Selain daripada darah gemuruh, ini lagi satu penyakit
hakiki yang dia hidap. Kalau berada di tempat asing, susah nak lelap. Jika dapat
tidur pun, mesti tak nyenyak. Setengah jam sekali harus terjaga. Serupa
tidur-tidur ayam. Sudahnya, pukul lima pagi mata dah segar-bugar.
Selepas melihat waktu pada jam tangannya, objek usang itu
kembali diletakkan ke atas muka meja sisi di tepi katil. Ain Sofea bangkit dari
tilam. Duduk dibirai katil sambil menggeliat. Daripada merenung siling lebih
baiklah dia pergi bersihkan badan dan berwuduk. Mengaji barang satu dua surah
pendek sementara menunggu masuk waktu subuh.
Tuala yang tersidai pada towel rail dicapai lalu dia menuju ke bilik air. Usai urusan di
bilik air dengan hanya berbungkus tuala dari paras dada ke lutut, Ain Sofea
melangkah keluar. Malam tadi hanya sepasang baju yang disediakan oleh Mak
Munah. Nak minta lagi? Seganlah! Terpaksalah dia begini. Nanti terus saja
sarung telekung. Lepas solat baru pakai semula blaus dan seluar jeannya
semalam. Baju dan seluar kecik? Hmm...
nak cakap apa? Nak tak nak kena jugalah ulang guna.
Sedang Ain Sofea menyisir rambutnya di hadapan cermin
almari solek, tiba-tiba daun pintu kedengaran dikuak. Sepantas kilat leher berpusing.
Siapa? Sudahlah dia berkeadaan super-duper
seksi. Terlupa nak kunci pintu ke malam tadi?
Terjojol bebola matanya saat terlihat ada sekujur tubuh
tegak berdiri di muka pintu. Makhluk itu turut bular memandang kepadanya. Sudah
berapa lama agaknya manusia yang tidak dikenali ini mengintai di situ? Kala
lelaki berwajah lebih separuh abad itu melangkah masuk bersama senyuman
menyenget yang amat menakutkan, baru Ain Sofea teringat akan keadaan dirinya.
Segera kedua belah tangan menyilang di dada.
“Hmm... Patutlah
aku tengok lampu bilik ni terang-benderang. Ada tetamu rupanya. Cantik pula.” Lelaki
itu berkata sambil merapatkan daun pintu. Kemudian dia datang menghampiri Ain
Sofea yang sudah tersandar pada meja solek.
Bibir gadis itu mula menggeletar. Tubuhnya menggigil.
Pandangan lelaki itu cukup buat Ain Sofea merasa gerun. Apakah niatnya?
“Hehehe...” Lelaki itu ketawa kecil tetapi nadanya cukup
mengerikan.
“Tak pernah pula rumah ni ada tetamu. Apatah lagi
secantik ini. Nampaknya, rezeki akulah...” Ain Sofea dirapati. Kedua tapak
tangan ditemukan dan digesel laju. Lidah sudah menjilat bibir. Patutlah hati
tergerak mahu pulang. Rupanya ada yang lebih indah di sini daripada yang sedang
terlentang di atas katil hotel sana.
“Pppakcik... Tttolong keluar,” bergetar suara Ain Sofea
mengarah. Tubuh mengengsot ke kiri menghimpit dinding. Kalau dia lari masuk ke
bilik air, sempat tak?
“Pakcik? Abang la... Keluar? No no no... Hahaha...”
Tawa lelaki tua itu menambahkan skala takut Ain Sofea.
“Satu kerugian kalau aku lepaskan peluang ni,” sambung
lelaki itu lagi.
“Pppeluang apa?”
“Fresh meat!”
Kening dijongket tinggi. Tubuh gadis yang berbalut tidak sempurna itu ditilik.
Putih kemerahan kulitnya. Cantik lekuk tubuhnya. Cukup menggambarkan yang dara
ini tidak pernah disentuh atau dijamah oleh mana-mana lelaki. Maka, dia bakal
orang pertama yang menjamahi. Gunting rebenlah dia. Tawa Tengku Majid terus
bersambung.
“Pppakcik... Tttolong la keluar.”
“Kalau aku tak nak?”
“Saya akan menjerit!”
“Hahaha... Jeritlah!” Yakin takkan ada sesiapa yang mendengar
suara gadis ini. Kereta Ian Zacry tidak kelihatan di anjung. Bermakna dia tiada
di rumah. Mungkin belum pulang dari ladang mereka di Negeri Sembilan, teka
Tengku Majid. Luth Michail pula biasanya di waktu begini sudah pergi ke surau
berhampiran. Adiknya? Bilik jauh di depan sana. Dipisahkan pula oleh ruang
rehat dan perpustakaan. Harus tak dengar. Mak Munah di tingkat bawah. Biliknya di
belakang dapur. Lagilah jauh! Sementelah, rumah ini terlalu besar untuk dicapai
oleh gelombang suara gadis yang selemah dan selembut ini. Tangan sudah
didepang. Bersedia mahu merangkul tubuh kecil itu.
Tanpa bertangguh Ain Sofea terus menjerit sekuat hati.
“Tolong! Tolong! Tolong!”
Pang!
Kuat bunyi papan pintu berlaga dengan dinding tanda ia telah
dirempuh.
“Ayahanda long!”
Segera Ain Sofea menoleh mencari pemilik suara itu.
Manusia di hadapannya ditolak kuat lalu berlari mendapatkan sang penyelamat
yang baru muncul. Berlindung di belakang lelaki tersebut. Menikus sambil
merangkum pinggangnya dalam tidak sedar. Hati mengucap syukur tanpa henti. Jika
tidak, entah apa akan jadi.
“Apa yang ayahanda long buat ni?!” lengking Luth Michail.
Merah matanya menikam ke wajah si bapa saudara. Mujur hari ini dia terlewat
bangun. Lambat ke surau untuk solat subuh berjemaah. Jika tidak...
“Ayahanda long tak ada buat apa-apa pun... Ada Ail nampak
ayahanda long buat apa-apa ke? Tak ada kan?” soal Tengku Majid sinikal. Rambut
yang terjuntai di depan dahi ditolak ke belakang. Bibir tersenyum sinis.
“Habis tu, ayahanda long buat apa dalam bilik ni?” Luth
Michail meraba di perutnya apabila terasa ada yang merangkul erat di situ.
Jejari menggenggam kejap tangan itu. Dia tahu gadis ini ketakutan. Dan dia pula
tiada masa hendak rasa semacam dipeluk oleh Ain Sofea. Jengkel melihat perangai
Tengku Majid yang tidak pernah berubah.
“Ayahanda long nak tengok aje siapa dalam bilik tetamu
ni. Tak pernah-pernah... Tiba-tiba ada orang. Pelik pula!” Memang itu yang dia
rasa ketika melalui koridor bilik ini tadi. Terlihat cahaya menerobos keluar
dari celah kaki pintu terus hati terlintas mahu mengetahui siapa yang berada di
dalam. Ingatkan Tengku Marlia. Tak sangka pula ada tetamu. Dan dia bukan boleh
tengok ‘barang’ cantik. Darah yang terasa masih muda ini terus saja menggelegak.
Luth Michail mendengus. Terkilan dengan sikap lelaki tua itu.
Umur sudah ganyut tetapi otak langsung tidak boleh berfikir waras apabila nafsu
diutamakan.
“Sekarang ayahanda long tolong keluar!” jerkah Luth
Michail. Telunjuk menunding lurus ke pintu bilik yang terbuka luas. Puas
disabarkan hatinya. Kalaulah di hadapannya ketika ini bukan berpangkat bapa
saudara, harus sudah digodam dengan penumbuk. Kurang ajar! Langsung tak tahu
nak hormat perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan baik seperti Ain Sofea ini.
“Siapa dia? Girlfriend
Ail?”
“Ya! Jadi ayahanda long tolong hormatkan dia. Jangan
berani-berani nak buat apa-apa kepada dia!”
“Ooo... Girlfriend...
Okey... Ayahanda long tak sengaja.” Kedua belah tangan diangkat separas bahu.
Tanda beralah. Tengku Majid berjalan keluar. Ketika melalui Luth Michail,
disinggahkan pandangannya pada gadis itu bersama senyuman senget. Rugi betul
rasanya. “Sorry!”
Ain Sofea merengket di belakang Luth Michail. Tubuh
lelaki itu semakin kuat didakap dan ditarik bagi menutupi dirinya daripada pandangan
si tua merenyam.
“Maafkan ayahanda long saya tu,” ujar Luth Michail sebaik
kelibat Tengku Majid lenyap di balik dinding bilik. Telapak menepuk perlahan di
tangan Ain Sofea yang melingkar di pinggangnya. Ingin menyedarkan perbuatan
gadis itu tetapi pelukannya masih kejap. Perlahan dirungkaikan. “Dah! Dia dah
keluar. Awak tak perlu rasa takut lagi.”
Teragak-agak Ain Sofea mahu meninggalkan tubuh Luth
Michail. Mata tidak beralih dari pintu bilik. Manalah tahu si malaun tu muncul
balik. Namun, saat kulit lengan mula terasa hangat haba badan Luth Michail,
pantas dileraikan simpulan tangan. Dijauhkan dirinya.
Aduh! Terpeluk pula mamat
ni, hati mendongkol. Sungguh tak perasan. Memang dia tidak sengaja kerana perasaan
gerun yang teramat sangat kepada si bangka yang tak sedar diri tu tadi.
“Saya harap awak maafkan...” Kata-kata Luth Michail
terhenti saat dia berpusing menghadap Ain Sofea. Liur ditelan laju. Kepala
spontan menekur lantai. Bimbang imannya pula yang goyah. Baru dia menyedari
keadaan Ain Sofea. Luth Michail tunduk dan menggapai comforter di atas katil. Ditarik dan diunjukkan kepada gadis itu.
Ain Sofea keliru. Tidak tahu untuk apa gebar itu
diberikan kepadanya. Tiba-tiba dia teringat keadaan diri yang tidak sempurna.
Laju dia menyambut gebar itu dari tangan Luth Michail. Kelam-kabut menutupi
badannya yang hanya berbalut tuala. Itupun ikatannya sudah terasa longgar.
Mujur ketika berlari tadi tidak terlucut. Jika tidak, kiamat dunia. Segan dan
malu laju datang menerpa. Tak sanggup hendak bertentang muka.
“Maafkan ayahanda long saya. Dan maafkan saya juga,”
tutur Luth Michail lirih. Dia masih tidak memanggung kepala. Tanpa menunggu
lama Luth Michail berlalu ke pintu. “Kunci pintu ni.”
“Sekejap!” Ain Sofea menegah lelaki itu daripada pergi.
Langkah Luth Michail terhenti.
“Kenapa?” Muka tidak dipalingkan. Cukuplah sekali
terlihat. Jika sengaja untuk kali kedua, berdosa dia.
“Temankan saya.” Ain Sofea turut tidak mengangkat kepala.
“Hah?!” Gila ke apa? Jangan menempah bala. Dia lelaki
juga.
“Saya takut.”
“Ayahanda long saya dah pergi. Tak ada apa yang awak nak
takutkan lagi. Lagipun, berdosa kita terus berada dalam keadaan macam ni.”
Ain Sofea diam. Dia masih trauma.
“Awak kunci pintu ni. In
syaa Allah tak ada apa-apa yang berlaku.” Luth Michail terus melangkah.
“Sssaya takut. Awak temankan saya boleh? Tttunggu kat
luar aje. Sssebab lepas ni... sssaya... nak minta tolong awak,” gugup Ain Sofa
bersuara.
“Baiklah. Saya tunggu di luar. Awak bersiap dulu.”
Diperhati lelaki itu pergi. Selepas daun pintu dirapatkan
oleh Luth Michail, Ain Sofea lantas menguncinya. Gebar dilucutkan lalu ditebar
ke atas tilam. Ala kadar dia mengemas katil tersebut. Usai itu dia segera
bersiap. Beg sandang diambil dari atas meja solek dan bergegas keluar dari
bilik tersebut. Kala pintu dikuak, Luth Michail sedang berdiri membelakanginya.
Lega rasa hati apabila lelaki ini akur dengan permintaannya.
“Awak?”
Luth Michail menoleh.
“Awak nak minta tolong apa?” Dahi jejaka itu terus
berlapis saat melihat Ain Sofea sudah siap menyandang beg di bahunya. “Awak nak
ke mana ni?”
Kiri dan kanan koridor dipandang. Setelah pasti tiada
sesiapa di sepanjang laluan itu, tanpa berkira tangan Luth Michail terus ditarik
menuju ke arah tangga.
“Awal lagi ni. Awak nak ke mana?” soal Luth Michail
sekali lagi.
“Awak boleh tolong saya?” Tangan lelaki itu terus diheret
menuruni mata tangga menuju ke tingkat bawah.
“Boleh... Tapi beritahu la saya dulu awak nak ke mana?”
Langkah terpaksa diatur laju bagi menuruti rengkuhan gadis itu.
“Bawa saya keluar dari rumah ini.”
“Tapi...”
Cepat kata Luth Michail dicantas.
“Saya tak nak berada lagi lama dalam rumah ni.
Tolonglah... Saya merayu kepada awak. Bawa saya keluar dari rumah ini,” pinta
Ain Sofea sayu. Dia kalih merenung wajah Luth Michail. Sebelah tangan pula mula
memulas tombol pintu. Dibuang segala rasa malu dan segannya kepada Luth Michail
demi tekad mahu pergi dari sini.
“Baiklah,” lemah Luth Michail membalas selepas diam seketika.
Dia akur dengan keinginan Ain Sofea. Dia faham perasaan Ain Sofea. Pasti
terlakar memori pahit pada rumah keluarganya ini di dalam minda gadis itu.
Ralat sungguh dia. Tentu tidak akan ada kali kedua rumah ini dijejaki oleh Ain
Sofea.
“Terima kasih,” ucap Ain Sofea perlahan. Nafas lega
dilepaskan berserta sekali dengan genggamannya pada tangan Luth Michail.
“Maaf!”
Dia tahu, ucapan maaf itu diungkapkan atas keterlanjuran
Ain Sofea memaut tangannya. Luth Michail senyum segaris bagi mengaburi suasana
canggung di antara mereka. Baru sekarang gadis itu perasan rupanya. Tercolek
hati saat melihat ada rasa serba salah pada riak Ain Sofea. Mujur juga dia
memakai Kurta. Tidaklah mereka bersentuhan secara terus. Tadi pun tak sengaja
menyentuh tangan Ain Sofea ketika dia dipeluk.
Pantas Ain Sofea berpaling dari Luth Michail. Muka rasa
berbahang. Dalam dada mula hangat. Betapa dia sangat malu ketika ini. Masakan
tidak? Teruna ini terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya ditengok. Segera kaki melangkah
keluar melalui pintu yang sudah dibuka luas.
“Tunggu saya!” Kunci kereta dari dalam mangkuk di atas
meja hiasan tepi dinding diambil. Lalu Luth Michail membuntuti derap kaki dara itu.