Total Pageviews

Saturday, November 5, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 22




Selain daripada darah gemuruh, ini lagi satu penyakit hakiki yang dia hidap. Kalau berada di tempat asing, susah nak lelap. Jika dapat tidur pun, mesti tak nyenyak. Setengah jam sekali harus terjaga. Serupa tidur-tidur ayam. Sudahnya, pukul lima pagi mata dah segar-bugar.
Selepas melihat waktu pada jam tangannya, objek usang itu kembali diletakkan ke atas muka meja sisi di tepi katil. Ain Sofea bangkit dari tilam. Duduk dibirai katil sambil menggeliat. Daripada merenung siling lebih baiklah dia pergi bersihkan badan dan berwuduk. Mengaji barang satu dua surah pendek sementara menunggu masuk waktu subuh.
Tuala yang tersidai pada towel rail dicapai lalu dia menuju ke bilik air. Usai urusan di bilik air dengan hanya berbungkus tuala dari paras dada ke lutut, Ain Sofea melangkah keluar. Malam tadi hanya sepasang baju yang disediakan oleh Mak Munah. Nak minta lagi? Seganlah! Terpaksalah dia begini. Nanti terus saja sarung telekung. Lepas solat baru pakai semula blaus dan seluar jeannya semalam. Baju dan seluar kecik? Hmm... nak cakap apa? Nak tak nak kena jugalah ulang guna.  
Sedang Ain Sofea menyisir rambutnya di hadapan cermin almari solek, tiba-tiba daun pintu kedengaran dikuak. Sepantas kilat leher berpusing. Siapa? Sudahlah dia berkeadaan super-duper seksi. Terlupa nak kunci pintu ke malam tadi?
Terjojol bebola matanya saat terlihat ada sekujur tubuh tegak berdiri di muka pintu. Makhluk itu turut bular memandang kepadanya. Sudah berapa lama agaknya manusia yang tidak dikenali ini mengintai di situ? Kala lelaki berwajah lebih separuh abad itu melangkah masuk bersama senyuman menyenget yang amat menakutkan, baru Ain Sofea teringat akan keadaan dirinya. Segera kedua belah tangan menyilang di dada.
Hmm... Patutlah aku tengok lampu bilik ni terang-benderang. Ada tetamu rupanya. Cantik pula.” Lelaki itu berkata sambil merapatkan daun pintu. Kemudian dia datang menghampiri Ain Sofea yang sudah tersandar pada meja solek.
Bibir gadis itu mula menggeletar. Tubuhnya menggigil. Pandangan lelaki itu cukup buat Ain Sofea merasa gerun. Apakah niatnya?
“Hehehe...” Lelaki itu ketawa kecil tetapi nadanya cukup mengerikan.
“Tak pernah pula rumah ni ada tetamu. Apatah lagi secantik ini. Nampaknya, rezeki akulah...” Ain Sofea dirapati. Kedua tapak tangan ditemukan dan digesel laju. Lidah sudah menjilat bibir. Patutlah hati tergerak mahu pulang. Rupanya ada yang lebih indah di sini daripada yang sedang terlentang di atas katil hotel sana.
“Pppakcik... Tttolong keluar,” bergetar suara Ain Sofea mengarah. Tubuh mengengsot ke kiri menghimpit dinding. Kalau dia lari masuk ke bilik air, sempat tak?
“Pakcik? Abang la... Keluar? No no no... Hahaha...”
Tawa lelaki tua itu menambahkan skala takut Ain Sofea.
“Satu kerugian kalau aku lepaskan peluang ni,” sambung lelaki itu lagi.
“Pppeluang apa?”
Fresh meat!” Kening dijongket tinggi. Tubuh gadis yang berbalut tidak sempurna itu ditilik. Putih kemerahan kulitnya. Cantik lekuk tubuhnya. Cukup menggambarkan yang dara ini tidak pernah disentuh atau dijamah oleh mana-mana lelaki. Maka, dia bakal orang pertama yang menjamahi. Gunting rebenlah dia. Tawa Tengku Majid terus bersambung.
“Pppakcik... Tttolong la keluar.”
“Kalau aku tak nak?”
“Saya akan menjerit!”
“Hahaha... Jeritlah!” Yakin takkan ada sesiapa yang mendengar suara gadis ini. Kereta Ian Zacry tidak kelihatan di anjung. Bermakna dia tiada di rumah. Mungkin belum pulang dari ladang mereka di Negeri Sembilan, teka Tengku Majid. Luth Michail pula biasanya di waktu begini sudah pergi ke surau berhampiran. Adiknya? Bilik jauh di depan sana. Dipisahkan pula oleh ruang rehat dan perpustakaan. Harus tak dengar. Mak Munah di tingkat bawah. Biliknya di belakang dapur. Lagilah jauh! Sementelah, rumah ini terlalu besar untuk dicapai oleh gelombang suara gadis yang selemah dan selembut ini. Tangan sudah didepang. Bersedia mahu merangkul tubuh kecil itu.
Tanpa bertangguh Ain Sofea terus menjerit sekuat hati.
“Tolong! Tolong! Tolong!”
Pang!
Kuat bunyi papan pintu berlaga dengan dinding tanda ia telah dirempuh.
“Ayahanda long!”
Segera Ain Sofea menoleh mencari pemilik suara itu. Manusia di hadapannya ditolak kuat lalu berlari mendapatkan sang penyelamat yang baru muncul. Berlindung di belakang lelaki tersebut. Menikus sambil merangkum pinggangnya dalam tidak sedar. Hati mengucap syukur tanpa henti. Jika tidak, entah apa akan jadi.
“Apa yang ayahanda long buat ni?!” lengking Luth Michail. Merah matanya menikam ke wajah si bapa saudara. Mujur hari ini dia terlewat bangun. Lambat ke surau untuk solat subuh berjemaah. Jika tidak...
“Ayahanda long tak ada buat apa-apa pun... Ada Ail nampak ayahanda long buat apa-apa ke? Tak ada kan?” soal Tengku Majid sinikal. Rambut yang terjuntai di depan dahi ditolak ke belakang. Bibir tersenyum sinis.
“Habis tu, ayahanda long buat apa dalam bilik ni?” Luth Michail meraba di perutnya apabila terasa ada yang merangkul erat di situ. Jejari menggenggam kejap tangan itu. Dia tahu gadis ini ketakutan. Dan dia pula tiada masa hendak rasa semacam dipeluk oleh Ain Sofea. Jengkel melihat perangai Tengku Majid yang tidak pernah berubah.
“Ayahanda long nak tengok aje siapa dalam bilik tetamu ni. Tak pernah-pernah... Tiba-tiba ada orang. Pelik pula!” Memang itu yang dia rasa ketika melalui koridor bilik ini tadi. Terlihat cahaya menerobos keluar dari celah kaki pintu terus hati terlintas mahu mengetahui siapa yang berada di dalam. Ingatkan Tengku Marlia. Tak sangka pula ada tetamu. Dan dia bukan boleh tengok ‘barang’ cantik. Darah yang terasa masih muda ini terus saja menggelegak.
Luth Michail mendengus. Terkilan dengan sikap lelaki tua itu. Umur sudah ganyut tetapi otak langsung tidak boleh berfikir waras apabila nafsu diutamakan.
“Sekarang ayahanda long tolong keluar!” jerkah Luth Michail. Telunjuk menunding lurus ke pintu bilik yang terbuka luas. Puas disabarkan hatinya. Kalaulah di hadapannya ketika ini bukan berpangkat bapa saudara, harus sudah digodam dengan penumbuk. Kurang ajar! Langsung tak tahu nak hormat perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan baik seperti Ain Sofea ini.
“Siapa dia? Girlfriend Ail?”
“Ya! Jadi ayahanda long tolong hormatkan dia. Jangan berani-berani nak buat apa-apa kepada dia!”
Ooo... Girlfriend... Okey... Ayahanda long tak sengaja.” Kedua belah tangan diangkat separas bahu. Tanda beralah. Tengku Majid berjalan keluar. Ketika melalui Luth Michail, disinggahkan pandangannya pada gadis itu bersama senyuman senget. Rugi betul rasanya. “Sorry!”
Ain Sofea merengket di belakang Luth Michail. Tubuh lelaki itu semakin kuat didakap dan ditarik bagi menutupi dirinya daripada pandangan si tua merenyam.
“Maafkan ayahanda long saya tu,” ujar Luth Michail sebaik kelibat Tengku Majid lenyap di balik dinding bilik. Telapak menepuk perlahan di tangan Ain Sofea yang melingkar di pinggangnya. Ingin menyedarkan perbuatan gadis itu tetapi pelukannya masih kejap. Perlahan dirungkaikan. “Dah! Dia dah keluar. Awak tak perlu rasa takut lagi.”
Teragak-agak Ain Sofea mahu meninggalkan tubuh Luth Michail. Mata tidak beralih dari pintu bilik. Manalah tahu si malaun tu muncul balik. Namun, saat kulit lengan mula terasa hangat haba badan Luth Michail, pantas dileraikan simpulan tangan. Dijauhkan dirinya.
Aduh! Terpeluk pula mamat ni, hati mendongkol. Sungguh tak perasan. Memang dia tidak sengaja kerana perasaan gerun yang teramat sangat kepada si bangka yang tak sedar diri  tu tadi.
“Saya harap awak maafkan...” Kata-kata Luth Michail terhenti saat dia berpusing menghadap Ain Sofea. Liur ditelan laju. Kepala spontan menekur lantai. Bimbang imannya pula yang goyah. Baru dia menyedari keadaan Ain Sofea. Luth Michail tunduk dan menggapai comforter di atas katil. Ditarik dan diunjukkan kepada gadis itu.
Ain Sofea keliru. Tidak tahu untuk apa gebar itu diberikan kepadanya. Tiba-tiba dia teringat keadaan diri yang tidak sempurna. Laju dia menyambut gebar itu dari tangan Luth Michail. Kelam-kabut menutupi badannya yang hanya berbalut tuala. Itupun ikatannya sudah terasa longgar. Mujur ketika berlari tadi tidak terlucut. Jika tidak, kiamat dunia. Segan dan malu laju datang menerpa. Tak sanggup hendak bertentang muka.
“Maafkan ayahanda long saya. Dan maafkan saya juga,” tutur Luth Michail lirih. Dia masih tidak memanggung kepala. Tanpa menunggu lama Luth Michail berlalu ke pintu. “Kunci pintu ni.”
“Sekejap!” Ain Sofea menegah lelaki itu daripada pergi.
Langkah Luth Michail terhenti.
“Kenapa?” Muka tidak dipalingkan. Cukuplah sekali terlihat. Jika sengaja untuk kali kedua, berdosa dia.
“Temankan saya.” Ain Sofea turut tidak mengangkat kepala.
“Hah?!” Gila ke apa? Jangan menempah bala. Dia lelaki juga.
“Saya takut.”
“Ayahanda long saya dah pergi. Tak ada apa yang awak nak takutkan lagi. Lagipun, berdosa kita terus berada dalam keadaan macam ni.”
Ain Sofea diam. Dia masih trauma.
“Awak kunci pintu ni. In syaa Allah tak ada apa-apa yang berlaku.” Luth Michail terus melangkah.
“Sssaya takut. Awak temankan saya boleh? Tttunggu kat luar aje. Sssebab lepas ni... sssaya... nak minta tolong awak,” gugup Ain Sofa bersuara.
“Baiklah. Saya tunggu di luar. Awak bersiap dulu.”
Diperhati lelaki itu pergi. Selepas daun pintu dirapatkan oleh Luth Michail, Ain Sofea lantas menguncinya. Gebar dilucutkan lalu ditebar ke atas tilam. Ala kadar dia mengemas katil tersebut. Usai itu dia segera bersiap. Beg sandang diambil dari atas meja solek dan bergegas keluar dari bilik tersebut. Kala pintu dikuak, Luth Michail sedang berdiri membelakanginya. Lega rasa hati apabila lelaki ini akur dengan permintaannya.
“Awak?”
Luth Michail menoleh.
“Awak nak minta tolong apa?” Dahi jejaka itu terus berlapis saat melihat Ain Sofea sudah siap menyandang beg di bahunya. “Awak nak ke mana ni?”
Kiri dan kanan koridor dipandang. Setelah pasti tiada sesiapa di sepanjang laluan itu, tanpa berkira tangan Luth Michail terus ditarik menuju ke arah tangga.
“Awal lagi ni. Awak nak ke mana?” soal Luth Michail sekali lagi.
“Awak boleh tolong saya?” Tangan lelaki itu terus diheret menuruni mata tangga menuju ke tingkat bawah.
“Boleh... Tapi beritahu la saya dulu awak nak ke mana?” Langkah terpaksa diatur laju bagi menuruti rengkuhan gadis itu.
“Bawa saya keluar dari rumah ini.”
“Tapi...”
Cepat kata Luth Michail dicantas.
“Saya tak nak berada lagi lama dalam rumah ni. Tolonglah... Saya merayu kepada awak. Bawa saya keluar dari rumah ini,” pinta Ain Sofea sayu. Dia kalih merenung wajah Luth Michail. Sebelah tangan pula mula memulas tombol pintu. Dibuang segala rasa malu dan segannya kepada Luth Michail demi tekad mahu pergi dari sini.
“Baiklah,” lemah Luth Michail membalas selepas diam seketika. Dia akur dengan keinginan Ain Sofea. Dia faham perasaan Ain Sofea. Pasti terlakar memori pahit pada rumah keluarganya ini di dalam minda gadis itu. Ralat sungguh dia. Tentu tidak akan ada kali kedua rumah ini dijejaki oleh Ain Sofea.
“Terima kasih,” ucap Ain Sofea perlahan. Nafas lega dilepaskan berserta sekali dengan genggamannya pada tangan Luth Michail. “Maaf!”
Dia tahu, ucapan maaf itu diungkapkan atas keterlanjuran Ain Sofea memaut tangannya. Luth Michail senyum segaris bagi mengaburi suasana canggung di antara mereka. Baru sekarang gadis itu perasan rupanya. Tercolek hati saat melihat ada rasa serba salah pada riak Ain Sofea. Mujur juga dia memakai Kurta. Tidaklah mereka bersentuhan secara terus. Tadi pun tak sengaja menyentuh tangan Ain Sofea ketika dia dipeluk.
Pantas Ain Sofea berpaling dari Luth Michail. Muka rasa berbahang. Dalam dada mula hangat. Betapa dia sangat malu ketika ini. Masakan tidak? Teruna ini terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya ditengok. Segera kaki melangkah keluar melalui pintu yang sudah dibuka luas.
“Tunggu saya!” Kunci kereta dari dalam mangkuk di atas meja hiasan tepi dinding diambil. Lalu Luth Michail membuntuti derap kaki dara itu.

3 comments: