Total Pageviews

Wednesday, May 27, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 7




“Kalau pasal saya lambat masuk kerja pagi tadi, encik nak hukum saya, tak apa. Saya terima, sebab memang salah saya. Saya mintak maaf, tapi encik bagilah saya warning letter sebagai amaran. Tak payahlah encik dera saya sampai macam ni. Saya betul-betul lapar ni!”
“Kalau puasa tu boleh pula tahan lapar. Bukan lama pun. Tiga jam saja lagi,” suara Ameal masih tinggi seperti tadi.
Okey. Sekarang dia memang hilang sabar.
“Saya tengok encik ni dah macam ayam goreng KFC saja. Saya makan encik sekejap lagi, baru tau!” Oppsss! Kedua tangan cepat menekup bibir. Itulah, marah punya pasal sampai terlepas cakap.
“Apa! Saya macam ayam goreng KFC?” Ameal tunding jari telunjuk ke muka sendiri.
“Eh! Tak... tak... Saya tersalah cakap. Enciklah lelaki yang paling handsome pernah saya jumpa. Sorry...” Jari telunjuk dan jari hantu tangan kanan dinaikkan lalu dihalakan kepada Ameal sambil menyeringai menayang gigi. Apalah kau ni Dhia? Suka sangat bercakap tak guna otak!
Pantas secubit senyuman terpamer di bibir lelaki itu.
Huh! Pantang kena puji. Kembang dua taman lubang hidung tu, bebel hati Dhia. Dhia mencebek.
“Awak lapar sangat ke?” Ameal bertanya perlahan. Kasihan pula.
“Boleh tahan jugaklah. Dari tadi asyik telan air liur saja.”
Ameal tersenyum lagi mendengar jawapan Dhia. Gadis ini memang bersahaja. Menjawab pun tak pernah berkira-kira.
“Tu, atas meja saya ada kopi dan biskut. Awak ambillah makan.”
“Apa?! Kopi O sejuk dan biskut oat tu? Mana cukup encik?” Kedekut, taik hidung masin betul! Bunyi bertanya tadi, macam dia kesian sangat dekat aku.
“Tak tahu bersyukur betul awak nikan?! Berterima kasih pun tidak. Dah kira baik saya bagi awak makan. Kalau nak ikutkan hati saya, tunggu rehat tengah hari nanti baru awak boleh makan. Kerja bertimbun lagi ni. Otak asyik ingat nak makan saja. Bila nak siap?”
Huh! Membebel macam nenek punya nenek. “Yalah... Saya makan. Terima kasih...”
Dhia bangkit meninggalkan sofa. Meja kerja Ameal dihampiri. Kopi O sejuk dalam cawan ditenung. Kemudian renungannya beralih pula kepada dua peket biskut oat di dalam piring. Ah! Bolehlah, dari tak ada benda nak makan. Memang tangkai jering betul bos dia ni. Suruhlah minah gediks tak hengat dunia tu, pergi pesan nasi lemak ke, roti canai ke, dari kantin. Ameal kan bos, mesti dia boleh arah pekerja kantin hantar makanan ke bilik ini. Memang Haji Bakhil betul! gerutu Dhia.
Ameal tersenyum memerhati gelagat gadis itu. Entah apalah yang dibebelkan agaknya. Terkumat-kamit saja mulutnya dari tadi.
“Encik Ameal tak nak biskut ni ke? Nanti lapar,” soal Dhia ketika tangannya lincah membuka pembalut biskut. Sengaja berbasa-basi. Nanti bos kata dia tak ada budi bahasa pula. Langsung tak pelawa.
“Tak apa. Awak makan sajalah.”
“Terima kasih. Saya sapu bersih ya?”
“Kesian awak. Lapar tahap kebulur rupanya.”
Dhia mencebek. Sakit hati betul. Kenapalah bos dia ni mulut longkang? Bahasanya tak ada satu pun yang menyenangkan hati.
“Saya dah sarapan nasi lemak dengan ayam goreng berempah dekat rumah tadi,” balas Ameal sambil meneruskan kerjanya. Dia tayang muka selamba tidak beriak.
“Apa?! Encik makan punyalah sedap. Nasi lemak ayam goreng berempah lagi! Saya encik suruh makan biskut tawar ni saja. Zalim! Memang zalim!”
Ameal senyum sinis sambil mengerling. Sengaja mahu memanaskan lagi hati gadis itu. “Makan cepat. Kalau tidak saya tahan awak sampai petang nanti. Itu baru betul-betul saya zalim.”
“Menyampah!” gumam Dhia perlahan. Biskut dikeluarkan dan dikunyah kuat umpama dia sedang mengunyah Ameal. Biskut di tangan dipatahkan sambil membayangkan seperti dia mematah-matahkan tulang-belulang Ameal. Dicelup biskut ke dalam air kopi O sejuk, ibarat dia membenam-benamkan muka lelaki itu. Gerammm... nya...

Tuesday, May 26, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 6




Kringgg... Loceng berbunyi nyaring dari bangunan sebelah. Itu menandakan waktu rehat pagi sudah bermula. Dhia kerling jam di tangan. Jarum jam menunjukkan tepat pukul sepuluh pagi. Dia berpaling melihat wajah Ameal pula. Ringan saja mulut hendak berkata, tetapi dia tidak berani bersuara. Lelaki itu masih tekun membelek kertas-kertas di atas meja.
“Ini awak asingkan. Letak sebelah sana.”
Dhia capai lalu diletakkan ke sisi. Selepas itu Ameal hulurkan lagi kertas lain.  
“Ini delivery schedule untuk bulan ni. Nanti awak asing-asingkan mengikut minggu. Baru senang nak plan mana yang perlu awak buat dulu.” Ameal menghulurkan kertas setinggi satu inci kepada Dhia.
Mak oi! Lagi tebal dari yang tadi. Muaklah nak menyusunnya nanti. Lambat-lambat Dhia menyambut huluran kertas itu.
“Cepatlah ambik kertas ni. Lembab sangat! Awak nampak ni! Bertimbun nak buat lagi. Kalau terhegeh-hegeh macam ni bila nak siap? Macam orang tak makan!”
Angin dalam perut Dhia sudah naik ke kepala. Waktu lapar-lapar begini memang cepat sabarnya hilang. Perut sudahlah bergendang sakan sedari tadi. Lelaki ini pula seperti sengaja cari hal. Nak kena kunyah-kunyah agaknya. Okey, sabar Dhia... Ingat, dia ni bos kau.
“Buat pengetahuan encik, saya memang tak makan lagi dari pagi tadi.” Dhia lembutkan suara cuba memohon simpati. Manalah tahu bos dia ini prihatin dan baik hati pula orangnya.
“Jangan cari alasan. Sajakan? Malas nak buat kerja!” lengking Ameal tinggi.
Dhia hembus nafas perlahan. Masih lagi cuba menokok rasa sabar dalam hati. “Bukan cari alasan encik. Perut saya dah menyanyi-nyanyi ni. Malam tadi saya makan biskut saja.”
Pap! Timbunan kertas dicampakkan ke atas meja. Terangkat pungung Dhia kerana terkejut.
“Awak ni! Pagi tadi dahlah lambat masuk kerja. Baru buat kerja sikit, dah lapar. Tak payah rehat! Tengah hari nanti baru keluar makan,” tempelak Ameal sambil mencerlung tajam.
Dhia tidak mampu lagi menambak rasa sabarnya. Ini apa hal nak baran tak tentu pasal? Bos ke, tak bos ke, kalau dah zalim mengalahkan Firaun macam ni kena juga pertahankan diri.

Monday, May 25, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 5




Sesaaat kemudian pintu ditolak perlahan. Marissa melangkah masuk bersama dulang berisi minuman serta dua peket biskut oat.
Minah gediksss ni! Huh! Tak jadilah nak belanja makan! Belanja minum air kosong pun aku tak hingin. Dhia lihat gadis itu melangkah penuh bergaya. Berlenggang-lenggok ala-ala catwalk. Sekali lagi dia buat muka hendak termuntah. Ameal perasan Dhia buat begitu.
“Ini air you. Ada apa-apa lagi tak, Meal?”
“Tak ada apa lagi. Terima kasih.” Ameal menghadiahkan sebaris senyuman buat Marissa.
Kali kedua Dhia rasa hendak termuntah. Boleh tahan jugak menggatalnya lelaki ni!
“Kalau ada apa-apa lagi, just call me. Okey darling?”
“Okey,” balas Ameal lembut.
Dhia terus terbatuk-batuk. Marissa segera berpaling melihat gadis itu. Apa kena budak perempuan ni, lain macam sangat? bisik hati Marissa. Cemburunya bertambah lagi satu level. Kalau boleh disukat skalanya, sudah lapan per sepuluh bacaannya. Dia jeling wajah Dhia Melati.
I keluar dulu ya,” suara Marissa manja. Dia keluar selepas Ameal menganggukkan kepala.
Sebaik saja tubuh Marissa lenyap di pintu, Ameal terus berkata, “Awak ni kalau datang bulan, memang macam perempuan mengandung ya? Asyik nak termuntah saja dari tadi. Tu, sebelah awak ada tong sampah. Awak muntah dalam tu!”
Ada jugak mulut yang nak kena sumbat dengan kertas karang ni. Sesuka hati dia saja mengata aku. Dari tadi cakap aku datang bulan, apa hal? Apa! Dia tahu ke bila aku nak datang bulan? Pernah tengok ke macam mana keadaan aku bila datang bulan? Pantang datuk nenek aku betul, bila orang lelaki cakap hal perempuan nilah! “Encik ni kan, memang tak...”
Tuk... Tuk... Tuk... Sekali lagi kedengaran pintu di ketuk.
“Masuk!” arah Ameal membiarkan kata-kata Dhia tergantung. Mujur juga ada yang mengetuk pintu. Kalau tidak, tentu dia dan gadis ini berbalas kata lagi. Hairan juga dia dengan gadis ini. Pelik sangat sikapnya. Mula-mula nampak macam takut sangat, tapi lepas tu berani pula berlawan kata.
Seketika, terpacul wajah Zakuan di muka pintu.
“Selamat pagi bos. Kata nak jumpa aku dekat production pagi ni. Kenapa panggil aku naik atas pulak?” Zakuan melangkah menghampiri meja Ameal. Ketika dia berhenti di sebelah Dhia di hadapan meja Ameal, Zakuan terkejut.
“Eh! Dhia Melati! Buat apa dekat sini? Patutlah awak tak ada dekat production office tadi.” Zakuan merasa pelik. Hati tertanya-tanya kenapa Dhia berada di dalam bilik Ameal ni. Bila melihat Dhia tiada di mejanya, dia bertanya kepada anak buah-anak buahnya yang lain. Namun seorang pun tidak tahu Dhia ke mana.
“Aku terserempak dengan dia tadi. Memandangkan dia Production Planner baru kita, jadi aku rasa dia orang yang paling layak tolong aku mengemaskini benda-benda tu semua.” Jari Ameal lurus menunjuk kepada timbunan kertas-kertas dan longgokkan fail-fail di atas meja sofa di hadapannya.
“Selama ini kerja-kerja planner tu aku yang buat. Jadi biar aku yang tunjuk ajar dia dan hand over semua kerja-kerja tu. Lagipun semua details dan reports ada pada aku. Rasanya lagi senang dia belajar dekat sini,” kata Ameal lagi.
Glup! Dhia tertelan air liur. Pagi ni entah berapa kali dia bersarapan dengan air liur. Mujur bukan air liur basi. Sudahlah sebelum keluar rumah tadi dia tak sempat menjamah apa-apa. Memandang ke arah timbunan kertas dan fail itu, Dhia jadi pegun. Mahu lelah dia dibuatnya nanti. Dhia dapat merasakan yang dia dan Ameal tidak serasi. Kimia juga tidak ada. Seperti tadi, cakap sikit sudah nak bertekak. Inikan pula nak buat kerja sama-sama. Memang mimpilah. Silap hari, silap bulan, mahu makan tahun timbunan kertas itu hendak dilunaskan. Mana tidaknya, mereka akan lebih banyak bertelagah dari buat kerja. Tambahan bos dia ini bahasanya menyakitkan hati saja.
“Oh! Betullah! Aku pun lupa tentang ni. Sorry Dhia Melati, saya lupa nak bagitau awak semalam. Kerja-kerja planner sebelum ni Ameal yang buat. Jadi saya rasa, sementara ni awak tolong Ameal sambil belajar dari dia,” Zakuan menyokong cadangan Ameal.
Oh! No! Encik Zakuan pun setuju aku buat kerja bersama lelaki ni! Dhia telan air liurnya lagi.
“Kalau macam tu, aku masuk line dululah. Banyak kerja lagi tu. Delivery date dah nak sampai,” pohon Zakuan. Dia toleh kepada Dhia di sisinya. “Dhia Melati, bila dah settle semua kerja tu, baru awak masuk production office. Daily production output saya akan suruh As hantar ke sini setiap pagi, sementara awak di sini. Okey?”
“Okey,” jawab Dhia sepatah. Lemah dan tidak bersemangat. Nak jawab tidak setuju, mautlah yang menanti. Melihat muka Ameal yang merenung tajam kepadanya, buatkan dia tidak berani hendak membantah. Memang sebiji rupa singa nak membaham mangsanya.

Sunday, May 24, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 4




“Hah! Kamu! Tunggu apa lagi? Cepat ikut saya,” arah Ameal kepada Dhia pula. Dia berlalu meninggalkan meja Marissa menuju ke hujung koridor di mana pejabatnya berada. Dhia tidak membalas. Dituruti langkah Ameal. Hatinya berperang semula. Apakah yang bakal Ameal lakukan kepada dia agaknya?
Ameal memasuki pejabatnya dan terus menuju ke arah meja lalu meletakkan beg bimbit hitam di atas meja itu. Dhia Melati yang mengekor di belakang tidak dipedulikan. Seperti gadis itu tidak wujud saja. Ameal bergerak pula ke arah coats stand di bucu bilik. Kemudian dia menggantungkan kotnya di situ. Dengan gaya selamba penuh macho, Ameal menuju semula ke meja kerjanya sambil melipat kedua belah lengan baju hingga ke paras siku. Ikatan tali lehernya dilonggarkan sedikit supaya rasa selesa. Dhia Melati berdiri memerhati setiap tingkah laku lelaki itu dengan hati bercelaru. Otak ligat berfikir apa yang akan dia hadapi selepas ini. Tindakan jenis apa yang akan dikenakan kepadanya. Hari ini, terlebih rajin dari biasa betul otaknya bekerja. Tak habis-habis memikirkan kebarangkalian perkara yang bakal terjadi kepada dia sebentar lagi.
Ketika Ameal menarik kerusi, gadis itu juga melakukan perkara yang sama. Dhia menarik kerusi di hadapan meja Ameal dan segera melabuhkan punggung sebelum Ameal sempat duduk di kerusinya.
“Siapa suruh kamu duduk? Ada saya suruh kamu duduk ke?!” sergah Ameal kuat.
“Mmmaaf Encik Ameal.” Tergesa-gesa Dhia bangun semula. Kerusi tertolak kuat hingga jatuh ke lantai. Pantas Dhia menegakkan dan membetulkan semula kerusi itu di tempatnya. Matanya terkebil-kebil memandang Ameal. Menunggu arahan dari lelaki itu untuk menyuruh dia duduk. Saat ini, dia betul-betul rasa tidak tentu arah. Hendak tergelak Ameal dibuatnya apabila melihat muka kelabu Dhia Melati tika itu.
Ameal mengambil tempat duduk di kerusi dan merenung tepat kepada Dhia. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Dhia terus menunggu. Takkan nak jadi pak pacak depan lelaki ni? Kepala yang tidak gatal digaru. Kemudian tangan membetulkan pula tudungnya. Tak betul ke tudung dia? Sampai begitu sekali Ameal memandangnya.
“Eeencik Ameal, boleh tak saya duduk?’
“Tak!”
“Kkkenapa tak boleh? Kkkerusi ni untuk diduduk. Bbbukan untuk dipandang!”
Ewah! Budak perempuan ni berani betul menjawab. “Memang kerusi ni untuk diduduk, tetapi bukan untuk awak duduk! Berdiri selagi saya tak kata boleh duduk.”
“Tapi, kaki saya penat betul ni, Encik Ameal. Saya raca macam dah nak tercabut kepala lutut lepas encik bawak saya panjat tangga yang berpusing-pusing tu. Kepala saya ni pun dah berpusing-pusing dibuatnya. Saya duduk ya?”
“Saya kata tak! Awak tak faham ke?” Ameal mengherdik kuat.
Berpintal terus usus besar dan kecil Dhia. Bibir digigit. Tidak berani berkata lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa tadi mulutnya berani sangat menjawab. Mungkin kerana dia cuba menghilangkan rasa gemuruhnya bila direnung tajam oleh Ameal.
Tuk... Tuk... Tuk.. Pintu pejabat Ameal diketuk dari luar.
“Masuk!” arah Ameal.
Fuh! Alhamdulillah... Aku belanja makan orang yang masuk ni, sebab dah selamatkan aku dari jadi santapan mata singa jadian ni, desis Dhia.