Total Pageviews

Sunday, January 17, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 1



“Kau nampak tak apa yang berbeza pada PA kau tu?”
Anak mata Luth Michail masih tertancap kepada gadis di meja berhampiran sementara menunggu Ian Zacry membuka pintu pejabat. Sejak melintasi meja PA abangnya, kepala tidak mahu berkalih dari memandang wajah tersebut. Sejuk mata melihat raut itu. Lembut dan ayu. Walaupun solekan yang dikenakan lebih nipis daripada kulit bawang tetapi cukup menawan. Hati bertambah tertarik kala si manis menghadiahkan senyuman kepadanya sebagai membalas ucap selamat pagi yang dia berikan sebentar tadi.
Ain Sofea...
Tanpa sedar hati membisikkan nama itu bersama rasa yang sukar untuk dia mengerti. Semenjak mengenalinya, dari sehari ke sehari, semakin berkenan hati dia ini kepada pemilik nama Ain Sofea. Bibir lantas mengukir senyum sendiri.
Ain Sofea... Indah sekali namanya. Seindah orangnya juga.
Ian Zacry sekadar mengerling sesaat. Gadis yang diperkatakan oleh adiknya tadi kelihatan tekun meneliti buku di tangan. Malas hendak ambil kisah, dia berpaling semula lalu tombol pintu yang baru dipulas ditolak luas.
“Kenapa? Ada yang pelik ke? Hidung dia dah beralih duduk atas dahi?” Ian Zacry menyoal sinis seraya kaki melangkah memasuki ruang pejabat.
“Heh! Setakat muka minah tu, apalah yang nak dihairankan sangat? Sekadar ditepek bedak dan secalit gincu. Itupun warnanya ala-ala pundar. Merahnya berbalam-balam. Apa yang cantik?” Ian Zacry menggumam.
Sahih! Itu tentu mummy dia yang punya kerja. Bersungguh-sungguh betul mummy mendidik budak kampung tu. Biarlah jerih mummy berusaha, dia takkan memandang walau sebelah mata. Ain Sofea takkan setanding dengan cinta hatinya.
Luth Michail menggeleng kepala mendengar kata-kata Ian Zacry. Bunyinya sangat sinikal. Entah apalah salah si Ain tu? Tak tahu juga apa punca, sampai abangnya ini menjadikan Ain Sofea seperti musuh pula.
“Kau tak nampak ke bang, berapa punya cantik si Ain tu?” soal Luth Michail seraya menuruti langkah Ian Zacry.
“Aku tengok biasa saja,” jawab Ian Zacry acuh tidak acuh.
“Aku tak tahulah kau tengok dia pakai apa. Pakai mata ke atau pakai kepala lutut.” Luth Michail mengusik. Tangan menarik kerusi di hadapan meja abangnya. Sementara itu Ian Zacry melangkah menghampiri coats stand di tepi almari selepas meletakkan beg bimbit ke atas meja.
“Kau tu yang pandang tak pakai mata.”
“Memanglah kau tu tak tahu menilai, bang!”
Ian Zacry tidak membalas. Dia kembali semula ke meja tanpa menghiraukan Luth Michail yang berterusan memerhatikannya.
“Ain tu punyalah cantik, langsung kau tak pandang? Kalau aku, sanggup aku tinggalkan si El tu untuk Ain.”
“Kalau kau dah suka dekat dia, kenapa tak cakap terus terang saja? Tak payahlah puji dia depan aku,” sindir Ian Zacry sambil menyinsing lengan baju dan dilipat hingga ke paras siku. Dia kemudian duduk pada kerusi dan beg bimbit terus dicapai.
“Bunyi macam cemburu saja?” Luth Michail menyakat lagi.
Dia ni bukannya buta. Rabun pun tidak. Memang abangnya sedang menyembunyikan sesuatu. Bukan dia tidak pernah terlihat Ian Zacry mencuri pandang kepada Ain Sofea. Acap kali. Dia saja yang malas hendak buka cerita kerana faham sangat dengan ego Ian Zacry. Sedangkan hatinya sendiri sudah terpikat kepada Ain Sofea, masakan abangnya tidak? Malahan semua pekerja lelaki yang masih bujang di dalam pejabat ini, turut berkenan akan Ain Sofea. Selalu juga dia mendengar bisikkan-bisikkan nakal di kalangan mereka menyatakan sudah terpaut hati kepada gadis itu.
“Heh! Nak cemburu apanya? Cemburukan kau dan Ain? Buang masa aku saja. Kalau kau sukakan dia, tak payahlah nak palitkan pada aku pula.” Ian Zacry senyum sinis. Dia sibukkan dirinya dengan mengeluarkan dokumen-dokumen dari beg bimbit.
“Kau tahu tak apa yang paling susah untuk dilakukan dalam dunia ni, bang?” Pandangan Luth Michail masih melekat pada wajah Ian Zacry. Jejari disilangkan sesama sendiri lalu diletakkan ke atas perut. Siku pula dialas pada pemegang kerusi sambil badan menolak-nolak penyandar. Jongkang-jongket jadinya kerusi itu.
Perbuatan Ian Zacry terhenti. Kepala dipanggung memandang Luth Michail.
“Apa dia?” Mendatar suaranya menyoal.
“Menidakkan apa yang ada di dalam hati kita.”
Ian Zacry berkerut dahi.
“Apa maksud kau ni Ail? Aku tak faham.” Serius wajahnya menentang Luth Michail. Rasa terpukul dengan sebaris ayat yang baru dituturkan oleh adiknya tadi.
“Aku tak maksudkan apa-apa. Rasanya kau lebih tahu.” Luth Michail menyengih kala melihat wajah Ian Zacry bertukar cemburut.
Enggan melayan lagi kata-kata Luth Michail, kertas cadangan yang disemaknya malam tadi dicampakkan ke depan adiknya.
“Ambil ni dan betulkan mana yang aku tanda tu.” Tegas arahan yang dikeluarkan oleh Ian Zacry. Terselit juga nada marah pada suaranya itu.
“Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba nak angin pula. Kalau ya pun, tak payahlah nak marah-marah,” bentak Luth Michail.
Memang ego abangnya ini ke langit tujuh letaknya. Patang tercolek sikit, mulalah nak ‘melantun’. Kertas cadangan yang dicampak oleh Ian Zackry segera dicapai dan dia bangkit dari kerusi.
“Kau tu yang suka cakap mengarut pagi-pagi ni!” balas Ian Zacry berserta sebuah jelingan.
Luth Michail mengeluh.
“Apa yang aku mengarut? Kalau aku mengarut pun, kenapa kau pula yang nak marah-marah tak tentu pasal? Aku tak ada sebut pun nama kau kan... Kau terasa?”
Cepat kaki dipanjangkan meninggalkan Ian Zacry tanpa menunggu abangnya itu membalas soalan dia. Kalau ditunggu lebih lama lagi, harus mereka bertekak.
Ian Zackry mendengus kuat. Badan dihempaskan ke penyandar kerusi.
“Ail! Tunggu!”
Luth Michail yang sedang memulas tombol pintu berpaling memandang.
“Kau kalau tak suka sangat pun si Ain tu, jangan tunjuk sangat bang. Kalau tak benci, jangan pula kau buat-buat benci. Aku takut kau menyesal nanti!” Luth Michail mengeluarkan nasihat berbentuk peringatan sebelum dia lolos dari pintu itu.
“Apa yang kau melalut ni Ail?!” lengking Ian Zacry sedikit kuat.
Tiada balasan dari Luth Michail kerana kelibat adiknya itu sudahpun hilang di sebalik pintu. Ian Zacry merengus sambil tangan menutup beg bimbit dengan kuat. Kasar beg itu ditolak ke tepi. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu rasa marah begini.
Adakah dia marah kerana Luth Michail berjaya menebak apa yang terselit jauh di dalam hatinya ini? Ataupun dia marahkan Ain Sofea, kerana dara itu sering buat hati di sebelah kanan dadanya ini tidak senang duduk?
“Jangan harap aku nak sukakan kau Ain!” Hati menggerutu geram.
Tiba-tiba pintu kedengaran diketuk bertalu-talu.
“Masuk!”
Not suara tinggi mencecah aras yang ke lapan.
Ain Sofea yang berdiri di sebalik pintu menelan air liur.
“Ribut taufan lagi ke pagi ni?” Gadis itu berbisik sendiri.
Tangan yang mengetuk pintu kini menggeletar memutar tombol. Ini bukan kali pertama bos dia ni diserang angin kus-kus seawal hari. Sudah naik lali, tetapi dia tetap rasa gerun.
Daun pintu perlahan ditolak. Kaki teragak-agak hendak melangkah masuk.
“Apa hal awak ketuk pintu tu macam nak roboh?!” Ian Zacry menempik sebaik sahaja Ain Sofea muncul di muka pintu. Mata mencerlung tajam bak pedang yang terhunus panjang. Menala tepat ke wajah gadis itu.
Sekali lagi Ain Sofea menelan liur.
Kuat ke aku ketuk pintu tadi? Terbesit pertanyaan dalam hati Ain Sofea.
“Mmmana ada saya ketuk kuat Encik Ian?” Kepala turut menggeleng ketika berkata.
“Habis tu, awak nak kata saya ni berbohonglah? Telinga saya salah dengar?” Semakin panas pula hatinya melihat wajah polos itu.
Bertambah laju Ain Sofea menggeleng kepala.
“Pagi-pagi dah buat orang sakit hati,” rungut Ian Zacry.
Entah siapa yang buat dia sakit hati? Ain Sofea ni ke atau adiknya tadi?
Si gadis tertanya-tanya. Salah apa yang dia telah buat hari ini hingga Ian Zacry merasa sakit hati? Walhal dia baru saja satu jam masuk kerja. Si Ian Zacry ini pun, tidak sampai sepuluh minit dia jumpa di luar tadi. Mereka bercakap pun belum lagi. Takkanlah pasal ketuk pintu saja dah mengamuk macam orang tertelan kapur barus?
Bersama nafas yang dilepaskan kuat, Ian Zacry alihkan anak matanya dari Ain Sofea yang masih tercegat di muka pintu. Tangan segera mencapai beberapa buah fail yang perlu disemak.
“Yang awak berdiri lagi macam patung dekat situ buat apa?” Lontaran suara masih kasar, tetapi sedikit perlahan dari tadi.
Cepat-cepat Ain Sofea melepaskan tombol pintu yang ditahan dengan tangan lalu segera menghampiri lelaki bermuka kerut seribu itu. Walaupun segala organ dalam badan sudah kecut melihat reaksi Ian Zacry, tanggungjawabnya sebagai PA kepada lelaki ini harus dilunaskan.
“Eeencik Ian.” Sedikit menggeletar suara Ain Sofea menegur seraya meletakkan cawan berisi kopi ke atas meja. Wajah lelaki yang sedang menunduk menghadap kertas dipandang dengan mata redup.
Alangkah bagusnya jikalau wajah kacak ini dihiasi dengan senyuman. Pasti bertambah tampan. Rautnya sempurna. Keningnya lebat. Hidungnya mancung. Bibirnya nipis seksi. Jambang, misai dan janggut tersisir rapi. Merenung ke mata birunya boleh buat diri angau sendiri. Yang menjadikan wajah lelaki ini cacat adalah kerut di antara dua alisnya. Garis menegak itu sentiasa saja timbul di situ. Buatkan Ian Zacry sering kelihatan serius.
“Cakap sajalah apa dia!”
Ian Zacry cuba memfokuskan perhatiannya kepada fail yang dipegang. Sehelai demi sehelai kertas diselak. Air muka dibias riak garang lagi tegas.
Aduh..., muka macam singa nak makan orang! Sempat pula Ain Sofea berdesis.
“Hari ini, sebelah pagi Encik Ian tak ada apa-apa meeting. Cuma lepas lunch saja dalam pukul dua, Encik Ian kena jumpa Encik Zarul di Concorde Hotel,” beritahu Ain Sofea. Gugupnya masih bersisa. Puas dikuatkan semangat untuk berani bersuara.
“Hmm!” Ringkas saja Ian Zacry membalas. Wajah gadis di hadapannya tidak dipandang. Mata melilau ke serata permukaan kertas tetapi otak dan tumpuan bukan kepada objek itu. Dalam kepala asyik teringat kata-kata Luth Michail tadi.
“Kau kalau tak suka sangat pun si Ain tu, jangan tunjuk sangat bang. Kalau tak benci, jangan pula kau buat-buat benci. Aku takut kau menyesal nanti!”
Huh! Nak menyesal apa? Tak ada benda yang nak aku sesalkan, hati merungut dalam diam.
Mengingatkan kata-kata Luth Michail, hatinya kembali membara. Api bakal marak semula. Yang jadi mangsa tentulah Ain Sofea. Tempat dia menghemburkan panasnya.
“Macam mana appointment saya yang lain?! Takkan tu saja?!”
Fail di tangan dihempas ke meja. Terjongket bahu Ain Sofea kerana tersentak.
Aaappointment yang mana Encik Ian?” Semakin gagap gadis itu. Tangan turut menggaru belakang telinga kerana keliru. Rasanya, itu saja temu janji bos dia pada hari ini. Takkanlah dia salah semak pula?
“Macam mana awak jadi PA ni? Appointment saya pun awak tak tahu!” Wajah Ain Sofea yang sudah tidak berdarah direnung tepat.
“Yyyalah Eeencik Ian. Appointment yang mana satu? Kalau appointment dengan Puan Laila dari SE Packaging tu, besok pagi. Encik Bakhtiar pula, minggu depan. Mister Kwan pun minggu depan juga. Jjjadi..., saya nak tahu appointment yang mana satu Encik Ian maksudkan.” Dalam kalutnya itu, panjang juga Ain Sofea membalas kata-kata lelaki yang nak menyinga tak tentu pasal ini.
Muka Ian Zacry terasa seperti baru ditumbuk. Untuk menutupi kesilapannya, segera dia mencapai cawan lalu kopi O diteguk rakus.
Padankanlah muka. Nak marah tak tentu sebab, diri sendiri yang malu. Bukan Ain Sofea tidak bagus, tetapi dia yang sengaja mencari alasan untuk memarahi gadis ini.
“Huk! Huk! Huk!” Ian Zacry tersedak. Air kopi O yang baru diteguk menyembur dari mulutnya.
“Apa panas sangat air awak ni?!”
Lidah terasa tebal. Nafas dihembus keluar dari mulut berulang kali bagi menghilangkan rasa berbahang. Anak mata yang biru rasanya sudah bertukar merah.
Ain Sofea kalut. Pantas dia menghampiri Ian Zacry. Tisu dari dalam kotak segera ditarik beberapa helai lalu dihulurkan kepada majikannya. Beberapa helai lagi diambil lalu ditekap pada sisa air yang terpercik ke atas meja.
“Mmmaaf Encik Ian. Sssaya buat macam biasa saja. Kalau suam, nnnanti Encik Ian tak nak minum pula,” balas gadis itu jujur tanpa berdalih. Tangan ralit menekap kesan-kesan air kopi O di sana sini pada permukaan meja.
Ian Zacry terkedu, tetapi cuma seketika. Takkan dia nak tunjukkan kegugupannya kepada gadis ini?
“Tengok! Apa yang awak dah buat? Awak tahu tak kertas-kertas ni penting? Habis kotor semuanya! Dah! Dah! Biarkan. Pergi ambilkan saya air mineral. Menyusahkan orang betullah!”
Tangan Ain Sofea yang meliar di atas meja ditarik lalu ditolak gadis itu supaya menjauhi mejanya.
“Bbbaik Encik Ian. Mmmaafkan saya.”
Ain Sofea meninggalkan bosnya dan menuju ke pintu. Air mata mula bergenangan. Dia tidak pasti, adakah kejadian tadi disebabkan oleh kecuaiannya?
Langkah kaki Ain Sofea dihantar dengan pandangan serba salah. Ian Zacry tidak tahu, kenapa dia begini. Gadis itu sering kali dijadikan tempat untuk dia melepaskan amarahnya. Sedangkan, Ain Sofea tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. Namun, setiap kali memandang wajah jernih itu, dia pasti akan mencari jalan supaya dapat membencinya.
Ketika melangkah menghampiri pantri, air mata yang bergenangan kini perlahan merembes ke pipi. Segera dikesat dengan hujung jari. Ain Sofea tidak tahu, badi apa yang telah melekat pada tubuhnya. Lebih dua bulan bekerja di sini, saban hari sepanjang tempoh itu, apa saja yang dia lakukan, semuanya menimbulkan kemarahan Ian Zacry. Di manakah silapnya? Ikutkan rasa hati, memang dia nak cabut lari. Malangnya, setiap kali niat itu terdetik niat, setiap kali itu jugalah wajah ibunya dan Tengku Marlia terbayang di ruang mata. Nasihat ibunya dan permintaan Tengku Marlia telah mengikat kakinya.
Si dara mengeluh perlahan. Dua botol air mineral dikeluarkan dari peti sejuk. Kemudian dia berpatah semula menuju ke pejabat Ian Zacry. Permukaan pintu cuma diketuk dua kali saja. Takut nanti di‘bahasa’kan lagi. Nanti Ian Zacry kata dia mahu merobohkan pejabat ini pula.  
Sebelum menolak daun pintu, Ain Sofea menarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Hiba di hati cuba diredakan. Tubir mata sekali lagi dikesat. Bimbang ada saki-baki titisan jernih itu di situ. Dia tidak mahu wajah sedihnya ini dibaca oleh Ian Zacry. Setelah pasti tiada lagi sisa air mata, baru dia menolak daun pintu.
Masuk sahaja ke dalam pejabat Ian Zacry, Ain Sofea melihat lelaki itu sedang berdiri menghadap tingkap yang birainya telah ditarik ke tepi. Jejaka itu berpeluk tubuh sambil merenung ke luar jendela. Cepat dia meletakkan dua botol air mineral ke atas meja kerja.
“Ain!”
Kaki yang baru mahu melangkah pergi terus mati daripada menyusun derap. Namun tubuh tidak dipalingkan menghadap lelaki tersebut.
Ian Zackry mendatangi mejanya. Dua helai tisu ditarik kasar dari kotak.
“Ambil tisu ni. Kesat apa saja yang bertepek dekat muka awak tu. Sakit mata saya memandangnya. Lain kali, tak payah nak bermekap bagai datang kerja. Awak dekat sini nak bekerja. Bukannya nak tayang muka!”
Anak mata Ain Sofea jatuh kepada dua helai tisu yang dihulurkan. Kemudian wajah dipanggung melihat Ian Zacry. Tidak percaya dengan apa yang baru terhembur keluar dari mulut nipis itu. Tajam! Menikan! Tertikam!
“Ambil tisu ni! Kesat semua yang ada pada muka tu! Saya tak suka tengok muka awak yang bermekap macam badut ni!” Bertambah keras arahan Ian Zacry. Dua helai tisu disua semakin hampir ke wajah Ain Sofea.
Air mata terasa mahu kembali bergenangan.
Adakah kerana solekan nipis di wajahnya Ian Zacry meroyan macam orang perempuan dalam pantang? Solekan nipisnya ini ke, yang menjadi punca Ian Zacry melenting tiba-tiba? Buruk sangat ke muka dia berhias begini?
Ramai pekerja perempuan Bumi Hijau Plantation bersolek lebih tebal daripada dia. Yang seperti pelakon opera Cina juga ada. Dah macam geisha Jepun pun ada. Tidak pula Ian Zacry sibuk menyuruh mereka pergi suci muka? Kenapa dia saja yang Ian Zacry persakitkan? Bukan dia tidak pernah berjumpa PA bos sebelum ini. Semuanya kaki menenyeh compact powder di muka twenty-four seven sehari. Tak ada pun Ian Zacry menempek marah begini. Apa saja salah dia hingga semua yang dilakukan menyakitkan hati lelaki ini?
“Awak ni pekak ke apa?!” jerkah Ian Zacry di tepi telinga Ain Sofea.
Bahu dara itu terjongket lagi apabila suara Ian Zacry melengking hampir di cupingnya.
“Saya suruh kesat muka awak tu! Lepas ni, saya tak nak tengok lagi muka awak macam ni. Bukannya cantik pun! Awak faham tak?!”
Gigi diketap menahan sabar. Telinga berdesing mendengar cacian Ian Zacry. Serasa hendak dicepuk saja mulut lelaki ini. Biar Ian Zacry rasa, betapa sakitnya telinga dan hati dia.

6 comments:

  1. Satu permulaan yg awesome.. Teaser yg tak pernah menghampakan pembaca.. Love it... Zacry apakah isi hati mu .. Knp nk adakan rasa benci terhadap sofea... Why???

    ReplyDelete
  2. Satu permulaan yg awesome.. Teaser yg tak pernah menghampakan pembaca.. Love it... Zacry apakah isi hati mu .. Knp nk adakan rasa benci terhadap sofea... Why???

    ReplyDelete
  3. kesian dgn Ain ni.. x pasal2 jadi mangsa Ian Zacry

    ReplyDelete
  4. salam... blh saya tnya. buku ini msh dijualkh?

    ReplyDelete
  5. salam... blh saya tnya. buku ini msh dijualkh?

    ReplyDelete