekadak, banyak bunyi plus banyak songeh dan sangat kekwat tu. Kasihan sungguh Nek Ngah terpaksa melayan kerenah budak yang entah apa-apa tu.
“Yaya perli ke apa ni?” Nek Ngah senyum. Riak tidak gemar di wajah Yaya dapat dibacanya.
“Eh! Taklah nek ngah. Yaya tanya saja. Manalah tahu..., kot-kot budak tu alah pula dengan apa-apa ubat nyamuk. Karang Yaya tersalah beli, pengsan pula dia terhidu asap ubat nyamuk tu.”
“Budak bandar, biasalah macam tu Yaya.” Nek Ngah tertawa kecil apabila melihat muka Yaya seperti tidak puas hati ketika dia bercerita tentang Ayin.
“Nek ngah yang rajin melayan perangai dia. Tu yang dia manja, mengada-ada sangat tu. Habuk sikit tak boleh. Panas sikit tak boleh. Ada nyamuk tak boleh,” bebel Yaya pula.
“Nek ngah bukan apa... Hari rayalah si Ayin tu baru nak balik kampung. Kalau saja-saja nak balik, atau selain dari raya, jangan harap dia nak jejak kampung ni. Tu sebab sesekali dia balik ni, nek ngah ikutkan saja peel dia tu. Kalau tidak... dia merajuk. Langsung tak nak balik lagi susah! Nek ngah ni, cucu dahlah tak ramai.”
“Yalah, nek ngah. Kita ikutkan sajalah ragam dia,” putus Yaya. Malas mahu menyambung kisah budak yang banyak cekadak, banyak bunyi plus banyak songeh dan sangat kekwat tu.
Nek Ngah berpatah semula ingin ke biliknya di ruang depan. Seperti tadi, baru beberapa langkah saja Nek Ngah bergerak, dia kembali menoleh kepada Yaya. Yaya mengerut dahi. Tertangguh lagi kerja menyiang sayur kangkung. Tentu ada lagi yang Nek Ngah nak cakapkan pasal budak Ayin tu.
“Bila kamu bersihkan bilik tu, bersihkan sekali kipas angin, ya Yaya. Bilah kipas tu dah penuh dengan habuk. Kalau bersih, barulah laju sikit berpusingnya. Kalau angin kipas tu tak kuat, Ayin bising nanti. Panas kata dia. Ketiak berairlah, badan berpeluhlah.” Masa ni Yaya tengok, ke kiri ke kanan kepala Nek Ngah bergoyang ketika bercakap. Yaya angkat kening. Kan dah agak dah... Ada lagi benda yang Nek Ngah nak cakapkan pasal budak Ayin tu. Budak Ayin ni memang banyak keok betul lah... Rasa tak sabar-sabar pula Yaya nak kenal dan tengok, macam mana roman orang agaknya budak yang bernama Ayin tu. Seorang budak yang banyak cekadak, banyak bunyi plus banyak songeh, dan sangat kekwat. Tambah lagi satu pangkat, banyak keok! Bagus sangat ke dia tu, sampaikan Nek Ngah mengelabah macam ni sekali bila dia nak balik ke sini? getus Yaya. Kalaulah ditulis atas kertas apa yang Nek Ngah suruh Yaya buat tadi, semata-mata demi budak Ayin tu nak balik, mesti berkajang-kajang panjangnya.
“Kenapa nek ngah risau sangat pasal Ayin tu? Nek ngah takut, anak Pak Long tu tak selesa tinggal di rumah ni ke?” Yaya cuba meneka.
“Si Ayin tu memang macam tu, Yaya. Orang dah biasa tinggal di bandar dari kecik sampai ke besar. Mana nak suai tinggal dekat kampung. Nek ngah bukannya apa..., nek ngah cuma kesiankan dia. Masa raya ni saja dia nak balik. Kalau tidak..., bayang dia pun susah nak jejak kampung ni.”  
Budak bandar memang macam tu. Mengada-ada lebih! Gerutu Yaya. Tiba-tiba Yaya rasa tidak sabar hendak menunggu hari esok. Dia nak kenal sangat dengan budak yang bernama Ayin tu. Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat dan banyak keok. Hmm... belum jumpa, malahan belum kenal pun lagi, sudah banyak gelaran-gelaran terindah yang Yaya cipta khas untuk si Ayin tu.

Monday, March 9, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 1




Bab 1
Selepas tamat waktu persekolahan, tanpa berlengah Yaya terus pulang. Seperti selalu, setibanya dia di rumah abah dan umi masih belum kembali dari kebun. Kebun getah milik orang kampung tempat orang tuanya mengambil upah menoreh terletak jauh di kaki bukit di hujung kampung. Kebiasaannya, hampir pukul tiga petang baru mereka sampai ke rumah. Yaya tidak risau mereka pulang lewat kerana dia tahu banyak kebuh getah orang kampung yang harus abah dan uminya kerjakan.
Yaya, anak tunggal Puan Zulaikha dan Encik Badrul. Walaupun sering merasa kesunyian tinggal sendirian di rumah, namun dia tidak pernah merungut. Mengeluh jauh sekali. Dia tahu, abah dan uminya mencari rezeki untuk mereka bertiga. Keluarga mereka bukannya dari golongan orang yang berada. Hidup mereka sekadar cukup dengan apa yang ada. Rumah tempat mereka berteduh ini pun, ihsan dari Nek Ngah. Rumah arwah kakak Nek Ngah yang sudah lama meninggal dunia. Umi Yaya kata, Nek Ngah izinkan abah dan umi menumpang di rumah ini, semenjak hari pertama abah dan umi menjejakkan kaki di Kampung Batu. Kalau bukan kerana Nek Ngah, entah ke mana abah dan umi berkelana.
Usai menyalin pakaian uniformnya, pantas Yaya menuju ke dapur. Penat kerana berjalan kaki selama hampir satu jam ketika pulang dari sekolah tadi, ditolak ke tepi. Kesusahan hidup yang dialami oleh mereka selama ini, buatkan Yaya pandai berdikari.  Tanpa perlu diarah, dia sudah betah melakukan kerja-kerja rumah. Niat Yaya cuma satu, mahu membantu umi dan abah. Seharian orang tuanya itu membanting tulang bekerja di kebun getah, tentu mereka keletihan. Cukuplah abah dan umi berpenatan mencari rezeki, manakala hal-hal di rumah ini biar dia saja yang uruskan.
Selesai semua kerja-kerja rumah, Yaya menanti kepulangan abah dan uminya di muka pintu. Dia duduk di situ sambil merenung ke tebing jalan. Entah kenapa, saat ini ada sesuatu yang terdetik di hatinya. Perasaan tidak berapa tenang. Dada pula terasa panas dan berbahang. Berdebar tanpa sebab. Agak lama Yaya menunggu. Abah dan umi tidak juga pulang-pulang. Setiap kali ada bunyi enjin motosikal melalui hadapan rumah, panjang leher Yaya menjengah ke sana tetapi dia hampa. Yang ditunggu-tunggu tidak muncul-muncul juga. Yaya beralih melihat jam di dinding. Waktu sudah melewati setengah jam dari pukul tiga petang. Tidak pernah abah dan uminya pulang selewat ini.
“Mungkin kerja abah dan umi belum habis kot...” Yaya cuba menyedapkan hati sendiri. Perasaan serba tidak kena tadi dicampak jauh-jauh. Dia tidak mahu fikir yang bukan-bukan. Enggan menyangka yang buruk-buruk. Semoga abah dan umi selamat saja, doa Yaya.
Cuaca panas terik tadi kini bertukar redup. Matahari malu berselindung di balik awan. Angin juga semakin galak bertiup. Terasa udara sejuk menyapa di kulitnya. Mulut Yaya pula sudah berapa kali menguap. Kelopak mata bertambah berat. Semakin sukar untuk diangkat. Pandangan turut menjadi kabur. Kerdip matanya bergerak perlahan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Empat kali. Dan akhirnya Yaya terlelap di muka pintu itu.
Ketika di dalam lenanya, Yaya bermimpi. Abah dan umi datang menghampirinya. Pakaian mereka amat pelik sekali. Serba-serbi berwarna putih. Abah dan umi tersenyum. Mula-mula mereka mendekat. Kemudian perlahan-lahan mereka bergerak jauh, dan semakin menjauh sambil melambai tangan kepadanya. Selepas itu abah dan umi terus lenyap. Yaya cuba mencari tetapi tidak berjumpa. Melilau matanya ke sana ke mari, namun mereka berdua tidak kelihatan di mana-mana. Dalam Yaya mencari-cari, dia terdengar namanya dipanggil berkali-kali. Sayup-sayup. Lama-kelamaan semakin terang di pendengarannya. Tubuh turut terasa digoncang.
“Yaya... Yaya... Bangun Yaya.” Jelas di telinga suara itu memanggil namanya. Mungkinkah itu umi?
“Yaya... Bangun Yaya.” Tubuhnya digoncang lagi. Lebih kuat dari tadi. Perlahan-lahan Yaya membuka kelopak mata.
“Umi?” Nama itu meluncur dari mulut Yaya. Saat pandangan Yaya jatuh ke wajah itu, dia terus kaku. Kenapa dia? Mana umi?
“Mak cik Ina?” Mata Yaya berlegar ke ruang rumah. Wajah yang ingin dia lihat tiada di situ. Yaya beralih pula melihat ke halaman rumah. Mencari motosikal dan kelibat abahnya. Juga tiada. Dia kembali merenung wajah wanita itu. Mengapa lain benar rautnya kali ini? Tidak seperti biasa. Hati Yaya tertanya-tanya. Dia menolak badan untuk bangun. Kemudian duduk bersimpuh di hadapan wanita itu. Dalam keadaan pisat, Yaya cuba untuk bertanya. Baru sahaja dia ingin bersuara, tubuhnya terus dipeluk erat. Wanita itu menangis di bahunya. Hebat sungguh sendu Mak Cik Ina. Entah apa punca hingga begini teruk tangis wanita ini? Gadis itu bertambah pelik.
“Kenapa mak cik Ina?” Yaya meleraikan pelukan Mak Cik Ina. Wajah sayu itu ditenung tepat. Awan mendung sarat benar di rautnya. Kenapa?
“Umi dan abah kamu dah tak ada, Yaya...” Suara Mak Cik Ina tenggelam timbul di dalam esakannya. Bahu Yaya dipaut kuat.
“Hah, Tak ada?! Tak ada pergi mana pula mak cik Ina?” Yaya kaget. Cuba memahami maksud kata-kata itu. Hati yang rawan semakin tidak keruan.
“Dah tak ada Yaya, dah tak ada! Abah dan umi kamu dah tak ada!” Kata-kata itu diulang berkali-kali. Yaya semakin keliru. Dia kembali dihambat rasa itu. Rasa tidak sedap.
“Tak ada? Tak ada pergi mana mak cik Ina? Abah dan umi kan pergi menoreh? Sekejap lagi baliklah tu.” Yaya masih berusaha untuk memahami maksud kata-kata ‘tak ada’ yang disebut oleh Mak Cik Ina.
“Yaya pun dah siap masak, mak cik Ina. Tunggu umi dan abah balik saja. Nanti bolehlah mak cik Ina makan dengan kita orang sekali, ya?” Di dalam kepala kekal mentafsir gelagat wanita itu. Kenapa dia begini? Debar di dada Yaya semakin kuat memalu. Otak mula membayangkan yang tidak-tidak tetapi hati keras menafikan.
“Umi dan abah kamu dah tak ada! Kena langgar lori masa balik dari menoreh tadi Yaya...” Dan tubuh Yaya terus dipeluk lagi. Wanita itu menangis semahunya. Kini mengertilah Yaya akan makna kata-kata ‘tak ada’ itu. Segala rasa yang menebak fikiran dia sedari tadi rupanya benar belaka. Naluri yang menjentik hatinya menjadi nyata. Mimpi? Mimpi abah dan umi melambai kepada dia? Itu sebenarnya adalah ucapan selamat tinggal dari mereka berdua. Yaya kelu. Kaku. Dua saat selepas itu tubuhnya terus longlai di situ.
Apabila Yaya sedar dari pengsan, jenazah abah dan umi sudah terbaring di tengah ruang rumah. Tika itu, tidak mampu dia gambarkan bagaimana perasaannya. Luluh segala rasa. Kaki tidak terdaya untuk berdiri. Apatah lagi untuk berjalan. Yaya bangkit lalu mengengsot menghampiri jenazah kedua orang tuaya.
“Abah... Umi... Apa ni, buat Yaya macam ni? Janganlah main-main abah..., umi. Bangunlah...” Air mata Yaya mula mencurah-curah. Tubuh abah digoyang. Badan umi digoncang, tetapi mereka senyap. Tetap terbujur kaku di situ. Yaya singkap kain nipis yang menutupi wajah abah dan umi.
“Bukalah mata ni abah..., umi.” Suara Yaya parau. Pipi abah dan umi diusap-usap. Air mata semakin laju berjuraian. Suara bacaan surah Yasin dari orang-orang kampung yang datang menziarah, berkumandang seisi rumah tidak ambil pusing. Terus juga dia mahu mengejutkan abah dan uminya.
“Abah bangunlah... Umi..., bukalah mata ni.” Yaya goyang lagi tubuh abah dan umi. Mungkinkah dia sedang bermimpi? Yaya menampar muka sendiri. Berharap agar segera tersedar sekiranya ini adalah mimpi semata-mata. Sakit. Pipi terasa perit. Dia tak bermimpi! Melihat kenyataan yang ada di hadapan dia ketika ini, detik itu juga Yaya terus meraung sekuat hati. Hilang segala perasaan malunya. Nampaknya kini dia tinggal sebatang kara. Anak yatim lagi piatu. Semua mata yang berada di sekeliling, memandang Yaya penuh sayu. Bersimpati atas nasib gadis itu.
“Sudahlah Yaya... Tak baik buat macam ni. Menangis meraung macam ni... Berdosa Yaya... Abah dan umi dah tak ada, kamu kena reda. Kena terima. Yaya sayang abah dan umi kan?” pujuk Mak Cik Ina. Dia masih lagi setia di sisi Yaya sedari tadi. Pujukan itu langsung tidak berbekas di hati Yaya. Gadis itu terus meraung sekuat hati. Tubuh abah dan umi yang sudah sejuk dipeluk erat. Langsung tidak mahu melepaskan.
“Sudahlah Yaya.... Mari basuh muka. Ambil air sembahyang. Kita sama-sama baca surah Yasin untuk abah dan umi kamu, ya?” pujuk Mak Cik Ina lagi. Tubuh Yaya diangkat. Dibawa berdiri lalu dipapah menuju ke bilik air. Yaya akur. Tiada daya untuk membantah. Seluruh perasaannya kini berkecai. Hatinya berderai. Jiwanya hancur. Segalanya telah lebur.
Ketika melalui tingkap rumah, Yaya memandang ke bawah. Dia melihat beberapa orang lelaki sedang sibuk menyiapkan papan penutup liang lahat dan tempat untuk memandikan jenazah. Saat itu kaki Yaya terus lumpuh, terduduk di tepi jendela. Tidak berdaya untuk melangkah. Anak mata memandang sayu ke bawah rumah. Tidak percaya kepada apa yang sedang terjadi. Seperti mata dia sedang menipu. Menipu melihat apa yang dia nampak sekarang ini. Yaya menangis lagi sambil memeluk tiang jendela.
“Yaya.... Janganlah macam ni. Tak baik sayang.... Yaya kena reda. Ini ujian tuhan kepada Yaya....” Mak Cik Ina bersuara ingin memujuk. Lembut tapak tangannya mengurut belakang tubuh Yaya. Namun itu tidak mampu meredakan tangisan Yaya.
“Yaya dah jadi anak yatim sekarang mak cik Ina... Yaya dah tak ada siapa-siapa... Yaya dah tak ada abah. Yaya dah tak ada umi. Selama ni, Yaya tak pernah merungut walau apapun kesusahan yang Yaya hadapi, tapi kenapa kali ini Allah uji Yaya dengan ujian yang seberat ini, mak cik Ina? Yaya tak berdaya. Yaya tak kuat.”
“Istighafar Yaya... Jangan cakap macam tu. Tak baik! Mak cik Ina kan ada? Dah..., jangan macam ni. Sekejap lagi nak mandikan jenazah. Yaya boleh tolong mandikan jenazah umi. Lepas maghrib ni kita selesaikan urusan pengkebumian.”
Yaya melihat wajah Mak Cik Ina. Matanya masih lagi bengkak dan merah. Tentu dia juga turut bersedih. Bukankah Mak Cik Ina juga berkawan rapat dengan uminya? Yaya gelengkan kepala. Masih enggan menerima kenyataan.
“Kalau Yaya buat macam ni, seksa roh abah dan umi. Yaya tak sayangkan abah dan umi ke?” soal wanita itu. Yaya angguk sekali. Amat perlahan. Wanita itu kembali memaut tubuh Yaya. Membantu Yaya berdiri dan dipapah semula untuk dibawa ke bilik air. Yaya mengikut tanpa membantah. Dalam longlai langkahnya, Yaya berusaha menguatkan semangat. Demi abah dan umi dia perlu tabah. Yaya anak yang soleh kan abah, umi? Yaya akan sentiasa doakan abah dan umi. Semoga abah dan umi tenang di sana, rintihnya.
Malam itu, selepas maghrib, jenazah umi dan abah Yaya selamat dikebumikan. Kenduri arwah juga selesai diadakan selepas itu. Kelihatan beberapa orang kampung masih belum pulang. Mereka membantu mengemas ruang depan rumah dan juga dapur. Yaya pula duduk termenung di tengah tangga. Air mata mengalir tidak berhenti. Malam yang gelap itu, direnung kosong. Sekosong hidup dia sekarang ini.
“Macam mana Yaya nak hidup lepas ni abah, umi? Yaya sebatang kara. Kepada siapa Yaya nak mengadu? Yaya dah tak ada tempat nak bermanja, menumpang kasih. Abah..., umi...” Saat itu ada suara menyapa di muka pintu.
“Yaya... Mak cik Ina ada benda nak cakap dengan Yaya ni.” Yaya alih pandangan kepada Mak Cik Ina. Wanita itu mengambil tempat di sisinya.
“Apa dia Mak cik Ina?” suara Yaya tidak bermaya. Tubir mata dikesat dengan hujung lengan baju kurung. Kemudian tangan Yaya diraih oleh Mak Cik Ina lalu digenggam erat.
“Mak cik Ina sempat jumpa umi kamu sebelum dia meninggal. Dia ada tinggalkan amanat pada mak cik Ina.” Yaya tatap sayu raut wanita itu. Menunggu bicara selanjutnya. Amanat apakah yang telah ditinggalkan oleh umi? detak Yaya.
“Sebelum umi kamu meninggal, dia ada cakap dengan mak cik Ina. Dia sayangkan kamu. Dia mahu kamu hidup dengan baik, walaupun selepas umi dan abah kamu dah tak ada.” Yaya tunduk merenung tanah. Air mata mengalir laju semula. Sedaya upaya Yaya menahan hibanya.
“Umi mahu mak cik Ina jaga dan pelihara kamu. Mak cik Ina pun dah janji dengan umi kamu, akan jaga kamu macam anak sendiri. Lepas ni kamu tinggal dengan mak cik Ina, ya?” Yaya angkat muka. Sesaat wajah wanita itu ditatap. Kemudian dilabuhkan mukanya ke bahu wanita itu lalu tubuhnya Yaya peluk kuat. Tersentuh hatinya mendengar kesanggupan Mak Cik Ina mahu menjadi tempat untuk dia berpaut. Malam yang terasa gelap, kini Yaya rasa ada sedikit sinarnya.
Dan mulai malam itu, maka bermulalah gelaran ‘Mak Ina’ buat wanita tersebut. Wanita yang sudi menjadi tempat Yaya menumpang kasih. Tempat mengadu untung nasibnya.

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Prolog




Prolog
Yaya panggung kepala merenung bulan di dada langit. Dia seperti pungguk sedang merindu. Wajah bulan yang bersinar terang direnung tanpa berkelip. Ada harapan dipohon. Moga bulan bisa jatuh ke ribanya. Agar hilang segala rindu dan lara. Yaya rindukan abah dan umi. Dia juga rindukan semua insan yang pernah hadir di dalam hidupnya. Nek Ngah, Mak Ina, Syidan, Ayip, Pak Long, Mak Long, Along. Dan yang paling dirindui, si budak nakal. Pemilik nama ‘Ayin’ itu.
Sembilan tahun sudah berlalu. Bermakna sembilan tahun juga Yaya bermastautin di pendalaman Sungai Sipitang ini. Satu jangka masa yang cukup lama. Namun ianya tidak mampu membuatkan Yaya lupa segala kenangan sewaktu di Semenanjung dahulu. Tanah di mana tempat dia dilahirkan. Rindu yang meruntun hati menerbitkan rasa pilu. Air mata Yaya mengalir lesu di sudut pipi. Menitis perlahan-lahan. Kemudian semakin laju berjujuran. Bukanlah dia sedang menangisi keperitan hidupnya ini. Bukan juga dia menyesali apa yang terjadi. Arwah abahnya selalu berpesan.
“Jangan merungut. Jangan mengeluh. Jangan selalu menangisi nasib, Yaya. Apatah lagi menyesali takdir yang menimpa. Itu bermakna kita tidak reda. Sepertinya kita enggan menerima ketentuan Allah SWT.” Tetapi, sesekali air mata ini tidak mampu ditahan. Bila kala perasaan menjeruk hati, ianya turun tanpa diundang.
“Abah, Yaya rindukan abah. Yaya rindukan umi,” keluh Yaya bersama sendunya. Anak mata kini memandang ke hadapan. Suramnya malam bagai membayangkan perjalanan hidupnya. Sunyi dan sepi. Dia meraba tanpa arah. Terasa masa depan semakin malap.Tambahan selepas Pak Ngahnya meninggal dunia pada dua minggu yang lepas. Rasa kehilangan ini, sama seperti yang pernah dia alami pada dua belas tahun dahulu. Saat di mana hidupnya hilang punca. Kala gelaran anak yatim piatu tersandang di bahunya.
“Abah, umi... Yaya rindu...” Tangisan Yaya semakin berlagu. Dalam hati terbesit satu angan. Alangkah indah hidup ini, sekiranya kedua orang tuanya masih ada. Andai mereka masih bernyawa, jalan hidup dia pasti bukan begini ceritanya. Beransur-ansur peristiwa yang berlaku ketika dia berumur empat belas tahun berlegar di ruang minda. Serasa detik kehilangan abah dan umi seperti baru semalam terjadi. Segalanya masih, kukuh, utuh dan segar di ingatannya.

Wednesday, February 25, 2015

KAU YANG PERTAMA DAN TERAKHIR



PENERBIT : PENULISAN2U
HARGA SEM. MALAYSIA : RM 23.00
HARGA SABAH/SERAWAK : RM 26.00

JUMLAH M/SURAT : 586

Buku ini boleh dibeli secara pembelian online di: http://www.p2u.my
Atau di www.p2u.my/beli-novel.html
Dan juga di bookstore berhampiran anda
Untuk membaca sinopsis, anda boleh ke BLURB.
Bagi membaca bab-bab awal, anda boleh ke post yang di labelkan di bawah tajuk yang sama. "KAU YANG PERTAMA DAN TERAKHIR".

Semoga terhibur.

Salam sayang,
QASEH FARINA