Total Pageviews

Wednesday, November 2, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 20




“Ehem! Ehem!” Luth Michail batuk kecil.
Keduanya berpaling. Ian Zacry angkat kening. Ain Sofea pula terbeliak. Pandangan terus hinggap ke puncak hidung lelaki di hadapannya. Jelas warna kemerahan ada di situ. Inilah lelaki tadi. Lelaki yang dia hempaskan pintu betul-betul di depan mukanya. Siapakah dia?
Malu lagiii... Mana nak lari ni? desis Ain Sofea. Anak mata dilarikan daripada melihat lelaki di muka pintu itu. Ini bukan enam belas inci. Sekarang sudah jadi tiga puluh dua inci tebal kulit mukanya.
“Kau tak tidur lagi?” soal Ian Zacry bernada serius. Sekelip mata perwatakannya bertukar.
“Lupa? Kan mummy nak jumpa kita berdua.” Luth Michail senyum senget. Tadi bukan main. Ketawa mengekek-ngekek. La ni, bersuara keras macam orang tercekik.
Ain Sofea yang mendengar perbualan itu mula libang-libu. Mummy? Ian dan lelaki ni adik-beradik ke?
“Aku terlupa. Mummy mana?”
“Tak tahu. Aku dengar orang berborak. Aku ingatkan mummy ada kat sini.”
Mummy dalam bilik lagi agaknya,” teka Ian Zacry.
Gadis itu telan air liur. Sah! Memang dia orang berdua ni adik-beradik. Rasa malu dan segannya semakin bertimpa-timpa. Kejadian dia pengsan petang tadi dan menghempas pintu di hadapan muka adik Ian Zacry terbayang-bayang di dalam kepala. Dia kena lari dari sini. Tak sanggup hendak berhadapan dengan lelaki-lelaki ini dan ibunya.
Malu tahap gaban wei!
“Saya naik ke bilik dululah!” Tanpa bertangguh terus dara itu beredar. Ketika melalui sisi adik Ian Zacry, kepalanya dijatuhkan memandang lantai. Tidak berani menentang wajah lelaki itu.
“Ain! Tunggu dulu!” Ian Zacry menghalang. Namun Ain Sofea tidak mempedulikannya. Tergesa-gesa gadis itu pergi meninggalkan mereka berdua.
Pantas Ain Sofea melangkah mata tangga naik ke tingkat atas. Di kepala tangga hampir dia terlanggar seseorang.
“Allah!”
“Maafkan saya makcik,” pohon Ain Sofea. Cepat tangan wanita tua itu dicapai dan segera dijabat. Rasanya, ini bukan ibu Ian Zacry. Sebab wanita ini tidak serupa langsung irasnya dengan wanita yang menantinya di hadapan pintu rumah petang tadi.
“Dari mana tergocoh-gocoh ni?”
“Dari dapur. Saya nak naik ke bilik,” jelas Ain Sofea.
“Patutlah Mak Munah tengok kat bilik cik tak ada.”
“Makcik cari saya?” Ain Sofea angkat kening rasa pelik.
“Puan Ku suruh Mak Munah tengokkan cik.”
“Puan Ku?” Ain Sofea kerut kening. Siapa pula tu?
“Ya! Puan Ku risau kalau-kalau cik tak sedar lagi. Baguslah cik dah sedar. Cik okey tak?”
Laju Ain Sofea mengangguk. Dalam kepala sibuk mencari jawapan siapa Puan Ku itu.
“Makanan yang Mak Munah hantar tadi, cik dah jamah?”
Angguk lagi.
“Dulangnya saya dah hantarkan ke dapur. Pinggan pun dah basuh,” beritahu Ain Sofea tanpa diminta.
“Laaa... Kenapa susah-susah? Kerja Mak Munah, biar aje Mak Munah yang buat.” Bahu gadis itu diusap perlahan. Manis sungguh si dara ini, pujinya dalam hati. Budi pekerti pun tinggi.
“Makcik ni...”
Belum habis soalan dikeluarkan Mak Munah segera menjawab.
“Mak Munah orang gaji kat dalam rumah ni. Puan Ku tu, namanya Tengku Marlia, majikan Mak Munah. Mummy Ian, kawan cik tu,” beritahu Mak Munah secara suka dan rela.
Perlahan Ain Sofea angguk kepala. Lagi bertimbun rasa segan dan malunya mahu berjumpa ibu Ian Zacry. Keturunan tengku-tengku rupanya orang di dalam rumah ini. Tak sangka pula Ian Zacry berdarah raja. Kalau dah membawa gelaran tengku tu, maknanya mereka semua berketurunan sultanlah.
Alahaiii... Macam mana nak beradap di depan mereka? Dia bukannya tahu protokol berjumpa orang-orang istana. Nak kena menjunjung sembah bagai ke? Tak boleh jadi ni. Baik duduk terperap dalam bilik saja.
“Saya masuk ke bilik dulu ya, makcik.”
“Mak Munah. Panggil Mak Munah aje.”
“Errr... Saya masuk bilik dulu Mak Munah.”
“Yalah! Kalau cik nak apa-apa, panggil aje Mak Munah. Bilik Mak Munah kat bahagian belakang dapur tu.”
“Terima kasih Mak Munah.” Kaki segera menyambung langkah menuju ke bilik di mana dia menumpang. Tak mahu bertembung dengan Tengku Marlia pula di situ.
Di dalam bilik, Ain Sofea tidak senang berbaring. Pusing ke kiri tak kena. Pusing ke kanan rasa kurang selesa. Hendak telangkup lagilah pula. Jadi sesak nafasnya. Sekali lagi dia kalih. Tubuh terlentang menghadap siling yang berukir cantik.
‘Menyesal betul aku datang ke rumah ini,’ rungut Ain Sofea tidah sudah.
‘Keturunan tengku rupa-rupanya mamat tu. Tak sangka pula aku. Peel serupa orang kebanyakan aje. Yang mengintai aku tadi tu, betul ke adik dia? Kenapa roman tak serupa? Ian bermata biru. Lelaki tu berwajah Melayu.’ Ain Sofea terus mengomel.
Memikirkan lelaki itu berkemungkinan salah seorang anak Tengku Marlia dan adik kepada Ian Zacry, Ain Sofea berdecit kuat. Habislah dia kalau betul lelaki itu anak Tengku Marlia. Selamba tenuk saja dia herdik lelaki tu tadi. Sudahlah ditengking, dihempas pula pintu di depan muka.
Bila otak terasa tenat bekerja keras, mulalah badan pun memberi tindak balas. Rasa berbahang tidak semena-mena. Padahal, pendingin hawa suhunya hampir takat beku. Tekak mula terasa perit dan kering.
‘Tak ada air kosong pula dalam bilik ni,’ gerutu gadis itu. Nak turun ke dapur dia tidak berani. Takut terserempak lagi dengan adik Ian Zacry. Mana dia nak letak muka? Apa dia nak cakap? Dia harus minta maaf ke?
Ain Sofea mengeluh. Semput betul nafasnya berada di dalam rumah ini. Takut nak jumpa mummy Ian Zacrylah. Takut jumpa adik Ian Zacrylah. Habis tu, sampai bila nak menyorok dalam bilik ni? Besok pagi, kena keluar juga. Nanti apa pula kata mummy Ian Zacry? Tak ada adab sangat pula dia sebagai tetamu. Langsung tidak mahu bertemu dengan tuan rumah.
Tekak terasa semakin perit. Akhirnya Ain Sofea memberanikan diri untuk turun ke dapur. Kalau ditahan dahaganya, silap hari bulan boleh hilang suara. Dia menuju ke pintu. Tangan menarik tombol pintu. Sebelum melangkah keluar, dia jenguk kepala ke kiri.
“Line clear!” Tiada kelibat manusia di sepanjang laluan itu. Dia alih pula kepala ke kanan.
“Ain Sofea!”


“Oi mak kau!” Sergahan itu buatkan Ain Sofea terkejut.
Ian Zacry menggeleng kepala apabila melihat Ain Sofea tersandar pada bingkai pintu.
“Takkan nak pengsan lagi? Sikit-sikit nak rebah. Sikit-sikit nak tumbang. Apa teruk sangat darah gemuruh awak ni? Ke awak memang nak saya cempung awak kali kedua?” Ada nada mengejek pada lantunan tutur kata Ian Zacry. Senyum nipis juga tersungging pada bibirnya.
Amboi! Mulut? Tahulah ini kawasan jajahan dia. Jam-jam nilah nak tunjuk lagak. Terbantut Ain Sofea hendak membalas kata-kata Ian Zacry kala terlihat ada satu susuk tubuh di belakang lelaki itu.
Mummy Ian Zacry!
Segera mulut ditutup rapat dan terus menelan liur. Wanita itu datang menghampirinya.
“Aaampun tttengku...” Pantas gadis itu menjatuhkan kepala dan mengangkat sembah dalam ketar.
Ian Zacry yang melihat letus ketawa. Ain Sofea yang mendengar langsung tidak terasa. Malahan dia bimbang. Mungkinkah caranya mengadap Tengku Marlia tidak betul adapnya?
“Iannn...” Keras suara Tengku Marlia menegur.
Ian Zacry menekup mulut tetapi gelagat Ain Sofea yang masih menjunjung sembah buatkan dia gagal menahan tawanya. Lawak sungguh!
Melihat Ian Zacry seperti tidak mahu reda tawanya, lantas tangan Tengku Marlia laju menampar bahu anak terunanya itu.
“Sudah Ian!” Pelik pula Tengku Marlia dengan sikap Ian Zacry malam ini. Selalunya tidak begini. Nak nampak dia tersenyum pun susah. Lagikan pula ketawa.
Sorry mummy.” Jejaka itu kemam bibir.
“Ain Sofea, kan?” Tengku Marlia raih tangan gadis itu. Perlahan dia menolak turun tautan tangan Ain Sofea yang bertemu di depan dahi.
“Ya tttengku...,” menggeletar suara Ain Sofea membalas.
“Tak perlulah mengangkat sembah macam ni.”
Aaa...?” Ain Sofea kalut. Kalau tak menjunjung sembah, habis tu nak buat apa?
“Saya bukannya raja. Permaisuri pun tidak. Hanya ada pertalian darah yang sangat jauh.” Tengku Marlia ukir senyuman manis. Dia tahu gadis ini sebenarnya gugup.
Kalau begitu, tak perlulah dia risau takut melanggar protokol. Ain Sofea lepas nafas lega. Sempat juga dia mengerling kepada Ian Zacry yang masih menahan tawa. Orang buat salah bukannya nak tegur. Dijadikan bahan lawak pula. Siot betul mamat ni. Nampaknya, bertambah lagi satu perkara yang buatkan dia berasa semakin malu mahu berhadapan dengan Tengku Marlia anak-beranak.
“Lagi satu, tak payah kut panggil tengku-tengku ni. Tak mesra. Apalah sangat dengan pangkat dan darjat. Bukan boleh dibawa mati pun. Darah kita tetap sama merah, kan?”
Gadis itu angguk kecil.
“Maafkan saya Puan Ku,” mohon Ain Sofea seraya menghulurkan tangan. Jika tak perlu mengangkat sembah, kenalah bersalaman.
Jabat dara itu disambut mesra oleh Tengku Marlia. Wanita itu juga turut mengelus lembut bahu Ain Sofea kala dara itu menyinggahkan dahi ke tangannya.
 “Hmm... Puan Ku?” Tengku Marlia menyoal.
Ain Sofea faham. Tentu Tengku Marlia bertanya dari mana dia tahu panggilan Puan Ku itu. Kalau dah panggil tengku tak mahu, Puan Ku lah! Seperti yang Mak Munah gelarkan. Takkan salah lagi kut?
Emm... Mak Munah yang beritahu.” Gigih Ain Sofea mengawal debar.
“Saya nak panggil Ain Sofea apa?”
 “Puan Ku boleh panggil Ain aje.” Seramah mungkin Ain Sofea menjawab.
“Kalau begitu, Ain kena panggil mummy. Tak mahulah panggil Puan Ku. Ain bukannya bekerja dengan saya nak panggil begitu. Ain kawan Ian kan?”
Angguk sajalah Ain Sofea oi! Jangan disanggah.
“Kalau kawan Ian, bermakna kawan mummy juga. Panggil mummy aje, okey?”
Belum sempat Ain Sofea setuju Ian Zacry sudah mencelah.
Mummy..., sejak bila pula kawan Ian jadi kawan mummy ni? El tu tak nak pula mummy jadikan kawan? Tak nak pula mummy suruh dia panggil mummy, mummy?” Wajah Ian Zacry sedikit keruh. Padam warna ceria tadi di mukanya.
“El tu lain. Ain ni lain.”
Ian Zacry singgahkan jelingannya pada Ain Sofea.
Dah kenapa nak menjeling pula? Marah pasal mummy dia tak nak berkawan dengan El? Siapa El tu? Apa kena-mengena pula aku dengan El yang dia nak jeling aku? Memang ada angin pasang betul mamat ni. Tadi okey aje. Ni meroyan tiba-tiba, detik hati Ain Sofea. Sebagai balasan dia jeling Ian Zacry semula.
“Macam mana, Ain dah okey?”
“Okey Puan Ku.”
Ha a a... Apa dia? Bukan Puan Ku tapi mummy!”
“Ya ya ya. Ain okey mmmummy.” Aduh! Kekok betul. Ganjil sangat bunyinya. Lidah orang kampung. Dah biasa panggil mak, nak disuruh panggil mummy. Memang tergeliatlah! Patah sepuluh tulang lidah. Eh! Lidah ada tulang ke? Hantam sajalah Labu...
“Kalau Ain penat, Ain pergilah berehat.”
“Sebenarnya Ain nak ke dapur minum air,” beritahu gadis itu sambil cuba untuk tersenyum. Tak sangka sungguh Tengku Marlia sebaik dan selembut ini. Ingatkan orang kaya-kaya lebih-lebih lagi keturunan tengku-tengku ni, kerek ya ampun!
Mummy panggilkan Mak Munah suruh hantarkan air ke bilik Ain ya?”
“Tak apa. Ain boleh pergi ambil sendiri. Ain tak nak menyusahkan Mak Munah. Mungkin Mak Munah tengah tidur. Kesian pula dengan Mak Munah.”
Tengku Marlia senyum membalas. Baik sungguh budi bahasa dara ini. Bertimbang rasa pula tu, detak hati tuanya.
Ian Zacry yang memerhati kemesraan antara ibunya dan gadis itu sedari tadi mula berfikir sesuatu. Betul ke tindakannya membawa Ain Sofea ke rumah ini? Kalaulah Tengku Ellisa tahu, teruk dia. Makin kusut nanti jika kekasih hatinya itu tahu yang ibunya melayan Ain Sofea lebih baik daripada dia. Tengku Ellisa sendiri pernah bersuara. Sedar bahawa mummynya tidak pernah menyukai dia.
“Ain nak turun ke dapur, kan?”
Gadis itu hanya mengangguk.
“Kalau begitu, jomlah! Mummy pun nak buat air. Sambil tu boleh kita sembang-sembang. Kenal-kenal.” Senyum digariskan selebar mungkin buat gadis itu. Semakin berkenan hatinya kepada gadis yang tidak dikenali ini. Seperti ada hubungan di antara mereka.
“Baik Pu... Mmmummy.” Panggilan yang tersasul cepat dibetulkan. Senyuman Tengku Marlia dibalas dengan senyuman juga. Ketika dia menoleh kepada Ian Zacry, seorang lagi lelaki muncul di situ. Itulah adik Ian Zacry. Terus pandangan Ain Sofea melekat ke hidung jejaka itu yang masih merah.


Mummy..., kata nak jumpa? Tadi lama Ail dengan abang tunggu kat dapur.”
Ain Sofea menekur lantai. Tidak berani menentang wajah jejaka yang sedang berkata-kata itu.
“Ail, kenapa hidung tu merah?” Tengku Marlia abaikan soalan Luth Michail. Hidung serupa badut itu yang lebih menarik perhatiannya.
Menelan liur Ain Sofea mendengar Tengku Marlia bertanya gusar. Dari ekor mata dia lihat Tengku Marlia mendekati lelaki yang dipanggil Ail. Hidung mancung jejaka itu juga dibelek.
“Kena pintu,” balas Luth Michail sambil anak mata singgah ke wajah Ain Sofea yang sudah pucat.
“Macam mana boleh kena pintu ni...? Berdarah tak?” Jelas Tengku Marlia risau melihat keadaan hidung Luth Michail.
Glup!
Telan lagi air liur. Badan rasa sudah keras. Ain Sofea tidak berani memanggung muka. Jika Tengku Marlia tahu, hidung anak lelakinya jadi pesek kerana dia, agak-agaknya wanita itu saman dia tak?
“Ian tanya tadi pun, dia jawab macam tu juga mummy. Entah letak kat mana mata. Pintu pun dia langgar,” tutur Ian Zacry dalam nada memerli.
Luth Michail buat tidak peduli. Takkan nak bertekak dengan abangnya di depan tetamu? Tetamu yang cantik jelita pula tu!
“Alah! Tak ada apalah mummy. Sikit aje ni. Esok hilanglah.”
“Hmm... Macam-macam!” cantas Tengku Marlia.
Mummy kata tadi nak jumpa?” tanya Luth Michail semula.
“Jomlah kita ke dapur. Mummy rasa, ayahanda long mesti tak balik malam ni. Kita berbual kat dapur sambil minum.” Tengku Marlia kalih mendapatkan Ain Sofea. “Ain, yang ini anak mummy yang bongsu. Luth Michail namanya.”
Gadis itu panggung muka. Sangat ketat bibirnya mengukir senyuman kepada si teruna. Luth Michail. Ian Zacry. Nama ala-ala mat saleh gitu. Kalau berpandukan kepada nama, memang kedengaran seperti adik-beradik tetapi, roman masing-masing langsung tidak seiras.
Mummyyy...?” soal Luth Michail dalam nada teruja ingin tahu. Ian Zacry dikerling. Memang sahih ada sesuatu.
“Yalah! Ini kawan abang, kan? Jadi tak salah kalau mummy nak dia panggil macam tu,” tukas Tengku Marlia.
“Memanglah tak salah tapi...”
Lekas Tengku Marlia memintas kata-kata Luth Michail apabila melihat riak tidak senang Ian Zacry kepada Luth Michail. Anak sulungnya ini memang pantang dicuit oleh adiknya.
“Ail, ni kawan abang. Ain Sofea namanya.”
“Kami dah jumpa tadi mummy. Cuma tak sempat nak berkenalan aje,” beritahu Luth Michail.
Ain Sofea rasa seperti Luth Michail sedang memerlinya apabila lelaki itu bersuara sambil mengurut-urut hidung mancungnya yang memerah.

Tuesday, November 1, 2016

BENCI / CINTA... AWAK BUDAK NAKAL



Novel ke3 saya kali ini diterbitkan oleh ANAASA PUBLICATION
Untuk bacaan sinopsis anda boleh ke label BLURB
Untuk bacaan bab-bab awal & teasers klik di label yang bertajuk Benci/Cinta... Awak Budak Nakal

Jumlah muka surat : 615

Harga :
Semenanjung RM27.00
Sabah / Serawak RM30.00

Boleh di dapati di bookstore
Atau pembelian secara online di

https://www.facebook.com/anaasapublication/?ref=page_internal
Sila tinggalkan mesej anda, pasti mereka yang sangat ramah di sana melayan setiap pertanyaan anda

Semoga terhibur

Salam sayang
Qaseh Farina







Review Dan Komen Dari Pembaca



Jom kita baca review dan komen daripada beberapa pembaca yang telah memiliki BENCI /CINTA... AWAK BUDAK NAKAL




Monday, October 31, 2016

BENCI / CINTA... AWAK BUDAK NAKAL - BLURB



BUKU KE3

Suka Ayin? Oh! Please...bukan taste Yayalah! Ayin tu, berlagak ya ampun. Harapkan muka saja handsome, tapi perangai hampeh!

Namun, perasaan mula berubah selepas mengetahui kenapa Ayin jadi begitu. Bahagia berbunga apabila Ayin mula menyedari kewujudannya, tetapi hanya seketika.

“Ooo... Kau tak layan aku ya, Sinar? Tak apa... Cara halus tak jalan, aku buat cara kasar. Cara baik tak dapat, aku buat cara jahat.” – Ayin

Setiap hari ada saja yang Ayin lakukan untuk pedajal Yaya hanya untuk mendapatkan perhatian Yaya.

“Apa songsang sangat cara Ayin tu, along? Ada ke nak rapat dengan Yaya, selalu pedajalkan Yaya?” - Yaya

Itulah Ayin. Dia lain daripada orang lain.

Tanpa terduga, keadaan memisahkan mereka. Pertemuan semula selepas sekian lama, merupakan permulaan sebenar kisah cinta mereka. Yaya tersepit antara budi dan hati apabila Puan Julita berura-ura mahu menjodohkannya dengan Chad. Adakah Ayin akan teguh berdiri untuk merebut cinta Yaya selepas mengetahui Chad sahabatnya juga menyukai gadis yang sama? Dan, kecewakah Ayin apabila Along akan disatukan dengan Yaya atas permintaan isteri Along?

Saat kekusutan mula terungkai, Adilia hadir memusnahkan segalanya. Kasih lama ditagih. Yaya rebah dengan percaturan hidupnya.

Namun bagi Ayin, dia hanya ada Yaya. Jika dia perlu menjadi budak nakal semula untuk memikat hati Yaya, dia akan buat! Andai dia perlu pedajal Yaya untuk memujuk Yaya, dia juga akan lakukan! Dan jika dia terpaksa sakitkan hati Yaya untuk mendapatkan perhatian Yaya, dia akan sakitkan! Hanya untuk kembali merebut hati Yaya.

“Cara dia menginterpretasikan perasaan dia, pelik daripada orang lain. Tak sama macam orang lain. Dengan ketidaksamaan itulah, aku percaya, cara dia menyayangi dan mencintai kau, takkan kau jumpa pada orang lain.” Mampukah kata-kata ini membuka semula hati Yaya untuk Ayin?

Wednesday, June 8, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 19




Eee... Malunyaaa...” Tangan meramas kedua belah pipi dengan mata yang dipejam rapat. Kemudian diketuk-ketuk kepalanya pula.
“Macam manalah aku boleh pengsan tadi?” Kali ini tepi dahi digaru kasar. Malang betul! Masa tulah juga darah gemuruh datang. Tak boleh ke datang hari lain? Besok pagi ke? Lusa ke?
Disebabkan darah gemuruh inilah dia tak suka bertukar-tukar kerja. Ketika sesi temu duga minta kerja di kilang dan Parkson dulu pun, hampir pitam juga dia. Puas berpaut pada meja supaya badan tidak tumbang. Orang yang menemu duga sudah besar kecil besar kecil dipandang. Mujur tak sampai pengsan. Tapi hari ni...
“Aduhhh... Buat malu betul!” Agaknya apa tanggapan mummy Ian Zacry kepadanya? Entah bagaimanalah Ian Zacry mentertawakannya? Mesti terburai perut lelaki tu tergelak. Siap berguling-guling barangkali.
“Ni semua mamat tu punya pasallah! Kalau dia tak bawa aku ke sini, tak payah aku jumpa mummy dia. Dah la keluarga dia ni bapak punya kaya. Aku mana biasa jumpa orang-orang kaya ni!” rungut Ain Sofea lagi. Anak mata melilau melihat setiap sudut bilik.
“Tengoklah bilik ni! Dah macam bilik tuan puteri anak raja kayangan!” Tangan menggesel-gesel pula pada cadar tilam. Lembut, halus dan licin. Sejenak dia merasa takjub dengan keindahan bilik yang dia tumpangi. Kalau sudah bilik tidurnya pun begini punya cantik, apatah lagi ruang-ruang yang lain. Nak hairan apa? Orang kaya!
Ish! Seram nak menumpang lama-lama. Kalaulah diberi pilihan, aku lebih sanggup tidur di hotel murahan.” Pandangan jatuh kepada hidangan yang bertutup di atas meja sisi di tepi katil. Bagus pula layanan penghuni rumah ini. Makanan siap dihantar ke bilik. Tentu mereka bimbang dia kelaparan dan segan hendak ke dapur mencari makanan. Segera tangan dipanjangkan membuka tutup makanan. Semerbak bau asam pedas menerobos rongga hidung. Tiba-tiba perut terasa lapar.
“Mandi dan solat dululah!” Solat maghribnya perlu diqada. Perlahan Ain Sofea bangkit meninggalkan birai katil selepas mencapai sepasang pakaian dan tuala yang disediakan di hujung katil. Memang sungguh prihatin tuan rumah ini kepada dia tetamu tak dijangka mereka.
Sebelum melangkah ke bilik air, mata melilau mencari sesuatu. Di sana, di sudut bilik tergantung sehelai sejadah dan sepasang telekung pada rak. Di siling tertera arah kiblat. Ain Sofea hembus nafas lega. Tak perlulah dia mencari seseorang untuk bertanya.
Usai solat Ain Sofea menjamah makanan yang disediakan. Habis licin dikerjakan. Sedap sungguh! Ke dia memang lapar? Mangkuk dan pinggan yang telah kosong direnung kejap. “Takkan nak biar kat sini aje?”
Setelah agak lama berfikir, Ain Sofea ambil keputusan untuk menghantar dulang makanan itu ke dapur. Adat menumpang, kenalah ringan tangan. Dah diberi makan, takkan basuh pun tak senang? Soal malu, segan, tolak tepi. Budi pekerti kena tinggi. Barulah bakal mentua senyum nampak gusi. Siapa bakal mentua kau Ain oiii...? Jangan nak berangan sangatlah!
Berhati-hati Ain Sofea keluar dari bilik. Mata meliar ke sana dan ke sini. Bukannya takut, cuma segan jika terserempak dengan penghuni rumah ini. Terutama budak lelaki yang dia hempas pintu di hadapan mukanya tadi. Sudahlah hidung tinggi macam paruh belatuk. Tentu merah hujung hidungnya.
Senyap derap disusun menuruni tangga sambil menatang dulang. Tingkat bawah sunyi sepi. Sudah tidurkah orang di dalam rumah ini?
“Baru pukul sembilan lebih kut. Pasti semuanya berada di dalam bilik masing-masing,” tebak gadis itu penuh yakin.
Langkah diteruskan. Seperti sudah biasa, kakinya tahu di manakah terletaknya bahagian dapur. Eleh... Setakat cari dapur, bukan susah pun... Tentulah kat belakang sana. Takkan dapur kat depan pula, ya tak?
Deretan suis pada dinding diteliti. “Mana satu pula suis lampu? Jika salah ketik suis, takut terang sangat pula. Nanti mummy Ian tahu ada orang di dapur. Malu haih nak jumpa mummy dia sekarang ni! Esok sajalah baru berkenalan.”
Tanpa menyalakan lampu pendarfluor dapur, Ain Sofea menuju ke sinki. Bahagian itu sedikit terang disinari oleh cahaya lampu dari koridor belakang yang menerobos masuk melalui tingkap kaca. Memadai untuk dia melihat ketika mencuci.
Tik! Dapur tiba-tiba terang-benderang.
Kepala terteleng ke kiri.
“Mak kau!” Kelibat yang berdiri di pintu masuk ke dapur memeranjatkan Ain Sofea.
Ian Zacry ketawa. “Penakut juga awak ni rupanya?”
“Bukan penakutlah! Orang terperanjat aje!” Jejaka itu dijeling tajam. Kerja mencuci pinggan diteruskan. Segan hendak menentang wajah Ian Zacry apabila teringatkan peristiwa dia pengsan petang tadi.
“Yalah tu terperanjat? Ke takut? Nasib tak pengsan macam petang tadi. Sakit tangan saya ni mencempung awak bawa naik ke atas pun belum hilang lagi tau!”
Erk!
“Cccuba... aaawak ulang semula. Siapa yang cempung saya?” Tangan terhenti dari mencuci. Jantung mula dup dap dup dap.
Ian Zacry menghampiri gadis itu. Pinggan yang sudah dicuci, dibilas dan dilap kering. “Sayalahhh... Takkan mummy pula? Mana larat mummy tu nak papah awak.”
“Aaawak?!” Bular mata melihat Ian Zacry.
“Yalah, saya. Siapa lagi?”
Bibir bawah digigit kuat. Muka dibuang ke tepi. Aduhhh... Malunyaaa...
“Nasiblah awak tu ringan. Kalau berat, bersimenlah jawabnya tangan saya ni. Patah dua!” usik Ian Zacry. Suka melihat wajah gadis itu merona merah. Dia kemudian ketawa perlahan seraya menggeleng kepala apabila melihat Ain Sofea gugup menahan malu. “Kalau awak pengsan lagi, bagus juga. Rezeki sayalah tu nak cempung awak sekali lagi. Bukan selalu dapat!”
Pap!
“Adoi!” Ian Zacry mengusap bahu kirinya yang terasa perit.
“Awak jangan nak lebih-lebih ya! Itulah kali pertama dan terakhir awak dapat sentuh saya. Jangan harap ada yang kedua.”
Ian Zacry ketawa lagi apabila muncung Ain Sofea semakin panjang. Sakit bekas ditampar oleh tangan gadis itu terus hilang. “Macam mana? Awak dah okey ke?”
“Hm!” Ringkas saja Ain Sofea membalas. Kerja mencuci pinggan diteruskan.
“Dah laaa... Tak payah nak malu sangat. Tengah darurat kut. Bukan saya suka-suka nak cempung awak. Saya pun tahu batas-batas antara kita,” pujuk Ian Zacry. Senyumnya masih lebar di bibir sementara anak mata tetap merenung kepada gadis itu.
Di pintu masuk ke dapur, sekujur tubuh berdiri memandang Ian Zacry dan Ain Sofea. Ada riak keliru pada wajah manusia itu. Setahunya, Ian Zacry memang susah hendak tersenyum. Apatah lagi ketawa, tetapi tadi berdekah-dekah pula gelaknya. Memang gadis itu ada sesuatu. Hingga mampu buat abangnya jadi begitu. Alamatnya, Tengku Ellisa bakal... bye bye lah tu!