Total Pageviews

Saturday, March 28, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 23



Bab 23
Hampir pukul satu petang Yaya tiba di hadapan rumah Mak Long dan Pak Long. Gembira sungguh Mak Long, Pak Long, Along dan isterinya, Kak Dina menerima ketibaan Yaya. Sempat juga Mak Long menyatakan rasa ralatnya kerana Yaya menolak untuk dijemput oleh Pak Long. Kata Yaya, dia tidak mahu menyusahkan Pak Long. Biarlah dia belajar berdikari. Kemudahan pengangkutan awam banyak disediakan. Bas ada, teksi juga ada.
Terasa canggung pula menjejakkan kaki buat pertama kali di rumah ini. Bukannya Yaya segan atau malu, cuma berada di rumah ini seperti berada hampir dengan Ayin. Terasa Ayin sedang memerhatikannya. Walaupun pada hakikat mereka berjauhan beribu batu jaraknya. Sepanjang perjalanan ke mari tadi, lelah Yaya melayan debar di dada. Padahal dia sekadar singgah melawat Mak Long dan Pak Long saja tapi degup jantung bergetar macam nak jumpa Ayin pula. Heh! Kemaruknya kau Yaya!
Kelmarin ketika Yaya menghubungi Encik Kamil, dia mahu Yaya segera ke Kuala Lumpur untuk menguruskan soal rumah sewa. Menurut Encik Kamil Yaya akan terus mula bekerja selepas ditemu duga. Untuk ke tempat kerja, Yaya boleh menumpang rakan serumah yang sepejabat dengannya. Hati Yaya tersentuh. Encik Kamil dan Puan Julita bersungguh-sungguh membantunya. Entah bila dia dapat membalas segala jasa-jasa mereka suami isteri. Mak Ina pula lega bila tahu Encik Kamil dan Puan Julita telah mengatur semuanya. Tak adalah dia risau. Keselamatan Yaya terjamin. Tempat tinggal ada. Kerja pun tetap. Tambahan kakak sulung dan abang iparnya juga tinggal di Kuala Lumpur. Boleh mereka tolong tengok-tengokkan Yaya. Kalau mereka berdua sibuk, Along dan Dina pun boleh diharapkan juga.
Masuk sahaja ke dalam rumah, Mak Long heret Yaya ke ruang makan. Di atas meja sudah terhidang pelbagai jenis lauk. Sambil makan mereka berbual. Macam-macam yang ditanya oleh Pak Long dan Mak Long tentang kerja dan rumah sewa Yaya. Nampaknya Pak Long dan Mak Long juga seperti Mak Ina. Risau tentang Yaya. Along dan Kak Dina juga begitu.
“Mak long dan pak long jangan risau. Yaya dah lama kenal Encik Kamil dan Puan Julita tu. Sejak Yaya tinggal di Sipitang lagi. Mereka berdua tu baik.”
“Kami ni bukannya apa, Yaya. Cuma risaukan Yaya saja. Hidup di Kuala Lumpur ni tak sama di kampung,” celah Pak Long. Wajah Yaya Pak Long tenung tepat. Yaya faham, kebimbangan mereka itu tanda dia disayangi oleh mereka semua.
“Kalau tidak, besok mak long dan pak long temankan Yaya pergi rumah Encik Kamil. Boleh juga mak long dan pak long berkenalan dengan Encik Kamil dan Puan Julita tu,” cadang Yaya. Harapnya selepas bersua dan bertentang mata dengan Encik Kamil dan isteri, kebimbangan Mak Long dan Pak Long akan susut. Pantas Mak Long dan Pak Long setuju. Inilah peluang untuk berkenalan dengan orang yang bertanggungjawab membawa Yaya pulang ke pangkuan mereka. Boleh juga mereka ucap terima kasih nanti.
“Besok lepas jumpa Encik Kamil tu Yaya bawak sekali mak long dan pak long pergi tengok rumah sewa,” ujar Mak Long. Yaya angguk. Tak berani membantah.
“Ayin bila nak balik mama?” Tiba-tiba Along tukar tajuk perbualan. Kornea mata Yaya membesar bila terdengar nama Ayin disebut. Bagus juga Along tukar subjek. Nak tanya segan. Kalau tiba-tiba dia buka cerita tentang Ayin, nanti tak kena pula.
“Entahlah... Kalau ikut perancangan Ayin, lagi sebulan setengahlah. Katanya, nanti dia bagitau bila dah confirm flight,” terang Mak Long.
“Habis tu, majlis budak dua orang ni bila mama dan papa nak langsungkan?” Muncung Along panjang mengarah kepada Yaya. Bila sudah masuk bab hubungan Yaya dan Ayin, anak mata Yaya kembali mengecil. Malu bertandang. Dia tunduk merenung nasi di dalam pinggan. Pandangan melekat ke cincin permata yang tersarung di jari manisnya. Seperti bermimpi yang dia kini sudah menjadi tunangan Ayin. Tak pernah dia terfikir pun.
“Kita tunggu Ayin balik dululah. Kalau Ayin nak cepat, kita langsungkan cepat. Kalau Ayin nak lambat, lambatlah jawabnya. Kalau digesa-gesa, takut Ayin tak bersedia pula. Bolehkan macam tu Yaya?”
Semua mata tertumpu kepada Yaya. Menanti jawapan dari bibir nan seulas itu. Glup! Air liur yang ditelan terasa kesat dan tersekat di rengkung. Yaya panggung kepala sedikit dan mengangguk kecil kepada Pak Long. Wajah kembali dihadapkan ke pinggan. Tangan perlahan-lahan menyuap nasi ke dalam mulut.
“Dulu selalu dengar abang, papa dan mama cerita pasal Yaya. Tak sangka akhirnya Dina berjumpa juga dengan Yaya,” ucap Kak Dina pula. Mata Kak Dina beralih kepada suami di sisinya. “Patutlah Ayin tak pernah lupakan Yaya. Yaya ni cantik orangnya. Tak sia-sia juga Ayin tu tunggu Yaya selama ni, kan bang?”
Yaya angkat semula kepala dan sengih membalas. Rasa tak tertelan pula nasi yang dikemam di dalam mulutnya ini. Dari tadi hingga sekarang, tidak putus-putus Kak Dina memujinya. Ayulah, jelitalah, lemah lembutlah, baiklah. Kalau lubang hidung dia ni flexible, boleh kembang, boleh kuncup, tentu sudah kembang dan kuncup berkali-kali.
“Sementara tu bolehlah kita buat persiapan sikit-sikit dulu. Manalah tahu, tiba-tiba Ayin balik nanti terus dia nak kahwin pula. Tak ke haru?” getus Mak Long. “Nanti Yaya tolong mak long, ya?”
Yaya angguk membalas. Dalam hati terbesit pertanyaan. Betul ke dia dan Ayin hendak berkahwin? Jarak dan masa telah memisahkan mereka. Macam mana kalau Ayin dah berubah? Ayin dah ada makwe? Memang mereka kata Ayin menunggunya selama ini tapi manalah tahu, di luar pengetahuan keluarga Ayin ada marka pula. Kelak nanti dia yang menggigit jari. Dia mesti lakukan sesuatu. Tidak salah rasanya kalau dia ingin menguji untuk mendapatkan kepastian dan kebenaran.
“Yaya nak mintak tolong mak long, pak long, along dan kak Dina boleh tak?”
“Tolong apa dia Yaya?” soal Mak Long.
“Yaya nak mintak tolong, bila Ayin balik nanti jangan bagitau Ayin dulu tentang Yaya. Juga tentang ini!” Yaya angkat tangan kanan, menunjukkan jari manis yang tersarung cincin emas putih bertahta berlian.
“Kenapa?” Kak Dina bertanya sepatah.
“Yaya ada plan lain.”
Plan lain?” Kali ini Pak Long pula yang menyoal.
“Yaya ada plan lain. Yang lagi surprise untuk Ayin.”
“Yaya dan Ayin ni macam-macamlah! Ada saja cerita kamu berdua nikan?” pangkas Pak Long.
“Mestilah... Ayin dan Yaya nikan special, papa? Dia dua orang ni, lain dari orang lain.” Along mengusik.
“Yalah... yalah... Kita orang tak bagitau Ayin..” Mak Long bersetuju mewakili semua yang berada di situ.
******
Esoknya Mak Long dan Pak Long bersama Yaya ke rumah Encik Kamil. Selepas mengenali Encik Kamil, Puan Julita serta anak perempuannya, Farah Adiba serta suami, Mak Long dan Pak Long puas hati. Melihat keluarga Encik Kamil mesra dan juga baik kepada Yaya, Pak Long dan Mak Long rasa yakin untuk melepaskan Yaya bekerja bersama Encik Kamil dan tinggal di rumah sewa yang telah dicari oleh Puan Julita. Tambahan Puan Julita meyakinkan Pak Long dan Mak Long, bahawa bakal teman serumah Yaya baik-baik belaka.
Selepas minum petang, mereka sama-sama bertolak menghantar Yaya ke rumah sewanya. Tiba di rumah sewa itu, kedatangan mereka disambut oleh tiga rakan serumah Yaya. Mak Long yang tidak kenal dan tidak pernah berjumpa mereka mula bertanyakan pelbagai soalan. Dari segi keselamatan, peraturan dan kemudahan apartment hingga ke soal undang-undang di dalam rumah semua diselidik. Bila sudah dijelaskan tidak sewenang-wenangnya pelawat dibenarkan datang ke rumah ini selain dari ahli keluarga, barulah riak wajah Mak Long kelihatan lega.
Sebelum pulang, Mak Long tingggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya ada apa-apa kes kecemasan. Naik tebal muka Yaya pada rakan serumahnya dengan sikap Mak Long dan Pak Long yang terlalu protective tu. Dia tidak menyalahkan Mak Long dan Pak Long. Mereka berdua sekadar ingin memastikan keselamatannya. Malam tadi pun entah berapa kali Mak Long memujuk dia membatalkan niat tinggal di rumah sewa ini. Puas Yaya menangkis kehendak Mak Long, akhirnya Mak Long akur.
Selepas Mak Long, Pak Long, Encik Kamil dan Puan Julita beredar, Azhan teman sebiliknya, membantu dia mengangkat beg dan barang-barang ke dalam bilik.
“Mintak maaf ya, Azhan. Mak Long dan Pak Long saya tadi soal awak macam-macam.”
“Tak ada hal lah! Biasalah tu. Orang tua memang macam tu. Mereka bukan tak percaya pada kita, cuma nak berhati-hati saja. Mak dan ayah aku pun macam tu juga masa mula-mula tinggal sini dulu. Sekarang pun sama. Sebulan atau dua bulan sekali mesti datang tidur dekat rumah ni. Saja nak tengok aku macam mana,” cerita Azhan sambil tangan sibuk menggantung baju Yaya ke dalam almari walaupun sudah dilarang oleh Yaya.
“Mak, ayah kau ada lagi,” tanya Azhan kemudiannya.
Yaya yang sedang menyusun seluar dan baju kecik ke dalam laci almari berhenti melakukannya. “Umi dan abah saya dah lama meninggal dunia. Masa tu umur saya baru tiga belas tahun. Meninggal kerana kemalangan.”
“Maafkan aku.”
“Mak Long dan Pak Long tu, keluarga angkat saya. Lepas umi dan abah meninggal, adik Mak Long yang jaga saya,” cerita Yaya lebih lanjut. Sewajarnya dia menceritakan semuanya tentang dia kepada Azhan. Merekakan rakan serumah? Malahan nanti bakal menjadi rakan sekerja pula. Sementelah sudah berkongsi bilik dan katil. Selepas itu Yaya menceritakan tentang hidupnya sepanjang ketiadaan umi dan abahnya kepada Azhan. Juga kisah dia dibawa oleh Pak Ngah ke pendalaman Sipitang. Azhan mendengar dengan penuh kusyuk. Kagum dengan ketabahan Yaya dan keterbukaan Yaya menceritakan semua sejarah silamnya kepada dia yang baru dikenali tidak sampai beberapa jam ini. Dari situ dia membuat kesimpulan bahawa Yaya seorang yang jujur adn ikhlas.
“Maaf, aku dah buat kau terpaksa bercerita tentang keluarga kau,” pohon Azhan sekali lagi.
“Tak apa. Saya cerita ni, bukannya nak mintak simpati awak. Saya sekadar mahu berkongsi, dan mahu awak tahu tentang saya. Kitakan tinggal sebilik. Lusa awak jadi rakan sepejabat saya pula. Jadi saya rasa, memang wajar awak tahu semua tentang saya,” balas Yaya sopan.
Azhan senyum dan angguk.

Friday, March 27, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 22




Bab 22
Mereka saling berpandangan untuk beberapa detik dan kemudian tawa mereka meledak tiba-tiba. Tidak tahu apa yang telah mengusik hati. Ketawa mereka berlarutan untuk beberapa ketika sebelum mereka terdiam selepas itu. Sejak dahulu, pangkin bawah pokok jambu susu ini menjadi saksi keakraban mereka. Tanpa diduga selepas terpisah sekian lama, kini pangkin ini menjadi saksi pertemuan semula antara mereka.
“Yaya apa khabar?” Along memulakan bicara. Walaupun mereka pernah rapat dahulu, tetapi saat ini dia rasa betul-betul canggung. Mungkin kerana masa memisahkan mereka terlalu lama. Ataupun mungkin juga mereka bukan lagi berada di zaman remaja. Masing-masing sudah menginjak dewasa. Sudah ada jurang peradaban di situ. Tidak boleh lagi ketawa sambil bertepuk tampar seperti dahulu.
“Alhamdulillah... Yaya sihat, long.” Yaya tatap lembut wajah Along. Handsome betul Along. Untung Kak Dina dapat Along sebagai suami. Kalau Along dah begini punya handsome, confirm Ayin tentulah lagi handsome. Yaya tersenyum simpul. Sempat pula dia teringatkan budak nakal sorang tu.
“Kenapa Yaya?” soal Along bila melihat ada senyuman terukir di bibir Yaya.
Yaya geleng. Gila nak cakap dengan Along? Malulah wei!
“Tak sangka along dah kahwin. Nak jadi papa pula tu tak lama lagi.”
“Dah jodoh along, Yaya. Kenapa Yaya tak pernah balik ke sini? Kalau tidak, boleh juga Yaya tengok along naik pelamin.”
Yaya senyap. Along perhati wajah Yaya yang mula bertukar mendung.
“Along mintak maaf kalau along dah buat Yaya rasa sedih.”
Yaya geleng kepala.
“Along apa khabar?” Yaya alih tajuk perbualan. Tidak mahu menyentuh kisah hidupnya di pendalaman Sipitang dahulu. Terlalu banyak pahit dari manis untuk diceritakan. Terlalu banyak duka dari gembira untuk dikhabarkan. Terlalu banyak tangisan dari ketawa untuk dikongsikan.
“Along macam nilah! Seperti apa yang Yaya nampak sekarang ni.”
“Yang Yaya nampak, tu!” Jari telunjuknya ditunding ke perut Along.
“Sudah ke depan. Sekarang ni, Yaya confuse. Siapa yang sedang pregnant sebenarnya. Isteri along, atau along?” Yaya berusaha melahirkan tawanya. Tetapi kedengaran begitu palsu di telinga Along.
“Ini tandanya Kak Dina pandai jaga along.” Perut diusap sambil tersengih.
“Mesti Kak Dina tu lawakan?”
“Isteri along, tentulah lawa! Lagi lawa dari Yaya tau!” senda Along. Yaya lihat Along seluk poket belakang seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna coklat pekat dari situ. Ditarik keluar sekeping foto dari celah dompet dan disuakan kepada Yaya.
“Lawakan?”
“Isteri along, tentulan along kata lawa. Takkanlah along nak puji isteri orang lain,” Yaya balas usikan along. Cepat dia menarik gambar itu dari tangan Along. “Eh! Lawa la... Kak Dina ni, long.”
Along terus angkat kening berkali-kali. Cis! Poyo! Tapi memang isteri Along ni lawa pun.
“Nanti along kenalkan Kak Dina pada Yaya, ya?” pinta Yaya sewaktu gambar itu diunjukkan semula kepada Along.
“Eh! Mestilah! Kak Dina pun tak sabar nak jumpa Yaya.”
Yaya tatap wajah Along. Kaget sekejap dengan kenyataan Along itu. “Kak Dina kenal Yaya ke?”
“Lama dah Kak Dina tu kenal Yaya...”
Erk! Jumpa pun belum pernah lagi, dah kenal? Memang Along ni kaki hebah betullah!
“Macam mana tu?”
“Dulu along pernah cerita dengan Kak Dina pasal Ayin dan Yaya. Dia pun cakap Yaya cantik tau!”
Hah! Bersua muka pun tidak, mana Kak Dina tahu dia ni cantik ke tak? Along perasan ada kerutan muncul di dahi Yaya.
“Takkan Yaya dah lupa? Dulukan Ayin ada ambil gambar kita bertiga. Gambar tu sampai sekarang Ayin simpan. Gambar tulah yang Kak Dina tengok.”
Itu gambar lama kot? Gambar ketika dia berusia enam belas tahun. Gambar yang diambil oleh Ayin ketika kali terakhir mereka berjumpa sebelum Ayin dan Along pulang ke Kuala Lumpur. Dia sendiri pun tidak pernah melihat gambar itu. Bila sahaja terkenangkan Ayin, serta-merta hatinya disapa rindu.
“Ayin apa khabar sekarang ni, long?”
“Yaya rindu dia ke?”
Eh! Eh! Buah hati, tentulah dia rindu. Yaya kerling Along. Tu! Tak lain tak bukan nak menyakat Yayalah tu!
“Tentulah rindukan... Siapalah yang tak rindukan buah hati?” Along jawab soalan sendiri bersama sengihan mengusik Yaya tapi hanya seketika. Selepas itu nada suaranya bertukar serius. “Lepas Yaya pergi Sabah, Ayin jadi frust gila. Along rasa, masa dia frust dengan Adilia dulu pun tak macam tu.”
Along mula bercerita tanpa diminta. Yaya beri sepenuh perhatian. Along tahu Yaya ingin tahu kisah selanjutnya, walaupun Yaya tidak menyuarakannya.
“Tapi perangai dia tak adalah berubah jadi teruk sama seperti dia kecewa dengan Adilia. Kecewa dia dengan Adilia pasal Adilia curang. Dia kecewa dengan Yaya, sebab dia tak sempat jumpa Yaya sebelum Yaya pergi. Dia kecewa sebab Yaya hilang macam tu saja. Tak pernah kirim khabar berita. Lepas Yaya pergi, kita orang semua rasa macam tak tahu nak buat apa. Nak hubungi Yaya, tak tahu macam mana. Nak cari Yaya, tak tahu di mana. Papa pernah juga cuba cari Yaya dulu bila Nek Ngah mintak papa carikan Yaya. Nek Ngah rindukan Yaya sangat-sangat. Tapi sayang, semua usaha papa tak berjaya, sampai Nek Ngah meninggal setahun lepas tu. Akhirnya kami putus asa. Ayin pun nampak macam tu juga. Lepas SPM dia terus apply study dekat UK dan sampai sekarang masih di sana.  Dah sembilan tahun. Dalam setahun sekali dua saja dia balik ke Malaysia. Puas juga mama dan papa pujuk mintak dia balik ke sini tapi tak tahulah kenapa Ayin tak nak balik. Yang peliknya, bulan lepas, tiba-tiba Ayin telefon. Katanya, lagi dua bulan dia nak balik Malaysia. Kali ni dia nak balik terus.” Along beralih menentang tubuh Yaya.
“Yaya sebelum balik ke sini, ada contact Ayin ke?”
“Tak pernah, long. Yaya mana tahu dia ada dekat mana.”
Along garu dahi. “Itu yang peliknya tu! Dia macam tahu-tahu saja Yaya nak balik ke sini.”
Yaya angkat bahu.
“Kau orang berdua ni memang ada chemistrylah!”
Yaya senyum nipis. Ayin... Nama itu diseru bersama rindu yang semakin menggebu.

Thursday, March 26, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 21




Bab 21
Yaya renung cincin di jari manis. Ini rupanya plan Mak Long. Ayin tentu terperanjat nanti. Dia sendiri pun hampir-hampir kena heart attack. Cincin yang tersarung di jari diputar-putar sambil mengingati semula detik pagi tadi.
“Tak payahlah, mak long. Buat susah-susah saja mak long belikan cincin ni untuk Yaya.” Yaya cuba menolak. Tak ada angin, tak ada ribut, hairan kenapa Mak Long tiba-tiba belikan cincin ini untuk dia. Harga cincin pun boleh tahan mahal. Buntang sekejap melihat harga pada tag kecil yang terikat di cincin. Kalaulah berhutang, seumur hidup pun belum tentu habis dilunaskan. Jangan cari pasal! Diamondnya pula, tu ha kau..., besar biji kacang hijau. Itu batu yang di tengah-tengah saja. Batu kecil-kecil di sekelilingnya tak dikira lagi. Mahu panjang sebelah tangan kalau sarung cincin ni.
“Tak cantik ke? Kalau tak cantik, kita tukar cincin yang lainlah, ya?”
“Eh! Tak adalah mak long. Cantik... cincin ni, tapi buat apa mak long beli cincin mahal ni untuk Yaya.” Pipi digaru walaupun tidak gatal.
“Hai! Nak beli cincin tunang untuk bakal menantu pak long pun tak boleh ke?” Pak Long yang sedari tadi asyik berdiam diri mencelah.
“Hah!” Terus terlopong mulut Yaya. Ni kalau masuk lalat lima enam ekor pun, mesti tak perasan punya. Terperanjat gila!
“Ya... Cincin ni untuk Yaya. Pak long dan mak long nak pinangkan Yaya untuk Ayin. Kita tak payah buat-buat kenduri semua. Nanti bila majlis nikah kahwin besok, kita buat betul-betul punya grand,” Mak Long menambah pula.
“Hah!” Lagi besar mulut Yaya ternganga. Bukan lalat saja, kalau langau masuk lima enam ekor pun, belum tentu dia sedar. Terkejut sawan!
“Lepas ni Yaya kena panggil papa dan mama tau... Jangan panggil pak long, mak long lagi. Faham?!” Pak Long berkata sambil tersenyum. Yaya yang masih tergaman, cuma mampu membalas dengan anggukkan perlahan. Kemudian dia terus tertunduk malu. Malu tapi mahu...
“Yaya setuju tak jadi tunang dan isteri Ayin ni?” Mak Long tatap wajah Yaya yang mula merona merah. Gila tak setuju?! Rugilah kalau Yaya tak setuju. Pucuk dicita, bukan ulam yang mendatang tapi sebatang pokok betul yang Yaya dapat.
“Setuju tak?” Pak Long pula ulang soalan yang sama. Yaya yang tertunduk, rasa seperti sudah patah tengkuk. Semakin meliuk kepalanya ke dada. Mak Long dan Pak Long berbalas senyuman.
“Setujulah tu!” usik Mak Long.
Pulang saja dari pekan, Mak Long terus khabarkan berita itu kepada Mak Ina. Bukan main gembira Mak Ina. Langsung tidak membantah. Shidan dan Ayip pun setuju. Riuh-rendah sebuah rumah dengan gelak ketawa mereka bilamana mereka mengusik Yaya tentang Ayin. Rupanya semua sejarah silam kenakalan Ayin kepada Yaya, Along dah ceritakan kepada mereka. Tebal berinci-inci kulit muka Yaya rasanya. Sedang giat mereka menyakat Yaya, telefon rumah Mak Ina berdering nyaring. Dengan ketawa yang masih berbaki Mak Ina datang menghampiri telefon di meja kecil tepi dinding tengah rumah.
“Assalamualaikum...” ucap salam didahulukan sebaik sahaja ganggang mencecah cuping telinga.
“Waalaikumussalam..., mak su mama ada tak? Puas along telefon handphone mama dengan papa, tapi tak berjawab.”
Kerana teruja yang teramat sangat, terus Mak Ina pecah lubang. Soalan Along langsung tidak dilayan. “Yaya dan Ayin dah bertunang, along!” suara Mak Ina riang. Yaya di sisi Mak Long tunduk merenung lantai. Aduh! Mak Ina, apasal tak menyempat-nyempat bagitau Along?
“Apa yang mak su merepek ni?” sambut Along di hujung sana, tidak percaya.
“Betul..., mak su tak tipu.”
“Yaya dan Ayin bertunang? Mak su ni mengingau ke apa? Ayinkan dekat UK? Yaya pula dah berapa lama kita tak jumpa.” Along sangka Mak Sunya melawak saja.
“Yaya dah balik! Ada dekat kampung ni!”
“Hah?!”
“Yaya dah balik, long! Sebab tu mak su panggil papa dan mama along balik kampung malam tadi.”
“Mak su..., mak su ni apasal? Takkan mak su dah nyanyuk kot?”
“LailahaillAllah... budak ni! Tak percaya pula apa yang kita cakap. Kalau tak percaya, kamu cakap sendiri dengan mama kamu.” Mak Ina berpaling kepada Mak Long di kerusi tidak jauh darinya.
“Nah kak long! Kak long cakap dengan si along ni. Ina bagitau dia yang Yaya dah balik, mampus dia tak nak percaya. Dia ingat Ina ni buat lawak agaknya.” Mak Ina unjukkan ganggang telefon kepada kakaknya. Dengan tawa yang berdekah, Mak Long hampiri Mak Ina. Ganggang beralih tangan.
“Helo... along...”
“Apa kena dengan Mak Su tu, mama?” Terus Along ajukan soalan itu sebaik sahaja terdengar suara ibunya menjawab panggilan.
“Kena kenapa ni?”
“Mak Su bagitau tadi, Ayin dan Yaya dah bertunang. Mak Su tu dah nyanyuk ke atau mengingau siang-siang ni?”
“Betullah apa yang Mak Su cakapkan tu...” Mak Long sudah terkekek ketawa. Riang benar hatinya bila membayangkan wajah cemberut Along ketika ini.
“Mama pun dah nyanyuk macam Mak Su juga ke?” Along mati-mati tidak percaya. Apa kena mama dan Mak Su hari ni? Sama saja buang tabiat dua orang ni. Choiii... Tak sayang mulut kau, long. Mintak benda yang bukan-bukan pula.
“Buat apalah kami nak menipu, long. Betul..., mama dan papa dah tunangkan Ayin dengan Yaya.”
“Peninglah kepala along macam ni. Malas nak layan mama dan Mak Su. Dua-dua sama saja! Tolong along panggilkan papa. Along nak cakap dengan papa pula.”
“Okeylah! Kalau tak percaya, along tanya papa. Sekejap, mama panggilkan papa,” ujar Mak Long lantas memanggil suaminya selepas itu. Ganggang telefon bertukar tangan.
“Betullah macam yang Mak Su dan mama cakapkan tadi tu, along... Kami dah tunangkan Yaya dan Ayin. Papa dan mama baru balik dari pekan. Pergi beli cincin tunang dia orang. Yaya dah balik ke sini. Sebab tulah Mak Su panggil papa dan mama balik kampung malam tadi.” Pak Long cuba meyakinkan Along.
“Hah apa?! Jjjadi betullah Ayin dan Yaya dah bertunang. Tapi macam mana boleh...” Kalau sudah papa pun mengiakan cerita yang sama, bermakna Mak Su dan mama bukan buat cerita dogeng. Takkan papa nak join sama menyakat dia, kan?
“Along kalau nak tahu cerita selanjutnya, balik saja kampung. Lagi senang. Yaya pun ada ni. Boleh jumpa Yaya.”
“Apppa?! Yaya ada dekat kampung?” Sudah dua kali papanya buat kenyataan, baru kali yang kedua ini melekat di telinganya.
“Ya..., Yaya dah ada dekat kampung ni. Baliklah sekejap. Dina, along tinggalkan dengan bibik dekat rumah papa, kalau dia tak larat nak ikut sekali.”
“Okkkey! Along bertolak sekarang.” Kedengaran suara Along seperti orang sedang mengalabah di sebelah sana. “Pa!”
“Ya!”
“Sampaikan salam along pada Yaya. Suruh dia tunggu. Along balik sekarang. Along nak jumpa dia.”
“Ya, nanti papa sampaikan. Yaya tu takkan ke mana-mana, long. Hati-hati pandu kereta tu.”
Kalau dah Along pun sampai terperanjat orang utan bila tahu dia dah balik, apatah lagi dengan Ayin nanti. Tentu terperanjat gorila! Yaya sengih.