Total Pageviews

Monday, August 3, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 10



Kusyuk lelaki itu mendengar ceritanya. Sepatah ayat pun tidak mencelah.
“Saya dan Aziz memang rapat. Dia amat memahami saya. Dia tidak pernah menghina kekurangan saya. Saya pun tidak pernah rasa malu dengan kekurangan dia. Apa yang kurang pada saya, dia ada lebihnya. Apa yang kurang pada dia, saya ada lebihnya.”
“Macam pinang dibelah dua?”
Baru kali ini Iskandar menyampuk. Pertanyaannya juga tiada nada. Hambar dan mendatar. Azizah kerling Iskandar. Riak yang terbias pada wajah lelaki itu terlalu sukar ditafsir. Iskandar memandang kepadanya. Renungan itu seperti mengandungi sesuatu. Azizah ukir senyum nipis. Sekadar untuk mententeramkan hatinya yang mula terasa dijentik oleh pandangan lelaki itu. Anak mata dijauhkan dari wajah Iskandar.
“Itu yang mama saya kata. Mama saya kata, saya dan Aziz seperti pinang dibelah dua.”
“Kita?”
Azizah berpaling semula kepada Iskandar. Apa kena-mengena pula dia dan Iskandar dalam cerita flash back ni?
“Kita?” Azizah menyoal Iskandar semula. Kurang faham maksud soalan itu. 
“Kita ni tak sepadan ke?”
Dahi berkerut. Baru Azizah mahu membuka mulut untuk membalas, Iskandar menyoal lagi.
“Kita ni tak secocok ke digandingkan bersama? Tak boleh jadi seperti isi dan kuku?”
“Iskandar..., awak tak bolehlah samakan diri awak dengan Aziz. Aziz lain.”
“Lain yang macam mana Zizah? Awak tak pernah buka hati awak untuk mengenali saya, bagaimana awak nak tahu kita ni serasi bersama ataupun tidak?”
“Awak tak faham Iskandar. Awak terlalu sem...”
Iskandar cantas lagi kata-katanya.
“Kalau awak kasar, saya boleh bimbing awak supaya awak jadi lembut. Awak rajin mengemas. Saya pula pandai memasak. Malahan saya sanggup buat kelas masakan khas untuk mengajar awak memasak, kalau awak mahu. Kita belum pernah mencuba, bagaimana kita nak tahu kita ni boleh bekerjasama ke tidak.”
Apa yang Iskandar melalut ni? Ke Iskandar dapat hidu dia mungkin nak reject Iskandar? Azizah hilang kata-kata untuk membalas.
“Kenapa awak senyap Zizah?”
Nafas dihembus kuat. Dengusan Azizah itu sampai ke telinga Iskandar.
“Awak marah dengan soalan saya?” Iskandar mencerlung kepada Azizah.
“Awak terlalu sempurna Iskandar. Awak ada paras rupa. Awak seorang lelaki yang sangat baik. Dari perangai awak, tingkah laku awak, percakapan dan cara berfikir awak, memang awak layak untuk jadi pemimpin keluarga, tapi bukan dengan saya.”
“Cuba bagi saya alasan, kenapa saya tidak boleh bersama awak?” Serius suara Iskandar menyoal.
Azizah telan air liur. Hati ditabahkan untuk berani meluahkan apa yang dia fikir sepanjang dia berbaring di atas katil di dalam biliknya tadi.
“Awak pandai serba-serbi, Iskandar. Awak banyak kelebihan. Layakkah saya yang kematu, keras macam batu ni bergandingan dengan awak yang handsome ni? Cukup baikkah saya yang berperangai kasar ni untuk bersama dengan awak? Awak lelaki yang sangat bagus segala perbuatan dan kelakuan. Saya ni pula terlalu banyak kekurangan. Bolehkah saya berubah jadi lebih baik demi awak?” Azizah diam sebentar. Liur ditelan perlahan. Dia berkalih duduk lalu menentang Iskandar.
“Takkan terbayang oleh awak sebanyak mana kekurang saya ni, Iskandar. Saya langsung tak ada kelebihan untuk menutupi kekurangan awak. Bukan ke dalam perkongsian hidup itu, adalah untuk saling melengkapi? Siapa yang mempunyai kelebihan akan menyempurnakan kelemahan pasangannya. Dan begitu juga sebaliknya. Tetapi di antara awak dan saya tidak sama sekali. Mana adil kalau awak saja yang mampu melengkapi saya. Tetapi saya...”
“Zizah..., saya tak mintak pun awak jadi sempurna untuk saya. Saya tak harap awak ada kelebihan. Cukuplah saya ada untuk melengkapi awak. Saya tak mintak lebih dari awak Zizah. Saya cuma nak awak terima saya dalam hidup awak. Kerana sayang saya kepada awak ni, melebihi dari segala kekurangan yang ada pada awak.”
Iskandar juga beralih duduk. Mereka kini saling berpandangan.
“Iskandar..., awak mungkin tak ada masalah untuk terima kekurangan saya. Tapi saya ada maruah, Iskandar. Bagaimana saya nak terima awak, kalau saya sedar, saya tahu,  saya banyak kekurangan. Langsung tiada kelebihan!”
Iskandar mengeluh.
“Saya tak nafikan, awak lelaki yang sangat baik. Penyabar. Boleh layan perangai dan kata-kata kasar saya ni.”
“Tak cukup baikkah saya untuk awak?” sayu Iskandar bersuara.
“Bukan itu yang menjadi persoalannya. Masalahnya, saya yang tak cukup baik untuk awak. Lelaki sesempurna awak, seharusnya mencari seorang perempuan yang sempurna juga. Bukan perempuan macam saya. Barulah boleh dikata orang, bagai pinang dibelah dua. Awak dan saya, mungkin boleh jadi seperti pinang di belah dua, tetapi tak sama rata. Pinang di sebelah awak akan lebih besar dari pinang di bahagian saya.”
Lelaki itu tetap cerlung memandangnya. Tidak sanggup untuk bertentang mata, Azizah larikan pandangannya ke lantai simen yang kesat dan menggerutu.
“Saya tahu kenapa awak terlalu berat untuk terima saya, Zizah.”
“Tak... Awak takkan tahu.” Cepat Azizah menangkis kata-kata itu.
“Walaupun kita baru bertemu semula, tapi saya mengenali awak, Zizah. Dah cukup lama saya memahami awak.”
Kembali Azizah mencari wajah Iskandar. Dia benar-benar tidak mengerti akan makna ayat yang baru meniti di bibir lelaki itu.
“Sebenarnya, awak tak boleh terima saya kerana Aziz. Awak tak sanggup lupakan Aziz. Awak tak berani menggantikan saya di tempat Aziz kerana Aziz dah lama ada di dalam hati awak tu. Betulkan?”
Tidak mampu Azizah menjawab pertanyaan itu. Soalan yang terlalu berat untuk dia balas.

Sunday, August 2, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 9



“Nah!”
Azizah panggung sedikit kepalanya melihat kepada lipatan surat khabar yang dihulurkan oleh Iskandar melalui celah besi pintu pagar. Kemudian kepalanya diangkat sedikit tinggi memandang riak lelaki itu. Tak jadi balik ke? detak dalam hati.
Ambiklah!”
Iskandar suakan surat khabar itu lebih dekat lagi. Azizah sambut. Dalam kepala ligat berfikir untuk apa pula surat khabar ini diberikan kepadanya. Pandangan Azizah hanya melihat tingkah laku Iskandar selepas itu. Lelaki itu membentangkan baki surat khabar yang ada padanya ke atas simen di depan pintu pagar. Iskandar kemudian melabuhkan punggungnya di situ lalu bersila. Azizah melopong melihat.
“Tunggu apa lagi?”
Iskandar mendongak memandang kepadanya.
“Tttunggu apa?” Azizah tergagap menyoal semula.
“Bentang surat khabar dan duduklah. Ke awak nak berdiri saja sepanjang kita berborak ni?”
“Ddduduk atas lantai macam ni?” Mata terkebil-kebil melihat kepada lelaki itu. Tidak percaya.
“Yalah! Saya ajak awak keluar, awak tak nak. Awak nak berborak dekat sini saja. Jadi, kita duduklah dekat sini. Lagipun, saya luar pagar, awak dalam pagar. Berkunci pula tu. Awak nak takut apa? Lampu jalan ni pun terang. Takkan kena tangkap basah punya.” Iskandar mendongak kepala melihat lampu jalan yang menyala terang di atas kepalanya. Kemudian dia melihat pula ke arah jalan raya.
“Jalan pun masih sibuk lagi dengan kenderaan. So, kita bukannya duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi.” Matanya kembali kepada Azizah yang masih berdiri.
Memang gilos betul mamat ni. Tak pernah dibuat dek orang lain macam ni.
“Oh! Sekejap.” Iskandar  mengangkat tinggi telunjuknya. Selepas itu dia pusingkan separuh badannya ke belakang. Mencapai sesuatu di atas tembok penghadang longkang.
Tarra...” Iskandar julang tinggi menayangkan dua bekas di tangannya kepada Azizah.
“Apa tu?”
“Kalau nak tahu kena duduklah dulu.” Iskandar mengeluarkan arahan.
Azizah akur tanpa menyoal lagi. Dia bentangkan surat khabar ke atas lantai. Kemudian didaratkan punggungnya di situ. Mereka kini sudah duduk bersebelahan, tetapi dengan jarak yang sedikit jauh. Dipisahkan pula oleh pintu pagar itu. Memang kerja pandir. Dah macam berpicnic dah tengah laman ni. Malam-malam buta pula tu. Kalaulah Rozaini tahu, muak kena basuh, cetus Azizah.
Iskandar buka bekas plastik di tangannya dan menghulurkan kepada Azizah di seberang pagar.
Brownies cheese dan kopi. Barulah rasa macam berpicnic di tengah laman di tengah malam buta.”
Iskandar menyeringai kepadanya. Iskandar macam tahu saja apa yang terlintas di fikiran dia tadi.
Brownies ni pun saya yang buat tau! Ingat nak bagi awak petang tadi. Saya terlupa pula. Sebab tu saya singgah rumah awak on the way saya nak masuk kerja malam ni.”
Mamat ni berapa gantang dah telan semut ya? Memanjang lupa saja. Lupa nak pulangkan sweater dialah. Lupa nak bagi brownies nilah. Ke, alasan Iskandar sengaja datang nak jumpa dia? Ah! Peduli apa. Janji bukan dia yang tergila-gilakan mamat ni.
Azizah melihat isi bekas. Terliur pula rasanya apabila ganache yang melitupi atas brownies cheese berkilat-kilat dipanah cahaya lampu jalan.
“Jemput!” Iskandar suakan lagi bekas itu.
Dengan teragak-agak, Azizah hulurkan tangan dari celah besi pagar lalu mencapai sekeping potongan brownies cheese. Tanpa dapat menahan nafsu, segera digigit dan dikunyah. Kelopak matanya terkatup rapat menikmati keenakan rasa brownie itu. Hmm... sedapnya... Kenapalah mamat ni pandai sangat membaking sama seperti Aziz?
“Boleh awak cerita apa yang jadi selepas awak berkenalan dengan Aziz di kantin sekolah tu?”
Kunyahannya terhenti. Pantas Azizah berpaling kepada Iskandar di sebelah. “Eh! Bukan sepatutnya awak yang bercerita ke? Kenapa saya pula?”
Iskandar senyum manis kepadanya. Heh! Iskandar ingat dia nak mengalahlah bila buat senyum memikat macam tu. Jangan mimpi!
“Nah!” Iskandar hulurkan kunci keretanya.
“Buat apa dengan kunci kereta hantam awak ni? Nak bagi kereta tu dekat saya? Taknak! Tak hingin saya. Swift saya tu lagi lawa tau.”
“Bila pula saya cakap nak bagi Vios saya tu dekat awak? Saya bagi kunci kereta saya ni sebagai cagaran. Selagi saya tak cerita pasal Aziz, awak pegang kunci ni. Confirm saya tak boleh lari. Bila saya dah cerita, baru awak pulangkan kunci kereta saya ni.”
Cepat Azizah menyambar kunci yang dihulurkan oleh Iskandar.
“Awak yang suruh ya. Jadi saya pegang janji awak. Selagi awak tak cerita, saya tak pulangkan kunci ni.”
Iskandar mengangkat tinggi kedua belah tangannya. Menyerah.
“Saya boleh cerita, kalau awak habiskan dulu cerita awak dan Aziz tu. Apa yang berlaku selepas awak berkenalan dengan dia di kantin sekolah. Dan cerita kepada saya bagaimana awak dan Aziz boleh berpisah. Kemudian baru saya cerita bagaimana saya tahu pasal awak dan Aziz.”
Heh! Lagi satu perjanjian. Iskandar ingat dia ni bodoh ke? Dia pun pandai buat deal juga. “Boleh! Tapi saya pun ada syarat saya.”
“Apa dia?”
“Bagi saya purse awak.”
“Awak nak tengok saya ada simpan gambar perempuan lain dalam purse tu ke?”
“Bagi sajalah. Banyak soal pula.”
Iskandar geleng kepala sambil tersenyum.
“Okey.” Iskandar mengeluarkan dompetnya dari poket belakang seluar. Diberikan kepada Azizah.
“Sekarang kosongkan semua poket baju dan seluar awak.”
Iskandar menurut perintah. Baki wang kertas dan syiling di dalam poket dikeluarkan.
“Bak sini!” Azizah hulurkan tapak tangan sambil digerakkan hujung jari meminta.
Iskandar letakkan semua barang yang ada di dalam poket baju dan seluarnya ke atas tapak tangan Azizah.
“Puas hati?” Iskandar angkat kening.
Azizah angguk laju.
“Kenapa?” Iskandar menyoal sepatah.
“Supaya awak tak cabut lari balik naik teksi nanti.”
Serta-merta ketawa Iskandar meletus. “Panjang juga akal awak ni kan, Zizah?”
“Habis tu, awak ingat saya ni bodoh sangat ke? Kalau lepas saya habis cerita, awak terus lari macam mana? Ini sebagai langkah berjaga-jaga.” Dia mencebik kepada Iskandar.
Iskandar cuma menggelengkan kepala bersama tawa yang masih berbaki.
“Sekarang saya boleh mula bercerita?” Dia angkat kening kepada lelaki itu pula. Terasa puas di hati kerana Iskandar berada di dalam kawalan dan kekuasaannya. Iskandar tak boleh nak cengelat.
“Silakan sayangku...”
Pui! Nak romantik sangat pula. Azizah buat riak loya pada muka.

Saturday, August 1, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 8



“Jom!” Iskandar angkat kepala dan menggerakkannya ke kiri sedikit. Isyarat kepada Azizah supaya menaiki keretanya.
“Ke mana?” Azizah kerut dahi. Kalau tak salah, dia tak ada beri apa-apa persetujuan pun untuk ke mana-mana bersama Iskandar.
“Kedai mamak depan tu.”
“Buat apa?”
“Tadi kata tak nak kena tangkap basah. Jomlah kita pergi sana. Ke awak tak nak sebab memang nak kita kena tangkap basah?” Iskandar sengih mengusik.
Choi! Mulut longkang. Awak ingat saya ni apa? Terdesak sangat ke sampai nak kahwin free dengan awak?” Dia jeling tajam wajah Iskandar. Memang mulut tak ada insuran betul lelaki ini. Sesuka hati saja keluar statement.
“Lagipun saya tak cakap saya setuju nak ke kedai mamak tu,” sambung Azizah kemudiannya.
“Tadi kata takut kena tangkap basah. Bila saya ajak keluar, awak tak nak pula. Tapi nak dengar cerita saya. Habis tu macam mana?”
Azizah senyap. Diam untuk berfikir bagi menjawab pertanyaan Iskandar itu.
“Tak nak dengar tak apalah. Saya balik dulu. Tapi ingat, offer hanya dibuka untuk malam ni saja.” Iskandar palingkan tubuh mahu menjauhi pintu pagar.
“Sekejap!”
Azizah lihat ada senyuman yang disembunyikan oleh Iskandar ketika lelaki itu menoleh kepadanya. Kemudian Iskandar merenung tepat wajahnya.
“Saya nak dengarlah cerita awak tu!” Azizah panjangkan muncung.
“Kalau nak dengar jomlah!”
“Tapi saya tak nak keluar dengan awak.”
“Pula... Nak dengar tapi tak nak keluar. Macam mana?”
“Dekat sini saja.”
“Dekat sini?”
“Yalah! Dekat luar ni saja. Tak payah pergi mana-mana.”
Iskandar pula yang senyap.
“Hmm... Suka hati awaklah. Bukalah pintu pagar ni.”
“Pun tak payah. Awak berdiri luar pagar, saya berdiri dalam pagar.”
“La... Macam tu pula.”
“Langkah-langkah pencegahan. Lebih selamat.”
“Kenapa, awak takut saya buat apa-apa dekat awak ke?”
“Mestilah. Awak tu bukannya boleh percaya sangat.” Dia senyum sinis kepada Iskandar.
“Zizah..., saya ni sayangkan awak tau!”
Hah! Sayang! Apasal tetiba pula cakap pasal perasaan sayang ni? Dan sejak bila pula mamat ni sayangkan dia? Azizah telan air liur. Terkedu seketika dengan pengakuan spontan Iskandar.
“Saya tak tergamak nak rosakkan awak atau buat benda yang tak senonoh dekat awak. Maruah awak adalah kehormatan saya, Azizah. Kehormatan awak adalah maruah saya. Kalau saya buat sesuatu kepada awak bermakna saya mencalar kehormatan dan menjatuhkan maruah saya. Apa guna saya sayangkan awak, kalau saya sendiri merosakkan maruah dan kehormatan awak. Saya takkan buat awak macam tu Zizah.” Iskandar tatap raut Azizah serius. Seserius kata-kata yang baru dia tuturkan sebentar tadi.
Azizah terkasima.
“Baiklah. Kalau awak tak percayakan saya, saya pergi dulu.” Iskandar bergerak ke keretanya.
Alamak! Touchinglah pula lelaki ni. Nampak saja ganteng, tapi dalam hati ada water fountain.
Iskandar buka pintu kereta. Bersedia mahu melangkah masuk ke dalam perut kereta.
Aduh... macam mana ni? Kalau terlepas peluang malam ni, habislah. Tentu lepas ini dia kena berusaha lebih keras untuk memaksa Iskandar bercerita. Itupun kalau usaha dia tu berjaya. Kalau tidak, sampai bila-bila pertanyaan dia tak akan terjawab. Dan hati dia takkan jadi tenang selagi dia tidak tahu.
“Iskandar!” Azizah menjerit sekuat hati memanggil. Lelaki itu memandang kepadanya. Hanya sesaat. Kemudian Iskandar kembali menundukkan kepalanya untuk masuk ke dalam kereta. Seperti tidak peduli saja.
Terasa sangat nampaknya Iskandar, desis hati Azizah. Dia jatuhkan anak mata merenung simen. Selalu sangat bercakap tak guna otak. Bercakap ikut sedap mulut tanpa berfikir, maka inilah jadinya. Dia mengeluh, menyesali diri terlanjur dalam berkata-kata tadi.