Beberapa bulan sebelum itu...
Buku kecil mengandungi surah Yasin ditutup lalu diletakkan ke atas muka
meja di tepi dinding. Tengku Marlia bangkit dari sejadah. Bersama telekung yang
tidak ditanggalkan, dia melabuhkan duduk di birai katil. Nafas berserta keluhan
dilepaskan perlahan.
Hari ini, ulangtahun kedua puluh enam kematian suaminya.
“Abang... Lia rindukan abang,” rintih Tengku Marlia.
Mata merenung terus keluar balkoni. Suasana alam masih lagi kelam. Dingin
pagi terasa kerana matahari baru sahaja menjengukkan muka.
“Dah dua puluh enam tahun abang tinggalkan Lia.”
Wajah dipalingkan melihat gambar sang suami.
“Dua puluh enam tahun juga Lia hidup tanpa abang. Abang tunggu Lia ya?
Sampai masanya nanti, Lia akan bersama abang di sana.”
Tangan dipanjangkan mencapai bingkai gambar di atas meja sisi di tepi katil.
Lantas jejari kecut Tengku Marlia mengusap pada wajah suaminya. Air mata mula
bergenangan. Detik malam mereka ditimpa kecelakaan kembali terlayar di ruang
ingatan.
Kerana peristiwa itu, Ian Zacry kehilangan seorang ayah. Lebih menyedihkan,
anak keduanya tidak pernah merasai kasih sayang suaminya. Luth Michail, lahir
selepas sembilan bulan suaminya meninggal dunia. Kasihan Luth Michail. Mengenali
papanya hanya melalui cerita dan gambar sahaja.
Air mata mula mengalir. Dibiarkan ia membasahi pipi.
“Abang... Lia rasa bersalah kepada Zuraini. Sejak Ismail meninggal, Lia tak
pernah mencari dia.”
Bukan dia tidak mahu, tetapi Tengku Majid yang melarangnya.
“Kau jangan risau pasal Zuraini. Aku dah uruskan semuanya. Dia akan dapat
pampasan yang setimpal dengan pengorbanan Ismail.”
“Tapi...”
“Duit tu lebih dari cukup untuk dia mulakan hidup baru, Lia.”
“Lia kesiankan dia...”
“Buat apa kau nak kesiankan dia? Kesiankan diri kau dulu. Kau ada anak. Dia
tak ada. Aku buat macam ni supaya kau tak terus ingatkan kejadian tu. Aku nak
kau lupakan semuanya. Kalau kau asyik ingatkan Adam, Ismail dan Zuraini, sampai
bila-bila pun kau takkan dapat meneruskan hidup kau ni. Ingat! Ian perlukan
perhatian kau. Jangan abaikan dia. Kalau aku tahu kau pergi cari Zuraini,
tahulah apa yang aku nak buat kepada kau! Kau faham tak Lia?”
“Lia... Sudah dua minggu Adam meninggal. Tak guna Lia terus bersedih. Adam
dan Ismail bukannya boleh hidup semula. Yang lepas, biarlah berlalu. Sekarang,
Lia tumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan Ian. Kasihan dia. Masih kecil
dan tak tahu apa. Walaupun ayahanda dah tak berapa sihat, ayahanda akan bantu
Lia. Ayahanda akan sentiasa berada di sisi Lia.”
Kerana kata-kata ugutan Tengku Majid dan rayuan ayahandanya itulah, dia
menguburkan hasratnya untuk mencari Zuraini. Sejak sekian lama dia menyimpan
hasratnya, kini, tiba masa untuk dia menunaikan impian itu. Dia ingin bertemu
semula dengan Zuraini. Bukan sahaja disebabkan rasa bersalah atas kematian
Ismail, tetapi kerana ingin menghargai jasa yang telah dilakukan oleh Zuraini.
Jika tidak kerana Zuraini, malam itu dia pasti akan kehilangan dua orang
tersayang dalam hidupnya.
“Setuju ke Tengku Majid?”
Ah! Jangan fikir pasal Tengku Majid. Kalau dia mahu mencari Zuraini, Tengku
Majid tidak boleh menghalang. Apa yang boleh Tengku Majid lakukan? Nak ugut dia
macam dulu? Anak-anaknya sudah besar. Tentu mereka akan melindunginya. Jadi nak
takut apa?
Tuk! Tuk! Tuk!
Pintu bilik kedengaran diketuk. Selang dua saat, daun pintu berkeriut
ditolak.
“Morning mummy...”
Tengku Marlia kalih melihat selepas mengesat air matanya.
“Morning sayang.” Senyum diukir
semanis mungkin.
“Mummy dah siap ke?”
“Belum lagi.”
“Tak apa. Ail tunggu mummy dekat
bawah ya?”
Tengku Marlia mengangguk.
“Ajak abang sarapan dulu, sayang. Lagi sepuluh minit, mummy turun. Lepas sarapan nanti baru kita pergi.”
“Baik mummy. Ail dan abang masih
ke ofis hari ni tau, mummy.”
“Yalah! Mummy faham. Kau orang
tengah banyak kerja sekarang ni.”
Luth Michail senyum dan merapatkan semula daun pintu.
Tengku Marlia mengusap kedua telapak tangan ke muka. Helaan nafas ditarik
dan dilepaskan perlahan. Hiba dibuang jauh. Tidak mahu anak-anaknya merasa
susah hati dengan keadaannya.
“Abang... Tunggu Lia dan anak-anak datang ya? Kami nak melawat abang
sekejap lagi.”
Bingkai gambar kembali diletakkan pada tempat asal setelah dikucup lama.
******
Usai membaca surah Yasin, Luth Michail mengambil peranan membacakan doa
untuk arwah papanya.
“Ya Allah...
Sampaikanlah pahala bacaan kami kepada roh suami ibuku, bapa kepadaku dan
abangku iaitu Adam Bin Muhammad. Ya Allah… Ampunilah dosanya, kasihanilah dia,
dan sejahterakanlah dia. Maafkan segala kesalahannya. Muliakan kedatangannya di
alam barzakh. Lapangkanlah kuburnya dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang. Aamiin…”
“Aamiin…”
sahut Ian Zacry dan Tengku Marlia serentak. Telapak tangan lalu diraup ke muka.
“Ian… Ail…”
Tengku Marlia memanggil kedua-dua anak lelakinya.
“Ya mummy?” Bertindanan suara Ian Zacry dan
Luth Michail membalas.
“Mummy ada perkara yang nak
dibincangkan.”
“Kita
bincang di rumah saja mummy. Panaslah
dekat kubur ni.” Dengan tangan memayungi matanya, Ian Zacry menengadah ke
langit melihat matahari. Cahayanya semakin terik.
“Tak boleh.
Ayahanda Long sekarang selalu saja ada dekat rumah. Mummy tak nak dia tahu.” Terlakar riak gusar di wajah Tengku
Marlia.
“Apa dia mummy?” soal Ian Zacry. Terasa pelik
dengan tingkah ibunya. Penting sangat ke perkara ini hingga mahu disembunyikan
dari bapa saudaranya?
“Sebelum mummy beritahu, mummy mahu kamu berdua berjanji. Sembunyikan hal ini daripada
Ayahanda Long. Kalau dia tahu, tentu dia marahkan mummy.”
“Mummy tak mahu Ayahanda Long risau ke?”
tebak Luth Michail.
Laju Tengku
Marlia angguk mengiakan.
“Ayahanda Long
sekarang kan asyik tak sihat saja. Jadi mummy
tak nak tambahkan kebimbangan dia.”
“Hal apa
yang penting sangat bunyinya ni mummy?”
Ian Zacry
merapati Tengku Marlia. Menumpang berteduh di bawah payung ibunya. Dapat berlindung
sedikitpun jadilah. Kulit sudah terasa perit di panah cahaya matahari. Cermin
mata hitam yang tertenggek pada batang hidung dibetulkan duduknya.
“Dah dua puluh
enam tahun daddy meninggal. Bermakna
sudah lama mummy menyimpan hasrat mummy ni.”
“Hasrat apa
tu mummy?” celah Luth Michail pula.
“Mencari
seseorang.”
“Siapa?”
Dahi teruna berusia hampir dua puluh lima tahun itu bergaris halus.
“Ail tak
kenal dia, tapi mummy rasa abang
pasti masih ingatkan dia.”
“Hah? Ian
masih ingatkan dia? Siapa?” Giliran Ian Zacry pula mengerut muka.
“Mak Cik
Zuraini.”
“Mak Cik
Zuraini?!”
“Ya… Isteri
arwah Pak Cik Ismail. Ian masih ingat lagikan?”
Ian Zacry
menekur tanah. Dikerah otaknya untuk mengimbas kembali wajah dua manusia yang
disebut oleh mummynya tadi.
“Takkan Ian
dah lupa Mak Cik Zuraini? Kalau tak kerana dia, entah apa jadi kepada Ian.
Mungkin mummy kehilangan Ian juga.
Sama seperti daddy.”
Ya! Kini
baru dia teringat kejadian ketika dia berumur lima tahun dahulu. Betullah
seperti kata ibunya. Kalau tidak kerana Mak Cik Zuraini, tentu jasadnya turut
terkubur di sini. Maka hari ini, sudah pasti ibunya dan Luth Michail menziarahi
pusara dia dan bapanya.
“Mummy mahu Ian tolong mummy. Carikan Mak Cik Zuraini. Mummy nak sangat jumpa dia sebelum ajal mummy tiba,” sambung Tengku Marlia.
Tangan mengusap pada batu nisan yang tertulis nama si suami.
“Mummy rasa, daddy pun mahu kita mencari Mak Cik Zuraini. Ian tolong mummy ya?”
Permintaan
Tengku Marlia itulah yang membuatkan Ian Zacry tidak senang duduk sepanjang
waktu di pejabat. Bukan dia enggan memenuhi keinginan mummynya itu, cuma…
“Dah dua
puluh enam tahun aku tak jumpa Mak Cik Zuraini, macam mana aku nak cari dia?”
Kepala direbahkan pada penyandar kerusi. Anak mata merenung siling pejabat.
“Aku tak
tahu dia tinggal di mana. Kampung dia dekat mana pun tak tahu.” Belakang
telinga digaru.
“Gambar pun
tak ada. Habis tu macam mana?”
Kata orang,
kalau hendak seribu daya. Tentu dia menemui jalannya kalau dia berusaha bersungguh-sungguh.
Takkan dia sanggup mengecewakan ibunya? Nanti, celik mata pula mummynya di hujung nyawa.
Ish! Selisih
simpang malaikat empat puluh empat. Dia tak sanggup kehilangan mummynya. Belum bersedia hidup sendiri
tanpa mummy. Jika diizinkan tuhan,
biarlah mummy dipanjangkan umur.
“Fikir Ian…
Fikir… Dari mana nak mula mencari Mak Cik Zuraini tu.” Tengah dahi diketuk
dengan ruas jari berkali-kali.
“Mulakan
dari estet?”
Ya! Itulah
tempat terbaik untuk dia memulakan langkah pertama pencariannya. Tempat di mana
mereka berpisah selepas kejadian malam durjana itu dan dia takkan pernah lupa
setiap apa yang terjadi.
“Bang!”
Ian Zacry
berpaling melihat ke arah pintu.
“Tak reti
ketuk pintu ke?” Anak mata memandang kurang senang. Dia tengah sibuk berfikir,
Luth Michail datang mengganggu pula.
“Aku
ketuklah. Kau yang tak dengar kut.” Luth Michail memasuki pejabat abangnya.
“Yalah tu?”
Luth Michail
tidak membalas. Jika dibawa abangnya berlawan cakap, sudahnya nanti dia terlupa
apa tujuan sebenar dia ke mari.
“Bang, bila
kau nak ke ladang?”
“Hujung
bulan ni. Kenapa?”
“Cuba kau
tengok ni!” Laporan hasil tuaian mingguan dihulurkan.
Segera Ian
Zacry mencapainya dan meneliti laporan tersebut.
“Kau kena
pergi ladang A.S.A.P! Rasanya tak boleh tunggu sampai hujung bulan. Kalau kau
tak pergi sekarang, jawabnya bulan depan parah!”
“Teruk
sangat ni.” Berlapis kerut di dahi Ian Zacry saat angka-angka yang tertera di
dalam laporan dibaca.
“Tulah pasal!
Aku tak boleh pergi. Kerja aku banyak. Kertas cadangan pembelian ladang dekat
Jambi tu tak siap lagi.”
“Baiklah.
Besok pagi-pagi aku bertolak.”
Begitulah sikap
Ian Zacry. Dia lebih suka turun pandang untuk melihat sendiri masalah yang
timbul di estet mereka. Kemudian berbincang dengan orang bawahan mencari jalan
penyelesaian. Sebab itu dia tidak pernah gagal melawat estet milik Bumi Hijau
Plantation di Negeri Sembilan setiap bulan.
Luth Michail
angguk setuju.
“Permintaan mummy pagi tadi macam mana? Bila kau nak
mula mencari makcik tu?”
“Besok.”
Kening Luth
Michail terjongket.
“Kau kan nak
pergi ladang?”
“Betullah
tu. Besok aku mula mencari maklumat tentang Mak Cik Zuraini dekat sana.”
“Kenapa nak
mulakan dari sana?”
Ian Zacry
senyap tidak menjawab.
“Mak Cik
Zuraini tu kawan mummy ke?”
“Hmm...”
Ringkas saja Ian Zacry membalas selepas beberapa saat berlalu.
Luth Michail
terasa pelik. Apa yang cuba diselindungi oleh abangnya? Sama saja seperti mummynya tadi. Berat mulut hendak
bercerita apabila dia bertanya kenapa mahu mencari wanita itu.
“Bang, aku
tanya sikit, boleh?”
“Apa dia?”
Kertas laporan diletakkan ke tepi. Tangan mencapai pen dan fail. Mula melakukan
kerja. Ian Zacry tahu, ada perkara yang adiknya ni mahukan penjelasan.
“Apa maksud mummy, kalau tak kerana makcik tu, kau mungkin
meninggal macam daddy?”
“Kenapa kau
nak tahu?” Soalan diaju sambil diri sengaja disibukkan dengan menulis sesuatu
pada fail.
Kejadian itu
terlalu perit untuk diulang cerita. Sehingga kini, masih jelas diruang mata keadaan
daddynya malam itu. Terbaring di atas
rumput berlumuran darah dengan perut yang hampir terburai selepas dirodok.
Kalaulah gambaran itu boleh dibuang, sudah tentu dia lakukan kerana tidak mahu
teringat seumur hidup. Sebab itulah dia dan mummynya
tidak pernah menceritakan kepada Luth Michail bagaimana peristiwa yang meragut
nyawa daddy mereka berlaku. Cukuplah
dia saja yang melaluinya. Luth Michail tidak perlu merasai kepedihan itu.
“Yalah... Daddy kan meninggal kerana kemalangan.
Kenapa pula kau pun sama?”
“Maksud mummy bukan macam tu?”
“Habis tu?”
“Aku kena
demam panas malam tu. Mummy dan daddy tak ada di rumah. Mak Cik Zuraini
dukung aku. Sanggup berlari keluar dari estet dan bawa aku ke klinik.”
“Ooo... Tapi
kenapa...”
“Sudahlah!
Pergi buat kerja kau. Aku banyak kerja ni. Besok nak pergi ladang,” pangkas Ian
Zacry. Tidak mahu memanjangkan cerita.
“Kalau pasal
tu saja mummy nak cari makcik tu,
kenapa mummy tak nak cerita kepada
aku?” Luth Michail tetap mahu menyoal.
“Ail... Please... Aku banyak kerja ni.” Wajah berubah
bengis.
“Yalah
yalah... Kau pun sama macam mummy.
Bila suruh cerita, selalu mengelak.”
Luth Michail
meninggalkan pejabat Ian Zacry bersama rasa tidak puas hati. Entah apa yang susah
sangat hendak beritahu? Dia pun mahu tahu juga, bagaimana daddynya meninggal dunia. Bila ditanya, cuma kata kemalangan.
Tahulah kemalangan..., tetapi kemalangan jenis apa? Bagaimana boleh berlaku? Itupun
nak sorok ke?
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteQaseh Farina.. baru baca teaser 2 ni... akk ni mmg jenih x sabo... citer best ni... mesti kuar versi cetak tau...ACIA bila nak kuar?
ReplyDeleteACIA baru submit utk penilaian kak
DeleteX tau lah bila kluarnya tu...
Huhuhu...
Sabar je lah...
mcm ada sesuatu je.. knp masing2 x mahu ceritakan perkara sebenar
ReplyDelete