Total Pageviews

Tuesday, November 1, 2016

BENCI / CINTA... AWAK BUDAK NAKAL



Novel ke3 saya kali ini diterbitkan oleh ANAASA PUBLICATION
Untuk bacaan sinopsis anda boleh ke label BLURB
Untuk bacaan bab-bab awal & teasers klik di label yang bertajuk Benci/Cinta... Awak Budak Nakal

Jumlah muka surat : 615

Harga :
Semenanjung RM27.00
Sabah / Serawak RM30.00

Boleh di dapati di bookstore
Atau pembelian secara online di

https://www.facebook.com/anaasapublication/?ref=page_internal
Sila tinggalkan mesej anda, pasti mereka yang sangat ramah di sana melayan setiap pertanyaan anda

Semoga terhibur

Salam sayang
Qaseh Farina







Review Dan Komen Dari Pembaca



Jom kita baca review dan komen daripada beberapa pembaca yang telah memiliki BENCI /CINTA... AWAK BUDAK NAKAL




Monday, October 31, 2016

BENCI / CINTA... AWAK BUDAK NAKAL - BLURB



BUKU KE3

Suka Ayin? Oh! Please...bukan taste Yayalah! Ayin tu, berlagak ya ampun. Harapkan muka saja handsome, tapi perangai hampeh!

Namun, perasaan mula berubah selepas mengetahui kenapa Ayin jadi begitu. Bahagia berbunga apabila Ayin mula menyedari kewujudannya, tetapi hanya seketika.

“Ooo... Kau tak layan aku ya, Sinar? Tak apa... Cara halus tak jalan, aku buat cara kasar. Cara baik tak dapat, aku buat cara jahat.” – Ayin

Setiap hari ada saja yang Ayin lakukan untuk pedajal Yaya hanya untuk mendapatkan perhatian Yaya.

“Apa songsang sangat cara Ayin tu, along? Ada ke nak rapat dengan Yaya, selalu pedajalkan Yaya?” - Yaya

Itulah Ayin. Dia lain daripada orang lain.

Tanpa terduga, keadaan memisahkan mereka. Pertemuan semula selepas sekian lama, merupakan permulaan sebenar kisah cinta mereka. Yaya tersepit antara budi dan hati apabila Puan Julita berura-ura mahu menjodohkannya dengan Chad. Adakah Ayin akan teguh berdiri untuk merebut cinta Yaya selepas mengetahui Chad sahabatnya juga menyukai gadis yang sama? Dan, kecewakah Ayin apabila Along akan disatukan dengan Yaya atas permintaan isteri Along?

Saat kekusutan mula terungkai, Adilia hadir memusnahkan segalanya. Kasih lama ditagih. Yaya rebah dengan percaturan hidupnya.

Namun bagi Ayin, dia hanya ada Yaya. Jika dia perlu menjadi budak nakal semula untuk memikat hati Yaya, dia akan buat! Andai dia perlu pedajal Yaya untuk memujuk Yaya, dia juga akan lakukan! Dan jika dia terpaksa sakitkan hati Yaya untuk mendapatkan perhatian Yaya, dia akan sakitkan! Hanya untuk kembali merebut hati Yaya.

“Cara dia menginterpretasikan perasaan dia, pelik daripada orang lain. Tak sama macam orang lain. Dengan ketidaksamaan itulah, aku percaya, cara dia menyayangi dan mencintai kau, takkan kau jumpa pada orang lain.” Mampukah kata-kata ini membuka semula hati Yaya untuk Ayin?

Wednesday, June 8, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 19




Eee... Malunyaaa...” Tangan meramas kedua belah pipi dengan mata yang dipejam rapat. Kemudian diketuk-ketuk kepalanya pula.
“Macam manalah aku boleh pengsan tadi?” Kali ini tepi dahi digaru kasar. Malang betul! Masa tulah juga darah gemuruh datang. Tak boleh ke datang hari lain? Besok pagi ke? Lusa ke?
Disebabkan darah gemuruh inilah dia tak suka bertukar-tukar kerja. Ketika sesi temu duga minta kerja di kilang dan Parkson dulu pun, hampir pitam juga dia. Puas berpaut pada meja supaya badan tidak tumbang. Orang yang menemu duga sudah besar kecil besar kecil dipandang. Mujur tak sampai pengsan. Tapi hari ni...
“Aduhhh... Buat malu betul!” Agaknya apa tanggapan mummy Ian Zacry kepadanya? Entah bagaimanalah Ian Zacry mentertawakannya? Mesti terburai perut lelaki tu tergelak. Siap berguling-guling barangkali.
“Ni semua mamat tu punya pasallah! Kalau dia tak bawa aku ke sini, tak payah aku jumpa mummy dia. Dah la keluarga dia ni bapak punya kaya. Aku mana biasa jumpa orang-orang kaya ni!” rungut Ain Sofea lagi. Anak mata melilau melihat setiap sudut bilik.
“Tengoklah bilik ni! Dah macam bilik tuan puteri anak raja kayangan!” Tangan menggesel-gesel pula pada cadar tilam. Lembut, halus dan licin. Sejenak dia merasa takjub dengan keindahan bilik yang dia tumpangi. Kalau sudah bilik tidurnya pun begini punya cantik, apatah lagi ruang-ruang yang lain. Nak hairan apa? Orang kaya!
Ish! Seram nak menumpang lama-lama. Kalaulah diberi pilihan, aku lebih sanggup tidur di hotel murahan.” Pandangan jatuh kepada hidangan yang bertutup di atas meja sisi di tepi katil. Bagus pula layanan penghuni rumah ini. Makanan siap dihantar ke bilik. Tentu mereka bimbang dia kelaparan dan segan hendak ke dapur mencari makanan. Segera tangan dipanjangkan membuka tutup makanan. Semerbak bau asam pedas menerobos rongga hidung. Tiba-tiba perut terasa lapar.
“Mandi dan solat dululah!” Solat maghribnya perlu diqada. Perlahan Ain Sofea bangkit meninggalkan birai katil selepas mencapai sepasang pakaian dan tuala yang disediakan di hujung katil. Memang sungguh prihatin tuan rumah ini kepada dia tetamu tak dijangka mereka.
Sebelum melangkah ke bilik air, mata melilau mencari sesuatu. Di sana, di sudut bilik tergantung sehelai sejadah dan sepasang telekung pada rak. Di siling tertera arah kiblat. Ain Sofea hembus nafas lega. Tak perlulah dia mencari seseorang untuk bertanya.
Usai solat Ain Sofea menjamah makanan yang disediakan. Habis licin dikerjakan. Sedap sungguh! Ke dia memang lapar? Mangkuk dan pinggan yang telah kosong direnung kejap. “Takkan nak biar kat sini aje?”
Setelah agak lama berfikir, Ain Sofea ambil keputusan untuk menghantar dulang makanan itu ke dapur. Adat menumpang, kenalah ringan tangan. Dah diberi makan, takkan basuh pun tak senang? Soal malu, segan, tolak tepi. Budi pekerti kena tinggi. Barulah bakal mentua senyum nampak gusi. Siapa bakal mentua kau Ain oiii...? Jangan nak berangan sangatlah!
Berhati-hati Ain Sofea keluar dari bilik. Mata meliar ke sana dan ke sini. Bukannya takut, cuma segan jika terserempak dengan penghuni rumah ini. Terutama budak lelaki yang dia hempas pintu di hadapan mukanya tadi. Sudahlah hidung tinggi macam paruh belatuk. Tentu merah hujung hidungnya.
Senyap derap disusun menuruni tangga sambil menatang dulang. Tingkat bawah sunyi sepi. Sudah tidurkah orang di dalam rumah ini?
“Baru pukul sembilan lebih kut. Pasti semuanya berada di dalam bilik masing-masing,” tebak gadis itu penuh yakin.
Langkah diteruskan. Seperti sudah biasa, kakinya tahu di manakah terletaknya bahagian dapur. Eleh... Setakat cari dapur, bukan susah pun... Tentulah kat belakang sana. Takkan dapur kat depan pula, ya tak?
Deretan suis pada dinding diteliti. “Mana satu pula suis lampu? Jika salah ketik suis, takut terang sangat pula. Nanti mummy Ian tahu ada orang di dapur. Malu haih nak jumpa mummy dia sekarang ni! Esok sajalah baru berkenalan.”
Tanpa menyalakan lampu pendarfluor dapur, Ain Sofea menuju ke sinki. Bahagian itu sedikit terang disinari oleh cahaya lampu dari koridor belakang yang menerobos masuk melalui tingkap kaca. Memadai untuk dia melihat ketika mencuci.
Tik! Dapur tiba-tiba terang-benderang.
Kepala terteleng ke kiri.
“Mak kau!” Kelibat yang berdiri di pintu masuk ke dapur memeranjatkan Ain Sofea.
Ian Zacry ketawa. “Penakut juga awak ni rupanya?”
“Bukan penakutlah! Orang terperanjat aje!” Jejaka itu dijeling tajam. Kerja mencuci pinggan diteruskan. Segan hendak menentang wajah Ian Zacry apabila teringatkan peristiwa dia pengsan petang tadi.
“Yalah tu terperanjat? Ke takut? Nasib tak pengsan macam petang tadi. Sakit tangan saya ni mencempung awak bawa naik ke atas pun belum hilang lagi tau!”
Erk!
“Cccuba... aaawak ulang semula. Siapa yang cempung saya?” Tangan terhenti dari mencuci. Jantung mula dup dap dup dap.
Ian Zacry menghampiri gadis itu. Pinggan yang sudah dicuci, dibilas dan dilap kering. “Sayalahhh... Takkan mummy pula? Mana larat mummy tu nak papah awak.”
“Aaawak?!” Bular mata melihat Ian Zacry.
“Yalah, saya. Siapa lagi?”
Bibir bawah digigit kuat. Muka dibuang ke tepi. Aduhhh... Malunyaaa...
“Nasiblah awak tu ringan. Kalau berat, bersimenlah jawabnya tangan saya ni. Patah dua!” usik Ian Zacry. Suka melihat wajah gadis itu merona merah. Dia kemudian ketawa perlahan seraya menggeleng kepala apabila melihat Ain Sofea gugup menahan malu. “Kalau awak pengsan lagi, bagus juga. Rezeki sayalah tu nak cempung awak sekali lagi. Bukan selalu dapat!”
Pap!
“Adoi!” Ian Zacry mengusap bahu kirinya yang terasa perit.
“Awak jangan nak lebih-lebih ya! Itulah kali pertama dan terakhir awak dapat sentuh saya. Jangan harap ada yang kedua.”
Ian Zacry ketawa lagi apabila muncung Ain Sofea semakin panjang. Sakit bekas ditampar oleh tangan gadis itu terus hilang. “Macam mana? Awak dah okey ke?”
“Hm!” Ringkas saja Ain Sofea membalas. Kerja mencuci pinggan diteruskan.
“Dah laaa... Tak payah nak malu sangat. Tengah darurat kut. Bukan saya suka-suka nak cempung awak. Saya pun tahu batas-batas antara kita,” pujuk Ian Zacry. Senyumnya masih lebar di bibir sementara anak mata tetap merenung kepada gadis itu.
Di pintu masuk ke dapur, sekujur tubuh berdiri memandang Ian Zacry dan Ain Sofea. Ada riak keliru pada wajah manusia itu. Setahunya, Ian Zacry memang susah hendak tersenyum. Apatah lagi ketawa, tetapi tadi berdekah-dekah pula gelaknya. Memang gadis itu ada sesuatu. Hingga mampu buat abangnya jadi begitu. Alamatnya, Tengku Ellisa bakal... bye bye lah tu!

Tuesday, May 31, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 18




Walaupun urusan di mesin deposit telah selesai, Ain Sofea tetap terpacak tegak di situ. Sungguh dia tidak berani untuk berpaling. Apatah lagi melangkah keluar dari ruang itu. Memang dia tidak punya kekuatan mahu menentang wajah Ian Zacry saat ini.
Dada yang berdebar tadi masih kuat bergegar. Sempit betul rasa jantungnya. Hendak bernafas pun terasa sukar. Telapak tangan pula berpeluh dalam kesejukan.
Ini kali ketiga dia merasa perasaannya jadi tidak menentu begini. Kali pertama, ketika tangannya berpautan dengan tangan Ian Zacry gara-gara Awal mahu mereka bersalaman tempoh hari. Waktu itu, tidaklah teruk sangat hatinya libang-libu. Kali kedua, di dalam kereta tadi. Memang dia terkedu, tetapi kejadian kali ketiga benar-benar buat dia jadi gabra tahap gaban. Berada dekat dengan tubuh lelaki itu tanpa berjarak seinci pun, fuh! Kering darah dibuatnya. Masakan tidak? Jantung tiba-tiba berhenti berdetak.
Peluh yang mula merenik di dahi dikesat dengan belakang tangan. Ain Sofea berusaha menguatkan hatinya untuk berhadapan dengan Ian Zacry.
“Dik! Dah sudah ke belum ni? Lama sangat berdiri depan mesin ni,” sapa seorang pelanggan di belakang.
“Hah?!” Ain Sofea tersentak dan menoleh. Dia tersenyum sumbing saat terlihat wajah masam lelaki yang menegurnya.
“Maaf ya bang.” Gadis itu bergerak ke tepi. Memberi ruang kepada lelaki tersebut untuk mendekati mesin deposit. Mujur juga dia ditegur. Kalau tidak, entah berapa lama lagi agaknya dia tegak di hadapan mesin itu.
Ian Zacry di koridor luar dipandang. Lelaki itu sedang berdiri membelakanginya sambil menyandarkan bahu kanan pada tiang bangunan. Tangan kanan di dalam poket seluar. Manakala tangan kiri melekapkan telefon bimbit pada telinga.
“Tengoklah! Berdiri pun ada gaya. Bagaimanalah hati aku ni tak tertarik? Apa aku nak buat supaya hati aku ni tak terus melekat pada mamat tu?” desis Ain Sofea. Perasaan libang-libunya ini harus segera dicegah. Jika tidak, sahih hidupnya jadi haru-biru nanti.
“Jangan lupa Ain.... Barang harus diingat! Lelaki tu sudah berpunya. Enntah-entah sekarang ni, dia tengah bercakap dengan marka dia tu,” bisik gadis itu lagi. Ain Sofea mengeluh. Berapa lama dia mahu berdiri di sini? Mahu tidak mahu, nak tak nak, dia kena keluar juga. Selepas melepaskan hungap, kaki melangkah lemah menghampiri pintu kaca.
“Ni semua kau punya pasallah pintu! Kalau kau tak tiba-tiba tertutup tadi, tentu benda tu tak jadi,” gumam Ain Sofea. Sempat menyalahkan pintu tidak bernyawa itu atas rasa yang meribut dalam dadanya ketika ini. Sebaik sahaja pintu automatik terbuka luas, dia melangkah tanpa berbunyi derap menghampiri Ian Zary.
“Sekejap lagi Ian sampai. Bolehkan Ian bawa dia?”
Kata-kata Ian Zacry menyapa telinga Ain Sofea kala dia berdiri sedikit hampir dengan lelaki itu.
Mummy jangan risau..., dia baik. Dah jumpa nanti tentu mummy sukakan dia.”
Ain Sofea mencuri dengar.
“Entah siapalah agaknya yang dia nak bawa jumpa mummy dia tu? Girlfriend dia hari tulah kut? Siap puji lagi dekat mummy dia, marka dia tu baik. Heh!” bisik Ain Sofea halus. Tidak semena-mena ada rasa cemburu meluru dalam hati. Wajah teman wanita Ian Zacry terbayang di depan mata. Memang cantik. Persis model. Seperti artis pun ada juga. Memang padanlah dengan mamat ni. Peel pun sama, mulut longkang!
Ian Zacry yang baru selesai bercakap di telefon berpaling. Terus Ain Sofea terkedu saat matanya bertentangan dengan mata biru itu. Jangan Ian Zacry ingat dia mencuri dengar perbualannya sudah! Baru saja dia mahu membuka mulut untuk bertanya Ian Zacry mahu menghantarnya ke hotel mana, telefon bimbit lelaki itu berbunyi lagi. Terus Ian Zacry mengangkat tangan. Isyarat meminta dia menunggu.
“Helo! Ya sayang!”
“Sayang?! Huh! Minah rambut karat hari tulah agaknya ni? Confirm nak bawa makwe tu jumpa mummy dia. Habis tu makwe yang ini macam mana?” Ain Sofea berbisik lagi. Entah dari mana datangnya, tiba-tiba ada yang terbuku dalam dada.
Wei! Ain Sofea... Engkau jangan nak berangan boleh tak? Sejak bila pula kau jadi marka mamat mata biru tu? Kau ingat, hanya disebabkan masa kau dah banyak terluang bersama mamat tu hari ni, kau dah dikira girlfriend dia? Bangun... bangun... Jangan nak bermimpi di siang hari...” gumam gadis itu sendiri. Pantas Ain Sofea menyedari siapa dirinya. Dia bukan sesiapa. Kalau dia digandingkan bersama Ian Zacry, memang seperti langit dan bumi. Memang serupa gagak dan merak. Tak ubah macam kaca dan permata. Nampak sama sebagai seorang manusia tetapi status berbeza.
Ain Sofea mengeluh perlahan. Bagaimanalah dia boleh terfikir untuk berdiri dan duduk sama aras dengan lelaki yang ada kelas? Rasa malas pula hendak menunggu di sisi lelaki itu. Nanti Ian Zacry salah sangka. Fikir dia mahu mendengar perbualannya. Lebih baik chow dulu.
Hampir lima minit selepas itu Ian Zacry menghampiri Ain Sofea yang sedang menanti di kereta BMWnya. Tanpa bertangguh gadis itu terus bertanya.
“Awak nak hantar saya ke hotel mana?” Bertanya sambil melarikan anak mata dari melihat wajah Ian Zacry. Rasa sebu semakin penuh dalam hati. Cemburukah dia? Pintu kereta ditarik sebaik sahaja sistem penggera dimatikan oleh Ian Zacry.
“Awak ikut saja saya,” balas Ian Zacry turut tidak memandang kepada Ain Sofea.
Mereka berdua seolah-olah seperti sedang mengelak dari bertentangan mata. Tanpa bertanya lebih lanjut Ain Sofea angguk setuju. Tidak menunggu, dia menerjah masuk ke dalam perut kereta. Pasang tali pinggang keledar, duduk tegak dan mata terus memandang ke hadapan. Sepanjang perjalanan kedua-duanya menumpukan sepenuh perhatian kepada jalan raya.
Sungguh tidak berani Ain Sofea ingin mengerling kepada lelaki di sebelahnya ini walaupun untuk sesaat, tetapi kala pandangannya terlihat binaan mercu tanda di lereng bukit kecil itu, pantas kepalanya menoleh. “Bukit Mahkota?!”
Ian Zacry angguk kecil membalas.
“Dekat Bukit Mahkota ni ada hotel ke?”
Ian Zacry geleng pula.
“Habis tu, awak bawa saya ke sini buat apa?” Ah, sudah! Apa pula yang ada dalam kepala otak mamat mata biru ni? Jangan ada niat nak buat perkara yang buruk-buruk pula kepada dia. Cukuplah matanya saja yang biru, jangan otaknya pun sama biru. Eh, bukan! Otak kuning!
Ain Sofea menelan liur. Ibu jari kanan sudah berada pada punat push button untuk mencabut tali pinggang. Sebelah tangan lagi bersedia untuk membuka pintu. Kalau lain macam saja dia tengok muka mamat sebelah ni, dia nekad terjun dari kereta. Biarlah risiko cedera parah itu tinggi. Dia lebih rela begitu dari membiarkan maruahnya diratah. Dalam hati terbesit rasa menyesal kerana terlalu mudah mempercayai lelaki ini, tetapi masih belum terlewat untuk menyelamatkan diri.
“Saya dah cerita pasal awak kepada mummy saya. Saya dah tanya mummy saya, boleh tak kalau saya bawa awak menumpang di rumah kami malam ini. Mummy saya setuju. Jadi, sekarang ni saya nak bawa awak balik ke rumah saya.”
Sekali lagi Ain Sofea menelan liur. Entah betul entah tidak cerita mamat ni. Manalah tahu, di rumah tu dia tinggal sorang saja. Dalam otak yang sedang berfikir bukan-bukan, tiba-tiba Ain Sofea teringatkan perbualan Ian Zacry di hadapan bank tadi.
Ooo... Jadinya yang dia nak bawa jumpa mummy dia tadi, akulah... Akulah yang dia puji baik tadi... Aku rupanya yang dia cakap kalau mummy dia dah jumpa nanti, mummy dia tentu suka..., detak hati Ain Sofea. Spontan senyuman tersungging di bibirnya kala teringatkan pujian itu. Tanggapan buruk terhadap Ian Zacry yang terlintas di fikirannya terus terbang melayang sekelip mata.
“Kenapa tiba-tiba senyum?” soal Ian Zacry selepas ekor matanya menangkap senyuman pada bibir gadis itu.
Terus senyuman itu terpadam.
“Mmmana ada saya senyum?” sanggah Ain Sofea. “Saya segan sebenarnya nak pergi rumah awak. Saya malu nak jumpa mummy awak. Kita ni, baru saja kenal. Apa pula kata mummy awak? Baru saja kenal, saya dah berani ikut awak balik rumah.”
“Awak tak perlu risau pasal tu semua. Saya dah terangkan kepada mummy saya. Dia faham masalah awak. Dan dia faham perangai saya. Saya kalau demi kawan baik, sanggup buat apa saja.”
“Kawan baik?! Siapa?” Ain Sofea memberanikan diri menentang wajah Ian Zacry.
“Awaklah... Awak tu dah dikira kawan baik saya.”
“Gila! Jumpa baru beberapa kali, kenal tak sampai sehari, awak dah kira saya ni kawan baik awak?” Kepala mula berangan. Hmm... Apa tak anggap saja aku ni bakal isteri kau? Wei Ain Sofea! Jangan nak perasan. Dia anggap kawan baik tu, dah dikira cukup bagus tau!
“Saya tahu, kita baru kenal. Tapi tak salahkan, kalau baru kenal dah jadi kawan baik?”
Laju Ain Sofea geleng.
“Jangan awak sangka, saya tolong ni disebabkan rasa simpati kepada awak selepas saya dengar masalah awak. Tak! Bukan! Dari cerita awak, saya tahu awak orang yang bagaimana. Saya percaya awak seorang yang sangat jujur. Sebab tulah saya berani anggap awak kawan baik saya. Dan bila awak dah jadi kawan baik saya, saya sanggup buat apa saja untuk tolong awak,” terang Ian Zacry.
Gadis itu cuma diam mendengar.
“Sebagai seorang kawan, saya risaukan keselamatan awak kalau awak bermalam di tempat-tempat yang tidak tentu keselamatannya. Lebih-lebih lagi awak tu seorang perempuan. Tambahan, awak tak biasa dengan kawasan Bangi ni. Katakanlah berlaku kejadian yang tak diingini kepada awak. Besok pagi saya buka surat khabar, saya terbaca cerita tentang awak. Tentu saya menyesal seumur hidup sebab tak tolong awak,” berjela pula alasan Ian Zacry.
Tinggi betul imaginasi mamat ni. Sampai ke situ pula dia berfikir. Macam tu sekali ke dia risaukan tentang aku? getus Ain Sofea. Perasaan sangat tersentuh apabila lelaki ini jelas menunjukkan sisi baiknya. Dia tidak menyangka, dalam perangai Ian Zacry yang kadang-dakang menjengkelkan itu, masih ada nilai-nilai murni dalam dirinya. Kira beruntunglah kau Ain Sofea... Kau dah dianggap sebagai kawan baik. Itu bermakna engkau sudah menjadi somebody dalam hidup dia, walaupun hanya seorang kawan baik. Kadang-kadang, kawan baik itu lebih bermakna dari seorang kekasih tau!
Beberapa minit selepas itu, kereta Ian Zacry mula memasuki sebuah kawasan perumahan mewah. Kereta terus dipandu menuju ke sebuah banglo. Perlahan Ian Zacry memandu memasuki halaman selepas pintu pagar terbuka dengan sendirinya. Kereta diparkir di bawah anjung.
Sementara itu, Ain Sofea kaku memandang. Tidak berkelip matanya sedari memasuki kawasan perumahan ini tadi. Hingga tiba di rumah Ian Zacry, mulutnya masih melopong luas. Kawasan kejiranan perumahan ini kelihatan begitu esklusif. Banglo-banglonya besar-besar. Cantik-cantik. Indah-indah.
Air liur yang hampir kering ditelan lagi. Takut, malu dan segan datang bertimpa-timpa. Bimbang nanti dia seperti rusa masuk kampung pula. Mesti macam jakun apabila masuk ke dalam rumah besar itu. Masakan tidak? Bermimpi pun tidak pernah akan menjejakkan kaki ke rumah yang segah ini. Tentu dia tidak betah nanti. Macam mana dia nak bawa diri apabila berhadapan dengan orang kaya? Nak kena ubah cara percakapan ke? Nak kena tukar gaya berjalan? Nak kena jaga kelakuan? Aduh... Boleh pitam macam ni! Kalaulah aku tahu mamat ni nak bawa aku balik ke rumah dia yang besar mengalahkan istana ni, sumpah mati kerat sepuluh pun aku tak nak ikut!
Sedang ralit Ain Sofea meneliti keadaan laman dan banglo itu, Ian Zacry menyapanya.
“Turunlah. Jemput masuk. Itu! Mummy saya dah tunggu.” Muncung Ian Zacry menghala ke pintu rumah.
Sebaik sahaja terlihat susuk tubuh wanita berusia itu, jantung Ain Sofea mula berdetak kencang. Hebat betul debarnya. Air pekat di dalam mulut ditelan berulang-ulang. Otak diterjah pelbagai pertanyaan. Bagaimana agaknya sambutan dan layanan wanita kaya itu nanti? Apakah pandangan wanita itu kepadanya? Tentu buruk saja sangkaannya. Pasti serong tanggapannya, kerana dia seorang gadis yang begitu berani mengikut seorang lelaki yang baru dikenali pulang ke rumah. Aduh! Semakin laju degup jantung Ain Sofea.
Perlahan Ain Sofea melangkah turun dari kereta. Kaki lemah mengatur derap. Badan mula menggigil. Dahi sudah berpeluh-peluh. Lutut pula menggeletar kuat. Dag dug dag dug bunyi jantung. Jelas terdengar di cuping telinga sendiri. Darah terasa deras mengalir di dalam tubuh. Seperti air sungai yang melimpah semasa musim bah. Lantai yang dipijak tiba-tiba rasa goyah.
Ian Zacry sudah berada di sisi mummynya. Dia menunggu Ain Sofea di situ. Namun dia terkedu saat matanya melihat gadis itu tiba-tiba terjelepok ke atas lantai.
“Ain Sofea!” Pantas dia meluru mendapatkan dara itu.

Wednesday, May 25, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 17




“Kerete Europe ke, kereta Jepun ke, kerete juga namanya, kan? Saya tahu awak boleh buat. Memang kereta ni dah nampak macam besi buruk...” Ian Zacry kerling Ain Sofea.
Cepat gadis itu bularkan matanya. Tahu sangat dah... Tentu Ian Zacry nak buat mulut longkang dia tu. Mengata kereta Pak Long dia ini hukum hantar pusat pelupusan saja.
Ian Zacry faham makna pandangan itu. Tidak sampai pula perasaannya hendak menyakitkan hati gadis ini selepas apa yang dilaluinya tadi. “Tapi awak kena tolong saya juga.”
Jamil berdecit. Dia bercekak pinggang melihat Nissan Sunny B13 keluaran tahun 1991 itu. Lama betul dah kereta ni. Usianya sudah melebihi dua puluh tahun. Ada lagi orang simpan kereta macam ni punya lama rupanya, desis Jamil.
“Saya sanggup bayar berapa saja upahnya. Yang penting kereta ni okey,” tambah Ian Zacry lagi. Cuba memancing Jamil.
“Eh! Bukan Encik Ian ni yang bayar. Saya yang akan bayar nanti,” celah Ain Sofea di antara perbualan dua orang lelaki itu. Ingin membetulkan penyataan Ian Zacry tadi. Mana boleh biarkan Ian Zacry melunaskan kos membaiki kereta ini? Muka tak malu sangat pula dia kalau biarkan lelaki ini buat begitu.
“Tak apa... Biar saya uruskan,” bantah Ian Zacry pula.
“Mana boleh?! Ini kereta Pak Long saya, biar saya yang uruskan. Saya ada duit...” Pantas tangan Ain Sofea menyeluk saku seluarnya. Lipatan not seratus yang sedikit tebal ditarik keluar dari poket.
Belum sempat duit itu habis ditarik keluar cepat pula Ian Zacry menolak tangan gadis itu supaya menyimpannya semula.
“Inikan duit jual tanah mak awak? Jangan pakai. Awak suruh mak awak tebus balik tanah tu,” nasihat Ian Zacry dalam nada berbisik.
“Tapi ini kereta Pak Long saya. Takkan saya nak biar awak bayarkan pula?”
“Tak apaaa... Kalau tak, awak anggap saya pinjamkan duit tu kepada awak. Lain kali, bila awak dah ada duit, awak bayar balik. Ansur-ansur pun tak apa.”
“Tapi...”
“Lebih baik awak simpan duit ni. Lagipun, tak guna awak habiskan duit untuk kereta ni. Esok lusa tentu rosak semula sebab keadaannya dah teruk sangat,” balas Ian Zacry.
Melihat pemilik bengkel ini asyik memerhati kepada mereka, terbantut hasrat Ain Sofea mahu meneruskan pertelingkahan mereka. Terasa segan pula.
“Okey, saya janji. Bila saya ada duit nanti saya bayar balik,” putus Ain Sofea kemudiannya. Memang sudah banyak betul dia termakan budi lelaki ini. Jangan nanti terkadai bodi sudah!
Ian Zacry senyum nipis. Lega Ain Sofea bersetuju dengan keputusannya.
“Awak boleh buat kereta ni, kan Jamil?” Ian Zacry kembali memandang Jamil.
“Baiklah Encik Ian, kami buat. Tapi dari segi bayaran tu, kami tak berani nak cakap berapa harganya sekarang. Kami kena buka enjin dan tengok dulu apa kerosakkannya. Lepas repair nanti baru kami kira jumlah keseluruhan. Spare parts dan termasuk upah,” balas Jamil sedikti lemau. Hendak ditolak takut pelanggan lari pula. Lebih-lebih lagi pelanggan tetap seperti Ian Zacry ini. Mahu tidak mahu, demi memuaskan hati pelanggan dia akur saja.
“Besok awak boleh selesaikan?”
“Eh! Cepat sangat tu Encik Ian.” Jamil buntangkan mata. Terkejut dengan permintaan Ian Zacry. Kereta serupa ini tentu banyak yang perlu diganti. Satu hari saja mana sempat siap. Lebih-lebih lagi kereta jenis ini bukan berada dalam lingkungan kepakaran bengkel mereka. Mahu mencari alat ganti pun ambil masa juga. Entah ada atau tidak dikeluarkan oleh kilang lagi?
“Kawan saya ni nak pakai kereta ni. Dia nak balik Seremban. Kalau tak ada kereta ni, susahlah dia. Lagipun leceh... Dah balik Seremban nak datang sini semula. Awak suruh saja budak-budak awak buat OT malam ni. Upah kerja mereka tu, awak masukkan sekali dalam bil. Saya bayar semuanya.”
Uish! Baik hati sangat pula Ian Zacry ambil berat tentang dia? Dia baru berfikir sebentar tadi, agaknya berapa lamalah kereta Pak Long tersadai di bengkel ini? Jenuh pula nak berulang-alik ke Bandar Baru Bangi. Perkara nombor dua, dia tak sanggup berhadapan dengan leteran Mak Long. Mak Long tu, kalau harta orang harta dia juga, tapi kalau harta dia orang guna..., bisingnya yang ampun! Lebih-lebih lagi kereta ini rosak ketika berada di dalam tangan dia. Harus muntah hijau dibedil oleh Mak Long nanti.
Tambahan, Mak Long tentu dah tahu tentang kejadian di restoran tadi. Bertambah hanginlah Mak Long kepada dia. Silap-silap, makan penampar. Naqiuddin, kalau tidak menyampaikan cerita kepada ibunya, bukan Naqiuddinlah namanya. Tak tahulah kenapa selama ini matanya boleh dirabunkan oleh si Naqiuddin tu? Sekarang, apabila dah singgah rasa benci dalam hati, semua buruk Naqiuddin dia baca. Kalau dahulu, apa pun yang dilakukan oleh lelaki itu, semuanya nampak baik saja. Bak kata orang, hati tengah sayang, kentut pun bau wangi!
Hmmm..., berapa ribulah agaknya kena ni nanti? Muak aku nak bayar balik kat mamat ni. Silap hari bulan, makan tahun pun hutang tak habis-habis,” gumam Ain Sofea. Namun apa pilihan yang dia ada? Ah! Harung sajalah...
Selepas usai segala perbincangan, Ian Zacry dan Ain Sofea melangkah keluar dari bengkel tersebut. Ketika menghampiri kereta, Ain Sofea terfikir sesuatu.
“Awak boleh hantarkan saya ke bank tak?” Segan atau tidak, dia perlu juga meminta bantuan lelaki ini. Ain Sofea merasa semakin tidak selesa dengan poket seluar yang tebal dipenuhi duit lima belas ribu ringgit ini. Cuak sentiasa apabila duit ini dibawa ke hulu ke hilir. Lagipun, dia takut tercicir. Kalaulah hilang..., berputih matalah jawabnya.
“Buat apa pergi bank?” soal Ian Zacry semula sambil tangan memicit alat kawalan bagi mematikan sistem penggera kereta.
“Saya nak simpan duit dalam poket ni. Takut cicir...”
“Bank mana?”
“Maybank. Melalui mesin cash deposit aje.”
“Eloklah. Kalau hilang nanti, susah!” Lelaki itu berfikir seketika. Nampaknya, mereka perlu berpatah balik. Maybank yang paling hampir terletak di seksyen 16.
Ketika memandu menuju ke seksyen 16, tiba-tiba terdetik sesuatu di dalam kepala Ian Zacry. “Lepas ke bank, awak nak pergi ke mana?”
“Apa maksud awak?” tanya Ain Sofea semula.
“Yalah..., takkan awak nak balik Seremban hari ni? Besok pagi kan nak ambil kereta Pak Long awak tu? Tak ke leceh kalau awak ulang-alik?” Entah kenapa Ian Zacry terasa seperti perlu mengambil berat tentang gadis ini. Beria pula hatinya ingin bertanggungjawab dan mahu membantu Ain Sofea menyelesaikan masalah kereta Pak Longnya itu.
Ain Sofea senyap. Betul juga kata-kata Ian Zacry. Tak ada kerjalah dia nak ulang-alik. Sementelah dia belum bersedia hendak berhadapan dengan Mak Long. Selepas apa yang berlaku di antara dia dan Naqiuddin tadi, Mak Long tentu akan gasak dia cukup-cukup. Maka, sebelum itu berlaku, dia perlu mencari nas-nas dan hujah-hujah konkrit yang boleh membuatkan mulut Mak Long tertutup. Kali ini, dia mahu bersedia. Bersedia membalas dan menepis semua serangan mulut leser Mak Long tu.
“Betul juga cakap awak. Kalau macam tu, lepas ni awak boleh tolong saya lagi tak?” Haih... Hari ni sudah banyak betul dia menyusahkan lelaki ini.
“Jangan awak kata nak minta tolong saya hantarkan awak balik ke Seremban. Lepas tu besok pagi awak suruh saya jemput awak semula. Tak sanggup saya. Dibayar pun saya tak nak! Awak ingat dekat ke Seremban tu?” pangkas Ian Zacry.
“Awak ingat saya ni bengap sangat ke nak suruh awak ulang-alik untuk saya? Saya tahu awak dah banyak tolong saya. Tak adalah saya nak ambil kesempatan atas kebaikan awak pula.” Inilah dia! Orang belum habis cakap lagi dah nak meroyan. Sekejap nampak okey mamat ni. Sekejap lagi ribut tak memasal. Susah nak meramal emosi lelaki ini. Geram pula dia.
“Awak tak nak balik kan?” tebak Ian Zackry dengan muka selamba. Tidak ambil pusing rasa kecil hati Ain Sofea kerana dalam kepalanya mula mengatur rancangan.
“Awak tolong carikan saya hotel murah untuk saya bermalam malam ni, boleh tak?” pinta Ain Sofea selepas dia menggeleng bagi menjawab pertanyaan lelaki itu tadi.
“Hotel murah? Jangan cari pasal,” bangkang Ian Zacry keras.
“Kenapa pula?” Atas dahi si gadis mula berlapis.
“Hotel-hotel murah ni, selalunya tempat pendatang-pendatang dan pekerja buruh asing menyewa. Tempat berlaku aktiviti sosial terlarang,” terang lelaki itu.
“Alah..., kalau nak buat aktiviti so... sial yang terlarang, bukan dekat hotel murah aje. Hotel lima bintang pun ada orang buatlah! Cuma beza tempatnya... Low class, high class. Lagipun, saya cuma nak bermalam satu malam. Awak carikanlah untuk saya hotel yang selamat sikit. Awak tentu tahu hotel yang murah, selesa dan selamat di mana-mana.”
Ian Zacry memakirkan keretanya di lot parkir di hadapan Maybank.
“Nanti saya fikirkan nak hantar awak ke hotel mana,” balas Ian Zacry. Selepas itu dia membuka pintu kereta dan keluar.
“Awak nak pergi mana?” tanya Ain Sofea.
“La..., kata nak masukkan duit? Sekarang ni kita dah sampailah cik kak oi! Tunggu apa lagi? Turunlah!”
Ain Sofea memandang ke sisi. Leka berbual dengan Ian Zacry tak perasan pula mereka sudah tiba ke destinasi yang ingin ditujui. Pantas dia membuka tali pinggang keledar dan melangkah keluar dari kereta.
“Awak nak keluar duit ke?” soal Ain Sofea apabila Ian Zacry berjalan beriringan dengannya.
“Tak.”
“Habis tu kenapa awak turun kereta?”
“Saya nak jadi escort.”
Escort?”
“Awak ni memang minah blur ke apa?”
Langkah kaki Ain Sofea terhenti di hadapan pintu kaca automatik yang sudah terbuka. Ditentang tubuhnya menghadap Ian Zacry. Mamat ni kalau bercakap tak menyakitkan hati dia, tak boleh bernafas agaknya. “Yalah! Awak escort apa?”
Escort awaklah! Lima belas K dalam poket awak tu, awak ingat sikit ke? Rompak dek penyangak nanti satu hal pula.”
“Heh! Bukan ada orang lain pun yang tahu saya bawa duit sebanyak ini. Awak sorang aje yang tahu. Kalau ada yang merompak saya pun, tentu awak bersubahat. Tukang bagi info. Jadi mastermind !”
Pintu kaca automatik sudah terbuka untuk kali kedua tetapi mereka masih bertelagah di depan pintu.
“Ewah ewah ewah... Suka hati dia aje nak bercakap. Awak tengok muka saya ni ada rupa ketua penyamun ke?” Ian Zacry memandang geram.
“Orang zaman sekarang ni, susah nak tahu buruk baik perangai dia orang. Kita tak boleh menilai dari penampilan dan muka. Awak tengok saja penjenayah kolar putih. Pakai smart-smart tapi melanggar undang-undang juga,” bidas Ain Sofea.
“Itu lainlah. Penjenayah kolar putih mana sama dengan penjenayah jalanan. Sudahlah! Bertekak dengan awak ni buat kering air  liur saya aje. Ada juga benda yang nak dijawab,” cantas Ian Zacry. Dengan bersahaja dia capai kedua belah bahu Ain Sofea lalu menolak tubuh gadis itu memaksanya masuk ke dalam bank.
“Cepat pergi masukkan duit awak tu!” Didorong tubuh Ain Sofea ke hadapan.
Ain Sofea tergamam dengan perbuatan lelaki itu. Sesaat dia terpempan seperti dipukau. Tidak terfikir yang lelaki itu akan seberani ini. Selamba saja kelakuannya. Kaki melangkah memasuki ruangan mesin apabila tubuhnya ditolak kuat dari belakang.
Tiba-tiba pintu kaca yang dikawal oleh alat penentu masa tertutup tanpa disangka. Spontan sepantas kilat Ian Zacry menarik bahu Ain Sofea ke belakang. Gadis itu turut tersentak apabila pintu kaca tersebut tertutup secara mendadak. Bersama tarikan tangan Ian Zacry yang kuat, disertai pula tindakan refleksnya, langkah Ain Sofea laju mengundur ke belakang. Lantas tubuhnya melekat di dada bidang lelaki itu.
Bagai disumpah oleh Sang Kelembai, mereka berdua terus membatu di situ. Bahang badan Ain Sofea terasa panas pada kulit dada Ian Zacry. Belakang Ain Sofea pula terasa hangat oleh haba tubuh lelaki itu. Masakan tidak? Yang memisahkan mereka hanya dua helai kain nipis saja.
Ain Sofea menelan liur. Jantung Ian Zacry yang berdetak kuat terasa memukul di belakangnya. Serentak mereka berdua menjarakkan tubuh masing-masing selepas beberapa saat berlalu. Sepasang tangan Ian Zacry turut melepaskan bahu gadis itu. Tanpa berpaling segera Ain Sofea melangkah melepasi pintu automatik yang telah terbuka semula. Hati tiba-tiba ada jerebu. Kelabu. Keliru. Haru-biru...
Sementara itu Ian Zacry hanya terpacak di luar pintu. Terbatut hasratnya ingin menemani gadis itu hingga ke mesin deposit. Jantung yang mengepam laju turut buatkan nafasnya menjadi kencang. Di dada masih terasa berbahang. Bahang Ain Sofea yang meresap jauh ke dalam tubuhnya. Dan hati tiba-tiba rasa membara.
Kenapa?
Adakah dia sudah jatuh cinta?