Total Pageviews

Wednesday, July 8, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 49




“Ayah, Meal nak tukar baju ni dulu boleh tak? Meal sebenarnya, tak pernah pakai kain pelekat. Rasa tak selesa sikit,” mohon Ameal sopan ketika dia kembali berhadapan dengan Encik Ibrahim. Bukannya apa, takut Encik Ibrahim terasa hati. Dia tidak mahu Encik Ibrahim fikir yang dia tak suka menyarung pakaian lelaki itu.
“Pergilah! Kami tunggu Meal dekat dapur,” tutur Encik Ibrahim memberi keizinan.
Lalu mereka sama-sama bangkit dari situ. Encik Ibrahim dan keluarganya menuju ke dapur. Ameal pula terus ke bilik Mukhriz dan Mirzad.
Selang beberapa ketika...
“Makkk... Tolonggg...”
Mereka yang berada di dapur tersentak. Berpandangan sesama sendiri. Wajah terbias tanda tanya. Cuma seorang saja yang buat muka selamba. Kerana dia tahu, punca jeritan itu adalah angkara dia. Spontan senyuman kepuasan terukir di bibirnya.
“Baru padan dengan muka kau mamat poyo!” bisik Dhia halus.
“Tolonggg...”
Teriakan itu kedengaran lagi. Pantas Encik Ibrahim, Puan Intan, Mukhriz dan Mirzad berlari menuju ke bilik di mana datangnya suara itu.
“Ya Allah! Kenapa ni Meal?” soal Encik Ibrahim gusar. Panik melihat keadaan Ameal. Muka Ameal pucat tidak berdarah. Menggeletar tak payah ceritalah.
“Tttolong Meal, ayah... Tuuuu...” Suara Ameal tersekat-sekat. Telunjuknya takut-takut menunding ke arah beg di penjuru bilik.
“Kenapa dengan beg tu?” tanya Encik Ibrahim. Dia bertambah pelik.
“Aaada llli...”
Belum habis ayat itu meniti di bibir Ameal, ketawa Dhia sudah meletus kuat. Ligat ketawanya sampai rasa nak terkucil air kecil.
Hancus! Hilang terus muka handsome, macho, gaya gagah perkasa,” getus Dhia berselang dengan tawanya.
Ketika itu Ameal tahu, siapakah gerangan yang telah men‘dajal’kan dia. Sah-sah orang yang sedang ketawa itu melakukan perkara durjana ini. Mata Encik Ibrahim, Puan Intan, Mukhriz dan Mirzad tertumpu kepada Dhia Melati. Entah apa yang kelakar sangat, sampai Dhia boleh ketawa berdekah-dekah.
“Tak kesian ke tengok Ameal? Muka pucat macam baru lepas tengok hantu, Dhia boleh ketawakan dia pulak,” tegur Encik Ibrahim. Cepat Dhia menekup mulutnya. Kerana rasa ingin tahu, Mirzad beranikan diri menghampiri beg Ameal di penjuru bilik. Zip beg diselak sedikit dan dia menjenguk ke dalamnya. Kemudian, perlahan-lahan Mirzad seluk tangannya ke dalam beg itu. Benda ini ke yang abang Meal takutkan sangat? desis Mirzad.
“Ayah, lipas!” Mirzad menyuakan dua ekor lipas di tapak tangan kepada Encik Ibrahim. Encik Ibrahim menggeleng.
“Pasal lipas ni, kamu takut sampai melompat atas katil, Meal?” soal Encik Ibrahim. Dan Dhia bertambah giat ketawa selepas itu. Apa tidaknya, melihat keadaan Ameal, buatkan dia teringat peristiwa di pejabat Ameal dahulu. Cuma yang berbeza situasi dan tempatnya.
“Lipas ni dah mati pun. Nak takut apa? Sudah! Meal turun dari katil ni.” Encik Ibrahim menghulurkan tangannya kepada Ameal. “Ijad, pergi buang lipas tu. Macam mana lipas tu boleh masuk dalam beg abang pulak?”
Dengan rasa malu dan segan yang bertimpa-timpa, Ameal sambut huluran tangan Encik Ibrahim. Perlahan-lahan dia melangkah turun. Nasiblah tak roboh katil Mukhriz dan Mirzad ni. Kalau tidak, tambah lagi satu aibnya.
“Yang kamu ni gelak sampai satu kampung boleh dengar, kenapa Dhia?” tegur Puan Intan. Tidak senang dengan tingkah laku anak gadisnya itu. Ketika dia berpaling semula melihat kepada Ameal, bebola mata Ameal terjengul merenung Dhia. Ada riak ketidakpuasan hati di situ. Apa kena Dhia dengan Ameal ni? Pelik!

Tuesday, July 7, 2015

Andainya Cinta itu Ada - Teaser 48




“Kenapa Zul? Lain macam saja mak tengok muka kamu ni?” soal Puan Zainon mengambil tempat di sebelah anaknya.
Zul Hafiz senyap tidak membalas. Rasa menyesal singgah ke rumah Encik Ibrahim ketika dalam perjalanan pulang dari pekan Kuala Pilah tadi. Kalau dia tak pergi ke rumah Encik Ibrahim, tentu hatinya tidak sesakit ini. Pada awalnya, dia tidak mahu ke sana. Disebabkan enggan kalah kepada lelaki tu, dikuatkan juga semangatnya. Akhirnya, dia yang terasa berbisa di hati. Cerita-cerita Puan Intan tentang lelaki itu, benar-benar menyucuk perasaannya. Bukan saja bercerita, siap dipuji-puji lagi! Lelaki itu baiklah, tidak sombonglah, berbudi bahasalah. Nampak gayanya, dia sudah ada pesaing terhebat. Sebelum anak angkat bidan terjun Abang Brahim dan Kak Intan tu rampas Dhia dari aku, lebih baik aku buat sesuatu, besit Zul Hafiz.
“Mak boleh tolong Zul tak?”
Puan Zainon jongket kening dan berkerut dahi.
“Mak nak kena tolong apa?”
“Tolong pinangkan Dhia untuk Zul,” luah Zul Hafiz senada.
Makin lurus kening Puan Zainon. Pelik! Hujan tak ada, ribut tak ada, petir guruh pun tak ada, kenapa tiba-tiba sebut pasal nak meminang? Sudahlah permintaannya secara mengejut. Bunyi ketika membuat permintaan itu lebih buatkan Puan Zainon terkejut. Orang lain, kalau minta pergi meminang, ceria. Ini tak, riak dan suara anak terunanya ini langsung tiada warna gembira. Seperti dalam terpaksa pula.
“Kenapa mengejut saja suruh mak pergi pinang Dhia? Sebelum ni, tak pernah pun Zul bincang dengan ayah dan mak pasal ni?”
Zul Hafiz diam.
“Cuba cakap dekat mak, kenapa tiba-tiba?” desak Puan Zainon. Bukan dia menghalang niat Zul Hafiz itu. Tidak juga dia kurang berkenan kepada Dhia Melati untuk dijadikan menantu. Paling tidak, dia mahu tahu sebab musababnya. Selama ini, tak pernah pula dia dengar cerita atau khabar angin Zul Hafiz ada hubungan dengan Dhia. Malahan Ibrahim dan Intan sendiri tak pernah berkata apa-apa kepada dia dan suaminya.
“Mak jangan tanya Zul kenapa. Zul rasa, dah sampai masanya Zul fikirkan masa depan Zul. Zul dah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Dan perempuan yang Zul pilih untuk jadi suri Zul adalah Dhia.” Laju Zul Hafiz bertutur. Senada. Tiada teruja.
“Memang betul Zul dah bersedia. Macam mana dengan Dhia? Zul dah bincang dengan Dhia? Dhia setuju ke?”
Zul Hafiz membatu. Tahulah Puan Zainon jawapan kepada soalannya itu.
“Zul..., keputusan untuk mendirikan rumah tangga ni, kena datang dari kedua belah pihak. Dua-dua kena setuju. Kena bersedia. Kalau sorang okey, sorang lagi tak, tak menjadi nanti... Tanggungjawab berumah tangga ni, berat Zul...” Sambil memberi nasihat, Puan Intan mengusap lengan anaknya.
“Mak nak Zul bincang dulu dengan Dhia. Lepas tu, Zul bagitau mak macam mana. Kemudian nanti baru mak dan ayah berbincang pulak dengan Abang Brahim dan Kak Intan,” mohon Puan Zainon. “Meminang ni perkara besar. Kena muafakat betul-betul. Kalau tiba-tiba disembahkan sebentuk cincin dan setepak sirih pinang, mahunya pengsan Abang Brahim dan Kak Intan tu nanti.”
Setelah agak lama, barulah Zul Hafiz mengangguk setuju. Itu pun disulam bersama satu keluhan berat. Nak berbincang dengan Dhia? Dah tentu Dhia tak setuju. Habis tu, nak buat apa? Kena guna kuasa veto Abang Brahim dan Kak Intanlah jawabnya. Kalau mak dan ayah Dhia setuju, gadis tu tak boleh nak kata apa lagi. Untuk dapatkan kuasa veto kedua orang tua Dhia juga satu masalah. Bukan ke di mata mereka kini sudah ada lelaki itu? Hati Zul Hafiz mendesah.Tiba-tiba dia rasa peluangnya jatuh merudum.
“Nanti Zul bincanglah dengan Dhia, mak. Zul naik dulu ya. Nak mandi,” tutur Zul Hafiz lalu bangkit dari situ. Ketika Zul Hafiz menaiki tangga, dia bertembung dengan bapanya.
“Baru balik, Zul?”
Dengan wajah berwarna suram, Zul Hafiz menggoyangkan kepala membalas pertanyaan bapanya. Terdetik hati Imam Zakaria melihat tingkah laku Zul Hafiz itu. Sedari di masjid tadi riak muka anak lelakinya seperti ada sesuatu. Entah apa yang tak kena agaknya, detak Imam Zakaria. Lantas dihampiri sang isteri yang masih duduk di kaki tangga.
“Non, kenapa dengan Zul tu?” selidik Imam Zakaria sambil melabuhkan punggung di sisi isterinya.
“Entahlah, bang. Apa entah angin si Zul tu, tiba-tiba saja mintak benda yang pelik-pelik,” balas Puan Zainon. Sengaja dia memberi jawapan begitu. Tidak mahu memanjangkan permintaan Zul Hafiz yang belum tentu jadinya itu.
“Adalah yang tak kena tu. Biarkanlah dia. Ada benda abang nak cerita ni!”
“Cerita apa, bang?” Puan Zainon beralih duduk menghadap suaminya.
“Dekat masjid tadi, abang jumpa Brahim. Dia bawak anak angkat dia. Brahim kenalkan pada abang.”
“Anak angkat? Tak pernah pulak saya tahu Brahim dan Intan ada anak angkat.” Keruh sedikit air muka Puan Zainon. “Non dengan Intan tu rapat. Tak ada pulak dia cerita apa-apa dekat Non. Siapa budaknya, bang? Lelaki ke perempuan.”
“Lelaki... Bos tempat kerja Dhia, katanya. Dia hantar Dhia tengah hari tadi, menjenguk si Intan yang tak kebah-kebah demam tu. Baik budaknya, Non. Tak sombong langsung. Ramah betul dia menegur semua orang kampung yang solat dekat masjid tadi. Susah nak jumpa anak muda macam tu sekarang ni,” cerita Imam Zakaria bersungguh.
Huh! Patutlah anak bujang aku tu tiba-tiba mintak pinangkan si Dhia. Rupa-rupanya takut Dhia dikebas orang, detak Puan Zainon.

Monday, July 6, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 47





“Mana kopi Onya?”
“Ingat apa, kedai minum ke? Saya dah bawak pisang goreng ni pun, dah kira cukup bagus tahu tak? Berkelah apa ke bendanya petang-petang macam ni?” Dhia membalas.
“Kalau saya tercekik macam mana?” terjah Ameal pula. Tidak puas hati Dhia tidak memenuhi permintaannya.
“Tu!” Jari menunding ke arah sungai yang arusnya sedikit deras. “Air sungai tu ada. Minumlah banyak mana Encik Ameal nak minum pun?”
“Awak gila ke apa, nak saya minum air sungai yang dah macam teh susu ni?”
“Okey jugak apa? Minum teh susu free. Minum-minum tak habis-habis.”
Ameal geram. Ada saja jawabnya. Perempuan ini memang perlu diajar. “Saya nak awak balik. Buatkan kopi O saya tu. Makan pisang goreng tak ada kopi O mana sedap!”
“Sedap ke..., tak sedap ke... saya peduli apa. Saya kata tak nak, tak naklah! Kalau nak sangat, balik nanti encik buat sendiri.”
Ameal mengetap gigi. “Awak nak buat ke tak?!”
“Encik Ameal tak faham apa saya cakap ke? Saya... tak... nak... Saya malaslah nak ulang alik dua tiga kali.” Ini semua Zul Hafiz punya pasal sampai dia terlupa nak buat air mamat ni.
“Baik awak pergi balik dan buatkan air untuk saya. Atau saya akan buat awak jatuh...”
“Atau Encik Ameal akan buat saya jatuh apa?” cantas Dhia pantas. Harap-harap Ameal sambung ayat tu  dengan perkataan ini, “jatuh cinta pada saya.” Jatuh cinta? Auwww... aku rela, teramat lah rela. Choiii... Dhia! Kau ni dah kenapa? Hati dah terbalik ke? Cepat Dhia tersedar. Sebelum Ameal merapu, lebih baik aku blah dulu, putus Dhia.
“Atau saya akan buat awak jatuh dalam sungai,” kata Ameal lantas merentap tangan Dhia yang mahu melangkah pergi meninggalkannya. Tangan itu ditarik kuat lalu dibawa terjun bersamanya ke dalam sungai.
Keburrr... Terkuak air sungai hingga ke tebing.
“Makkkk!!!” Selepas itu apa yang terdengar di telinga Dhia adalah gelak ketawa Mukhriz dan Mirzad. Suara Ameal juga tidak ketinggalan. Habis lencun baju dan tudungnya. Dhia merengus geram. Dia menepuk air sungai dan menempik kuat melepaskan marahnya. Namun, air itu terpercik ke muka sendiri. Dikesat air sungai yang meleleh di muka. Kala mata celik semula, pandangan Dhia tertancap kepada satu objek yang terapung-apung di permukaan air sungai. Beralun-alun. Bergerak perlahan meninggalkannya. Diamati objek itu betul-betul. Macam kenal saja... Macam tahu saja... Macam serupa saja...
“Makkkk!!! Kain batik aku!!! Ijad..., tolong ambik kain batik akak tu! Aaaa..., Encik Ameal ni!” Pantas tubuhnya ditenggelamkan separas bahu. Mujur air sungai arasnya hingga ke dada. Kalau tidak..., beruk seberang sungai ini tentu riuh rendah berbunyi. Apatah lagi beruk dewasa kepala hitam yang ada dalam sungai ni. Lagilah pula agaknya.
Ameal, Mirzad dan Mukhriz tidak habis-habis ketawa selepas itu. Bersusah payah Dhia menyarung semula kain batik yang dihulurkan oleh Mirzad. Sebahagian besar tubuhnya masih berada di bawah paras air sungai. Sambil menyarung kain batik, berbakul-bakul sumpah Dhia kepada Ameal. Geram, marah, bengang di hatinya bukan kepalang. Kalaulah dia ada senapang patah, pasti saat ini juga akan digodam mamat tu dengan peluru. Selepas memastikan kain batiknya diikat ketat, Dhia keluar dari sungai dan memanjat tebing. Dia ingin segera beredar dari situ.
“Melati takkan dah nak balik? Marilah kita mandi sama-sama. Alang-alang menyeluk pekasam, terlajur dah basah tu baiklah berendam,” usik Ameal.
Dhia berpaling. Dengan muka merah menyala, dia menunjukkan buku limanya kepada Ameal. Selepas menjeling tajam, terus dia pergi dengan perasaan berbuku di hati.
“Alamak... takutnya...” Dan suara tawa Ameal terus bergema lagi.
Tak apa... Ada ubi ada batas. Ada lori ada bas. Ada JAWI ada SYABAS. Siap kau... ada can aku mesti... balas, rengus Dhia sambil berlalu tanpa mempedulikan ketawa Ameal yang berdekah-dekah itu.

Sunday, July 5, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 46




“Melati, ini ubat untuk mak.” Ameal hulur sebungkus plastik kepada Dhia.
“Ada masakkan bubur untuk mak tak?” tanya Ameal selepas Dhia menyambut bungkusan ubat-ubatan itu.
Ayat yang keluar dari mulut Ameal kedengaran janggal di telinga Dhia. Berkerut dahinya cuma memahami.
“Ada masak bubur untuk mak tak...?” soal Ameal sekali lagi.
“Ada dekat dapur. Kenapa?”
“Tak apa. Saya pergi ambikkan untuk mak. Awak bawak mak baring dulu.” suruh Ameal lagi.
Mak? Sejak bila pulak mak aku jadi mak dia ni? Suka-suka hati dia saja panggil mak aku, mak! Dan ketika itu, Dhia teringat kembali kata-kata yang diluahkan oleh Ameal semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kampung tadi.
“Bos Dhia tu baik kan? Katanya, syarikat tempat Dhia kerja tu, papa dia yang punya. Tentu dia anak orang kayakan, Dhia? Walaupun dia orang berada, dia tak sombong. Hormat orang tua. Baik budi bahasa. Tak lokek. Duit ubat dan upah Doktor Nasir tu pun dia yang bayarkan,” ulas Puan Intan ketika Dhia membetulkan selimut di tubuhnya.
Dhia diam tidak membalas. Yalah! Baik sangatlah tu? Mak tak kenal lagi siapa sebenarnya si singa yang suka nak mengaum tak tentu pasal tu, gumam Dhia dalam diam. Selama ini, dia cuma dengar ibunya memuji Zul Hafiz saja. Inilah kali pertama dia dengar tepuk kuduk ibunya buat orang lain. Jangan mak berkenan dekat si poyo tu sama macam mak sukakan Abang Zul, sudah! Dua-dua pun aku tak hingin! Gerutu hati Dhia lagi.
“Masa dia hantar mak pergi klinik tadi, dia ada cerita dekat mak pasal mama dia. Kesian dia, Dhia. Kecik-kecik lagi mama dia dah meninggal dunia. Dia cerita, masa tu umur dia baru nak masuk empat tahun. Lepas mama dia meninggal, orang gaji yang jaga dia dan adik dia. Sedih betul hati mak ni, bila dengar kisah dia tu. Tadi, dia mintak izin nak panggil mak ni mak, dan ayah tu ayah. Dia nak anggap keluarga kita ni, seperti keluarga dia jugak. Nak menumpang kasih sayang, katanya. Jadi mak dan ayah pun setujulah,” cerita Puan Intan lagi.
Dhia terus terduduk di birai katil selepas itu. Apa kena dengan mamat tu? Bukan ke dia dah ada keluarga sendiri? Dia ada Encik Aidil, ada Anya, Mak Mah, Zaira. Tak cukup ke, sampai nak ambik keluarga aku jadi keluarga dia pulak? Nak tumpang kasih sayang konon... Huh! Mak ni pun satu, belum apa-apa terus setuju. Patutlah selamba badak saja dia panggil mak tadi! Rungut hati Dhia tidak senang.
“Nanti, selalu-selalulah Dhia bawak dia balik sini, ya? Dia pun ada bagitau dekat ayah tadi, dia nak berlajar agama dengan ayah. Tak sangka betul mak, sanggup dia merendah diri mengaku pada mak dan ayah, selama ni dia tak cukup didikan agama. Dia mintak tolong ayah ajar apa yang dia tak tahu. Setakat sembahyang lima waktu dan mengaji sikit-sikit tu lepaslah, kata dia lagi.”
Huh! Tak habis lagi mak memuji si mamat poyo tu!
“Mak, mari makan bubur yang Melati masak ni. Meal suapkan ya? Nanti boleh makan ubat. Lepas makan ubat nanti, mak tidur. Biar cepat sikit elok demam tu,” tutur Ameal sebaik sahaja dia muncul semula di bilik itu. Dia melangkah menghampiri Puan Intan. Tidak nampak kekok langsung tangannya menatang dulang berisi semangkuk bubur dan segelas air suam itu.
Dulang diletakkan di meja sisi di tepi katil. Ameal kemudiannya membantu Puan Intan bangkit. Menyandarkan Puan Intan ke kepala katil. Bantal di belakang Puan Intan dibetulkan supaya wanita itu rasa selesa. Puan Intan senyap dan menurut saja. Selepas itu, Ameal ambil pula mangkuk bubur dan duduk di birai katil. Dikuis sedikit Dhia dengan punggungnya untuk mengambil tempat yang diduduki oleh Dhia. Segera Dhia bangkit dengan perasaan yang meruap di dada. Kau tolak saja aku... Oi! Kau sedar tak yang terbaring tu, mak aku? Mak kandung akulah! Bukan mak kau, bentak hati Dhia.
“Mari Meal suapkan mak.”
“Tak apalah Meal. Mak boleh makan sendiri. Meal pergilah makan dengan ayah. Sekejap lagi boleh ikut ayah pergi masjid.” Puan Intan menolak perlahan tangan Ameal yang sudah siap menyudukan bubur untuknya.
“Mak... Biar Meal suapkan mak ya? Dekat rumah sana, bila Mak Mah tak sihat, Meal yang jaga. Meal suapkan ya? Cepat mak makan, cepat jugak Meal pergi makan dengan ayah,” pujuk Ameal. Sudu di hampirkan ke mulut Puan Intan.
Sejuk hati Puan Intan mendengarnya. Perlahan-lahan dia membuka mulut dan Ameal mula menyuapkan bubur itu sesudu demi sesudu. Dhia melihat adengan itu bersama rasa sebal di dada. Sebelum bernanah biji mata melihat Ameal melayan ibunya begitu rupa, baik dia pergi dulu. Dengan perasaan cemburu yang mendongkol di hati, segera Dhia meninggalkan bilik Puan Intan itu.