Total Pageviews

Wednesday, March 11, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 4





Bab 4
“Yaya buat apa?” Along datang menghampiri Yaya di bawah bangsal beratap zink di tepi rumah Nek Ngah. “Along nak tolong boleh ke?”
“Tak apalah along. Yaya boleh buat sendiri.”
Meh lah along tolong... Boring lah dari tadi duduk saja tak buat apa-apa.” Along rampas centong besar diperbuat daripada kayu dari tangan Yaya. Kerja mengacau rendang di dalam kawah sederhana besar itu diambil alih. “Macam mana Yaya boleh tahan panas api ni? Along baru sekejap mengacau rendang ni pun, dah rasa berbahang dah ni.” Along sengih memandang Yaya.
“Yaya dah biasa buat kerja ni, along. Along tu lainlah orang bandar,” usik Yaya seraya membalas senyuman Along.
“Yalah kan. Yaya dah biasa. Kenapa Nek Ngah lagi suka guna kayu bila masak hah?! Atas rumah tu pun, Nek Ngah gunakan dapur kayu juga,” soal Along. Tangannya hanya memegang hujung centong untuk mengacau rendang. Sejauh mungkin dijarakkan tubuhnya dari tungku dapur.
“Biasalah along, orang tua tak suka masak guna dapur gas. Bukannya tak ada dapur gas dekat rumah ni. Ada dua lagi. Satu Mak Ina beli, lagi satu Mak Long belikan tapi Nek Ngah tak nak. Tak sedap katanya,” balas Yaya mesra. Entah kenapa dia rasa serasi pula bersama Along. Terus terlupa perasaan malu petang tadi kerana sikap ramah Along ini.
“Tak sedap? Tak fahamlah along apa yang tak sedapnya? Rasanya sama saja pakai dapur gas ke, pakai dapur kayu ke.”
Ish! Tak adalah along... Rasa dia ada beza...”
“Iya ke? Rasa asap adalah!”
“Nek Ngah kata, rasa asap tulah yang buat lauk lagi sedap.” Spontan Along ketawa mendengar alasan Yaya ini.
“Agaknya lah kan? Sebab tu sate rasanya sedap, ada rasa asap.” Along ketawa lagi. Yaya senyum pelik. Apa kena mengena sate dengan rasa asap hah?
“Kita belum kenal lagikan?” suara Along selepas ketawanya reda.
“Eh! Bukan petang tadi kita dah kenal ke?” Yaya jatuhkan pandangannya ke wajah Along. Pantas dia membandingkan raut wajah Along dan Ayin. Memang Ayin lebih kacak dari Along. Muka Ayin tu, muka boleh cari makan tapi Along ni wajahnya manis. Sedap mata memandang. Ayin tu harapkan muka saja handsome, tapi kedekut dengan senyum buat apa!
“Along baru tahu nama Yaya saja. Memandangkan Yaya anak angkat Mak Su Ina, maka secara rasminya Yaya dah jadi sepupu along juga. Jadi..., wajib along kenal Yaya ni dengan lebih rapat lagi,” kata Along sambil dahi berkerut menahan panas api yang mula marak. Cepat Yaya suraikan kayu sedikit supaya api tidak semakin besar. Nanti santan sudah kering, dagingnya tak empuk lagi. Centong kayu di tangan Along, diambil semula. Along kemudiannya duduk di bangku kayu berhampiran.
“Ceritalah pada along tentang Yaya. Mama ada cerita pasal keluarga Yaya. Macam mana Yaya boleh jadi anak angkat Mak Su Ina. Yang lain along tak tahu.” Air muka Yaya berubah tiba-tiba. Saat-saat hari raya semakin hampir, apabila disentuh soal umi dan abahnya, buatkan sedih yang tertunggak datang menerpa.
“Maafkan along, Yaya. Kalau kata-kata along tadi buat Yaya sedih.” Along bangun meninggalkan bangku lalu menghampiri Yaya semula. Yaya senyum pahit. Cuba mengaburi kesedihan di wajahnya dari pandangan Along.
“Tak banyak cerita pasal Yaya yang boleh Yaya bagitau kepada along. Semuanya Mak Long dah ceritakan,” balas Yaya enggan membuka relung duka di hatinya.
“Pasal umi dan abah Yaya tu, Yaya sabarlah. Sudah ketentuan Allah SWT begitu. Along tahu dah dekat nak raya ni, tentu Yaya rasa sedih bila teringatkan umi dan abah Yaya tapi Yaya tak perlu sedih sebab kami ada. Kami pun sebahagian dari keluarga Yaya jugakan?” Yaya angguk perlahan. Segera diusir rasa pilunya sebentar tadi.
“Dah! Esok nak raya. Tak baik bersedih-sedih malam ni. Kita cerita pasal lain nak?”
“Cerita pasal apa?” soal Yaya semula selepas pilunya kembali dikunci di dalam hati.
“Yaya sekolah tingkatan berapa?”
“Dua. Along?”
“Tingkatan lima.”
“Ayin?”
“Eh! Minat juga ke nak tahu pasal Ayin?” Along senyum sumbing. Ini senyum nak mengusik ke, senyum perli?
“Saja nak tahu,” balas Yaya sambil buat-buat sibuk mengacau kuah rendang yang semakin kering.
“Saja nak tahu ke, dah berkenan? Maklum sajalah... Ayin tukan lagi handsome dari along ni...” Along mengusik lagi. Yaya jeling Along sekejap sambil buat muka. Berkenan dengan Ayin? Oh! Pleaselah... Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek macam tu? Not my tastelah! Tengoklah sekarang ni. Entah di mana dia agaknya? Orang tengah sibuk dekat bawah ni tolong Nek Ngah memasak juadah untuk santapan di pagi raya, bukan reti dia nak turun menolong sekali. Berlagak yang ampun. Harapkan muka saja lawa, tapi perangai hampeh!
Apasal Yaya buat muka macam tu?”
“Buat muka apa?”
“Ya! Buat muka macam ni.” Along ulang tayang mimik muka yang diekpresikan oleh Yaya sebentar tadi.
“Eh! Mana ada Yaya buat muka macam tu?”
“Jangan nak tipulah, Yaya. Along nampak...”
Yaya tak tahu nak balas apa.
“Ayin tu nampak saja macam tu Yaya. Tapi dalam bab cintan-cintun ni dia champion tapi, itu dululah. Sekarang ni dia dah single. Along takut dalam Yaya tak suka Ayin tu, nanti bila terjatuh hati pada Ayin, buruk padahnya.” Along mengeluarkan amaran sambil menyeringai menayang gigi. Budak macam Ayin tu terror dalam hal cintan-cintun? Rasa tak percaya saja. Siapalah perempuan malang tu agaknya ya? Tadi Along kata, itu dulu. Sekarang Ayin dah single. Tentu awek Ayin tinggalkan dia pasal tak tahan dengan perangai kekwat Ayin tu. Yaya buat muka lagi. Along sengih lagi.
******
Hari Raya menjelma. Pagi itu semua orang sibuk. Nek Ngah, Mak Ina dan Yaya sibuk di dapur menyiapkan juadah untuk dihidang di atas meja. Pak Long, Along, Syidan dan Ayip sibuk bersiap hendak ke masjid. Ayin? Sibuk nak balik KL. Pagi-pagi lagi dah buat bising. Kompelin tak dapat tidur malam tadi. Panas dan banyak nyamuk katanya. Pak Long dan Mak Long pekak kan telinga saja bila Ayin tak habis-habis merungut. Barangkali mereka sudah lali dengan perangai Ayin tu. Yaya pula yang rasa rimas. Ayin membebel, lebih teruk dari Nek Ngah. Ini dia muda belia lagi. Bila dah tua macam Nek Ngah, entah macam mana nanti. Sebab itulah Ayin kena tinggal dengan awek dia dulu agaknya, tukas benak Yaya.
Ketika Ayin melintasi dapur untuk ke bilik air di luar rumah, sempat Yaya menjeling kepadanya. Yaya lihat muka Ayin sama seperti semalam. Malahan bertambah teruk. Muka Ayin tu bukan macam asam kecut lagi dah! Kali ni dah serupa tapai. Tapai basi yang dah benyek! Dari tingkap dapur rumah Nek Ngah, Yaya lihat Ayin mencangkung di tepi pintu di luar bilik air. Kenapa budak tu? Takkan nak memburan dekat situ? Kot nak memburan pun, masuklah dalam jamban. Bukan jauh sangat pun. Sebelah bilik air tu saja. Tak senonoh betul perangai!
“Yaya! Yaya tengok apa?” sapa Mak Long.
“Yaya tengok Ayin tu, mak long.” Muncung Yaya panjang ke luar rumah.
“Kenapa?” Mak Long menghampiri Yaya.
“Ayin..., entah buat apa mencangkung dekat luar bilik air tu.” Sekali lagi Yaya juihkan mulutnya ke tempat yang sama. Mak Long merapati tingkap dan turut menjengah ke luar rumah.
“Ya Allah! Ayin...!” Mak Long memekik. Cepat Yaya berselindung di balik dinding apabila Ayin memandang ke arah tingkap tempat dia berdiri. Takut Ayin perasan yang dia sedang mengintip Ayin di situ.
“Apa ma...?!” Suara Ayin seperti tidak puas hati.
“Cepatlah! Buat apa duk mencangkung termenung dekat situ? Nak pergi sembahyang rayalah! Kalau lambat nanti papa tinggalkan pula,” jerit Mak Long dari tingkap dapur.
“Sejuklah mama nak mandi!” sahut Ayin.
“Mak ngah dah buatkan untuk dia air panas tadi, Yah!” sampuk Nek Ngah di meja makan. “Suruh dia mandi air yang dalam tong hitam tu. Mak Ngah dah siap campur dengan air panas dah,” sambung Nek Ngah lagi.
“Biar sajalah dia mandi air kolah tu mak ngah,” pangkas Mak Long.
“Kesian dia. Sejuk nanti!”
“Mak ngah rajin sangat melayan perangai dia. Sebab tulah Ayin tu melampau-lampau mengada-adanya.” Mak Long berpaling melihat Nek Ngah. Tak banyak sikit, Nek Ngah juga memainkan peranan menyebabkan Ayin jadi macam tu. Dimanjakan sangat budak Ayin tu!
“Kamu ni Yah... Jangan zalim sangat dengan anak sendiri. Kamu juga yang ajar dia mandi dengan air panas dekat bandar sana tu.”
“Dekat bandar tu lain, mak ngah... Rumah kami tu ada water heater. Senang... Petik suis di dinding, dah keluar air panas. Dekat kampung ni, kesian Yah tengok mak ngah kena siapkan air panas untuk Ayin tu,” balas Mak Long pula. Nek Ngah hanya gelengkan kepala. Nak buat macam mana? Tak dilayan ragam si Ayin tu, dia rasa bersalah. Dilayan, dia pula yang salah. Mak Long jengahkan semula mukanya di tepi tingkap.
“Nek Ngah suruh Ayin mandi air yang dalam tong hitam tu!” Mak Long menjerit seperti tadi menyampaikan pesanan Nek Ngah. Yaya panjangkan leher mengintai dari belakang Mak Long. Dia lihat Ayin bangun lalu masuk ke dalam bilik air sambil mulut kelihatan seperti merungut. Sesaat selepas itu...
Pang!
Kedengaran pintu bilik air ditutup dengan kuat. Hampir hendak tercabut pintu bilik air Nek Ngah yang dah uzur tu. Sudahlah tunggu waktu hendak tertanggal saja. Nampaknya, pendek umurlah pintu tu! Mak Long geleng kepala. Nek Ngah pula kedengaran mengeluh kecil. Tak faham betul Yaya. Apa yang Ayin marahkan sangat tu? Marah sebab Nek Ngah dah siapkan air panas untuk dia mandi atau marah sebab dia disuruh mandi air panas? Pening kepala! Ke dia tak nak mandi? Takut air macam kambing? Gerutu benak Yaya. Lantas secebis senyuman tersungging di bibir Yaya. Kambing!
******
Pulang dari masjid selepas solat Hari Raya Aidilfitri, Along sibuk mengajak Yaya, Syidan dan Ayip pergi berjalan-jalan. Katanya hendak beraya ke rumah penduduk-penduduk di sekeliling kampung.
“Jomlah Yaya...”
“Malaslah, along. Nanti tak ada orang tolong Nek Ngah kalau ada tetamu datang beraya.” Lembut Yaya menolak. Bukannya dia tak mahu temankan Along. Mood nak beraya tidak berapa ada sangat. Masih terasa kekurangan beraya tanpa abah dan uminya.
“Syidan dan Ayip pun ikut sekali. Baru seronok jalan raya ramai-ramai. Jomlah Yaya...” pujuk Along lagi.
“Pergilah Yaya. Temankan Along tu.” Mak Ina menyampuk.
“Kesian Along tu, dah beria-ia sangat dah tu!” tambah Mak Ina pula. Baru Yaya hendak membuka mulut untuk menjawab, Mak Ina menyambung kata-katanya. “Pasal rumah ni jangan risau. Mak Ina dan Mak Long kan ada?”
“Yaya ikut, ya? Along nak kutip duit raya banyak-banyak ni.” Heh! Lawak betul Along ni. Mengalahkan budak-budak tadika excitednya. Belum sempat Yaya mengangguk setuju, Shidan dan Ayip sudahpun menunggu di mata tangga. Sama juga seperti Along rupanya. Tak sabar-sabar nak kutip duit raya. Shidan dan Ayip memang padanlah begitu perangainya. Budak-budak Ribena lagi. Yang si Along ni, dah besar gajah macam ni perangai sama seperti Shidan dan Ayip, apa hal?
“Okeylah! Yaya ikut. Budak tu?” Yaya juihkan muncung kepada Ayin yang sedang terbaring di hadapan televisyen. Berlengeng tanpa baju. Ke mana tah terbang baju Melayu dia tadi. Kipas berkaki pendek pula dihadapkan terus ke mukanya. Panas sangatlah tu! Ayin sibuk main games PSP sambil makan kuih bangkit tepung. Muka masam mencuka tak payah nak diceritalah. Orang celebrate hari raya ni, sukanya bagai nak rak. Yang si Ayin ni pula,  buat muka macam ayam tercekik buah mengkudu kenapa?! Kelat bukan semacam tapi bermacam-macam!
“Kita nak ajak Ayin juga ke?” soal Along. Yaya angkat bahu menjawab. Along berpaling kepada Ayin. “Yin! Kita orang nak pergi jalan raya. Ayin nak ikut tak? Nak ikut jomlah join.”
Ayin buat muka selamba tidak memberi sebarang reaksi. Yaya terus tarik tangan Along ke pintu. Malas hendak menunggu jawapan Ayin yang tentunya tak akan kunjung tiba. Tengok muka pun dah tahu dah. Apa yang tertulis di sebalik riak air mukanya senang sangat dibaca. Menyampah! Tak nak ikut sudah! guman hati Yaya. Betul kata Nek Ngah, Ayin ni memang tak suka balik kampung. Sejak balik dari solat raya tadi, entah berapa puluh kali Ayin bising mengajak Pak Long dan Mak Long balik ke KL semula. Loghat betul!
Kerana tidak tahan dengan ragam Ayin, dua hari kemudian, Pak Long dan Mak Long pulang ke KL semula. Pak Long kata, dia bukannya tidak mahu tinggal di rumah Nek Ngah ni lama-lama. Cuma telinga Pak Long dah tak tahan mendengar Ayin membentak. Dua minit sekali memekak di telinganya mengajak balik ke KL. Mahu tak rimas Pak Long dibuatnya.
Fikir balik, bagus juga Ayin balik ke KL semula. Kasihan Nek Ngah tu. Dah seperti orang gaji Ayin pula. Serba-serbi kehendak Ayin, Nek Ngah turuti. Semuanya semata-mata mahu menjaga hati Ayin. Kalaulah lagi lama Ayin dekat rumah ni, confirm cepat Nek Ngah dapat penyakit semput. Apa tidaknya, tak sempat Nek Ngah nak melabuhkan punggung sudah dipanggil oleh Ayin. Hendak itulah, nak inilah. Memerintah saja tahunya!
Petang itu selepas Pak Long, Mak Long, Along dan Ayin balik, Yaya tiba-tiba rasa semacam. Dia jadi sunyi. Sepi. Seperti ada kekurangan. Kerap muka budak asam kedondong, asam kecut, tapai benyek tu singgah di dalam benaknya. Tak tahulah kenapa. Ada yang tidak kena nampaknya. Dalam hati mula disapa satu perasaan anih.
Kenapa ni? Takkan aku dah suka dengan budak tu kot? Mustahil... Impossible... Mana boleh aku ada rasa macam tu dekat dia? Budak tu, harapkan muka saja okey, tapi perangai arekkk... Sebenarnya bila tengok dua tiga kali muka Ayin tu, boleh tahan juga. Kalau dia senyum mesti lagi handsome, desis Yaya.
Ah sudah! Lagu mana ni? Takkan dia dah angaukan si Ayin pula? Ayin tu bukannya taste dia. Kalau dah hampir sedozen gelaran terindah buat Ayin tu, mustahil dia sukakan Ayin. Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut, tapai benyek, teramat kerek dan perangai arek macam tu, dia boleh terjatuh hati? Tak boleh jadi ni.
Apa yang dapat Yaya rasakan, dia seperti tidak sabar-sabar pula menunggu Ayin pulang semula ke kampung ini lagi. Hmm..., entahlah... Nampaknya dia kenalah tunggu hingga raya tahun depan.
Raya tahun depan?! Ush! Lama lagi tu!

Tuesday, March 10, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 3




Bab 3
Petang itu, Pak Long dan Mak Long sekeluarga tiba sebelum waktu berbuka puasa. Riang betul Nek Ngah menyambut ketibaan mereka. Yaya cuma memerhati dari jauh sahaja. Dia berselindung di balik pintu dapur yang terkuak, mencuri pandang ke tengah laman. Ini bukannya kali pertama Yaya berjumpa Pak Long dan Mak Long. Entah kenapa, dia terasa segan pula. Mungkin kerana belum berapa mesra. Dengan anak lelaki mereka yang dua orang tu, apatah lagi. Yaya tak kenal langsung. Memang patutlah dia rasa malu. Sembunyi-sembunyi Yaya jenguk kepala ke halaman. Mengalahkan angsa lehernya panjang menjengah. Teruja sangat mahu tahu, macam mana agaknya rupa anak-anak Pak Long dan Mak Long tu.
“Di depan sekali tu, mesti Along. Yang di belakang confirm si Ayin. Muka masam. Tak macam budak yang di depan tu! Happy saja. Nek Ngahkan kata, yang si Ayin tak suka balik kampung. Kalau begitulah rupa dia, memang betullah dia tak suka,” teka Yaya. Tentu tekaannya tepat, kerana dari jauh ini pun sudah boleh melihat mulut budak muka masam seperti buah kedondong tu asyik mengomel saja. Terkumat-kamit. Tak berhenti-henti merungut. Kena paksa balik kampung kot, itu yang tak puas hati sangat tu. Yaya memerhati sehingga kelibat Nek Ngah, Pak Long dan Mak Long serta anak-anaknya naik ke atas rumah.
“Yaya! Mari ke depan sekejap. Salam Pak Long dan Mak Long ni !” Tiba-tiba Yaya terdengar suara Nek Ngah memanggil dari ruang tamu. Rasa malu dan segan yang bertandang, buatkan hatinya berat untuk menayang muka di depan.
“Yaya... !” Terdengar suara Nek Ngah memanggil sekali lagi. Yaya senyap tidak menjawab. Masih berkira-kira sama ada mahu ke ruang tamu atau bersembunyi saja di dapur.
“Yaya!” Suara Nek Ngah lebih kuat dari tadi. Mahu tidak mahu, Yaya terpaksa juga ke sana. Nanti dikata orang tidak beradap pula. Perlahan-lahan Yaya melangkah. Lantai rumah dipijak dengan penuh berhati-hati hingga tidak mengeluarkan bunyi. Sopan kakinya menyusun derap. Lagak kalah gadis Melayu terakhir. Kala Yaya berdiri di hadapan Pak Long dan Mak Long, sepuluh jari segera dihulurkan untuk bersalaman.
“Mak long... Pak long...” sapa Yaya perlahan.
“Yaya sihat?” Mak Long sambut tangan gadis itu.
“Sihat mak long.” Dahinya singgah ke tangan Mak Long. Kemudian Yaya bergerak pula mendekati Pak Long. Penuh santun dia menghulurkan jabatnya.
“Macam mana tinggal dengan Mak Ina?” soal Pak Long pula.
“Alhamdulillah pak long. Mak Ina baik. Dia sayangkan Yaya. Sama macam Nek Ngah. Nek Ngah pun sayangkan Yaya. Kan, Nek ngah?” Pandangan dilontarkan kepada wanita tua yang duduk di sisi Mak Long. Senyuman diukir bagi menutupi rasa gemuruhnya. Nek Ngah hanya ketawa mendengar gurauan Yaya itu.
“Baguslah kalau macam tu,” tambah Pak Long lagi.
Ekor mata Yaya sempat juga melekat pada wajah budak yang masam seperti buah kedondong tu. Riaknya tetap sama seperti mula-mula tiba di rumah ini tadi. Cuma kali ni, mukanya sudah serupa asam kecut. Berkerut seribu. Banyak sangat merungut, tu pasallah jadi macam tu! Baru Yaya bercadang ingin beredar ke dapur, Mak Long telah memanggilnya.
“Yaya! Nak pergi mana?” tanya Mak Long. Hairan agaknya apabila melihat Yaya seperti mahu melarikan diri pula.
“Yaya nak pergi buat air untuk mak long dan pak long.”
“Buat air apa bendanya, Yaya? Kan kita tengah puasa?” usik Pak Long. Yaya menyeringai sebelum tertunduk malu.  Macam mana dia boleh tak ingat pula yang mereka sedang berpuasa? Kalau baru sehari berpuasa tu, ada ampunnya juga dia terlupa. Ini dah nak raya! Nampak sangat dia sedang tak keruan. Apa sebabnya tak tahulah.
Meh! Mari sini. Duduk sebelah mak long ni.” Mak Long menepuk kusyen kerusi rotan di sebelahnya. Yaya akur tidak membantah. Dia dapat merasakan, salah seorang anak Mak Long sedang ralit memerhati kepadanya. Kepala berat hendak dipanggung. Wajahnya menunduk hingga dagu menyentuh ke dada. Perlahan punggung dilabuhkan di sebelah Mak Long. Anak mata hanya dilekapkan ke wajah wanita itu. Tidak berani hendak berpaling melihat kepada dua orang budak lelaki di hadapannya ini.
“Yaya..., ni anak mak long yang sulung. Nama dia Kamal Ikram. Yaya panggil saja, Along.” Mak Long memperkenalkan salah seorang daripada anaknya. Yaya angkat kepala untuk melihat seketika.
“Hai...” Along menyapa sambil tersenyum lebar. Yaya hanya anggukkan kepala. Nak senyum pun terasa ketat muka. Otot di wajah sedang mengeras agaknya. Bukan dia sombong, cuma rasa segan dan malunya kepada dua remaja lelaki itu datang bertimpa-timpa.
“Yang ini anak mak long yang bongsu, Azrin Hisham. Yaya panggil Ayin saja.” Mak Long menunding jari kepada anaknya yang berwajah masam seperti tertelan sebotol cuka tu. Budak muka asam kecut tu langsung tidak mengangkat muka. Buat tak tahu saja? Eeee... kereknya budak ni...
“Along... Ayin... Ini Sinar Suria. Anak angkat Mak Su Ina.” Mak Long memperkenalkan Yaya kepada mereka berdua pula. Cuma Along saja yang melemparkan senyuman ramah. Budak yang nama Ayin tu? Dia buat muka toya saja! Buat don’t know... Seolah-olah tak ada orang di sekelilingnya. Sibuk bermain Sony PSP. Kata-kata Mak Long langsung tak diendahkan. Melihat kelakuan Ayin begitu rias wajah Yaya terus berubah. Buruk sangat ke muka dia ni? Sampai si kerek tu tak memandang walau sebelah mata.
“Yaya jangan ambik hati dengan perangai adik along ni. Dia ni memang macam ni. Kurang mesra alam sikit,” ulas Along tiba-tiba. Barangkali dapat membaca riak kurang senang yang terpamer di wajah Yaya. Ayin yang duduk di sebelah Along, menjeling sekilas. Tidak puas hati apabila Along mengatanya depan-depan. Itupun sekejap saja. Perhatiannya kemudian kembali semula kepada Sony PSP di tangan. Malas agaknya hendak bergaduh dengan Along. Ke memang dia ni spesies orang tak cukup perasaan? Tengoklah! Buak dek saja. Along mengata dia pun, bukan reti dia nak marah.
“Haah! Yaya. Jangan ambik hati dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak berapa mesra dengan orang yang baru dia kenal. Nanti lama-lama, dia okeylah tu...” celah Mak Long pula. Cuba menjaga hati Yaya. Mata Mak Long sempat merenung Ayin dengan pandangan kurang puas hati. Kalaulah Ayin tu dekat, memang dah menjalar sepit ketam. Tak suka sangat balik kampung pun, janganlah tunjuk perangai! regus Mak Long dalam hati.
Yaya tidak membalas. Nak kata apa lagi, senyum sajalah. Dalam hati mula berkata-kata, kalau beginilah peel si Ayin ni, tak hingin aku nak berkawan dengan dia! Budak bandar yang sombong! Azrin Hisham a.k.a Ayin, masih lagi buat muka selamba. Gamaknya seperti kata-kata Mak Long masuk telinga kanan berlumba-lumba keluar telinga kiri. Langsung dia tidak ambil peduli. Jari tetap laju menekan punat-punat PSP. Entah apa penyakit budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek ni agaknya? Memanggg... tak mesra alam betul!
Waktu maghrib tiba. Semua orang berbuka puasa di rumah Nek Ngah. Termasuklah Mak Ina dan anak-anaknya. Yaya ambil keputusan untuk berbuka di rumah Mak Ina saja. Diambil sedikit lauk-pauk dan dibawa balik ke rumah Mak Ina. Sebabnya Yaya malas nak berhadapan dengan budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek tu. Entah kenapa, dan tak tahu apa sebabnya, tiba-tiba Yaya rasa Ayin tu seperti dah jadi musuh dia pula. Musuh dalam diam. Alasan Yaya kepada Mak Ina dan Nek Ngah mudah saja. Sakit perut! Nasiblah mereka semua percaya dan tidak banyak bertanya.
“Dah baik sakit perut tu, Yaya?”
Terlepas sudu dari tangan Yaya. Jatuh berdenting ke dalam sinki.
“Oh! Mak long. Yaya ingatkan siapa tadi. Terperanjat Yaya.” Yaya usap dada kelegaan. Sedang asyik mengumpat Ayin dalam hati, tiba-tiba disergah begitu mahu tak terpelanting sekejap semangatnya.
“Dah okey mak long,” balas Yaya sopan.
“Ya ke Yaya sakit perut ni? Mak long tengok okey saja. Tak ada apa-apa pun.” Mak Long serkap jarang. Hati kuat mengatakan sakit perut itu sekadar alasan.
Emmm... Arrr...” Takkan nak tipu lagi? Tadi dah kurang pahala puasa gara-gara menipu kerana tidak mahu menghadap muka Ayin. Sekarang ni nak tipu lagi ke? Kurang lagi ke pahala walaupun sudah berpuka puasa? Mak Long faham. Kalau dah senyap tu, betullah sakit perut tu sekadar alasan Yaya sahaja.
“Yaya kecik hati dengan Ayin ke?”
Pantas Yaya menafikannya. “Eh! Tak adalah mak long. Nak kecik hati pasal apa pula, mak long?” soal Yaya semula. Kerja mencuci perkakas-perkakas peninggalan Mak Ina membakar kuih petang tadi diteruskan. Esok dah nak raya pun, Mak Ina ni masih sibuk buat kuih raya. Sempat pula Yaya mengomel.
“Habis tu, kenapa Yaya buka puasa di sini?” Niat sebenar Mak Long datang rumah Mak Ina ni sekadar hendak menjenguk Yaya. Bimbang sakit perut Yaya melarat tetapi apabila melihat keadaan Yaya sihat walafiat, Mak Long rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yaya membasuh tangannya dan melangkah menghampiri Mak Long yang mengambil tempat di kerusi meja makan.
“Mak long jangan risaukan pasal Yaya. Tak ada sebab Yaya nak kecik hati dengan Ayin tu. Yaya cuma segan dengan Along dan Ayin saja. Malulah Yaya mak long, dengan anak bujang-anak bujang mak long tu.” Yaya beralasan. Minta-minta alasan ini kedengaran logik di telinga Mak Long. Mak Long senyum lega. Sebenarnya dia bimbang Yaya terasa hati dengan layanan dingin Ayin petang tadi.
Ayin perangainya memang jauh berbeza dengan Along. Ayin keras kepala. Jenis budak yang degil, nakal dan juga lasak. Bawah sikit saja dari budak yang hyperactive. Kalau dia kata tak nak, maka tak naklah jawapannya. Janganlah hendak dipaksa-paksa. Perangai Ayin bukan macam Along. Along baiknya yang amat! Mengalahkan malaikat. Kalau Mak Long dan Pak Long kata A, jadi A lah dia. Kalau B, jadi B juga. Macam sesumpah. Hijau keliling maka hijaulah warna kulitnya. Kot disuruh tukar warna coklat pun, dia bertukar juga. Kadang-kadang, Mak Long bandingkan juga Ayin dengan Along. Kenapa Ayin tak boleh jadi anak yang baik macam Along? Walaupun umur Ayin dan Along jaraknya cuma muda dua tahun, tetapi perangai mereka memang jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Bagai Utara dan Selatan. Ataupun boleh juga dikatakan sejauh syurga dan neraka. Syurganya Alonglah... Tak kan Ayin pula kan?
“Mak long pun tak tahu kenapa sikap Ayin macam tu, Yaya. Mungkin sebab dia anak yang bongsu kot. Tu yang terlampau manja sangat, sampai dah naik lemak. Tambahan Along dan Ayin tu cuma dua beradik saja. Itu yang skil human relation ship Ayin agak kurang. Di sekolah pun Ayin macam tu juga, Yaya. Entah beberapa kali dah Pak Long kena menghadap cikgu disiplin sekolah dia tu. Perangai memang tak berapa semenggah. Pernah Ayin kena gantung sekolah sampai dua minggu kerana bergaduh. Berbirat juga punggung dan keting kena belasah dek Pak Long tapi perangai tetap tak berubah. Macam tu juga!” bebel Mak Long panjang menceritakan perihal perangai Ayin. Yaya senyum nipis.
“Mak long harap Yaya bersabar ya dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak suka balik kampung. Bila dipaksa balik kampung, jadi macam tulah perangainya,” ujar Mak Long mengakhiri kata-katanya.
“Yaya okeylah, mak long,” balas Yaya berusaha menyedapkan hati Mak Long.
“Kalau okey, jom kita pergi rumah Nek Ngah. Malam ni mak long nak masak ketupat dan rendang. Pak Long pula nak tolong Nek Ngah kacau dodol. Yaya tolong, ya?” Mak Long bangkit meninggalkan kerusi.
“Tentulah Yaya nak tolong, mak long!”
“Yaya tak penat ke? Sudahlah siang tadi tolong Nek Ngah kemas rumah, pasang langsir semua. Rumah Mak Ina ni pun, Yaya kemaskan juga ke?” Mata Mak Long meliar dari dapur hingga ke ruang depan. Memang sudah cantik tersusun rapi. Berhias indah dengan langsir baharu dan gubahan bunga di setiap sudut.
Yaya angguk perlahan. “Tak apa mak long. Tak penat mana pun.”
“Kalau macam tu jom! Cepat mula, cepat siap masak.” Lantas Mak Long menarik tangan Yaya menuju ke pintu dapur.