“Encik Jaafar!”
Langkah pengurus ladang itu terbantut lalu berpaling.
“Ada apa-apa lagi ke tuan?”
“Saya nak minta tolong sikit boleh?”
“Boleh saja... Tuan nak suruh saya buat apa?”
“Kita ada simpan rekod pekerja-pekerja kan?”
“Ada tuan.”
“Saya perlukan rekod seorang pekerja masa arwah daddy saya dulu,” tambah Ian Zacry seraya tunak memandang Encik
Jaafar.
“Lama sangat tu tuan?”
“Mummy minta saya mencari seseorang.
Jadi saya perlukan maklumat tentang bekas pekerja kami dulu. Pemandu arwah daddy.”
“Arwah Ismail?” Tebak Encik Jaafar. Dia kenal orang yang dimaksudkan oleh
Ian Zacry. Seingat Encik Jaafar, dia mula bekerja di sini sebulan sebelum Tuan
Adam dan pemandunya meninggal. Siapalah yang boleh melupakan kejadian itu?
Rasanya, semua pekerja-pekerja lama di estet ini masih ingat peristiwa itu.
Pantas Ian Zacry goyang kepala ke atas dan ke bawah.
“Tapi dia kan dah...” Dahi Encik Jaafar berkerut tidak faham. Buat apa pula
mencari orang yang sudah lama meninggal dunia?
“Sebenarnya, mummy saya nak berjumpa
isteri arwah.”
Encik Jaafar diam agak lama. Kepala mula berfikir. Sulit juga tugas yang
diminta oleh tuannya ini.
“Saya akan cuba Tuan Ian tapi... rasanya susah sikit. Tuan sendiri tahulah,
ladang ni dulu macam mana. Sistem pemfailan dokumen tidak berapa baik.
Separuhnya ada yang sudah musnah. Tambahan, arwah Ismail tu pemandu saja. Saya
takut rekodnya tak ada di kilang.”
“Kalau tak jumpa rekodnya, boleh tak Encik Jaafar tanyakan kepada
pekerja-pekerja lama? Mungkin masih ada yang kenal arwah dan keluarganya. Tentu
ada yang tahu di mana kampung arwah.”
“Baiklah tuan. Saya akan cuba ikhtiarkan. Bila tuan nak maklumat ni?”
“Secepat yang mungkin.”
“Baik tuan.”
Selepas Encik Jaafar beredar, Ian Zacry merebahkan tubuhnya pada penyandar
kerusi. Dalam hati berdoa agar pencariannya ini dipermudahkan. Menjejaki orang
yang telah lama menghilang bukannya satu kerja yang mudah. Lebih-lebih lagi
tiada informasi lengkap. Jawabnya, seperti orang celik jalan meraba dalam
gelaplah!
Telefon bimbit di atas meja berbunyi. Struktur badan ditegakkan. Tanpa mahu
mencapai, leher dipanjangkan melihat pada skrin. Terus dia menepuk dahi
sendiri.
“Aduh terlupa!” Pantas tangan mengangkat telefon bimbit dari meja.
“Macam mana boleh lupa ni?” Ian Zacry merungut sendiri. Hujung jari
telunjuk segera dilayarkan pada muka telefon bimbit.
“You! You dekat mana?! Berapa lama I
nak kena tunggu ni?!”
Suara di sebelah sana memetir.
“You dah sampai ke?”
“Yalah! Sebelum bertolak tadi I
kan dah telefon you?”
“Sorry sayang... I terlupa...”
“Apa?! You lupakan I?”
Ian Zacry berdecit.
“Bukan I lupakan you. I
banyak kerja tadi. Leka buat kerja sampai terlupa nak jemput you...”
“Samalah tu!”
Air liur ditelan apabila mendengar suara kekasih hati yang sudah melenting.
“I suruh you terus ke estet ni you
tak nak.”
“Youuu... You ingat I ni apa?! Tak
kuasa I nak masuk estet tu. Geli tau!
Dah tentu banyak nyamuk. Berlumpur! Yarksss...”
“Bila I terlupa, you marahkan I pula...” Sayang punya pasal, badan letih pun layankan juga ragam
gadis ini.
“You memang tau! Dah dua minggu
kita tak jumpa. I balik dari Hong
Kong, you pula pergi melawat ladang. Malam
tadikan kita dah janji? I sanggup
turun jauh-jauh dari KL semata-mata nak jumpa you, tapi you lupa pula. I balik KL semulalah kalau macam ni!”
Buah hati di hujung sana bertambah merajuk.
“Sayang... Janganlah macam ni. I
minta maaf okey? I keluar sekarang. You tunggu I dekat sana. Lagi setengah jam I
sampai.” Ian Zacry memujuk.
“Apa?! Lagi setengah jam?! Lamanya?”
“Ladang ni jauh dari Seremban. Tentulah ambil masa nak sampai ke sana.
Tunggu I ya, sayang?” Pemuda itu
merayu lagi.
“Tak payahlah you jumpa I. Kalau setengah jam lagi I kena tunggu you, lebih baik I balik
KL semula.”
Semakin kuat pula rajuk si buah hati.
“Sayang... You rindukan I tak?”
“Mestilah!”
“I pun rindukan you. Kalau kita tak jumpa sekarang, lepas
seminggu nanti baru I boleh balik KL
tau.”
Yang di sebelah sana senyap tidak membalas. Ian Zacry menunggu.
Tengku Ellisa diam berfikir. Dalam hati terkutik. Kalau tidak berjumpa kali
ini, lewat lagilah dia boleh ‘mengetuk’ dompet lelaki itu. Selama ini pun, dia
sanggup bertahan dengan perangai Ian Zacry kerana lelaki itu bukan jenis orang
yang sayangkan duit. Asal merajuk saja, tentu dia disogok dengan pelbagai
barang. Selepas itu, hubungan mereka kembali normal seperti tiada apa-apa
berlaku.
Jika Ian Zacry bersikap tidak ambil berat kepadanya semula, dia buat
perangai lagi. Merajuk berhari-hari, dan Ian Zacry akan buat perkara yang sama
juga. Memewahkan dia dengan bermacam benda. Tindak-tanduk buah hati tak berapa
nak cintanya ini memang mudah benar diramal.
“Biarlah kita tak jumpa terus! You
lagi suka macam tu, kan?”
Sengaja Tengku Ellisa memanjangkan rajuknya. Barulah kedengaran meyakinkan
di telinga Ian Zacry. Lagi berkesan lakonannya, bertambah besarlah ganjaran
yang bakal dia peroleh. Silap hari bulan, dihadiahkan rantai mutiara. Cincin
bertahta permata ke. Siapa yang untung? Dia juga...
“Okey, okey. You bagi I masa dua puluh minit. I mesti sampai. You tunggu I ya?”
“Yalah! I tunggu. Kalau lebih daripada
dua puluh minit I balik KL,” ugut
gadis itu pula.
“I gerak sekarang. You tunggu. Bye!”
Talian ditamatkan. Segera Ian Zacry capai beg bimbit dan jaketnya. Kaki
terus meluru keluar dari pejabat. Dalam hati menyumpah. Menyalahkan diri
sendiri. Ini bukan kali pertama dia begini. Sudah selalu. Setiap kali ada janji
temu bersama Tengku Elliasa, dia sering terlewat. Setiap kali itu juga si
jantung hatinya merajuk. Maka bermulalah adegan pujuk-memujuk. Yang pasti, sesi
itu tidak akan berjalan lancar jika sekadar menggunakan mulut. Harus disertai dengan
sesuatu yang boleh meminarkan mata menggoyangkan lutut.
“Kopak lagilah... aku,” rengus Ian Zacry.
Nak buat macam mana? Sudah dia yang mahukan begitu. Selama ini, dia sendiri
yang terlampau memanjakan cinta hatinya dengan kemewahan. Sebabnya, itu saja
cara yang dia nampak untuk buatkan Tengku Ellisa terus bertahan bersamanya.
Cermin mata hitam disarungkan sebaik sahaja dia berada di dalam kereta.
Tangan pantas mengetik suis menghidupkan kuasa enjin. Pedal minyak dipijak. Menderum
bunyi ekzos. Gear dimasukkan dan BMW 316i lantas dipecut laju. Masa berbaki
sembilan belas minit lagi. Dia berdoa moga tiada kesesakan berlaku sepanjang
perjalanan ke bandar Seremban nanti.
Lima belas minit selepas itu, Ian Zacry sudah tiba di bandar Seremban.
Ketika memasuki kawasan bandar, keadaan jalan raya sedikit sesak. Lebih-lebih
lagi di hadapan bangunan Keretapi Tanah Melayu dan pejabat Pos Malaysia. Dia
terpaksa memandu di celah-celah kereta yang berpusu-pusu mahu memasuki kawasan
pusat bandar. Stereng kereta dipulas ke kanan. Kemudian dikilas pula ke kiri.
Dalam masa empat minit lagi, dia harus tiba di stesen minyak Petronas di
hadapan hentian bas Terminal 1. Jika terlewat, habislah dia. Hancurlah
harapannya mahu melepaskan rindu kepada Tengku Ellisa yang sudah dua minggu
tidak ditemui.
Sedang leka lelaki itu membilang saat yang berlalu, tiba-tiba melintas
seorang gadis di hadapan keretanya. Ian Zacry tergamam. Kaki kanan pantas
beralih memijak padel brek.
Skrettt...
Nyaring bunyi tayar bergeser dengan jalan. Harus seinci bunga tayar keretanya
hilang. Mujur jarak kereta yang membuntutinya jauh di belakang. Kalau tidak...
melekat!
BMW 316i terhenti di tengah jalan. Ian Zacry mengurut dada kelegaan. Mujur keretanya
tidak merempuh gadis itu. Jika dilanggar tadi, kalau tak patah riuk, sahih
makan gulai labu. Dia menekan suis automatik. Tingkap kereta perlahan
menggelongsor turun. Lalu kepala dijengah keluar. Gadis itu perlu diberi
kesedaran sivik. Masa sekolah tadika dulu cikgu tak ajar cara-cara nak melintas
jalan agaknya. Sebab tu seperti anak kambing terlepas kandang. Main serbu saja.
Tak pandang kiri kanan. Kalau berlaku apa-apa tadi, sudah tentu panjang cerita.
Siapa yang susah? Dia... juga. Paling penting, pengarang jantung yang sedang
menanti tu.
Baru saja mulut Ian Zacry terbuka sedikit hendak bersuara, gadis itu yang terlebih
dahulu menghembur kasar kepadanya.
“Oi mat saleh kekwat! Kau ingat, ini
negara kau ke? Sesuka hati bawa kereta macam orang gila. Tahulah kereta tu
besar! Mahal! Tak reti nak perlahan?”
Bersama serangan suara itu, kaki gadis tersebut juga menendang pada tayar
keretanya. Ian Zacry tergamam melihat keganasan si ayu. Tak sangka. Wajah
lembut, tetapi tidak pada kata-kata dan perbuatannya.
Brutal habis!
Kereta di belakang mula bising menekan hon berkali-kali. Ian Zacry
tersentak. Si manis yang mengherdiknya tadi sudah mencelah di antara kereta
lain dan kini berada di seberang jalan sana. Nafas geram dilepas kuat. Gear
kereta ditukar. Tapak kaki kanan beralih kepada padel minyak dan kereta mula
bergerak perlahan. Namun anak matanya masih melekat kepada kelibat gadis itu
yang sedang memasuki bangunan Seremban Prima.
Ian Zacry mendengus lagi.
“Patutnya aku yang marahkan dia, tiba-tiba melintas jalan. Alih-alih, aku
pula yang di‘bahasa’kan. Mental betul! Harapkan muka saja lawa. Garang nak
mampus!” bebel Ian Zacry.
Kalaulah tidak mengenangkan Tengku Ellisa yang sedang menunggu, harus dia
parkir kereta ke tepi dan mengejar gadis itu. Bagi ceramah sivik dan pendidikan
moral sikit.
“Langsung tak reti minta maaf! Pada hal dia yang buat salah,” rungut Ian
Zackry lagi. Hati bertambah sakit kala terlihat kepada jejantas yang disediakan
tidak jauh di hadapannya.
“Memang macam anak kambing tak pergi sekolah. Jejantas ada tapi tak reti
nak guna.” Tidak habis Ian Zacry menggerutu geram.
Sekilas anak mata beralih kepada jam digital pada dashboard.
“Alamak! Dah lambat!”
Gear pecutan BMW 316i ditingkatkan. Kereta meluncur laju menghampiri
Terminal 1 yang cuma berjarak beberapa kilometer saja lagi. Sambil itu, dalam
hati tidak berhenti menyalahkan gadis tadi sebagai punca kelewatannya ini.
Nampaknya, merajuk lagilah Tengku Ellisa. Silap hari bulan, buah hati
pengarang jantung dia tu tidak sabar menunggu. Barangkali, sudah bertolak
pulang ke Kuala Lumpur agaknya.
“Huhhh...” Dia mengeluh panjang.
Kereta terus dipandu ke destinasi yang mahu dituju biarpun sebentar tadi di
dalam kepala menjangka yang Tengku Ellisa mungkin sudah tiada di sana. Sebaik
sahaja terlihat kereta Nissan Teana milik Tengku Ellisa berada di lot parkir stesen
minyak Petronas, hati yang gelisah sekelip mata terasa lega. Senyum spontan terlorek
luas. Gembira apabila melihat Tengku Ellisa masih setia menanti ketibaannya. Namun,
senyuman itu terpadam selepas beberapa ketika. Otak pantas berputar. Ligat
mencari jalan bagi memujuk si jantung hati. Paling penting, tebalkan cuping telinganya
ini. Rugutan Tengku Ellisa pastinya sukar hendak berhenti.
“Nasib kaulah Ian... Dah sayang sangat dengan El tu kan? Hadap sajalah
perangai dia tu.” Lelaki itu berbisik sendiri.