Total Pageviews

Wednesday, November 2, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 21





Emm... Sedapnya kopi O ni... Pandai Ain buat,” puji Tengku Marlia ikhlas. Memang bancuhannya cukup rasa. Tak terlebih pahitnya. Tak terkurang manisnya.
“Tak adalah mummy... Ain buat macam mana yang selalu Ain buat aje,” tutur gadis itu merendah diri. Bagi dia biasa saja. Tak ada yang istimewa. Tidaklah sesedap mana tapi lain orang lain tekaknya, kan? Kalau kena dengan selera Tengku Marlia, alhamdulillah! Bukan dia sengaja nak tunjuk skil apabila menawarkan diri untuk membacuh kopi O ini tadi. Hanya mahu menjaga adap. Adat datang bertamu ke rumah orang, haruslah jangan berat tulang.
“Betul sedap! Ian paling suka kopi O yang macam nilah kan, Ian?” Anak sulungnya ditancap. Sedari tadi tidak berhenti menghirup.
Ian Zacry hanya mengangkat kening membalas pertanyaan ibunya. Kopi O di dalam cawan disisip perlahan.

Emm... Kena dengan selera Ail juga mummy. Sedap! Rasa seperti baru dibru,” sampuk Luth Michail pula. Air di dalam cawan sudah kering. Lalu tangan dipanjangkan mencapai teko di hadapan Ain Sofea. Mata pula mengambil kesempatan mengerling gadis itu. Memang rautnya ada aura. Hinggakan pandangan mahu sentiasa berada padanya. Tidak muak direnung. Tidak jelak ditenung.

 Heh! Ada hati nak copy paste iklan Nescafe, omel hati Ain Sofea. Segera anak mata dijauhkan daripada Luth Michail. Ian Zacry pula sudah memandang lain macam kepada dia dan Luth Michail. Air mukanya terbias sesuatu. Ain Sofea buat tidak tahu.
“Ceritalah kepada mummy macam mana Ain boleh kenal Ian? Setahu mummy, Ian ni memang susah nak berkawan.” Tengku Marlia mula menyoal.
Takkanlah mamat ni tak cerita bagaimana mereka boleh berjumpa? Aduh... Nak kena buka sejarah pula ke? Beritahu peristiwa dia hampir dilanggar oleh kereta Ian Zacry hingga mencetuskan perbalahan antara mereka tu? Malu haih!
“Sebenarnya mummy, Ian hampir nak terlanggar Ain masa dia nak pergi kerja,” jelas Ian Zacry. Dia mencari anak mata Ain Sofea yang cuba melarikan wajah darinya. Takut dia bercerita tentang kejadian sepak tayar keretalah tu!
“Hampir nak kena langgar?!” Tengku Marlia kaget.
“Bukan salah Ian pun mmmummy...,” terang Ain Sofea gugup. Tidak mahu Ian Zacry dipertanggungjawabkan di atas kekhilafan dia. “Aaain... melintas jalan tak pandang kiri kanan masa tu. Salah Ain juga. Malas guna jejantas sebab nak cepat.”
“Lain kali hati-hati Ain. Nyawa kita bukan boleh ditukar ganti,” nasihat Tengku Marlia seraya mengusap lembut di lengan gadis itu. “Kalau jadi apa-apa kepada Ain masa tu, macam mana?”
Ain Sofea sekadar mengukir senyuman kelat.
“Dari situlah kau orang mula kenal?” Luth Michail mencelah.
“Ya! Dari situlah kami mula berkawan. Lepas tu, kami berjumpa beberapa kali. Pergi makan bersama. Aku pun pernah juga hantar Ain balik lepas dia habis kerja. Lama-lama, kami jadi rapat.” Ian Zacry menjeling adiknya. Sengaja dia berkata begitu supaya Luth Michail faham, bahawa dia sedang memberi amaran. Bukan dia tidak mengerti maksud pandangan Luth Michail kepada Ain Sofea. Sudah terpikatlah tu!
“Berapa lama dah kau orang berkenalan?” tanya Luth Michail. Dia dapat merasakan yang tutur abangnya tadi mempunyai maksud. Seolah-olah melarang dia mendekati gadis di hadapannya ini.
“Cukup lama untuk mengenali siapa dia sebenarnya. Bagaimana hati dan sikap dia,” kias Ian Zacry. Takkan nak kata baru kenal seminggu? Pandangan dihalakan kepada Ain Sofea yang sedang menekur meja. “Masa tu tak penting. Yang utama keikhlasan kita berkawan, kan Ain?”
“Hah!” Ain Sofea panggung kepala memandang Ian Zacry apabila namanya tiba-tiba disebut oleh lelaki itu.
“Iya! Yang penting ikhlas,” suara Tengku Marlia pula. Menyelit di antara perbualan anak terunanya yang mula kedengaran lain di telinga. Serupa mahu tercetus perebutan pula. Lebih baik dia tukar tajuk perbualan. “Ian dah ceritakan kepada mummy pasal keluarga Ain. Mummy tumpang simpati. Mummy harap, Ain sabar dan tabah. Hidup kita ni memang banyak dugaan.”
“Pasal keluarga Ain? Pasal apa pula?” Luth Michail kerut dahi.
“Ain ni anak yatim. Dia tak pernah kenal arwah ayah dia sebab meninggal sebelum dia dilahirkan. Keluarga dia boleh dikatakan susah juga. Sampai dia tak berpeluang nak sambung belajar. Sekarang Ain tinggal dengan mak long dia. Terpaksa buat dua kerja untuk menyara keluarga,” cerita Ian Zacry tanpa diminta. Dia mahu membuktikan kepada Luth Michail bahawa dia cukup mengenali gadis itu.

No comments:

Post a Comment