Total Pageviews

Wednesday, June 8, 2016

Jantung Hatiku Si Mata Biru - Teaser 19




Eee... Malunyaaa...” Tangan meramas kedua belah pipi dengan mata yang dipejam rapat. Kemudian diketuk-ketuk kepalanya pula.
“Macam manalah aku boleh pengsan tadi?” Kali ini tepi dahi digaru kasar. Malang betul! Masa tulah juga darah gemuruh datang. Tak boleh ke datang hari lain? Besok pagi ke? Lusa ke?
Disebabkan darah gemuruh inilah dia tak suka bertukar-tukar kerja. Ketika sesi temu duga minta kerja di kilang dan Parkson dulu pun, hampir pitam juga dia. Puas berpaut pada meja supaya badan tidak tumbang. Orang yang menemu duga sudah besar kecil besar kecil dipandang. Mujur tak sampai pengsan. Tapi hari ni...
“Aduhhh... Buat malu betul!” Agaknya apa tanggapan mummy Ian Zacry kepadanya? Entah bagaimanalah Ian Zacry mentertawakannya? Mesti terburai perut lelaki tu tergelak. Siap berguling-guling barangkali.
“Ni semua mamat tu punya pasallah! Kalau dia tak bawa aku ke sini, tak payah aku jumpa mummy dia. Dah la keluarga dia ni bapak punya kaya. Aku mana biasa jumpa orang-orang kaya ni!” rungut Ain Sofea lagi. Anak mata melilau melihat setiap sudut bilik.
“Tengoklah bilik ni! Dah macam bilik tuan puteri anak raja kayangan!” Tangan menggesel-gesel pula pada cadar tilam. Lembut, halus dan licin. Sejenak dia merasa takjub dengan keindahan bilik yang dia tumpangi. Kalau sudah bilik tidurnya pun begini punya cantik, apatah lagi ruang-ruang yang lain. Nak hairan apa? Orang kaya!
Ish! Seram nak menumpang lama-lama. Kalaulah diberi pilihan, aku lebih sanggup tidur di hotel murahan.” Pandangan jatuh kepada hidangan yang bertutup di atas meja sisi di tepi katil. Bagus pula layanan penghuni rumah ini. Makanan siap dihantar ke bilik. Tentu mereka bimbang dia kelaparan dan segan hendak ke dapur mencari makanan. Segera tangan dipanjangkan membuka tutup makanan. Semerbak bau asam pedas menerobos rongga hidung. Tiba-tiba perut terasa lapar.
“Mandi dan solat dululah!” Solat maghribnya perlu diqada. Perlahan Ain Sofea bangkit meninggalkan birai katil selepas mencapai sepasang pakaian dan tuala yang disediakan di hujung katil. Memang sungguh prihatin tuan rumah ini kepada dia tetamu tak dijangka mereka.
Sebelum melangkah ke bilik air, mata melilau mencari sesuatu. Di sana, di sudut bilik tergantung sehelai sejadah dan sepasang telekung pada rak. Di siling tertera arah kiblat. Ain Sofea hembus nafas lega. Tak perlulah dia mencari seseorang untuk bertanya.
Usai solat Ain Sofea menjamah makanan yang disediakan. Habis licin dikerjakan. Sedap sungguh! Ke dia memang lapar? Mangkuk dan pinggan yang telah kosong direnung kejap. “Takkan nak biar kat sini aje?”
Setelah agak lama berfikir, Ain Sofea ambil keputusan untuk menghantar dulang makanan itu ke dapur. Adat menumpang, kenalah ringan tangan. Dah diberi makan, takkan basuh pun tak senang? Soal malu, segan, tolak tepi. Budi pekerti kena tinggi. Barulah bakal mentua senyum nampak gusi. Siapa bakal mentua kau Ain oiii...? Jangan nak berangan sangatlah!
Berhati-hati Ain Sofea keluar dari bilik. Mata meliar ke sana dan ke sini. Bukannya takut, cuma segan jika terserempak dengan penghuni rumah ini. Terutama budak lelaki yang dia hempas pintu di hadapan mukanya tadi. Sudahlah hidung tinggi macam paruh belatuk. Tentu merah hujung hidungnya.
Senyap derap disusun menuruni tangga sambil menatang dulang. Tingkat bawah sunyi sepi. Sudah tidurkah orang di dalam rumah ini?
“Baru pukul sembilan lebih kut. Pasti semuanya berada di dalam bilik masing-masing,” tebak gadis itu penuh yakin.
Langkah diteruskan. Seperti sudah biasa, kakinya tahu di manakah terletaknya bahagian dapur. Eleh... Setakat cari dapur, bukan susah pun... Tentulah kat belakang sana. Takkan dapur kat depan pula, ya tak?
Deretan suis pada dinding diteliti. “Mana satu pula suis lampu? Jika salah ketik suis, takut terang sangat pula. Nanti mummy Ian tahu ada orang di dapur. Malu haih nak jumpa mummy dia sekarang ni! Esok sajalah baru berkenalan.”
Tanpa menyalakan lampu pendarfluor dapur, Ain Sofea menuju ke sinki. Bahagian itu sedikit terang disinari oleh cahaya lampu dari koridor belakang yang menerobos masuk melalui tingkap kaca. Memadai untuk dia melihat ketika mencuci.
Tik! Dapur tiba-tiba terang-benderang.
Kepala terteleng ke kiri.
“Mak kau!” Kelibat yang berdiri di pintu masuk ke dapur memeranjatkan Ain Sofea.
Ian Zacry ketawa. “Penakut juga awak ni rupanya?”
“Bukan penakutlah! Orang terperanjat aje!” Jejaka itu dijeling tajam. Kerja mencuci pinggan diteruskan. Segan hendak menentang wajah Ian Zacry apabila teringatkan peristiwa dia pengsan petang tadi.
“Yalah tu terperanjat? Ke takut? Nasib tak pengsan macam petang tadi. Sakit tangan saya ni mencempung awak bawa naik ke atas pun belum hilang lagi tau!”
Erk!
“Cccuba... aaawak ulang semula. Siapa yang cempung saya?” Tangan terhenti dari mencuci. Jantung mula dup dap dup dap.
Ian Zacry menghampiri gadis itu. Pinggan yang sudah dicuci, dibilas dan dilap kering. “Sayalahhh... Takkan mummy pula? Mana larat mummy tu nak papah awak.”
“Aaawak?!” Bular mata melihat Ian Zacry.
“Yalah, saya. Siapa lagi?”
Bibir bawah digigit kuat. Muka dibuang ke tepi. Aduhhh... Malunyaaa...
“Nasiblah awak tu ringan. Kalau berat, bersimenlah jawabnya tangan saya ni. Patah dua!” usik Ian Zacry. Suka melihat wajah gadis itu merona merah. Dia kemudian ketawa perlahan seraya menggeleng kepala apabila melihat Ain Sofea gugup menahan malu. “Kalau awak pengsan lagi, bagus juga. Rezeki sayalah tu nak cempung awak sekali lagi. Bukan selalu dapat!”
Pap!
“Adoi!” Ian Zacry mengusap bahu kirinya yang terasa perit.
“Awak jangan nak lebih-lebih ya! Itulah kali pertama dan terakhir awak dapat sentuh saya. Jangan harap ada yang kedua.”
Ian Zacry ketawa lagi apabila muncung Ain Sofea semakin panjang. Sakit bekas ditampar oleh tangan gadis itu terus hilang. “Macam mana? Awak dah okey ke?”
“Hm!” Ringkas saja Ain Sofea membalas. Kerja mencuci pinggan diteruskan.
“Dah laaa... Tak payah nak malu sangat. Tengah darurat kut. Bukan saya suka-suka nak cempung awak. Saya pun tahu batas-batas antara kita,” pujuk Ian Zacry. Senyumnya masih lebar di bibir sementara anak mata tetap merenung kepada gadis itu.
Di pintu masuk ke dapur, sekujur tubuh berdiri memandang Ian Zacry dan Ain Sofea. Ada riak keliru pada wajah manusia itu. Setahunya, Ian Zacry memang susah hendak tersenyum. Apatah lagi ketawa, tetapi tadi berdekah-dekah pula gelaknya. Memang gadis itu ada sesuatu. Hingga mampu buat abangnya jadi begitu. Alamatnya, Tengku Ellisa bakal... bye bye lah tu!