“Ehem! Ehem!” Luth Michail batuk kecil.
Keduanya berpaling. Ian Zacry angkat kening. Ain Sofea
pula terbeliak. Pandangan terus hinggap ke puncak hidung lelaki di hadapannya.
Jelas warna kemerahan ada di situ. Inilah lelaki tadi. Lelaki yang dia
hempaskan pintu betul-betul di depan mukanya. Siapakah dia?
Malu lagiii... Mana nak lari ni? desis Ain Sofea. Anak
mata dilarikan daripada melihat lelaki di muka pintu itu. Ini bukan enam belas
inci. Sekarang sudah jadi tiga puluh dua inci tebal kulit mukanya.
“Kau tak tidur lagi?” soal Ian Zacry bernada serius.
Sekelip mata perwatakannya bertukar.
“Lupa? Kan mummy
nak jumpa kita berdua.” Luth Michail senyum senget. Tadi bukan main. Ketawa
mengekek-ngekek. La ni, bersuara keras macam orang tercekik.
Ain Sofea yang mendengar perbualan itu mula libang-libu. Mummy? Ian dan lelaki ni adik-beradik
ke?
“Aku terlupa. Mummy
mana?”
“Tak tahu. Aku dengar orang berborak. Aku ingatkan mummy ada kat sini.”
“Mummy dalam
bilik lagi agaknya,” teka Ian Zacry.
Gadis itu telan air liur. Sah! Memang dia orang berdua ni
adik-beradik. Rasa malu dan segannya semakin bertimpa-timpa. Kejadian dia
pengsan petang tadi dan menghempas pintu di hadapan muka adik Ian Zacry
terbayang-bayang di dalam kepala. Dia kena lari dari sini. Tak sanggup hendak
berhadapan dengan lelaki-lelaki ini dan ibunya.
Malu tahap gaban
wei!
“Saya naik ke bilik dululah!” Tanpa bertangguh terus dara
itu beredar. Ketika melalui sisi adik Ian Zacry, kepalanya dijatuhkan memandang
lantai. Tidak berani menentang wajah lelaki itu.
“Ain! Tunggu dulu!” Ian Zacry menghalang. Namun Ain Sofea
tidak mempedulikannya. Tergesa-gesa gadis itu pergi meninggalkan mereka berdua.
Pantas Ain Sofea melangkah mata tangga naik ke tingkat
atas. Di kepala tangga hampir dia terlanggar seseorang.
“Allah!”
“Maafkan saya makcik,” pohon Ain Sofea. Cepat tangan
wanita tua itu dicapai dan segera dijabat. Rasanya, ini bukan ibu Ian Zacry.
Sebab wanita ini tidak serupa langsung irasnya dengan wanita yang menantinya di
hadapan pintu rumah petang tadi.
“Dari mana tergocoh-gocoh ni?”
“Dari dapur. Saya nak naik ke bilik,” jelas Ain Sofea.
“Patutlah Mak Munah tengok kat bilik cik tak ada.”
“Makcik cari saya?” Ain Sofea angkat kening rasa pelik.
“Puan Ku suruh Mak Munah tengokkan cik.”
“Puan Ku?” Ain Sofea kerut kening. Siapa pula tu?
“Ya! Puan Ku risau kalau-kalau cik tak sedar lagi.
Baguslah cik dah sedar. Cik okey tak?”
Laju Ain Sofea mengangguk. Dalam kepala sibuk mencari
jawapan siapa Puan Ku itu.
“Makanan yang Mak Munah hantar tadi, cik dah jamah?”
Angguk lagi.
“Dulangnya saya dah hantarkan ke dapur. Pinggan pun dah
basuh,” beritahu Ain Sofea tanpa diminta.
“Laaa... Kenapa susah-susah? Kerja Mak Munah, biar aje
Mak Munah yang buat.” Bahu gadis itu diusap perlahan. Manis sungguh si dara
ini, pujinya dalam hati. Budi pekerti pun tinggi.
“Makcik ni...”
Belum habis soalan dikeluarkan Mak Munah segera menjawab.
“Mak Munah orang gaji kat dalam rumah ni. Puan Ku tu,
namanya Tengku Marlia, majikan Mak Munah. Mummy
Ian, kawan cik tu,” beritahu Mak Munah secara suka dan rela.
Perlahan Ain Sofea angguk kepala. Lagi bertimbun rasa
segan dan malunya mahu berjumpa ibu Ian Zacry. Keturunan tengku-tengku rupanya
orang di dalam rumah ini. Tak sangka pula Ian Zacry berdarah raja. Kalau dah
membawa gelaran tengku tu, maknanya mereka semua berketurunan sultanlah.
Alahaiii... Macam mana nak beradap di depan mereka? Dia
bukannya tahu protokol berjumpa orang-orang istana. Nak kena menjunjung sembah
bagai ke? Tak boleh jadi ni. Baik duduk terperap dalam bilik saja.
“Saya masuk ke bilik dulu ya, makcik.”
“Mak Munah. Panggil Mak Munah aje.”
“Errr... Saya masuk bilik dulu Mak Munah.”
“Yalah! Kalau cik nak apa-apa, panggil aje Mak Munah.
Bilik Mak Munah kat bahagian belakang dapur tu.”
“Terima kasih Mak Munah.” Kaki segera menyambung langkah
menuju ke bilik di mana dia menumpang. Tak mahu bertembung dengan Tengku Marlia
pula di situ.
Di dalam bilik, Ain Sofea tidak senang berbaring. Pusing ke
kiri tak kena. Pusing ke kanan rasa kurang selesa. Hendak telangkup lagilah
pula. Jadi sesak nafasnya. Sekali lagi dia kalih. Tubuh terlentang menghadap
siling yang berukir cantik.
‘Menyesal betul aku datang ke rumah ini,’ rungut Ain
Sofea tidah sudah.
‘Keturunan tengku rupa-rupanya mamat tu. Tak sangka pula aku. Peel
serupa orang kebanyakan aje. Yang mengintai aku tadi tu, betul ke adik dia? Kenapa
roman tak serupa? Ian bermata biru. Lelaki tu berwajah Melayu.’ Ain Sofea terus
mengomel.
Memikirkan lelaki itu berkemungkinan salah seorang anak
Tengku Marlia dan adik kepada Ian Zacry, Ain Sofea berdecit kuat. Habislah dia
kalau betul lelaki itu anak Tengku Marlia. Selamba tenuk saja dia herdik lelaki
tu tadi. Sudahlah ditengking, dihempas pula pintu di depan muka.
Bila otak terasa tenat bekerja keras, mulalah badan pun memberi
tindak balas. Rasa berbahang tidak semena-mena. Padahal, pendingin hawa suhunya
hampir takat beku. Tekak mula terasa perit dan kering.
‘Tak ada air kosong pula dalam bilik ni,’ gerutu gadis
itu. Nak turun ke dapur dia tidak berani. Takut terserempak lagi dengan adik
Ian Zacry. Mana dia nak letak muka? Apa dia nak cakap? Dia harus minta maaf ke?
Ain Sofea mengeluh. Semput betul nafasnya berada di dalam
rumah ini. Takut nak jumpa mummy Ian
Zacrylah. Takut jumpa adik Ian Zacrylah. Habis tu, sampai bila nak menyorok dalam
bilik ni? Besok pagi, kena keluar juga. Nanti apa pula kata mummy Ian Zacry? Tak ada adab sangat
pula dia sebagai tetamu. Langsung tidak mahu bertemu dengan tuan rumah.
Tekak terasa semakin perit. Akhirnya Ain Sofea
memberanikan diri untuk turun ke dapur. Kalau ditahan dahaganya, silap hari
bulan boleh hilang suara. Dia menuju ke pintu. Tangan menarik tombol pintu.
Sebelum melangkah keluar, dia jenguk kepala ke kiri.
“Line
clear!” Tiada kelibat
manusia di sepanjang laluan itu. Dia alih pula kepala ke kanan.
“Ain Sofea!”
“Oi mak kau!” Sergahan itu buatkan Ain Sofea terkejut.
Ian Zacry menggeleng kepala apabila melihat Ain Sofea
tersandar pada bingkai pintu.
“Takkan nak pengsan lagi? Sikit-sikit nak rebah. Sikit-sikit
nak tumbang. Apa teruk sangat darah gemuruh awak ni? Ke awak memang nak saya
cempung awak kali kedua?” Ada nada mengejek pada lantunan tutur kata Ian Zacry.
Senyum nipis juga tersungging pada bibirnya.
Amboi! Mulut? Tahulah ini kawasan jajahan dia. Jam-jam
nilah nak tunjuk lagak. Terbantut Ain Sofea hendak membalas kata-kata Ian Zacry
kala terlihat ada satu susuk tubuh di belakang lelaki itu.
Mummy Ian Zacry!
Segera mulut ditutup rapat dan terus menelan liur. Wanita
itu datang menghampirinya.
“Aaampun tttengku...” Pantas gadis itu menjatuhkan kepala
dan mengangkat sembah dalam ketar.
Ian Zacry yang melihat letus ketawa. Ain Sofea yang
mendengar langsung tidak terasa. Malahan dia bimbang. Mungkinkah caranya
mengadap Tengku Marlia tidak betul adapnya?
“Iannn...” Keras suara Tengku Marlia menegur.
Ian Zacry menekup mulut tetapi gelagat Ain Sofea yang
masih menjunjung sembah buatkan dia gagal menahan tawanya. Lawak sungguh!
Melihat Ian Zacry seperti tidak mahu reda tawanya, lantas
tangan Tengku Marlia laju menampar bahu anak terunanya itu.
“Sudah Ian!” Pelik pula Tengku Marlia dengan sikap Ian
Zacry malam ini. Selalunya tidak begini. Nak nampak dia tersenyum pun susah. Lagikan
pula ketawa.
“Sorry mummy.”
Jejaka itu kemam bibir.
“Ain Sofea, kan?” Tengku Marlia raih tangan gadis itu.
Perlahan dia menolak turun tautan tangan Ain Sofea yang bertemu di depan dahi.
“Ya tttengku...,” menggeletar suara Ain Sofea membalas.
“Tak perlulah mengangkat sembah macam ni.”
“Aaa...?” Ain
Sofea kalut. Kalau tak menjunjung sembah, habis tu nak buat apa?
“Saya bukannya raja. Permaisuri pun tidak. Hanya ada
pertalian darah yang sangat jauh.” Tengku Marlia ukir senyuman manis. Dia tahu
gadis ini sebenarnya gugup.
Kalau begitu, tak perlulah dia risau takut melanggar
protokol. Ain Sofea lepas nafas lega. Sempat juga dia mengerling kepada Ian
Zacry yang masih menahan tawa. Orang buat salah bukannya nak tegur. Dijadikan
bahan lawak pula. Siot betul mamat ni. Nampaknya, bertambah lagi satu
perkara yang buatkan dia berasa semakin malu mahu berhadapan dengan Tengku
Marlia anak-beranak.
“Lagi satu, tak payah kut panggil tengku-tengku ni. Tak
mesra. Apalah sangat dengan pangkat dan darjat. Bukan boleh dibawa mati pun.
Darah kita tetap sama merah, kan?”
Gadis itu angguk kecil.
“Maafkan saya Puan Ku,” mohon Ain Sofea seraya menghulurkan
tangan. Jika tak perlu mengangkat sembah, kenalah bersalaman.
Jabat dara itu disambut mesra oleh Tengku Marlia. Wanita
itu juga turut mengelus lembut bahu Ain Sofea kala dara itu menyinggahkan dahi
ke tangannya.
“Hmm... Puan Ku?”
Tengku Marlia menyoal.
Ain Sofea faham. Tentu Tengku Marlia bertanya dari mana
dia tahu panggilan Puan Ku itu. Kalau dah panggil tengku tak mahu, Puan Ku lah!
Seperti yang Mak Munah gelarkan. Takkan salah lagi kut?
“Emm... Mak
Munah yang beritahu.” Gigih Ain Sofea mengawal debar.
“Saya nak panggil Ain Sofea apa?”
“Puan Ku boleh
panggil Ain aje.” Seramah mungkin Ain Sofea menjawab.
“Kalau begitu, Ain kena panggil mummy. Tak mahulah panggil Puan Ku. Ain bukannya bekerja dengan
saya nak panggil begitu. Ain kawan Ian kan?”
Angguk sajalah Ain Sofea oi! Jangan disanggah.
“Kalau kawan Ian, bermakna kawan mummy juga. Panggil mummy
aje, okey?”
Belum sempat Ain Sofea setuju Ian Zacry sudah mencelah.
“Mummy...,
sejak bila pula kawan Ian jadi kawan mummy
ni? El tu tak nak pula mummy jadikan
kawan? Tak nak pula mummy suruh dia
panggil mummy, mummy?” Wajah Ian
Zacry sedikit keruh. Padam warna ceria tadi di mukanya.
“El tu lain. Ain ni lain.”
Ian Zacry singgahkan jelingannya pada Ain Sofea.
Dah kenapa nak menjeling pula? Marah pasal mummy dia tak nak berkawan dengan El?
Siapa El tu? Apa kena-mengena pula aku dengan El yang dia nak jeling aku?
Memang ada angin pasang betul mamat
ni. Tadi okey aje. Ni meroyan tiba-tiba, detik hati Ain Sofea. Sebagai balasan dia
jeling Ian Zacry semula.
“Macam mana, Ain dah okey?”
“Okey Puan Ku.”
“Ha a a... Apa
dia? Bukan Puan Ku tapi mummy!”
“Ya ya ya. Ain okey mmmummy.”
Aduh! Kekok betul. Ganjil sangat bunyinya. Lidah orang kampung. Dah biasa
panggil mak, nak disuruh panggil mummy.
Memang tergeliatlah! Patah sepuluh tulang lidah. Eh! Lidah ada tulang ke?
Hantam sajalah Labu...
“Kalau Ain penat, Ain pergilah berehat.”
“Sebenarnya Ain nak ke dapur minum air,” beritahu gadis
itu sambil cuba untuk tersenyum. Tak sangka sungguh Tengku Marlia sebaik dan
selembut ini. Ingatkan orang kaya-kaya lebih-lebih lagi keturunan tengku-tengku
ni, kerek ya ampun!
“Mummy panggilkan
Mak Munah suruh hantarkan air ke bilik Ain ya?”
“Tak apa. Ain boleh pergi ambil sendiri. Ain tak nak
menyusahkan Mak Munah. Mungkin Mak Munah tengah tidur. Kesian pula dengan Mak
Munah.”
Tengku Marlia senyum membalas. Baik sungguh budi bahasa
dara ini. Bertimbang rasa pula tu, detak hati tuanya.
Ian Zacry yang memerhati kemesraan antara ibunya dan
gadis itu sedari tadi mula berfikir sesuatu. Betul ke tindakannya membawa Ain
Sofea ke rumah ini? Kalaulah Tengku Ellisa tahu, teruk dia. Makin kusut nanti
jika kekasih hatinya itu tahu yang ibunya melayan Ain Sofea lebih baik daripada
dia. Tengku Ellisa sendiri pernah bersuara. Sedar bahawa mummynya tidak pernah menyukai dia.
“Ain nak turun ke dapur, kan?”
Gadis itu hanya mengangguk.
“Kalau begitu, jomlah! Mummy pun nak buat air. Sambil tu boleh kita sembang-sembang.
Kenal-kenal.” Senyum digariskan selebar mungkin buat gadis itu. Semakin
berkenan hatinya kepada gadis yang tidak dikenali ini. Seperti ada hubungan di
antara mereka.
“Baik Pu... Mmmummy.”
Panggilan yang tersasul cepat dibetulkan. Senyuman Tengku Marlia dibalas dengan
senyuman juga. Ketika dia menoleh kepada Ian Zacry, seorang lagi lelaki muncul
di situ. Itulah adik Ian Zacry. Terus pandangan Ain Sofea melekat ke hidung
jejaka itu yang masih merah.
“Mummy..., kata
nak jumpa? Tadi lama Ail dengan abang tunggu kat dapur.”
Ain Sofea menekur lantai. Tidak berani menentang wajah
jejaka yang sedang berkata-kata itu.
“Ail, kenapa hidung tu merah?” Tengku Marlia abaikan
soalan Luth Michail. Hidung serupa badut itu yang lebih menarik perhatiannya.
Menelan liur Ain Sofea mendengar Tengku Marlia bertanya
gusar. Dari ekor mata dia lihat Tengku Marlia mendekati lelaki yang dipanggil
Ail. Hidung mancung jejaka itu juga dibelek.
“Kena pintu,” balas Luth Michail sambil anak mata singgah
ke wajah Ain Sofea yang sudah pucat.
“Macam mana boleh kena pintu ni...? Berdarah tak?” Jelas
Tengku Marlia risau melihat keadaan hidung Luth Michail.
Glup!
Telan lagi air liur. Badan rasa sudah keras. Ain Sofea tidak berani
memanggung muka. Jika Tengku Marlia tahu, hidung anak lelakinya jadi pesek
kerana dia, agak-agaknya wanita itu saman dia tak?
“Ian tanya tadi pun, dia jawab macam tu juga mummy. Entah letak kat mana mata. Pintu pun dia langgar,” tutur Ian
Zacry dalam nada memerli.
Luth Michail buat tidak peduli. Takkan nak bertekak dengan abangnya di
depan tetamu? Tetamu yang cantik jelita pula tu!
“Alah! Tak ada apalah mummy.
Sikit aje ni. Esok hilanglah.”
“Hmm... Macam-macam!” cantas Tengku Marlia.
“Mummy kata tadi nak jumpa?”
tanya Luth Michail semula.
“Jomlah kita ke dapur. Mummy
rasa, ayahanda long mesti tak balik malam ni. Kita berbual kat dapur sambil
minum.” Tengku Marlia kalih mendapatkan Ain Sofea. “Ain, yang ini anak mummy yang bongsu. Luth Michail
namanya.”
Gadis itu panggung muka. Sangat ketat bibirnya mengukir senyuman kepada si teruna.
Luth Michail. Ian Zacry. Nama ala-ala mat
saleh gitu. Kalau berpandukan kepada nama, memang kedengaran seperti
adik-beradik tetapi, roman masing-masing langsung tidak seiras.
“Mummyyy...?” soal Luth Michail
dalam nada teruja ingin tahu. Ian Zacry dikerling. Memang sahih ada sesuatu.
“Yalah! Ini kawan abang, kan? Jadi tak salah kalau mummy nak dia panggil macam tu,” tukas Tengku Marlia.
“Memanglah tak salah tapi...”
Lekas Tengku Marlia memintas kata-kata Luth Michail apabila melihat riak
tidak senang Ian Zacry kepada Luth Michail. Anak sulungnya ini memang pantang
dicuit oleh adiknya.
“Ail, ni kawan abang. Ain Sofea namanya.”
“Kami dah jumpa tadi mummy. Cuma
tak sempat nak berkenalan aje,” beritahu Luth Michail.
Ain Sofea rasa seperti Luth Michail sedang memerlinya apabila lelaki itu
bersuara sambil mengurut-urut hidung mancungnya yang memerah.
No comments:
Post a Comment